Archives

All posts for the month July, 2009

Natrah yang telah pergi

Published July 29, 2009 by Menikmati Takdir Langit

natrah-aminah

 Semalam saya menonton rancangan Hujah di TV9 yang dipengerusikan oleh Prof Agus. Rancangan Hujah memang menjadi minat saya untuk menontonnya apatah lagi jika topik yang dibincangkan adalah berkaitan politik semasa pasca PRU-12. Namun, semalam isu yang dibincangkan amat menarik hati saya untuk terus menonton dan menonton dengan penuh minat. Perbincangan yang hangat dan bertenaga. Rancangan ini menampilkan Datin Fatini Yaakob iaitu insan yang membongkar kehidupan Natrah melalui 3 siri keluaran Dewan Masyarakat di sekitar lewat tahun 80-an lalu dan Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin, Dekan Kulliyyah Undang-Undang UIA.

Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin adalah orang yang pernah saya kenali suatu ketika dahulu. Saya pernah menjadi pelajar seliaannya semasa menuntut di tahun 2. Beliau adalah seorang pakar dalam bidang undang-undang kekeluargaan sivil dan Islam. Saya memilih tajuk “CUSTODY” atau “HADHANAH” [bahasa Arab] sebagai tajuk disertasi saya kerana topik ini sangat-sangat menarik minat hati saya. Isu penjagaan anak adalah isu yang bagi saya cukup hidup dalam pembelajaran Family Law. Membaca semua kes-kes berkaitan penjagaan anak bisa menggugah emosi, menyentak jiwa dan mungkin boleh menitiskan air mata.

Kes Natrah adalah satu daripada kes penting yang mesti dihadam oleh semua pelajar. Memahami jalan cerita, keseluruhan fakta kes dan prinsip undang-undang yang digunapakai di dalam kes ini merupakan kunci untuk memahami kes-kes berkaitan isu penjagaan anak yang lain.

Datin Fatini mengulas dengan panjang dan lebar. Beliau mengupas isu ini dengan bersungguh-sungguh seolah-olah beliau mengenali Natrah sejak kecil lagi. Seluruh perjalanan hidup Natrah dan insiden yang berlaku sehingga membawa kepada rusuhan di Singapura diingati dan dilontarkan satu persatu semalam. Teruja saya seketika.

hujah

Saya rasa tidak perlu untuk saya ceritakan satu persatu rentetan kisah hidup Natrah daripada kehidupannya di Kemaman sehinggalah dibawa balik ke Holland.  Semuanya terpahat di dalam buku sejarah. Kronologi kisah Natrah hanya memahamkan kita tentang jerit perih yang dilanda oleh wanita malang ini yang dipaksa untuk meninggalkan Islam yang dianutinya kepada agama asal nenek moyangnya Kristian. Rasa rindunya pada ibu angkatnya Che Aminah dan suaminya Mansor Adabi tidak tertahan bila beliau dipisahkan secara paksa. Bertahun-tahun beliau hidup menderita sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir sebulan yang lalu.

Saya cuma ingin mengambil pengajaran yang sepatutnya dihayati dan diinsafi oleh generasi muda pada hari ini yang tidak menyaksikan peristiwa gelap ini secara langsung. Membaca kisah sedih Natrah melalui penulisan oleh Datin Fatini Yaakub dan artikel-artikel tulisan Hajar Mohideen, Dr Burhanuddin Al-Helmi dan Prof  Ahmad Ibrahim peguam Natrah pada waktu itu sekaligus menyedarkan kita nikmat hidup beragama yang kita kecapi hari ini.

Saya tertarik dengan ulasan yang dibuat oleh Datin Fatini bahawa sebenarnya umat Islam tidak kalah pada ketika itu walaupun hakikatnya Islam dilihat tewas dengan keputusan Mahkamah Agung Singapura yang memihak kepada ibu asal Natrah. Islam telah menang pada waktu itu.

Islam menang kerana sikap umat Islam yang berani mempertahankan Islam. Tewas di mahkamah tidak bermakna Islam telah kalah. Sebaliknya sikap umat Islam pada ketika itu yang dipimpin oleh Karim Ghani dan Dr Burhanuddin Al-Helmi serta ribuan umat Islam lain di Singapura yang bangkit menentang adalah manifestasi kepada kemenangan umat Islam pada waktu itu. Paling mengesankan saya ialah apabila ketika rusuhan berlaku seorang anggota polis bernama Taha Kalu yang mengawal para demonstran tiba-tiba beralih arah dan menyertai ribuan demonstran untuk menzahirkan kekecewaan dan rasa marahnya bila Islam yang dianuti dipijak dan dihina.

Malangnya sikap sebegini sudah tiada lagi pada hari ini. Ramai umat Islam telah murtad, kes Lina Joy adalah contoh yang nyata. Namun hampir sedikit suara umat Islam melalui NGO-NGO Islam yang tampil menyuarakan bantahan manakala selebihnya masih tidak ambil peduli, masih tidak merasa terancam. Bagi mereka yang terancam ialah apabila harga barang naik, minyak naik, tol naik, saham merudum, ekonomi menjunam dan kadar jenayah meningkat sedangkan mereka langsung tidak kisah bila Islam diserang dan dilanyak dari segenap penjuru. Malahan apa yang berlaku pada hari ini lebih dasyat daripada kes Natrah. Akidah dan kepercayaan umat Islam sedang dirobek dan dipersenda-sendakan.

Sesungguhnya saya cukup bimbang dan terasa hati dengan kejadian yang menimpa umat Islam pada hari ini. Pembunuhan Marwa disenyapkan, kisah umat Islam yang murtad semakin tidak diendahkan. Masyarakat Islam semakin tidak kisah dan tidak sensitif apabila akidah sesetengah orang Islam lain yang semakin goyah dan terpesong. Tiada usaha-usaha dakwah yang giat dijalankan bagi mengembalikan mereka ke pangkal jalan. Inilah yang dibimbangkan dan disuarakan oleh kedua-dua ahli panel tersebut dan saya sememangnya amat bersetuju dengan mereka.

Kesilapan Che Aminah hanya satu. Mengahwinkan Natrah di Singapura di mana undang-undang Inggeris adalah “law of the land” yakni undang-undang yang digunapakai. Sekiranya Natrah memilih untuk berkahwin di Tanah Melayu mungkin beliau masih lagi Islam pada hari ini kerana berdasarkan prinsip kes Ramah v Laton, Islam diiktiraf oleh pihak British sebagai undang-undang yang terpakai untuk orang Islam sedangkan prinsip undang-undang Singapura adalah sebaliknya.

Apa pun beliau sudah meninggalkan kita dalam usia 72 tahun kerana leukemia. Tidak ada apa-apa lagi yang perlu ditangiskan. Semuanya sudah berlalu. Semua watak-watak penting yang mewarnai tragedi Natrah telah pun pergi.

Cuma apakah generasi hari ini akan mengambil pengajaran di sebalik kisah yang menyayat hati ini? Apakah generasi hari ini akan bangkit sekiranya perkara yang sama berlaku di dalam zaman internet dan facebook ini? 

Membaca buku Almarhum Syaikh Fathi Yakanyang bertajuk “Apa Erti Saya Menganut Islam” menjadikan saya semakin mengerti dan memahami betapa mahalnya akidah yang kita miliki ini. Menjadi muslim adalah anugerah yang paling berharga yang perlu dipelihara sehingga ke akhir hayat. Semoga Allah beri kekuatan….

ABU WAFI, 62250 Putrajaya

Tragedi pemergian Marwa

Published July 16, 2009 by Menikmati Takdir Langit

marwan

Saya tidak dapat menyembunyikan perasaan marah dan sedih atas peristiwa hitam dan malang yang menimpa umat Islam kebelakangan ini. Peristiwa ini berlaku di German iaitu sebuah negara yang memperjuangkan hak asasi manusia. Seorang wanita Islam bernama Dr Marwa el-Sherbini dibunuh dengan kejam di dalam ‘court room’ di hadapan hakim dan saksi-saksi yang lain.

Beliau ditikam sebanyak 18 kali tanpa belas kasihan dan suaminya yang meluru untuk menyelamatkannya juga ditembak mati oleh polis German. Tidak pernah berlaku dalam sejarah mana-mana negara bahawa pembunuhan kejam boleh berlaku di dalam bilik mahkamah yang dikawal ketat dan dilengkapi dengan pegawai polis yang ramai. Beliau syahid kerana mempertahankan akidahnya ketika membawa kesnya terhadap seorang penganggur keturunan Rusia-German yang kerap kali mengganggu kehidupannya dengan mencerca dan memanggilnya ‘terrorist‘ kerana hijab yang beliau pakai.  Keadilan berpihak kepada beliau bila hakim mengenakan hukuman denda 2,800 Euro kepada penganggur tersebut. Namun, penganggur tersebut yang berang dengan keputusan mahkamah terus meluru ke arah Marwa yang pada ketika itu sedang mendukung anak kecil bahkan ada berita yang menyatakan beliau juga sedang hamil 3 atau 4 bulan dan menikam bertubi-tubi. Pihak polis hanya mampu memerhati tanpa berbuat apa-apa. Tidak ada penjelasan yang konkrit diberikan kenapa pisau boleh dibenarkan untuk dibawa ke dalam mahkamah. Adakah ini merupakan satu perancangan teliti untuk mematikan syiar Islam atau sebagai peringatan kepada umat Islam di German supaya melonggarkan perintah Allah. Menutup aurat itu wajib dan Marwa telah mempertahankan perintah Allah dengan membawa kes ini ke mahkamah bagi memberi pengajaran kepada mereka yang ingin menghina Islam bahawa Islam adalah agama suci yang tidak boleh dipermain-mainkan.

Seperti biasa media-media Barat menutup rapi kisah pembunuhan tragis yang kini bisu tanpa pembelaan. Jika perkara yang serupa berlaku di negara umat Islam dan menimpa wanita bukan Islam, saya pasti seluruh dunia akan heboh dan campur tangan. Inilah keadilan yang dilaung-laungkan oleh Barat. Tiada pembelaan jika perkara ini berlaku kepada umat Islam,  kerana pembelaan dan keadilan hanya wujud untuk mereka yang menolak Islam sahaja.

Saya tidak tahu apakah umat Islam di seluruh dunia sedar dan tahu mengenai insiden yang menyedihkan ini. Saya teringatkan hadith nabi yang bermaksud :

“Hampir seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar menghadiri makanan.Jawab badinda: “malah kamu ramai, tetapi kamu laksana buih dari bah. dalam pada itu hati mereka tidak ada rasa segan terhadap kamu dan dalam hati kamu sendiri tumbuh penyakit wahan,”

Mereka bertanya:” apakah yang dimaksudkan dengan penyakit watan itu wahai Rasulullah?.
Jawab baginda;” maksudnya adalah dalam hati kamu bertakhta perasaan cinta dan takut mati.”

Mereka bertanya:” Apakah kita sedikit pada masa itu,wahai Rasulullah?”

( Hadis riwayat Al-Imam Abu Daud)

Umat Islam di seluruh dunia sedang ditekan dan didera oleh puak kufur. Di Xinjiang, China kaum Uighur yang memeluk Islam melalui dakwah yang dibawa oleh sahabat Nabi saw Saad bin Abi Waqas dibunuh beramai-ramai selama bertahun-tahun sehingga populasinya menurun dari 45 juta kepada 10 juta penduduk. Cerita ini baru berkumandang seminggu dua ini dan seperti biasa semua negara umat Islam,OIC hanya mendiamkan diri. Tidak berani mengeluarkan kenyataan yang keras kepada China. Cuma Turki melalui Perdana Menteri Erdogan yang lantang bersuara meminta supaya sekatan ekonomi dikenakan ke atas negara kuasa besar dunia itu.

2 insiden yang menyayat hati. Tragedi Marwa dan pembersihan etnik Uighur menyaji rasa. Namun sejauh mana kesensitivitian kita selaku umat Islam yang bersaudara tidaklah dapat dikesan setakat ini. Media di negara kita juga sepi dengan berita ini.  Sebaliknya hanya berita-berita hiburan, perkahwinan dan perceraian artis serta budaya hedonisme yang melampau-lampau diapi-apikan supaya umat Islam leka dari semangat jihad dan menjadi pentingkan diri sendiri.

Tanyalah diluar… kenalkah anda dengan Marwa???

Tanyalah di luar apa perasaan anda terhadap apa yang berlaku kepada Marwa???

Apakah semangat jihad dan perasaan marah bila hak Allah dicabuli sudah mati dalam jiwa umat Islam pada hari ini?

Marwa sudah syahid. Beliau dijemput oleh Allah ketika sedang berjihad. Berjihad mempertahankan hak Allah yang memerintahkan supaya wanita Islam menutup aurat. Syurga menanti beliau atas pengorbanan beliau yang suci ini…

Kita macam mana pula?????

ABU WAFI, Putrajaya

Bila saya marah

Published July 8, 2009 by Menikmati Takdir Langit

P7084691

 Saya benar-benar teruji semalam. Teruji dengan sikap panas baran seorang manusia yang pangkatnya lebih tinggi dari saya. Walaupun saya bukan berada di bawahnya secara langsung namun saya terpaksa bekerjasama dengannya secara “teamwork” bagi menjayakan sesuatu tugasan yang telah ditetapkan. Entah mengapa sifatnya sejak kebelakangan ini berlainan sekali malah makin menjadi-jadi. Silap sikit marah. Silap sikit terus melenting dan naik darah. Suara tinggi usah dikira lagi. Bukan saya menjadi mangsa pertama bahkan beberapa pegawai bawahan menerima nasib yang sama. Saya tidak tahu di mana silapnya. Masing-masing suka bercerita mengenai sikapnya yang merimaskan semua pihak. Masing-masing tidak tahan dengan sikapnya.

Dalam sehari bila saya hitung tidak kurang 15 kali beliau akan menelefon saya. SMS sudah tidak terkira banyaknya. Arahan demi arahan diberikan walaupun semua perkara tersebut telah saya buat dengan tekunnya.

Dia suka memberi’ reminder’ untuk melakukan tindakan susulan atau pun ‘follow up’. Walaupun peringatan itu baik namun jika diulang-ulang 10 kali dalam sehari kita akan naik muak dan rimas. Follow up juga baik namun terlalu banyak follow up akan menjadikan pihak yang satu lagi menjadi menyampah dengan saya yang asyik-asyik membuat follow up. Seoalah-olah saya tidak percaya pada mereka. Agaknya itulah yang terpendam dalam hati mereka.

Namun semalam telah sampai ke kemuncaknya. Kemarahannya begitu menggila sekali. Beliau memaki hamun saya melalui handphone. Hampir 5 minit saya mendengarnya. Silapnya kecil. Saya tidak follow up katanya.

Darah saya naik. Saya hampir hilang pertimbangan. Emosi saya terus terganggu dengan panggilan tersebut. Saya cuma mendengar dan tidak membalas. Saya memberi akujanji akan menyemak dengan pihak yang berkenaan di mana silapnya. Saya akan “repair the damage” seawal pagi keesokan harinya. Saya bergegas berjumpa seorang kawan yang sejawatan dengan saya bagi memohon bantuan. Kebetulan masalah yang berlaku berkaitan dengan kawan saya ini. Beliau tersenyum.

“Tolonglah aku, teruk kena marah” ujar saya.

” Yang bos kau tu teruk sangat buat apa. Bukan besar pun, lagi pun aku akan ambil tanggungjawab sebab sebelum ini kami dah setuju untuk selesaikan benda ni” ujar beliau.

Saya menarik nafas lega. Saya sudah buat yang sepatutnya. Memang sebelum ini pun saya dah lakukan apa yang sepatutnya saya lakukan. Saya sudah menulis surat kepada pihak yang berkenaan dan mereka juga sudah maklum akan hal ini. Perkara ini juga akan diambilalih oleh kawan saya tersebut.

Saya pulang jam 6.20 petang. Hujan renyai-renyai. Ketika melalui highway Kuala Lumpur-Putrajaya Expressway (MEX) saya menekan-nekan keypad handphone.Pada siapa harus saya mengadu. Sebentar tadi pegawai kanan berkenaan dengan nada marah telah menelefon “immediate bos” saya di pejabat. Mengadu akan hal saya, akan kedegilan saya yang tidak mahu mendengar cakapnya. Saya sudah terangkan kedudukan sebenar dan berjanji jika ini silap saya saya minta maaf dan akan betulkan. Dia menerima dengan tenang. Memang “immediate bos” saya yang ini sangat memahami. Saya berjanji akan menyiasat esok pagi mencari di mana silapnya. Adakah surat yang saya hantar tidak sampai atau adakah berlaku ‘communication breakdown” di mana-mana. Saya perlu siasat. Apa pun pegawai kanan tersebut telah menelefon beberapa pihak mengadu akan hal saya termasuk mereka yang dekat dengan Bos paling besar di pejabat.

Malam sesudah solat Maghrib saya berteleku memerhati pemandangan di luar rumah. Saya mengambil Al-Quran dan membaca Surah Thaha dengan harapan hati saya akan tenang. Namun, setiap kali saya baca setiap kali itulah peristiwa siang tadi terngiang-ngiang di telinga. Dada saya tiba-tiba berombak. Saya menjadi marah. Sukarnya saya untuk mengawal kemarahan walaupun sayalah orang yang selalu menyuruh orang bersabar.

Malam itu saya tidur lena setelah membilang biji-biji tasbih sambil membaca Istighfar berbanyak kali. Saya tidak sedar bila saya terlelap. Isteri saya menasihatkan saya bersabar dan banyak-banyak beristighfar, mudah-mudahan kemarahan saya akan hilang.

Pagi ini saya bangun. Entah macam manalah agaknya pagi ini Ya Allah… rintih saya di dalam hati.

Usai solat subuh saya membaca Surah Yassin. Nasihat emak saya, surah ini elok dibaca ketika menghadapi masalah. Selain itu Surah Al-Insyirah juga elok dibaca berkali-kali. Moga Allah memudahkan tugas saya hari ini. Saya tidak mengharapkan apa-apa. Saya hanya pasrah dan berserah jika saya yang harus menerima akibatnya.

Dalam kereta saya tenang. Hati saya lapang walaupun sesekali berkocak dan berombak kencang. Mungkin syaitan ketika itu sedang membisikkan sesuatu yang membuatkan saya marah. Saya teringatkan pesanan Pak Cik Khairul Anwar sahabat saya di Nilai. Beliau menyuruh saya supaya banyak mengamalkan membaca Selawat Tafrijiyyah sebanyak mungkin. Lalu saya membacanya berulang-ulang kali sambil memegang steering kereta. Mulut saya terkumat kamit Ya Allah, kau rungkaikan segala masalah yang sedang membelenggu aku ketika ini”.  Saya baca dan terus membaca sehingga kereta saya sampai di tempat kerja.

Saya tidak terus naik berjumpa pegawai kanan tersebut. Sebaliknya saya terus menuju ke aras 6 membawa salinan surat yang ada pada saya. Saya berjumpa pegawai yang berkenaan dan beliau terus menyemak. Semakan mendapati semuanya “in order”. Surat saya sampai malahan tindakan juga telah diambil sebagaimana yang dipohon di dalam surat tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat kesalahan cetak yang tidak disengajakan. Beliau ambil maklum. Beliau memohon maaf kepada saya dan berjanji akan menyelesaikan perkara tersebut. Saya terkejut. Memang bukan salah saya. The mistake is not mine. Rasa kelegaan terus mendada di dalam jiwa. Perasaan saya bertukar kembali tenang. Dalam hati saya berbisik ” Allah is Great”.

Saya turun ke bawah. Hasrat di hati untuk berjumpa pegawai berkenaan dimatikan dahulu. Saya membuat keputusan untuk sms dia sahaja. Pada saya tiada gunanya saya bertekak dengan dia untuk menegakkan benang yang tidak basah Saya sms dia. Kali ini sms saya lebih panjang dari biasa.

” Dear doc, I hope you will get your fact clear before you scolded  me.I have check with them and they admit its their mistake. They apologized to me and giving undertaking that it wouldnt happen again”

Dia tidak membalas. Mungkin dia terkejut dengan tindakan saya yang berani menempelak dia.

” I hope my explanation is crystal clear and satisfied yourgoodself. I have spoken to my counterparts and they willing to take this task. No problem they will rectify. Should there be any queries please contact them to ratify my explanation. Case is closed. Thank You.

Saya menamatkan sms menunggu reaksi balas darinya. Akhirnya dia menjawab:

“Thank you for taking a timely action”

Itu saja. Biarkan. Kadang-kadang kita juga perlu meluahkan kemarahan dalam bentuk tulisan dan saya memilih untuk menulis. Saya berjumpa dengan dia di bilik. Tapi nadanya telah menurun, suaranya perlahan. Saya tidak bercakap banyak dan terus membuat kerja saya. Dia tidak banyak mengganggu saya. Cuma ada beberapa perkara yang dia tanya namun itu semua tidak berkaitan dengan isu yang berlaku semalam. Saya menarik nafas lega. ‘Case is settled’ bisik hati saya dan saya juga tidak mahu memanjangkan perkara ini ke atas. Biar selesai di sini sahaja walaupun saya tahu perkara ini akan berulang dan berulang lagi.

Kepada ‘immediate boss” di pejabat saya maklumkan kedudukan yang sebenar. Alhamdulillah dia memahami dan menyokong. Saya telah lakukan yang terbaik tetapi sekiranya masih lagi berlaku masalah itu semua di luar kuasa saya… an act of God.

Semua manusia buat silap. Semua manusia buat salah. Malahan tidak ada seorang pun yang tidak sunyi daripada melakukan kesilapan apatah lagi melakukan dosa dengan Allah. Sebab itu, kita dituntut untuk sentiasa beristighfar sehari semalam bagi memohon keampunanNya. Namun dalam kes ini adalah salah di pihak lain bukan salah saya. Saya juga tidak memarahi pihak yang melakukan kesalahan tersebut kerana dia telah pun memohon maaf kepada saya. Memang dia terlepas pandang. Pada saya yang penting adalah bagaimana untuk menyelesaikan masalah.

Damage has been done and how about to repair the damage adalah perkara utama yang sepatutnya difikirkan.

Apa pun perkara ini menjadi pengajaran yang cukup berguna kepada saya. Saya teringatkan pesanan sahabat saya suatu ketika dahulu iaitu;

Kadang-kadang kita perlu juga tunjukkan perasaan kita. Biar tindakan nampak lembut tetapi berbisa dan memberi kesan.

Saya rasa dia telah menerima kesannya. Ada perubahan pada sikapnya hari ini terhadap saya selepas menerima sms tersebut. Saya harap mesej sampai kepadanya kerana saya tidak suka memilih untuk ‘confront’ secara berdepan dengan dia. Bagi saya ini akan memburukkan lagi keadaan. Saya memilih untuk berada jauh dari dia dengan harapan kemarahan saya yang terpendam akan segera reda. Saya memilih untuk keluar jauh dari medan yang boleh mencetuskan kemarahan saya. Itulah yang sebaik-baiknya.

Niat saya meluahkan perasaan melalui sms tidak lain dan tidak bukan hanya untuk menyedarkannya. Saya cuba memperbetulkan keadaan dengan nasihat supaya perkara begini tidak akan berulang lagi. Supaya dia menyiasat habis-habis sebelum meletakkan kesalahan di bahu orang lain.  Namun jika benar saya silap saya rela dan akur untuk dimarahi. Namun marah perlu dikawal. Marah ada batasannya. Ini kerana sifat marah berpunca daripada nafsu yang ditunjangi syaitan. Ia datang daripada diri sendiri melalui nafsu. Sebab itu saya cukup takut jika saya tidak dapat mengawal diri saya bila perasaan marah menguasai diri.

Saya sedar, bahawa bukan mudah untuk menahan kemarahan namun jika tidak diluahkan maka akan membinasakan diri. Luahkanlah dalam bentuk yang sederhana, lembut tetapi memberi impak kepada pihak yang satu lagi. Settle the problem in a suttle way. Anda boleh menulis, melukis, bercerita kepada orang lain, berjumpa kaunselor, menangis, mengadu kepada Allah, membaca Al-Quran atau apa sahaja asalkan luahan anda tidak memudaratkan orang lain apatah lagi bercanggah dengan Islam. Allah redha, manusia pun redha.

Dalam masa yang sama saya berdoa semoga Allah melembutkan hatinya dan memberikan petunjuk kepada beliau supaya bersikap tenang dalam semua keadaan.

Saya berdoa dan memohon ampun semoga api kemarahan yang membuak-buak dalam diri ini akan segera reda, akan segera padam.

Sabda Nabi saw : ” Orang yang paling kuat di kalangan kamu ialah yang dapat menahan kemarahannya”.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu mendapat kemenangan”.                             [Ali-Imran :200]

Saya akur, bila saya marah lagi kembalilah kepada akal dan hati… Jangan biarkan nafsu menguasai diri. Akal dan hati biar beraja di dalam diri baru nafsu mengikuti.

ABU WAFI, Kuala Lumpur

Bila parlimen berhenti bersidang

Published July 6, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Mesyuarat Dewan Rakyat tamat pada 2 Julai 2009. Mesyuarat akan disambung semula pada bulan Oktober 2009.  Bulan Oktober akan bertambah sibuk dengan pembentangan bajet 2010 dan pastinya menarik perhatian ramai.

Sebelum pulang saya sempat mengambil beberapa ‘shot’. Parlimenlah tempat yang paling banyak diadakan sidang akhbar dan pihak pembangkang yang paling banyak membuat sidang akhbar.

P7024597

Sidang media Ketua Pembangkang

Selain itu, sidang kali ini diserikan dengan Pesta Durian di premis parlimen anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Semua YB dan pegawai bertugas dijemput hadir.  Masa inilah kemesraan antara semua YB tanpa mengira parti politik terjalin. Lepas makan masuk dewan gaduh balik. Professional namanya.

P6254555

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu dan Pokok Sena duduk semeja dengan Menteri Pertanian

Paling tidak saya lupakan insiden yang berlaku semasa upacara angkat sumpah Ahli Parlimen Bukit Gantang yang juga mantan Menteri Besar Perak yang popular YB Dato’ Seri Nizar bin Jamaluddin.  Beliau memakai ‘head band’ bubarkan DUN Perak. Ekoran insiden itu, beliau digantung selama 2 hari oleh Speaker Dewan Rakyat.

nizar

YB Nizar telah berjaya mencuri tumpuan

Apa pun sidang kali ini telah berjalan dengan lancar kecuali beberapa insiden kecil yang terkawal di dalam dewan. Semua YB kini telah kembali ke kawasan masing-masing untuk meneruskan khidmat kepada rakyat.

ABU WAFI, Putrajaya

Lihat dengan mata hati

Published July 1, 2009 by Menikmati Takdir Langit

P3151905

Dahulu saya mempunyai seorang kawan yang rapat. Seorang yang boleh saya panggil sahabat. Seorang yang sangat merendah diri walaupun ilmunya cukup tinggi. Seorang anak yang taat kepada kedua ibu bapanya. Seorang yang dihormati oleh kawan dan lawan. Seorang yang lemah lembut dan sabar. Paling saya suka ialah nasihat-nasihatnya yang cukup bermakna dan mengesankan jiwa. Nasihatnya berbekas di dalam diri.

Walaupun berkelulusan tinggi, mempunyai karier yang berprestij beliau cukup sederhana. Walaupun mampu membeli rumah yang mahal beliau sebaliknya memilih untuk membeli sebuah rumah teres yang terletak bersebelahan dengan rumah orang tuanya hanya kerana ingin berbakti kepada mereka yang telah membesarkannya.

Walaupun pernah ditawarkan dengan gaji yang lumayan beliau memilih untuk berada di tempatnya sekarang walaupun gajinya sederhana sahaja. Sifat “qanaah” atau cukup dengan apa yang ada menjadi moto hidup beliau.Tidak berlebih-lebihan. Tidak “exegerated”. Jadi, tidak hairanlah ketika kawan-kawan yang lain bergaya dengan rumah yang besar dan kereta yang serba baru beliau langsung tidak tertarik dengan semua itu. Betapa sifat qanaah itu terpancar dalam dirinya.

Pandangan matanya terhadap sesuatu perkara ternyata berbeza dengan pandangan orang lain. Pandangannya menembusi ruang lingkup yang mungkin tidak terfikirkan oleh sesiapa kecuali mereka yang benar-benar memahami tujuan hidup. Sebab itu saya sangat-sangat menghargai kehadirannya. Nasihat-nasihatnya berkaitan kehidupan cukup dirindui saya.

Suatu pagi saya minum pagi bersamanya di sebuah restoran. Kami makan roti canai dan teh tarik. lebih kurang 10 minit meja di sebelah kami didatangi oleh seorang lelaki separuh usia dengan anak lelakinya.

Saya melihat ke sebelah. Lelaki tersebut meletakkan anaknya dalam lingkungan umur 11 tahun di atas kerusi.

Hati saya berdetik. Anaknya cacat. Penyakit “downsyndrom”.

Lelaki tersebut memesan makanan dan minuman. Sambil makan sambil menyuap anaknya dengan sabar. Sambil menyapu air liur yang meleleh. Sambil mengusap-usap kepala anaknya dengan penuh kasih sayang.

Tumpuan saya beralih dari makanan yang dimakan kepada lelaki tersebut. Saya kagum dengan kesabaran beliau. Dalam pada itu saya rasa cukup simpati dan kasihan belas pada lelaki tersebut. Saya berkata kepada kawan saya:

” Jan, kau nampak tak apa yang aku nampak?”

“Nampak apa?

“Kau tak kesian  pada lelaki tersebut?”

“Aku simpati tapi …. !” jawab Jan.

” Tapi apa jan?”.

” Aku kagum dan cemburukan lelaki itu”

“Cemburu? Kenapa pulak????? bingkas saya.

” Begini Naz…. sepatutnya kita cemburu pada lelaki tersebut kerana Allah telah mengurniakan  beliau seorang anak yang sungguh istimewa. Walaupun cacat, namun ini adalah ujian kesabaran kepada beliau. Pengalaman beliau dalam membesarkan anak tersebut tentu berbeza dengan kita yang mempunyai anak yang normal.

“Tentunya beliau lebih payah lagi. Tentunya beliau perlu lebih banyak berkorban. Tentunya lebih banyak wang yang perlu dikeluarkan. Tentunya banyak air matanya yang tumpah kerana anak ini. “

“Ini semua akan diganjar oleh Allah. Pahala yang berlipat kali ganda menanti beliau sekiranya beliau sabar dan redha dengan ketetapan Allah ini. Sebab itu aku cemburu. Aku cemburu kerana lelaki ini telah dipilih oleh Allah untuk memikul ujian hidup yang hebat ini. Bukan semua orang boleh menerimanya. “

“Naz, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Kita boleh bersimpati, tidak salah, malahan kau sepatutnya berbangga dan bersyukur kerana Allah mengurniakan perasaan yang sungguh halus dan murni ini. Tinggal lagi, kita sepatutnya bertanya kepada diri kita bagaimana pula keadaan kita kalau diuji dengan ujian yang dilalui oleh lelaki ini ?  Mungkinkah kita tidak mampu? Mungkinkah kita akan menjadi tidak sabar? Mungkinkah kita akan menjadi putus asa dari rahmat Allah? Sebab itu ujian itu tidak didatangkan kepada kita. Ini semua rahsia Allah.”

“Sebab itu aku cemburu dengan lelaki itu. Aku cemburu kerana pahala yang menanti beliau.  Syurga menanti atas kesabaran dan keredhaan beliau”.

” Lagi pun sejarah silam membuktikan bahawa para rasul,nabi-nabi dan alim ulama adalah yang paling hebat menerima ujian diikuti oleh orang biasa seperti kita ini. Makin banyak dan hebat ujian makin tinggi kedudukannya di sisi Allah.” kata beliau menutup bicara.

Beliau bercakap dengan bersungguh-sungguh sehingga kolam matanya dilihat bergenang.

Saya terkedu, terdiam. Kolam air mata saya juga hampir tumpah bila mendengar kata-kata beliau. Nasihat yang sungguh berguna. Ternyata pandangan beliau berbeza dengan pandangan saya. Beliau melihat dengan pandangan mata hati yang tajam sedangkan saya melihat dengan pandangan mata kasar.

Saya merenung kembali lelaki tersebut. Beliau dengan sabarnya melayan karenah anak tersebut. Sesekali beliau mengusik anaknya dengan ketawa kecil yang menghiburkan anak kecil itu. Saya pasti dari raut wajah lelaki tersebut terpancar kisah suka duka dan jerih perih dalam membesarkan anak yang seorang ini. Bukan mudah, dan beliau telah melaluinya dengan sabar dan redha pastinya.

Jan menyambung lagi.. Beliau memberi contoh lain pula.

“Ramai orang berkata Penantian itu suatu penyiksaan, betul tak?

“Betul” kata saya.

“Tapi pernahkah kita terfikir bahawa penantian yang lama itu adalah satu pahala? Kita merungut bila sesuatu yang kita minta dari manusia memakan masa yang lama sedangkan doa Nabi Musa as kepada Allah swt mengambil masa 40 tahun untuk dimakbulkan. Sebab itu, istilah itu perlu diperbetulkan kepada Penantian itu Pahala. Inilah persepsi yang perlu diubah.Kesabaran kita menunggu dengan diselangi dengan ikhtiar tidak akan sia-sia begitu sahaja, malah akan diganjar oleh Allah.” ujar beliau.

27256928

Sabar itu pahala

Lagi sekali saya terkena. Saya akur. Akui kelemahan diri.

Itulah Jan. Kawan saya yang telah 6 tahun tidak saya temui. Kami terpisah oleh sempadan negeri. 

Perbualan dengan beliau bukan sekadar perbualan kosong semata-mata. Kata-kata yang keluar dari mulut beliau sering disulami dengan ayat-ayat Al-Quran, Hadith dan pendapat-pendapat ulama melalui pembacaan beliau yang luas dan pengetahuan agama yang tinggi. Terus terang saya katakan sukar untuk mencari insan seikhlas dan setulus beliau dalam dunia yang serba canggih ini.

Jan yang saya kenali memilih masih lagi utuh dan kekal seperti dahulu. Perbualan telefon dengan beliau beberapa bulan lalu membuatkan saya yakin bahawa beliau tidak pernah berubah. Malahan masih suka memberi nasihat-nasihat yang berguna untuk dunia dan akhirat.

Walaupun kini beliau tiada lagi di sisi namun semua peringatan dan nasihat beliau masih kukuh dalam ingatan. Saya berdoa mudah-mudahan beliau akan terus istiqamah dalam kehidupannya.

ABU WAFI, Putrajaya