Archives

All posts for the month February, 2012

Perjalanan hidupku diteruskan lagi dan lagi

Published February 19, 2012 by Menikmati Takdir Langit

Februari datang lagi. Datang tidak diundang. Datang memaklumkan bahawa usia saya semakin bertambah. Tiada sebab untuk saya berasa gembira. Tiada sebab untuk saya rasa gembira dengan potongan kek dan ucapan selamat hari lahir yang datang bertubi-tubi. Saya gembira sambil mengucapkan syukur ke hadrat Illahi kerana memanjangkan usia saya di dunia yang sementara ini.

Saya bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kepada diri ini untuk terus hidup, berjalan, berlari dan berjuang dalam kehidupan yang serba mencabar hari ini. Syukur kerana saya diberi peluang untuk membuat koreksi diri apatah lagi di dalam usia 39 tahun ini semakin banyak peringatan dan mesej yang diberikan oleh Allah.

Saya memandang ke cermin, melihat helaian uban putih yang semakin banyak di tepi. Ohh semakin tuanya aku.

Ketika duduk bersila lama di masjid mendengar kuliah ilmu, saya terasa kebas. Oh semakin lemahnya aku.

Kadang-kadang ketika berjalan terasa sengal di bahagian pinggang, oh semakin kurangnya kudrat ku.

Bila bergerak terlalu pantas, terasa penat dan tercungap-cungap. Oh betapa tenagaku makin kurang.

Sedar atau tidak, sedikit demi sedikit tenaga dan kekuatan kita semakin hari direnggut oleh Allah. Dan kita semakin dekat menuju kepadaNYA.

Setahun lagi, angkat 4+ akan datang menjengah jika saya diizinkan Allah untuk hidup ke umur itu. 40 adalah angka keramat. “Life begins at 40” kata pepatah Inggeris. Rasulullah saw menerima wahyu dan seterusnya menerima kerasulan adalah pada usia 40. Jika pada usia 40 seorang itu baik maka baiklah ‘ending’nya, jika tidak maka sebaliknya. Inilah yang sering saya dengar orang bercakap.

Pentingnya umur 40 bermakna bermulanya titik permulaan malahan perubahan dalam hidup ini.

40 bermakna saya cuma ada 18 tahun lagi sebelum pencen kerja di dunia. Tapi belum tentu saya akan sempat sampai ke situ. Saya boleh merancang mulai sekarang untuk perancangan hari tua dari umur 40 namun seperti yang saya katakan itu pun jika saya diberi peluang oleh Allah. Jika tidak, maka saya akan pejam mata lebih sebelum sempat menikmati wang hasil pencen, gratuiti dan faedah lain yang berganda-ganda.

 Jika ingin baik, tak kiralah umur apa sekali pun, pilihlah untuk berubah dan mulakanlah perjalanan anda dari umur tersebut. Jangan tunggu sebelum segalanya sudah terlambat.

Perjalanan yang masih tersisa harap diteruskan. Perbetulkan yang mana mampu dan boleh diperbetulkan. Untuk kembali memulakan sejarah hidup dari titik paling awal yakni saat kelahiran kita sudah tidak mampu melainkan berubahlah dari sekarang.Perbetulkan masa sekarang dan masa hadapan insyallah akan terdorong lurus menuju akhirat yang kekal abadi.

Tinggal 1 tahun lagi sebelum aku melangkah masuk ke Gua Hira’.

Abu Wafi,

Bandar Baru Salak Tinggi.

Pic : Ihsan Akmal Abdullah

Salam Maulidurrasul

Published February 6, 2012 by Menikmati Takdir Langit

Salam Maulidurrasul yang tercinta,

Inilah yang mampu saya ucapkan setelah menyepi seribu bahasa. Entry terakhir adalah ketika raya aidil adha yang lepas. Apa boleh buat kesibukan dunia yang tidak pernah hilang selagi mata belum terpejam rapat.

Pada kesempatan yang pendek ini, saya ingin membawakan kisah mengenai kecintaan seorang ulama terkenal terhadap Rasulullah saw. Imam Abu Hassan An Nadwi ketika berumur 8 tahun telah dihantar oleh ibunya untuk belajar agama di sekolah. Ketika di sekolah beliau membaca kisah-kisah mengenai sejarah hidup dan perjuangan Rasulullah saw. Beliau menjadi terpegun dan kagum dengan baginda malahan rindu beliau kepada junjungan besar ini tidak pernah padam walaupun tidak pernah menatap wajah baginda.

Suatu hari, Imam Abu Hassan pergi ke kedai buku untuk membeli buku mengenai kisah hidup Rasulullah saw. Sudah sekian lama beliau mengumpul wang untuk tujuan itu dan sudah sekian lama beliau  bersabar untuk memiliki buku itu. Setelah simpanan wangnya mencukupi maka pergilah beliau ke kedai buku tersebut. Malangnya beliau dimaklumkan bahawa buku tersebut telah pun habis dijual.

Abu Hassan yang ketika itu berusia 8 tahun keluar dan berjalan di lorong lantas berhenti di tepi lorong. Beliau menangis semahu-mahunya kerana tidak dapat memiliki buku tersebut. Beliau menangis kerana rasa rindu yang amat sangat kepada Rasulullah saw.

Begitulah sedikit kisah ulama besar yang ingin saya titipkan di sini bahawa betapa kecintaan kepada Rasulullah saw adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Dalam usia 8 tahun beliau telah mempunyai rasa cinta yang begitu tinggi kerana ibunya telah mengasuh sejak dari kecil agar mengenal Allah dan mengenal rasulnya. Inilah pelajaran yang pertama yang perlu diperkenalkan kepada anak-anak kecil.

Malangnya anak-anak kecil sekarang lebih kenal dengan “angry birds” daripada mengenal Rasulullah saw.

Justeru, wahai pembaca ajarilah anak-anak anda agar mengenai siapa Tuhan mereka dan ajarilah mereka tentang kehebatan Muhammad saw.  Di hari yang baik dan bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama membaca kisah-kisah perjalanan hidup Rasulullah saw kepada  mereka dan bawalah mereka menghadiri majlis-majlis maulid yang diadakan. Mudah-mudahan dengan cara ini mereka anak mengenal siapakah ikon yang perlu diikuti kelak.

Abu Wafi, Putrajaya