Suara Hati

All posts in the Suara Hati category

Kita dan pekerjaan

Published August 16, 2012 by Menikmati Takdir Langit

Ramadhan bakal melabuhkan tirainya sehari dua lagi. Sedar atau tidak masa berlalu dengan begitu pantas tanpa menunggu kita lagi. Sebulan terasa begitu sekejap sekali. Hari ini kita hidup dalam dunia yang serba pantas. Segalanya mahu cepat. Kerja perlu disiapkan dengan pantas tetapi dalam masa yang sama kualiti tidak mahu diabaikan. Inilah yang menjadi masalahnya.

Saya berada dalam zon yang menyebabkan saya tidak sempat melihat semua perkara. Pekerjaan yang saya tekuni seharian menyebabkan saya terlupa banyak perkara. Perkara-perkara yang menyentuh mengenai kehidupan akhirat yang seringkali diabaikan.

Kadang-kadang saya merasa sedih dengan sikap orang atasan. Mengadakan mesyuarat di waktu “lunch” time. Alasan yang diberi adalah kerana lunch kita tak makan sebab puasa. Jadinya elok kita adakan mesyuarat. Malangnya mereka lupa bahawa waktu senggang itulah patutnya diisi dengan membaca sehelai atau dua atau tiga lembaran Al-Quran. Jika satu jam yang selalunya dihabiskan dengan makan dapat ditransformasikan kepada bacaan Al-Quran maka itu adalah sebaik-baik perkara. Inilah yang kita selalu lupa.

Allah bagi kita cuti dari makan agar masa yang kita gunakan untuk makan itu dimanfaatkan untuk beramal ibadat. Berzikir atau membaca Al-Quran bagi memenuhi masa lapang di bulan Ramadhan adalah yang wajar kita lakukan dan bukannya mengadakan mesyuarat.

Sedih saya bila memikirkan hal ini. Mesyuarat itu baik tetapi membaca Al-Quran itu lebih baik kerana itu urusan akhirat. Mesyuarat boleh saja dilakukan mengikut waktu pejabat biasa dan bukannya menukar waktu makan kepada waktu kerja. Itu satu penyalahgunaan hak untuk Allah. Saya kerap mendengar rungutan kawan-kawan saya mengenai perkara ini. Namun apa yang boleh kami lakukan jika itu sudah keputusan orang atasan. Cara mereka berfikir tidak sama dengan cara kita. Saya berdoa agar Allah membukakan pintu hati mereka agar mereka melihat sesuatu perkara mengikut mata hati dan bukannya mengikut akal fikiran.

Saya juga kerap menerima sms dari orang atasan agar mengambil tindakan bila saya masuk pejabat keesokkan harinya. Sms selalunya sampai di tengah malam atau selepas pukul 12 malam sehingga mengganggu tidur. Bila saya membaca sms saya tak dapat tidur mengenangkan tindakan yang perlu diambil esok. Perkara ini sangat mengganggu saya. Saya terfikir juga kenapa perkara sebegini tidak boleh ditunggu sehingga esok pagi. Kenapa perlu diganggu waktu rehat orang lain. Sebagai orang bawahan saya dan keluarga mempunyai hak untuk menikmati masa santai dan rehat secukupnya. Lebih teruk lagi ada ketua yang tidak bertmbang rasa mengharapkan kita segera menjawab sms dan mengambil tindakan di tengah malam yang buta ini. Sungguh kejam. Sungguh sadis.

Pelajaran bagi saya adalah, jika suatu hari nanti ditakdirkan saya  berada di atas, janganlah mengganggu pegawai  bawahan saya dgn sms atau emel di tengah malam kerana bagi saya ini adalah satu kezaliman yang tidak dapat dimaafkan. Mengambil hak dan masa orang lain pada ketika yang tidak sepatutnya adalah sangat tidak patut dan tidak wajar.

Hari ini saya bersantai menunggu kereta di bengkel. Esok saya akan memulakan perjalanan pulang ke kampung. Harapnya tiadalah gangguan agar saya terpaksa pergi ke pejabat pada waktu-waktu sebegini. Moga Allah memberkati dan memelihara masa saya dan rakan-rakan yang senasib di luar sana.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Abu Wafi

Aku dan Al-Falah

Published June 20, 2011 by Menikmati Takdir Langit

Bagi yang tinggal di kawasan USJ 9 dan sekitarnya  nama Al-Falah sudah tidak asing lagi. Namun bagi saya yang tinggal 20km dari Al-Falah, merasakan ada sesuatu yang istimewa sejak kali pertama menjejakkan kaki ke tempat ini. Suatu perasaan yang sukar untuk digambarkan. Kagum dengan keindahannya dan tenang dengan suasana di dalamnya. Dari luar Al-Falah nampak seperti masjid-masjid biasa yang pernah saya kunjungi, tetapi melangkah masuk ke dalamnya perasaan itu berubah menjadi lain.

Sebulan sekali saya akan berada di sana untuk mengikuti pengajian Kitab Sairus Salikin yang disyarahkan oleh Syeikh Fahmi Zam Zam.  Al-Falah terlalu istimewa di hati saya. Sesiapa sahaja yang datang ke sini pasti akan  jatuh cinta kepada tempat ini. Saya terpesona dengan keindahan dan kebersihannya. Saya juga sukakan tempat wuduknya yang sama seperti masjid-masjid di kampung yang mempunyai kolam besar di luar pintu masuk. Memang selesa dan praktikal.

Jika pernah datang sekali, mesti terasa hendak berkunjung ke tempat ini lagi dan lagi.

Tidak pernah ada rasa jemu. Bukan sekadar ruang dalam solatnya yang indah dan bersih tetapi saya juga mencintai pengisiannya yang tidak pernah putus-putus dengan pengajian-pengajian yang bersilih ganti. Jika malamnya penuh dengan aktiviti, program di sebelah siangnya juga sarat dengan aktiviti untuk kaum wanita. Al-Falah adalah lambang institusi masjid yang perlu dicontohi.

Al-Falah sentiasa hidup dengan aktiviti keagamaan dan kesedaran mengajak manusia kembali kepada rasa bertuhan. Itulah istimewanya Al-Falah di hati saya.


Indahnya Al-Falah

Al-Falah tidak pernah sunyi daripada menerima kunjungan ulama-ulama besar dunia. Antara yang pernah mengunjunginya ialah Habib Umar dari Yaman, Syeikh Jibril dari Mesir, Syeikh Nuruddin Al-Makki dari Indonesia,Sheikh Imran Hussein dan yang terbaru Habib Zein Sumaith dari Madinah.

Semuanya datang untuk mengimarah dan menghidupkan Al-Falah. Al-Falah adalah masjid yang hidup dan tidak pernah mati. Al-Falah sentiasa menghidupkan hati insan yang gersang dengan curahan majlis ilmu dan majlis zikir. Dalam banyak-banyak masjid yang pernah saya kunjungi, Al-Falah antara yang paling aktif dan bertenaga.

Ramadhan bakal menjengah lagi. Jika Ramadhan lepas Al-Falah menyajikan solat terawih yang diimamkan oleh Qari dari Mesir yang merdu suaranya, insyallah kali ini saya pasti Al-Falah akan mengulanginya. Kunjungan saya ke Al-Falah tahun lepas tidak pernah mengecewakan malahan majlis qiamullail sepanjang 10 hari terakhir Ramadhan mengejutkan dengan ramainya jemaah yang hadir.

Sungguh Al-Falah itu hidup dan sesuai dengan namanya. Al-Falah adalah lambang”kejayaan” yang diimpikan oleh umat Islam.

Saya pernah berkata kepada isteri saya alangkah indahnya jika rumah kami berada di hadapan Al-Falah. Beruntunglah bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan Al-Falah. Banyak manfaat yang dapat diambil dari Al-Falah bagi mereka yang tahu menghargainya. Jika saya mampu, mahu saja saya membeli sebuah rumah berhampiran Al-Falah namun bila ditinjau harga rumah di sekitarnya ada yang mencecah RM1 juta lebih  maka impian tinggal impian.Cukuplah jika saya dapat datang sekali sebulan bagi mengubati rindu pada tempat yang mulia ini.

Suasana dalamannya yang nyaman mengingatkan saya kepada suasana di dalam masjid Nabawi Madinah. Imitasi yang dilakukan walaupun tidak menyamai seratus peratus menyebabkan siapa sahaja yang pernah berkunjung ke Madinah pasti akan teringatkan Masjid Nabawi sebaik sahaja melangkah di dalamnya. Itulah keistimewaan zahir Al-Falah namun keistimewaan ‘batin’ Al-Falah lebih didambakan.

Di sebalik kepesatan pembangunan di sekitar Al-Falah yang rancak, AL-Falah terus bergerak dengan misinya. Meskipun dihimpit oleh pembangunan komersial di sekitarnya, Al-Falah terus melangkah membangunkan jiwa-jiwa manusia. Menyuburkan jiwa mereka dengan siraman rohani yang menyegarkan siapa sahaja yang sudi menerimanya.

Apa pun ucapan terima kasih kepada seluruh AJK Al-Falah yang bertungkus lumus menyediakan program-program yang berkualiti.

Moga Al-Falah terus melangkah ke hadapan dengan pengisian-pengisian yang mampu mengajak manusia kembali mengingati akhirat.

Abu Wafi, Putrajaya

Entry tunggal Disember dan terakhir 2010

Published December 31, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun 2010 dan esok kita semua akan melangkah ke tahun baru 2011. Tahun yang bakal mencabar diri siapa sahaja kerana kita tidak tahu apakah tahun 2011 bakal menjanjikan kegemilangan dan kecemerlangan untuk diri kita. Apakah tahun 2011 adalah tahun terakhir kita menghirup udara di bumi ini juga tidak dapat dipastikan. Bersedialah untuk itu….

Masing-masing mula menanam azam baru. Azam untuk berubah ke arah paradigma yang lebih baik lagi. Azam untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dan melupakan kisah suka duka dan pengalaman pahit di tahun yang lepas.

Manusia boleh merancang dan sememangnya kita dituntut untuk merancang. Namun di sebalik semua perancangan itu, jangan lupa ‘final touch’ masih berada di sebalik ketentuan Allah. Kun Fa Yakun adalah konsep yang mesti tersemat di hati. Jika nak jadi, maka jadilah dengan izinNya manakala jika tidak ditentukan jadi, maka buat macam mana hebat sekali pun ia akan tetap menemui kegagalan juga.

Blog ini hampir usang ditinggalkan kerana saya sendiri tidak mampu untuk mendisiplinkan diri untuk menulis sesuatu yang bermanfaat. Saya boleh menulis apa sahaja, melontar apa sahaja yang terbuku di fikiran, mencampak apa sahaja yang dilalui hari-hari, namun saya memilih untuk bersikap selektif dalam hal ini. Saya masih mahu mengekalkan genre yang saya ada iaitu menulis dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat untuk umat ini. Berfaedah untuk kehidupan yang satu lagi adalah objektif yang ingin saya bawa dan ketengahkan.

Saya merancang untuk menulis sekerap mungkin, namun apakan daya perancangan saya sering dibatasi dengan kekangan-kekangan kerja dan hal-hal peribadi yang tidak dapat dielakkan. Kita manusia adalah selemah-lemah makhluk dan kita memerlukan pertolongan Allah untuk menjayakan misi kehidupan kita. Ada banyak yang ingin saya kongsikan, maka biarlah saya simpan dan olah sebaik mungkin agar entry yang akan datang boleh mengetuk pintu hati siapa sahaja yang membacanya. Mengetuk, mengesan dan menginsafkan adalah misi yang ingin saya sasar di alam maya ini. Suatu ketika dahulu, tidak pernah terlintas di hati saya bahawa siapa sahaja mampu untuk menulis dan meluah apa sahaja di alam maya kerana alam pada masa itu hanya terhad kepada catatan di atas kertas sahaja. Ramai yang memilih untuk berdakwah di alam maya dan syabas saya ucapkan kepada mereka, moga-moga usaha mereka itu mendapat ganjaran pahala di sisi Allah dan tidak ketinggalan saya juga mahu merebut peluang yang ada. Insyallah, apa yang baik kita kongsi bersama.

Hampir sebulan rasanya saya tidak menulis apa-apa. Dan esok bermulalah lembaran baru. Untuk tahun 2011 saya tidak mahu mensasarkan apa-apa yang hebat dan tinggi untuk blog ini. Memadailah jika saya dapat berkongsi dan menulis sekurang-kurangnya sebulan sekali atau 3 kali bagi faedah kita bersama.

Perjalanan kita semua masih jauh namun sebenarnya kehidupan kita makin singkat dan makin dekat untuk pergi menemuiNya. Insaflah, tahun baru bukan untuk kita bersuka-suka, menanam azam dan cita-cita semata-mata tetapi selangkah ke tahun baru bermakna selangkah kita mendekati barzakh. Alam ke-4 yang menanti kita. Tanah yang sejuk untuk mendakap tubuh kita. Soal jawab yang sedia menanti kedatangan kita. Semuanya perlu dihayati dan diamati bahawa kedatangan tahun baru bermakna kesedihan untuk kita yang akan meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Meninggalkan jawatan yang gah lagi berkuasa kepada orang lain. Meninggalkan harta benda, rumah besar, anak isteri/suami, saham dan niaga kepada mereka yang mewarisinya.

Bahawa dunia ini hanyalah tempat teduhan sementara.

Kehidupan ini ada pasang surutnya. Perhatikan ombak yang mendebur dan menghempas pantai. Begitulah kehidupan ini. Tidak ada masa sentiasa susah dan tidak ada masa kita sentiasa senang. Ada gilirannya masing-masing.

Entry ini akan menjadi entry tunggal di bulan Disember dan terakhir untuk tahun 2010. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada saya untuk lebih giat menulis di tahun 2011 nanti.

Selamat Tahun Baru 2011.

Abu Wafi, Putrajaya

(Photo: Ihsan Ishafizan Ishak)

Terlalu banyak hantu

Published September 24, 2010 by Menikmati Takdir Langit

 

Semasa saya berumur 10 tahun, sekitar awal tahun 1980-an ada satu filem seram yang ditayangkan di kaca tv. Filem dari negara jiran bertajuk Pocong. Pocong adalah gelaran bagi hantu bungkus yang berbalut dengan kain kapan. Terlompat-lompat di atas jalan raya di malam yang sunyi dan sepi. Serentak itu, istilah pocong menjadi popular dan digunapakai di Malaysia. Tahun 2010 di abad ke-21 filem pocong bertukar tajuk menjadi ’40 hari bangkitnya pocong’.

Zaman emak dan ayah saya dulu, filem ‘Pontianak’ yang menampilkan pelakon-pelakon skrin hitam putih sudah cukup untuk dianggap sebagai filem seram. Faktor teknologi yang terbatas pada waktu itu menyebabkan filem itu tidak lagi seram pada zaman sekarang, namun itu saja hiburan yang termampu ada pada waktu itu.

Filem-filem seram jarang-jarang muncul di kaca-kaca tv pada waktu itu. Mungkin kerana kos pembikinannya yang  tinggi atau pun mungkin kecanggihan teknologi yang masih belum ada. Cukup sekadar filem-filem mengenai isu-isu kekeluargaan dan percintaan.

Itu semua cerita zaman dulu namun tidak pada zaman sekarang.

Semasa berada di kampung pada hari raya baru-baru ini, saya membuka siaran tv. Dari pagi sampailah malam saya dapati rancangan tv tidak henti-henti menyiarkan filem-filem hantu dan seram. Malah diulang pula berkali-kali. Tidak cukup dengan itu, diimport lagi dari negara seberang iaitu Indonesia. Tidak cukup dengan itu, diimport pula dari negara Jepun dan Korea. Maka berlambaklah tv kita dengan rancangan-rancangan cerita hantu dan seram. Nampaknya “Sundal Bolong” dan”Hantu Berambut Panjang dan bermuka hodoh” lebih popular daripada artis dan pemimpin negara. Semua perkara dikaitkan dengan hantu. Rumah berhantu, kereta berhantu,sekolah berhantu dan macam-macam lagi dikaitkan dengan hantu.

Walaupun saya bukanlah peminat cerita-cerita begini sesekali saya layan juga. Bukan apa, saya hanya ingin melihat ke manakah ‘direction’ atau hala tuju yang ingin dibawa oleh pengarah filem tersebut. Apa mesej yang ingin disampaikan oleh pengarah filem? Apa pengajaran yang boleh diambil dari filem-filem sebegini? Apa pula didikan yang ingin ditanam di dalam minda anak-anak kita? Apakah filem-filem ini mampu membangunkan jiwa kita dan generasi akan datang? Tidak cukup dengan itu ditambah pula dengan unsur-unsur mistik, pemujaan, pergantungan kepada bomoh dan  kepercayaan kepada sihir berlebihan. Semua ini sebenarnya menarik minda sedar anak-anak kecil yang tidak tahu apa-apa untuk meneroka lebih jauh lagi dunia yang sepatutnya mereka tidak perlu tahu.

Pengajaran yang dapat saya fikirkan, kalau jumpa botol kosong tersumbat di tepi laut jangan ambil kerana mungkin ada jin atau hantu di dalamnya.

Pelajaran yang dapat saya ambil, kalau hendak menghalau hantu angkatlah bumbung rumah supaya hantu itu dapat terbang keluar atau mencari jagung rebus untuk ditanam bersama hantu itu. Sampai bila masyarakat kita akan terus dimomokkan dengan hantu yang pelbagai jenis ini? Bila dikaji secara sepintas lalu, kesimpulan yang saya dapati adalah kebanyakan filem-filem seram ini mempunyai ‘story line’ yang sama. Mati dibunuh, balas dendam, saka yang diwarisi dan hantu yang dibuang tuannya mencari tuan yang baru. Malahan bentuk rupa wajah hantu dan roh jahat yang mengganggu juga hampir sama cuma diolah dalam kisah yang sedikit berbeza.

Benarkah hantu mampu bertindak sejauh itu untuk membalas dendam kepada orang yang membunuhnya ketika di dunia?

Setahu saya, bila mati kita dipindahkan ke  alam barzakh dan mana mungkin roh kita mampu kembali ke dunia untuk membalas dendam kesumat kepada makhluk dunia yang masih bernyawa. Barzakh itu sendiri bermaksud ‘dinding’ atau tembok yang memisahkan antara kehidupan dunia dengan kehidupan kubur. Justeru, siapa yang membalas dendam bagi pihak si mati?

Maka penatlah saya untuk menerangkan perkara-perkara sebegini kepada anak-anak yang masih belum mengerti apa-apa. Mereka menonton dan menelan bulat-bulat apa yang disajikan kepada mereka.

Akhirnya hendak pergi ke tandas pun kena berteman. Nak ke atas rumah juga perlu berteman. Semuanya berubah sekelip mata dek penangan cerita-cerita hantu yang berjaya menguasai minta mereka.

Menonton filem-filem sebegini kadang-kadang menyebabkan minda saya terganggu. Beberapa kali saya mengalami mimpi yang menyeramkan. Itulah kesan psikologi yang terpaksa ditanggung. Saya teringat peristiwa adik saya yang pernah tidak dapat tidur semalaman selepas menonton filem “Nightmare on Elm Street”. Begitu berkesan sekali filem berkenaan sehingga mampu menerobos jauh dan menguasai akal adik saya pada masa itu.

Saya rasa sudah sampai masanya kita menghentikan semua ini. Terlalu banyak filem-filem seram membuatkan generasi kita akan datang lebih takutkan hantu dari takutkan siksaan Allah di hari akhirat. Samalah apabila terlalu banyak cerita-cerita spiderman,superman, ultraman  dan manusia superpower yang lain membuatkan generasi akan datang lebih betah meminta bantuan superman dari meminta pertolongan kepada Allah melalui doa dan harapan. Bunyinya sinis tetapi hakikatnya apa saja dogma dan doktrin yang ditanamkan di jiwa anak-anak kecil inilah yang akan menentukan hala tuju pemikirannya pada masa hadapan.

Kepada pengeluar, pengarah, pembuat filem dan penulis skrip, saya menuntut kepertanggungjawaban anda semua untuk menghasilkan suatu karya yang mampu mendidik anak bangsa supaya berfikir dengan waras dan bijaksana. Belajarlah dari pengalaman penghasil-penghasil filem dari Iran yang telah berjaya menghasilkan filem-filem yang membawa mesej yang berat dan mendidik masyarakat. Pengeluar-pengeluar filem dari Iran tidak memerlukan kos yang tinggi untuk menghasilkan sesebuah karya. Filem mereka berkisar mengenai masalah kehidupan, perjuangan dan jati diri yang tiada unsur-unsur misteri dan penggunaan cinematografi yang hebat seperti filem-filem fiksyen, namun mereka mampu meraih sekian banyak ‘award’ dan anugerah demi anugerah di Festival Filem Antarabangsa. Hanya kerana mereka menumpukan pada mesej yang membina masyarakat. Lihatlah filem Colour of Paradise atau The Children of Heaven dan pelajarilah bagaimana mereka mampu menggarap penceritaan dengan baik dan berkesan.

Filem-filem yang baik adalah filem-filem yang memberi motivasi serta mendidik jiwa. Filem-filem yang baik adalah filem-filem  tidak merosakkan jiwa anak-anak. Elemen menakut-nakutkan orang perlu dikeluarkan dari minda penonton terutamanya kanak-kanak. Sebaliknya, minda mereka perlu dididik dan dibangunkan agar menjadi jiwa yang besar dan berani melakukan perubahan kerana mereka adalah pemimpin masa depan. Dipimpin untuk memimpin.

Lebih baik diajar untuk takutkan siksaan Allah dari takutkan hantu yang tidak mampu berbuat apa-apa. Lebih baik diajar untuk cintakan akhirat daripada diajar berdendam dan menuntut bela. Sesungguhnya terlalu banyak hantu dalam diri kita akan menjadikan kita bertindak tidak keruan dan melampaui batas.

Apa yang  ingin kita semaikan adalah sebanyak-banyak sifat manusiawi dalam masyarakat agar mereka lebih memahami tujuan hidup dan bukannya menjadikan mereka bersifat kehantuan yang hanya tahu mengacau, membunuh, dan membalas dendam. 

Saya bukan pengkritik filem tetapi cukup-cukuplah. Saya sungguh letih dengan trend sebegini.

Sesungguhnya mereka tidak tahu apa-apa

Abu Wafi, Putrajaya

Hilang waras

Published September 13, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Ramadhan kali ini telah mencatat sejarah. Sejarah yang  belum pernah terlakar di bumi Malaysia tanahirku. Pembunuhan berlaku di mana-mana tanpa mengira pangkat, darjat dan keturunan. Di Port Dickson, seorang ustazah dan anaknya dirompak dan dibunuh. Seorang anak kecil berusia 3 tahun disembelih oleh bapanya sendiri kerana gila atau halusinasi. Seorang anak tercampak dan mati di atas pokok gara-gara letupan bunga api dari stor penyimpanan bahan berkenaan milik ayahnya.Terbaru jutawan kosmetik terkenal, Dato’ Sosilawati Lawiya bersama 3 yang lain disahkan mati dibunuh dengan cara yang kejam dan sadis.

Malaysia tanahairku warganya menjadi semakin kreatif dan kejam.Cerita ceriti yang selama ini tidak pernah kedengaran di negaraku  kini menjadi semakin lumrah dan biasa. Saya terfikir apakah nikmat keamanan sudah tiada lagi di bumi tercinta ini atau apakah Allah telah menarik nikmat keamanan di bumi Malaysia ini. Dahulu anak-anak kecil tanpa mengira jantina bebas bermain ke sana sini namun kini melepaskan anak-anak bermain di hadapan rumah sekalipun saya sudah bimbang. Rasa bimbang dan risau adalah salah satu manifestasi bahawa nikmat keamanan semakin hari semakin ditarik Allah.

Pembunuhan menjadi semakin kreatif dan sadis. Manusia tanpa mengira apa agama sekali pun mengutuk keras pembunuhan tersebut.  Apa pun motif pembunuhan semuanya tidak dapat diterima akal. Jika pelakunya beragama Islam, maka di mana letaknya Allah dalam diri mereka? Jika pelakunya disahkan gila, faktor apakah yang menyebabkan mereka menjadi sedemikian? Manusia sekeliling atau tekanan hidup yang mendorong kegilaan? Jika pelakunya bukan Islam, apakah telah hilang nilai-nilai kemanusiaan dan  dalam diri mereka?

Itu belum dicampur lagi dengan insiden pembuangan bayi yang makin berleluasa dan menjadi-jadi.

Semasa berkunjung di rumah saudara di Kedah sempena Aidilfitri baru-baru ini, saya bersembang dengan seorang guru disiplin yang telah berkhidmat selama 25 tahun. Saya terkejut mendengar cerita beliau.Katanya masalah disiplin dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja sekolah khususnya di kampung-kampung berada di tahap yang cukup kronik dan membimbangkan. Itu baru kampung terpencil yang jaraknya 15km dari bandar kelahiran saya, kalau di bandar-bandar besar keadaannya mungkin lebih parah lagi. Zina berleluasa dengan hebat sekali di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah katanya. Saya menarik nafas panjang bila mendengar kisah pengalaman beliau memberi kaunseling dan menangani masalah remaja di sekolah yang sudah tidak terkawal lagi. Nauzubillahiminzalik….

Menatapi insiden-insiden ini menjadikan saya semakin takut dan khuatir untuk mengharungi kehidupan yang semakin hari semakin mencabar. Tanpa mengira siapa pelaku yang membuat kekejaman ini, manusia di sekeliling kita semakin hari menjadi semakin sakit dan tidak waras. Bukan sakit fizikal tetapi sakit jiwa dan rohani mereka.Pertimbangan agama dan moral ditolak ke sebelah dan tidak dihiraukan lagi. Pertimbangan keseronokan dunia dan pertimbangan wang ringgit mula menjadi pertimbangan utama sehingga mengakibatkan insiden yang tidak pernah digambarkan berlaku. Saya merenung wajah anak-anak. Merenung kerana bimbang dengan fitnah dunia yang semakin hari semakin membimbangkan. Khuatir jika mereka tidak mampu menghadapinya dan rebah mengikut hawa nafsu. Moga-moga Allah melindungi mereka semua.

Akhir zaman,, banyak berlaku pembunuhan…

Akhir zaman… banyak berlaku perzinaan…

Akhir zaman… manusia makin menjadi gila dan hilang waras….

Akhir zaman… manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk wang ringgit dan keseronokan dunia.

Akhir zaman… makin dekat dengan kiamat… manusia makin jauh dengan Tuhan…

Ya Allah, selamatkan kami dari fitnah dunia akhir zaman ini. Fitnah akhir zaman, adalah ujian hidup yang tidak tertanggungkan melainkan dengan pertolongan Allah.

Mohon dijauhkan….

Abu Wafi, Kulim

Angin dari syurga

Published August 10, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Pagi ini seusai subuh, saya menguak pintu jendela. Suasana berbalam-balam di luar. Masih gelap tetapi sudah terang-terang tanah kata orang tua-tua. Waktu yang baik untuk keluar memburu rezeki. Angin pagi tiba-tiba menghembus dan menampar pipi. Oh, terasa sungguh segar. Rasa nyaman dan selesa. Kata sesetengah ulama kalau hendak tahu bagaimana suasana di dalam syurga, rasailah udara segar di waktu pagi sesudah subuh. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Nyaman dan menyenangkan.

Pagi ini terasa sungguh kelainannya, mungkin kerana esok adalah Ramadhan yang dinanti-nantikan. Angin dari syurga yang datang seiring dengan kedatangan Ramadhan.Rasulullah dan para sahabat sentiasa merindui dan menanti-nanti ketibaan Ramadhan sejak bulan Rejab lagi. Malahan mereka sentiasa berdoa agar disampaikan di dalam bulan berganda yang penuh mulia ini kerana mereka mengetahui ganjaran yang ditawarkan cukup hebat. Tiada tawaran sehebat Ramadhan di dalam bulan-bulan yang lain.

Pagi ini seperti biasa saya di pejabat. Kebetulan ada Program Ihya’ Ramadhan yang dianjurkan, maka dapatlah saya mengikuti program forum yang menampilkan panel terkenal iaitu mantan Imam Besar Masjid Negara Y.Bhg Datuk Kamaruddin.

Pesanan yang diberikan oleh beliau cukup menarik untuk diperhatikan . Beliau berpesan dalam bentuk kiasan. Allah telah memberikan 30 biji kapsul Ramadhan untuk digunakan oleh hamba-hambanya. Makanlah kapsul Ramadhan dan hadamlah ia dengan sebaik-baiknya kerana itulah ubat untuk memperbaiki diri. Dengan kata lain, gunakanlah 30 hari ini dengan semaksima mungkin dengan amal-amal soleh seperti solat terawih, membaca Al-Quran, bangun malam dan banyakkan bersedekah dalam bulan ini. Pahalanya berganda-ganda.

Pesanan kedua, berbukalah sekadarnya dan cuba jadikan Ramadhan sebagai madrasah untuk mendidik dan melahirkan insan yang terbaik menjelang Syawal.

Ramadhan datang menawarkan keampunan dan natijahnya adalah syurga yang didambakan.

“Ya Allah, bantulah aku dalam mentaatimu, perelokkan amal ibadatku. Berilah kekuatan kepada hambamu ini untuk rajin beribadah dan buangkanlah rasa malas dalam mentaatimu. Jika tidak kerana hidayah ilmu dan hidayah amal yang Engkau berikan tidak mungkin aku mampu untuk melakukan ketaatan kepadamu. Ya Allah, bantulah hambamu dan janganlah Engkau palingkan pandangan dan perhatianMu kepada hambamu ini walau sekelip mata sekalipun. Amin

Moga-moga bermanfaat.

Abu Wafi

Dan Ramadhan pun mula menghampiri

Published August 3, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Masuk bulan Ogos sudah… kerja banyak sekali… sibuk sekali…. sibuk dengan urusan dunia yang tiada hentinya…. tiba-tiba hari ini hati saya terdetik.

Minggu depan adalah permulaan untuk kehidupan yang baru. Ramadhan mula menguak pintu kehidupan tanpa kita sedari dan tanpa diundang. Ramadhan datang tanpa gagal untuk memberi peluang ke-2, ke-3, ke 37 dan berapa lagi banyak peluang kepada hamba Allah di seluruh dunia. Sama ada kita sedar atau tidak, suka atau tidak, Ramadhan adalah anugerah dari Allah untuk kita hamba-hambanya tanpa memilih kasih. Itulah anugerah yang paling bermakna. Anugerah untuk kita mengutip pahala dan meraih ganjaran sebanyak-banyaknya di bulan yang mulia ini.

Beberapa kawan rapat saya telah pun pergi sebelum sempat menemui Ramadhan kali ini. Sebab itu, kita disuruh berdoa agar berpeluang untuk bertemu di dalam Ramadhan yang berikutnya kerana di situlah letaknya peluang untuk beramal soleh dan memohon keampunan dari Allah.

Hati kecilku mengeluh mengenangkan persiapan menyambut Ramadhan yang tidak diwar-warkan. Tiada iklan besar untuk solat Tarawih juga tiada ucapan menggamit Ramadhan. Sebaliknya, umat lebih ghairah menyambut Syawal yang entah sempat entahkan tidak kerana Syawal masih jauh di hujung sana.

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon daripada-Mu keredaan dan syurga-Mu, dan selamatkanlah kami dari api neraka.

Abu Wafi, Putrajaya

2 kehilangan 2 kesedihan

Published July 3, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Entry Khas

Sedihnya hatiku

Jumaat 2 Julai 2010

Sepanjang minggu ini saya sangat sibuk. Berkejar ke sana ke mari menyelaras manusia dan menyelaras input. Memang inilah kerja saya sejak 3 tahun yang lalu. Menyelaras manusia yang macam-macam karenah memang mencabar manakala menyelaras input  juga menyesakkan diri bila maklumat yang diberi tidak memuaskan hati.

Sepanjang minggu ini saya berada di luar pejabat. Hari ini saya masuk selepas solat Jumaat kerana ada mesyuarat di sebelah pagi di luar pejabat. Hari ini adalah hari yang paling menyedihkan bagi saya kerana 2 orang insan yang banyak membantu saya selama ini dalam kerjaya saya akhirnya pergi meninggalkan saya.

Mesyuarat terakhir di Sunway Hotel

Tuan Hj Adnan – moga Allah meredhaimu

Noorliza yang paling kiri

Tuan Hj Adnan, adalah mantan bos saya yang ditukarkan ke tempat lain. Manakala Puan Noorliza Yaali adalah pembantu saya sejak 3 tahun yang lalu berpindah mengikut suami yang bertugas di Ipoh, Perak.  Kehilangan 2 insan penting yang banyak membantu  saya selama ini amat saya rasai. Sesungguhnya saya tidak mampu untuk menghalang pemergian mereka kerana mereka mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian. Tuan Hj Adnan bertukar atas arahan pihak atasan manakala Puan Noorliza perlu membina kehidupan baru setelah baru mendirikan rumahtangga. Walaupun berat untuk saya dan rakan-rakan lain melepaskan mereka  pergi namun itulah hakikat yang terpaksa kami terima .

Saya mengalami 2 kehilangan dan 2 kesedihan pada hari ini. Walaupun air mata seakan mahu tumpah dari kolam mata yang nyaris bergenang ekoran perpisahan ini, namun saya tetap berusaha untuk menahannya. Ada yang menitiskan air mata kerana tidak sanggup untuk berpisah. Betapa jujur dan tulusnya persahabatan ini.

Kita sering melupakan erti persahabatan bila bersama namun kita lebih menghargai persahabatan di saat kita di ambang kehilangannya.

Kehilangan 2 orang insan secara serentak ini menyebabkan saya jadi bimbang. Bimbang, siapa lagi yang hendak dirujuk bila menghadapi masalah. Bimbang, siapa lagi yang boleh saya harapkan untuk menolong bila menghadap kerja yang menimbun.

Patah tumbuh hilang berganti, namun yang tumbuh itu tidak akan pernah sama dengan yang patah.

Tuan Hj Adnan tidak pernah saya anggap sebagai bos, malah sudah jadi macam kawan rapat. Beliau adalah sumber rujukan saya dan banyak masalah pejabat yang dapat diselesaikan dengan beliau. Sepertinya tidak ada pemisah  antara kami namun saya tetap menghormatinya sebagai ketua saya. Beliau juga tidak segan untuk berkongsi pengalaman dan masalah yang dihadapinya dengan saya. Liza pula sangat cekap dalam menjalankan tugas yang diberikan dan tahu apa yang saya mahukan. 2 kehilangan yang amat dirasai.

Saya teringat kepada peristiwa Rasulullah saw yang kehilangan 2 orang insan dalam masa yang hampir serentak. Kehilangan yang memberi implikasi besar kepada perjuangan baginda. Dengan kematian bapa saudaranya Abu Talib dan isteri kesayangannya Khatijah, kafir Quraisy tanpa segan silu lagi melancarkan penentangan mereka secara terbuka kepada baginda.

Sebelum ini , 2 tokoh ini adalah yang paling banyak membantu dakwah baginda sehingga berjaya menarik ramai orang memeluk Islam. Khatijah adalah pembakar semangat di kala awal kerasulan baginda manakala Abu Talib adalah pelindung kepada baginda daripada ditekan oleh kafir Quraisy walaupun sehingga akhir hayatnya beliau tidak beriman kepada Allah. Tahun kehilangan 2 insan ini dirakamkan di dalam sirah sebagai Tahun Kesedihan dan Allah mengubat duka lara di hati baginda dengan membawa baginda naik ke langit dalam perjalanan  yang dinamakan sebagai ‘Israk Mi’raj”. Siapalah saya untuk dibandingkan dengan figur Rasulullah saw namun peristiwa yang saya alami hari ini tiba-tiba menyebabkan saya merasa amat dekat dengan apa yang pernah dialami oleh baginda. Bezanya, baginda kehilangan mereka buat selama-lamanya di dunia sedangkan saya masih bisa menghubungi mereka bila-bila masa menggunakan medium-medium  seperti emel dan facebook.

Saya melihat bahawa saya harus mengambil pengajaran daripada kehilangan dan kesedihan yang dialami oleh baginda. Tekanan yang  baginda hadapi sangat hebat dengan tindakan penderaan dan sekatan ekonomi. Tentunya perasaan dan emosi baginda lebih gundah gulana mengenangkan insan yang menyokongnya selama ini telah tiada di sisi. untuk membantunya lagi. Namun baginda tidak pernah patah semangat dan terus menerus menggiatkan usaha dakwah baginda sehingga Allah memberikan kemenangan.

Setiap apa yang berlaku di dalam kehidupan ini mempunyai hikmah yang tersembunyi. Kehilangan mereka adalah ujian buat saya dan saya berdoa saya kuat untuk menempuhi ujian ini.

Apa pun hidup perlu diteruskan… kerana setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Jika tidak berpisah di dunia, maka mati yang akan memisahkan kita. Sesungguhnya inilah ketetapan Allah kepada kita sejak azali lagi.

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA TUAN HAJI ADNAN IBON DAN PUAN NOORLIZA YAALI. MUDAH-MUDAHAN ALLAH MERAHMATI MEREKA BERDUA. MAAFKAN SAYA ATAS SEGALA KESALAHAN DAN KESILAPAN YANG TELAH SAYA LAKUKAN SEPANJANG 3 TAHUN BEKERJA BERSAMA-SAMA DI BAWAH SATU BUMBUNG.

Abu Wafi, Putrajaya

Pic:  Ehsan La Tahzan

Akhirnya mereka pergi jua

Published June 10, 2010 by Menikmati Takdir Langit

12 sukarelawan Malaysia di dalam kapal Mavi Marmara akhirnya selamat tiba di tanahair minggu lepas. Ini disusuli pula dengan 6 sukarelawan Malaysia di dalam kapal Rachel Corrie yang tiba pada 7 Jun 2010. Semuanya selamat dan mereka diberikan sambutan wira negara. Walau bagaimanapun, ketua sukarelawan Malaysia Saudara Norazman dari Haluan Palestin berkata wira sebenar bukan mereka tetapi penduduk Gaza yang cekal berhadapan dengan Regim Zionis setiap hari.

Sesungguhnya Gaza adalah penjara terbuka yang berbumbungkan langit, berlantaikan tanah dan berdindingkan tembok besar seumpama Tembok Berlin.

Sesungguhnya Gaza adalah wilayah kecil yang ‘fragile’ bila-bila masa sahaja boleh pecah dan meletus kekacauan.

Sesungguhnya Gaza tidak pernah sunyi dari bunyi tembakan dan ledakan bom yang memecah keheningan malam.

Penduduk Gaza hidup dalam keadaan yang penuh tekanan namun mereka terus cekal menghadapinya.

Sesungguhnya Gaza adalah bumi sejuta syahid kerana hari-hari ada sahaja yang syahid di bumi Gaza. Kematian penduduk Gaza bukanlah kematian biasa sebaliknya kematian yang luar biasa. Kematian yang tidak terdapat di tempat lain.

Dan pada 31 Mei 2010, 9 aktivis sukarelawan Turki yang mengikuti misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada saudara seagama mereka di Gaza akhirnya syahid di atas kapal Mavi Marmara.

Sesungguhnya saya kagum dengan semangat juang mereka yang sanggup merentasi lautan luas untuk saudara-saudara mereka di Gaza. Nafsu apakah yang mendorong mereka untuk ke sana? Keazaman apakah yang telah menunjangi sanubari mereka sehingga bertindak sejauh itu? Jawapannya adalah kerana rahmat Allah yang telah turun menyuburi hati mereka untuk mencintai dan mengasihi saudara-saudara mereka di Gaza.

Rasulullah SAW bersabda, “Allah swt mempunyai seratus rahmat (kasih sayang), dan menurunkan satu rahmat (dari seratus rahmat) kepada jin, manusia, binatang, dan haiwan melata. Dengan rahmat itu mereka saling berbelas-kasih dan berkasih sayang, dan dengannya pula binatang-binatang buas menyayangi anak-anaknya. Dan Allah swt menangguhkan 99 bahagian rahmat itu sebagai kasih sayang-Nya pada hari kiamat nanti.” (H.R. Muslim).

Walaupun hanya 1% sahaja dari rahmatNya yang diturunkan ke bumi, namun rahmat kasih sayang yang sedikit inilah yang telah menggerakkan hati-hati mereka untuk ke Gaza. Mereka pergi kerana kasih kepada saudara mereka. Mereka pergi kerana rasa tanggugjawab kepada saudara mereka. Mereka pergi kerana tidak sanggup lagi melihat penderitaan penduduk Gaza. Mereka pergi dalam keadaan mereka sedar akan risiko yang bakal mereka hadapi. Akhirnya ketetapan Allah menentukan bahawa mereka pulang kepadaNya dalam keadaan termulia di sisi Allah. Semoga mereka bahagia dengan kehidupan baru yang lebih baik di sana.

“Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

( Ali Imran: 169-170)

Untuk kita yang masih tinggal di dunia ini manfaatkanlah rahmat 1% yang Allah turunkan kepada kita untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin dan Gaza.

Teringat saya kepada Rasulullah saw yang mafhumnya berbunyi, 3 perkara jika ada dalam diri seseorang, maka dia akan mendapat kemanisan iman, pertama Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada yang lain, kedua dia mencintai saudara seislamnya semata-mata kerana Allah dan ketiga dia bimbang melakukan maksiat, sebagaimana dia bimbang jatuh ke dalam api.

Daripada 1% rahmat yang Allah turunkan ke muka bumi ini kepada kita telah kita bahagi-bahagikan kasih sayang tersebut kepada anak isteri, ibu bapa, sanak saudara dan rakan terdekat namun pernahkah kita bertanya kepada diri berapa peratus pula daripada bahagian tersebut kita peruntukkan untuk saudara-saudara kita di Gaza?

0.001% atau mungkin kurang lagi?

Tidak mahukah kita mengecapi manisnya iman kerana mencintai saudara-saudara seagama kita di Gaza?

Sesungguhnya mereka juga mempunyai hak ke atas kita.

Fikir-fikirkanlah !!!!!

Abu Wafi, Putrajaya

Anak-anak kita

Published January 21, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Anugerah paling berharga

Petang semalam usai kerja, saya membawa anak ke Klinik Kesihatan. Batuk Wafi tidak mahu reda malah bertambah kuat. Sampai di klinik lebih kurang pukul 5.50 petang. Saya bukannya biasa sangat datang ke sini namun Wafi kelihatan lebih tahu dari saya. Sesampainya kami di sana, dia menunjukkan kaunter untuk pendaftaran, ambil kad, scan pendaftaran, bilik doktor dan farmasi. Memang cekap kerana dia selalu sangat ke sini mendapatkan rawatan bersama isteri saya.

Saya menunggu di ruang menunggu untuk pesakit. Nombor giliran 1090 dan ada lebih kurang 10 pesakit di hadapan kami. “Mungkin tak lama lagi” bisik hati kecil saya.

Semasa menunggu ada satu pasangan suami isteri yang duduk berhampiran kami. Suami dan isteri dalam lingkungan lewat usia 40-an. Mereka ada 4 orang anak perempuan dalam lingkungan belasan tahun semuanya. Saya memerhatikan gelagat mereka anak beranak. Perbualan mereka, pergaulan mereka bersama ayah dan ibu sehinggalah mereka meninggalkan kami sebaik sahaja selesai mendapatkan rawatan doktor.

“4 orang anak perempuan, macam mana tu” bisik hati saya.

Kami masih di situ menunggu giliran untuk dipanggil masuk. Jam menunjukkan pukul 6.20 petang.

Tidak lama kemudian sebuah keluarga datang dan duduk berhampiran kami. Sepasang suami isteri dengan 4 orang anak yang masih kecil. Anak sulung mereka saya kira sebaya dengan anak saya Wafi manakala yang bongsu mungkin sebaya dengan anak ketiga saya Fawwaz berumur 2 tahun. Mereka melompat-lompat dan berlari-lari di situ. Agak terganggu juga namun perhatian saya masih tertumpu pada mereka. 4 orang anak lelaki masing-masing dengan kerenah tersendiri.

4 orang anak lelaki, macam mana tu” bisik hati saya.

Tiba-tiba saya terfikir. Sebentar tadi sebuah keluarga dengan 4 orang anak perempuan manakala kini sebuah keluarga dengan 4 orang anak lelaki. Seperti ada satu mesej yang ingin disampaikan kepada saya.

Bila datang keluarga dengan semua anak perempuan, saya terfikir sudah tentu pasangan suami isteri tersebut menginginkan seorang anak lelaki. Begitu juga dengan pasangan kedua dengan 4 orang anak lelaki, tentunya mereka mengidamkan seorang anak perempuan. Dan saya membandingkan diri saya dengan mereka, mungkinkah saya akan mengikuti jejak salah satu dari pada keluarga ini atau sebaliknya.

Saya yang sudah mempunyai 3 orang anak lelaki tentu saja kepingin seorang anak perempuan. Namun Allah belum mengurniakan rezeki yang saya harap-harapkan itu.

Malam itu, saya membuka Al-Quran sambil memerhatikan terjemahannya. Saya membaca Surah As-Syura ayat 49 – 50 yang bermaksud:

Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. [49]

Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha berkuasa. [50]

Hati saya berdetik, benar-benar sama seperti pengalaman yang saya alami petang tadi. Perhatikan ayat-ayat itu, Allah berkuasa untuk mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakkinya, Allah juga berkuasa untuk mengurniakan anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakinya, begitu juga Allah berkuasa untuk memberikan kedua-duanya sekali malahan Allah juga berkuasa untuk tidak memberikan anak langsung kepada sesiapa yang dikehendakinya. Sungguh cantik ayat ini dan bagi sesiapa yang mahu mengambil pengajaran bahawa kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Saya diberi contoh 2  buah keluarga masing-masing dengan 4 orang anak lelaki dan 4 orang anak perempuan. Saya juga telah banyak kali bertemu dengan mereka yang mempunyai anak perempuan dan lelaki di dalam keluarga mereka. Saya juga pernah bertemu dengan pasangan yang sehingga kini belum mempunyai anak walaupun telah mendirikan rumahtangga selama 22 tahun. Dan mereka yang saya jumpa ini kelihatan cukup bersyukur dengan apa yang Allah berikan. Pelajaran yang saya perolehi hari ini, bersyukurlah dengan apa yang ada. Redhalah atas apa sahaja pemberianNya.

Bersyukurlah dengan apa yang Allah berikan kepada kita walaupun mungkin tidak yang seperti kita harapkan dan kita hajatkan.

Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua. Dia mengurniakan ‘kepada sesiapa yang dikehendakiNya’.

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya.  [As-Syura:36]

Mungkin Dia mengkehendaki saya mempunyai anak-anak lelaki sahaja.

Mungkin juga Dia mengkehendaki saya mempunyai anak-anak lelaki dan perempuan.

Pastinya, apa yang dikurniakan Allah kepada kita hanyalah pinjaman dan kesenangan yang bersifat sementara. Sesungguhnya nikmat di akhirat itu adalah lebih kekal dan bermakna bagi mereka yang mahu mengambil pengajaran.

Abu Wafi, Putrajaya.