Archives

All posts for the month August, 2010

Tarawih bersama Syeikh Romi

Published August 16, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Ramadhan kali ini saya berterawih di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi. Seperti tahun-tahun sebelumnya masjid ini menampilkan imam jemputan iaitu Syeikh Romi dari Syria. Tahun lepas pun dia di sini juga cuma kali ini apa yang saya dapat kesan bacaannya sedikit berbeza dengan tahun lepas. Lebih bertenaga dan bertaranum menjadikan solat terawih 20 rakaat begitu membangkitkan jiwa.

Malam itu suasana agak berbeza dengan jemaah berpusu-pusu masuk ke dewan solat utama. Di luar kenderaan berjejal-jejal masuk. Parking penuh sehingga melimpah keluar. Situasi ini mengingatkan saya kepada suasana di Masjidil Haram yang tidak pernah sunyi dari kunjungan manusia. Alangkah indah jika perkara ini kekal sehingga selepas berakhirnya Ramadhan bila umat manusia berebut-rebut untuk melaksanakan solat berjemaah. Tentu gerun musuh-musuh Islam di luar sana jika perkara ini dapat dikekalkan kerana mereka tahu kekuatan Islam terletak pada kesatuan hati umat Islam seperti yang berlaku di zaman kegemilangan Islam dahulu.

Malam itu Syeikh Romi membaca surah Ali-Imran. Sesekali lantunan suaranya tinggi dan sesekali rendah dan mendayu-dayu. Hati saya bagaikan tertarik oleh sesuatu untuk menghayati setiap bait ayat-ayat Al-Quran yang dibacakannya. Biar pun saya bukan mahir berbahasa Arab namun pembacaan dan pengajian tafsir berkenaan surah ini sedikit sebanyak memberi bantuan kepada saya untuk memahaminya.

Tiba-tiba bacaan Syeikh Romi terhenti. Ada nada sebak dan ada bunyi tangisan beliau bila sampai ke satu ayat. Saya tidak dapat mengesan ayat apakah yang benar-benar menyentuh perasaan beliau sehingga menangis. Setahu saya, beliau membaca ayat-ayat mengenai ‘qital’ atau peperangan.Jemaah semua terdiam, mungkin semua terkejut dengan tangisan beliau yang berlaku secara tiba-tiba atau mungkin juga merasa hairan kerana tidak pernah bertemu dengan pengalaman seperti ini. Membaca Al-Quran dan kemudian menangis bila sampai ke ayat-ayat tertentu. Keadaan ini mungkin biasa di tanah suci tetapi mungkin pelik di negara kita.

Tidak lama kemudian, beliau meneruskan bacaannya sehingga selesai solat. Sungguh bermakna dan berharga sekali pengalaman solat di belakang beliau. Sungguh beliau benar-benar menghayati maksud yang tersirat di sebalik ayat-ayat yang dibaca.

Balik ke rumah saya membuka tafsir Al-Quran bersama isteri dan mencari ayat yang dibacanya berpandukan kepada ayat seterusnya yang beliau baca. Akhirnya saya terjumpa ayat tersebut dan saya meyakininya bahawa inilah ayat yang telah menyentuh hati beliau sehingga sebak dan mengalirkan air mata.

” Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”. Ali-Imran :169

Inilah ayat yang sungguh istimewa. Ayat-ayat sebelum dan selepasnya giat menceritakan mengenai peristiwa perang Uhud dan balasan yang menimpa orang-orang yang menentang Allah dan Rasulnya.

Saya teringat kepada satu ceramah yang pernah saya hadiri dulu. Kata ustaz, kewajipan kita terhadap Al-Quran ada 3. Pertama, membaca Al-Quran, kedua memahami Al-Quran dan ke-3 mengamalkan ajaran yang dibawa dalam Al-Quran. Masalah yang kita hadapi sekarang ialah bagaimana kita mahu mengamalkan Al-Quran jika kita sendiri tidak memahaminya kerana Al-Quran bukannya diturunkan dalam bahasa kita. Justeru, kita perlu mengkaji dan memahami Al-Quran melalui tafsiran ulama-ulama muktabar seperti Tafsir Al-Azhar oleh HAMKA atau tafsir-tafsir lain  yang banyak di pasaran. Rajin-rajinlah menghadiri kelas-kelas pengajian tafsir yang diadakan di masjid dan surau kerana di situ letaknya kunci untuk kita memahami Al-Quran. Di dalam Al-Quran ada ayat-ayat yang muhkamat (jelas maksud atau direct) dan ada ayat-ayat yang mutasyabihat (samar dan memelukan tafsiran) justeru pengajian yang berterusan ke arah memahami Al-Quran perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Saya dapat rasakan satu nikmat besar sekiranya kita memahami Al-Quran sedalam-dalamnya. Bayangkan kita membaca Al-Quran seperti kita membaca novel kesukaan kita.Penuh penghayatan bila kita memahami jalan cerita dan setiap patah perkataan tanpa silap. Itu baru karya nukilan manusia sedangkan Al-Quran adalah kalam Allah yang tentunya lebih indah dan hebat. Tidak hairan jika mereka yang memahami Al-Quran mampu menangis bila membaca ayat-ayat menceritakan mengenai neraka dan mampu tersenyum bila tiba ke ayat yang menceritan mengenai nikmat syurga. Inilah kefahaman yang jelas dan tuntas. Kefahaman yang dirasai oleh generasi sahabat, tabie’n dan tabi’ tabi’en serta mereka yang mampu mencapai tahap ini. Iman mereka sungguh hebat dan luar biasa sekali.

Iman itu boleh bertambah dengan fahamnya kita kepada Al-Quran. Semakin mendalam kefahaman kita kepada Al-Quran semakin meningkat keimanan kita kepada Allah dan roh kita juga menjadi semakin kuat dengan sentuhan wahyu sepanjang masa.

Saya merenung ke dalam diri, sesungguhnya perjalanan kita untuk memahami Al-Quran masih jauh. Sedih bila mengetahui bahawa ramai umat Islam sekarang yang tidak tahu membaca Al-Quran. Jika tidak mengenal huruf, bermakna perjalanan untuk memahami dan seterusnya mengamalkan isi kandungan Al-Quran tentunya lebih jauh dan payah.

Pesanan ustaz, berusahalah setakat yang mampu, moga-moga Allah membantu kita dalam usaha yang murni ini.

Abu Wafi

Advertisements

Pandangan siapa?

Published August 15, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Apa yang baik di sisi manusia belum tentu baik di sisi Allah. Apa yang baik di sisi Allah adalah yang terbaik untuk manusia.

Benar atau tidak bahawa manusia pada hari ini semakin hari semakin mementingkan pandangan manusia ke atas dirinya. Pandangan manusia sekeliling yang positif terhadap apa yang dilakukannya akan memberikan kesan yang baik kepada kemajuan hidupnya. Semakin dia mendapat tempat di sisi manusia, maka semakin dirinya dirasakan penting. Semakin kurang orang memandang dan memberi perhatian kepadanya maka semakin kurang berharga dirinya. Semakin ramai yang memuji dan memujanya maka semakin tinggi harga dirinya. Semakin ramai yang mengeji dan mengumpatnya, maka semakin rendah harga dirinya.

Manusia sering tertipu dengan pandangan orang lain terhadap dirinya, sedangkan pandangan Allah terhadap dirinya langsung tidak pernah diambil kira.

Sememangnya pandangan manusia selalu mengatasi pandangan Allah terhadap kita.

KISAH 1

Seorang CEO sebuah syarikat besar sedang sibuk mempengerusikan mesyuarat bersama pekerja-pekerjanya. Hari itu, hari Jumaat. Jam menunjukkan sudah hampir pukul 12.50 sedangkan mesyuarat sudah bermula seawal jam 8.30 pagi lagi. Belum ada tanda-tanda akan berhenti. Pekerja-pekerjanya sudah menunjukkan tanda-tanda kegelisahan. masing-masing asyik memandang jam sambil berbisik “Bilalah mesyuarat akan habis ni, sudah-sudahlah, dah masuk waktu solat ni, nanti tak sempat nak ke masjid”.

Tiba-tiba salah seorang pekerja memberanikan diri menegur boss mereka.

“Tuan, saya rasa lebih elok jika kita tangguhkan mesyuarat sebab waktu solat Jumaat sudah dekat. Kita sambung lepas solat saja Tuan Pengerusi”

Muka bos bertukar menjadi merah menahan malu. Lantas berkata:

” Selagi saya tidak selesaikan mesyuarat ini, jangan siapa berani tinggalkan bilik mesyuarat ini. Kalau tidak tindakan disiplin akan dikenakan” ujarnya .

Awak tahu tak, 2 jam waktu yang diambil untuk menunaikan solat Jumaat boleh menjejaskan produktiviti dan syarikat boleh mengalami kerugian sepanjang tempoh tersebut. Awak semua faham tak???

Masing-masing mula diam. Tiada siapa yang berani membantah cakapnya. Membantah bererti mengundang padah kerana semua pekerja sudah masak benar dengan perangainya yang panas baran dan rasa dirinya betul.

Akhirnya mesyuarat tamat pada jam 2 petang. Sudah benar-benar terlewat untuk menunaikan fardhu Jumaat. Orang ramai sudah pun mula ke luar meninggalkan masjid. 

KISAH KE-2

Seorang CEO dalam satu taklimat kepada pekerja-pekerjanya menyatakan:

“Tuan-tuan dan Puan-puan, kita semua kena bekerja kuat untuk company kita. Kalau company untung semua dapat bonus kalau company rugi boleh gulung tikar. Bekerjalah bersungguh-sungguh tanpa mengira siang dan malam, hari kerja atau hari cuti. Komitmen mesti bersungguh-sungguh untuk company.

“Saya ni bekerja siang malam untuk kemajuan company, sampai saya tak sedar satu hari saya tertinggal waktu solat Jumaat. Bila sampai di masjid orang sudah selesai solat” ujarnya dengan bangga sekali menceritakan mengenai kegigihan dan ketekunannya bekerja.

Nawaitunya baik iaitu ingin mengajak semua pekerjanya agar mencontohinya, namun di sisi Allah dia telah melakukan dosa besar apabila membelakangkan perintah Allah.

PANDANGAN MANUSIA & PANDANGAN ALLAH

Kedua-dua senario di atas tidak banyak bezanya. Kisah yang pertama seorang CEO yang sanggup meninggalkan solat demi kemajuan syarikat. Kisah kedua pula, seorang CEO yang terlupa waktu solat dek kesibukan bekerja. Kedua-duanya merasa bahawa mereka telah bekerja keras untuk kemajuan kerjaya dan dunia  sehingga mereka merasa patut berbangga dengan kerajinan mereka. Mereka mahu kerajinan mereka dicontohi oleh orang lain.

Mereka merasa bahawa orang lain akan memuji dan memandang tinggi kepada mereka atas kerja keras yang mereka lakukan untuk dunia mereka tetapi mereka lupa untuk merasakan bahawa Allah telah murka dengan mereka atas maksiat yang telah mereka lakukan. Bekerja dengan tekun adalah satu ibadah tetapi apa pun biarlah berpada-pada dan jangan melampaui batas.

Sikap workoholic mereka tidak bermakna tanpa menunaikan hak Allah yang telah difardhukan.

Apalah gunanya jika syarikat mendapat keuntungan tertinggi setiap bulan namun laba yang diperolehi dalam keadaan menderhaka kepada Allah. Tinggal solat fardhu dengan sengaja adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan sama sekali. Tiada rukhsah atau keringanan yang diberikan oleh Islam kepada umatnya untuk mendapat pengecualian solat kerana terlalu sibuk bekerja.

Dunia dikejar… akhirat tercicir sedangkan yang lebih patut dikejar adalah akhirat kerana di situlah destinasi kita semua yang lebih kekal dan abadi.

Sesungguhnya, sehelai daun di syurga lebih bermakna daripada sejuta ringgit di dunia kerana daun di syurga itu sifatnya kekal sedangkan duit sejuta ringgit boleh susut bila dibelanjakan.

Secangkir susu di syurga lebih bermakna daripada secangkir susu di dunia kerana susu di syurga bersifat kekal dan tiada ‘expiry date’ manakala susu di dunia boleh basi bila tiba tarikh luputnya.

Itulah dunia yang tidak kekal namun dunia inilah yang dipuja-puja dan dikejar-kejar oleh ramai peminatnya.

Marilah sama-sama kita mengkoreksi diri dan memperbetulkan persepsi kita terhadap pandangan manusia. Pandangan manusia tidak semestinya betul tetapi pandangan Allah terhadap kita itulah yang  tidak pernah salah. Biarlah manusia memandang buruk kepada kita  atas apa yang kita lakukan asalkan pandangan Allah itu betul terhadap kita.

Baik dan buruknya biarlah Allah yang menilainya.

Abu Wafi

Beribadah kerana mencintaiMu

Published August 12, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Semasa dalam perjalanan ke pejabat pagi ini, saya  mendengar siri motivasi pagi dari Ustaz Nasib. Satu perkongsian yang cukup bermanfaat di bulan yang mulia ini. Ustaz Nasib mengajak pendengar supaya memahami mengenai jenis-jenis ibadah dan di manakah tergolongnya kita. Ada 4 jenis ibadah yang dilakukan oleh manusia:-

1. Ibadah kerana terpaksa mematuhi perintah Allah;

2. Ibadah kerana mengharapkan ganjaran dari Allah;

3. Ibadah kerana takutkan Allah; dan

4. Ibadah kerana ‘mencintai Allah’.

Pertama, beribadah kerana terpaksa mematuhi perintah Allah. Contohnya, bila Allah perintahkan supaya hamba-hambanya berpuasa di bulan Ramadhan, maka semuanya berpuasa kerana terpaksa mematuhi perintah Allah. Jika tak dilakukan bermakna kita engkar maka balasannya siksaan di neraka. Maka ramai yang tergolong dalam golongan ini melakukan dengan berat hati. Melakukan kerana syariat menetapkan demikian. Walau bagaimanapun, mereka tetap mendapat pahala.

Kedua, golongan yang beribadah kerana mengharapkan balasan dan ganjaran dari Allah. Walaupun ganjaran yang ditawarkan oleh Allah bersifat “ghaibiyat” atau tidak dapat dilihat dengan mata kasar namun mereka tetap melakukan dengan perasaan ‘raja’ [penuh harap] bahawa mereka akan dapat menuai hasilnya di akhirat kelak. Sebahagian ulama mentafsirkan golongan ini sebagai golongan yang berurusniaga dengan Allah sama seperti peniaga yang berurusniaga dengan peniaga lain bagi mendapatkan keuntungan.

Ketiga, golongan yang beribadah kerana takutkan Allah. Sebahagian ulama berpandangan orang-orang yang mencapai tahap ini semakin menghampiri tahap ikhlas yakni mereka beribadah kerana takutkan azab Allah.

Keempat, golongan yang beribadah kerana mencintai Allah dengan sepenuh hati sama seperti seorang kekasih yang merindui kekasihnya. Mereka beribadah tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran dari Allah walaupun Allah telah menjanjikan balasan bagi orang-orang yang bertaqwa. Contohnya seperti Rabiatun Adawiyah yang sering bermunajat dengan Allah dengan bait-bait katanya yang indah.

Analogi yang diberikan cukup menarik. Seorang ayah memerintahkan 4 orang anaknya untuk mengambil segelas air.

Anak 1 : membawa air dalam keadaan terpaksa;

Anak ke-2 : Membawa air kerana nakkan upah;

Anak ke-3: Membawa air kerana takutkan ayahnya;

Anak ke-4: Membawa air kemudian menghidangkan dengan kain alas dan disusuli dengan kuih muih walaupun tidak diminta oleh ayahnya.

Kenapa anak ke-4 melakukan perkara yang tidak diminta oleh ayahnya? Kerana kasih sayang dan kecintaannya kepada ayahnya. Justeru bila ayahnya ingin memberikan hadiah siapakah yang paling mendapat perhatiannya? Siapakah yang mendapat hadiah yang lebih mahal di antara keempat-empat anaknya?

Jawapannya, sudah tentu anak ke-4 yang lebih disayanginya kerana kasih sayang dan kecintaan yang tidak berbelah bagi ditunjukkan olehnya. Sudah tentu anak ke-4 akan menerima hadiah yang paling termahal dan tercantik berbanding anak-anak yang lain.

Begitu juga hubungan kita dengan Allah. Jika kita melakukan kerana kecintaan kepadaNya maka insyallah ganjaran akan menyusul walaupun bukan itu yang dipinta. Justeru, perbanyakkanlah melakukan amalan-amalan sunat walaupun tidak diwajibkan oleh Allah namun itulah yang memberikan markah bonus kepada kita sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita.

Hakikatnya memang sukar untuk mencapai tahap ke-4 kerana ianya berkaitan perkara-perkara ‘maknawi’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar kecuali melalui pandangan mata hati yang tajam. Perhatikan dan renungkan sedalam-dalamnya di mana tergolongnya diri kita? Jika berada dalam golongan pertama, berusahalah untuk naik ke tahap ke-2 dan begitulah seterusnya. Sebaliknya, jika anda sekarang ini sedang berada pada tahap ke-3 maka ketahuilah bahawa anda semakin menghampiriNya. Jadikan rasa takut kepada Allah itu sehingga ke tahap  mencapai tahap ikhlas dalam diri  dan akhirnya perasaan takut tadi akan bertukar menjadi perasaan cinta kepada Allah.

Peliknya, semakin takut pada Allah semakin hampir kita pada Nya, sebaliknya semakin takut kita pada manusia semakin jauh kita darinya. Inilah beza antara hubungan dengan manusia dengan hubungan dengan Allah.

Kemanisan iman kerana mencintai Allah adalah satu perasaan yang berkekalan sifatnya. Berbanding perasaan seronok kerana dunia ianya tidak bertahan lama. Kemanisan iman tidak dapat hendak digambarkan kecuali bagi mereka yang telah melaluinya. Inilah jalan-jalan para sahabat dan muqarrabin (orang yang dekat dengan Allah). Ikutilah jejak-jejak langkah mereka dalam menjalani kehidupan, mudah-mudahan satu hari nanti kita juga mampu menjadi seperti mereka, golongan yang mencintai Allah dan Rasulnya.

Ya Allah kurniakanlah untukku cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan diriku kepada cintaMu.

Abu Wafi, Putrajaya ( 40 minit sebelum berbuka puasa)

Lab @ Makmal Ramadhan

Published August 11, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Perkataan ‘lab’ atau makmal memang asing bagi saya kerana lab hanya sinonim dengan saintis. Namun sejak kerajaan memperkenalkan KPI dan NKRA perkataan lab sentiasa meniti di bibir penjawat awam. Lab kini bukan hanya untuk saintis sahaja malahan lebih jauh dari itu. Dari tempat tersorok dalam bilik untuk melakukan kajian, istilah lab telah diperluaskan kepada dimensi yang baru. Lab sebagai pusat penyelesaian masalah negara. Pada mulanya ramai yang merasa pelik dengan penggunaan isitilah ini, namun setelah acapkali diguna dan diperjelaskan fungsi dan peranan lab ini maka ramai mula memahaminya.  Istilah lab dikaitkan dengan penetapan KPI sesebuah agensi bagi melancarkan produktiviti dan keberhasilan.

Itu baru penetapan KPI dalan urusan dunia.Untuk dunia kita sanggup bersusah payah. Untuk dunia kita sanggup duduk berhari-hari di dalam lab bagi mencari penyelasaian yang tuntas dan mengkagumkan. Namun, bagaimana pula dengan urusan akhirat kita?

Bagaimana pula dengan KPI Ramadhan kali ini? Apa yang telah kita sasarkan untuk dicapai dalam tempoh 30 hari ini? Di mana pula bidang keberhasilan utama yang ingin kita capai?

Khatam Al-Quran?

Solat Terawih 20 rakaat di masjid?

Bersedekah setiap hari?

Zikir dan Qiyamulail setiap malam?

Inilah contoh-contoh KPI Ramadhan yang boleh kita pilih berdasarkan kemampuan diri kita. Pilihlah satu dan mohonlah bantuan Allah untuk melakukannya.

Pada Ramadhan tahun-tahun lepas, saya pernah berazam untuk khatam Al-Quran. Namun beberapa kali gagal kerana faktor-faktor keletihan dan mengantuk yang amat sangat.

Saya pernah bertadarus di sebelah malam selepas terawih namun lama-kelamaan saya jadi mengantuk kerana berjaga sehingga lewat malam.

Tahun lepas begitu juga, cuma bertadarrus di sebelah siang semasa waktu ‘lunch’ namun hanya bertahan separuh jalan kerana ramai yang tidak dapat memberikan komitmen penuh.

Tahun lepas hanya mampu sampai juzuk ke 7, tahun sebelumnya tidak sampai juzuk ke-5. Terus terang saya katakan bahawa saya cemburu pada kawan-kawan yang berjaya khatam Al-Quran. KPI Ramadhan saya pada ketika itu adalah khatam Al-Quran namun sehingga kini saya tidak berjaya mencapainya. Entah bilalah saya mahu mencapainya. Terasa lemahnya diri ini.

Sesungguhnya ujian untuk melakukan kebaikan itu terlalu besar dan sukar untuk dilalui. Beruntunglah bagi mereka yang berjaya melaluinya dengan sabar dan tabah kerana tiada jalan singkat untuk menempah tiket ke syurga. Semuanya mahal dan memerlukan pengorbanan harta, tenaga malahan sehingga nyawa melayang.

Tahun ini sekali lagi saya masuk dalam lab Ramadhan. Namun saya tidak lagi menetapkan KPI untuk khatam Al-Quran. Saya sedang mencari KPI baru untuk Ramadhan tahun ini.

Usah memaksa diri jika tidak mampu melakukannya.

Sesungguhnya bukan banyak atau sedikit amalan yang Allah pandang tetapi sejauh mana kebaikan yang terdapat di dalam amalan itu. Penentuan syurga atau neraka bukanlah berdasarkan kepada banyak atau sedikitnya amalan itu sebaliknya Allah menilai berdasarkan kualiti amalan tersebut.

” Sesungguhnya kami menjadikan dunia ini sebagai perhiasan bagi menguji siapakah di kalangan mereka yang paling baik amalannya”   [Al-Kahfi: 7]

Ingat, paling baik bukan paling banyak. Allah menggunakan perkataan “ahsan” yakni baik dan bukannya “aksaru” yakni banyak.

Semalam saya mengambil Al-Quran lalu membuka lembaran-lembaran di dalamnya. Saya membaca Surah As-Sajadah berkali-kali. Lalu saya merenung tafsirnya. Subhanallah, terlalu banyak peringatan yang diberikan oleh Allah di dalam surah yang pendek ini, walaupun hanya 30 ayat sahaja.

Beberapa tahun yang lepas saya pernah cuba menghafal surah ini, namun usaha saya gagal kerana kegagalan untuk istiqamah.

Saya ingin membaca Surah Sajadah di dalam solat subuh namun hasrat itu sehingga kini belum kesampaian. Saya malu pada Allah setelah 37 tahun hidup di dunia ini saya masih belum mampu menghafaz surah yang pendek ini.

Sekali lagi Allah memberi saya peluang untuk berada di dalam lab Ramadhan. KPI Ramadhan saya, adalah berusaha untuk menghafaz surah ini selewat-lewatnya sebelum Ramadhan melambai pergi. Biarlah kali ini, saya melangkah keluar dari Ramadhan dengan membawa satu hadiah yang sungguh bererti.

Ya Allah, permudahkan urusan aku. Bantulah aku untuk melakukan amal soleh. Bantulah aku untuk menghafaz surah ini. Bantulah aku untuk memahami maksud dan kandungan surah ini. Bantulah aku untuk mengamalkan surah ini dalam kehidupanku.”

Saya berdoa semoga Allah memakbulkan hajat saya ini. Biarlah jumaat kali ini menjadi lebih bemakna bagi saya  jika saya berjaya solat subuh  hari Jumaat dengan bacaan surah sajadah.

Saya merenung jauh ke luar tingkap, hari ini hari pertama Ramadhan.  Perjalanan untuk mencapai KPI ini masih jauh lagi. Masih ada 29 hari lagi berbaki untuk mencapai KPI Ramadhan kali ini.

Abu Wafi, Putrajaya

Angin dari syurga

Published August 10, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Pagi ini seusai subuh, saya menguak pintu jendela. Suasana berbalam-balam di luar. Masih gelap tetapi sudah terang-terang tanah kata orang tua-tua. Waktu yang baik untuk keluar memburu rezeki. Angin pagi tiba-tiba menghembus dan menampar pipi. Oh, terasa sungguh segar. Rasa nyaman dan selesa. Kata sesetengah ulama kalau hendak tahu bagaimana suasana di dalam syurga, rasailah udara segar di waktu pagi sesudah subuh. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Nyaman dan menyenangkan.

Pagi ini terasa sungguh kelainannya, mungkin kerana esok adalah Ramadhan yang dinanti-nantikan. Angin dari syurga yang datang seiring dengan kedatangan Ramadhan.Rasulullah dan para sahabat sentiasa merindui dan menanti-nanti ketibaan Ramadhan sejak bulan Rejab lagi. Malahan mereka sentiasa berdoa agar disampaikan di dalam bulan berganda yang penuh mulia ini kerana mereka mengetahui ganjaran yang ditawarkan cukup hebat. Tiada tawaran sehebat Ramadhan di dalam bulan-bulan yang lain.

Pagi ini seperti biasa saya di pejabat. Kebetulan ada Program Ihya’ Ramadhan yang dianjurkan, maka dapatlah saya mengikuti program forum yang menampilkan panel terkenal iaitu mantan Imam Besar Masjid Negara Y.Bhg Datuk Kamaruddin.

Pesanan yang diberikan oleh beliau cukup menarik untuk diperhatikan . Beliau berpesan dalam bentuk kiasan. Allah telah memberikan 30 biji kapsul Ramadhan untuk digunakan oleh hamba-hambanya. Makanlah kapsul Ramadhan dan hadamlah ia dengan sebaik-baiknya kerana itulah ubat untuk memperbaiki diri. Dengan kata lain, gunakanlah 30 hari ini dengan semaksima mungkin dengan amal-amal soleh seperti solat terawih, membaca Al-Quran, bangun malam dan banyakkan bersedekah dalam bulan ini. Pahalanya berganda-ganda.

Pesanan kedua, berbukalah sekadarnya dan cuba jadikan Ramadhan sebagai madrasah untuk mendidik dan melahirkan insan yang terbaik menjelang Syawal.

Ramadhan datang menawarkan keampunan dan natijahnya adalah syurga yang didambakan.

“Ya Allah, bantulah aku dalam mentaatimu, perelokkan amal ibadatku. Berilah kekuatan kepada hambamu ini untuk rajin beribadah dan buangkanlah rasa malas dalam mentaatimu. Jika tidak kerana hidayah ilmu dan hidayah amal yang Engkau berikan tidak mungkin aku mampu untuk melakukan ketaatan kepadamu. Ya Allah, bantulah hambamu dan janganlah Engkau palingkan pandangan dan perhatianMu kepada hambamu ini walau sekelip mata sekalipun. Amin

Moga-moga bermanfaat.

Abu Wafi

Dan Ramadhan pun mula menghampiri

Published August 3, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Masuk bulan Ogos sudah… kerja banyak sekali… sibuk sekali…. sibuk dengan urusan dunia yang tiada hentinya…. tiba-tiba hari ini hati saya terdetik.

Minggu depan adalah permulaan untuk kehidupan yang baru. Ramadhan mula menguak pintu kehidupan tanpa kita sedari dan tanpa diundang. Ramadhan datang tanpa gagal untuk memberi peluang ke-2, ke-3, ke 37 dan berapa lagi banyak peluang kepada hamba Allah di seluruh dunia. Sama ada kita sedar atau tidak, suka atau tidak, Ramadhan adalah anugerah dari Allah untuk kita hamba-hambanya tanpa memilih kasih. Itulah anugerah yang paling bermakna. Anugerah untuk kita mengutip pahala dan meraih ganjaran sebanyak-banyaknya di bulan yang mulia ini.

Beberapa kawan rapat saya telah pun pergi sebelum sempat menemui Ramadhan kali ini. Sebab itu, kita disuruh berdoa agar berpeluang untuk bertemu di dalam Ramadhan yang berikutnya kerana di situlah letaknya peluang untuk beramal soleh dan memohon keampunan dari Allah.

Hati kecilku mengeluh mengenangkan persiapan menyambut Ramadhan yang tidak diwar-warkan. Tiada iklan besar untuk solat Tarawih juga tiada ucapan menggamit Ramadhan. Sebaliknya, umat lebih ghairah menyambut Syawal yang entah sempat entahkan tidak kerana Syawal masih jauh di hujung sana.

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon daripada-Mu keredaan dan syurga-Mu, dan selamatkanlah kami dari api neraka.

Abu Wafi, Putrajaya