Archives

All posts for the month May, 2010

Bertindaklah Sewajarnya

Published May 30, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Sebagai penjawat awam, adalah satu perkara normal apabila saya sering menerima arahan dari pihak atasan untuk menyiapkan sesuatu tugasan yang pelbagai. Adakalanya saya diminta menyediakan maklumbalas kepada pihak luar dan adakalanya arahan tersebut untuk kepentingan organisasi sendiri. Jika maklumbalas yang perlu disediakan maka surat  dari pihak luar akan diberikan kepada saya dengan catatan yang berbentuk arahan. Arahan tersebut akan diminitkan kepada saya untuk dilaksanakan dan perkataan yang paling popular digunakan adalah “SEWAJARNYA“. Umumnya, semua penjawat awam memahami perkataan ini. Arahan yang diberikan tidak perlu diterangkan secara jelas,terang, satu persatu tindakan yang perlu dilakukan. Justeru, perkataan sewajarnya sudah dianggap memadai. Apa yang perlu saya lakukan adalah membaca keseluruhan surat yang diminitkan kepada saya sebelum saya boleh membuat keputusan mengenai bentuk tindakan yang perlu saya lakukan.

Namun sebagai pekerja biasa, saya sebenarnya mendambakan jika arahan tersebut turun dalam keadaan yang spesifik dan jelas pelan tindakannya. Maka tindakan yang saya akan ambil berdasarkan arahan tersebut juga adalah jelas, namun perkara ini tidak berlaku. Justeru, apa yang sering saya lakukan jika tidak jelas bentuk tindakan ialah dengan mengadakan perbincangan dengan “immediate boss” atau dengan merujuk kepada beberapa rakan yang mungkin pernah melakukan tugasan yang sama. Walau bagaimanapun, jika perkara yang diarahkan itu adalah satu rutin yang telah dikuasai oleh saya, maka perkataan sewajarnya itu sangat wajar digunakan kerana dapat menjimatkan masa semua pihak.

Ada kalanya saya tersenyum bila menerima tugasan, mungkin kerana telah tahu apa tindakan yang patut saya lakukan dan ada kalanya muka saya berkerut memikirkan apa bentuk tindakan yang patut saya ambil sebagai wajar. Ternyata, perkataan sewajarnya itu kadang-kala mudah ditafsirkan dan adakalanya begitu sukar untuk ditafsirkan. Bila sukar, sudah tentu saya pening memikirkan dan bimbang jika tindakan yang saya rasa wajar itu berubah menjadi tidak wajar atau tidak patut.

Bertindaklah sewajarnya !

Bersikaplah sewajarnya!

Namun bagaimanakah pula untuk memuaskan hati semua pihak di sekeliling kita bahawa semua yang kita lakukakan adalah wajar belaka?

Bagaimana pula kita bersikap sewajarnya dalam aspek kehidupan kita khususnya sebagai seorang individu dan hamba Allah?

Bagaimana kita ingin menjadi anak yang bersikap sewajarnya kepada kedua orang tuanya; atau suami yang sewajarnya; isteri yang sewajarnya kepada pasangan masing-masing; seorang ayah dan ibu yang sewajarnya kepada anak-anak; seorang guru yang sewajarnya kepada anak-anak muridnya; seorang majikan yang sewajarnya kepada pekerjanya; seorang pekerja yang sewajarnya kepada majikan ;  seorang individu sewajarnya kepada anggota masyarakat dan seorang  warganegara yang sewajarnya kepada negara?

Inilah persoalan yang seringkali bermain di fikiran saya  dan apakah selama ini saya telah bertindak dan bersikap sewajarnya kepada ayah, ibu, isteri, anak-anak dan anggota masyarakat di sekeliling saya?

Bagaimanakah pula ukuran sewajarnya kepada diri saya? Sudah semestinya perkataan sewajarnya itu menjadi begitu subjektif bila diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Mungkin ada orang yang berpandangan tindakan itu sesuai dengan perkataan sewajarnya dan mungkin ada yang berpandangan sebaliknya.

Keutamaan saya selain daripada bertindak dan bersikap sewajarnya kepada orang-orang sekeliling saya ialah, adakah saya sebagai seorang hamba telah bertindak sewajarnya kepada Pencipta saya, selama 37 tahun saya hidup di muka bumi Allah ini?

Ini yang lebih penting dan seharusnya kita semua sentiasa bertanyakan soalan ini kepada diri setiap hari. Bermuhasabah.

Bertindak sewajarnya  ialah dengan mematuhi segala perintahNya; dan

Bertindak sewajarnya  ialah dengan menjauhi segala laranganNya.

Satu sifir yang cukup mudah, namun ramai yang tersungkur untuk memenuhi sifir ini kerana terpengaruh dengan hasutan syaitan dan nafsu yang merajai diri.

Fikirkanlah…. bertafakurlah

Jika sifir mudah ini berjaya dipatuhi, anda sebenarnya telah bersikap sewajarnya kepada Pencipta anda sekaligus anda juga akan bersikap sewajarnya kepada orang-orang di sekeliling anda.

Seorang ulama kontemporari terkenal, Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni dalam bukunya “La Tahzan” turut mengupas isu ini dalam hikmahnya yang ke-30. Kata beliau:

Wahai orang-orang yang berakal dan sedar, tempatkanlah segala sesuatu itu sesuai dengan ukurannya.Jangan membesar-besarkan peristiwa dan masalah yang ada; bersikaplah secara adil, seimbang dan jangan berlebihan. Jangan pula larut dalam bayang-bayang dan fatamorgana yang menipu.

Beliau mengajak kita agar meletakkan aspek keadilan dalam bersikap sewajarnya. Sebagai contohnya, jika kita mencintai seseorang memadailah jangan berlebih-lebihan kelak mungkin suatu hari nanti persahabatan itu akan bertukar kepada permusuhan; dan jika membenci seseorang, bencilah sekadarnya kerana mungkin suatu hari nanti kebencian itu akan bertukar menjadi kasih sayang yang tidak terhingga.

Apa pun, bersikap sewajarnya yang dimaksudkan oleh Dr.Aidh Abdullah Al-Qarni adalah bertindak sekadarnya dan jangan berlebih-lebihan kerana tiada benda yang kekal di dunia ini kerana hati manusia ini boleh berubah-ubah mengikut keadaan.

Semoga kita bertindak sewajarnya untuk semua pihak.

Bertindaklah sewajarnya kepada Allah, sewajarnya kepada manusia lain, sewajarnya kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan dan sewajarnya kepada alam sekitar.

Abu Wafi, Putrajaya.

Advertisements

VIP dunia VIP akhirat

Published May 23, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Mungkin ada yang tertanya-tanya, gambar siapakah di atas. Bagi mereka yang rajin mengikuti perkembangan politik di negara jiran seberang tambak tentu mengenali individu di atas. His Excellency Dr. Yaakob Ibrahim, Menteri Alam Sekitar dan Air, Republik Singapura. Menariknya, beliau adalah satu-satunya menteri berbangsa Melayu dan beragama Islam di dalam kabinet Kerajaan Singapura.  Sebenarnya ada pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama.

Saya baru sahaja selesai menamatkan tugas sebagai pegawai pengiring atau Liason Officer (LO) untuk Dr. Yaakob Ibrahim, Menteri Alam Sekitar dan Air, Singapura  yang hadir ke Malaysia untuk satu mesyuarat penting. LO adalah pegawai yang dipertanggungjawabkan oleh pihak tuan rumah untuk mengiringi tetamu negara sepanjang beliau berada di negara tersebut. ToR LO menetapkan bahawa saya mesti sentiasa berada di sisi beliau selama 2 hari tanpa gagal. Ke mana sahaja beliau pergi saya perlu menemani beliau. Ibarat kata, saya adalah sebagai diari bergerak untuk memaklumkan kepada beliau mengenai jadual hariannya.  Saya juga bertindak sebagai penghubung untuk orang luar yang ingin mengetahui di mana kedudukan beliau. Maka, tiba-tiba kedudukan saya menjadi begitu penting.

Pengalaman yang paling mencabar ialah apabila membawa beliau ke Masjid Syakirin KLCC untuk solat jumaat. Menempuhi perjalanan yang sesak dan orang ramai yang berpusu-pusu ke dalam masjid menjadikan tugas mengiringi beliau sungguh mencabar. Mujur ada anggota keselamatan yang membantu memudahkan kerja saya.

Selain itu, saya juga menemaninya ke kedai buku Kinokuniya di KLCC dan saya sesungguhnya cukup kagum dengan beliau yang sangat sukakan buku. Hampir 30 minit kami di situ dan kesudahannya saya membawa bakul berisi buku-buku berharga tidak kurang RM500.00 termasuk buku “Mahathir Maverick” manakala buku-buku lain terdiri dari pelbagai disiplin ilmu seperti sejarah dan sains politik.

Minister of Environment & Water Resources, Singapore, Minister In-charge of Muslims Affairs

Selaras dengan taraf tetamu negara, pergerakan  beliau ke mana sahaja dikawal ketat dan diiringi dengan anggota polis. Maka, pantaslah kami bergerak walaupun jalan di sana sini sesak dengan kenderaan. Begitu istimewanya layanan yang diberikan dan saya sendiri tiba-tiba merasa sungguh istimewa dan terhormat dengan layanan VIP yang diberikan walaupun saya bukan VIP yang dilayan.

Perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama menjadi pantas. Bayangkan lebuhraya dilalui tanpa dikenakan tol. Semua kenderaan perlu memberi laluan atau bergerak ke tepi jalan agar konvoi kami dapat melalui dengan selesa. Ohh… sungguh istimewa sekali.

Dalam kenderaan saya terfikir;

” Ini baru VIP di dunia, VIP di akhirat bagaimana pula?

“Jika di dunia begini layanannya, bagaimana pula layanan di akhirat. Apakah layanan VIP di dunia akan berpanjangan di akhirat?

“Hari ini aku diberi layanan istimewa dan Kelas Pertama, apakah layanan sebegini akan aku nikmati ketika berada di padang mahsyar semasa menunggu waktu untuk dihisab?”

Saya bermonolog sendirian sehinggalah konvoi kenderaan yang membawa kami sampai ke destinasi. Beberapa kali saya bermonolog sedemikian. Monolog yang cukup memberi kesan kepada diri ini.

Saya teringat peristiwa di padang mahsyar yang banyak diceritakan oleh ustaz-ustaz terutamanya perjalanan kita melintasi titian sirat mustaqim. Ulama mentafsirkan  bahawa titian ini sungguh tajam dari mata pedang dan lebih halus dari rambut. Pada ketika ini, saya sendiri tidak dapat membayangkan dengan mata perkara itu. Tanpa ada pengecualian, kita semua akan melalui titian tersebut dan di bawahnya adalah neraka yang apinya menjulang-julang ke atas. Kejayaan perjalanan kita melintasi titian tersebut adalah bergantung kepada amalan ketika di dunia. Ada yang berjalan kaki, ada yang berlari, ada yang bergerak sepantas kilat, ada pula yang merangkak dan ada yang mengensot sehingga terjatuh disambar api neraka yang panas. Semuanya bergantung kepada amalan di dunia.

Siapa pula VIP di sana?

Terbayang di fikiran saya, bagaimana kedudukan insan-insan istimewa di sisi Allah seperti para anbiya’,syuhada’,siddiqin dan solihin. Mereka adalah VIP di akhirat. Mereka bergerak tanpa ada tol dan sekatan. Jika adapun sekatan ianya akan dipermudahkan untuk mereka. Ternyata VIP akhirat lebih bermakna berbanding VIP dunia yang kenikmatannya boleh hilang bila-bila masa.

Saya mendapat pengajaran berguna dari tugasan ad-hoc yang diamanahkan kepada saya.

Pertama, untuk pelajaran di dunia, sentiasalah mengemaskini pengetahuan dengan banyak membaca khususnya bahan-bahan bacaan yang berat. Dr. Yaakob adalah individu yang boleh dicontohi dalam perkara ini. Berbual dengan beliau terasa menyeronokkan kerana pengetahuannya sangat luas dan tidak membosankan.  Ada saja ilmu yang diperolehi. Sesuai dengan latar belakang beliau sebagai bekas Professor di  National University of Singapore dalam disiplin Kejuruteraan Struktur, beliau kelihatan sangat berkeyakinan bila berkomunikasi dengan sesiapa sahaja.

Kedua, untuk pelajaran akhirat pula, pengalaman ini mengajar saya bahawa apa yang ada di dunia ini tidak kekal. Buktinya, saya hanya menjadi VIP kecil selama 2 hari sahaja. Sekembalinya, beliau ke Singapura, status tersebut hilang dari diri saya. Begitulah tidak kekalnya dunia ini.

Ketiga, usahlah berkecil hati jika anda bukan VIP di dunia ini kerana anda masih berpeluang untuk menikmatinya di akhirat kelak. Bayangkan ketika umat manusia dari zaman Nabi Adam as sehingga umat terakhir bersesak-sesak dan bermandi peluh menunggu masa dihisab seorang demi seorang, tiba-tiba anda mendapat layanan VIP di celah-celah jutaan manusia. Dan anda kemudian dihisab dengan hisab yang  mudah dan melalui titian sirat ke syurga sepantas kilat yang menyambar tanpa sempat menoleh ke bawah. Tentunya perkara ini lebih didambakan oleh kita semua.Pastinya untuk menjadi VIP akhirat, anda perlu melipatgandakan amal-amal soleh semaksima mungkin dan meninggalkan segala larangan.

Keempat, kaitkan semua perkara dengan agama. Kaitkan semua kerja dan tugas yang kita lakukan dengan agama. Cubalah cari titik pertemuannya, insyallah kita akan bertemunya di situ.

“Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan tersebut mereka menjadi orang-orang yang mempunyai hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, sebaliknya yang buta itu adalah mata hati yang ada di dalam dada.  (Al-Hajj: 46)

Allah suruh kita buka mata hati seluas-luasnya melalui penglihatan dan pendengaran kita yang digunakan sebaik-baiknya. Perhatikan alam ini, dan perhatikan segala kejadian yang berlaku di sekeliling kita dan ambillah pengajaran yang berguna untuk akhirat kita.

Moga-moga kita semua berfikir ke arah situ hendaknya …..

Abu Wafi, Putrajaya.

Temuilah Tuhanmu dalam keadaan yang baik

Published May 19, 2010 by Menikmati Takdir Langit

KEMATIAN 1

Pelajar maut tergelincir ketika elak diserbu JAIS

KUALA LUMPUR 24 April – Tindakan seorang pelajar perempuan sebuah kolej membawa teman lelaki bermalam di rumah sewanya di Pangsapuri Jelutong, Selayang Heights dekat sini, ketika rakan serumah pulang ke kampung akhirnya mengundang padah.

Dia yang menyangka tiada siapa akan menghidu perbuatannya itu ternyata silap apabila ada jiran yang membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Bertindak atas aduan tersebut, sekumpulan lima anggota penguat kuasa JAIS menyerbu rumah terbabit pada pukul 1.40 pagi ini.

Serbuan itu ternyata mengejutkan pasangan kekasih berkenaan dan dalam keadaan panik, teman lelakinya bertindak keluar melalui tingkap dan cuba meniti tembok bangunan untuk menyembunyikan diri.

Tindakannya itu bagaimanapun mengundang padah apabila dia tergelincir dari tingkat lima bangunan pangsapuri tersebut sebelum terjatuh ke dalam longkang dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, pelajar perempuan terbabit pada mulanya enggan membuka pintu tetapi terpaksa bekerjasama selepas menyedari teman lelakinya terjatuh.

“Anggota penguat kuasa JAIS mengambil masa beberapa minit mengetuk pintu sebelum terdengar bunyi objek jatuh dari dalam rumah tersebut.

“Pada ketika itu, barulah pelajar perempuan terbabit membuka pintu dan membenarkan rumahnya diperiksa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota JAIS yang mengesyaki sesuatu ekoran keadaan tingkap rumah terbuka, meninjau ke bawah bangunan dan terkejut mendapati seorang lelaki terperosok di dalam longkang.

Rosly berkata, mangsa berusia 21 tahun, juga penuntut di kolej sama dengan teman wanitanya disahkan mati di tempat kejadian oleh anggota paramedik yang dipanggil menyelamatkannya.

Katanya, pelajar malang itu disahkan mati akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan organ dalaman.

Beliau menambah, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

“Polis juga telah mengambil keterangan daripada teman wanita mangsa dan mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut kerana tiada kaitan dengan unsur-unsur jenayah,” katanya.

 

KEMATIAN 2

Seorang petugas jalan tol bercerita: “Suatu ketika sebuah kereta lalu di jalan tol dipandu seorang pemuda dengan kecepatan sederhana. Tiba-tiba keretanya mogok di terowo-ngan. Ia pun turun untuk memeriksa keretanya, tanpa disangka dari arah belakang ia dilanggar oleh kereta lain sehingga ia mengalami cedera parah.”

Maka kami pun membawanya dengan kereta sambil menghubungi hospital. Sewaktu kami meletakkannya dalam kereta kami, kami mendengar-nya membaca Al-Qur’an dengan suara merdu. Subhanallah pada waktu ini saya yakin dia akan meninggal dalam keadaan mulia. Ia terus membaca Al-Qur’an, saya pun menoleh kebelakang dan saya lihat pemuda itu sedang mengacukan jari telunjuknya sembari mengucap ‘kalimah syahadah’, sejurus kemudian kepalanya terkulai. Saya melompat ke belakang ternyata pemuda itu sudah tiada. Ia telah kembali ke rahmatullah, dengan belaian ‘inayah dan rahmat Ilahi.

Saya lalu merenung dan menatapnya sambil meneteskan air mata. Saya memberitahu sahabat saya bahwa ia sudah meninggal. Sahabat saya pun menangis dengan dahsyatnya, sementara saya menangis tersedu-sedu. Air mata saya mengalir tiada henti. Keadaan kami di dalam kereta sungguh sangat mengharukan. Kami membawa jenazahnya ke hospital sambil menghubungi keluarga-nya serta menceritakan apa yang terjadi pada pemuda mulia ini sehingga dia menemui Tuhannya. Keluarganya menceritakan sisi positif kehidupan pemuda soleh ini bahawa dia memang selalu berziarah ke makam neneknya di kampung, ia selalu bersedekah kepada para ibu tunggal, anak-anak yatim dan fakir miskin sehingga penduduk kampung sangat mengenal pemuda berhati mulia ini.

Keluarganya juga menceritakan bahawa pemuda soleh ini juga sering memanfaatkan perjalanan panjang ke kampung dengan membaca dan menghafal al-Quran dan mengulang-ngulangnya serta mendengar kaset-kaset pengajian dan ceramah agama yang bermanfaat. (PETIKAN DARI LAMAN AN-NUR)

ULASAN:  

Sama ada kita suka atau tidak, kita semua akan pergi menemui Tuhan. Malangnya kita semua tidak tahu bilakah saat dan ketikanya untuk kita berlepas meninggalkan dunia yang fana ini. Sedar atau tidak tiket penerbangan ke sana telah pun siap ditempah secara “open ticket” kerana tarikh dan waktu boleh jadi bila-bila masa sahaja. Sedar atau tidak kain kafan yang akan membaluti tubuh kita untuk bertemu Allah sedang dijahit tanpa kita sedari.

Soalnya, bagaimanakah cara untuk kita bertemu dengan Allah.

Husnul Khatimah atau Su’ul khatimah.

Soal syurga dan neraka, adalah ketetapan dari Allah dan kita tidak boleh sama sekali menghukum pemuda pertama ke neraka kerana kesudahan hidupnya yang sebegitu rupa. Cuma apa yang boleh saya katakan cara seseorang individu itu mati mempengaruhi nasibnya di sana sama ada syurga atau neraka. Mudah-mudahan Allah mengampuninya.

Orang yang bijak ialah mereka yang sentiasa merancang kematiannya dan bagaimana cara dia hendak pergi menemui Tuhannya. Dia mungkin mati ketika berjuang di medan jihad, atau mati ketika dalam solat, atau mati ketika sedang melakukan amal soleh. Cara mereka pergi menemui Pencipta seperti kisah pemuda ke-2 itu, sudah cukup untuk menggambarkan kesudahan yang baik menanti pemuda tersebut.

Ingatlah.. jauhilah dari melakukan maksiat kepada Allah kerana kita tidak tahu mungkin ketika kita sedang enak dan lazat melakukan dosa tersebut, tiba-tiba maut menjemput kita.

Mesej saya di hari yang sungguh sibuk ini ialah, temuilah Tuhanmu dalam keadaan yang baik….

Abu Wafi, Putrajaya

Dan Berlinanglah Air Mata Takwa

Published May 3, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Berapa ramai di antara kita yang pernah menangis kerana kehilangan orang yang disayangi?

Berapa ramai di antara kita yang pernah menangis kerana kehilangan harta benda?

Berapa ramai di antara kita yang pernah menangis kerana putus cinta, putus tunang, perceraian dan kehilangan kasih sayang manusia?

Berapa ramai pula di antara kita yang pernah menangis kerana gagal memperolehi apa yang dihajati dalam hidup ini?

Tetapi…

Berapa ramai pula di antara kita yang pernah menangis kerana Allah, menangis kerana gerun dengan azab Allah yang pedih, menangis kerana menginsafi dan menyesali dosa-dosa yang telah kita lakukan?

Berapa ramai di antara kita yang pernah menangis kerana rindukan Rasulullah saw? Rindu untuk menatap wajah baginda yang lebih indah dari bulan mengikut Riwayat Syamail Muhammadiah.

Berapa ramai di antara kita yang ketika membaca Al-Quran pernah menangis apabila sampai ke ayat-ayat yang menceritakan mengenai suasana di dalam neraka yang menggerunkan?

Begitulah petikan dari buku kecil di atas, Dan Berlinanglah air mata takwa.

Buku kecil ini cuma berharga RM10.00 namun buku ini boleh saya katakan sebagai buku tangkap leleh. Buku yang bisa melelehkan air mata bagi hati-hati yang keras seperti saya. Jika tidak mampu menangis pun, buku kecil ini cukup untuk menggetarkan hati-hati yang membacanya.

Rasulullah saw bersabda : “Tidak ada sesuatu yang lebih dicintai Allah daripada 2 titisan dan 2 bekas melainkan titisan air mata kerana takut kepadaNya dan titisan darah yang mengalir di jalanNya (jihad)  (Riwayat Tirmidzi)

Menangis terkadang dilihat aneh oleh sebahagian besar dari kita. Namun menangis kerana takutkan Allah atas dosa-dosa yang telah dilakukan mampu membuka pintu redha dan cintaNya serta mampu menghalau murkaNya. Tangisan sebegini sangat tinggi nilainya di sisi Allah.

Rasulullah saw bersabda : ” 2 mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang berjaga kerana berjihad di jalan Allah.

Selain daripada kisah tangisan Rasulullah saw, buku kecil ini juga menampilkan kisah-kisah mengenai tangisan para sahabat seperti tangisan Abu Bakr, Umar Al-Khattab, Uthman Al-Affan, Ummul Mukminin Aisyah r.a dan beberapa sahabat terdekat lain. Penulis buku ini Syeikh Hussain bin Audah juga mengupas mengenai bahayanya hati yang keras juga menyelitkan nasihat para ulama mengenai perkara ini.

Sesiapa yang berjuang menundukkan jiwanya dengan memaksa diri untuk menangis, maka sesungguhnya Allah telah memberikan hidayah kepadanya agar dapat menangis dan Allah memberikannya taufik dalam melakukannya.

Antara nasihat alim ulama yang menarik perhatian saya ialah nasihat Sufyan As-Sauri:

Jadikan dunia ini 2 majlis iaitu majlis untuk meraih akhirat dan majlis untuk mencari harta yang halal. Ada pun majlis yang ke-3, ia akan membahayakanmu dan tidak bermanfaat kepadamu dan engkau tidak menginginkannya.

Bagilah hartamu kepada 2 dirham; satu dirham engkau dapat dari harta yang halal, engkau gunakan untuk menafkahi keluargamu; manakala satu dirham lagi engkau gunakan untuk kepentingan akhirat. Ada pun dirham yang ke-3 ia akan membahayakanmu dan tidak bermanfaat kepadamu dan engkau tidak menginginkannya.

Menangis mungkin dilihat remeh oleh sesetengah orang. Malahan mungkin dianggap sebagai lambang kelemahan seseorang kerana hatinya yang sensitif.

Tetapi ketahuilah bahawa menangis kerana Allah itu tandanya bahawa hati kita amat sensitif dengan dosa-dosa yang telah kita lakukan lantas menimbulkan rasa penyesesalan dan rasa keinsafan yang mendalam. Tangisan ini sebenarnya sangat disukai Allah. Tangisan yang melambangkan rasa ketundukan seorang hamba kepada PenciptaNya.

Manusia-manusia hebat sepanjang sejarah Islam tidak pernah berhenti menangis walaupun mereka telah mendapat jaminan syurga Allah. Saidina Umar menangis semasa solat sehingga bunyi tangisannya bagaikan bunyi air yang mendidih mengikut sesetengah riwayat. Mereka menangis kerana bimbang nasib mereka di hari akhirat, bimbang jika bekalan mereka ke sana tidak mencukupi atau tidak diterima Allah.

Bimbang sehingga membawa mereka menangis kerana Allah.

Sedarlah hati kita ini sesungguhnya sangat keras seperti batu. Sudah tiba masanya untuk kita melakukan perubahan di dalam diri. Berusahalah untuk menangis kerana Allah kerana tangisan kita itu akan menyebabkan terhindarnya kita dari disentuh bakaran api neraka yang sungguh dasyat.

Marilah kita sama-sama menanamkan azam untuk menangis kerana takutkan azab Allah yang pedih akibat dosa-dosa yang telah kita lakukan. Berazamlah untuk menangis biar pun cuma sekali dalam seumur hidup di dunia yang sementara ini.

Berusahalah… insyallah kita akan menemui kemanisan iman di situ.

Abu Wafi, Kuala Lumpur City Center.