Tragedi 2 Mac 2000

 

chew-sien-chee

Salam,

Tidak tahu bagaimana mahu memulakan catatan ini. Hati saya bagai ditusuk-tusuk dengan jarum. Membaca semula keratan akhbar yang saya kumpulkan 9 tahun lalu menyebabkan hati saya luka dan berdarah kembali.

Hari ini pada tanggal 2 Mac 2009, genaplah 9 tahun mantan majikan saya Chew Sien Chee meninggal dunia dalam keadaan yang begitu tragis. Mati dibunuh akibat tembakan jarak dekat di dalam keretanya. Seorang peguam muda yang meninggal dunia ketika berumur 39 tahun di hadapan rumahnya di Jalan Betek, Bukit Mertajam. Sehingga kini, pembunuhan beliau masih menjadi misteri yang belum dapat diselesaikan. Motif pembunuhan juga sehingga kini masih belum ditemui dan cerita-cerita beliau kini sudah menjadi sejarah bahan bualan peguam-peguam di Pulau Pinang.

Saya amat menghargainya walaupun berbeza bangsa dan agama. Firma guaman Chew Sien Chee & Co. merupakan tapak saya yang pertama di alam pekerjaan seusai pengajian di universiti dalam bidang undang-undang. Tahun 1997 saya memulakan tugas sebagai Pelatih Dalam Kamar atau “chambering pupil” di firma beliau dan saya merupakan “chambering pupil” beliau yang pertama. Untuk menjadi seorang peguam yang bertauliah, Akta Profesyen Guaman mensyaratkan supaya semua lulusan undang-undang yang bercadang untuk menjadi peguam perlu melalui latihan praktikal ini selama 9 bulan di bawah seliaan seorang peguam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 7 tahun.

Bekerja di bawah seliaan beliau sangat perit. “Learn in a hard ways”  kata pepatah Inggeris. Beliau mengajar saya dengan cara yang sungguh sukar. “Adversities produce the best” merupakan slogan yang selalu menjadi pesanan beliau kepada saya setiap kali saya mengeluh keletihan dan lemah diri setiap kali kalah kes.

Mana tidak kalah kes. Semua kes yang dikendalikan firma guaman beliau adalah kes-kes Defendan. 90% kes-kes yang dikendalikan melibatkan individu yang disaman oleh bank. Pendek kata, saya adalah peguam yang mewakili semua individu yang disaman bank akibat kegagalan membayar hutang bank. Kebetulan pada masa itu, tahun 1998 adalah tahun “recession“. Ekonomi meleset dengan teruk. Ramai antara kawan-kawan saya menganggur. Ramai yang diberhentikan kerja.Kilang banyak buang pekerja. Justeru, semua kes yang dikendalikan tentu sekali akan menemui kekalahan kerana tiada “defence“. Saya cuma melengah-lengahkan masa supaya client saya mempunyai masa untuk mencari wang bagi menyelesaikan tuntutan hutang bank.

Satu lagi, 99% ‘client’ saya adalah orang Cina. Staff saya juga semua berbangsa Cina. Mahu tidak mahu terpaksalah saya belajar dua tiga patah bahasa Hokkien dan Kantonese yang asas bagi membolehkan saya memahami perbualan mereka, dan bos saya ini amat menggalakkan saya belajar Bahasa Mandarin kerana ini adalah kelebihan bagi saya.

Selesai “chambering” selama 9 bulan, saya ditauliahkan sebagai Peguambela & Peguamcara di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Saya kemudiannya meneruskan kerjaya saya sebagai “full flesh lawyer” di firma berkenaan sehinggalah kematian beliau.3 tahun saya bersama beliau sehinggalah firma yang kecil itu berkembang menjadi sebuah firma yang memiliki 4 peguam muda dan saya muncul sebagai peguam paling “senior”.

Gaji boleh tahan juga dengan elaun-elaun yang istimewa. Tambahan lagi, beliau tidak kedekut dengan saya dan tidak lokek untuk menurunkan ilmu. Saya amat menghargai kesediaan beliau mengajar saya “skill” untuk berhujah di mahkamah dan berdepan dengan peguam-peguam kanan. Selepas setahun, saya menjadi bertambah yakin dan telah diamanahkan untuk mengendalikan kes-kes besar di Mahkamah Tinggi. Antara kes yang dikendalikan ialah kes-kes yang melibatkan “contra trading” atau pembelian sekuriti dan saham. Saya banyak berjalan ke seluruh Malaysia kerana kes-kes yang dibicarakan di serata tempat seperti di Kuala Terengganu, Kota Bharu, KL, Taiping dan Johor Bharu. Manakala Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sudah menjadi tempat kebiasaan saya kerana majoriti kes saya banyak di sana. Banyak pengalaman yang saya pelajari sepanjang bekerja dengan beliau, dan saya cukup selesa dengan keadaan ini.

Kematian beliau saya terima dengan perasaan yang sedih. Kematian beliau bagaikan suatu nikmat makanan yang disentap dari mulut saya ketika sedang senyap mengunyah. Saya menerimanya dengan perasaan terbuka bahawa ini adalah takdir dari langit. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi di sebalik peristiwa berdarah ini. Mungkin Allah ingin menunjukkan sesuatu kepada hamba-hambanya yang lemah dan lalai ini.

Selama beberapa bulan juga saya turun naik balai polis Bukit Mertajam untuk memberi keterangan satu persatu termasuk membuat pengecaman.Saya membawa lebih 70 fail client untuk disemak bagi mencari motif. Namun, akhirnya kes ini berakhir begitu sahaja tanpa ada sebarang tangkapan dan dakwaan dibuat. Siapa dan kenapa beliau dibunuh tidak saya ketahui motifnya. Cuma yang saya ingat, sehari sebelum kematian beliau, beliau ada menghubungi saya petang maghrib untuk memaklumkan saya sesuatu. Saya merasa pelik kerana beliau tidak pernah menelefon saya untuk suatu perkara yang kecil bagi saya. Namun, saya tidak menyangka bahawa keanehan sikap beliau pada petang itu menandakan bahawa beliau akan pergi meninggalkan saya untuk selama-lamanya. Selain itu, sebulan sebelum kematiannya, beliau meminta saya supaya menjadi saksi wasiat seluruh hartanya yang diberikan kepada anak tunggalnya. Memang pelik tapi itulah tanda-tanda yang saya perolehi.

Saya tidak pernah menyangka bahawa kerjaya saya di situ akan berakhir begitu sahaja. 3 bulan selepas itu, selepas selesai menghabiskan semua tugas-tugas tertunggak saya meninggalkan firma tersebut buat selama-lamanya. Khabarnya ada individu yang membeli firma tersebut dan kini firma tersebut telah pun ditutup. Kadang-kadang bila pulang ke Pulau Pinang , jika ada masa, saya akansinggah di kawasan tersebut.Ternyata terlalu banyak perubahan dan firma tempat saya bekerja telah pun diambilalih oleh firma lain. Rasa sedih pun ada, tapi apa boleh buat telah ditakdirkan sedemikian.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa tidak saya sahaja yang mengambil alih sahaja firma tersebut. Soal liabiliti menjadi isu besar yang saya pertimbangkan. Saya tiada wang untuk membeli dan saya tidak tahu samada “clientel” akan kekal atau sebaliknya. Justeru, saya memilih untuk berhijrah ke Sungai Petani, Kedah bagi melupakan seketika kenangan pahit ini.

Sebenarnya, saya mempunyai banyak rahsia dan perkara yang ingin diceritakan mengenai punca pembunuhan ini berlaku. Saya melakukan siasatan sendiri dan membuat kesimpulan sendiri mengenai motif pembunuhan beliau. Namun, ini semua teori saya semata-mata dan biarlah saya simpan rapat-rapat di dalam hati saya.

Kini, selepas 9 tahun berlalu ingatan saya bagaikan ditarik-tarik kembali untuk mengingati peristiwa pahit tersebut. Gambaran saya di hospital, di bilik mayat menunggu hasil bedah siasat, di rumah mendiang dan di ‘crematorium‘ bagaikan satu tayangan slide yang melintasi pemikiran saya setiap kali mengingati peristiwa tersebut.

Suatu yang saya kesali, saya gagal untuk berdakwah kepada beliau untuk mengenal Islam dengan lebih dekat lagi. Saya pernah menerangkan kepada beliau mengenai Islam terutamanya kewajipan solat dan makanan yang halal. Sebab itu, beliau akan pastikan setiap hari Jumaat saya tidak diganggu dan jika hendak makan saya akan dibawa ke restoran yang halal sahaja. Jauh di sudut hati, kekesalan itu berbuku di hati. Mungkin sekiranya beliau masih hidup sehingga ke hari ini, dapatlah saya menghadiahkan buku-buku mengenai Islam kerana beliau sangat suka membaca hinggakan firma kami menjadi pusat kepada peguam lain untuk meminjam buku dan law reports.

Apa pun, tragedi ini telah pun tersimpan di dalam lipatan sejarah. Tidak mungkin dapat dibuka kembali. Saya cuma dapat mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku. Setiap manusia yang hidup di muka bumi ini akan diuji dan saya diuji dengan peristiwa pahit begini. Sehingga kini, jika saya bertemu dengan kawan-kawan lama saya maka mereka akan mengingati saya dengan peristiwa bos saya mati ditembak. Pelik bukan, saya diingati oleh kawan-kawan dengan peristiwa ini.

Sesungguhnya beliau telah pergi, pergi takkan kembali.

ABU WAFI @ ABU MUNZIR, Putrajaya. (3 Mac 2009)

6 comments on “Tragedi 2 Mac 2000

  • salam, saya baru membaca kisah ini. betul kalau seorang bos yang baik dan ingin menjadikan kita insan yang cemerlang dia tidak akan mengira bangsa dan agama. kisah ini begitu menyentuh perasaan sya.

  • I salute you Mr. Abu Wafi. I am touched by your words. many years since I read Bahasa and it touches me deeply. Mr. Chee Is my best classmate in high school. What a fantastic tribute to a fantastic person.

    HTeng Brisbane Australia.

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: