Muar yang kutinggalkan 1

Salam,

25 Januari 2009 [Sabtu]

Seperti yang dijanjikan saya akan menulis catatan mengenai ziarah saya ke daerah Muar, Johor. Untuk makluman, sebelum ini Muar begitu asing bagi saya dan tidak pernah saya termimpikan bahawa suatu hari nanti saya akan menjejakkan kaki ke daerah ini sebagai penghuninya selama 2 tahun.

Tahun 1991 saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Tingkatan 6 di Sek Menengah Sains Muar Tanjung Agas. Memandangkan saya pada ketika itu tidak mendapat tawaran belajar di mana-mana program pra-universiti, maka saya bersetuju untuk menerima tawaran tersebut. Khabarnya ini merupakan program khusus bagi membantu pelajar bumiputra untuk cemerlang dalam STPM. Dan akhirnya saya terpilih, dan opsyen yang diberikan kepada saya ketika itu adalah Syariah.

Maka berkelanalah saya ke daerah ini sejauh hampir 400km dari utara Semenanjung. Berhijrahlah saya demi untuk mencari titik perubahan dalam hidup saya. Hanya doa dan restu kedua ibu bapa mengiringi pemergian saya ke satu daerah yang begitu jauh dan asing. Maka bermulalah hidup baru saya di sini.

Setelah selesai menduduki STPM tahun 1992 saya terus meninggalkan Muar. Hanya tahun 1993 saya kembali sejenak menjenguk sekolah melawat adik-adik junior ketika cuti pendek semester 3. Dan selepas itu, saya tidak pernah menjenguk lagi ke daerah ini. Hanya selepas 16 tahun, saya menjejakkan kaki semula ke Muar dan khususnya ke sekolah yang saya cintai ini.

Entah mengapa di awal tahun 2009 ini, hati saya begitu tersayat-sayat, terkenang-kenang dengan peristiwa silam di sekolah ini. Saya jadi begitu nostalgik setiap kali mengimbau kenangan pahit dan manis di daerah ini. Terus terang saya katakan, bahawa saya sangat mencintai daerah ini. Penuh ketenangan, tersusun, makanan yang sedap dan murah serta yang paling saya suka ialah bila dapat berdiri di tepi Sg.Muar sambil menikmati rojak petis di Tanjung Emas. Ketika itu, angin yang agak kencang akan menampar-nampar badan sekaligus menimbulkan mood yang sungguh ceria dan gembira. Tenang dan hening cipta.

Beberapa kali hasrat saya untuk menjenguk daerah ini terbatal begitu sahaja. Penghujung tahun lepas kami sekeluarga sudah merancang untuk datang namun tiba-tiba baby kami diserang demam. Terbantutlah hasrat tersebut. Kecewalah saya. Namun perancangan Allah mengatasi segalanya.

Maka cuti tahun baru Cina saya mula mencongak-congak untuk datang ke daerah ini. Dengan perasaan teragak-agak,tidak pasti tiba-tiba sekali lagi hati saya bagai ditarik-tarik, ditusuk-tusuk dengan suatu perasaan yang sungguh aneh supaya mengunjungi Muar. Muar seakan merindui diri saya dan memanggil-manggil saya pulang. Namun, takdir Allah menentukan kali ini anak kedua saya Munzir pula diserang demam sehari sebelum bertolak. Setelah mendapatkan rawatan di klinik berdekatan, saya hanya menyerahkan kepada ketentuan Illahi. Kata saya kepada isteri saya terkilan kalau terpaksa menangguhkan rancangan ke daerah ini, namun saya akur sekiranya ini perancangan terbaik dariNYA untuk saya sekeluarga.

Dengan izin Allah, anak saya baik keesokan harinya. Hilang panas badannya. Bagaikan ada satu keajaiban yang menyembuhkannya untuk memberi peluang kepada saya menziarahi daerah yang mempunyai nilai sentimental kepada saya ini.

Maka, pada petang Sabtu jam 12.30 tgh kami bertolak meninggalkan Putrajaya, meninggalkan pembantu rumah di rumah dengan misi selama satu hari untuk mengubat rindu dendam saya selama 16 tahun. Isteri saya sendiri pelik dengan tingkah laku saya yang begitu sentimental. Sekiranya mempunyai masa,ingin saja saya mengulangi dan menyusuri jalan-jalan di daerah Muar seperti jalan Daud dan jalan Petri,mengunjungi pasaraya Hock Hai tempat saya selalu outing suatu ketika dulu dan menikmati mee bandung Muar yang lazat.

Kami sampai di exit tol Tangkak pada pukul 3.00 petang. Sampai di Tanjung Agas 15 minit kemudian. Berhenti untuk makan tengahari di Tanjung Agas dan selepas itu terus bergerak mencari hotel penginapan di bandar Maharani. Sebelum itu, kami melalui Masjid Parit Bunga tempat saya selalu solat Jumaat dan sebaik sahaja menyeberangi jambatan Sultan Ibrahim, saya terpegun melihat pembangunan di kiri dan kanan jambatan. Ada pasaraya Giant dan saya dapati gerai-gerai besi tempat menjual kain telah diruntuhkan dan digantikan dengan Laman Maharani. Namun, tempat lain seperti stesen bas, kubu Bentayan, tempat makan, pasar basah dan bangunan rumah kedai masih tersergam seperti yang saya lihat 16 tahun yang lepas.

Kami menginap di sebuah hotel berdekatan kubu bentayan kerana di sini mudah untuk cari makan. Lagipun hotel River View ini agak selamat kerana ada kawasan untuk parking kereta berpagar dan mudah diakses. Anak-anak saya  teruja sangat-sangat. Melompat-lompat di atas tilam hotel, maklumlah dah lama sangat kami tak bercuti. Kami tidak berada lama di dalam bilik hotel, lebih kurang sejam lepas tu, kami pun keluar.

Hotel penginapan

Hotel penginapan

Sasaran saya hanya satu, iaitu jeti Tanjung Emas. Saya ingin berjalan-jalan di situ.Menghirup udara segar dan nyaman dari tanjung. Mengimbau saat-saat pahit kejatuhan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Saat-saat bila Sultan Mahmud dan rombongannya menyusuri Sg Muar berlindung di kubu Bentayan sebagai pertahanan terakhir Kerajaan Melayu Melaka. Saya sangat-sangat teringin untuk menaiki bot menyusuri Sg Muar jika berpeluang dan mempunyai masa yang cukup.

Namun, petang itu cuaca kurang baik. Hujan turun renyai-renyai dan akhirnya lebat. Kami membatalkan hasrat kami untuk keluar berjalan-jalan dan cuma melihat melalui tingkap kereta sahaja. Malam itu hujan masih turun. Anak-anak keletihan dan tertidur. Saya keluar bersendirian bertemankan baju hujan berjalan ke bandar Muar sehingga ke kubu Bentayan. Berjalan dengan langkah yang sedikit longlai kerana saya perlu melihat ke kiri dan ke kanan, berhati-hati kerana tempat ini terasa asing bagi saya dan kenderaan pun berjejaran masuk. Saya melihat aktiviti para peniaga yang tidak henti-henti walaupun kedai-kedai perniagaan masyarakat cina telah pun ditutup. Walaupun saya basah kuyup saya cukup gembira berjalan-jalan di sini menikmati keindahan malam dan kerlipan lampu neon sambil angin dari tanjung yang sepoi-sepoi bahasa menampar deras tubuh.

Pemandangan indah dari Tanjung Emas

Pemandangan indah dari Tanjung Emas

 26 Januari 2009 [Ahad]

Sesudah subuh saya mengejutkan anak-anak. Semalam sebelum tidur saya telah berpesan kepada anak sulung saya supaya bangun awal kerana hari ini kami akan jalan habis-habisan. Maklumlah, kalau nak berjalan makan angin mesti buat perancangan betul-betul. ‘Time is of essence’ kata orang putih, semuanya kena ada disiplin. Kalau nak keluar pukul 9 pukul 7 lagi anak-anak sudah dikejutkan, dimandikan termasuk baby fawwaz yang baru tumbuh gigi. Pukul 8.00 lebih kami dah sampai di bandar Maharani,melilau-lilau cari tempat parking kereta. Tanya orang sana sini di mana sarapan pagi yang sedap. Akhirnya, kami memutuskan untuk menikmati sarapan pagi di tebing Sg.Muar berdekatan Hotel Muar Traders. Alhamdullillah, di sini parking mudah. Kami sekeluarga berjalan di tepian Sg. Muar. Udara memang segar dan nyaman.Saya sempat mengambil dua tiga ‘shot’ gambar keluarga dan pemandangan. Di situ, ada lebih kurang 4 gerai makanan.Kami pilih gerai yang menjual ‘nasi beringin’. Nasi beringin memang popular di sini. Nasinya berwarna kekuningan dan kombinasi lauknya ialah seperti ayam dan hati atau daging dan telur. Ringkasnya, memang sedap.

Gerai Nasi beringin

Gerai Nasi beringin

Nasi beringin yang didambakan

Nasi beringin yang didambakan

Selesai sarapan kami sekeluarga bergerak menuju ke Tanjung Emas. Tak jauh dari situ, lebih kurang 3 km sahaja. Perjalanan kami melalui bangunan-bangunan pejabat kerajaan Johor seperti Mahkamah Tinggi, Pejabat Daerah & Tanah Muar dan Masjid Sultan Abu Bakar yang indah dan unik.
Masjid Sultan Abu Bakar

Masjid Sultan Abu Bakar

Kami tiba di sana dalam pukul 9.30 pagi. Angin dari tanjung bertiup kencang. Kelihatan ramai pengunjung mengambil kesempatan bersantai di tepian tanjung. Kanak-kanak paling sibuk berlari-larian, berkejar-kejaran ke sana sini termasuklah anak-anak saya yang kali pertama sampai ke daerah ini.
Di persisiran tanjung

Di persisiran tanjung

Layang-layang paling laku dijual

Layang-layang paling laku dijual

Mari bermain layang-layang

Mari bermain layang-layang

Wafi merayu-rayu minta dibelikan layang-layang. Manakala Munzir hanya mengekor dari belakang, mengiyakan permintaan abangnya. Saya sebenarnya keberatan sebab saya sendiri tak pandai bermain layang-layang sebab sudah terlalu lama tinggalkan permainan ini. Kerana kasihan,saya belikan juga layang-layang yang besar untuk Wafi dan yang kecil untuk Munzir. Harganya cukup murah berbanding di Bangi iaitu RM7.00 untuk yang besar dan RM3.00 untuk yang kecil.

Mengejutkan! Itulah perasaan yang dapat saya gambarkan. Saya sendiri tidak menyangka. Pakcik yang jual layang-layang cakap mudah saja nak terbangkan, memadai dengan melayangkan ke udara. Saya buat, dan saya terkejut sekali bila melihat  layang-layang itu menjulang naik ke udara setinggi pohon kelapa. Menakjubkan! Mungkin disebabkan angin di sini terlalu kencang memudahkan urusan saya. Wafi dan Munzir berkejaran kegirangan. Saya sendiri menjerit kegembiraan bila mengendalikan tali layang-layang buat pertama kalinya. Bila sudah stabil di udara, saya berikan pada Wafi, biar dia sendiri yang kendalikan dan dia memang suka, sangat sangat suka. Manakala baby Fawwaz terlena di dalam ‘stroller’ sambil ditemani ibunya memerhatikan kami bertiga bermain layang-layang. Sungguh indah dan mengasyikkan.

Terbang setinggi awan

Terbang setinggi awan

Sebelum itu, saya ada menyatakan hasrat untuk menaiki bot menyusuri Sg.Muar. Perkhidmatan bot untuk pelancong ini disediakan setiap 40 minit sekali kerana perjalanan yang panjang. Harga untuk dewasa RM10 manakala kanak-kanak pula RM5.00. Memang berpatutan dan puas hati.

Menyusuri Sg.Muar

Menyusuri Sg.Muar

Bot sedia untuk berlabuh

Bot sedia untuk berlabuh

Walau bagaimanapun, hasrat ini terpaksa saya lupakan memandangkan anak-anak saya yang masih kecil terutamanya baby Fawwaz. Saya bimbang dia tidak tahan sejuk akibat angin yang bertiup kencang. Namun, saya berjanji dengan diri saya dan Wafi yang teruja sangat bahawa saya akan datang kembali untuk menaiki bot ini jika diizinkan Allah dan dipanjangkan umur.

Kami menghabiskan masa di Tanjung Emas selama hampir 2 jam. Lebih kurang pukul 11.o0 kami bertolak balik ke hotel untuk ‘check out’ pukul 12.00. Sebenarnya perancangan saya masih banyak lagi. Ingin saja saya melawat keluarga angkat saya Cikgu Zamani yang tinggal di Parit Sakai. Saya banyak terhutang budi dengan beliau terutamanya ketika saya jatuh sakit teruk beberapa bulan sebelum menduduki peperiksaan STPM tahun 1992. Beliau banyak membantu saya membawa saya berubat cara kampung beberapa hari di Serom sehingga saya pulih. Masa tu, saya mengalami gangguan makhluk halus. Tidur pun meracau-racau. Konsentrasi saya pada pelajaran terganggu. Badan saya selalu panas-panas pada bahagian tengkuk dan sejuk pada bahagian kaki. Terima kasih, cikgu jasamu dikenang. Saya berjanji jika dipanjangkan umur dan diizinkan oleh Allah saya akan pulang ke sini lagi dengan masa yang lebih panjang untuk menziarah cikgu.

Selepas ‘check out’ misi kami seterusnya ialah melawat sekolah saya yang terletak di seberang jambatan dalam perjalanan meninggalkan bandar Maharani yang merupakan nadi daerah Muar.                        

 [bersambung]

18 comments on “Muar yang kutinggalkan 1

  • kalau hang ada no tel cikgu zamani hang tolong bagi kat aku…. aku pun dulu dok pi tidur di rumah dia time cuti…. dia tu dekat juga dgn rumah ustaz ahmad tunggal.

    ada sekai tu dia bawa aku pi ke rantau panjang kelantan kerana isterinya tu memang kaki bisness…

    • Terima kasih kerana sudi masuk dan memberi komen. Untuk makluman hang, aku pun sedang berusaha untuk mendapatkan no.tel Cikgu Zamani. Insyallah, bila dapat aku akan bagi pada hang.

  • lepas lihat i ambil gambar masjid sultan abu bakar as a backgroud in my computer. its nice remind me alot of muar. I orang muar juga tapi dah lama tinggal kat London ni ikut suami. I orang parit sakai juga tapi belum lagi jumpa cikgu zamani

    • Saya dah tak ingat di mana rumah Cikgu Zamani. Seingat saya rumah dia berhampiran surau Parit Sakai. Lama sangat dah. Apa pun terima kasih kerana sudi mengunjungi blog saya dan mengambil gambar masjid Sultan Abu Bakar sebagai background. Nice to know you.Please send my regards to your hubby.

  • Saya lahir dan bersekolah di Muar. Kini tinggal di Batu Pahat. Kami sekeluarga akan ke Muar kalau ada kelapangan.

    Kalau family dr Kedah datang Johor, kami akan bawa ke Muar terutamanya utk makan-makan.

    • Iye. seronokkan macam tu.dekat saja. Apa pun, terima kasih kerana sudi mengunjungi blog saya ini dan membaca catatan saya mengenai daerah ini. Saya orang Kedah, tapi hati saya cukup terpaut dengan Muar.

  • Salam.
    Kebetulan baru balik dari makan-makan di Muar malam ni.

    Pemandangan Sungai Muar memang sentiasa menggamit anak Muar terutama yang jauh merantau dan bekas penghuni.

  • Salam En. Shahnaz,

    sememangnya muar bandar maharani sentiasa dekat di hati. sesungguhnya saya juga menghabiskan masa 2 tahun di muar berjuang menggenggam sebuah kejayaan di MRSM Muar. segala yang digambarkan oleh En. Shahnaz adalah sama dengan apa yang saya rasai apabila menyebut Muar (Muor kata org sana)…

    • ya ka. Tak sangka pula karimah belajar sana. Saya 2 tahun saja di sana. Bezanya saya sebelum jambatan karimah lepas jambatan.

  • Salam…. lama dah tak balik ‘Muo’…rindu rasa di hati.. semua gambar yg saudara paparkan mengingatkan saya kenangan semasa di Muar bersama teman2 seperjuangan.

    Ermm..pakcik yg cina yg jual layang2 tue..saya kenal, dia bukak restoran seafood. layang2 tue dia buat sendiri. sbb dulu ayah pernah jadi agent jual layang2 yg dia buat..🙂

    So, raya tahun ni balik muo… Muar…sy kembali….. – PZ_Boy

  • saya pun orang muar, tp dah 11 thn kerja bandar melaka, but still lg tinggal kat muar walaupun jauh, sebab muar terlalu tenang dan damai bagi saya, x mungkin saya tinggalkan muar yang saya sayangi,

    pada penulis blog ni thanks ya saya ucapkan, membuatkan saya bangga jadi anak muar.

  • salam..teruja btl sy baca catatan saudara mengenai Muar ni..sy pun org kedah gak. penah duduk muar setahun je praktikal kat Pej. Kesihatan Muar. walaupun setahun, sgtlah best. saya rindu kat muar. ada rezeki sy pun nak gi bercuti ke sana. melawat trainer sy En. Saat di sana..masa mula2 masuk bandar muar tekejut yang amat sebb nampak macam kelam kabut sikit jln dia. tapi lama2 dah ok..emm org2 dia pun baik2 hati belaka. pagi2 hujung minggu kami p joging n joint j-robik kat tanjung emas.kdg2 msuk je group Taichi apek2 dan maknya2.depa sporting. hehe..manis betul kenangan. solat tarawih kat Masjid Sultan Ibrahim..nostalgia btl..emm..Muar tetap di hati sy.;-)

  • Pernah mengelilingi bandar muar dengan kereta sewa..muna, saya dan syuhaida..inanye..jadi driver..isi minyak RM5.00 je…dah boleh pusing muar…

  • salam tuan dan teman2…
    baru terjumpa blog ni. saya anak muar. rezeki pun ditakdirkan kat sini. kalau mahu informasi lanjut tentang muar, boleh la kita sembang2. mungkin ada yang saya boleh bantu. gembira juga membaca pengalaman teman2 di muar. sungguh kenangan lalu sukar untuk kita lupakan…

  • baru terjumpa blog ni…terimakasih kerana mengingati bandar muar…..tmpt. kelahiran bandar kakak….ada mention jln. daud…ada sesiapa ke di sana…kakak duduk di jln. daud….klu nak rasa roti fresh bake from our oven dtg. lah ke rumah

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: