Archives

All posts for the month June, 2010

Saya belajar bahawa

Published June 28, 2010 by Menikmati Takdir Langit
Saya belajar, bahawa saya tidak dapat memaksa orang lain mencintai saya, saya hanya dapat melakukan sesuatu untuk orang yang saya cintai…
Saya belajar, bahawa butuh waktu bertahun-tahun untuk membangun kepercayaan dan hanya beberapa detik saja untuk menghancurkannya…

Saya belajar, bahawa orang yang saya kira adalah orang yang jahat, justeru adalah orang yang membangkitkan semangat hidup saya kembali serta orang yang begitu perhatian pada saya..

Saya belajar, bahawa sahabat terbaik bersama saya dapat melakukan banyak hal dan kami selalu memiliki waktu terbaik….

Saya belajar, bahawa persahabatan sejati senantiasa bertumbuh, walau dipisahkan oleh jarak yang jauh. Beberapa diantaranya melahirkan cinta sejati…

Saya belajar, bahawa jika seseorang tidak menunjukkan perhatian seperti yang saya inginkan, bukan bererti bahawa dia tidak mencintai saya….

Saya belajar, bahawa sebaik-baiknya pasangan itu, mereka pasti pernah melukai perasaan saya….. dan untuk itu saya harus memaafkannya…

Saya belajar, bahawa saya harus belajar mengampuni diri sendiri dan orang lain…., kalau tidak mahu dikuasai perasaan bersalah terus menerus….

Saya belajar, bahawa tidak masalah berapa buruknya patah hati itu, dunia tidak pernah berhenti hanya gara-gara kesedihan saya…

Saya belajar, bahawa saya tidak dapat merobah orang yg saya sayangi, tapi semua itu tergantung dari diri mereka sendiri….

Saya belajar, bahawa lingkungan dapat mempengaruhi peribadi saya, tapi saya harus bertanggungjawab untuk apa yang saya telah lakukan….

Saya belajar, bahawa dua manusia dapat melihat sebuah benda, tapi kadang dari sudut pandang yang berbeda….

Saya belajar, bahawa tidaklah penting apa yang saya miliki, tapi yang penting adalah siapa saya ini sebenarnya….

Saya belajar, baahwa tidak ada yang instan atau serba cepat di dunia ini, semua butuh proses dan pertumbuhan, kecuali saya ingin sakit hati….

Saya belajar, bahawa saya harus memilih apakah menguasai sikap dan emosi atau sikap dan emosi itu yang menguasai diri saya…

Saya belajar, bahawa saya punya hak untuk marah, tetapi itu bukan bererti saya harus benci dan berlaku bengis….

Saya belajar, bahawa kata-kata manis tanpa tindakan adalah saat perpisahan dengan orang yang saya cintai…

Saya belajar, bahawa orang-orang yang saya kasihi justeru sering diambil segera dari kehidupan saya….

Nukilan Alung Sahabat Lautku dari Riau Indonesia. Terima kasih kerana mengizinkannya. Saya membacanya dengan penuh sedar bahawa kandungan puisi ini cukup melankolik dengan kehidupan insan yang ada naik turunnya seperti iman yang juga ada naik turunnya. Jika puisi ini diterjemah terus ke Bahasa Melayu saya suka menggantikan perkataan belajar dengan perkataan sedar. Namun saya lebih suka puisi ini dalam bahasa asalnya kerana kelihatan lebih segar, bertenaga dan menepati maksud yang hendak disampaikan.Membaca puisi alung ini mengingatkan saya kepada penyair-penyair Indonesia seperti Rendra dan Chairil Anwar yang lebih ‘direct’ dan berterus terang.

Abu Wafi, Putrajaya

Terjemahan :

1. Lingkungan – persekitaran atau waqi’ setempat;

2. Instan – pinjaman perkataan dari Bahasa Inggeris sebagai segera;dan

3. Butuh – memerlukan

Alung Malyakin (www.mypulaulaut.blogspot.com)

Hijau yang mempesona

Published June 26, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Saya baru sahaja membeli buku kecil ini 2 hari yang lalu di Masjid Kolej Islam PJ. Kerana buku ini saya sanggup ‘skip lunch’ meninggalkan pejabat untuk mendapatkan buku yang sungguh berharga ini. Mendengar nama tajuknya sahaja sudah menarik perhatian saya untuk mendapatkannya.

Buku kecil tulisan bekas siswazah Akademi Pengajian Islam UM Saudara Dzul Khairi ini bagi saya cukup berharga. Biarpun ringkas, isinya tetap padat dan sarat dengan nasihat-nasihat berguna yang dikutip dari para alim ulama sepanjang zaman.

Dengan harga RM8.00 anda akan mengalami kepuasan emosi dan santapan rohani yang mantap. Satu pelaburan yang kecil di dunia, namun satu pelaburan besar di sisi Allah.

Buku ini mungkin kecil atau dipandang sebagai bahan bacaan ringan oleh sesetengah pihak namun buku ini berupaya untuk mengubah persepsi dan sikap manusia menjadi lebih baik. Buku kecil bersaiz poket ini sama sekali tidak menghampakan sesiapa yang membacanya malah bisa menggerakkan hati yang lalai kepada Allah.

Dalam masa 40 minit  dengan 40 nasihat rabbani yang berguna untuk kehidupan siapa sahaja boleh mengkhatamnya.  Namun saya memilih untuk membaca berdikit-dikit kerana saya rasa sayang untuk menghabiskan buku ini. Biarlah saya memuaskan jiwa saya dengan titipan kata-kata semangat nukilan Imam Atoilah, Al-Qushairi, Ibnu Mas’ud dan ulama-ulama yang tajam mata hati mereka mengenai dunia ini.

Sempat juga saya meminjamkan kepada 2 orang rakan sekerja semasa waktu senggang dan komen mereka isi kandungannya adalah “mantop”.

Dunia ini ibarat sayur-sayuran hijau yang segar bugar, atau seperti rerumput dan dedaunan yang hijau namun sayangnya kesegaran dan kehijauan itu tidak bertahan lama. Mudah layu dan mudah hancur “perishable”. Warna hijau memang menarik dan menyegarkan kepada sesiapa yang melihatnya sehingga ada yang sanggup berusaha bermati-matian untuk mendapatkan kemewahan dan keseronokan yang tidak kekal itu.

Yang hijau itu menawan. Namun ia bagaikan fatamorgana, menipu kita tanpa kita menyedarinya    [m/s 50]

Sesungguhnya dunia ini mundur ke belakang, sedangkan akhirat ada di hadapan. Setiap daripadanya memiliki anak. Maka jadilah anak akhirat, jangan jadi anak dunia.[m/s 40]

Terima kasih kepada penulis atas usaha yang telah diambil untuk menghasilkan buku ringkas namun banyak manfaat untuk umat ini.

Abu Wafi, Seksyen 17 Petaling Jaya


Syahid itu anugerah

Published June 14, 2010 by Menikmati Takdir Langit

“Pada hari akhirat, kita semua akan dibangkitkan bersama-sama rakyat Palestin. Pada masa itu kita akan disoal oleh Allah apa yang telah kita lakukan untuk membantu Palestin? Isu Palestin bukan isu kemanusiaan semata-mata tetapi isu akidah yang melibatkan semua umat Islam tidak kira di mana mereka berada.”

Pada 12 Jun 2010, Ketua Sukarelawan Malaysia Life Line for Gaza, Tuan Hj. Noorazman Mohd. Samsuddin telah singgah di Putrajaya untuk menceritakan pengalaman beliau bersama 11 rakyat Malaysia yang lain di dalam kapal Mavi Marmara ketika diserang tentera Israel. Ceramah ini dianjurkan oleh Haluan Malaysia dengan kerjasama Surau Putra Harmoni.

Penceritaan pengalaman beliau boleh dibahagikan kepada 3 fasa:-

1.Persiapan sebelum pergi- dimaklumkan bahawa semua anggota misi kemanusiaan telah bersedia fizikal dan mental bahawa pemergian mereka ke Gaza belum tentu terjamin bahawa mereka akan selamat kembali ke Malaysia;

2. Insiden mencemaskan di atas kapal; dan

3. Pengalaman di dalam penjara Israel.

Ringkasan ceramah beliau dapat saya simpulkan seperti berikut:-

Persiapan ke Gaza

1. Terdiri daripada pelbagai NGO besar di seluruh dunia yang diketuai oleh Turki. Mendapat halangan dan tekanan sehingga ada 2 buah kapal iaitu Challenger 1 dan Challenger 2 disabotaj. Selain itu, perjalanan mereka tergendala sedikit akibat kelewatan kapal lain menyertai mereka. Misi kemanusiaan ini dinamakan sebagai “Life Line For Gaza”.

2. Kapal Mavi Marmara hanya membawa penumpang sebanyak 600 orang. Paling muda 2 bulan setengah (bayi warga Turki bersama ibu bapanya) dan paling tua berusia 83 tahun seorang warga Jordan.

3. Turut serta dalam misi kemanusiaan ini ialah beberapa ahli Parlimen Eropah, Turki, seorang paderi dan seorang Ahli Parlimen Israel.

4. Misi ini adalah misi kemanusiaan yang bertujuan menghantar bekalan makanan, ubat-ubatan, peralatan, kepada penduduk Gaza yang dikepung sejak 3 tahun lalu tanpa membawa apa-apa senjata melainkan pisau untuk memasak.

Suasana di dalam Kapal Mavi Marmara

1. Menurut beliau, walaupun di dalam kapal Mavi Marmara terdapat banyak perbezaan khususnya dari sudut bangsa, agama, keturunan, negara kelahiran namun ini tidak menghalang mereka daripada bersatu hati dan matlamat. Malahan mereka berjaya mengetepikan perbezaan itu buat sementara dan menfokuskan kepada misi membantu penduduk Gaza semata-mata.

2. Malam sebelum mereka menghampiri perairan Gaza yang dijangka tiba pada waktu subuh, semua penumpang melakukan solat Isyak berjemaah di dek. Saat paling syahdu ialah apabila imam membacakan doa qunut nazilah yang panjang dan berucap kepada makmum bahawa ini mungkin solat mereka yang terakhir maka lakukanlah dengan bersungguh-sungguh dan penuh khusyuk. Ramai yang menangis termasuk paderi Kristian yang turut sama dalam solat berjemaah tersebut. Mereka benar-benar bergantung harap dengan Allah dan menyerahkan diri bulat-bulat kepada sambil mulut tidak henti-henti mengucapkan kalimah “hasbunallahiwanikmal wakil” – doa yang dibaca oleh Nabi Ibrahim a.s ketika dibakar oleh Raja Namrud bermaksud “cukuplah Allah sebagai pelindung mereka”.

3. Jam 4.15 pagi keadaan masih gelap di luar dan kabut tebal menyelubungi kapal. Waktu Subuh telah masuk dan masing-masing mengambil tempat untuk melakukan solat subuh secara bergilir-gilir;

4. Semua penumpang dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kemungkinan terdapatnya ancaman lanun-lanun kecil dari puak pelampau Yahudi cuba menyerang kapal;

5. Kelihatan lampu-lampu kecil armada tentera laut Israel dan helikopter mereka;

6. Mavi Marmara pada ketika itu berlabuh lebih kurang 70 batu nautika dari perairan Gaza. Sempadan tentera yang ditetapkan oleh Israel ialah 68 batu nautika dan ini bermakna Mavi Marmara diserang di perairan antarabangsa;

7. Percubaan pertama – bot tentera marin Israel menghampiri kapal dan tenteranya cuba memanjat kapal dengan bantuan tangga namun berjaya dipatahkan oleh sukarelawan dengan menyembur air dari hos bomba beberapa kali sehingga mereka berundur;

8. Percubaan kedua – melalui helikopter dengan menurunkan 3 anggota komando tetapi berjaya ditawan oleh sukarelawan dari Turki yang berada di atas dek 1;

9. Percubaan ketiga – helikopter disuluh dengan lampu kapal menyebabkan mereka berpatah balik;

10. Percubaan ke-3 saat paling kritikal – helikopter Israel merendahkan terbangan tetapi tidak menurunkan apa-apa sebaliknya melepaskan berdas-das tembakan sehingga mencederakan beberapa sukarelawan dari Turki. Pada masa itu, semua sukarelawan Malaysia berada di dek 3 kerana telah diamanahkan supaya menjaga dek 3 dan tidak dibenarkan meninggalkan tempat masing-masing walau apa pun yang terjadi. Amanah ini dipegang rapi oleh semua sukarelawan;

11. Turut terkena tembakan adalah 3 anggota komando tentera Israel yang dibawa ke bilik rawatan untuk dirawat oleh pegawai perubatan. Akhlak yang baik ditunjukkan oleh sukarelawan ini mengingatkan saya kepada peristiwa Perang Salib di mana Salahuddin Al-Ayyubi menghantar doktor dan buah-buahan kepada panglima tentera Salib Richard The Lion Heart;

12. Saudara Norazman menceritakan bahawa pada saat itu, bertubi-tubi tembakan dilepaskan oleh tentera Israel melalui helikopter dan bot marine. Mereka menggunakan peluru hidup dan semua sukarelawan dan penumpang bertahan di dalam dek. Bagaikan satu keajaiban yang berlaku, Allah mencabut perasaan takut dari hati semua sukarelawan, mungkin disebabkan solat malam berjemaah yang hebat sehari sebelum kejadian itu;

13. Diringkaskan cerita, kapal tersebut akhirnya ditawan dan dibawa ke pelabuhan Ashdood. Semua penumpang diikat ketat dan tidak diberi makan minum selama 15 jam sebelum dihumban di dalam penjara Israel namun setelah didesak pihak Israel memberika air mineral kepada semua tahanan;

14. Mereka turut mendesak supaya 5 orang sukarelawan yang cedera parah dihantar ke hospital sekitar Israel secepat mungkin namun mereka syahid semasa dalam perjalanan ke hospital. Mungkin disebabkan kehilangan darah yang banyak, kelewatan mendapat rawatan atau disabotaj oleh tentera Israel semasa dalam perjalanan. Jumlah syahid meningkat dari 4 kepada 9 orang. Allahuakbar.

Bersungguh-sungguh beliau menceritakan pengalamannya

Bersalam-salaman dengan jemaah seusai ceramah

Jualan barang-barang Palestin

Sukarelawan Haluan Malaysia

Ceritanya panjang dan rasanya tidak cukup untuk saya memperincikan semuanya satu persatu. Cukuplah jika saya katakan bahawa mendengar pengkisahan pengalaman beliau sahaja sudah cukup untuk menggetarkan hati saya dan menyebabkan badan saya berpeluh. Saya seperti berada di atas kapal tersebut dengan perasaan berdebar-debar yang kuat. Sungguh suspend.

Cerita Syahid

1. Menurut Tuan Hj. Noorazaman, seorang aktivis Turki telah ditembak oleh sniper (penembak tepat) di tengah dahi sehingga otaknya tersembur keluar dari belakang kepalanya. Beliau adalah seorang yang sangat soleh. Sentiasa membantu penumpang lain dengan membersihkan kapal dan memberikan air kepada mereka yang memerlukannya. Beliau sempat bertahan selama 15 minit sebelum menemui syahid.

2. Seorang lagi sukarelawan Turki ditembak di perut sehingga pecah ususnya turut menemui syahid akibat kehilangan darah yang banyak;

3. Seorang pegawai perubatan Malaysia yang mangsa terkorban melaporkan bahawa beliau tercium bau wangi umpama kasturi ketika beliau mencium dahi salah seorang dari mereka, petanda mati syahid. Malahan wajah mereka juga kelihatan bersih dan tenang walaupun mengalami kecederaan yang teruk.

“Kami pergi ke Gaza adalah untuk Misi Kemanusiaan dan Keamanan bukan mencari syahid. Tetapi sekiranya ditakdirkan kami syahid, maka itu adalah anugerah Allah untuk kami”.         Tuan Hj. Noorazman Samsuddin.

4. Hanya Allah yang maha mengetahui hamba-hambaNya yang layak dianugerahkan title syahid. Mungkin semua sukarelawan Malaysia masih belum bersedia lagi, ujar beliau lagi.

5. Kelebihan orang yang mati syahid ialah di hari akhirat  selain syafaat para Nabi dan Rasul, syuhada juga boleh memberi syafaat kepada 70 kaum keluarga mereka yang terdekat mengikut hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud. Istimewanya mereka di sisi Allah.

Pemenjaraan di Barsheeba

Penjara di Barsheeba adalah penjara baru yang dikhususkan untuk mereka. Keperitan berada di dalamnya hanya Allah sahaja yang tahu. Semua sukarelawan dipisah-pisahkan antara satu sama lain. Mereka hanya diberi makan buah apricot, timun dan lobak merah.  Sepanjang berada di dalam tahanan, beberapa pegawai kedutaan datang menjemput rakyat mereka namun memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel maka tiada wakil kedutaan yang dapat masuk menemui mereka. Sehinggalah pada suatu hari wakil kedutaan Jordan masuk dan membawa mereka keluar. Ketika itu, barulah terbayang dan teringat wajah insan tersayang di Malaysia.

Penutup

Misi kemanusiaan yang gagal ini akan diteruskan pada masa hadapan dengan strategi yang lebih tersusun. Kegagalan misi bantuan kemanusiaan ini sama sekali tidak mematahkan semangat mereka untuk bekerja lebih kuat lagi untuk memecahkan blockade di Gaza. Itu janji Tuan Hj. Noorazman kepada Allah jika dibebaskan.

Mudah-mudahan beliau akan berusaha lebih keras lagi. Kita doakan semoga beliau dan rakan-rakan yang lain dapat menerobos tembok besar Gaza suatu hari nanti.

Insyallah !!!!!

Abu Wafi.

 

Akhirnya mereka pergi jua

Published June 10, 2010 by Menikmati Takdir Langit

12 sukarelawan Malaysia di dalam kapal Mavi Marmara akhirnya selamat tiba di tanahair minggu lepas. Ini disusuli pula dengan 6 sukarelawan Malaysia di dalam kapal Rachel Corrie yang tiba pada 7 Jun 2010. Semuanya selamat dan mereka diberikan sambutan wira negara. Walau bagaimanapun, ketua sukarelawan Malaysia Saudara Norazman dari Haluan Palestin berkata wira sebenar bukan mereka tetapi penduduk Gaza yang cekal berhadapan dengan Regim Zionis setiap hari.

Sesungguhnya Gaza adalah penjara terbuka yang berbumbungkan langit, berlantaikan tanah dan berdindingkan tembok besar seumpama Tembok Berlin.

Sesungguhnya Gaza adalah wilayah kecil yang ‘fragile’ bila-bila masa sahaja boleh pecah dan meletus kekacauan.

Sesungguhnya Gaza tidak pernah sunyi dari bunyi tembakan dan ledakan bom yang memecah keheningan malam.

Penduduk Gaza hidup dalam keadaan yang penuh tekanan namun mereka terus cekal menghadapinya.

Sesungguhnya Gaza adalah bumi sejuta syahid kerana hari-hari ada sahaja yang syahid di bumi Gaza. Kematian penduduk Gaza bukanlah kematian biasa sebaliknya kematian yang luar biasa. Kematian yang tidak terdapat di tempat lain.

Dan pada 31 Mei 2010, 9 aktivis sukarelawan Turki yang mengikuti misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada saudara seagama mereka di Gaza akhirnya syahid di atas kapal Mavi Marmara.

Sesungguhnya saya kagum dengan semangat juang mereka yang sanggup merentasi lautan luas untuk saudara-saudara mereka di Gaza. Nafsu apakah yang mendorong mereka untuk ke sana? Keazaman apakah yang telah menunjangi sanubari mereka sehingga bertindak sejauh itu? Jawapannya adalah kerana rahmat Allah yang telah turun menyuburi hati mereka untuk mencintai dan mengasihi saudara-saudara mereka di Gaza.

Rasulullah SAW bersabda, “Allah swt mempunyai seratus rahmat (kasih sayang), dan menurunkan satu rahmat (dari seratus rahmat) kepada jin, manusia, binatang, dan haiwan melata. Dengan rahmat itu mereka saling berbelas-kasih dan berkasih sayang, dan dengannya pula binatang-binatang buas menyayangi anak-anaknya. Dan Allah swt menangguhkan 99 bahagian rahmat itu sebagai kasih sayang-Nya pada hari kiamat nanti.” (H.R. Muslim).

Walaupun hanya 1% sahaja dari rahmatNya yang diturunkan ke bumi, namun rahmat kasih sayang yang sedikit inilah yang telah menggerakkan hati-hati mereka untuk ke Gaza. Mereka pergi kerana kasih kepada saudara mereka. Mereka pergi kerana rasa tanggugjawab kepada saudara mereka. Mereka pergi kerana tidak sanggup lagi melihat penderitaan penduduk Gaza. Mereka pergi dalam keadaan mereka sedar akan risiko yang bakal mereka hadapi. Akhirnya ketetapan Allah menentukan bahawa mereka pulang kepadaNya dalam keadaan termulia di sisi Allah. Semoga mereka bahagia dengan kehidupan baru yang lebih baik di sana.

“Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

( Ali Imran: 169-170)

Untuk kita yang masih tinggal di dunia ini manfaatkanlah rahmat 1% yang Allah turunkan kepada kita untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin dan Gaza.

Teringat saya kepada Rasulullah saw yang mafhumnya berbunyi, 3 perkara jika ada dalam diri seseorang, maka dia akan mendapat kemanisan iman, pertama Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada yang lain, kedua dia mencintai saudara seislamnya semata-mata kerana Allah dan ketiga dia bimbang melakukan maksiat, sebagaimana dia bimbang jatuh ke dalam api.

Daripada 1% rahmat yang Allah turunkan ke muka bumi ini kepada kita telah kita bahagi-bahagikan kasih sayang tersebut kepada anak isteri, ibu bapa, sanak saudara dan rakan terdekat namun pernahkah kita bertanya kepada diri berapa peratus pula daripada bahagian tersebut kita peruntukkan untuk saudara-saudara kita di Gaza?

0.001% atau mungkin kurang lagi?

Tidak mahukah kita mengecapi manisnya iman kerana mencintai saudara-saudara seagama kita di Gaza?

Sesungguhnya mereka juga mempunyai hak ke atas kita.

Fikir-fikirkanlah !!!!!

Abu Wafi, Putrajaya

Diari: Cuti rehatkan minda

Published June 9, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Cuti sekolah pun bermula selama 2 minggu. Sudah 3 tahun saya tidak dapat mengambil cuti panjang semasa cuti persekolahan. Puncanya setiap kali cuti sekolah bermula, maka setiap kali itulah kerja saya bermula. Tetapi kali ini saya bertekad untuk bercuti selama 3 hari dan pulang ke kampung halaman di Kulim, Kedah. Sudah 6 bulan saya tidak menjengah kampung halaman dan daerah kelahiran. Sudah terlalu banyak perubahan yang berlaku pada tempat kelahiran saya dan tiba-tiba saya terasa rindu yang amat sangat pada tanah tumpah darah ini.

Terlalu banyak perkara yang hendak diselesaikan dan terlalu banyak kenangan yang perlu dikutip sepanjang 6 bulan yang lalu. Banyak perkembangan saudara mara yang sudah saya ketinggalan.

Saya ingin menatap wajah ayah bonda yang selama ini bersusah payah membesarkan saya yang selama ini hanya dihubungi dengan panggilan telefon  sebagai pengubat rindu.

Saya ingin sekali bertemu sama teman-teman rapat suatu ketika dahulu.Teman-teman persekolahan yang hilang entah ke mana dan teman-teman sekerja yang sudah membina kehidupan sendiri. Teman-teman inilah yang banyak memberi dorongan dan menjadi sumber inspirasi untuk saya terus hidup. Walaupun mereka semua telah bertebaran entah ke mana, ingin saja saya mencari mereka satu persatu dan membuka kembali lembaran kenangan-kenangan manis dan pahit bersama mereka.

Saya ingin saja berjalan ke sekolah lama saya, ke hospital saya dilahirkan dan ke tempat permainan saya semasa kecil. Ingin saya tunjukkan kepada anak-anak setiap langkah-langkah saya di daerah sunyi ini suatu masa dahulu.

Namun, saya tidak punya cukup masa untuk membawa saya menziarahi dan melewati semua tempat-tempat yang pernah saya kunjungi dahulu. Kedai makan kegemaran,tempat kerja lama saya dan teman-teman rapat adalah antara agenda yang ingin saya lakukan tetapi saya tidak mampu. Saya memerlukan masa yang panjang untuk tujuan itu.

Tiba-tiba saya dapat rasakan bahawa pemergian saya yang terlalu lama meninggalkan daerah ini membuatkan saya merasa begitu terasing walaupun di daerah kelahiran sendiri. Terlalu banyak perubahan yang drastik berlaku di sini. Daerah yang dahulunya sebuah kawasan luar bandar lagi terpencil mula pesat membangun. Kedai-kedai baru dan taman-taman perumahan tumbuh dengan pesatnya.

Saya sempat melawat ke pekan Bukit Mertajam, dan melewati hospital tempat saya dilahirkan 37 tahun yang lalu. Juga singgah di kedai roti benggali yang klasik namun penangan kesedapannya masih terasa hingga kini.

Hospital kelahiranku

Kedai roti terkenal di pekan Bukit Mertajam sejak 30 tahun lalu

Suasana damai di kampung

Bagi yang ingin mencari menggemari ayam goreng, bolehlah mencuba  ayam goreng Malaysia di Radix Fried Chicken yang hanya ada 2 outlet sahaja di Malaysia iaitu di Laguna Merbok dan Tesco Sungai Petani, Kedah.

Singgah di Radix FC di Laguna Merbok, Sg.Petani

Rasanya ‘not bad’

Dah sampai SP, sempat singgah ke pejabat rakan sehidup seakhirat Saudara Faisal Abdullah. Sudah hampir 3 tahun tidak bertemu beliau. Alhamdulillah, kami dipertemukan di pejabat beliau dalam satu pertemuan yang singkat tetapi cukup bermakna. Sahabat yang banyak membantu saya semasa susah. Pernah saya menumpang di rumah beliau ketika mula-mula bekerja di Sungai Petani sekitar tahun 2001. Sekarang telah membuka firma guamannya sendiri di Sungai Petani.

Bersama Chor (Faisal)

Kami sekeluarga juga sempat singgah berkelah di Sedim,tempat perkelahan dan reakreasi terkenal di selatan Kedah. Lebih kurang 40 minit dari rumah kami di Kulim. Selain dari tempat perkelahan, aktiviti outdoor dan aktiviti sukan lasak tempat ini adalah satu tempat yang bersejarah bagi negeri Kedah. Tunku Abdul Rahman, mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama pernah menyembunyikan ayahandanya dan kekandanya Sultan Abdul Hamid dan Sultan Badlishah daripada tentera Jepun di Sedim ini sehinggakan kampung ini dinamakan Kg Lindungan Raja. Selepas keadaan selamat dan Jepun meninggalkan Tanah Melayu, baginda sultan keluar dari tempat persembunyiannya. Mengikut Tunku dalam bukunya “Looking Back” beliau telah menculik dan melarikan ayahandanya ke Kulim ekoran tersebarnya berita bahawa Jepun akan membunuh Sultan. Pada mulanya kekandanya yang juga Raja Muda Tunku Badlishah membantah tindakan Tunku namun beliau akhirnya menyertai Sultan bersembunyi di daerah ini sehinggalah keadaan selamat. Usia Sultan ketika disembunyikan ialah 77 tahun mengikut catatan yang saya baca  di dalam rumah tersebut. Rumah persembunyian tersebut masih lagi utuh di sini dan tidak jauh dari sungai tempat perkelahan Sedim.

Sungai mengalir deras

Dari atas chalet

Di hadapan rumah persembunyian Sultan Abdul Hamid

Keadaan di  dalam rumah

Suasana di perkampungan Sedim ini cukup indah dan nyaman. Udaranya bersih. Persekitarannya bersih dan terpelihara. Tempat yang sesuai untuk merehatkan minda, menulis buku, mencari idea dan beruzlah mencari ketenangan dengan mengingati Allah di tempat yang sunyi ini. Tempat kerehatan bagi mereka yang ingin menenangkan fikiran dari stress bekerja.

Dalam pada kita ghairah mencari kerehatan di dunia, janganlah lupa bahawa kerehatan yang sebenar adalah kerehatan di akhirat. Di dunia kita berehat seketika untuk melepaskan penat lelah bekerja yang bersifat sementara sedangkan di akhirat kita berehat selama-lamanya setelah berpenat lelah di dunia dengan amalan-amalan soleh yang mudah-mudahan akan diterima Allah.Kita hanya berehat di akhirat, setelah amalan kita di dunia cukup untuk melayakkan kita mendapat rahmat dan syurga Allah.

Akhirat itu adalah tempat kerehatan yang sebenar, kekal abadi untuk mereka yang benar-benar mahu mengambil pengajaran. Dunia adalah tempat bekerja sekeras-kerasnya untuk kehidupan di akhirat yang kekal abadi.

Abu Wafi, Kulim, Kedah.

Gaza kami datang

Published June 3, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Akhirnya teka-teki mengenai nasib sukarelawan Malaysia di dalam kapal Mavi Marmara pun terjawab. Ashwad Ismail melaporkan dari Amman, Jordan mengenai kedudukan mereka. Rata-rata rakyat Malaysia mengucapkan syukur dan gembira dengan keadaan mereka yang tidak diapa-apakan. Cuma cerita pengalaman mereka yang terperinci belum dapat dipastikan. Apa pun, cerita-cerita yang saya dengar di Radio IKIM cukup tragik dan mendebarkan terutamanya ketika mereka dikepung dan tembakan gas pemedih mata dilepaskan kepada penumpang kapal Mavi Marmara.

Mavi Marmara akan terus dikenang di dalam sejarah sebagai lambang perjuangan dan kasih sayang saudara seagama atas dasar kemanusiaan untuk saudara mereka di Gaza.

Mavi Marmara akan terus diingati sebagai simbol solidariti atau penyatuan umat Islam malahan menjangkau kepada penganut agama lain yang turut serta memberikan sokongan seperti Gertha Berlin seorang aktivis NGO dari Eropah.

Mavi Marmara akan terus dikenang sebagai simbol jihad umat Islam untuk memecahkan ‘blockade’ atau sekatan regim zionis sejak 3 tahun yang lalu.

Mavi Marmara akan terus menghantui negara haram Israel sebagai satu ancaman dan tekanan baru dunia antarabangsa ke atas mereka.

Mavi Marmara bukanlah sebuah kapal penumpang biasa sebaliknya sebuah kapal yang luar biasa. Selain daripada membawa muatan kargo untuk rakyat Gaza, Mavi Marmara turut membawa 500 penumpang yang terdiri daripada sukarelawan biasa, pegawai perubatan, aktivis NGO, ulama terkenal dan juga ahli Parlimen Eropah.

Mavi Marmara akan terus diingati sejarah seperti mana tragedi hitam pembunuhan umat Islam di kem Shabra & Shatila.

Dengan seruan “Gaza here we come” mereka datang menempuhi perjalanan yang jauh dari Turki dengan satu harapan iaitu untuk membantu rakyat Gaza.

Sebelum ini, Gaza sudah tersedia tersepit dengan pelbagai sekatan dari darat, udara dan laut. Namun penduduk Gaza kreatif. Dengan kerjasama rakyat Mesir yang bersimpati dengan mereka di sempadan Rafah, mereka membina terowong untuk menyalurkan bekalan makanan,ubat-ubatan dan bekalan lain. Di sebalik sekatan yang ketat dikenakan, penduduk Gaza masih boleh hidup malahan Perdana Menteri Ismail Haniyeh masih mampu tersenyum dan berjuang untuk Gaza. Akhirnya Mesir bertindak menutup sempadannya dengan Israel dan menyebabkan 200 terowong rahsia akhirnya ditinggalkan begitu sahaja.

Mesir oh Mesir, kenapakah engkau begitu tergamak mengikut telunjuk ajar Israel laknatullah…..

Mavi Marmara bukan nama biasa. Marmara adalah nama laut di Turki.Laut yang memisahkan antara Turki Asia dan Turki Eropah. Tentu ada sesuatu yang istimewa mengenai laut ini sehingga dipilih sebagai nama kapal yang luar biasa ini.

19 sukarelawan yang terbunuh di dalam Mavi Marmara, bukan mati sia-sia. Mereka mendapat ganjaran syahid atas perjuangan membantu saudara Islam mereka. Rahmat Allah  yang telah menurunkan perasaan kasih sayangNya kepada mereka sehingga menggerakkan hati mereka untuk pergi ke Gaza.

Seruan “Gaza Here We Come” tiba-tiba terngiang-ngiang di telinga saya seperti membisikkan sesuatu. Bisikan yang memberi makna agar kita tidak melupakan saudara seagama di sana. Moga kita diberi kekuatan untuk bertindak seperti saudara-saudara kita di atas Mavi Marmara dan konvoi Flotila yang lain.

Mudah-mudahan….

Abu Wafi, Putrajaya

 

Mavi Marmara yang akan diingati

Published June 1, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Dunia menyaksikan sekali lagi episod kekejaman Rejim Zionis. Kali ini mereka mensasarkan kekejaman mereka dengan menyerang dan membunuh sukarelawan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Keganasan Israel tidak mengenal siapa pun walaupun misi kemanusiaan yang tidak bersenjata.

Selama ini saya hanya memerhati dari jauh dan mengikuti dengan penuh minat misi kemanusiaan ini. Terdetik di hati bahawa suatu hari nanti saya juga ingin terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan untuk membantu saudara seagama di Palestin. Isu Palestin memang telah menarik perhatian saya sejak sekian lama.

Sebelum kapal “Mavi Marmara” diserang, saya sempat mengikuti perkembangan dari atas kapal tersebut menerusi wartawan Astro Awani Aswad Ismail yang sibuk menemuramah sukarelawan di atas kapal. Timbul kekaguman pada diri saya atas keberanian beliau untuk turut serta dalam misi yang penuh risiko itu.

Wartawan Ashwad Ismail

31 Mei jam 4.30 petang, saya mendapat sms dari seorang sahabat di Pulau Pinang meminta doa untuk keselamatan anggota sukarelawan Malaysia dan lain-lain negara yang sedang dikepung oleh tentera marine Israel. Hanya doa yang dapat kupanjatkan.

Sehingga semalam, saya menanti dengan penuh debaran mengenai nasib anak kapal yang ditahan di sebuah pelabuhan di Israel. Nasib 2 wartawan Malaysia bersama 10 sukarelawan Malaysia lain juga tidak diketahui. Kita mendoakan semoga Allah melindungi mereka namun jika ditakdirkan mereka syahid, itu adalah ketetapan Allah yang terbaik untuk mereka.

Dan hari ini dilaporkan bahawa kesemua 12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal tersebut, dikhabarkan bahawa mereka kini sedang ditahan di dalam penjara di Israel. Sehingga catatan ini ditulis, belum ada tanda-tanda mereka akan dibebaskan.

Malam ini, saya berada di surau Al-Mizan, Putrajaya. Kebetulan ada kuliah Tasawwur Islam dan isu yang menarik perhatian ialah amal jariah kita untuk saudara-saudara kita di Palestin. Apakah yang telah kita lakukan setakat hari ini?

Di mana sumbangan harta benda kita dan di mana doa kita untuk keselamatan mereka?

Tabik hormat buat sukarelawan yang telah syahid semasa dalam misi membawa bantuan kemanusiaan untuk saudara seagama mereka yang menderita sekian lama di Gaza. Paling saya tersentak ialah apabila ustaz menyatakan bahawa semulia-mulia kematian adalah mati syahid dan di zaman yang serba moden ini mati syahid adalah kematian yang sungguh luar biasa berbanding kematian biasa di hospital dan jalan raya. Namun tidak ramai yang bisa mengecapinya kecuali mereka yang terpilih dan mempunyai niat yang ikhlas dalam membantu agama Allah ini.

Mudah-mudahan Allah akan menggantikan kehidupan para syuhada’ yang pergi di atas kapal Mavi Marmara ini dengan kehidupan yang lebih baik di syurga.

Pesanan ustaz, di dunia kita sibuk merancang kehidupan, merancang untuk membeli rumah, membeli kereta, menghimpun harta tetapi jarang yang merancang bagaimana cara dia hendak mati. Tidak langsung pernah terlintas di hati akan cara bagaimana kita ingin pergi bertemu Allah. Adakah kita ingin mati di hospital akibat sakit kanser, serangan jantung atau mati kemalangan di jalan raya atau kita ingin mati syahid seperti saudara-saudara kita di atas kapal Mavi Marmara. Kata Ustaz, berazamlah, bercita-citalah dan berdoalah semoga kita beroleh kematian semulia itu, kematian yang luar biasa di zaman internet ini.

Teringat saya kepada kata-kata mantan pemimpin Hamas yang syahid dibom peluru berpandu Israel Syeikh Abdul Azizi Rantisi:-

“It’s death whether by killing or by cancer; it’s the same thing. Nothing will change if it’s an Apache (helicopter) or cardiac arrest. But I prefer to be killed by Apache.” ~ As Syahid Dr Abdul Aziz Al Rantisi.

” Ianya tetap mati samada disebabkan oleh dibunuh atau penyakit kanser. Tidak ada apa yang berubah sekiranya helikopter Apache atau serangan sakit jantung. Aku lebih suka memilih untuk mati diserang apache”

Ceramah disudahi dengan solat Isyak dan kemudiannya kami semua melakukan solat Hajat. Terasa sedikit terkesan dan terharu dengan bacaan imam semasa membaca Qunut Nazilah.

Rakyat Gaza (sebutan betulnya Ghazzah) sedang tersepit dan tertekan dengan sekatan yang dikenakan ke atas mereka. Namun mereka tetap cekal menghadapinnya.

Gaza adalah bumi kelahiran Imam Syafie yang menjadi mazhab ikutan umat Islam di Malaysia. Gaza bumi tempat Nabi Ibrahim a.s bermastautin sehingga akhir hayatnya. Sesungguhnya, Gaza adalah bumi yang dimuliakan. Mempertahankan bumi Gaza adalah sesuatu yang sungguh mulia di sisi Allah.

Inilah sumbangan yang dapat saya berikan. Hanya doa dan rasa prihatin terhadap apa yang menimpa saudara seagama kita di Gaza dan para ikhwah yang memberanikan diri mengambil risiko merentas lautan untuk menghantar bantuan.

Mudah-mudahan Allah merahmati mereka.

Abu Wafi, Putrajaya