Archives

All posts for the month December, 2008

Awan Hitam di Gaza

Published December 31, 2008 by Menikmati Takdir Langit

” Dan tidak akan redha sama sekali orang-orang Yahudi dan Nasrani selagi kamu tidak mengikuti agama mereka.

[Al-Baqarah:120]

Berita semalam melaporkan serangan masih berlanjutan ke atas Gaza. Jumlah yang terkorban dan cedera semakin meningkat. Israel menjanjikan bahawa serangan ini akan ditamatkan beberapa minggu lagi.

“We are ready to deepen and widen the operation in order to make sure that the calm and tranquility will come back to the region”.

Ehud Barak, Israeli Defence Minister

Persoalannya, bolehkah kenyataan semacam ini dipercayai?

Sudah berapa banyak perjanjian demi perjanjian antara PLO dan Israel dicabuli?

Ingat lagikah kita dengan Perjanjian Camp David yang ditandatangani pada tahun 1979 antara Presiden Anwar Sadat dan Perdana Menteri Israel Menechem Begin di mana perjanjian ini mempunyai peruntukan mengenai masa depan Palestin khususnya Gaza dan Tebing Barat? Namun sehingga kini masih belum kelihatan tanda-tanda kedua-dua wilayah ini akan dibebaskan atau diberi kemerdekaan penuh sebaliknya Israel terus memperkukuhkan kedudukannya di situ.

Cuma di atas kertas

Cuma di atas kertas

Peperangan tahun 1973  juga dipanggil sebagai “Yom Kippur” oleh Israel menyaksikan Israel hampir-hampir menyerah kalah bila diasak oleh Mesir di selatan dan Syria di sebelah utara menyebabkan timbulnya desakan supaya gencatan senjata dibuat. Kalau tidak kerana campur tangan US sudah tentu tentera Mesir akan mara dari Semenanjung Sinai hingga ke Tel Aviv kerana pada waktu itu seluruh kekuatan tentera Israel telah dimusnahkan.

Ingatkah lagi kita pada peristiwa pembunuhan beramai-ramai kem pelarian Shabra dan Shatila pada tahun 1982? Bagaimana tentera Israel di bawah pimpinan Ariel Sharon mengepung kem ini dan seterusnya membunuh kanak-kanak dan bayi,merogol wanita dan membuang mayat-mayat mereka ke dalam tong-tong sampah.

Dan lihat pula Perjanjian Oslo tahun 1994 antara Yasser Arafat dan Yitzhak Rabin di mana Ketetapan Oslo atau Oslo Accord merencanakan pelaksanaan pemerintahan sendiri Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza selama lima tahun. Menurut Deklarasi Utama atau Declaration of Principles, Israel harus mula berundur segera dari tempat-tempat yang didudukinya; dan sebagai imbalannya, PLO bersetuju untuk mematuhi resolusi PBB yang mengakui kewujudan Israel di samping menggalakkan keselamatan dan keamanan yang berpanjangan antara masyarakat Arab dan Yahudi di wilayah yang bergolak.

Namun apakah yang terjadi pada semua deklarasi ini?

Ke mana hala tuju dan masa depan negara Palestin dan rakyatnya?

20081230112918355580_81

Baca pula Al-Quran Surah Toha dan lihat bagaimana Bani Israel yang degil menyembah lembu yang dibuat oleh Samiri apabila Nabi Musa meninggalkan kaumnya untuk sementara waktu.

Lihat pula sirah nabawiyyah di mana nabi saw berdepan dengan Bani Quraizah, Bani An Nadhir dan Bani Qainuqa’ iaitu kaum Yahudi yang sentiasa menimbulkan masalah dan mencabul perjanjian dengan nabi saw.

Dan kini kita menyaksikan sejarah lama berulang kembali.

MELETAKKAN SENSITIVITI

Sempena tahun baru hijrah 1430 dan tahun 2009 esok, saya ingin mengajak diri saya dan anda semua di luar sana supaya memberikan sedikit ruang kepada isu Palestin di hati kita. Sekurang-kurangnya “reserve” sedikit masalah ini di kotak fikiran kita selain dari masalah-masalah kerja di pejabat,anak-anak dan kehidupan sendiri yang tiada penghujungnya. Sekurang-kurangnya Allah juga akan memberikan perhatianNYA kepada kita di dunia yang satu lagi atas keprihatinan dan sikap ambil peduli kita tentang masalah umat Islam lain.

Dan syabas sekiranya kita dapat bergerak lebih jauh dari situ ke dimensi yang lebih besar dengan memberikan sumbangan kepada pertubuhan-pertubuhan amal dan NGO Islam yang menyokong Palestin. 

Masalah umat Islam merupakan masalah sejagat. Ianya tertentu, ianya melibatkan kepentingan ramai dan agama. Dan dari sudut penyelesaiannya ianya perlu disegerakan. 

KISAH SEDIH PALESTIN

Lihatlah laporan di media-media dan bacalah dengan penuh minat selain dari membaca kisah-kisah perkahwinan dan perceraian artis yang tidak memberi manfaat.Di kala pemimpin negara Arab dan pemimpin Muslim lainnya di seluruh sedang menikmati juadah yang paling mewah di muka bumi, penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang kelaparan akibat kepungan kejam pihak berkuasa Israel, semakin terdesak sehingga terpaksa memakan rumput untuk meneruskan hidup.

“Apa yang kami mampu lakukan ialah makan rumput. Hanya ini pilihan yang ada bagi memastikan kami sekeluarga dapat hidup,” kata Amra Abu, ibu lapan anak kepada akhbar Britain, The Times, sambil menuding ke arah rumput hijau yang tumbuh liar di tepi jalan raya Gaza. Setiap pagi, beliau dan anak perempuannya, Rabab, 12, mengutip rumput di sepanjang jalan raya yang didakwanya selamat dimakan.  Amra, 23, turut mengemis bagi mendapatkan wang untuk membeli bahan api.  “Saya sudah lupa bilakah kali terakhir dapat makan buah-buahan,” kata Rabab yang memakai pakaian lusuh dan seluar jeans koyak.

Penderitaan Amra antara kisah sedih yang terus menyelubungi Semenanjung Gaza selepas Israel menutup semua pintu masuk ke Gaza yang menempatkan kira-kira 1.6 juta penduduk.  [Sumber: Berita Harian 17/12/2008]

Rasulullah saw bersabda,

“Tidaklah beriman dengan ku orang-orang yang tidur dengan perut kenyang sedangkan dia mengetahui jirannya sedang kelaparan” .

[HR Bukhari dan al-Hakim]. jabalia-nov24-2

Malam ini ramai di antara kita yang akan menyambut tahun baru 2009.

Kegembiraan menanti detik 12 malam akan disambut dengan sorakan dan percikan bunga api di udara. Disusuli pula dengan hiburan dan konsert-konsert ambang 2009. Persoalannya, wajarkah kita bergembira, berseronok sedangkan nasib saudara-saudara kita di sana di ambang maut?

PENUTUP

Bilakah akan datangnya pertolongan Allah? Saya rasa elok direnungkan  sabda nabi saw yang bermaksud:

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah orang-umat Islam berperang dengan orang-orang Yahudi (di sebuah tempat). Orang-umat Islam akan membunuh mereka beramai-ramai sehinggakan apabila mereka bersembunyi di sebalik batu dan pokok, tiba-tiba pokok-pokok dan batu-batu itu bersuara menjerit memanggil umat Islam agar membunuh orang-orang Yahudi itu, kecuali pokok ‘Gharqad’, kerana ia adalah pokok Yahudi”. [ Hadith sahih Bukhari]

Janji Nabi pastinya benar. Peristiwa ini akan berlaku bagi menamatkan siri pengkhianatan Yahudi terhadap Islam dan manusia secara keseluruhannya. Saya kira cukup pengamatan dan analisis pendek saya mengenai masalah Palestin. Saya pasti ramai lagi di luar sana yang telah mengupas isu ini dengan mendalam dari sudut sejarah,politik,kemanusiaan dan lain. Saya cuma mengutip fakta dan melihat dari perspektif untuk mewujudkan sensitiviti umat Islam yang beriman ke atas penindasan umat Islam lain. Supaya, dari rasa hati dan kasihan belas ini akan melahirkan natijah yang lebih baik ke atas pembentukan akhlak dan syahsiah muslim.

Selamat Tinggal 2008. Moga awan hitam yang menaungi Gaza ketika ini akan segera berlalu. 

ABU WAFI, Putrajaya


Apa ada dengan Palestin

Published December 30, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Rasulullah SAW ada bersabda,

“ Barangsiapa yang berpagi-pagi tanpa mengambil kisah urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka”

Sabda Rasulullah SAW

“ Muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain, jangan kamu menzaliminya, mengkhianatinya atau menyerahkannya kepada mereka yang hendak menzaliminya”

Salam,

Sebak di dada,terharu di jiwa bila menonton berita-berita terkini mengenai serangan pengganas Israel ke atas umat Islam Palestin di Semenanjung Gaza. Sedih dan pilu melihat gambar anak-anak kecil yang tidak berdosa dipanggil menghadap illahi dalam bentuk yang tidak tergambarkan. Dentuman bom dan peluru berpandu yang tidak bermata dan mengenal usia membaham jiwa-jiwa kecil yang tidak berdosa. Semoga Allah menggantikan kehidupan dunia mereka yang hilang dengan kehidupan di akhirat yang menyenangkan.

Melihatkan anak-anak kecil yang menderita, terbayang anak-anak di rumah yang seusia. Bayangkanlah sekiranya perkara yang sama terjadi pada kita. Menjerit, meraung memnita tolong dunia, namun dunia Islam khususnya negara-negara Arab di sekelilingnya tidak dapat berbuat apa-apa. Alangkah malangnya kita.

captcpsoqh58301208024626photo00photodefault-512x483

Tahun 2008 semakin menutup tirai dengan tragedi demi tragedi.

Bermula dengan tanah runtuh di sana sini, kematian dan kini kita dikejutkan dengan serangan yang telah mengorbankan lebih 350 nyawa mengikut sumber AFP dan Al-Jazeera. Israel bertindak secara menggila hanya kerana mahu menumbangkan Hamas sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat Palestin melalui pilihanraya yang sah.

Dan setakat ini tiada lagi tanda-tanda bahawa serangan akan dihentikan.

Amerika Syarikat seperti dijangkakan menyalahkan Hamas sebagai punca utama dan hanya meminta supaya serangan tidak ditujukan kepada orang awam namun mampukah peluru mengenal semua itu??

Lebih menyedihkan bila Presiden Palestin Mahmood Abbas semalam turut bersama Amerika Syarikat menyalahkan Hamas. Di mana maruah beliau sebagai saudara Islam yang sanggup melihat saudara seagamanya ditindas hanya kerana perbezaan ideologi politik.

 

Anak-anak kecil yang tidak berdosa

Anak-anak kecil yang tidak berdosa

Belum pun serik dengan kekalahan yang memalukan Israel pada tahun 2007 bila dihalau oleh Hizzbullah di Selatan Lubnan, kini mereka cuba pula mensasarkan kemarahan dan kebencian mereka kepada Islam dan penganutnya kepada rakyat yang tidak bersenjata atau yang hanya mempunyai batu di tangan.  

Al-Jazeera semalam ada menyiarkan dokumentari setengah jam mengenai sikap ganas dan militan Israel. Disingkap kembali apa yang berlaku dalam peperangan Arab-Israel pada tahun 1967 yang menyaksikan Israel memenagi peperangan tersebut dan menawan Semenanjung Sinai milik Mesir.

Beberapa tahun selepas itu, Mesir yang dipimpin oleh Anwar Sadat membalas kembali dan menawan semula Semenanjung Sinai. Dalam peperangan beberapa hari tersebut dilaporkan beratus-ratus kereta kebal Israel dimusnahkan di padang pasir dan dilaporkan bahawa Mesir ketika itu menggunakan senjata “anti kereta kebal” yang dicipta oleh Russia. Beribu-ribu tentera Israel terbunuh dan satu monumen yang mengandungi nama-mana mereka didirikan berdekatan Jerusalem atau Baitul Maqdis.

Dan Yahudi tidak pernah mengaku kalah. Belajar dari kekalahan yang memalukan mereka bangkit semula dengan mencipta sebuah  kereta perisai moden bernama ‘Merkeva” atau “God Chariout” yang dianggap sebagai yang terbaik dalam modelnya. Kereta kebal yang selesa dengan aircond dan peti sejuk di dalamnya dikatakan tidak boleh dikalahkan oleh mana-mana senjata dan peluru berpandu.

Namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Dalam peperangan dengan Hizbullah kereta kebal yang dibanggakan dimusnahkan oleh tentera Hizbullah sebaik sahaja memasuki sempadan Lubnan. Ternyata perancangan Allah mengatasi perancangan manusia yang jahat.

Merkeva yang dibanggakan

Merkeva yang dibanggakan

Apakah sikap kita dalam menangani isu ini?

Cukupkah sekadar mengangkat sepanduk dan berdemonstrasi di jalan-jalan raya?

Memadaikah dengan hanya membakar bendera Israel sebagai tanda protes?

Cukupkah dengan menghantar memorandum yang mengandungi tandatangan bantahan kepada kedutaan US dan sekutunya?

Cukupkah jika semua Parlimen di dunia membahaskan usul mengutuk Israel tanpa ada tindakan yang tegas diambil?

captcpsoqg91291208225937photo00photodefault-512x330

Memadaikah dengan hanya mengutuk serangan ini?

Cukupkah kita dengan sekadar mencipta puisi dan sajak untuk dideklamasikan di malam-malam apresiasi seni dan budaya sedangkan realitinya mereka sangat-sangat memerlukan pertolongan kita?

Fahamkah perasaan kita?

Adakah kita benar-benar dapat menyelami perasaan rakyat Palestin,memahami masalah yang dihadapi oleh mereka setiap hari. Isu kelaparan, tidak cukup zat makanan, tiada pekerjaan,dihalang daripada mendapat pendidikan tinggi,dihalang dengan tembok di sana sini, pergerakan yang sentiasa terbatas dan kebebasan yang disekat?

Sebagai orang awam kita sebenarnya tidak mampu berbuat apa-apa.

Namun sebagai saudara seagama sebenarnya kita masih mampu berbuat sesuatu. Selain huluran wang ringgit dan harta benda kita mampu untuk BERDOA.

Sabda Nabi saw: “Doa adalah senjata bagi orang yang beriman.”

Saya rasa sudah sampai masanya kita mengamalkan doa Qunut Nazilah setiap kali selepas solat lima waktu. Doa yang diamalkan oleh nabi saw ketika menghadapi peperangan. Sahabat baik saya Hilal Asyraf di Yarmouk Jordan memasukkan dalam entry yang cukup menyentuh perasaan. Diperturunkan sedikit kata-kata beliau.

Berdoalah…

 

Agar nanti bayi-bayi yang mati terbunuh, remaja-remaja yang tidak sempat dewasa, ibu yang kehilangan anak, isteri yang kehilangan suami, pejuang-pejuang yang syahid, tidak menjadi saksi atas kecuaian kita kepada mereka.

 

Mereka saudara kita. Bukankah ALLAH telah berfirman…

 

“ Sesungguhnya setiap mu’min itu bersaudara…”

 

Rasulullah SAW juga telah bersabda,

 

“ Mu’min dengan mu’min itu ibarat satu jasad, kalau sakit satu bahagian jasad itu, yang lain juga akan terasa”

 

Mari berdoa bersama-sama

 Saya takut dan bimbang jika kita dikategorikan sebagai kaum yang cuai terhadap nasib saudara seagama di palestin.

Saya cukup bimbang jika usaha yang saya lakukan untuk mereka tidak mencukupi.

Namun saya dan anda mampu berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah agar menurunkan bantuanNYA kepada mereka.

captcpsoqg72291208220437photo00photodefault-512x342

 

Saya sama sekali tidak dapat menerima jika ada yang melabelkan perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanahiar mereka sebagai “militan”. Mereka bukan militan tetapi pejuang sejati. 

Bukan pejuang kemerdekaan tetapi pejuang agama. Justeru, kematian mereka merupakan kemuliaan di sisi Allah. Saya berdoa semoga Allah mengurniakan syahid kepada mereka.

Mideast Egypt Gaza Border

MIDEAST ISRAEL PALESTINIANS

Di sebalik kesibukan kita dengan pekerjaan dan keluarga, ambillah peluang untuk membaca sejarah Palestin dan tipu daya Yahudi. Bagaimana kewujudan Perjanjian Belfour 1914 dan usaha-usaha Yahudi untuk melobi Kesultanan Uthmaniyyah di Turki supaya menyerahkan Palestin yang disanggah oleh Pemerintah Turki ketika itu dengan jawapan “itu adalah tanah wakaf seluruh umat Islam di dunia.

Bacalah dengan mata hati sejarah penaklukan dan pembebasan Baitul Maqdis oleh Saidina Umar Al-Khattab dan peperangan-peperangan yang menyusul selepas itu.

Bacalah pula kejayaan Sultan Sallahuddin Al-Ayyubi yang sekali lagi membebaskan Palestin dan memerintah dengan adil dan saksama serta peranan baginda mendamaikan antara Islam dan Kristian.

Akan adakah insan seperti Saidina Umar dan Sallahuddin Al-Ayyubi di zaman millenium ini muncul untuk membebaskan Palestin atau apakah ini hanya satu illusi yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Sesungguhnya umat Islam perlu berubah.

Teringat saya satu hadith di dalam kitab Riyadhus Salihin karya Imam An-Nawawi:

“Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan kota Makkah melainkan jihad dan niat. [Muttafaqqun alaih]

Marilah kita sama-sama menghayati nasib rakyat Palestin melalui pembacaan sejarah mereka yang panjang. Bumi yang telah disumpahkan di dalam Al-Quran :

“Demi buah Tin dan buah buah zaitun.demi Gunung Sinai.dan demi negeri [Makkah]yang aman ini.”

[At-Tin: 1-3]

 Sesetengan ahli tafsir mentafsirkan bahawa sebenarnya Allah bukan sahaja bersumpah dengan buah tin dan zaitun sebaliknya bersumpah dengan negeri keluarnya buah tin dan zaitun. Negeri itu adalah Baitul Maqdis atau Palestin yang dimuliakan di dalam Al-Quran. Dan kini Israel dan Yahudi telah mengambil faedah daripada kesuburan tanah di bumi ini dengan mengeskport  buah tin dan buah zaitun yang disifatkan sebagai buah yang terbaik di dunia.

 Marilah kita melupakan kesibukan kita dengan urusan kehidupan kita sejenak…

Marilah kita berfikir dan mengambil berat tentang Palestin.

Marilah kita ambil peduli tentang nasib rakyat Palestin.. dengan doa yang tak terlupakan….

 

Ya ALLAH, KAUlah tuan kepada Masjidil Aqsa, KAUlah tuan kepada tanah suci Baitul Muqaddas, KAU jugalah tuan kepada nyawa-nyawa saudara kami yang sedang bermatian bertahan dan berjuang di Gaza dan seluruh Palestin. Maka dengan penuh hina, kami HAMBA, memohon kepada KAU, TUAN kepada segala-galanya untuk membantu segala benda yang menjadi milikMU. Bantulah hamba-hambaMu ya ALLAH, bantulah mereka, bantulah mereka.

Ya ALLAH, Ya Hayyu Ya Qayyum, Ya Zal Jalali Wal Ikram.

30 – 31 DISEMBER 2008 [2 MUHARRAM 1430H] jam 11.00 -12.05  tgh malam Putrajaya.

Cakap serupa bikin

Published December 29, 2008 by Menikmati Takdir Langit

forest1

Salam Tahun Baru Hijriah 1430.

Salam Tahun Masehi 2009 yang bakal menjelang 2 hari saja lagi.

Anjuran untuk melakukan kebaikan atau amar ma’ruf dan pencegahan kemungkaran[nahi mungkar] mestilah menjadi agenda yang berterusan untuk mendepani tahun baru ini. ”

Namun begitu, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada muslimin dan muslimat di luar sana termasuk pada pendakwah supaya “cakap serupa bikin” atau buat apa yang dikatakan. Jangan suruh buat tapi dia sendiri tak buat.”

Itulah antara petikan seruan dalam satu Forum Maal Hijrah yang sempat saya hadiri 3 hari lepas.

Firman Allah :

Apakah kamu menyuruh manusia supaya mengerjakan kebaikan, sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri, padahal kamu membaca Al-Quran. Apakah kamu tidak berfikir? [Al-Baqarah: 44]

Dalam ayat di atas, Allah berfirman supaya orang-orang yang mengajak orang lain melakukan kebajikan dan ketaatan supaya tidak mengabaikan diri sendiri. Dirinya sendiri mestilah buat perkara yang dianjurkan terlebih dahulu sebelum menyuruh atau mengajak orang lain untuk mengikutinya. Justeru, dalam bentuk alif lam Istifham, Allah menempelak orang-orang sebegini dengan ayat pertanyaan seperti “apakah kamu tidak berfikir”.

Kalau kita kaji dalam Al-Quran banyak sekali ayat-ayat pertanyaan sebegini. Tujuannya ialah untuk menyedarkan manusia yang leka. Sudah ada Al-Quran di tangan namun masih tidak mahu berfikir,merenung dan seterusnya melaksanakan. Sebab itu Allah swt bertanya kembali dalam bentuk sindiran.

Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! mengapakah kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bila kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” [As-Saff: 2-3]

Sesungguhnya Allah membenci orang-orang yang membuat janji atau mengatakan sesuatu kepada orang lain tetapi dia sendiri tidak menepati atau melakukan. Dewasa ini, kita melihat ramai sekali manusia yang cakap tapi dia tak buat. Ada yang mengadu bos dia suruh buat itu dan ini,ikut  prosedur ikut peraturan. Jangan langgar prosedur. Tapi “at the end of the day” dia sendiri yang langgar prosedur, dia sendiri yang “buldoze” peraturan yang dia suruh semua kakitangan bawahan patuhi. Ini contoh mudah peraturan dunia, bagaimana pula peraturan yang Allah buat.

Saya pernah menghadiri satu kursus etika 10 tahun lalu yang dianjurkan oleh Majlis Peguam. Penceramah yang menyampaikan ceramah tentang ketelusan dan etika cukup berpengalaman. Namun, beberapa tahun lepas itu dia ditangkap di Vietnam kerana melarikan wang amanah “client” yang disimpannya. Inilah cakap tak serupa bikin.

Saya pasti kadang-kadang kita pun terjeremus juga dalam perkara-perkara semacam ini. Selalunya dalam hal-hal kecil. Mudah-mudahan penyakit ini tidak merebak menjadi lebih besar dan memakan diri.unit15_28

Rasulullah saw bersabda: “Kelak pada hari Kiamat, akan ada seseorang yang didatangkan, kemudian dilemparkan ke Neraka, maka terkeluarlah segala isi perutnya seraya berputar-putar di dalam neraka… lalu para penghuni neraka semuanya berkumpul dan berkata : ” Hai fulan,apa yang terjadi padamu? Bukankah engkau dulu telah menyuruh melakukan ma’ruf dan mencegah dari melakukan kemungkaran?

Jawab orang itu: “Benar, aku dulu memang menyuruh manusia berbuat baik tetapi aku sendiri tidak mengerjakannya, dan aku memang mencegah perbuatan mungkar, tetapi aku juga mengerjakannya”. [Muttafaqun alaih] dipetik dari Riyadhus Salihin 1.

29 DISEMBER 2008 [1 MUHARRAM 1430] Putrajaya 12.00 tgh.

Selamat tahun baru 1430H

Published December 28, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Sebentar tadi kita baru sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada tahun Islam 1429. Selepas Asar tadi juga banyak masjid dan surau-surau di seluruh dunia Islam amnya dan Malaysia khususnya mengadakan bacaan doa akhir tahun. Tinjauan saya di surau-surau sekitar Putrajaya dan Bangi mendapati kebanyakan surau mengadakan doa akhir tahun sekitar jam 6.50 petang iaitu sebelum masuknya waktu maghrib. Manakala doa awal tahun pula dibacakan seusai solat maghrib.

Alhamdullillah, saya sempat bersama berjemaah dengan jemaah surau Al-Mizan Presint 8. Rasa syahdu dan terharu bila membaca doa akhir tahun memohon keampunan dan taubat dari Allah. Rasa bersemangat dan azam yang menyala-nyala bila membaca doa awal tahun. Majlis diteruskan dengan tazkirah pendek dan selepas itu disusuli dengan solat Isyak dan ‘light refreshment’.

Walaupun sambutan secara sederhana, tiada dentuman bunyi bunga api di udara dan percikannya yang memecah keheningan malam, namun saya amat bersyukur kerana masih ramai yang diberi kesedaran oleh Allah untuk datang beramai-ramai memeriahkan dan meraikan kedatangan tahun Islam ini.

MENSYUKURI NIKMAT BERAGAMA

 Cuma sehari dua ini kalau kita perasan berita terutamanya di channel Astro Awani memaparkan nasib saudara-saudara seagama dengan kita di bumi Palestin khususnya di Gaza. Berbeza sungguh. Kita berjuang untuk makan minum, tempat tinggal dan keselesaan hidup kita manakala mereka berjuang untuk membebaskan tanahair dan mempertahankan Islam yang dianuti. Di sini kita dapat mengamalkan Islam tanpa rasa risau dan bimbang tetapi di sana hatta hendak bersolat di masjid pun tidak selamat. Inilah nikmat beragama yang sedang kita kecapi tanpa diganggu gugat dan seharusnya kita mensyukurinya dengan menambahkan ketaatan kepadaNYA.

 JANGAN MEREKA DILUPAKAN

Kedatangan tahun baru hijri atau masihi 2009 yang akan menjelang beberapa hari mungkin tiada maknanya bagi mereka. Saban hari mereka dihujani dengan bom dan peluru berpandu. Saban hari nyawa melayang tiada nilainya.

Kekejaman Yahudi tiada batasan

Kekejaman Yahudi tiada batasan

Kebelakangan ini tiada berita-berita panas mengenai isu Arab-Israel yang tiada penghujungnya. Berpuluh-puluh siri perbincangan dan pertemuan dua hala diadakan. Berkali-kali gencatan senjata telah dimeterai namun Israel terus menerus mencabuli perjanjian demi perjanjian menggunakan pelbagai alasan yang bukan-bukan.

Bebaskan Palestin

Bebaskan Palestin

Tiada lagi istilah kebahagiaan dalam diari hidup kanak-kanak di sana. Pembelajaran sering terbantut. Pengangguran juga bertambah. Yang pasti Israel terus menekan orang-orang Islam sehingga mereka terpaksa menyerahkan satu persatu hak milik mereka bermula dengan tanah sehinggalah nyawa tergadai.

TANGGUNGJAWAB SAUDARA SEAGAMA

Sempena dengan tahun baru ini marilah kita bertanya kepada diri kita sudah cukupkah peranan yang kita mainkan untuk membantu saudara-saudara seagama kita di sana?

Sudah cukupkah wang yang didermakan atau diinfaqkan kepada tabung-tabung bantuan kemanusiaan di sana?

Apakah kita selalu mengingati mereka dan sering MENDOAKAN KESELAMATAN dan pertolongan Allah kepada mereka setiap saat dan detik dalam menghadapi kekejaman Yahudi?

Jika belum marilah kita sama-sama berazam dan bertekad untuk melakukan sebaik mungkin untuk membantu mereka. Kita mungkin tidak mampu untuk turun berjihad dengan senjata tetapi kita mampu untuk berjihad harta benda dan wang ringgit. Bantulah. Saya cukup bimbang jika kita termasuklah diri saya sendiri dipersoalkan di hadapan Allah nanti apakah cukup bantuan yang telah kita berikan untuk membantu mereka?

Dan apakah saya dan anda semua mampu untuk berhujah di hadapan Allah sekiranya saya dan anda gagal berbuat demikian?

Peribahasa cubit paha kiri paha kanan terasa perlulah diamalkan. Teringat satu hadit yang berbunyi “Tidak sempurna iman kamu sekiranya tidak menyintai saudara kamu sebagaimana kamu menyintai diri sendiri”.

Wahai saudara-saudaraku, saya cukup gerun bila membaca transkrip khutbah jumaat seorang pemimpin Hamas yang berkunjung ke Malaysia tahun lepas mengenai tanggungjawab umat Islam lain yang tidak mengambil pusing masalah umat Islam di Palestin. Khutbah beliau begitu menyentuh perasaan dan bisa menggetarkan jiwa yang lalai daripada membantu saudara seagama.

Mudah-mudahan di tahun baru ini kita semua berubah dan berazam untuk membantu saudara seagama yang menerima nasib malang sama ada di Palestin, Selatan Thailand, Kashmir atau di mana-mana sahaja.

28 DISEMBER 2008 [1 ZULHIJJAH 1430] Putrajaya 11.25 malam

Bila hati berkarat

Published December 27, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Dari Ibn Umar r.a, Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya hati itu berkarat sebagaimana besi berkarat jika terkena air.” Tanya sahabat, “Ya Rasulullah, apakah pembersihnya? Sabda Baginda, “Banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.” [ Hadith Riwayat Al-Baihaqi]

PENGAJARAN

Manusia yang banyak membuat dosa dan lalai dari mengingati Allah akan menyebabkan hatinya berkarat seperti besi yang berkarat bila terkena air. Dengan membaca Al-Quran dan mengingati mati, hati akan menjadi bersinar kembali.

Hati ibarat cermin. Hati yang bersih umpama cermin yang bersih berkilat. Semakin bersih cermin itu, maka semakin terang cermin itu dan semakin mudah memantulkan cahaya keimanan. Manakala, hati yang berkarat pula ibarat cermin yang kotor berdebu maka sukarlah untuk memantulkan cahaya makrifat. Semakin sukarlah pula untuk menerima hidayah Allah. Hati yang berkarat adalah natijah daripada maksiat yang dilakukan. Hati yang kotor hanya boleh dibersihkan dengan membaca Al-Quran dan banyak mengingati mati. Membaca Al-Quran bukan sekadar memerhatikan huruf,tajwid, fathah dan dhammah sebaliknya hendaklah bertafakkur dan merenungi maksud ayatnya.

2472978678_d8266c67c3

Dalam satu hadith dinyatakan bahawa jika seorang hamba melakukan satu dosa maka akan timbul satu titik hitam dalam hatinya. Jika dia bersungguh-sungguh bertaubat, insyallah titik hitam itu akan hilang. Sebaliknya jika dia terus hanyut dengan perbuatan maksiatnya berkali-kali maka akan muncul banyak titik hitam dalam hatinya sehingga boleh menutupi terus hatinya dari menerima cahaya Allah. Bila hati menjadi hitam legam dan kotor maka akan hilanglah keinginan dan kecenderungannya untuk berbuat kebaikan malah hati tadi akan condong ke arah kejahatan.

Firman Allah :

“Sekali-kali tidak; sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” [Al-Muthafifin: 14]

Hadith: “Aku tinggalkan padamu 2 nasihat, yang satu berbicara, dan yang satu lagi diam. Yang berbicara adalah Al-Quran, dan yang diam adalah mengingati mati.” [dipetik dari kitab Fadhail Amal]

Semoga Allah memelihara kita hati dari memperolehi hati yang berkarat.

27 DISEMBER 2008  10.16 malam Putrajaya

Mengingati kembali Tsunami 26 Disember 2004

Published December 26, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

4 tahun yang lepas pada tanggal 26 Disember 2004 berlakulah tragedi tsunami yang mengorbankan ratusan ribu nyawa. Kepada mereka yang kehilangan anak,isteri dan keluarga tercinta tentunya tragedi ini sukar dilupakan dan menjadi pengalaman pahit yang bisa menitiskan air mata setiap kali mengenangkan tragedi ini.

Di Malaysia, kawasan yang terjejas teruk ialah di Pulau Pinang dan Kuala Muda. Di Acheh, kesannya lebih buruk lagi bila lebih 150 ribu nyawa terkorban.

 

Mayat di celah-celah sampah

Mayat di celah-celah sampah

Gambaran mahsyar di dunia

Gambaran mahsyar di dunia

Tiada apa lagi yang tinggal

Tiada apa lagi yang tinggal

Sesungguhnya apa yang berlaku adalah ketentuan dari Allah. Segalanya mempunyai hikmah yang tersembunyi. Firman Allah :

” Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, ‘kami telah beriman! sedangkan mereka tidak diuji. Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan yang berdusta.

[Al-Ankabut:2-3]

Sebenarnya ujian yang kita terima dan sedang berhadapan dengannya, adalah tidak lain untuk mengingatkan kepada asal kejadian kita, iaitu untuk beribadat kepada-Nya, apabila kita diuji dalam keadaan taat dan mati kerananya, maka kita sedang melakukan perkara yang soleh, tetapi sebaliknya apabila kita mati dalam keadaan maksiat dan menentang Allah, dikhuatiri kematian kita itu menjadi kutukan di sisi Allah SWT, justeru, marilah kita sama-sama menginsafi diri dan banyak melakukan muhasabah kepada Allah. 

Firman Allah lagi:

“Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?

“Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? 

“Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.” (Al-A’raf:97-99)

Ayat di atas cukup jelas menunjukkan bahawa Allah boleh mendatangkan apa sahaja masalah kepada manusia hingga hilangnya rasa aman dalam diri, sama ada sedang tidur di waktu malam, atau sedang mengurus program hidup di waktu siang hari.  [petikan dari  Tazkirah Ustaz Zainuddin Hashim]

Kapal di laut berlabuh di darat

Kapal di laut berlabuh di darat

worldly

Mudah-mudahan kita tidak menjadi manusia yang mudah lupa. Selepas kejadian semuanya kembali kepada Allah. Selepas 4 tahun kita mula melupakan peristiwa tragis ini. Sesungguhnya terlalu banyak peringatan Allah di dalam peristiwa ini. Bermuhasabah dan berfikirlah…

PUTRAJAYA JUMAAT 26 DISEMBER 2008

Dosa-dosa di belakang tabir

Published December 25, 2008 by Menikmati Takdir Langit

hell

Dari Tsauban dari Nabi saw bersabda: Sesungguhnya aku mengenali segolongan manusia dari umatku yang akan datang pada hari Kiamat dengan kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih lalu Allah menjadikannya debu-debu yang berterbangan. Kata Tsauban kepada nabi saw:

“Wahai Rasulullah ! Ceritakanlah keadaan mereka kepada kami supaya kami tidak jadi seperti mereka dalam keadaan kami tidak mengetahui.

Jawab nabi saw:  Mereka merupakan saudara-saudara kami dari bangsa kamu sendiri, mengerjakan ibadah di malam hari seperti kamu juga, TETAPI mereka adalah golongan yang apabila bersendirian mereka terjebak melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan (bila mendapat peluang melakukannya di belakang manusia). Hadith Riwayat Ibnu Majah no.4245, Sahih Al-Albani.

20081295853344360_81

Saya terjumpa hadith di atas semasa melayari blog seorang pendakwah dan motivator terkenal di Malaysia. Saya tersentak,terpaku. Lidah saya menjadi kelu.Muka pucat lesi. Hadith ini tidak pernah saya jumpai selama ini. Yang pasti, saya cukup bimbang bila membaca hadith ini.

Saya jadi takut sekiranya saya tergolong dalam golongan yang dikhabarkan oleh Nabi saw ini. Orang yang kita sangka baik, alim,warak di hadapan manusia, memiliki rekod dan imej baik di mata manusia tiba-tiba terlibat dengan perbuatan-perbuatan haram yang dilakukan secara sembunyi atau di  luar pengetahuan manusia lain menyebabkan amal soleh beliau selama ini terhapus begitu sahaja bagaikan debu-debu yang berterbangan. Pahala beliau yang menggunung hasil ketaatan beliau ketika di dunia hancur lebur begitu sahaja bila dibawa di hadapan Tuhan Rabbul Jalil.

Dan mungkin dosa kecil yang dilakukan berulang-ulang kali ketika bersendirian boleh bertukar menjadi dosa besar yang tidak terampunkan. Segala usaha dan penat lelah beribadah selama hidup di dunia langsung tidak bernilai. Nauzubillahiminzalik.

KESIMPULAN

Ketaatan kepada Allah melalui amal soleh yang dilakukan mestilah SEIRING DAN SEJALAN dengan meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah yang mungkin mengakibatkan kemurkaan Allah. Hentikan dosa-dosa kecil yang mungkin dilakukan tanpa disedari apatah lagi dosa-dosa besar seperti menerima rasuah,memberi rasuah, makan riba dan sebagainya kerana akibat dari dosa besar ini amatlah buruk.

Dosa yang dilakukan secara TERANG TERANGAN sudah tentulah dibenci Allah. Namun dosa yang dilakukan secara SEMBUNYI-SEMBUNYI, TANPA PENGETAHUAN MANUSIA LAIN sebenarnya lebih mengaibkan kerana kesannya adalah lebih buruk. Pelakunya akan melakukan berulang-ulang kali kerana menyedari tiada siapa yang tahu melainkan dirinya sahaja NAMUN Allah menyaksikannya apa yang manusia lain tidak lihat dan ketahui.

Justeru, amalan bermuhasabah diri perlu dilakukan setiap hari terutamanya sebelum tidur. Fikirkan dan hisablah diri sebelum terlambat. Jika kesalahan dengan Allah maka cepat-cepatlah beristighfar sebanyak mungkin dan bertaubatlah. Jika dengan manusia pula, pohonlah kemaafan dari yang empunya diri.

Mudah-mudahan amal soleh kita selama ini seperti solat,puasa, zakat,haji dan amalan sunat lain tidak terhapus begitu saja dek perbuatan yang diharamkan Allah.

KHAMIS 25 DISEMBER 2008

Sucikan jiwamu dengan berzakat

Published December 24, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Di penghujung tahun 2008 ini, masing-masing kelihatan sibuk mengambil cuti. Tinjauan saya di mana-mana pejabat sekalipun ramai yang sudah siap-siap “apply” cuti untuk macam-macam urusan. Malah ramai staff saya yang memohon cuti. Ada yang hendak membeli belah untuk persiapan sekolah anak-anak untuk tahun 2009, ada pula nak pergi melancong  malah ada yang saja-saja cuti untuk menyelesaikan masalah tertangguh seperti ‘servis kereta’,”scalling gigi’ dan macam-macam lagi. Maklumlah hujung tahun ini program dah berkurangan, kerja pun dah susut maka inilah peluang yang ditunggu-tunggu untuk ambil cuti.

Tidak salah untuk bercuti. Masing-masing mempunyai tanggungjawab dan urusan yang perlu diselesaikan. Cuma perlu diingatkan, sebelum terlupa ada satu lagi KEWAJIPAN yang perlu disegerakan iaitu mengeluarkan zakat.

Saya lihat sepanjang bulan Disember ini, kaunter-kaunter Pusat Zakat dibuka 7 hari seminggu bagi membantu memudahkan umat Islam mengeluarkan zakat. Namun, berapa ramaikah dari kita yang sentiasa berpesan-pesan dengan rakan-rakan sepejabat,sahabat handai, jiran tetangga dan sanak saudara supaya melangsaikan zakat untuk tahun ini? Tahun 2008 akan meninggalkan kita,justeru tunaikan Rukun Islam yang ketiga ini tanpa bertangguh-tangguh lagi. Bonus akhir tahun pun dah dapat maka bersegeralah mengeluarkan zakat.

Zakat mempunyai banyak jenis sepert zakat perniagaan,zakat simpanan dan bagi kita yang makan gaji ini zakat pendapatan.

Saya suka memfokuskan perbincangan ini kepada zakat pendapatan kerana majoriti daripada umat Islam di Malaysia bekerja makan gaji. Zakat pendapatan merupakan ijtihad para ulama kontemporari antaranya seperti Dr.Yusoff Al-Qardhawi yang bertujuan untuk kemaslahatan umat Islam. Dewasa ini kaedah atau mekanisme untuk mengeluarkan zakat pendapatan ini telah dimudahkan. Untuk tidak membebankan umat Islam, maka kaedah pembayaran boleh dibuat melalui potongan gaji atau pembayaran secara bulanan di bank-bank tertentu yang mempunyai kemudahan tersebut. Malahan kemudahan pembayaran melalui perbankan internet juga telah diperkenalkan secara meluas.  Justeru, tiada lagi alasan atau ‘excuse’ tidak sempat untuk ke pejabat PPZ atau tidak jumpa amil kerana semuanya telah dipermudahkan. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman!Keluarkanlah sebahagian hasil usaha yang kamu perolehi dan sebahagian hasil bumi yang kami keluarkan untuk kamu[sebagai zakat]. (Al-Baqarah :267)

“Ada pun orang yang memberikan apa yang ada padanya pada jalan kebaikan dan bertakwa, serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan. Sebaliknya orang yang bakhil dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, serta dia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya kami akan memudahkannya untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan. [Al-Lail: 5-10]

duit-duit-duit-duit

duit1sened7

Janganlah ada di antara kita yang memandang ringan kewajipan menunaikan rukun Islam ke-3 ini kerana akibatnya sangatlah buruk. Khalifah pertama, Sayyidina Abu Bakr sendiri mengambil keputusan untuk memerangi orang-orang yang mengingkari perintah mengeluarkan zakat ini. Agaknya, kalaulah Saiyidina Abu Bakr ini ditakdirkan hidup semula di zaman kita, tentulah ramai di antara kita yang akan diperanginya. Mohon perlindungan dari Allah hendaknya.

Bertanyalah, bermuhasabahlah…. berapa akaun bank yang kita ada?

Berapa pula jumlah simpanan tetap atau FD yang kita ada?

Berapa lama pula tempoh simpanan kita tersebut?

Adakah bank yang kita gunakan untuk menyimpan ada mengeluarkan zakat untuk wang simpanan kita setiap tahun?

Berapa lama pula kita TERABAI SECARA TIDAK SENGAJA atau TERLALAI,TERLUPA dari mengeluarkan zakat sebelum kita benar-benar tersentak menyedarinya?

Bagaimana pula dengan zakat KWSP yang kita perolehi secara “one-shot” sebaik saja kita menerimanya?

Kita selalu berpesan-pesan dengan urusan keduniaan malangnya berapa ramai dari kita yang berpesan-pesan atas urusan akhirat pula?

Ramai berpesan “Cepat beli baju. Sekarang murah.hujung tahun,banyak sales ;

tetapi tidak ramai atau hampir tidak kedapatan mereka yang berpesan ” Cepat tunaikan zakat, dah hujung tahun ni, ramai orang fakir dan miskin di luar sana yang memerlukan wang zakat kita”

Insaflah, sedarlah… janganlah memandang enteng dengan kewajipan berzakat kelak diri akan dipersoal di akhirat. Zakat bukan sahaja menyuburkan harta atau pendapatan yang mungkin diperolehi dengan cara yang salah TETAPI dengan mengeluarkan zakat maka ianya memberi ketenangan kepada jiwa, mententeramkan malahan menyuburkan jiwa yang gersang dengan sinar keimanan. Percayalah, ramai di antara mereka yang saya temui menemui ketenangan dengan cara begini. Tidak rasa rugi apa-apa, malahan Allah akan memberikan rezeki yang murah melalui jalan-jalan lain yang tidak disangka-sangka.

Saya tidak tahu apa lagi alasan yang akan diberikan di hadapan Allah dan Rasulnya nanti akibat kegagalan berzakat walaupun saya mampu. Mungkin saya boleh memberikan alasan seperti tidak ada masa, sibuk dengan kerja,pusat pungutan zakat jauh dan macam-macam lagi alasan yang boleh diberikan SEDANGKAN jalan-jalan untuk mengeluarkan zakat telah dipermudahkan oleh pihak yang berwajib. Malahan promosi melalui iklan dan bill board juga telah disebarluaskan cuma saya saja yang tidak ambil pusing. Mudah-mudahan kita semua tidak tergolong dalam golongan yang leka di dunia ini.

Tinggal seminggu sahaja lagi. Ayuh!!!! Usah ditangguh lagi. Bersegeralah kerana sesungguhnya Allah telah membuka pintu-pintu kebajikan seluas-luasnya di penghujung tahun ini.

RABU 24 DISEMBER 2008  SESUDAH FAJAR

Kerana sebuah kerusi

Published December 23, 2008 by Menikmati Takdir Langit

 

ys304

Kerana sebuah kerusi, manusia sanggup berbunuh-bunuhan.

Kerana sebuah kerusi manusia sanggup membuat fitnah dan mengadu domba.

Kerana sebuah kerusi mesyuarat Bahagian sebuah parti politik menjadi kecoh.

Kerana sebuah kerusi juga maka adalah kerusi perwakilan melayang-layang ke atas pentas sehingga memaksa pihak keselamatan untuk campur tangan meleraikan keadaan.

Kerana sebuah kerusi ramai yang sanggup melobi.

Kerana sebuah kerusi ramai yang sanggup membeli undi.

Kerana sebuah kerusi ramai yang kecundang.

Kerana sebuah kerusi yang haram menjadi halal.

Kerana sebuah kerusi prinsip perjuangan sanggup digadai.

Kerana sebuah kerusi manusia hilang pertimbangan.

Kerana sebuah kerusi usaha-usaha dibuat untuk mencemar imej lawan.

Kerana sebuah kerusi kawan menjadi lawan.

Kerana sebuah kerusi adik beradik bertelagah, suami isteri bercerai berai, ayah tak mengaku anak dan menantu berpaling tadah.

Kerana sebuah kerusi nilai manusia menjadi murah boleh dibeli dengan wang ringgit.

Kerana sebuah kerusi manusia sanggup melakukan apa sahaja asal menang kerusi tersebut, asal dapat duduk atas kerusi tersebut.

Persoalan pokok bukan kerusi untuk duduk yang dicari sebaliknya kedudukan atau ‘position’ yang menjadi idaman.

Kerusi hanyalah sebagai lambang kekuasaan. Lambang kemewahan dan pintu untuk mengejar kebendaan.

Sejarah membuktikan bila kerusi jadi rebutan, darah akan tumpah melanda ke bumi. Peperangan demi peperangan berlaku malah berlanjutan. Pembunuhan berlaku di mana-mana hanya kerana berebutkan kerusi yang tinggi.

Sebenarnya, bukan kerusi yang dicari orang. Kerusi boleh didapati di mana-mana. Cari saja kedai perabut berdekatan anda pasti menjumpainya.

Tetapi yang dicari sebenarnya, ADALAH KUASA,KUASA DAN KUASA yang bersifat sementara. Kerusi hanyalah lambang kepada kekuasaan.

Ramai yang merasa dirinya layak untuk menduduki sebuah kerusi.

Hebatnya kuasa sebuah kerusi. Walaupun panas kerusi terus diminati, biarpun yang mendudukinya sekejap cuma.

Kerusi itu panas, kerusi itu tanggungjawab, kerusi itu amanah, kerusi itu ketelusan, kerusi itu pengaruh, kerusi adalah segala-galanya. Bertahun-tahun manusia berebutkannya, zaman berzaman hingga sekarang kerusi masih diminati.

Kita semua mempunyai sekurang-kurangnya satu kerusi. Itulah kedudukan kita.

Seorang kerani ada kerusinya bermakna ada kepentingannya.

Seorang hakim ada kerusinya, boleh menjatuh hukuman.

Semakin mahal sebuah kerusi, semakin ramailah peminatnya. Mahal bererti kerusi itu sangat penting. Bererti kedudukan sangat penting. Bererti keputusan yang bakal dibuat dari atas kerusi itu sangat mustahak dan perlu dipatuhi.

Orang yang menduduki kerusi itu pula, tidak akan berasa selesa kerana dia bakal dijatuhkan oleh lawan dengan pelbagai cara bergantung kepada kepentingan kerusi tersebut.

Kerusi Presiden sebuah negara atau kerusi Perdana Menteri adalah kerusi yang paling diminati dan akan dipertahankan habis-habisan.

Kehilangan kerusi bermakna kehilangan kuasa.

Kehilangan kuasa bermakna cakap sudah tidak diendah, arahan sudah tidak dipatuhi. Diri bakal dipinggirkan.

Pendek kata, besar betul peranan kerusi ya. Cuma, masih  adakah manusia yang mahu bersila di lantai tidak mahu duduk di kerusi kerana dia tahu kerusi itu PANAS dan dia tidak layak mendudukinya. Siapakah manusia itu? Adakah masih wujud di zaman ini?

Masih adakah insan-insan seperti Imam Shafie, Maliki, Hanbali atau Hanafi wujud atau Al-Ghazali yang menolak bila ditawarkan kerusi penting hanya kerana memikirkan soal jawab di akhirat dan bebanan yang tidak mampu terpikul?

Sama-samalah kita mencarinya.

SELASA 23 DISEMBER 2008  SESUDAH SUBUH

Risalah kepada pesakit

Published December 22, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Hari Jumaat lepas, selepas waktu kerja saya ke Nilai  3 bersama rakan sepejabat. Kami nak cari tilam nipis.Maklumlah rumah saya sekarang ramai tetamu bertandang. Cari jumpa bantal kekabu,tapi tak jumpa. Lepas beli, kami ke Nilai 1 menunaikan solat maghrib di masjid pusat asasi UIA. Lepas tu, terus makan malam di salah sebuah kedai tomyam.

Masa menunggu pesanan, saya menelefon pakcik Khairul Anwar salah seorang kenalan saya. Beliau menghabiskan sebahagian besar hidupnya dengan mengkaji pemikiran Badiuzzaman Said Nursi. Banyak menterjemahkan Risalah An Nur ke dalam bahasa Melayu. Seorang jurutera yang begitu komited dengan kerja-kerja Islam dan dakwah walaupun usianya telah mencecah 50-an.

Saya mengajak beliau keluar minum kalau kebetulan beliau ada di rumahnya. Namun, bila saya telefon saya mendengar ada nada sedih dan sayu dalam perbualan kami. Pak cik minta maaf tak dapat jumpa, pak cik baru balik dari HUKM.

Saya bertanya : Kenapa pakcik, siapa yang sakit?

“Anak pakcik, dia kena Leukemia sekarang sedang menjalani kemo di sana.”

Tersentak saya bila mendengar perkhabaran dari beliau.Patutlah nada beliau bunyi sedih.

“Pak cik nak minta tolong sikit?”

“Tolong apa pakcik”?

“Tolong doakan anak pakcik supaya dia kuat menghadapi ujian ini”

“Insyallah, saya akan doakan pakcik. Pakcik kena banyak sabar. Berat betul ujian yang Allah beri kali ini pakcik”

” Ya, pakcik kena banyak sabar”.

Saya lalu meminta maaf dan menamatkan perbualan kerana tidak mahu mengganggu beliau.Mungkin beliau stress dan keletihan memikirkan penyakit anak beliau. Leukemia bukan penyakit yang ringan,akibatnya Tuhan sahaja yang tahu.

Pak cik Khairul yang saya kenali sangat sangat baik.Warak.Rajin mengaji dan sangat merendah diri walaupun ilmunya sangat tinggi. Pada saya, Allah swt sangat sayangkan beliau sebab itu diberikan ujian yang sangat hebat. Saya hanya mampu meminta beliau banyak bersabar, berisitighfar dan memohon pertolongan dari Allah. Dalam pada itu, saya minta supaya beliau membaca karya-karya tulisan Said Nursi berkaitan penyakit dan ada satu bab di dalam Risalah An-Nur bertajuk Risalah kepada Pesakit.

orgsakit1

Wahai pesakit yang mengadu kesakitan.Wahai pesakit yang sedang diuji dan diduga! Wahai pesakit yang kehilangan nikmat kesihatan! Sesungguhnya penyakit yang anda alami sebenarnya tidak menghilangkan kelazatan nikmat illahi, bahkan sebaliknya. Sesuatu nikmat yang diperolehi secara berterusan sebenarnya tidak akan memberi kesan kepada diri sehinggalah kita kehilangan nikmat tersebut walaupun sementara. Sebagai contohnya, jika tidak kerana kegelapan, nescaya nikmat cahaya tidak akan diketahui. Jika tidak kerana kesejukan maka nikmat kepanasan tidak akan diketahui. Jika tidak kerana lapar nescaya nikmat kelazatan ketika makan tidak akan diketahui. jika tidak kerana dahaga maka nikmat minum air ketika dahaga tidak akan diketahui. Jika TIDAK KERANA PENYAKIT, NESCAYA NIKMAT KESIHATAN YANG KITA HIRUP SELAMA INI TIDAK AKAN DIKETAHUI.

Sesungguhnya penyakit yang anda alami ibarat sebuku sabun yang datang untuk mencuci dan membersihkan kotoran yang terdapat di badan anda. Membersihkan dosa-dosa anda. Penyakit yang bersifat sementara akan pergi setelah selesai menjalankan tugasnya. Allah Yang Maha Berkuasa dan Dia menyediakan terlalu banyak nikmat kepada manusia supaya manusia dapat mengecapinya. oleh itu, Dia juga berhak untuk menurunkan pelbagai jenis penyakit sebagaimana Dia memberikan nikmat kesihatan dan kesembuhan kepada manusia.

Begitulah antara petikan yang dapat saya kutip daripada tulisan Said Nursi. Mudah-mudahan orang yang ditimpa penyakit akan menjadi tenang bila membaca dan mendengar peringatan-peringatan ini. Menurut pakcik Khairul, dia membacakan risalah ini kepada anaknya  bagi memberi kekuatan dan motivasi dan dalam masa yang sama supaya tenang dan redha dengan janji Allah.

Saya doakan pakcik khairul tabah dan sabar dengan ujian ini. Amin.

ISNIN 22 DISEMBER 2008