Archives

All posts for the month January, 2011

Sakit itu tanda kasih sayang Allah

Published January 25, 2011 by Menikmati Takdir Langit

 

Baru-baru ini saya menghadiri satu kuliah mengenai fiqh ibadat untuk orang-orang sakit. Selama ini saya hampir tidak pernah menghiraukan mengenai cara-cara untuk melakukan ibadah di kala sakit samada sakit yang kronik (yang tiada harapan untuk sembuh) seperti leukemia, kanser atau sakit yang bersifat sementara seperti demam atau luka di tangan yang boleh sembuh. Sebenarnya berbahagialah kepada mereka yang menderita sakit.

Kenapa saya katakan berbahagialah?

Selain dari ujian dari Allah yang menggugurkan dosa-dosa, meningkatkan darjat di sisi Allah, sakit itu adalah manifestasi kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hambanya.

Namun, tidak ramai yang berfikiran sebegini. Sakit dianggap satu malapetaka. Sakit dianggap sebagai penghalang untuk melakukan pekerjaan. Sakit sebagai sesuatu yang perlu dielakkan. Tidak hairanlah jika ramai yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi setiap bulan untuk keperluan vitamin dan makanan tambahan. Walaupun kita dituntut untuk menjaga tubuh badan yang diamanahkan oleh Allah, namun perlu diingat bahawa penyakit boleh datang dan pergi dengan izin Allah. Sakit itu tanda bahawa Allah mengingati kita dan ingin memberi peringatan kerana mungkin ada perkara-perkara maksiat yang kita lakukan tanpa kita sedari. Justeru penyakit datang lalu menggugurkan dosa-dosa mereka yang sabar menghadapinya.

Ramai yang mengganggap penyakit yang ditanggung akan membataskan seseorang dari melakukan amal ibadah fardhu seperti solat dan puasa tetapi sebenarnya pandangan ini adalah silap di sisi Islam.

Orang yang sakit lebih terbuka peluang untuk melakukan ibadah seluas-luasnya. Orang yang sakit lebih mudah untuk melakukan ibadah. Orang yang sakit diberi kelonggaran dan kemudahan seluas-luasnya oleh syarak.

Antaranya kewajipan berwuduk terangkat dengan digantikan dengan tayammum bagi mereka yang tidak mampu melakukannya kerana keuzuran. Solat fardhu boleh dilakukan dalam keadaan duduk, berbaring, dengan isyarat mata dan isyarat hati. Puasa pula boleh digantikan dengan membayar fidyah kepada orang miskin dan fakir. Maka apa lagi alasan untuk mengatakan tidak mampu melakukan ibadah di hadapan Allah kelak. Fikirkanlah…

Prinsipnya mudah sahaja iaitu selagi akal masih belum hilang maka kewajipan untuk melakukan amalan-amalan fardhu tidak pernah terangkat sama sekali, cuma diberi keringanan oleh Islam. Keringanan yang menandakan kasih sayang Allah kepada kita. Keringanan yang memberi ruang untuk hamba-hambanya melakukan ibadah seluas-luasnya tanpa alasan apa sekalipun.

Itulah tanda fleksibiliti dalam Islam. Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Islam agama yang ‘aacommodative’ untuk semua manusia tanpa mengira di mana sahaja kita berada dan ruang budaya yang diamalkan. Islam itu mudah dan tidak menyusahkan.

Ibadat yang dilakukan ketika sakit walaupun tidak sesempurna amalan orang sihat sebenarnya setaraf dengan amalan orang sihat. Malah, jika dilakukan dengan sesabar mungkin akan menatijahkan ganjaran pahala yang lebih besar di sisi Allah berbanding ibadat yang dilakukan oleh orang yang sihat. Contohnya, bagi yang tidak mampu berpuasa boleh menggantikan dengan membayar fidyah RM2.00 satu hari didarab dengan 30 hari bermakna bayaran RM60 kepada fakir miskin boleh setanding (equivalent) dengan orang yang berpuasa 30 hari. Mudah bukan? Walaupun kelihatan seperti rugi di sisi manusia tetapi di sisi Allah ganjarannya sama sahaja.

Ustaz Azhar menceritakan pengalamannya menjadi penasihat agama untuk sebuah pusat perubatan hemodialisis di Kuala Lumpur. Hasil daripada pemerhatiannya kepada pesakit-pesakit di situ dibukukan dengan memasukkan pandangan ulama-ulama muktabar seluruh dunia serta fatwa-fatwa terkini.

Saya masih ingat pesanan beliau setiap kali beliau memberi kuliah mengenai fiqh orang sakit ini iaitu:

” Orang sakitlah yang paling mudah melakukan amal ibadah. Orang sihatlah lebih susah untuk melakukan amal ibadah. Orang sakit diberi kelonggaran seluas-luasnya oleh Islam.

Maka pandangan bahawa sakit akan membataskan dan mengurangkan pahala ibadah tidak boleh diterima kerana kelonggaran yang diberikan adalah satu anugerah Allah untuk mereka yang dipilih Allah. Rebutlah kesempatan yang diberikan dan usahlah berduka lara kerana ganjaran pahala pasti menanti bagi mereka yang bersabar menghadapinya. 

Abu Wafi, Putrajaya

Advertisements

Pemergian yang dirasai

Published January 15, 2011 by Menikmati Takdir Langit

Salam, dukacita dimaklumkan bahawa bekas Pengetua SMS Muar, Y.Bhg. Dato Yaakop Ederis telah meninggal dunia dalam satu kemalangan di Bukit Putus, Negeri Sembilan, jam 1.00 pagi.(14 Januari 2011) Isteri dan anaknya parah dan kini sedang dirawat di hospital Seremban. Jenazah arwah akan dikebumikan di Seremban petang ini. Al-fatihah.

Tengahari semalam saya menerima sms di atas. Sms yang menyebabkan saya “speechless” seketika memikirkan berita yang saya terima dari sahabat saya saudara Mazlan. Mulut terkunci tidak terkata. Hati tiba-tiba merasa sebak dan sedih. Kenangan demi kenangan bersama arwah dalam tahun 1991/1992 di SMS Muar lantas terbayang-bayang di ruang mata. Saya bungkam mengenangkan saat-saat bersama arwah Cikgu Yaakop. Walaupun di akhir kariernya beliau menjawat jawatan yang tinggi sebagai Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia dengan gelaran Dato’, namun saya lebih suka memanggilnya dengan gelaran yang kami beri kepada beliau iaitu Cikgu Yaakop kerana lebih mesra dan ikhlas.

Kali terakhir saya berjumpa arwah ialah pada tahun 2003 di sebuah hotel di Kuala Lumpur ketika meraikan majlis reunion pelajar-pelajar Kolej Tingkatan 6 SMS Muar. Setelah 7 tahun berlalu, kami bercadang untuk mengadakan majlis kedua dengan menjemput mantan guru-guru dan arwah sekali, namun takdir menentukan bahawa rupa-rupanya itulah pertemuan pertama dan terakhir kami dengan arwah.

Arwah seorang guru yang berdisiplin dan tegas. Tidak banyak bercakap namun saya cukup sukakan ucapan beliau setiap kali perhimpunan sekolah. Ucapannya ringkas tetapi padat dan membangkit semangat untuk belajar dengan rajin. Seorang yang warak dan mementingkan agama. Saya masih ingat pada beliau yang sering datang mengejutkan kami agar bangun solat subuh berjemaah di surau dengan diimamkan oleh beliau. Sungguh manis kenangan tersebut dan tidakkan terlupakan.

Arwah berjaya membawa sekolah kami menjadi sekolah terunggul  di Malaysia dalam pencapaian SPM 1992. Begitu juga dengan pencapaian STPM tahun 1992, arwah berjaya mencipta sejarah sebagai antara pencapaian terbaik di dalam negara. Malahan saya sendiri harus berterima kasih kepada beliau kerana saya antara pelajar yang dipilih untuk menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah kerana pencapaian cemerlang dalam STPM 1992.

Kerana beliaulah kami semua berjaya pada hari ini. Kerana tiupan nasihat dan kata-kata arwahlah kami berjaya menjadi manusia yang berguna pada hari ini.

Terima kasih Cikgu Yaakob. Budimu pada diriku dan pada rakan-rakan yang lain tak terbalas. Moga-moga engkau tenang di sana dan ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang soleh. Moga-moga ilmu yang engkau curahkan kepada kami akan membantumu di sana selagi kami istiqamah mengamalkan nasihat dan ajaranmu.

Saya mengangkat tangan dan berdoa semoga Allah mengampuni semua dosa-dosa beliau dan saya secara peribadi memaafkan semua kesalahan yang mungkin pernah dilakukan terhadap diri saya. Sebak dan hampir saja menitiskan air mata bila mengenangkan budi yang beliau curah kepada kami.

Cikgu… maafkan saya atas kenakalan dan kedegilan saya.

Al-Fatihah.

[Pic Arwah 3 dari kiri]