Archives

All posts for the month November, 2008

Tafakkur sejenak

Published November 28, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Bila terkenangkan umur yang semakin meningkat entah tiba-tiba hati saya merasa sunyi dan sayu. Terkadang perasaan sunyi dan kesepian yang sangat tiba-tiba menyelimuti diri ini. Saya tidak pasti sama ada kita semua pernah mengalami perasaan halus sedemikian. Saya seorang yang nostalgik. Suka mengimbau kenangan-kenangan indah dan peristiwa-peristiwa pahit masa di alam persekolahan, universiti dan alam pekerjaan. Tanpa disedari, hidup kita semakin hari semakin berubah. Bahagiakah kita berbanding generasi nenek moyang kita sebelum ini tidaklah dapat dipastikan. Pada saya generasi terdahulu yang hidup dalam keadaan yang serba kekurangan, tiada handphohe 3G atau black berry lebih bahagia. Masyarakat yang tidak terlalu kompleks seperti sekarang ternyata sangat menghargai hubungan “habluminnannas” dan “habluminallah” berbanding kita dan diri saya khususnya yang sangat sibuk.

MUHASABAH DIRI

Mengingati dosa-dosa silam sepanjang umur yang telah melewati usia 30an menjadikan saya terfikir seketika di manakah kesudahannya hidup kita. Syurgakah atau nerakakah. Matlamat kita adalah ke sana kerana itulah “Kampung halaman” kita yang sebenarnya yang pernah dihuni oleh Adam dan Hawa sebelum diturunkan ke muka bumi yang penuh dengan ujian dan kepayahan.

Pernahkah anda merasa berdosa dan menyesal dengan perbuatan anda, dengan kesilapan yang pernah anda lakukan. tak kiralah samada “terlaser mulut”  melukakan hati sahabat sehinggalah kepada maksiat-maksiat yang lebih besar. Tahniah! Jika anda pernah merasa sedemikian kerana sesungguhnya masih ada sekelumit perasaan berdosa dan takutkan balasan Allah hingga menjadikan kita sentiasa berhati-hati dalam kehidupan.

Dosa memang sukar untuk dielakkan terutamanya dosa-dosa kecil. Namun berhati-hatilah dengan dosa kecil jika dibiarkan ianya akan menjadi satu kebiasaan dan tidak mustahil jika berkumpul menjadi bukit dosa yang besar akibat kelaziman kita melakukannya.

Terkadang bila kita duduk di dalam kelompok “asatizah” atau para alim ulama di dalam satu majlis, terasa betapa hina dan kerdilnya diri ini. Terasa kerdilnya kita mengenangkan betapa jahilnya ilmu dan pengetahuan tentang Islam yang kita anuti. Berbeza dengan berada di dalam majlis yang dihadiri oleh para VIP yang bukan dari golongan asatizah perasaan kerdil itu ialah kerana gaji sikit,rumah kecil atau kereta kecil berbanding golongan ini yang bercakap tentang saham, lawatan ke luar negara dan tidak terkecuali ‘golf’.

Seorang sahabat saya pernah menceritakan kepada saya bahawa :

“Saya pernah mengikuti perbincangan ilmiah alim ulama dan entah tiba-tiba perasaan sedih dan sebak menyelimuti saya. Mengapalah saya tak mahu belajar ilmu agama dengan bersungguh-sungguh masa sekolah dahulu sehingga menjadi “faqih” kerana dengan menjadi faqih maka jalan untuk saya berdakwah kepada masyarakat terbuka seluas-luasnya. Menyesalnya aku!! Menyesalnya kerana tak ikut cakap orang tua!!

Saya menenangkannya bila melihat air matanya mula bergenang. Sabar.Tetapi inilah takdir yang telah ditakdirkan untuk awak Sekurang-kurangnya, kita perlu bersyukur kerana Allah masih sudi untuk mencampakkan hidayahnya kepada diri yang lalai ini pada saat ini. Sesungguhnya perasaan sedemikian datang kerana Allah masih sayangkan kau ” Mal” kata saya. Dia terdiam,tertunduk mungkin mengakui kebenaran kata-kata saya.

MENYESALI DOSA-DOSA YANG LEPAS

Salah seorang ulama sufi yang saya minati iaitu Syeikh Ibn Atha’illah As-Sakandari pernah menyebut :

” Satu maksiat/dosa yang menyebabkan kamu merasa kerdil,rendah diri,hina dan hancur hati (kerana penyesalan dan taubat) itu adalah lebih baik dari melakukan taat yang menjadikan kamu merasa agung, hebat dan bangga {sehingga ke tahap ujub].

Maknanya, perasaan bersalah,hina,rendah diri,kerdil,luluh hati mengenangkan dosa-dosa silam yang dilakukan sehingga menerbitkan perasaan bertaubat itu sebenarnya adalah lebih baik daripada seorang alim yang merasa dirinya hebat dengan ilmu yang diperolehinya. Contohnya seorang Ustaz yang berlagak sombong, memandang jijik pada orang lain dan merasakan dirinya bersih dan suci hasil ketaatannya kepada Allah sehingga memandang rendah kepada manusia lain dan merasa dirinya dijamin masuk syurga itu  ADALAH LEBIH DIBENCI OLEH ALLAH berbanding dengan seorang pelacur yang menyesali dan menangisi dosa-dosanya yang silam sambil bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah dengan hati yang penuh ikhlas.

Menangisi dosa-dosa silam.

Menangisi dosa-dosa silam.

Mungkin elok direnungkan kata-kata Syeikh Ibn Atha’illah As-Sakandari seterusnya yang berbunyi:
” Berkemungkinan telah ditakdirkan bagimu supaya melakukan satu dosa/maksiat sebagai SEBAB MUSABAB untukmu sampai kepada keredhaan Allah swt [ sehinggalah perasaan berdosa,bersalah,hina tadi akan menyebabkan kamu berubah menjadi soleh].
Subhanallah!!! hebatnya kata-kata hikmah ini. Sayangnya Allah kepada kita. Sesungguhnya dengan dosa /maksiat yang kita lakukan tadi akan menjadikan satu SEBAB untuk kita berubah menjadi baik.
“Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Dan Allah maha Pengampun lagi maha Penyayang. [Al-Furqan:70]
Menyesali atas keterlanjuran dosa-dosa yang telah lepas sebenarnya merupakan salah satu bentuk AZAB di dunia bagi menyelamatkan kita daripada menerima siksaan yang lebih dasyat lagi di negeri akhirat, dan mengikut Syeikh Ibn Atha’illah As-Sakandari  lagi boleh jadi Allah telah menukarkan azab tersebut menjadi kebaikan yang lebih banyak.
Justeru, marilah sama-sama kita mengambil masa untuk bertafakkur seketika mengenangkan dosa-dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan pada masa yang lepas. Benarlah kata-kata hukama yang berbunyi :” Bertafakkur dan memikirkan tentang perkara ini sehingga timbul penyesalan dan keinsafan di dalam diri sebenarnya lebih baik daripada melakukan solat sunat 1000 rakaat.
Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam perlindungan Allah.
Jumaat 28 November 2008 [29 Zulkaedah 1429]
Advertisements

Sibuk yang tiada kesudahan

Published November 24, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Minggu lepas saya sangat-sangat sibuk. Tak tergambar betapa sibuknya ketika itu. Minggu yang betul-betul kritikal. Tugas saya sebagai penyelaras amatlah sukar sekali. Menyelaras manusia yang banyak karenah sangatlah mencabar. Telefon saya tak berhenti-henti berdering. Walaupun ada 2 handphone rasanya tidak cukup untuk menjawab panggilan yang bertalu-talu untuk mendapatkan maklumat terkini. Tak kira dengan jumlah sms yang terpaksa saya jawab. Adakalanya saya terpaksa membiarkan panggilan itu kerana tidak mahu konsentrasi saya pada kerja-kerja menaip terganggu. Sms juga begitu, banyak yang tidak terjawab. Nak kecil hati saya nak buat macam mana. Memang terlalu “occupied“. Kebanyakan panggilan yang mencurah-curah masuk nombornya tidak saya simpan sebab storage saya penuh. Saya simpan yang penting-penting sahaja kerana kebanyakannya tidak akan menghubungi saya bila semua urusan penting sudah selesai. Ada juga yang marah-marah pada saya sebab tidak menjawab panggilan. Saya nak buat macam mana. Masa panggilan masuk saya bersama bos besar.Tengah menerima arahan dan sedang berbincang.

Saya terpaksa berkejar ke sana sini, naik tangga dan turun tangga. Telefon orang sana sini bagi mendapatkan maklumat terkini memandangkan “big boss” saya perlukan. Letih tak usah cakaplah. Maka terpaksalah saya menelan 3 biji B-Complex, 1 biji Vitamin C dan 1 biji Calcium Magnesium sepanjang minggu lalu bagi memberikan “energy” kepada saya untuk bergerak. Kalau tidak saya akan “flat”. Letih tenaga, letih otak memikirkan jalan-jalan keluar untuk mengatasi masalah pekerjaan seharian yang tiada hentinya.

Waktu tengahari di antara pukul 1 dan 2.30 selalunya saya akan melarikan diri. Membawa diri ke masjid. Maka banyaklah masjid yang saya kunjungi bagi menenangkan hati. Antaranya Masjid Negara, Masjid UIA Seksyen 17 dan terbaru langkah saya lebih jauh lagi ke Masjid Taman Tun Dr.Ismail.  Waktu inilah dapat saya gunakan untuk beriktikaf dan membaca selembar ayat-ayat suci Al-Quran. Di sini saya dapat sedikit ketenangan.

Begitulah lumrah kehidupan. Selagi hayat masih ada, nadi masih berdenyut maka selagi itu “life must go on”. Hidup di dunia ini memang meletihkan dengan ujian demi ujian yang mendatang. Banyak perkara yang harus difikirkan. Dalam sehari mungkin berjuta-juta “decision making” yang perlu dibuat hatta nak memakai baju juga perlu berfikir dan membuat keputusan sehinggalah kepada perkara-perkara besar yang melibatkan kepentingan politik sesebuah negara.

kehidupan tidak sunyi dari tekanan

kehidupan tidak sunyi dari tekanan

Islam mengajar kita supaya menangani “stress” dengan banyak berzikir dan mengingati Allah. Membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan merenungi hadith-hadith Nabi saw. Saya pernah bertanya dengan salah seorang sahabat saya yang baik masa di universiti dulu. Katanya bila dia berdepan dengan masalah dan apa juga tekanan dia akan membaca Surah Taha sehingga habis sambil membaca tafsirnya. Kerana surah Taha mengisahkan perjalanan dakwah Nabi Musa dan Nabi Harun yang mengalami kesukaran demi kesukaran dalam menjalankan dakwah kepada Firaun. Membaca dan mentadabbur maka hatinya akan menjadi tenang. Begitu juga surah Yusuf yang menceritakan kisah Nabi Yusuf a.s yang dipenjarakan. Semua nabi dan rasul mengalami tekanan demi tekanan yang maha hebat. Membaca sirah dan tafsir Al-Quran sekaligus memberikan motivasi yang menyala-nyala dan bersabar atas tekanan yang dihadapi.

Marilah sama-sama kita menjadikan urusan akhirat sebagai satu agenda untuk menyibukkan diri di dunia yang sementara ini. Menyibukkan diri dengan amal ibadah merupakan sesuatu yang terpuji dan dalam masa yang sama kesibukan urusan dunia hendaklah diniatkan kerana Allah, maka insyallah kita akan mendapat pahala yang berganda-ganda. Kesibukan dunia akan ada hentinya bila nadi berhenti berdenyut, kesibukan dengan urusan akhirat akan bersambung di dunia yang satu lagi.  Fikir-fikirkanlah….

Doa yang tak terlupakan

Published November 21, 2008 by Menikmati Takdir Langit

 “JANGANLAH KELEWATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADAMU, PADAHAL ENGKAU BERSUNGGUH-SUNGGUH DALAM BERDOA MENYEBABKAN PUTUS HARAPAN, SEBAB ALLAH TELAH MENJAMIN AKAN MENERIMA SEMUA DOA DALAM BENTUK APA YANG DIA KEHENDAKKI UNTUKMU, BUKAN MENURUT KEHENDAKMU DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKANNYA, DAN BUKAN PADA WAKTU YANG ENGKAU TENTUKAN”.

Pasti doamu akan diterima asalkan tidak gopoh

Pasti doamu akan diterima asalkan tidak gopoh

Salam,

Saya sungguh terkesan dengan kata-kata hikmah di atas. Hikmah ini saya petik dari Kitab Hikam karangan Syekih Ibn Athai’llah Al-Sakandari. Beliau bercakap mengenai sikap putus asa sesetengah kaum muslimin yang merasa kecewa dengan doa yang lewat diterima.

Firman Allah :

“Tuhanmulah yang menjadikan segala yang dikehendakkiNYA dan memilihNYA sendiri, tiada hak bagi mereka untuk memilih.

Firman Allah lagi:

Barangkali kamu membenci sesuatu padahal itulah yang baik bagimu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu padahal ianya tidak baik bagimu, dan Allah lebih mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”

Allah swt telah berjanji bahawa semua permintaan atau doa akan diterima. Sama ada dimakbulkan di dunia atau ditangguhkan di akhirat. Berdoalah dengan penuh kesabaran dan bersungguh-sungguh insyallah akan dimakbulkan. Sedangkan doa Nabi Musa a.s dan Nabi Harun untuk kebinasaan Firaun mengambil masa 40 tahun untuk dimakbulkan, inikan pula doa kita orang biasa.

” Sungguh telah diterima doamu berdua iaitu tentang kebinasaan Firaun dan bala tenteranya maka hendaklah kamu berdua tetap istiqamah (sabar dalam meneruskan perjuangan dan terus berdoa), dan jangan mengikuti jejak orang yang tidak mengerti. [Yunus:89]

Anas r.a berkata:

“Tiada seorang berdoa, melainkan pasti diterima oleh Allah doanya, atau dihindarkan daripadanya bahaya, atau diampunkan sebahagian dosanya selama ia tidak berdoa untuk sesuatu yang berdosa atau untuk memutuskan hubungan silaturrahim”.

Abul Abbas Almarsi ketika sedang sakit bila didatangi seseorang kepadanya lalu berkata : Semoga Allah memberi afiyah kepada engkau. Abul Abbas berkata: Apakah kau kira saya tidak minta afiyah kepada Allah, sungguh saya telah memintanya bahkan penderitaan saya ini termasuk dalam afiyah.

Sesungguhnya Allah swt menyukai orang yang selalu berdoa dengan penuh khusyuk dan bersabar menunggu ketetapan yang telah dijanjikan oleh Allah.

PENERIMAAN DOA DALAM BENTUK LAIN?

Kita sering berdoa dan kita sering meminta supaya doa kita dimakbulkan oleh Allah dalam bentuk yang kita mahu.  Menurut Ibn Athai’llah sebaik-baik hamba ialah apabila ia berdoa dan menyerahkan semuanya menurut kehendak Tuhannya, dan mempercayai bahawa apa yang diberikan oleh Tuhannya merupakan yang terbaik untuknya walaupun tidak seiring dengan kehendak hawa nafsunya. Justeru janganlah kecewa apabila doa kita dijawab oleh Allah dalam bentuk yang lain. Kita  memohon supaya dinaikkan pangkat akan tetapi Allah tidak memberikan pangkat kepada kita sebaliknya Allah mengurniakan anak-anak yang soleh, isteri yang solehah, kesihatan yang baik dan ketenangan yang berpanjangan. Mungkin dengan pangkat yang tinggi akan menyebabkan kita semakin lalai dan jauh dari Allah, kerana sudah menjadi lumrah alam semakin tinggi pangkat seseorang maka semakin sibuklah ia dan semakin kuranglah tumpuannya pada Allah. Mungkin ini hikmahNYA yang tersembunyi. Sesungguhnya Allah lebih maha mengetahui akan segala sesuatu.

Dan syarat paling utama untuk diterimanya doa menurut Ibn Athaillah lagi ialah apabila doa itu dilakukan dalam keadaan terpaksa. Firman Allah:

” Apakah yang selalu menerima doa orang yang terpaksa, apabila ia meminta kepadaNYA [An-Naml: 62]

Yang dimaksudkan dengan keadaan terpaksa di sini ialah, apabila orang yang meminta itu seperti tiada pilihan lain dan tiada sesiapa lagi yang boleh diharapkan dan tempat ia bergantung melainkan dengan Allah swt. Maka pada ketika inilah, kita melihat doa seseorang itu kelihatan sangat bersungguh-sungguh, sehingga menitiskan air mata,ikhlas dan benar-benar menggantungkan harapannya kepada Allah semata-mata tanpa mengharapkan pertolongan daripada manusia yang lemah.

Justeru, marilah kita lontarkan pertanyaan kepada diri kita sejauh manakah kualiti doa kita di dalam solat. Fahamkah maksud doa yang dibaca, apakah adab-adab doa semuanya telah dipatuhi. Sesungguhnya orang yang malas berdoa adalah orang yang angkuh kerana merasakan dirinya hebat dan tidak memerlukan bantuan Allah sedangkan Allah sangat menyukai dan merindui untuk mendengar doa-doa orang yang bersungguh-sungguh meminta dan bergantung harap sepenuhnya kepadaNYA.

Kesimpulan, doa yang tak terlupakan memang tepat sekali. Allah tidak pernah melupakan doa hamba-hambanya. Cuma kita sebagai hamba janganlah berputus asa dan terus meminta untuk kebaikan hidup di muka bumi ini.

“TAKDIR ALLAH MERUPAKAN SEBAIK-BAIK PERKARA. MAKA TADBIRILAH TAKDIR ITU DENGAN SEBAIK-BAIKNYA.”

Jumaat 21 November 2008

Berdepan dengan ketidaktentuan….

Published November 14, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Kehidupan ini dipenuh dengan sebarang kemungkinan, kebarangkalian dan ketidaktentuan yang menakutkan. Cabaran,dugaan dan ujian yang sememangnya telah ditetapkan oleh Allah untuk hamba-hambanya. Kita adalah hamba. Hamba kepada orang yang mencipta kita di muka bumi ini. Biar tinggi mana sekali pun pangkat sama ada CEO sebuah syarikat multinasional, Ketua Setiausaha di sebuah kementerian, seorang celebriti yang tersohor atau tokoh konglemerat yang disegani dan dihormati, hakikat sebenarnya kita masih berstatus hamba. Bermakna kita masih lemah dan kecil di sisiNYA. Dan kita masih memerlukan bantuan Allah dalam segenap aspek kehidupan. Tidak guna mendabik dada dan berbangga dengan pangkat dan kuasa yang ada kerana semua itu hanya bersifat sementara. Semua itu boleh direnggut bila-bila tanpa sebarang notis dari Allah swt.

Kehidupan tidak sunyi dari cabaran. Ada orang yang lemah dengan cabaran. Ada orang yang sungguh kuat sehingga suka mencabar diri dengan melakukan pekerjaan/tugas-tugas yang sukar dilakukan oleh orang lain. Tugas yang memerlukan kesabaran dan pengorbanan yang bukan sedikit. Kata pepatah Inggeris :

“Adversities will produce the best”.

Kesukaran yang dihadapi oleh seseorang akan menjadikan seseorang itu seorang manusia yang hebat.Insan seperti Nabi Muhammad saw lahir daripada kepayahan dan kejerihan berdakwah untuk menegakkan agama Allah. Di sisi lain pula, tokoh-tokoh besar dunia seperti Hitler dan Gandhi lahir daripada kehidupan yang sungguh sukar dan payah. Terbaru Barrack Obama setelah melalui liku-liku pendakian untuk mendaki tangga sebagai Presiden Amerika Syarikat telah berjaya membuktikan kepada dunia kemampuan beliau untuk menjadi Presiden Amerika pertama berkulit hitam. Beliau beberapa kali tewas ketika ingin merebut jawatan senator namun tidak pernah berputus asa dan mengaku kalah.

Kehidupan tidak dapat diagak apa kesudahannya. Kita boleh merancang tetapi kesudahannya kadang-kadang tidak seperti yang dijangkakan. Kadang-kadang kita jadi marah dan melenting dengan ketidaktentuan hidup yang mendatang. Kepada siapakah kemarahan kita ditujukan. Kepada Penciptakah atau kepada diri kita yang mengalami nasib malang akibat kesilapan-kesilapan yang telah kita lakukan? Kita boleh merancang,kita boleh berwawasan malangnya kita sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita dalam tempoh satu jam dari sekarang. Hidup atau matikah tidak dapat ditentukan. Semuanya dalam perancangan Allah. Yang penting kita merancang, berusaha untuk mencapai apa yang dirancangkan mengikut jadual dan berdoa dengan penuh khusyuk dan merendah diri.

Kehidupan sentiasa ada pasang surutnya

Kehidupan sentiasa ada pasang surutnya

Pekerjaan saya banyak berdepan dengan ketidaktentuan. Semua yang berlaku adalah di luar kawalan saya.Bukan saya yang menentukannya tetapi pihak atasan. Saya harus akur walaupun dalam banyak keadaan saya sering tersepit. Menyalahkan saya atas ketidaktentuan yang berlaku adalah tidak adil sama sekali buat saya. Sebaliknya terimalah dengan hati yang tenang dan terbuka. Cubalah berada di tempat saya, rasakan bagaimana sukarnya saya untuk menyelaras manusia yang beraneka ragam perangainya, sikap “bossy” yang keterlaluan, ingin dilayan istimewa dan macam-macam lagi menyebabkan anda mungkin serik. Kemudian cubalah memahami proses kerja yang saya lalui setiap hari, sebulan dan setahun. Fahami pula tekanan yang perlu saya hadapi dari pihak atasan yang bukan kecil pangkatnya dan fikirkan pula deringan telefon yang terpaksa saya jawab setiap 15 minit sekali dari banyak pihak yang inginkan penjelasan dan maklumat. Begitulah keluhan seorang rakan saya yang bekerja di sebuah organisasi kerajaan yang sungguh besar. Yang mampu saya katakan kepadanya, hanyalah bersabar, banyak berdoa mudah-mudahan Allah ringankan, mudah-mudahan Allah tunjukkan jalan keluar bagi setiap kesukaran yang dihadapi.

Setiap kejadian dan peristiwa yang berlaku ada hikmah tersembunyi, ada rahsia yang Allah sahaja yang tahu. Redhalah dengan apa yang berlaku kerana ini merupakan sebahagian ujian hidup yang telah ditakdirkan ke atas kita. Pandai-pandailah kita mentadbirkan takdir tersebut dengan sebaik-baiknya.

 ” Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya dia akan menyediakan baginya JALAN KELUAR.Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah yang menentukan setiap sesuatu.”    (Surah At-Thalaq : 1-2)

14 November 2008 7.29 pagi

Lagu ketuhanan menyentuh jiwa

Published November 12, 2008 by Menikmati Takdir Langit

 Salam,

Saya baru sahaja membeli album baru Band Ungu dari Indonesia. Tajuk album Aku dan Tuhanku. Lagu-lagunya boleh tahan. Enak dan menginsafkan. Bait-bait liriknya menyentuh tentang isu ketuhanan. Antara lagu yang saya suka adalah Doa yang tak terlupakan dan Dengan NafasMu. Sepanjang perjalanan saya ke tempat kerja sejauh 50km setiap hari, sekali sekala bila kebosanan melanda, saya akan putarkan CD album ini. Saya suka liriknya yang sungguh menginsafkan walaupun sedikit pop. Satu pembaharuan dalam dunia muzik. 

Album Ungu-Aku dan Tuhanku

Album Ungu-Aku dan Tuhanku

Satu lagi saya suka dengar lagu-lagu nasyid nyanyian Opick yang lain dari lain. Berbanding band Ungu yang lebih terkenal dan mudah didapati di kedai-kedai muzik album Opick susah nak dapat kerana belum ada syarikat rakaman di Malaysia yang sanggup memasarkannya. Kalau tak silap saya album itu ada di kedai-kedai terpilih sebab terhad.

cahaya hati

cahaya hati

Bait-bait liriknya menginsafkan

Bait-bait liriknya menginsafkan

Antara lagunya yang paling hit ialah Taubat. Liriknya adalah seperti berikut:

Wahai Tuhan jauh sudah
Lelah kaki melangkah
Aku hilang tanpa arah
Rindu hati sinarmu

Wahai Tuhan aku lemah
Hina berlumur noda
Hapuskanlah terangilah
Jiwa di hitam jalanku

Ampunkanlah aku
Terimalah taubatku
Sesungguhnya engkau
Sang Maha Pengampun Dosa

Ya Rabbi ijinkanlah
Aku kembali padaMu
Meski mungkin takkan sempurna
Aku sebagai hambaMu

Ampunkanlah aku
Terimalah taubatku
Sesungguhnya engkau
Sang Maha Pengampun Dosa
Berikanlah aku kesempatan waktu
Aku ingin kembali
Kembali kepadaMu

Dan mungkin tak layak
Sujud padaMu
Dan sungguh tak layak aku

Manusia memerlukan hiburan. Tanpa hiburan insan akan menjadi kaku dan jumud. Lemah tanpa sentuhan. Cuma hiburan tadi mestilah berlandaskan syariat.Tidak melampau-lampau dan tidak melalaikan dari mengingati Allah. Sebab itu, hiburan bagi orang-orang mukmin ialah banyakkan membaca Al-Quran dan banyak berzikir mengingati Allah maka insyallah hati akan menjadi tenang. Malahan bacaan Al-Quran pun digalakkan bertarannum dengan cara bacaan tertentu seperti Qiraat Sab’ah dan riwayat-riwayat lain. Nabi saw menyuruh umatnya supaya memperelokkan bacaan Al-Quran. Bacaan yang elok akan menyebabkan manusia tertarik dengan kehidupan beragama dan memberikan semangat baru dalam kehidupan.

 Firman Allah :

  ” Sesungguhnya orang-orang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah maka gementarlah  hati-hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah maka bertambahlah keimanan mereka”.

Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang bertaqwa.

Cinta yang membangunkan jiwa

Published November 10, 2008 by Menikmati Takdir Langit
Bukan Novel Cinta biasa

Bukan Novel Cinta biasa

Salam,

Saya memang meminati novel tetapi bukan novel cinta. Bagi saya novel cinta hanyalah bahan bacaan picisan yang tidak lebih dari membuang masa, leka, hambar dan membosankan. Terus terang saya katakan saya kurang menggemari novel-novel cinta di pasaran walaupun suatu ketika dahulu saya sangat meminatinya. Pada saya adalah lebih baik jika kita membaca buku-buku motivasi seperti karya Steven Covey atau kalau berminat juga pada novel bacalah novel-novel karya John Grisham seperti The Client, The Chambers atau karya penulis tempatan seperti Faisal Tehrani yang sarat dengan mesej yang mencabar minda. Lebih afdhal lagi kalau membaca tafsir Al-Quran karya ulama-ulama muktabar seperti Ibnu Katsir dan Al-Qurtubi.

Justeru, bila sahabat saya menyarankan supaya saya mencuba membaca karya penulis seberang Habiburrahman Syirazi berjudul  “Ayat-ayat Cinta” dan “Ketika Cinta Bertasbih” saya rasa kurang berminat. Bagi saya novel ini sama sahaja dengan yang lain. Namun sahabat saya meyakinkan saya bahawa karya ini bukan kisah novel cinta biasa malah ianya kisah novel cinta yang sangat luar biasa. Atas sifat ingin tahu, saya pun membeli senaskhah buku “Ketika Cinta Bertasbih” di Kinokinuya KLCC.

Saya mulakan dengan membaca biodata penulis yang berkelulusan B.A Usuluddin dari Universiti AL-Azhar Mesir. Satu permulaan yang baik. Kedua, saya meneruskan dengan membaca komen-komen daripada pembaca,peminat dan sasterawan negara A.Samad Said yang memberikan komen-komen yang bagus dan luar biasa puji-pujiannya. Ketiga, saya membaca mukadimah dan terus menyelak dan meneliti bab demi bab, dialog demi dialog dan struktur perkataan satu persatu. Ternyata semakin saya membaca perasaan ingin tahu itu semakin menebal. Saya tidak boleh berhenti seolah-olah “addicted” dengan karya yang satu ini.

Saya teruja dengan jalan penceritaannya yang bersahaja tetapi terperinci. Digambarkan keadaan jalan dan cuaca di Kaherah dengan ‘detail’ sekali menyebabkan saya rasa seolah-olah berada di Kota Cairo dan di tebing Sungai Nil. Malahan nama jalan, stesen keretapi dan bas juga dinyatakan membuatkan kita rasa bahawa kita adalah watak di dalam novel ini. Watak utama Khairul Azzam seorang pemuda gigih yang menyara keluarganya di Indonesia dengan menjual tempe lewat kematian ayahnya benar-benar menyentuh perasaan. Kesusahan dan kepayahan yang ditanggunnya sendirian tanpa bantuan sesiapa menyebabkan saya sungguh kagum dengan watak ini. Paling tragis watak ini adalah watak yang paling banyak diuji oleh Allah dengan ujian yang sungguh berat sehingga beliau berkata kenapakah hidupnya banyak dipenuhi dengan tangisan. Beliau diuji dengan kematian ibu tercinta akibat kemalangan yang beliau sendiri terlantar berbulan-bulan di hospital,putus tunang, lamaran ditolak, perniagaan tempe disabotaj dan macam-macam lagi. Benarlah firman Allah

“ Apakah kamu mengira kamu akan memasuki syurga selagi mana belum datang kepada kamu ujian-ujian seperti yang dihadapi oleh orang yang terdahulu sebelum kamu, mereka diuji dengan penderitaan, dugaan dan digoncang(dengan pelbagai cubaan), sehinggalah rasul dan orang-orang yang bersamanya berkata, bilakah pertolongan ALLAH(mahu sampai)?, ketahuilah bahawa pertolongan ALLAH itu amat hampir”

Novel ini ada 2 episod atau lebih mudah lagi dipanggil novel dwilogi. Dan saya berjaya menghabiskan kedua-duanya sekali. Lantas saya memburu pula novel pertama beliau yang harus dibaca sebelum membaca novel-novel lain iaitu “Ayat-ayat Cinta”. Novel ini mengisahkan tentang seorang pelajar di Universiti Al-Azhar iaitu Fahri yang mengalami ujian yang tidak kurang hebatnya. Cuma nasib beliau lebih baik,bintang beliau lebih bersinar berbanding Khairul Azzam dalam Ketika Cinta Bertasbih. Setelah baca Ayat-ayat Cinta saya menjadi tahu wujudnya toleransi beragama yang baik dan bijak. Saya angkat topi. Sebuah novel Islam yang terbaik pernah dipersembahkan. Cinta kepada manusia yang diolah dengan baik tanpa mengabaikan cinta kepada Allahh. Disusun dengan bahasa yang indah dan halus dan bersahaja. Seorang budayawan dan penulis sketsa Indonesia bernama Pries GS menyifatkan novel ini dengan berkata bahawa :

“HAMKA kecil telah lahir. Ayat-ayat cinta buktinya”.  Ya saya sangat setuju dengannya. Sebelum ini HAMKA juga banyak menulis tentang kisah cinta dakwah dalam novel yang terkenal iaitu “Tenggelamnya Kapal Van Der Wick” dan Habiburahman Shirazi telah mengulangi sejarah beliau.Novel cinta beliau bukan cinta biasa tetapi cinta luar biasa yang mengajak manusia kembali cinta kepada Penciptanya.

Saya kira cukup setakat itu. Saya sarankan anda membacanya. Saya akhiri entry saya dengan memetik kata-kata sahabat saya Hilal Asyraf di Jordan iaitu:

“Untuk kehidupan cinta adalah amat penting. Tanpa cinta, kehidupan akan menjadi gersang. Manusia semua mencari cinta, walaupun ada segelintir yang tidak mengerti hakikat cinta yang sebenar. Namun, secara tidak langsung, semua manusia itu bercinta sebenarnya, kerana cinta adalah fitrah bagi seorang manusia.”

Bersungguh-sungguh untuk dunia…

Published November 9, 2008 by Menikmati Takdir Langit

” Kerajinanmu untuk mencapai apa-apa yang telah dijamin Allah yang pasti akan diberikan kepadamu,  sehingga membiarkan/mengabaikan kewajipan-kewajipan yang telah diamanahkan kepadamu, menunjukkan buta hatimu” – Ibn Atha’illah As-Sakandari

Salam,

Saya terus menerus menyemak kata-kata hikmah sepanjang minggu lalu sama ada nukilan ulama,tokoh pemimpin dunia dan personaliti terkemuka. Tapi yang menarik perhatian saya ialah kata-kata yang telah dinukilkan oleh Syeikh Ibn Ibn Atha’illah As-Sakandari dalam bukunya yang terkenal berjudul Al-Hikam. Beliau merupakan seorang ulama sufi yang sangat tersohor dengan sentuhan penanya yang menusuk ke dalam hati. Malahan ulama-ulama kontemporari banyak menggunakan kata-kata beliau bagi mengajak masyarakat kembali kepada kehidupan beragama.

Kata-kata di atas boleh dijadikan renungan kita bersama. Beliau menyatakan bahawa orang yang buta mata hatinya, yang terhijab dari kebenaran adalah orang yang bersungguh-sungguh,rajin berusaha untuk sesuatu yang telah dijamin oleh Allah. Apakah yang telah dijamin oleh Allah? Itulah rezeki yang kita perolehi di dunia ini. Rezeki makan minum, kelapangan hidup, anak-anak adalah rezeki yang diberikan oleh Allah. Rezeki merupakan jaminan yang telah diberikan oleh Allah kepada setiap makhluknya tanpa mengira kefahaman dan anutan agamanya.

” Berapa banyak binatang yang melata yang tidak sanggup membawa rezekinya (makanan keperluannya), maka Allah yang menjamin rezekinya juga terhadap kamu” [Al-Ankabut:  60]

” Perintahkan kepada keluargamu supaya mengerjakan solat dan bersabarlah dalam melaksanakannya, Kami (Allah) tidak menuntut kamu supaya mencari rezeki,Kami yang menjamin rezekimu, dan bagi orang yang bertaqwa”. (Thaha: 132) 

Rezeki yang tidak pernah putus

Rezeki yang tidak pernah putus

Bukanlah bermaksud bahawa kita tidak perlu berusaha untuk mencari rezeki di muka bumi ini dan berpeluk tubuh menunggu rezeki turun dari langit atau menjadi malas dengan berpegang pada pepatah bahawa rezeki secupak tidak akan jadi segantang. Islam menuntut kita berusaha keras untuk meraih rezeki yang baik,halal lagi mendapat keberkatan Allah. Cuma dewasa ini, kita melihat trend umat Islam yang bekerja siang malam bersungguh-sungguh untuk dunia sehingga MENGABAIKAN/MENINGGALKAN perkara-perkara wajib yang telah diperintahkan oleh Allah terutamanya SOLAT lima waktu.

Ramai yang rajin bekerja sehingga berjaya mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang atau di sesetengah organisasi menjadi “Best Employee of the Month”. Ini adalah satu sikap dan contoh yang baik.Malah saya kagum dengan sesetengah manusia yang saya jumpa. Mereka sangat “proud” dengan istilah “workerholic” yang dilabelkan kepada mereka. Merekalah orang yang paling awal datang bekerja dan merekalah yang paling lewat pulang ke rumah.Mereka bekerja bersungguh-sungguh untuk menaikkan imej dan prestasi jabatan atau organisasi mereka bekerja malah mengaku bahawa tanpa sumbangan mereka maka runtuhlah organisasi tersebut. Namun bila diselidiki, ternyata kebanyakan daripada mereka jiwanya sangat kosong, kering dan kontang. Tiada siraman atau makanan untuk menyuburkan roh mereka dengan makanan rohani dari sentuhan Ilahi. Saya tidak menyatakan semuanya termasuk dalam kategori ini. Ramai juga yang saya jumpa kerjanya berkualiti, bersungguh-sungguh dan dalam masa sama perintah-perintah Allah tidak diabaikan sama sekali. Seimbang.

Apa pun yang kita lakukan biarlah seiring atau selari dengan kesungguhan dan komitmen kita kepada perintah Allah. Bekerja sehingga meninggalkan solat.Bekerja sehingga lupa untuk menunaikan tanggungjawab ibadah khusus seperti puasa dan zakat yang telah diamanahkan oleh Allah.

Rezeki telah dijamin oleh Allah sejak kita lahir lagi, cuma antara banyak dan sedikit bergantung kepada usaha dan ikhtiar kita dengan disertai dengan doa. Kita dituntut berusaha mencari rezeki tetapi dalam masa yang sama kita juga dituntut supaya berpada-pada dan jangan melampaui batas. Setetengah daripada kita dianugerahkan rezeki yang melimpah ruah, merasakan masih tidak puas masih tidak cukup dan bekerja lagi sehingga lewat malam untuk merebut ganjaran yang sebenarnya telah dijamin oleh Allah.

Alangkah baiknya jika dalam masa kita mencari rezeki kita juga bersungguh-sungguh dalam mengerjakan perintah-perintah yang telah diwajibkan ke atas kita juga perkara-perkara sunat yang memerlukan usaha untuk mendapatkan pahala. Rezeki kita telah dijamin oleh Allah sedangkan tempat kita di syurga belum tentu terjamin sekiranya tidak melakukan segala amanah yang telah diperintahkan oleh Allah. Untuk masuk syurga kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan rajin. Lakukan amalan-amalan yang disukai Allah seperti solat-solat sunat, puasa Isnin dan Khamis,zikir, membaca dan mentadabbur isi kandungan Al-Quran dengan sungguh-sungguh, hadir dalam majlis ilmu dan sebagainya. Ini semua memerlukan kerajinan yang berterusan dan doa agar amalan-amalan kita diterima Allah. Dan sudah tentu penat lelah dan susah payah kita mencari bekalan untuk hari akhirat adalah lebih utama. Pahala atau bekalan untuk hari akhirat tidak dapat dicapai, tidak dapat diperolehi tanpa usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh.

Ibrahim Alkhawwash berkata :

 ” Jangan memaksa diri untuk mencapai apa yang telah dijamin dan jangan mensia-siakan/mengabaikan apa yang telah diamanahkan/ditugaskan kepadamu.”

Masih belum terlewat untuk melakukan perubahan

Masih belum terlewat untuk melakukan perubahan

Kesimpulannya, alangkah malangnya sewaktu  kita terlalu bersungguh-sungguh leka bekerja dengan tak disangka-sangka KEMATIAN menjemput kita tanpa mempunyai kesempatan untuk bertaubat dan memperbetulkan keadaan. Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi dan buta mata hatinya.

“ Sesungguhnya kehidupan ini ibarat seorang musafir yang berteduh sebentar di bawah sepohon  pokok, bila letihnya hilang, dia akan meneruskan perjalanannya”