Archives

All posts for the month December, 2009

Solat itu wadah

Published December 28, 2009 by Menikmati Takdir Langit

 

Kita seringkali mengeluh bila Allah tidak membantu kita. Kita sering merintih bila mengalami kesusahan dan kemiskinan di dalam kehidupan. Kita juga  seringkali mengeluh bila setiap keinginan kita di dunia ini tidak tercapai. Malah kita berduka cita dan bersedih hati bila ditimpa masalah demi masalah dalam kehidupan yang membelit jiwa dan menyesak dada.   

Tanpa disedari keluhan kita itu secara tidak langsung seperti menyalahkan sang Pencipta atas kemudaratan yang kita alami. Langsung tidak terlintas untuk kita memohon pertolongan dari Sang Pencipta kerana kita lebih selesa dengan permohonan kepada manusia. Kepada manusia kita sandarkan permohonan kita seratus peratus dan kepada manusia juga kita bergantung harap dengan yakin. Kita terlupa untuk bersandar kepada Sang Pencipta yang sentiasa memerhatikan pergerakan kita setiap saat tanpa terleka. 

 Mari kita renungi Firman Allah swt ini:
 
 “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan  dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat, kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153).

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (iaitu) orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” (Al-Baqarah: 45-46).  

Lihatlah bahawa Allah menyuruh supaya kita memohon melalui solat yang mulia. Bila kita ditimpa masalah kita dituntut supaya bersabar dan mengerjakan solat. 

 Soalnya kenapa solat? Apa pula kaitannya solat dengan masalah, musibah, ujian yang sedang kita hadapi?????

 Jawapannya kerana solat adalah wadah atau medium untuk kita mendapatkan pertolongan dari Allah. Tanpa solat bagaimanakah permohonan kita akan dapat dimajukan kepada Tuhan Rabul Jalil? Cukupkah sekadar menadah tangan berdoa di mana-mana seperti di kedai makan, pejabat atau jalan raya tanpa disertai dengan solat? 

Sedangkan kehidupan dunia ini sendiri pun mempunyai banyak wadah inikan pula bila memohon kepada Allah untuk sesuatu yang dihajati. Contohnya, jika ingin makan kita perlukan pinggan, jika ingin minum kita perlukan gelas, jika ingin bergerak ke sesuatu destinasi kita perlukan kenderaan, jika ingin berurusan dengan pejabat kerajaan kita perlukan borang  adalah antara wadah yang dapat saya fikirkan di dunia ini. 

Solat adalah wadah kita dengan Sang Pencipta. Solat ibarat gelas yang ditadahkan. Tanpa gelas maka bagaimanakah kita mahu menampung air yang dicurahkan kepada kita. Tentu sekali air yang turun akan jatuh begitu sahaja ke bumi tanpa  dapat kita mengambil manfaatnya.  

Tanpa solat bagaimana Allah ingin memberikan pemberianNYA kepada kita. Dengan apa kita mahu menampung pemberian Allah kalau tidak dengan solat? Ibarat air yang diberikan kepada kita, di mana bekas untuk menampung air itu? 

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu untuk mengerjakan solat, dan hendaklah kamu tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.” (Taha: 132) 

Solat bukan sekadar perintah Allah yang mesti ditunaikan. Sebaliknya solat perlu dilihat sebagai satu wadah untuk kita memohon sesuatu yang dihajati dan menerima pemberian dari Allah.  

SOLAT ITU WADAH, URUSAN HIDUP JADI MUDAH !!!!! 

 Abu Wafi, Putrajaya 

Kita sebenarnya lebih tua

Published December 23, 2009 by Menikmati Takdir Langit

 

Berakhirlah sudah tahun 1430 hijrah dengan seribu satu pengalaman pahit manis yang mewarnai kehidupan. Walaupun tahun masihi 2009 masih lagi berbaki 2 minggu lagi, umur kita sebenarnya telah bergerak selangkah ke hadapan. Tidak dinafikan bahawa ramai termasuk diri saya mengira umur mengikut kalender gregorian atau masihi tetapi jika dikira mengikut kalender Islam kita sebenarnya lebih tua.  Itulah perhitungan yang sebenarnya. February atau Mac bukan perkiraannya kerana kiraannya yang sebenar adalah berdasarkan Muharram dan seterusnya.

Sekadar satu peringatan untuk kita semua !! 

BERHIJRAH UNTUK KEBAIKAN

Pagi ini seperti biasa saya masuk ke pejabat. Beberapa minit kemudian pintu bilik saya diketuk orang. Seorang staff saya menguak pintu dan mengucapkan terima kasih kerana menghadiri majlis kenduri kahwinnya di Gombak 2 minggu yang lalu.

Cuma saya terkejut, terdiam seketika bila melihat keadaan dirinya. Tidak seperti sebelumnya.

Saya terkejut kerana dirinya telah jauh berubah. Jika dahulu beliau satu-satunya staff saya yang tidak bertudung, tetapi hari ini dengan semangat tahun hijrah 1431, ditambah dengan baru 2 minggu bergelar isteri orang beliau memilih untuk berubah.

Saya bersyukur atas penghijrahan diri beliau ini dan berdoa mudah-mudahan beliau akan terus istiqamah dengan pakaian yang menutup aurat.

Peristiwa pagi ini mengingatkan kepada kata-kata Saidina Ali karamallahuwajhah:

 “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam.”

Jika staff saya berubah dari tidak bertudung kepada bertudung litup maka apa pula perubahan yang patut saya lakukan. Saya berfikir panjang…….

Jika solat masih lagi membaca Surah Al-Ikhlas apa kata kita cuba pula menghafal surah-surah yang panjang seperti As-Sajadah atau An-Naba’.

Jika tidak pernah solat sunat dhuha kerana kesibukan kerja, apa kata kita ubah tradisi dengan menetapkan pukul 10.00 pagi sebagai ketetapan untuk tunaikan solat dhuha biar pun 5 minit sahaja.

Jika berpuasa hanya di bulan Ramadhan apa kata kita ubah tradisi dengan berpuasa sunat 3 hari dalam sebulan atau berpuasa setiap Isnin dan Khamis.

Jika suka membaca, apa kata cuba-cubalah pula membaca  Tafsir Al-Quran karya Ibnu Katsir sehari selembar muka surat. Atau boleh saja mengambil Kitab Riyadhus Salihin karya Imam Nawawi bagi mengutip nasihat-nasihat agama berguna untuk hidup ini. Atau boleh saja menyelak buku Sirah Nabawiyyah karangan Syeikh Al-Mubarakfuri untuk mengambil semangat jihad Rasulullah saw dan para sahabat.

Jika ke masjid cuma sekali dalam seminggu untuk solat jumaat apa kata kita cuba tetapkan keazaman untuk sekurang-kurangnya solat Maghrib atau Isya’ berjemaah di masjid atau surau berdekatan.

Kita mungkin tidak mampu untuk mencontohi para sahabat, tabi’en, muqarrabin yang tidak pernah meninggalkan solat waktu berjemaah seumur hidup, tetapi kita mampu untuk mensasarkan sekurang-kurangnya dalam sehari kita peruntukan satu waktu untuk solat berjemaah di masjid atau surau. Boleh jadi Maghrib atau Isya’ kerana waktu-waktu ini boleh dikatakan yang paling lapang bagi semua manusia.

Semua yang kita azamkan dan lakukan ini adalah untuk manfaat diri ini. Biar pun cuma satu waktu untuk solat berjemaah di masjid, biar pun cuma sehelai atau sepotong ayat Al-Quran yang dihafal namun pahalanya cukup besar di sisi Allah kerana inilah manifestasi kepada kesungguhan dan keazaman kita untuk berubah ke arah kebaikan.

Biar pun sedikit, tetapi yang sedikit itulah langkah-langkah awal kita untuk menjadi insan yang terbaik  lagi bertaqwa di sisi Allah.

Dengan waktu yang semakin bergerak pantas ke hadapan, kita sebenarnya tidak mempunyai banyak masa lagi di dunia ini. Usahlah dipersia-siakan waktu-waktu yang masih berbaki untuk kita kerana kita tidak tahu apakah waktu yang masih berbaki untuk kita di dunia ini masih banyak atau mungkin berakhir esok atau lusa……

Abu Wafi, Putrajaya

Pic: Source

Pertemuan bersama Dr.Yusuf Al-Qaradhawi

Published December 21, 2009 by Menikmati Takdir Langit

 

Pada 19 Disember 2009, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) berlangsung majlis Muhadharah bersama Al-Allamah Prof Dr.Yusuf Al-Qaradhawi. Sehari sebelum itu, beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431 oleh Kerajaan Malaysia. Saya dimaklumkan akan kehadiran beliau melalui sms oleh sahabat saya Riduan. Malam sebelum itu, saya menghubungi adik saya di Kota Damansara untuk mengajak beliau turut serta dalam majlis tersebut. Kalau ada adik saya akan memudahkan pemahaman saya kerana beliau fasih berbahasa Arab serta boleh menjadi penterjemah kepada saya yang kurang mahir.

Pagi itu, lebih kurang pukul 8.50 pagi kami bertolak dari rumah saya menuju PICC. Seingat saya, kali terakhir saya bertemu Prof Dr.Yusuf Al-Qaradhawi ialah pada tahun 1995 semasa kunjungan beliau ke UIA, Petaling Jaya. Saya masih ingat selesai saja solat jumaat yang diimamkan oleh beliau saya dan rakan meluru ke hadapan untuk bersalam-salaman dengan beliau. Bukan senang nak dapat peluang untuk bersalaman dengan ulama terkenal dunia. Saya seorang peminat beliau dan antara bukunya yang paling saya sukai ialah Halal dan Haram Dalam Islam, Fatwa Masa Kini dan Fiqh Awlawiyyat atau Fiqh Keutamaan. Tulisan-tulisan beliau tersebar di serata dunia dan telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

Sesi muhadharah

Sebahagian tetamu dan peminat yang hadir

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mashitah Ibrahim, Ketua Pengarah JAKIM, para mufti dan VIP yang lain. Dalam sesi muhadharah perdana tersebut, Al-Allamah Prof Dr.Yusuf Al-Qaradhawi membicarakan buku terbaru beliau berjudul ‘Fiqhul Jihad’. Saya kira ini adalah satu topik yang cukup menarik kerana jarang-jarang ulama kontemporari mengupas Fiqhul Jihad secara terperinci apatah lagi dengan mengaitkan dengan perkembangan semasa. Antara mutiara kata yang dapat saya petik ialah Islam bukan agama keganasan dan tidak ditegakkan di atas mata pedang. Umat Islam dilarang untuk mencari musuh, menggunakan kekerasan sebaliknya Islam adalah agama yang mementingkan perdamaian dan peperangan adalah langkah terakhir untuk memelihara kesucian Islam dan membela umat Islam yang ditindas. Beliau memetik banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith bagi menyokong pandangan beliau. Majlis berlangsung selama 1 jam dan di akhir majlis ramai yang berebut-rebut untuk bersalam-salaman dengan beliau. Saya dan adik tidak ketinggalan namun agak hampa kerana kawalan yang sungguh ketat.Kupasan ringkasan muhadharah tersebut, boleh dilayari di blog www.pemudaiman.blogspot. tulisan adinda saya Ustaz Syauki Al-Kulimi.

Selesai majlis kami bergerak ke majlis kudapan yang disediakan oleh pihak urusetia. Rupa-rupanya majlis tersebut seperti satu pertemuan reunion kerana saya dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama semasa menuntut di universiti dahulu.

BERTEMU PROF. DR. YUSUF AL-QARADHAWI

Selesai minum kami turun ke tingkat 2. Saya tergerak hati untuk singgah di tingkat 2 yang menempatkan bilik makan VIP. Saya lihat tidak ramai orang. Cuma beberapa kelibat urusetia yang kelihatan. Saya dan adik bertanya adakah kami boleh masuk bertemu dengan beliau. Memandangkan tidak ramai orang maka kami dibenarkan menunggu di luar bilik makan VIP dengan syarat membuat barisan secara teratur. Kami menunggu tidak lama lebih kurang dalam masa 5 minit. Akhirnya, pintu bilik VIP dibuka dan muncullah tokoh ulama besar dunia ini ditolak dengan kerusi roda. Saya dan adik mengucapkan salam kepada beliau dan kami bersalaman dan sempat  mengucup tangan beliau. Kami rasa benar-benar dipermudahkan Allah kerana ketika itu tidak ramai yang menunggu di situ sehingga dapat bertemu dengan beliau secara ‘live’. Nikmat Allah yang sungguh besar untuk kami berdua. Kami hanya ingin mengambil ‘barakah’ atau tabarruk daripada ulama besar dunia ini.

Beliau kelihatan agak uzur, bertongkat dan perlu menggunakan wheel chair. Usia beliau sudah mencecah 83 tahun namun intonasi suara beliau ketika majlis muhadharah tersebut seperti pemuda berusia 23 tahun. Lantang, bertenaga dan bersemangat sekali.

Ternyata semangat Infiru khifafan wa tsiqalan! …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah… (Surah At-Taubah, ayat 41) sentiasa membara di dalam diri beliau. Walaupun sudah dimamah usia namun ini sama sekali tidak pernah menghalang beliau untuk terus aktif berdakwah melalui penulisan dan ceramah-ceramah kepada umat. Beliau bukan sahaja seorang ulama, malahan seorang pemikir, reformis dan intelek kontemporari. Tidak hairanlah jika pihak barat cukup bimbangkan pengaruh beliau kepada umat Islam.

Semangat yang ditunjukkan oleh Al-Allamah Prof Dr.Yusuf Al-Qaradhawi mengingatkan saya kepada seorang sahabat Nabi saw iaitu Abu Ayyub al-Anshari yang berjuang bersama tentera Islam untuk membebaskan Kota Konstantinople ketika usianya sudah melebihi 80 tahun.  Usia bukan penghalang kepada Abu Ayyub untuk berjihad menegakkan Islam di bumi Konstantinople. Ketika perang sedang meletus antara tentera Islam dan Byzantine beliau jatuh sakit. Bila ditanya beliau menjawab : 

“Bawakan tubuhku dan teruskan perjuangan bersama-sama dengan tubuhku di tengah musuh. Dan sekiranya aku syahid atau meninggal dunia  maka kebumikanlah aku di Konstantinople.. Supaya pada suatu hari nanti apabila tentera Islam berjaya menawan Konstantinople.. Maka aku akan mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku… Dan pada hari itu tahulah aku bahawa janji Nabi SAW sudah terlaksana!” [ Dipetik dari blog Muhtar Suhaili]

Pertemuan dengan Al-Allamah Prof Dr.Yusuf Al-Qaradhawi pada tanggal 19 Disember 2009 bersamaan dengan 3 Muharam 1431 tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya untuk memulakan tahun baru hijrah dengan pengalaman yang sungguh manis, tidak akan dilupakan dan tidak disangka-sangka.

Saya berdoa semoga Allah  memanjangkan umur beliau  agar dapat umat Islam pada hari ini mengambil manfaat daripada nasihat dan pandangan-pandangan beliau. Khidmat beliau kepada umat ini sangat diperlukan di saat umat Islam sedang ditindas di kiri dan kanan oleh musuh-musuh Islam.  Moga beliau terus diberi kekuatan oleh Allah untuk terus menabur bakti kepada dunia Islam. Moga semangat Infiru khifafan wa tsiqalan akan terus menyala dalam diri beliau.

Moga bermanfaat !!!

Abu Wafi, Putrajaya

Kehadiran Prof. Tariq Ramadhan di Malaysia

Published December 17, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Pada 12 Disember 2009 yang  lalu seorang ilmuan Islam terkemuka dunia Profesor Tariq Ramadan telah datang ke Malaysia. Beliau adalah cucu kepada tokoh gerakan Islam Al-Ikhwan Al-Muslimun, As-Syahid Hassan Al-Banna. Bapa beliau, Said Ramadan berhijrah ke Switzerland selepas Al-Imam Al-Banna dibunuh pada tahun 1949 dan membuka Pusat Islam di bandar Geneva.

Nama beliau mula terkenal apabila beliau berdebat dengan Presiden Perancis sekarang, Nicholas Sarkozy. Beliau telah menghasilkan 20 buah buku di samping telah menulis beratus-ratus artikel. Boleh berbahasa Inggeris, Peranchis dan Arab.  Ramai yang meminati beliau kerana kagum dengan idea-ideanya yang mengancam. Paling membimbangkan pemikir-pemikir Barat ialah idea beliau mengenai konsep “European Muslim”  yang boleh ditatapi di dalam bukunya “To Be a European Muslim“.

Beliau mengingatkan saya kepada seorang ilmuan Islam Professor Dr.Ismail Raji’e Faruqi yang memperkenalkan dengan konsep “The Islamization of Knowledge”. Malangnya, idea-idea beliau tidak disenangi oleh pihak Barat dan Yahudi kerana boleh mengancam mereka. Akibatnya, beliau dan isterinya dibunuh dengan kejam dalam satu insiden tragis di rumah mereka di London. Sehingga kini, pembunuhan beliau masih menjadi kes misteri yang belum dapat diselesaikan.

Kini Prof. Tariq Ramadhan datang mengisi ruang-ruang kosong ketika umat Islam di seluruh dunia dahagakan seorang ilmuan Islam yang mampu menggegarkan Barat yang tidak henti-henti menekan dan menindas Islam dan umatnya. Mungkin ramai yang masih belum mengenali beliau. Saya sendiri sedang berusaha untuk mengenali dan memahami pemikiran beliau. Terima kasih kepada adik saya Ustaz Syauqi kerana memaklumkan kehadiran Prof Tariq di Malaysia walaupun saya sendiri tidak berpeluang menemui dia baru-baru ini. Mudah-mudahan Allah memberi saya peluang yang kedua untuk bertemu beliau suatu hari nanti.

Walaupun belum pernah membaca secara terperinci buku beliau, namun komen-komen yang saya terima dari rakan-rakan cukup menarik perhatian saya untuk mengenali beliau dengan lebih dekat lagi. Perlahan-lahan saya mula menyukai beliau kerana ilmu dan akhlak beliau yang menghampiri tingkah laku datuknya As-Syahid Imam Hassan Al-Banna yang terpuji.

Fasih dalam 3 bahasa

Dalam ceramah beliau di auditorium Suruhanjaya Sekuriti Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau telah bercerita mengenai pemikiran Almarhum Muhammad Asad yang terkenal dengan bukunya “The Road To Mecca suatu ketika dahulu. Adik saya mengkhabarkan bahawa ceramah beliau mengenai Muhammad Asad cukup menarik, sarat dengan ilmu dan menghiburkan jiwa.

Sebagai penutup, saya petik ulasan dari  Time 100 Most Influential Innovators Year 2006:

Ramadan’s chosen task is to invent an independent European Islam: “We need to separate Islamic principles from their cultures of origin and anchor them in the cultural reality of Western Europe.” With 15 million Muslims on the Continent, Ramadan believes it’s time to abandon the dichotomy in Muslim thought that has defined Islam in opposition to the West. “I can incorporate everything that’s not opposed to my religion into my identity,” he says, “and that’s a revolution.”

Abu Wafi, Putrajaya

Pasangan ilmu

Published December 16, 2009 by Menikmati Takdir Langit

 

Saya sungguh tertarik dengan huraian mengenai pasangan ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Amin dalam program Tanyalah Ustaz di TV 9 jam 7.30 pagi baru baru ini. Program selama 3 hari berturut-turut cukup menarik perhatian saya dan isteri menontonnya. Rupa-rupanya banyak lagi perkara yang tidak kami ketahui. Topik baru yang saya pasti belum pernah dikupas oleh mana-mana penceramah sebelum ini. Ustaz Amin menghuraikan topik ini dengan jelas siap dengan contoh-contohnya. Barulah saya faham bahawa dalam hidup ini banyak perkara yang perlu diteliti.  Berikut adalah ringkasan pasangan ilmu yang disampaikan oleh ustaz Amin.

Ada 15 pasangan ilmu yang terpenting sekali iaitu:-

1.  Pengajian mengenai ilmu tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai amalan;

2.  Pengajian mengenai amalan tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai ikhlas;

3.  Pengajian mengenai ikhlas tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai hak;

4.  Pengajian mengenai hak tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai ihsan;

5. Pengajian mengenai ihsan tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai  kemanusiaan;

6. Pengajian mengenai kemanusiaan tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai Amar Maaruf Nahi Mungkar;

7. Pengajian mengenai amar maaruf nahi mungkar tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai hikmah di dalam menegur;

8. Pengajian mengenai hikmah dalam menegur tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai sangka baik;

9. Pengajian mengenai sangka baik tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai memahami tipu daya manusia;

10. Pengajian mengenai memahami tipu daya manusia tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai doa dan tawakkal;

11. Pengajian mengenai doa dan tawakkal tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai usaha;

12. Pengajian mengenai usaha tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai sunnatullah;

13. Pengajian mengenai sunnatullah tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai memahami dunia;

14. Pengajian mengenai memahami dunia tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai memahami akhirat; dan

15. Pengajian mengenai akhirat tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai keimanan.

Subhanallah!! Sungguh cantik dan indah sekali pasangan-pasangan ilmu ini. Sebagai contohnya, pengajian mengenai ikhlas tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai hak. Misalnya, seorang ayah mati meninggalkan harta kepada 2 orang anak. Anak ke-2 adalah anak yang menjaga kebajikan ayahnya ketika sakit selama 5 tahun. Manakala si abang langsung tidak mengambil peduli perihal ayahnya. Si abang lalu membolot kesemua harta peninggalan ayah mereka dan menghalau si adik dari rumah pusaka ayah mereka. Dalam hal ini, si adik boleh menuntut haknya seperti kos-kos perubatan,tambang ulang alik ke hospital dan segala perbelanjaan untuk menjaga ayah mereka selama 5 tahun kepada abangnya. Apakah dengan tuntutan si adik ini bermakna beliau tidak ikhlas?? Jawapannya tidak sama sekali kerana pengajian mengenai ikhlas tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai hak. Ikhlas tetap ikhlas tetapi hak mesti dituntut jika kita dianiaya.

Begitu juga pengajian mengenai amar maaruf nahi mungkar tidak boleh dipisahkan dengan pengajian mengenai hikmah di dalam menegur. Misalnya, jika ada berlaku kemungkaran di kawasan kita, maka kita bertanggungjawab untuk mencegah kemungkaran tersebut dengan kekuatan yang ada pada kita. Jika kita memilih untuk mencegah kemungkaran melalui lisan atau nasihat kepada si pelaku, maka jangan lupa untuk menegur dengan lembut dan menggunakan bahasa yang lunak tetapi berkesan di hati. Ini bertepatan dengan perintah Allah swt kepada Nabi Musa a.s supaya berdakwah kepada Firaun dengan lemah lembut, mudah-mudahan nasihat yang lunak ini mampu untuk mencairkan hati Firaun yang keras seterusnya beriman kepada agama yang dibawa oleh Nabi Musa a.s.

Kita boleh bersangka baik dengan manusia tetapi dalam masa yang sama kita mesti berhati-hati dengan tipu daya manusia.  Kita boleh menegur tetapi dalam masa yang sama mesti berhikmah. Itulah antara contoh-contoh yang boleh saya ketengahkan.

Kenapa kita perlukan pasangan-pasangan ilmu ini? Jawapannya, supaya kehidupan kita lebih teratur dan tidak kucar kacir. Pasangan-pasangan ilmu ini jika diamalkan oleh semua anggota masyarakat sudah pasti akan melahirkan suasana yang sihat dan harmoni di dalam masyarakat. Ilmu mesti diamalkan; amalan pula mestilah ikhlas; ikhlas pula mesti berpasangan dengan hak diri; hak pula mesti berpasangan dengan ihsan; ihsan pula bergandingan dengan kemanusian; kemanusiaan pula berkaitan dengan amar maaruf nahi mungkar dan berkait dengan yang lain-lain. Begitulah seterusnya…..

Terima kasih Ustaz Amin atas penerangan yang menyentuh jiwa. Sesungguhnya banyak pelajaran dan pengajaran yang saya pelajari hari ini.

Abu Wafi, Putrajaya

(Pic source : Ishafizan Ishak)

Mencari sasaran sebenar

Published December 15, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Source: Ishafizan Ishak

Saya benar-benar keletihan dan kelelahan. Letih berjalan jauh. Letih kerana memandu yang lama. Saya baru kembali dari Lumut untuk mesyuarat annual bussiness plan tahun 2010. Semuanya perlu dirancang sebaiknya. Semuanya perlu disasarkan. Semuanya mesti menepati sasaran dan mencapai matlamatnya. Jika tidak tercapai, maka saya akan dikira gagal. Selain itu, penilaian atau review ke atas pencapaian kerja tahun 2009 yang semakin menghampiri penghujungnya turut dibincangkan. Kebanyakan perancangan telah tercapai tetapi ada juga yang tidak menepati sasaran yang disasarkan atas sebab-sebab teknikal.

Apa pun sebagai manusia kita hanya boleh merancang tetapi ingatlah bahawa perancangan manusia tidak dapat mengatasi perancangan Allah. Justeru, janganlah kita mendabik dada dan berlagak sombong sekiranya segala perancangan kita selama setahun telah tercapai dengan suksesnya kerana kejayaan yang kita kecapi adalah dengan izin dan bantuan Allah. Jika tidak kerana bantuan dariNya maka belum tentu kita boleh tersenyum gembira pada hari ini. Manakala, jangan pula berasa sedih dan putus asa sekiranya gagal mencapai sasaran kerana kita telah berusaha sebaik-baiknya tetapi atas sebab-sebab yang di luar kawalan kita maka kita gagal.

Jika anda seorang bos maka usahlah melenting dan menyalahkan pekerja bawahan jika mereka gagal mencapai sasaran yang ditetapkan. Belajarlah menghargai sumbangan pekerja bawahan kerana mereka sudah memberikan yang terbaik. Usahlah meletakkan harapan dan sasaran yang terlalu tinggi melangit kerana Allah sendiri tidak pernah membebankan hamba-hambanya dengan sesuatu yang tidak kita mampu. Kadangkala kehendak anda itu sukar untuk dilunaskan kerana dilihat tidak realistik dan tidak masuk akal oleh pekerja bawahan. Bercakap memang mudah namun untuk menterjemahkan arahan tadi dalam bentuk tindakan adalah sungguh sukar. Belajarlah menghargai dan memahami kekangan-kekangan yang dihadapi mereka. Letakkan diri anda di posisi mereka nescaya ketika itu anda akan memahami tekanan yang sedang mereka hadapi dan belajar menghargainya.

Jika anda seorang pekerja bawahan maka berusahalah untuk menunaikan segala amanah  dan tugas yang telah diberikan. Usahlah memandang ringan arahan yang telah diberikan. Berfikirlah dengan waras dan tenang. Cuba semampu mungkin dan dalam masa yang sama cuba letakkan kedudukan anda di posisi bos anda. Bayangkan pula tekanan demi tekanan yang dihadapi oleh mereka kerana tekanan di posisi yang tinggi adalah lebih hebat dari anda. Silap haribulan boleh kena sakit jantung. Sesungguhnya tanggungjawab dan bebanan mereka lebih besar berbanding anda.

Saya melihat bahawa jika semua pihak memainkan peranan dalam sesebuah organisasi maka insyallah organisasi tadi akan dapat bergerak dengan lancar tanpa sebarang masalah. Prinsip bekerjasama, berlapang dada dengan tugasan, memahami kekangan-kekangan yang dihadapi, bersikap realistik adalah antara right attitude yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak untuk berjaya.

Merancanglah untuk kerjaya dan kehidupan anda.

KE MANA SASARAN HIDUP KITA

Jika di dunia kita meletakkan sasaran untuk berjaya dalam pekerjaan, dalam masa yang sama, jangan lupa sasaran hidup di akhirat. Kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi dan lebih bermakna berbanding dunia yang sedikit ini. Jika di dunia kita telah meletakkan sasaran atau matlamat untuk berjaya di negeri akhirat, maka alangkah indahnya jika di akhirat kelak kita dapat melihat hasil usaha kita itu. Tentunya pencapaian di akhirat lebih manis dan bererti.

Justeru, berusahalah untuk melaksanakan perancangan anda kehidupan anda dan dalam masa yang sama usah melupakan matlamat di akhirat.

Abu Wafi, Putrajaya

Khabar Haji 2009

Published December 8, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Saya ingin mengucapkan syukur dan ucapan tahniah kepada saudari Norasyikin bersama suami dan anak mereka Ehsan kerana berjaya menyempurnakan Rukun Islam ke-5. Syukur kerana selamat menunaikan ibadah haji. Syukur kerana selamat sampai ke rumah mereka di sebelah timur Arab Saudi. Syukur kerana nikmat hidayah yang dianugerahkan kepada mereka sekeluarga sehingga dapat mengerjakan ibadah haji dalam usia yang masih muda. Saudari Syikin adalah mantan rakan sekerja saya di kementerian. Beliau mengambil cuti panjang untuk mengikuti suaminya yang bertugas di Arab Saudi selama 3 tahun. Peluang ini diambil oleh beliau dan suaminya untuk menunaikan ibadah haji menggunakan kuota penduduk tempatan.

Perjalanan beliau sekeluarga ke Makkah sungguh menginsafkan saya. Beliau terpaksa menaiki bas selama 20 jam dari kediaman mereka di Al-Jubail. Pengalaman yang sungguh perit dan mengujikan. Kakinya bengkak-bengkak kerana perjalanan yang sungguh jauh dan memenatkan. Lantas ini mengingatkan saya kepada firman Allah di dalam Surah Al-Hajj :27 yang bermaksud :

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Jika dahulu umat Islam datang dengan berjalan kaki dan menunggang unta namun kini keadaan sudah jauh berubah. Perjalanan dari seantero dunia menggunakan pelbagai jenis kenderaan seperti kapal terbang  yang lebih selesa dan cepat. Perjalanan Syikin bersama keluarganya yang  terpaksa menempuhi perjalanan darat yang jauh dan panjang menepati maksud ayat di atas. Mudah-mudahan kesusahan dan kepayahan yang tempuhi sepanjang perjalanan mereka tidak akan dipersia-siakan dan akan diberikan pahala berganda oleh Allah.

Saya teringat satu kisah yang saya pernah baca mengenai Sultan Mahmud Al-Zinki dari Mesir. Beliau adalah seorang Sultan yang warak dan telah menyelamatkan jenazah Rasulullah saw dari dicuri melalui mimpi yang diilhamkan kepada baginda. Walaupun baginda mampu untuk pergi menunaikan haji dengan menggunakan pelbagai jenis kenderaan yang selesa pada zaman itu mengikut kelayakan baginda sebagai seorang pemerintah, namun baginda memilih untuk berjalan kaki pergi ke Makkah seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Hajj: 27.

Begitu juga kisah Uwais Al-Qarni seorang tabi’en yang sangat makbul doanya. Beliau pergi ke Makkah menunaikan haji dengan berjalan kaki dari Yaman. Beliau berjalan kaki sambil menanggung ibunya di atas bahunya bersama bekalan makanan dan minuman. Tidak dapat saya bayangkan betapa gagahnya dan teguhnya ketaqwaan beliau kepada Allah sehingga sanggupberjalan kaki ke Makkah dari Yaman yang jaraknya beratus-ratus kilometer.

Tentu sekali ibadah haji Sultan Mahmud Zinki dan Uwais Al-Qarni yang diraih dengan jerih perih dan susah payah lebih dirasakan nikmatnya. Terasa kepuasan dan kenikmatan beribadah yang tidak terhingga di dalam hati bila haji yang mabrur diperolehi. Kenikmatan yang tidak tergambar oleh kata-kata kerana kenikmatan ini adalah anugerah Allah untuk hamba-hambanya yang bersungguh-sungguh untuk agama.

Ramainya umat manusia – Gambaran mahsyar di dunia

Syikin menceritakan kepada saya saat-saat yang mencemaskan bila khemah mereka bocor ekoran hujan lebat di Mina. Sungguh insaf bila melihat gelagat manusia yang berbondong-bondong menuju ke Mina, melakukan tawaf dan saie. Ada yang kelihatan gagah tubuhnya tetapi terpaksa ditolak dengan kerusi roda. Ada pula yang kelihatan lemah dan tua namun mampu melakukan tawaf dan saie dengan sempurna tanpa bantuan sesiapa. Suasana di Arafah lebih menginsafkan. Katanya, saya rasa Arafah adalah gambaran Mahsyar di dunia bila melihat ramainya manusia. Tiba-tiba saya rasa diri saya sungguh kerdil dan malunya jika saya benar-benar berada di Padang Mahsyar ketika ini. Malunya bila dosa-dosa saya disingkap satu persatu untuk dibicarakan. Saya bermohon supaya keaiban saya ditutup oleh Allah kerana rasa malu yang amat sangat.

Itulah tujuan ibadah haji difardhukan supaya manusia menyedari bahawa suatu hari nanti mereka akan kembali kepada Allah untuk diadili. Setiap amal kebaikan dan kejahatan akan diadili walau sebesar zarah. Tidak ada yang akan terlepas dan Padang Mahsyar adalah tempat di mana seluruh umat manusia dari zaman Nabi Adam as akan dihimpunkan untuk dihisab. Mengikut pandangan sesetengah ulama Mahsyar adalah sebuah dataran yang rata, lapang dan putih seperti permukaan roti. Manusia akan dibangkitkan mengikut amalan hidup masing-masing. Ada yang berkenderaan, berjalan kaki dan ada yang berjalan dengan mukanya. Semuanya menunggu untuk dihisab. Segolongan umat berdiri di sebelah kanan, segolongan lagi berdiri di sebelah kiri dan segolongan lagi berdiri di hadapan arasy. Beruntunglah mereka yang berdiri di sebelah kanan atau al-yamin kerana mereka bakal menerima buku catatan amal yang membawa mereka ke syurga. Beruntunglah golongan yang berdiri di hadapan arasy kerana mereka adalah terdiri dari para rasul, anbiya’ dan syuhada yang sudah pastinya syurga dijamin kepada mereka. Malanglah bagi golongan kiri atau as-syimal yang menerima buku catatan amalan dari tangan kiri kerana neraka adalah tempat selayak-layaknya bagi mereka.

Ibadah haji ini benar-benar memberi pengajaran dan pelajaran yang berguna bahawa kita sebenarnya kerdil dan lemah di sisi Allah. Haji, nikmat Allah yang sungguh besar untuk hamba-hambanya.

Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (Al-Hajj: 28)

Abu Wafi, Putrajaya