Sucikan jiwamu dengan berzakat

Published December 24, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Di penghujung tahun 2008 ini, masing-masing kelihatan sibuk mengambil cuti. Tinjauan saya di mana-mana pejabat sekalipun ramai yang sudah siap-siap “apply” cuti untuk macam-macam urusan. Malah ramai staff saya yang memohon cuti. Ada yang hendak membeli belah untuk persiapan sekolah anak-anak untuk tahun 2009, ada pula nak pergi melancong  malah ada yang saja-saja cuti untuk menyelesaikan masalah tertangguh seperti ‘servis kereta’,”scalling gigi’ dan macam-macam lagi. Maklumlah hujung tahun ini program dah berkurangan, kerja pun dah susut maka inilah peluang yang ditunggu-tunggu untuk ambil cuti.

Tidak salah untuk bercuti. Masing-masing mempunyai tanggungjawab dan urusan yang perlu diselesaikan. Cuma perlu diingatkan, sebelum terlupa ada satu lagi KEWAJIPAN yang perlu disegerakan iaitu mengeluarkan zakat.

Saya lihat sepanjang bulan Disember ini, kaunter-kaunter Pusat Zakat dibuka 7 hari seminggu bagi membantu memudahkan umat Islam mengeluarkan zakat. Namun, berapa ramaikah dari kita yang sentiasa berpesan-pesan dengan rakan-rakan sepejabat,sahabat handai, jiran tetangga dan sanak saudara supaya melangsaikan zakat untuk tahun ini? Tahun 2008 akan meninggalkan kita,justeru tunaikan Rukun Islam yang ketiga ini tanpa bertangguh-tangguh lagi. Bonus akhir tahun pun dah dapat maka bersegeralah mengeluarkan zakat.

Zakat mempunyai banyak jenis sepert zakat perniagaan,zakat simpanan dan bagi kita yang makan gaji ini zakat pendapatan.

Saya suka memfokuskan perbincangan ini kepada zakat pendapatan kerana majoriti daripada umat Islam di Malaysia bekerja makan gaji. Zakat pendapatan merupakan ijtihad para ulama kontemporari antaranya seperti Dr.Yusoff Al-Qardhawi yang bertujuan untuk kemaslahatan umat Islam. Dewasa ini kaedah atau mekanisme untuk mengeluarkan zakat pendapatan ini telah dimudahkan. Untuk tidak membebankan umat Islam, maka kaedah pembayaran boleh dibuat melalui potongan gaji atau pembayaran secara bulanan di bank-bank tertentu yang mempunyai kemudahan tersebut. Malahan kemudahan pembayaran melalui perbankan internet juga telah diperkenalkan secara meluas.  Justeru, tiada lagi alasan atau ‘excuse’ tidak sempat untuk ke pejabat PPZ atau tidak jumpa amil kerana semuanya telah dipermudahkan. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman!Keluarkanlah sebahagian hasil usaha yang kamu perolehi dan sebahagian hasil bumi yang kami keluarkan untuk kamu[sebagai zakat]. (Al-Baqarah :267)

“Ada pun orang yang memberikan apa yang ada padanya pada jalan kebaikan dan bertakwa, serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan. Sebaliknya orang yang bakhil dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, serta dia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya kami akan memudahkannya untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan. [Al-Lail: 5-10]

duit-duit-duit-duit

duit1sened7

Janganlah ada di antara kita yang memandang ringan kewajipan menunaikan rukun Islam ke-3 ini kerana akibatnya sangatlah buruk. Khalifah pertama, Sayyidina Abu Bakr sendiri mengambil keputusan untuk memerangi orang-orang yang mengingkari perintah mengeluarkan zakat ini. Agaknya, kalaulah Saiyidina Abu Bakr ini ditakdirkan hidup semula di zaman kita, tentulah ramai di antara kita yang akan diperanginya. Mohon perlindungan dari Allah hendaknya.

Bertanyalah, bermuhasabahlah…. berapa akaun bank yang kita ada?

Berapa pula jumlah simpanan tetap atau FD yang kita ada?

Berapa lama pula tempoh simpanan kita tersebut?

Adakah bank yang kita gunakan untuk menyimpan ada mengeluarkan zakat untuk wang simpanan kita setiap tahun?

Berapa lama pula kita TERABAI SECARA TIDAK SENGAJA atau TERLALAI,TERLUPA dari mengeluarkan zakat sebelum kita benar-benar tersentak menyedarinya?

Bagaimana pula dengan zakat KWSP yang kita perolehi secara “one-shot” sebaik saja kita menerimanya?

Kita selalu berpesan-pesan dengan urusan keduniaan malangnya berapa ramai dari kita yang berpesan-pesan atas urusan akhirat pula?

Ramai berpesan “Cepat beli baju. Sekarang murah.hujung tahun,banyak sales ;

tetapi tidak ramai atau hampir tidak kedapatan mereka yang berpesan ” Cepat tunaikan zakat, dah hujung tahun ni, ramai orang fakir dan miskin di luar sana yang memerlukan wang zakat kita”

Insaflah, sedarlah… janganlah memandang enteng dengan kewajipan berzakat kelak diri akan dipersoal di akhirat. Zakat bukan sahaja menyuburkan harta atau pendapatan yang mungkin diperolehi dengan cara yang salah TETAPI dengan mengeluarkan zakat maka ianya memberi ketenangan kepada jiwa, mententeramkan malahan menyuburkan jiwa yang gersang dengan sinar keimanan. Percayalah, ramai di antara mereka yang saya temui menemui ketenangan dengan cara begini. Tidak rasa rugi apa-apa, malahan Allah akan memberikan rezeki yang murah melalui jalan-jalan lain yang tidak disangka-sangka.

Saya tidak tahu apa lagi alasan yang akan diberikan di hadapan Allah dan Rasulnya nanti akibat kegagalan berzakat walaupun saya mampu. Mungkin saya boleh memberikan alasan seperti tidak ada masa, sibuk dengan kerja,pusat pungutan zakat jauh dan macam-macam lagi alasan yang boleh diberikan SEDANGKAN jalan-jalan untuk mengeluarkan zakat telah dipermudahkan oleh pihak yang berwajib. Malahan promosi melalui iklan dan bill board juga telah disebarluaskan cuma saya saja yang tidak ambil pusing. Mudah-mudahan kita semua tidak tergolong dalam golongan yang leka di dunia ini.

Tinggal seminggu sahaja lagi. Ayuh!!!! Usah ditangguh lagi. Bersegeralah kerana sesungguhnya Allah telah membuka pintu-pintu kebajikan seluas-luasnya di penghujung tahun ini.

RABU 24 DISEMBER 2008  SESUDAH FAJAR

5 comments on “Sucikan jiwamu dengan berzakat

  • salam ustaz, saya menemui blog ustaz melalui carian blog..

    saya ingin bertanya dgn pusat zakt tapi segan pulak jadi disini je lah saya bertanya..

    1) Saya bekerja dan pada masa yg sama belajar part-time.. jadi potongan peribadi tu masih RM8000 ke atau boleh ditambah lagi..

    2) Boleh ke kita bagi duit kt anak2 saudara kita yg masih belajar dan kita niatkan sbg zakat..?

    3) Bagaimana pula kalau kita masukkan jumlah bayaran zakat ke dalam tabung masjid dan kita niatkan sbg zakat..?

    4) Zakat bagi tahun2 yg lepas saya terlupa utk bayar… adakah boleh bayar pada bila2 masa yg lain atau kena segerakan kerana jumlahnya agak besar kerana telah lama saya x bayar zakat pendapatan itu..?

    5) Bagaimana dgn zakat simpanan,sedangkan satu2nya sumber pendapatan saya iaitu gaji mmg masuk dalam akaun simpanan..? jadi adakah dua perkara ini berbeza dan perlu dizakatkan secara berasingan..?

    Sekian,terima kasih.

    • Salam,

      Terima kasih kerana bertanya dan sudi membaca blog saya. Boleh saya tahu identiti saudara? Mungkin kita boleh menjadi kenalan dan sahabat yang sentiasa berpesan-pesan dengan kebaikan. Saya bukanlah seorang ustaz namun insyallah saya cuba untuk menjawab pertanyaan saudara.

      Persoalan pertama, isu belajar part time dengan bekerja adalah dua isu yang berbeza. Saudara masih bekerja dan memperolehi pendapatan justeru nilai tanggungan diri sebanyak RM8,000 masih lagi terpakai ke atas diri saudara. Sebenarnya saya sendiri pernah mengajukan pertanyaan sebegini kepada PPZ dengan membawa kiraan sendiri iaitu gaji bersih ditolak dengan semua keperluan diri seperti sewa rumah, kereta,keperluan rumah dan anak-anak sehingga jumlahnya melebihi RM8,000 yang ditetapkan oleh PPZ. Jawapan yang diberikan oleh pegawai berkenaan adalah cara ini boleh dilakukan akan tetapi jika kaedah ini dilakukan maka ramailah yang tidak akan layak untuk berzakat kerana jumlah tolakan yang dibuat berdasarkan keperluan diri yang tidak sama antara satu individu dengan individu yang lain. PPZ menetapkan jumlah tolakan diri berdasarkan kepada keperluan yang mencukupi.Justeru, dalam kes saudara adalah dinasihatkan supaya ‘stick’ kepada jumlah RM8,000 yang telah ditetapkan oleh PPZ dan tidak menambah walaupun saudara part time student;

      Persoalan kedua, tidak ada masalah untuk memberi zakat kepada anak-anak saudara yang masih belajar kerana mereka termasuk dalam asnaf yang 8 jika saudara telah berniat sedemikian;

      Ketiga, persoalan ini saya kurang pasti, kompleks dan perlu merujuk kepada pakar dalam bidang zakat. Walau bagaimanapun, saya nasihatkan saudara terus membayar zakat kepada amil yang dilantik,PPZ atau boleh terus kepada asnaf yang saudara pasti layak menerima zakat. Contohnya, sekolah-sekolah agama rakyat yang memerlukan bantuan.

      Keempat, saudara boleh bayar pada bila-bila masa untuk zakat yang tertunggak tahun-tahun lepas. Akan tetapi adalah lebih afdal jika perkara ini disegerakan jika berkemampuan untuk menyelesaikan dalam masa tersebut. Untuk mengira zakat pendapatan tertunggak ini, saudara perlu menyemak kembali jumlah pendapatan untuk tahun2 tertunggak.Kalau ada penyata pendapatan lagi bagus. Buat kiraaan dan saya cadangkan memandangkan jumlahnya agak besar dan saudara tidak mampu untuk membayar ‘one shot’, saudara boleh bayar secara ansuran bila sahaja berkemampuan. Insyallah, Allah menilai niat saudara dan memahami masalah saudara yang bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kewajipan; dan

      Kelima, berkaitan dengan zakat simpanan pula walaupun gaji masuk dalam akaun berkenaan sekiranya telah cukup haul dan nisab [RM6,400] maka zakat simpanan adalah diwajibkan ke atas diri saudara. Jumlah ini, kalau mengikut pengalaman saya berurusan dengan PPZ adalah diambil dari bulan yang paling terendah untuk tahun semasa. Contohnya dalam tahun 2008 jumlah simpanan terendah adalah RM4,000 maka ianya tidak dikenakan zakat kerana tidak mencukupi nisab. Untuk itu, saudara perlu menyemak penyata akaun bagi mempastikan jumlah yang terendah.

      Walau bagaimanapun, saya bukanlah ahli atau pakar dalam bidang zakat ini. Ianya bersifat teknikal dan soalan-soalan yang timbul sesetengahnya sangat kompleks. Saya nasihatkan supaya saudara jangan malu untuk bertanya. Tanyalah dengan PPZ.Pengalaman saya berurusan dengan mereka sangat mudah dan mampu memberikan jawapan kepada setiap persoalan yang timbul kerana ruang lingkup kerja mereka seharian berkaitan dengan zakat. Kalau segan juga bolehlah ditanya kepada ustaz-ustaz yang ada. Insyallah mereka sedia membantu.

      Saya doakan mudah-mudahan kesungguhan saudara untuk perjuangan ke jalan Allah akan tercapai dan diberi pahala yang berlipat kali ganda.

  • Terima kasih kerana sudi memberikan jawapan.Sebenarnya saya dah lama teringin nak bayar zakat pendapatan untuk tahun-tahun yang lepas tapi asyik bertangguh aje. Kesedaran itu mmg ada tapi entahla..pelaksanaan tu payah sikit bagi orang macam saya ini.

    syukran lagi sekali..

    • Tengok jumlah pendapatan ina dalam setahun selepas ditolak tanggungan sebanyak RM8,000 dan tanggungan2 lain jika ada. Kalau melebihi nisab RM6,000 lebih [sila semak dgn web site pusat zakat kadar nisab sekarang] maka ina dikenakan zakat.

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: