Archives

All posts for the month August, 2009

Masjid Besi: Antara binaan dan pengisian

Published August 25, 2009 by Menikmati Takdir Langit

beis 3

Source: niznoprob

Seusai terawih

Sudah 3 malam saya berterawih di sini. Sesungguhnya saya amat terpesona melihat keindahan dan kecantikannya. Ruang dalam solatnya sungguh luas. Rekabentuk dalamannya  ringkas tetapi diliputi dengan marmar putih licin. Tulisan Al-Qurannya juga cantik terpampang di hadapan ruang solat. Di kiri dan kanan masjid terdapat kolam air yang berombak kecil. Berdiri di tepian masjid seolah-olah seperti berdiri di tepian pantai. Riak-riak air sesekali berombak kecil menjadikan keadaan tenang dan mendamaikan. Udara segar sesekali bertiup sederhana menampar badan. Saya teringat kisah Ratu Balkis yang menyinsing kain sebaik sahaja melangkah ke istana Nabi Sulaiman a.s kerana menyangka marmar putih yang dipijak adalah air. Satu lagi daya tarikan dan mercu tanda Putrajaya terbina.

Dalam hati saya berdetik bahawa masjid ini bakal mengalahkan Masjid Putra yang berwarna pink. Dari luar simbahan cahaya mengenai marmar putih dan kubah besi memantulkan cahaya serata seolah-olah pantulan marmar putih dari masjid Nabawi di Madinah. Cukup mempesonakan. Saya berasa seperti berada di masjid terapung di Maghribi kerana di kelilingi tasik. Lihat gambar-gambar di bawah ini.

P8225061

Kubah besi

P8225063

Ruang solat utama

P8225065

Pandangan sisi ruang solat

P8225064

Tiang-tiang utama

P8225051

Ayat-ayat Al-Quran

P8225072

konsep ruang terbuka

P8225070

Kolam-kolam di sekeliling masjid

P8225081

Munzir dari belakang ruang solat

P8225080

Kos pembinaan masjid ini mencecah RM180 juta. Seluas 60,156 – meter persegi dan boleh memuatkan 20,000 jemaah dalam satu-satu masa.Saya berharap semoga warga Putrajaya dapat memanfaatkan masjid ini untuk kerja-kerja Islam. Saya juga berharap pihak pengurusan masjid ini dapat memaksimumkan penggunaan masjid ini untuk mengadakan kelas-kelas pengajian seperti kelas pengajian tajwid, Al-Quran, Bahasa Arab kepada orang ramai. Contohilah Masjid Negara yang saya kira cukup istiqamah dan terkenal dengan kelas pengajian Tajwidnya sehingga berjaya melahirkan ramai guru-guru tajwid. Contohilah Masjid Al-Falah USJ yang tidak pernah sunyi dari kuliah-kuliah pengajian bermula dari waktu subuh,dhuha sehingga melewati waktu maghrib. Sungguh hidup masjid berkenaan. Mudah-mudahan pengisian di dalam masjid ini kelak akan setanding dengan kos pembinaannya.

PENTINGKAH BINAAN DAN REKABENTUK?

Namun, Islam bukanlah terletak pada  keindahan rekabentuk dan binaan. Islam terletak pada kualiti pengisian yang diketengahkan.

Jika masjidnya indah namun pengisiannya mengecewakan, maka tiada maknanya. Jika kehadiran para jemaah hanya satu saf setiap kali waktu solat maka apalah maknanya. Kecantikan dan keindahan binaan dan rekabentuknya hanya tinggal nama. Keindahan hanya boleh digah-gahkan sahaja tetapi pengisiannya adalah kosong dan tidak akan dinilai oleh Allah.

Saya teringat kepada kisah-kisah hidup para sahabat. Mereka hidup serba sederhana dan kekurangan. Rumah mereka sekadar cukup untuk berehat dan melelapkan mata. Tumpuan hidup difokuskan kepada pengisian jiwa dengan ruh Islam.  Malam mereka adalah hamba yang sujud dengan linangan air mata mengharap redha dan keampunan dari Allah. Siang mereka adalah singa yang mengaum di medan perjuangan melaksanakan Islam dalam aspek kehidupan.

Masjid mereka serba ringkas. Tiangnya adalah batang-batang kurma. Bumbungnya hanyalah pelepah kurma kering. Sungguh jauh berbeza dengan masjid di zaman kita. Tiada ukiran cantik di dinding. Tiada tangga beralas mamar. Tiada kolam air di sekitar. Tiada landskap menarik….Namun mereka adalah generasi terbaik yang pernah dilahirkan. Mereka ‘excel’ dalam kehidupan dunia dan akhirat.

CERITA KOPI DAN CAWAN

Sahabat saya Hilal Asyraf pernah membawa kisah kopi dan cawan dalam blognya beberapa bulan lepas. Kiasan yang sungguh menarik hati.

Suatu hari seorang guru memanggil murid-muridnya meminta mereka memilih beberapa cawan di atas meja. Cawan pelbagai bentuk. Ada yang cantik,comel dan ada yang biasa-biasa sahaja. Semua cawan mempunyai kopi. Semuanya berebut-rebut untuk mendapatkan cawan yang paling cantik bentuknya hingga meninggalkan cawan yang biasa-biasa.

Guru berkata : kamu sibuk memilih bentuk cawan sehingga kamu semua lupa untuk menikmati kopi yang ada dalam cawan.  Tiada siapa pun yang memberitahu apa rasa kopi, pahit ke, manis ke, atau tawar.

Begitulah kehidupan bila kita semua terlalu sibuk memikirkan soal kosmetik sehingga melupakan soal substance atau pengisian. Kita sibuk dengan bentuk cawan hingga lupa bagaimana rasa kopi. Kita sibuk dengan perkakasan dunia yang serba hebat,mahal dan  grand sehingga kita lupa pengisian hidup yang lebih utama. Lupa kepada tujuan penciptaan kita di dunia. Lupa semuanya.

Sabda Nabi saw :  “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa paras kamu, harta benda kamu akan tetapi Allah memandang kepada hati dan amalan kamu.”

Pandangan di sini adalah penilaian Allah terhadap kita. Penilaian Allah berbeza dengan penilaian manusia. Allah menilai manusia berdasarkan taqwa. Taqwa bukan terletak pada baju mahal, rumah besar, kereta besar, rupa paras cantik tetapi taqwa terletak pada sejauh manakah kepatuhan kita kepada suruhan Allah dan meninggalkan segala yang dilarang. Menurut Ubai bin Kaab ketika ditanya Sayyidina Umar Al-Khattab menyatakan taqwa adalah rasa berhati-hati dan berjaga-jaga dalam kehidupan seumpama seorang lelaki yang berjalan di atas jalan yang penuh dengan duri. Sudah tentu dia akan melangkah dengan berhati-hati agar kaki tidak luka tertusuk duri. Begitulah gambaran taqwa.

Jangan kita ingat penilaian Allah sama dengan penilaian manusia. Penilaian manusia boleh dikelirukan, boleh dikaburkan dengan presentation kosmetik yang menarik. Sedangkan penilaian Allah adalah berbeza sama sekali.

Saya teringat semasa zaman belajar dahulu. Ada sahabat saya yang cukup terkenal dengan make up assignmentnya dengan cantik. Kulit luar assignmentnya penuh bunga-bunga. Presentation dari luar cukup hebat tetapi isi kandungannya masih copy paste dari orang lain. Tiada originality. Beliau ditegur oleh pensyarah kami supaya mengutamakan ‘originality’ dan bukan menciplak dari orang lain. Bahkan beliau juga ditegur kerana pensyarah kami tidak suka dengan kulit assignment yang berbunga-bunga. Pensyarah kami adalah seorang yang tidak boleh bertolak ansur dengan soal kualiti ,bijak menilai dan tahu membezakan antara substance dengan presentation.

Itulah penilaian yang sebaik-baiknya.

Sebagai penutup, saya ambil petikan sahabat saya mengenai kualiti hidup. Moga bermanfaat.

Memang, kalau kita perasan, hidup kita begitu. Material oriented, hingga kita ni terlupa akan kualiti hidup tu yang sebenar. Sebenarnya, kualiti hidup kita tidak bergantung pun dengan kereta kita berapa mahal, rumah kita berapa besar, duit kita berapa banyak. Kualiti hidup kita sebenarnya, bergantung kepada berapa banyak kita gunakan hidup kita agar Allah kira.

Kita kadang-kadang telah meletakkan dunia itu terlalu tinggi, hingga kehidupan kita di dalam dunia ini menjadi sempit. Sedangkan, yang penting pada kita adalah kehidupan kita, bukannya dunia. Dunia adalah alat, untuk kita pergunakan agar kehidupan kita ini diterima oleh Allah. Tetapi, apabila dunia itu pula telah mempergunakan kehidupan kita untuknya, maka apa untung yang ada pada kita?  [Hilal Asyraf]

Abu Wafi, 62250 Putrajaya

Advertisements

Dugaan sehari sebelum Ramadhan

Published August 23, 2009 by Menikmati Takdir Langit

P1131523

Saya mengambil cuti sehari sebelum Ramadhan untuk menyelesaikan pembaharuan insurans kereta dan cukai jalan. Jangkaan saya, perkara ini dapat diselesaikan dalam beberapa jam sahaja namun ternyata jangkaan saya meleset sama sekali. Saya terheret dari pagi hingga ke jam 6 petang atas masalah-masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

9.35 pagi : Bergerak ke bank di Bandar Puteri Puchong untuk mengambil salinan asal geran kereta. Tiada masalah.Berjalan lancar.

10.00 pagi  : Temujanji dengan ejen Takaful Ikhlas untuk urusan pembaharuan insurans yang akan tamat tempoh sebulan lagi. Pertemuan di Giant Puchong berlangsung hingga ke Kopitiam;

11.00 pagi : Pertemuan tidak membuahkan hasil kerana NCB kereta yang saya beli tahun lepas tiada dalam renewal notice oleh syarikat insuran asal kerana terlibat dalam kemalangan kecil di MRR2 pada 22.11.2009. Tiada potongan diberikan kerana kereta saya seperti tiada NCB langsung. Akibatnya saya dikehendakki membayar sejumlah besar [55% dari gaji saya];

11.10 pagi : Menghubungi syarikat insurans asal. Diminta mengemukakan salinan report police. malangnya tiada dalam simpanan kerana disimpan oleh bengkel kereta. Walhal salinan ‘police report telah dikemukakan ketika membuat tuntutan gantirugi tahun lepas. Agak menghairankan bila bahagian-bahagian di dalam syarikat insurans berkenaan seolah-olah tidak bercakap atau “link” antara satu sama lain;

12.00 tgh : Kembali ke rumah

2.30 ptg :  Memandangkan bengkel kereta berkenaan terletak berhampiran stesen ERL Bandar Tasik Selatan, saya mengambil keputusan untuk menaiki ERL sahaja. Selepas itu, saya akan bergegas ke syarikat insurans berkenaan di Jalan Tun Razak. Saya memutuskan untuk berjalan kaki sahaja dari rumah di Presint 9 ke stesen ERL juga di presint 9 kerana tiada siapa yang dapat menghantar saya. Isteri mempunyai urusan di luar;

2.50  ptg:  Termengah-mengah berjalan kaki. Peluh memercik di dahi sebaik sahaja tiba di stesen ERL Putrajaya. Tinggal 7 minit sebelum ‘train transit’ tiba;

3.33 ptg :  Tiba di stesen ERL Bandar Tasik Selatan. Berjalan kaki 500 meter ke bengkel berkenaan.

3.45 ptg :  Tiba di bengkel. Mengejutkan apabila dimaklumkan bahawa pejabat urusan bengkel tersebut telah berpindah ke Jalan Kuari, Taman Bukit Permai. Saya kepenatan, keletihan, rasa-rasa betul-betul menyesal kerana tidak memandu sendiri. Rasa terkilan kerana pihak bengkel tidak memaklumkan saya mengenai perpindahan operasi mereka semasa perbualan telepfo pagi tadi. Saya buntu. Tak tahu ke mana nak dituju. Setelah mendapat alamat lengkap saya berjalan balik 500 meter ke hentian teksi berhadapan stesen LRT Bandar Tasik Selatan. Teksi pertama saya tahan enggan pergi ke sana kerana jauh. Teksi kedua bersetuju membawa saya ke sana. Syukur.

4.05 ptg :    Dalam teksi saya meminta pemandu teksi menunggu saya dan membawa saya balik ke stesen ERL. Beliau bersetuju.

4.10 ptg :  Urusan selesai. Saya berjaya memperolehi salinan police report walau bagaimanapun sedikit terkilan kerana salinan tersebut tidak terang;

4.16 ptg : Dalam perjalanan pulang saya menghubungi syarikat insurans bertanyakan waktu tutup. Dimaklumkan pukul 4.45 ptg mereka tutup kedai. Saya meminta pemandu teksi berketurunan India supaya membawa saya ke sana kalau tidak keberatan. Beliau bersetuju kerana jalan masih belum sesak lagi;

4.20 ptg :  Terperangkap di Jalan Loke Yew. Saya cemas.

4.35 ptg :  Tiba betul-betul berhadapan bangunan syarikat insurans berkenaan bersebelahan RHB Bank. Setelah membayar RM21.00 tambang teksi saya berlari ke atas.

4.40 ptg :  Tiba di Kaunter Customer Service;

4.42 ptg :   Saya dapat nombor giliran dan terpaksa menunggu pegawai berkenaan sedang bercakap telefon. Hanya tinggal saya satu-satunya “customer” yang masih tinggal. Rasa cemas mendada.

Akhirnya, pegawai berkenaan melayan saya dengan begitu baik dan sopan. Beliau menyemak dengan bahagian “Claim Department” dan dimaklumkan NCB saya kembali seperti biasa iaitu 55% kerana kemalangan terbabit bukan salah saya.

5.00 ptg :  Saya sudah terpacak di hadapan pintu masuk syarikat insurans berkenaan menunggu teksi sambil meneguk air botol mineral  sebotol sehingga habis. Wah, dahaganya. Jalanraya makin sesak kerana esok umat Islam mula berpuasa. Saya menarik nafas lega kerana urusan selesai akhirnya.

5.20 ptg :  Dalam teksi kembali semula ke stesen ERL Bandar Tasik Selatan. Tambang RM15.00

5.40 ptg : Tiba di Stesen ERL

6.00 ptg : Dalam ERL menuju ke Putrajaya

6.30 ptg : Tiba di stesen ERL Putrajaya.

6.40 ptg : Tiba di rumah.

Saya benar-benar keletihan dengan ujian dan dugaan dari Allah ini. Dugaan sehari sebelum Ramadhan. Apa pun saya memanjatkan syukur kerana semua urusan dipermudahkan Allah walaupun diuji dengan sedikit kesusahan dan kepayahan.

Saya perlu mengeluarkan RM36.oo untuk tambang teksi dan RM10.30 untuk tambang ERL.Dicampur dengan penat lelah dan sakit kaki berjalan ke sana sini. Sudah lama saya tidak berjalan sejauh ini. Walaupun keletihan namun saya lega kerana semua urusan selesai. Terima kasih kepada kedua-dua pemandu teksi yang telah memberikan kerjasama kepada saya.

Teringat saya;  sesungguhnya dunia ini adalah tempat yang penuh dengan kepenatan dan kelelahan. Akhirat adalah tempat kerehatan selama-lamanya. Namun, bagaimanakah kita mengolah kehidupan di dunia ini untuk mendapat kerehatan yang sejati di akhirat sana? Semuanya bergantung kepada amalan di dunia. Jika baik maka berehatlah kita dengan tenang di sana. Jika buruk, maka bersusah payahlah kita di sana dengan siksaan demi siksaan yang berlangsung selama-lamanya. Justeru, marilah kita menginsafi diri.

P1131536

Sejenak di stesen perhentian dunia

Malam saya berterawih buat kali pertama di masjid baru. Masjid besi di Putrajaya. Akan saya ceritakan dalam entry berikutnya. Rehat dulu.

SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA

Abu Wafi, Putrajaya

Bagaimana kita melihat Ramadhan

Published August 19, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Ceramah 1

“Ramadhan adalah bulan umat Nabi Muhammad saw. Ramadhan adalah bulan di mana Al-Quran diturunkan. Di dalam Ramadhan ada malam lailatul qadr yang lebih baik dari seribu bulan. Hidupkan Ramadhan dengan solat malam,bertarawih dan membaca Al-Quran. Tanamkan azam di dalam jiwa untuk khatam 30 juzuk Al-Quran di dalam bulan ini. Berusahalah untuk membaca Al-Quran walaupun membaca dalam keadaan tersekat-sekat. Ini kerana terdapat 2 pahala di situ iaitu pahala membaca Al-Quran dan pahala kerana berusaha membaca Al-Quran”.

Ceramah 2

” Hanya orang-orang yang terpilih sahaja akan dipertemukan Allah dengan malam lailatul qadr. Ini bergantung kepada amalan-amalan solehnya selama 11 bulan sebelum kedatangan Ramadhan. Sekiranya 11 bulan yang lalu diisi dengan amal soleh, insyallah kita akan dipertemukan dengan malam tersebut. Beruntunglah orang-orang yang dianugerahkan dengan malam tersebut”.

Ceramah 3

Apa yang patut saya minta dan mohon sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini. Apakah patut saya minta kekayaan,cepat naik pangkat, rumah besar, kereta besar, tambah isteri, tambah anak? Sebenarnya, apa yang patut kita minta bukanlah habuan di dunia semata-mata sebaliknya permintaan-permintaan yang menjurus kepada kesenangan akhirat yang patut didahulukan. 

Itulah antara sinopsis beberapa siri kuliah Ramadhan yang saya hadiri minggu lepas. Cukup menarik.

Semalam saya berada di surau Al-Munir, Taman Equine, Seri Kembangan. Ada ceramah best di sana. Ceramah di ambang ramadhan bertajuk Ramadhan: Mekanisme Perubahan Diri” oleh Ustaz Hasrizal Jamil atau lebih dikenali dengan nama Saifulislam.

Saya tertarik dengan powerpoint presentation sepanjang ceramah disampaikan. Memang teknik baru yang cukup berkesan dan memukau perhatian sesiapa yang melihat dan mendengarnya. Jelas, terang dan sampai matlamat. Selalunya bila datang ke majlis-majlis ilmu kita hanya mendengar tetapi semalam saya juga melihat tayangan slide power point yang saya kira cukup menarik.

Paling terkesan pada saya ialah lontaran yang dikemukakan oleh Ustaz Hasrizal ialah bagaimana kita melihat Ramadhan itu sendiri.

Ada orang melihat Ramadhan sebagai peluang untuk menguruskan badan, membuang lemak badan serta mendapatkan tubuh badan yang cantik.

Ada orang melihat Ramadhan sebagai peluang untuk menjadi kaya setahun menjadi peniaga ‘segera’ dengan membuka gerai-gerai menjual juadah berbuka puasa.

Ada yang melihat Ramadhan sebagai bulan penjimatan.

Ada yang melihat Ramadhan sebagai bulan yang membebankan, menyusahkan kerana semuanya perlu dikawal. Puasa mata, puasa telinga dan puasa makan minum.

P4243902

Itulah Ramadhan yang datang setiap tahun. Bermacam-macam persepsi umat Islam terhadap Ramadhan. Semuanya bergantung dengan bagaimana kita melihat kedatangan Ramadhan dalam hidup kita. Persepsi ini bermacam ragam dan adakalanya pelik.

Sebaliknya berapa ramai di antara kita yang memandang Ramadhan sebagai bulan pahala, bulan peluang untuk melipatgandakan amal soleh, bulan solat, bulan qiamullail, bulan muhasabah diri, bulan pengampunan dan bermacam-macam lagi kebaikan bergantung kepada cara kita melihat dan menilai Ramadhan. Berapa ramai di antara kita ternanti-nanti kedatangan Ramadhan seumpama menanti anak yang pulang dari perantauan?

Banyakkanlah berdoa di bulan Ramadhan terutamanya seketika sebelum waktu berbuka yang mustajab ketika berdoa. Berdoalah untuk maksud-maksud akhirat dahulu seperti memohon pengampunan dosa, dikekalkan dalam iman, diberikan petunjuk, ditingkatkan iman, diberikan kesudahan yang baik dalam kehidupan dan dijauhkan dari siksaan api neraka. Selepas itu, berdoalah atas maksud-maksud dunia yang sesuai seperti dikurniakan rezeki yang murah, anak-anak yang soleh dan bijaksana serta lain-lain. Utamakan akhirat kerana akhirat bersifat kekal manakala dunia bersifat sementara dan akan tamat sebaik sahaja roh meninggalkan jasad.

Sekiranya kita gagal melihat Ramadhan sebagai mana para solihin melihat Ramadhan maka alangkah malangnya kita yang tenggelam dengan persepsi salah mengenai Ramadhan. Memang Ramadhan boleh membantu mengurangkan berat badan, memberikan keuntungan berniaga namun ini semua adalah bonus daripada Allah. Sebaliknya, falsafah Ramadhan itulah yang perlu kita pegang dan hayati dengan sepenuh hati kerana amalan puasa adalah satu-satunya amalan untuk Allah. Justeru, kita berpuasa menahan lapar dahaga,menahan mata dan telinga, menahan diri dari melakukan kemungkaran adalah untuk menyukakan Allah. Ramadhan didatangkan sebagai satu elemen atau mekanisme untuk mengawal diri supaya menjadi hamba yang terbaik di sisi Allah dan insan yang berakhlak mulia sesama manusia.

“SEBULAN RAMADHAN, AMAL SOLEH DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DI AKHIRAT DIUTAMAKAN”

Abu Wafi, Putrajaya

Kita Allah yang punya

Published August 14, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Satu demi satu nama-nama besar dalam industri hiburan tanah air pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Pelakon Shukri Hashim meninggal dunia kerana kanser lebih kurang 2 bulan yang lepas. Pengarah terkenal dengan filem-filemnya yang kontroversi Yasmin Ahmad meninggal dunia diserang sakit jantung ketika membentangkan kertas kerja di TV3. Dan semalam, vokalis kumpulan Rabbani Ustaz Asri Ibrahim rebah ketika sedang menjalani rakaman rancangan syahadah di angkasapuri. Beliau pergi tak kembali. Pergi menemui Allah Tuhan Rabbul Jalil sebagaimana yang sering dinyanyikannya.

DSC_5565

Berbanding kematian tokoh lain, pemergian Allahyarham Ustaz Asri memang memberi kesan kepada hati ini. Saya masih teringatkan alunan suaranya yang merdu terutama ketika beliau di dalam kumpulan Nadamurni dahulu. Bagi saya nasyid beliau ketika itu lebih bertenaga, simplistik tetapi cukup menyentuh hati malah menginsafkan. Kehilangannya begitu dirasai.

Semalam selepas maghrib saya berada di UniKL Gombak atas urusan peribadi. Sepanjang perjalanan pergi dan pulang radio IKIM menyiarkan segmen khas selama 2 jam bagi mengenang nostalgia allahyarham bersama IKIM F.M. Lagu-lagu lama semasa dalam kumpulan Nadamurni dimainkan satu persatu. Hati saya cukup tersentuh mendengarnya apatah lagi di waktu malam yang sunyi dan syahdu.

Saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Tetapi saya tidak menafikan bahawa saya adalah antara peminat suaranya. Kali terakhir saya berjumpa beliau secara ‘live’ ialah di majlis khatam Al-Quran saya di UNITEN Bangi 2 tahun yang lepas. Itulah kali pertama dan terakhir saya bertemu dengan beliau. Terpukau dengan persembahan vokal beliau yang bertenaga dan dinamik.

Dalam banyak-banyak lagu saya sukakan lagu-lagu beliau yang lama. Lirik-liriknya ‘simple’ tetapi mengancam. Tajuk lagu saya dah lupa tetapi bait-bait liriknya kadang-kadang bermain-main di jiwa saya.

 Kita Allah punya…. Kita tidak punya apa-apa…. Kita hanya mengusahakan apa yang ada … Semua Allah yang sediakan….

Memang diri kita kepunyaan Allah. Bila sampai masanya kita akan dijemput menghadap Allah sama ada kita suka atau tidak, sama ada kita bersedia atau tidak. Tidak akan dipercepatkan walau sesaat dan tidak akan ditangguhkan walau sesaat pun…

Ustaz Asri Ibrahim telah meninggalkan dunia yang fana ini menuju illahi. Beliau meninggalkan seruan dakwahnya mengajak manusia ke jalan Allah melalui lagu-lagunya dan bait-bait liriknya. Semoga beliau tenang di sana. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para anbiya’,solihin,syuhada’ dan siddiqin.

IMG_0331

Gambar : Source blog Ustaz Asri

Beliau benar-benar telah pergi…. Pergi tak kembali.

ABU WAFI, Putrajaya

Madrasah Ramadhan

Published August 13, 2009 by Menikmati Takdir Langit

P4243888

Tinggal seminggu sahaja lagi sebelum Ramadhan mula menjengah diri ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Ramadhan datang membawa berjuta-juta rahmat yang tidak terhitung banyaknya dari Allah swt. Ramadhan adalah madrasah latihan untuk melatih diri menjadi insan yang sabar,tawadhuk dan beramal soleh. 

Ramadhan adalah medan untuk kita berlumba-lumba merebut tawaran pahala yang berlipat kali ganda seumpama berebut barang jualan murah di pasaraya. Kalau kita sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan barang jualan murah kenapa tidak kita lakukan perkara yang sama untuk merebut ganjaran Allah yang lebih besar.

Kalau kita tidak kisah atau mengeluh kalau terpaksa parking kenderaan jauh, berjalan kaki 2 atau 3 km, berpanas dan berhujan untuk mendapatkan sesuatu yang kita suka atau minat maka marilah kita menjadi tidak kisah jika sekiranya kita semua berlumba-lumba untuk beribadah di bulan yang mulia ini. Usah ditangguh-tangguh lagi untuk mengerjakan amal soleh kerana kita tidak tahu apakah kita masih berpeluang lagi untuk berjumpa di dalam Ramadhan yang akan datang.

Berpuasalah sebagaimana puasa para anbiya’ dan solihin, banyakkan bersedekah,membaca Al-Quran,berzikir dan bangun sepertiga malam demi merebut pahala lailatul Qadr.

Ayuh usah bertangguh lagi. Mulakan dari sekarang.

ABU WAFI, Putrajaya

Tolong nasihatkan saya

Published August 11, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Abu Wafi,

Saya adalah salah seorang pembaca blog abuwafi. Saya tertarik dengan pengisian yang diberikan dan berharap semoga usaha-usaha abuwafi mengajak manusia menuju jalan-jalan kebaikan akan diteruskan. Sesungguhnya, beruntunglah orang-orang yang sentiasa berdakwah dan mengajak orang lain ke jalan yang diredhai Allah.

Saya mempunyai masalah yang sangat berat dan saya amat-amat mengharapkan nasihat dari abuwafi bagi menyelesaikan masalah rumit yang sedang saya alami kini.

Saya cuba menyelesaikannya dengan sebaik mungkin dan saya hanya mampu berdoa kepada Allah setelah segala ikhtiar diambil bagi mengatasi masalah yang membungkam jiwa.

Pada saya ini merupakan antara ujian yang paling besar dalam hidup saya. Mungkin orang lain nampak mudah dan remeh, namun bagi saya masalah ini boleh menjadi lebih besar lagi jika dibiarkan. Saya berusaha, namun segala usaha saya mempunyai batasannya dan saya tidak mampu untuk bertindak lebih jauh dari itu.

Kerana masalah ini saya terjelepuk seketika. Saya cuba mendekati Pencipta bagi memohon pertolongan sambil mengadu meminta ditunjukkan jalan keluar. Waktu dhuha semalam saya rasakan bahawa solat tersebut adalah yang paling khusyuk pernah saya lakukan. Usai solat saya seperti biasa panjatkan doa namun entah mengapa kali ini saya merasa cukup sebak dan sedih.Tiba-tiba air mata turun dengan laju tanpa dipaksa-paksa. Saya menangis teresak-esak dalam doa saya. Menangis bagaikan Umar dan Abu Bakr bila membaca ayat-ayat Allah.  Saya menangis kerana ujian yang ditimpakan kepada saya.

Mungkin inilah tabiat manusia. Bila terdesak, bila tersepit dan bila terasa tiada lagi harapan atau jalan keluar maka ketika itulah Allah diingati sebagai sebaik-baik penolong. Saya akui kelemahan diri. Namun ini adalah ujian. Ujian yang besar. Bila ditimpa ujian dan musibah kembalilah kita kepada Allah. Memang inilah hakikat dan hikmah ujian dikenakan ke atas kita supaya kita lebih mengenali Allah dan supaya kita kenal diri kita yang sebenarnya.

P6234525

Beberapa hari ini saya tiada mood. Segalanya tawar dan hambar. Saya menjadi resah dan gelisah. Setiap saat saya memikirkan masalah ini dan otak saya berputar-putar mencari alternatif ke-2 dan ke-3. Saya benar-benar buntu. Saya tersepit.

Sesungguhnya saya sedang mengalami masalah. Saya sedang berusaha menanganinya. Masalah yang cukup berat, berat dan sangat berat bagi saya. Saya sedang memikirkan jalan keluar dan berdoa semoga Allah menunjukkan saya jalan keluar yang terbaik.

Saya umpamakan diri seperti ikan yang terperangkap di dalam akuarium. Berpusing-pusing di dalam akuarium mencari jalan keluar untuk berenang ke lautan yang luas. Lautan yang memberikan kelapangan dan kebebasan untuk saya.

P6134405

Namun saya yakin, dalam kehidupan ini di saat-saat kita merasakan bahawa tiada penyelesaian kepada kemelut yang kita alami sebenarnya di situlah akan ada jalan-jalan keluar yang akan dipermudahkan oleh Allah. Saya masih menunggu dan menunggu sambil berdoa semoga saya menemui jalan keluar tersebut.

Apakah yang patut saya lakukan? Apa lagi ikhtiar yang dapat saya lakukan setelah semua usaha telah saya ambil? Tolonglah saya.

Nik xxxxx , Gombak

JAWAPAN ABU WAFI

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara kerana sudi membaca catatan-catatan di blog saya yang tidak seberapa ini. Sesungguhnya saya sangat-sangat terharu bila membaca luahan hati saudara dan meminta nasihat saya untuk mengatasi masalah yang sedang saudara alami. Terus terang saya katakan, bahawa saya bukanlah orang yang paling layak dan pakar untuk memberikan nasihat kehidupan namun insyallah saya akan cuba memberikan apa yang terbaik bagi melegakan kerisauan di hati saudara.

Saya sebenarnya kurang jelas mengenai masalah besar yang dihadapi oleh saudara kerana saudara tidak menceritakan secara terperinci butiran masalah yang dialami oleh saudara. Walaupun saya tidak mengenali saudara secara peribadi namun insyallah saya akan menjawab secara umum mengikut keupayaan saya.

Daripada tulisan saudara, saya dapat mengagak bahawa masalah yang saudara alami amat-amat berat. Namun saya bersyukur kerana saudara masih lagi berpegang teguh dengan tali Allah, masih merayu dan meminta pertolonganNya serta tidak memilih jalan-jalan lain yang salah.

Pertama, saudara perlu BERSABAR dengan masalah ini. Ini merupakan ujian dari Allah sama ada berupa penyakit, kemiskinan, gundah gulana, hutang piutang, kehilangan nyawa dan harta benda. Semuanya ini adalah ketetapan dari Allah untuk menguji hamba-hambanya. Bagi mereka yang sabar dan redha maka besarlah ganjaran yang akan menantinya di syurga kelak.

Kedua, BERIKHTIAR semaksima mungkin bagi mengatasi masalah ini. Namun perlu diingatkan bahawa ikhtiar saudara mestilah berlandaskan syariat dan tidak bertentangan dengannya.

Ketiga, MINTA PERTOLONGAN daripada individu yang boleh dipercayai dan berdekatan dengan diri kita. Mohon nasihat, pandangan dan tunjuk ajar bagi mengatasi masalah ini.

Keempat, CARI ALTERNATIF lain. Sebenarnya perkataan tiada jalan keluar sebenarnya tidak wujud dalam hidup orang-orang yang beriman selagi kita masih hidup. Jalan-jalan keluar masih ada, cuma kita mestilah mencarinya dengan panduan daripada Allah. Saya percaya masalah saudara ini mempunyai alternatif lain untuk diselesaikan. Percayalah bahawa saudara masih mempunyai jalan keluar selagi saudara masih memilih untuk mendekatkan diri dengan Allah. Cuma saudara perlu bersabar menunggu kerana ini adalah satu lagi bentuk ujian kepada saudara.

Akhirnya, setelah semua ikhtiar dan usaha diambil, maka berdoalah kepada Allah sebagaimana yang telah dan sedang saudara lakukan. Pertingkatkan amal ibadah dengan solat hajat, membaca Al-Quran dan bermunajat kepadaNya.

Tiada apa lagi yang dapat saya katakan. Tiada apa lagi yang dapat saya nasihatkan. Sesungguhnya setiap musibah, masalah yang sedang saudara alami merupakan satu bentuk kasih sayang Allah kepada saudara. Ini juga adalah satu bentuk komunikasi antara Allah dengan saudara.

Saudara memilih untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui solat dhuha dan saya pasti saudara juga banyak melakukan amal ibadah di saat-saat getir ini. Semua ujian ini adalah untuk meningkatkan kedudukan saudara di sisiNya dan dalam masa yang sama akan menggugurkan dosa-dosa yang lepas. Tahniah kerana saudara berada di atas landasan yang betul.

 Kalau ingin berbicara dengan Allah, maka lakukan solat. Adukanlah segala permasalahan dunia kepadaNya dan mohonlah jalan keluar.

Kalau ingin mendengar Allah berbicara dengan kita, maka bacalah Al-Quran. Renungkanlah ayat-ayat yang telah diturunkan. Tadabbur maksud yang tersirat dan sebab-sebab penurunan ayat-ayat tersebut supaya kita memahami percakapan Allah kepada kita.

Saya yakin bahawa saudara telah melakukan semua ini. Insyallah, jalan keluar yang saudara tunggu-tunggu itu akan ditunjukkan oleh Allah dalam masa yang terdekat. Bersabar dan terus bermohon wahai saudaraku.

Insyallah, mudah-mudahan semuanya akan selesai dan kembali seperti sediakala. Saya akan mendoakan semoga Allah memberikan petunjukNya kepada saudara. Yakinlah bahawa semua permintaan dan doa akan dimakbulkan. Jika tidak di dunia yang fana ini maka akhiratlah tempat diperkenankan.

Sekian, Mudah-mudahan Allah redha.

Abu Wafi, 62250 Putrajaya

Kiamat hampir tiba

Published August 3, 2009 by Menikmati Takdir Langit

P8014906

Syeikh Fahmi Zam Zam

Sabtu 1 Ogos 2009 yang lepas saya  menghadiri kuliah pengajian ulama terkenal dari Banjarmasin, Indonesia Syeikh Fahmi Zam Zam An-Nadwi Al-Maliki. Kuliah bermula dari pukul 9 hingga 12.15 tengahari di Surau Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi. Kuliah bertajuk Kiamat Hampir Tiba dan kehadiran beliau sememangnya sangat-sangat dinanti-nantikan oleh penduduk di sekitar Sepang yang begitu dahagakan ilmu. Terima kasih kepada Al-Fansuri kerana memaklumkan jadual pengajian kuliah ini.

Kupasan beliau bersahaja. Penyampaiannya dilakukan secara santai, ringan namun sarat dengan pengajaran-pengajaran yang bisa mengetuk pintu-pintu hati yang leka. Pengkisahan mengenai dunia akhir zaman cukup menggerunkan apatah lagi dengan kehadiran dajjal di saat-saat iman umat Islam ketika itu hanya sebesar zarah.

Penyampaian beliau diselangi dengan petikan-petikan hadith-hadith sahih dan ayat-ayat  Al-Quran yang berkaitan. Paling saya tersentuh ialah kupasan beliau mengenai kedatangan dajjal yang begitu terperinci. Belum pernah saya mendengar kupasan mengenai kedatangan dajjal,latar belakang, sifat dan perwatakannya dengan begitu terperinci. Naik takut mendengar fitnah yang akan dibawa oleh dajjal. Fitnah yang dibawa oleh dajjal cukup dasyat dan boleh menarik hati sesiapa sahaja yang melihatnya dengan kesaktian yang dipinjamkan oleh Allah kepadanya. Kesaktian yang digunakan untuk menyesatkan manusia yang ternyata telah lemah iman pada waktu itu cukup membimbangkan. Lagaknya seperti Tuhan. Boleh memerintah awan menurunkan hujan, bisa menarik mineral dan galian keluar dari perut bumi. Jika ditakdirkan kita hidup di zaman tersebut, belum tentu kita akan selamat apatah lagi bila mengenangkan iman yang sungguh lemah ini.

” Sesungguhnya tidak ada fitnah Allah di atas muka bumi ini sejak ia menciptakan zuriat Nabi Adam a.s (sampai ke hari kiamat nanti) yang lebih dasyat dari fitnah dajjal. Dan sesungguhnya Allah tidak mengutus seorang Nabi juga pun kecuali nabi itu telah mengingatkan kaumnya akan ujian Dajjal ini. Aku adalah  Nabi terakhir sekali dan kamu juga adalah umat yang terakhir sekali maka sudah pasti Dajjal akan keluar pada zaman kamu. Seandainya ia keluar dan aku masih berada di kalangan kamu, maka akulah yang akan berhujah dengannya bagi mewakili setiap orang Islam. Dan jika ia keluar selepas kewafatanku, maka kamu semua akan bertanggungjawab untuk melawannya dan Allah swt sebagai penolong kamu sekalian”.                                                                       Hadith Riwayat Ibn Majah

Fitnah yang dimaksudkan di sini bukan percakapan yang memburuk-burukkan orang lain. Sebaliknya fitnah di sini ialah UJIAN yang Allah turunkan kepada umat manusia melalui Dajjal. Tiada ujian yang paling hebat di dalam dunia ini melainkan ujian Dajjal yang mengatasi semua ujian-ujian lain. Mohon dijauhkan….

Untuk penjelasan lebih lanjut boleh mendapatkan buku tulisan beliau yang boleh diperolehi di kedai-kedai buku agama yang berhampiran. Harga RM6.00 sahaja. Cukup murah. Isi kandungannya ringkas tetapi padat dengan ilmu.

P8034930

Jadual kuliah beliau yang akan datang insyallah akan saya maklumkan. Buku ini hampir habis disyarah oleh Syeikh Fahmi. Selepas ini beliau akan berpindah ke buku-buku yang lain pula seperti Kitab Hikam, Sairus Salikin dan 40 Hadith Penawar Hati.

Moga bermanfaat .

ABU WAFI, 62250 Putrajaya