Archives

All posts for the month September, 2008

Buku yang patut dibaca

Published September 24, 2008 by Menikmati Takdir Langit

 Salam,

Mengubah sempadan iman

Mengubah sempadan iman

Oleh kerana ramadhan bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi adalah baik sekiranya kita banyak bertafakkur merenung kebesaran Allah. Semalam, lepas balik terawih saya buka balik koleksi buku-buku dalam simpanan saya. Tergerak hati nak menelaah balik buku karya Prof. Hj.Kamil bekas Timbalan Naib Canselor UiTM Shah Alam dan sekarang bertugas sebagai Pengarah UiTM Segamat. Buku ini saya beli dari beliau sendiri masa mula-mula dilancarkan tahun lepas. Siap ada autograf lagi. Malah saya telah pergi sendiri ke kediaman beliau di Kondominium Kemuncak di Shah Alam untuk mendapatkan buku ini beserta tandatangan beliau; “personal touch” kata orang putih.

Banyak komen-komen yang bagus tentang buku ini. Diperturunkan satu komen dari Saudari Uzma seorang Pensyarah di USIM tentang buku ini:

“Saya sudah pun selesai membaca buku keramat ini. Saya tidak tahu apa yang hendak dikomen. Tetapi saya mencadangkan kepada sesiapa yang pernah menunaikan Fardhu Haji, untuk memiliki naskhah terbitan PTS ini. Kepada sesiapa yang belum juga seperti saya ni, saya sarankan belilah kerana ia sarat dengan motivasi. Moga terbuka pula jalan untuk kita.

Buku ini memanglah tidak sempurna kerana sifat sempurna itu hanyalah milik Allah. Meskipun demikian saya terlupa untuk mencari di mana yang tidak sempurna itu. Saya terlalu sibuk untuk menjiwai setiap huruf yang tersusun dan teratur di dalam bab-bab yang pendek di bawah tajuk-tajuk yang sangat menarik.”

Secara ekstrim saya menyatakan buku ini sangat best, sangat best dan sangat best! Sangat best tau!!!”

Itulah yang dapat saya katakan tentang buku ini. Pembacaan kali pertama menyebabkan saya leka dan terbuai seolah-olah saya benar-benar berada di Makkah pada ketika itu. Beberapa ‘scene’ yang mencemaskan  dimuatkan dalam buku ini ternyata boleh menggetarkan jantung anda. Mencemaskan sehingga pembaca seperti saya perlu mendapatkan segelas ‘fresh orange’ bagi meredakan debaran di hati. Prof. Kamil bertindak berani memaparkan suka duka perjalanan sebelum dan semasa menunaikan haji. Begitu banyak keajaiban dan “ikram illahi” yang diperlihatkan dalam buku ini sebagai menggambarkan kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hambanya yang soleh dan ikhlas. Saya berikan 4 bintang setengah pada buku ini. Buku ini sangat laris dan habis terjual masa mula-mula dilancarkan tetapi sekarang saya lihat banyak kedapatan di kedai-kedai buku seperti MPH di Alamanda pun ada.

Siapa rasa nak pergi menunaikan haji atau umrah boleh la baca. Selamat membaca !!!

Advertisements

KehendakNya dia pergi… A Tribute to Allahyarham Khairil Hisham

Published September 23, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Macam mana nak mulakan saya pun tak tahu. Rasa sebak, sedih,pilu bila mengenangkan arwah Khairil Hisham bin Ahmad. Sahabat dan rakan taulan masa DPA 2/2003. Beliau pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Pergi tak kembali. Pergi menagih janji Ilahi. Pergi dalam bulan yang penuh barakah.Telah menjadi ketetapanNYA, telah menjadi kehendakkNYA dia pergi meninggalkan kita, meninggalkan dunia yang fana ini.

Sedikit coretan untuk dikongsi bersama. Saya sememangnya berhasrat untuk menziarahi arwah dan melakukan amal bakti yang terakhir sebagai seorang muslim dan mukmin kepada seorang muslim/mukmin yang lain. Sebaik sahaja mengetahui sedikit sebanyak jadual ketibaan jenazah di KLIA pada pukul 2.15 petang, saya terus bergegas ke masjid KLIA jam 2.10 petang. Cuaca panas tapi tak terik. Saya memandu agak laju kerana saya tidak mahu terlepas daripada memberikan penghormatan terakhir untuk arwah. Alhamdulillah saya tiba di masjid KLIA pada pukul 2.30 petang. Lantas mengerjakan solat zohor. Selepas solat berkesempatan jumpa rakan-rakan satu batch. Macam reunion pula. Siap duduk buat halaqah lagi. masing-masing kelihatan sugul, muram namun masih sempat berbual tentang arwah dan kenangan-kenangan bersama beliau.

Rakan dan taulan mula tiba di masjid KLIA

Saya menunggu agak lama dalam sejam lebih. Dalam pukul 3.30 jenazah tiba di masjid diiringi oleh sanak saudara. Turut kelihatan isteri arwah.

Ketibaan jenazah

Ketibaan jenazah

Jenazah diletakkan di ruang legar

Jenazah diletakkan di ruang legar

Menunggu untuk disembahyangkan

Menunggu untuk disembahyangkan

Suasana di tanah perkuburan Presint 20

Suasana di tanah perkuburan Presint 20

Jenazah dikeluarkan menanti untuk disemadikan

Jenazah arwah

Jenazah dimasukkan ke liang lahat

Jenazah dimasukkan ke liang lahat

jenazah ditutup dengan papan

jenazah ditutup dengan papan

”]Melihat kali terakhir [ibu arwah-serba putih]
Kelihatan abang arwah

Kelihatan abang arwah

Tanah diturunkan perlahan-lahan

Tanah diturunkan perlahan-lahan

kelihatan Ayah arwah

kelihatan Ayah arwah

Bacaan Talkin

Bacaan Talkin

Begitulah beberapa shot yang dapat saya ambil. Minta maaf sebab kualiti gambar agak kabur namun gambar-gambar ini bisa menterjemahkan suasana yang berlaku di masjid dan tanah perkuburan. Sebelum itu, kami sempat solat jenazah berjemaah. Ramai juga kawan-kawan lama masa DPA yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir. Turut kelihatan staff dan pegawai-pegawai Wisma Putra.

Hadis Riwayat Imam Muslim, daripada Abu Hurairah r.a., Sabda Rasulullah SAW;

“Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan untuknya”

Sesungguhnya syurga itu adalah benar manakala neraka juga adalah benar, hari kiamat juga benar,nabi-nabiMu adalah benar, Muhammad adalah benar. Ya Allah kepadaMu kami berserah, kepadaMu kami bertawakkal, denganMu kami beriman, kepadaMu kami bertaubat, kepadaMu kami berlindung, ampunilah dosa sahabat kami dan Engkau tempatkanlah rohnya di kalangan para anbiya’, shuhada’ dan salihin. Cucurilah rahmatMu ke atas rohnya. Amin.

Talkin selesai jam 4.30

Talkin selesai jam 4.30

Kepada sahabat-sahabat yang sudi menziarahi dan menyembahyangkan jenazah, saya hanya mampu berdoa mudah-mudahan Allah swt memberikan kebaikan kepada kalian.

Kalian telah menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang muslim kepada saudara muslim yang lain. 

Terima kasih kepada Naim, Amiruddin,Azham Bachok,  Suhardi,Syawaluddin,Hidayat,Atan,Mazlan,Azizi,Faizal Es Zemila dan ramai lagi yang saya jumpa dan tidak sempat tegur. Maafkan saya. Semoga Allah memberi kekuatan dan ketabahan kepada ahli keluarga arwah dan kita semua atas kehilangan insan yang kita kasihi. Bagi kita pula, perjalanan kita masih lagi jauh. Sudah tentu dalam menelusuri liku-liku hidup 20 atau 30 tahun akan datang kita akan terkenangkan saat dan peristiwa ini dalam sejarah hidup kita. “A defining moment” ini akan terus diingati bila kita berjumpa atas nama silaturrahim. Kepada yang tidak sempat menziarahi jenazah disebabkan jauh, bertugas di luar negara atau sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan sudilah kiranya kalian dapat menghadiahkan Al-Fatihah buat roh Allahyarham dan mendoakan beliau di sana. Kalau pulang ke sini ziarahlah kubur arwah. Mudah-mudahan entry saya ini dapat dijiwai dan dihayati oleh kalian yang tidak dapat hadir, insyallah. Sesungguhnya inilah Ramadhan yang terakhir buat arwah kerana atas kehendakNYA arwah pergi dalam bulan yang mulia ini.

22 September 2008 bersamaan 21 Ramadhan 1429

Akhirnya khatam Al-Quran

Published September 21, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam

Alhamdulillah… setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah swt yang telah memanjangkan umur saya sehingga ke detik ini. Saya dapat melalui Ramadhan yang ke-35 dalam hidup saya. Syukur tidak terhingga atas nikmat beragama, nikmat Islam yang diberikan kepada saya. Hari ini saya telah berjaya khatam Al-Quran secara 30 juzuk secara talaqqi [tidak rasmi] dengan Ustaz Hizam. Setahun lamanya saya belajar dan sekali sekala bertalaqqi dengan ustaz secara musafahah. Saya mula tahun lepas sebelum puasa 2007 dan saya sudahi di bulan ramadhan 2008.

Setelah puas bermujahadah dan hampir-hampir saya berputus asa akibat kekangan waktu dan kesibukan pekerjaan akhirnya saya berjaya juga menamatkan 30 juzuk Al-Quran yang dibaca secara tartil, perlahan-lahan dan ditegur oleh guru dari masa ke semasa. Dan berakhirlah pengajian saya selama setahun. Rasa macam nak ulang balik tapi memikirkan kesibukan kerja sehingga malam saya menangguhkan dulu. Lagipun, ustaz suruh saya cari guru lain pula untuk menambah ilmu dan memperbaiki bacaan supaya lancar. Selain itu, ustaz saidi salah seorang tenaga pengajar di sini mencadangkan saya supaya belajar bahasa arab pula di Bangi supaya saya dapat mentadabbur isi kandungan Al-Quran. Insyallah… dan terima kasih atas cadangan berkenaan. Dalam hati mahu, tapi terpaksa ditangguhkan dulu.

Saya sebenarnya telah dikhatamkan lebih awal lagi iaitu pada bulan 7 tahun ini. Saya menerima sijil daripada Yang Amat Mulia Tuanku Siti Aisyah di satu majlis serba ringkas di bangi. Memandangkan majlis tersebut diadakan setahun sekali, dan saya ketika itu berada di juzuk ke 27 maka nama saya dimasukkan untuk turut serta. Kenangan manis ialah apabila gambar saya masuk dalam majalah Anis bulan September 2008.

Tafsir Ibn Katsir dalam koleksi library saya

Tafsir Ibn Katsir dalam koleksi library saya

Tahun lepas saya berjaya membeli satu set Tafsir Ibnu Katsir yang diterbitkan oleh Pustaka Imam Shafie Indonesia. Saya beli dari Toko buku Dar Bariyazi di Shah Alam. Itupun setekah lama berfikir dan saya amat memerlukan tafsir Al-Quran untuk rujukan saya. Mudah-mudahan ianya akan menjadi saksi di akhirat nanti. Harganya RM850 agak mahal tapi berbaloi sebab boleh pakai lama. Pelaburan untuk akhirat insyallah.

Sekali-sekala bila ada kuliah tafsir bolehlah saya bawa kalau rajin. Bahasa terjemahannya pun mudah walaupun versi Indonesia. Tulisannya jelas dan terang serta kertasnya bermutu tinggi.Paling saya suka ialah design atau layout kandungannya yang sungguh cantik. Insyallah, mudah-mudahan saya rajinlah menelaah tafsir ini.Mudah-mudahan. Amin.

Pergi tak kembali

Published September 19, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Semalam saya dikejutkan dengan berita kematian sahabat seperjuangan saudara Khairil Hisham. Beliau meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya di Tripoli, Libya. Secara peribadinya, saya tidaklah rapat dengan beliau. Saya mengenali beliau sebagai rakan satu batch semasa berkursus di INTAN pada  tahun 2004 dahulu. Sekali sekala tu adalah juga berkesempatan berbual dengan beliau. Personally, beliau seorang yang pendiam dan baik. Kali terakhir saya berjumpa beliau ialah sebelum beliau berlepas ke Tripoli, Libya bertugas sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia. Itupun kebetulan saya terserempak dengan beliau di Pasar Borong Selangor bersama isteri tercinta. Tak sangka itulah pertemuan yang terakhir sebelum beliau pergi meninggalkan alam yang fana ini.

“Ya Allah, aku memohon perlindungan daripadaMu daripada habisnya usia sebelum habisnya siap sedia. Amiin.” 

Kebetulan hari ini, saya berkesempatan mengikuti ceramah agama Ihya’ Ramadhan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian. Ternyata ceramah yang disampaikan benar-benar menusuk ke dalam jiwa. Ceramah tentang kematian. Insaf seketika mengingati kehidupan ini yang sentiasa leka dengan kesibukan dunia yang tidak putus tiba. Pekerjaan di dunia yang tidak pernah habis diharapkan tidak akan melalaikan kita daripada menggandakan amal ibadah kita sebelum dijemput masuk ke liang lahat yang sempit. Bagaimanakah prestasi kita di sana, baik atau buruk bergantung kepada prestasi Rancangan Kerja Hidup kita di dunia.

Sebenarnya, tujuan hidup kita di dunia ini adalah persediaan untuk mati. Justeru, janganlah kita terlalu menyibukkan diri dengan pekerjaan seharian sehingga tiada masa untuk membuat ibadah khusus kerana kita tidak tahu apakah amal ibadah kita selama ini diterima Allah. Bertaubat dan banyakkan istighfar serta beramal soleh. Mudah-mudahan kita selamat di sana.

Apa-apa pun kematian sahabat saya benar-benar menyentak diri. Saya berdoa mudah-mudahan rohnya akan ditempatkan di kalanngan para salihin, anbiya’ dan syuhada’. Nasib kita belum tahu lagi. Ibrah atau pelajaran yang dapat diambil ialah sentiasa bersedia untuk mati kerana kita tidak tahu bilakah saat dan ketikanya.

YA ALLAH, SUDAHKANLAH HIDUP KAMI DENGAN HUSNUL KHATIMAH, KAMI MOHON KEREDHAANMU, TERIMALAH AMAL IBADAH KAMI.HANYA PADA MU KAMI MEMOHON. AMIN. 

Penempatan awal di Kuala Lumpur (Kisah 1)

Published September 7, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Sedar tak sedar dah 5 tahun saya bermukim di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.Dan kini saya berpindah pula ke pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan,Putrajaya. Tempat yang saya pernah impikan suatu ketika dahulu. Walaupun, saya pernah belajar di Gombak dan PJ, namun saya hampir lupa segala-galanya sebaik sahaja menjejakkan kaki semula ke Kuala Lumpur pada tanggal 7 Julai 2003. Terasa asing sekali.Saya masih ingat lagi bahawa saya tidak akan bekerja di Kuala Lumpur.Sebabnya, sini penuh dengan kesesakan lalu lintas,manusianya plastik,kos sara hidup yang tinggi dan saya tidak mempunyai sesiapa di sini lantas memilih untuk tinggal di bandar saya dibesarkan Kulim,Kedah. Saya memilih untuk bekerja di Bukit Mertajam,bandar kelahiran saya seusai pengajian saya di UIA pada penghujung tahun 1997. Di sini semuanya serba ringkas dan saya sudah terbiasa dengan keadaan di sini yang bagi saya cukup tenang.

Waktu itu, saya langsung tidak terlintas bahawa suatu hari nanti saya akan tercampak ke Kuala Lumpur tempat yang saya paling benci. Takdir Allah menentukan bahawa saya boleh dikatakan kecewa dengan karier saya di Pulau Pinang dan mula mencari-cari peluang untuk berhijrah ke tempat baru yang lebih baik. Pekerjaan saya ketika itu cukup tidak menentu.melompat dari satu tempat ke satu tempat mengikut tawaran yang paling best.Namun, saya mula memikirkan bahawa saya perlu menghentikan semua ini dan mencari satu pekerjaan yang tetap dan stabil.

Kehidupan mempunyai banyak anak tangga yang perlu didaki.

Kehidupan mempunyai banyak anak tangga yang perlu didaki.

Terlalu banyak dugaan dan cabaran yang perlu dilalui sepanjang 6 tahun saya bekerja swasta. Ternyata pahit maungnya melebihi manisnya. Cuma yang nak saya nyatakan di sini bahawa kehidupan saya tidaklah indah jika dilihat dengan pekerjaan saya yang disifatkan sebagai berprestij dan berimej tinggi di mata masyarakat. Mungkin ketika itu, saya agak renggang hubungan saya dengan Allah dan akhirnya Allah mentakdirkan saya di sini. Saya pernah berdoa supaya dikurniakan pekerjaan yang baik.pekerjaan yang akan mendekatkan diri saya kepada Allah berbanding pekerjaan saya pada masa itu. Saya tidak pasti samaada pekerjaan saya sekarang adalah yang terbaik tetapi yang pasti kehidupan saya bertambah baik dan stabil.Saya akan terus berdoa agar diberikan rezeki yang baik dan mencurah,kehidupan yang luas lagi selesa dan yang paling penting saya mengharapkan keredhaan Allah kerana saya cukup takut sekiranya rezeki yang Allah berikan kepada saya menjadi ‘istidraj’ atau ujian yang akan menyebabkan saya lupa dan lalai dari mentaati Allah sebagaimana yang diberikan kepada Firaun dan Qarun.

Seperti kereta kabel yang bergantung kepada tali,kehidupan kita bergantung kepada Allah,maka berpautlah pada tali Allah inshallah selamat.

Seperti kereta kabel yang bergantung kepada tali,kehidupan kita bergantung kepada Allah,maka berpautlah pada tali Allah inshallah selamat.

Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu, kalau kamu memohon, maka mohonlah kepada Allah, kalau kamu minta pertolongan maka mintalah kepada Allah.Ketahuilah,bahawa apabila seluruh manusia berhimpun untuk memberikan kebaikan kepadamu, nescaya mereka tidak akan boleh memberikan kebaikan kepadamu, kecuali yang telah ditetapkan oleh Allah kepadamu. Dan apabila mereka berhimpun untuk memberi kemudaratan atau memusnahkanmu, nescaya mereka tidak akan boleh memudaratkan atau memusnahkanmu, kecuali yang telah Allah tetapkan kepadamu. [At-Tirmidzi dan Imam Ahmad dalam Musnadnya]

(bersambung)

Rutin harian

Published September 3, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Terlalu banyak perkara yang harus diselesaikan hari ini.Mesyuarat silih berganti dari pagi sampai tengahari.Tengahari ini saya ambil kesempatan dengan sahabat saya Hanafe pergi ke Warta beli kurma mariami.Saya suka kurma jenis ni,sedap dan liat-liat lagi manis. Tapi harganya boleh tahan. RM3.50 untuk 100 gram. Saya beli 300 gram.Tak banyak manapun.Seciput sahaja. Kalau kat Madinah atau Mekah boleh dapat banyak-banyak.makan puas-puas. Hanafe pun teruja bila saya promosi pada dia suruh beli untuk buka puasa. Dia pun beli 300 gram juga.

Lepas tu,kami singgah sekejap di Menara Optometris nak survey cermin mata.Ada offer tapi barangan kurang menarik hati.

Kami keluar dari Warta dan singgah di surau dekat Sg.Ramal untuk solat zohor.Lepas tu terus balik pejabat. Terus sambung kerja.Hidup ini kadang-kadang membosankan kalau hari-hari buat perkara yang sama. Justeru, sesuatu perlu dilakukan supaya hidup ini penuh ceria dan mempunyai “jiwa” atau ruhhiyyah dalam diri kita agar kita bisa menjadi insan yang sentiasa berkembang selaras dengan tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Bulan ramadhan ini patut dipenuhi dengan amal ibadah yang berterusan. Hajat di hati nak membaca A-Quran tapi letih sangat bila sebelah malam. Ya Allah, berilah aku kekuatan dan kekuatan untuk menambahkan bekalan ku di hari akhirat. Bukalah pintu rahmatMu kepada hambaMu yang lemah ini seluas-luasnya di dalam bulan yang mulia ini. Perelokkanlah solatku, murahkanlah hatiku untuk bersedekah dalam bulan ini. Buangkanlah perasaan malas dalam diriku untuk merebut ganjaran dan tawaranMu di bulan in dan berilah kesempatan dan peluang kepadaku untuk dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar yang belum pernah kutemui. Bangunkanlah diriku pada malam berkenaan supaya aku dapat bermunajat dan beribadah kepadaMU.

Amin.

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan, dan Allah tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur” (Al-Qur’an, Surah Al-Baqarah, ayat 185).

Kembali ke parlimen 28 Ogos 2008

Published September 1, 2008 by Menikmati Takdir Langit
Mengatur langkah

Mengatur langkah

Setelah hilang lebih 10 tahun dari persada politik tanahair, bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 28 Ogos 2008 jam 10.00 pagi kembali semula ke Parlimen badan perundangan tertinggi negara. Kata orang dalam politik semuanya mungkin.Hari ini kita di bawah esok pula di atas,begitulah rencam politik yang tidak menentu. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada peristiwa-peristiwa politik yang mewarnai negara kita kebelakangan ini.

Kepulangan dinanti

Kepulangan dinanti

Saya tidak pasti.Politik penuh dengan ketidaktentuan atau “uncertainties” dan juga kemungkinan-kemungkinan yang lain “possibilities”. Kadang-kadang saya pening kepala memikirkan semua kemungkinan dan ketidaktentuan ini.Saya berdoa semoga Allah memberikan saya kekuatan untuk terus berminat menganalis dan mengikuti perkembangan politik samada dalam negara mahupun di luar negara. Di Thailand, diberitakan bahawa keadaan politiknya kini tidak stabil akibat tunjuk perasaan yang merebak di seluruh negara. Di Amerika Syarikat pula, pilihanraya Presiden semakin menarik apabila Calon Republican menamakan seorang wanita muda Gabenor Alaska sebagai “running mate” atau calon Timbalan Presiden. Di Georgia, wilayah bekas Soviet Union masih bertegang denga Russia berhubung wilayah-wilayahnya di sempadan negara Balkan tersebut. Di negara kita, walaupun terdapat ketidaktentuan dan kemungkinan-kemungkinan di sana sini namun keadaannya masih lagi aman damai dan stabil. Saya berdoa semoga Allah memelihara negara tercinta ini dari segala perkara yang tidak diingini.Namun di sudut hati kecil ini saya masih mengharapkan sesuatu yang besar akan terjadi.Sesuatu yang akan memberikan “hasanah” kepada negara ini. Buat masa ini, biarlah persoalan ini menjadi teka teki yang akan terjawab kemudian. Mudah-mudahan Allah swt akan mentaqdirkan sesuatu kebaikan untuk negara tercinta ini.

HUBBUL WATAN MINAL IMAN