Diari Kembara

All posts in the Diari Kembara category

Dungun daerah sunyi

Published July 29, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Minggu lepas saya ke Dungun, Terengganu. Inilah kali pertama seumur hidup saya menjejakkan kaki ke daerah ini. Saya hadir atas tugas rasmi.

Daerah ini terlalu jauh dari Putrajaya. Terlalu asing bagi saya. Tak sanggup rasanya untuk memandu ke sinii kerana saya benar-benar kepenatan. Bisa mengundang rasa mengantuk jika memandu dalam tempoh yang panjang tanpa rehat yang mencukupi. Rutin kerja saya yang memerlukan saya berulang alik ke KL sejauh 100 km setiap hari menempuh kesesakan di Sg Besi sudah cukup untuk memenatkan diri dan menyesakkan dada. Pengangkutan udara juga tidak praktikal kerana jarak antara Dungun dan lapangan terbang sangat jauh.

Fikir punya fikir akhirnya saya memilih untuk menaiki bas. Lagipun sudah agak lama saya tidak naik bas. Rasa rindu pada nostalgia lama zaman persekolahan dan universiti tiba-tiba bermain di fikiran.  Sungguh indah saat itu. Walaupun kurang selesa berbanding menaiki kereta atau kapal terbang, ianya cukup ekonomi dan sederhana. Tiada salahnya dengan bas. Sesungguhnya banyak perkara yang boleh dipelajari dari bas. Bas tidak berprestij tetapi bas mempunyai makna tersendiri dalam hidup saya.

Jangan memandang rendah kepada bas. Pengalaman bergaul dengan mereka yang menaiki bas adalah pengalaman  ikhlas yang dapat ditemui.  Saya belajar mengenai kehidupan di dalam bas. Ada cerita suka duka dan pengalaman pahit manis. Bas rosak, bas kemalangan, aircond rosak dan ditipu oleh ulat-ulat bas adalah pengalaman pahit yang tidak dapat saya lupakan. Saya belajar menghargai makna kehidupan dengan menaiki bas dan dari situlah terasa kerendahan dan kelemahan diri yang hina di sisi Allah. Kita adalah hamba dan seringkali kita lupa akan hakikat itu. Saya teringat kata-kata Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari dalam Kitab Hikamnya :-

“Sebaik-baik saat di dalam hidupmu ialah ketika engkau menyedari kekurangan diri dan engkau kembali kepada kerendahan dirimu.

Sudah menjadi lumrah manusia mudah lupa diri bila berada pada kedudukan yang tinggi. Ketika dihimpit kesusahan, kemiskinan dan ditimpa musibah manusia lebih hampir dengan Allah. Namun bila berada di zon selesa, senang, mewah, sihat dan berkuasa ramai yang terleka dan akhirnya lupa diri. Lupa asal usul, lupa siapa diri dan tujuan hidup. Natijahnya, banyak keputusan yang dibuat sering menidakkan kesukaran yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik.

Bila susah ingat masjid bila senang lupa Allah. Bila senang fikiran menjadi bercabang-cabang dengan pelbagai agenda dan program yang hendak dilakukan. Nak buat business itu dan ini. Nak labur saham itu dan ini. Nak beli hartanah di sana sini. Nak kaji strategi perniagaan yang boleh diterokai. Bila susah, fikiran menjadi satu dan fokus, ingat masjid, ingat Allah dan rajin berdoa agar Allah tunjukkan jalan keluar.

Sesungguhnya ujian yang paling besar bukanlah musibah yang menimpa, bukan juga kekayaan dan kekuasaan yang melimpah ruah tetapi ujian yang sebenar adalah ujian hidup beragama. Di mana kita letakkan Allah di dalam kehidupan kita setiap hari. Sejauh mana kita mengingati Allah di kala susah dan di kala senang. Sejauh mana hidayah dan petunjuk Allah itu kekal dan sentiasa menokok dalam diri kita.

Sebab itu, bila berada di kedudukan tertinggi sekali sekala jenguk-jenguklah dan tinjau-tinjaulah keadaan hidup orang  di bawah kita. Kehidupan petani, nelayan dan fakir miskin adalah kehidupan yang mungkin dianggap sukar oleh kebanyakan manusia hari ini. Jika selalu terbang di awan biru bertemankan fresh orange dan layanan pramugari yang mesra apa salahnya sekali sekala menggunakan bas ekspress pula. Rasailah pengalaman perit golongan yang kurang bernasib baik dari kita. Mudah-mudahan dengan turunnya kita ke bawah maka kita akan menyedari kekurangan diri dan menimbulkan rasa kehambaan yang tidak terhingga kepada Allah. Inilah sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Islam dahulu seperti Khalifah Umar ibn Abdul Aziz dan nendanya Saidina Umar Al-Khattab. 2 pemimpin besar  ini hidup dalam serba kedhaifan dan serba kekurangan namun  kekurangan dan kedhaifan  itulah yang menyebabkan mereka dekat dengan Allah. Kekurangan adalah satu rahmat dan hikmah yang mendidik jiwa mereka menjadi jiwa yang  sedar diri dan mahu kembali kepada Allah.

Begitu juga dengan Salman Al-Farisi yang diutus menjadi Gabenor di Kufah. Beliau meninggal dunia dengan meninggalkan tongkat, cawan dan serban. Cawan untuk minum dan berwuduk, serban pula untuk menutup kepala dan dijadikan hamparan untuk tetamu yang mengunjunginya. Tongkat sebagai penunjuk di jalan dan sebagai alat menyedarkan tentang hakikat umur yang pendek. Itu pun beliau masih menangis di akhir hayatnya memikirkan apa yang hendak dijawab di hadapan Allah kelak memikirkan 3 harta tersebut.

Saya sampai di Dungun jam 5.30 petang. Hujan turun dengan lebatnya. Saya basah terkena tempias hujan. Sampai di hotel jam 6 petang. Di luar hujan masih turun dengan lebatnya. Saya kebasahan, namun pengajaran berguna yang saya perolehi hari ini cukup mendewasakan.

Pengalaman di Dungun cukup saya hargai. Daerah ini kelihatannya sungguh tenang walaupun di sana ada ombak Laut Cina Selatan yang menggulung tinggi. Ingin sekali singgah di Teratak Bakarians salah seorang rakan blogger yang kebetulan terletak di sini, namun hasrat itu terpaksa dimatikan kerana beliau tiada di rumah.

Ya Allah, mudah-mudahan Engkau sentiasa menyedarkan aku mengenai siapa diri dan tinggi rendahnya diriku ini. Terima kasih kerana menempatkan aku seketika di daerah sunyi ini. Daerah yang memberi ruang untuk aku mengenal diri dan melakukan muhasabah diri yang faqir ini.

Abu Wafi

Musim bunga kembali

Published July 11, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Musim bunga kembali lagi tetapi bukan seperti di negara Eropah yang mengalami 4 musim sebaliknya hanyalah Pesta Flora di Putrajaya. Ini acara tahunan yang diadakan bagi menarik pelancong ke sini. Putrajaya hanya sibuk bila waktu puncak namun sepi bagai dilanggar garuda bila hari minggu. Terdapat pelbagai jenis bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan yang dipamerkan dari seluruh negara. Tidak ketinggalan penyertaan dari sekolah-sekolah dan badan-badan berkanun dengan landskap yang mengkagumkan. Pesta kali ini dianggap lebih besar 50% daripada tahun-tahun sebelumnya.

Singgah seketika di sini menyebabkan timbul rasa kagum yang amat sangat dengan kreativiti peserta mengubah dan menyusun bunga-bungaan menjadi dekorasi yang cantik.

Mereka dan bunga-bunga

Bila melihat bunga-bungaan, pokok-pokok yang pelbagai jenis, tumbuh-tumbuhan yang banyak manfaat kepada manusia timbul rasa syukur yang amat sangat atas kurniaan Allah kepada hamba-hambanya. Ciptaan-ciptaan Allah ini adalah tanda-tanda kebesaran dan kekuasaanNya.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Fussilat, ayat 53:

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

Kalau kita perhatikan di dalam Al-Quran sahaja, banyak  sekali ayat-ayat yang menyuruh kita memperhatikan ciptaan-ciptaan Allah s.w.t, supaya kita dapat melihat keagungan dan kebesaran Allah s.w.t. Firman Allah di dalam Surah Al-Ghaasyiyah:

Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?

Melihat bunga yang cantik sahaja telah menyebabkan timbul rasa kagum dan bahagia dalam diri kita apatah lagi dengan kenikmatan Syurga. Kehidupan di syurga adalah sebaik-baik kehidupan dan kekal abadi. Gambaran kehidupan di syurga itu adalah sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di fikiran. Setiap penghuni syurga diperuntukkan ruang seluas langit dan bumi. Indahnya….

“Dan apabila kamu melihat di sana (syurga) nescaya kamu akan melihat berbagai macam kenikmatan dan kerajaan yang besar (Al Insan 76 : 20)

Ciptaan Allah bukan sekadar dikagumi dan dihayati sebaliknya untuk diperhatikan bagi menimbulkan rasa kehambaan dalam diri kita.

Abu Wafi

Diari: Cuti rehatkan minda

Published June 9, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Cuti sekolah pun bermula selama 2 minggu. Sudah 3 tahun saya tidak dapat mengambil cuti panjang semasa cuti persekolahan. Puncanya setiap kali cuti sekolah bermula, maka setiap kali itulah kerja saya bermula. Tetapi kali ini saya bertekad untuk bercuti selama 3 hari dan pulang ke kampung halaman di Kulim, Kedah. Sudah 6 bulan saya tidak menjengah kampung halaman dan daerah kelahiran. Sudah terlalu banyak perubahan yang berlaku pada tempat kelahiran saya dan tiba-tiba saya terasa rindu yang amat sangat pada tanah tumpah darah ini.

Terlalu banyak perkara yang hendak diselesaikan dan terlalu banyak kenangan yang perlu dikutip sepanjang 6 bulan yang lalu. Banyak perkembangan saudara mara yang sudah saya ketinggalan.

Saya ingin menatap wajah ayah bonda yang selama ini bersusah payah membesarkan saya yang selama ini hanya dihubungi dengan panggilan telefon  sebagai pengubat rindu.

Saya ingin sekali bertemu sama teman-teman rapat suatu ketika dahulu.Teman-teman persekolahan yang hilang entah ke mana dan teman-teman sekerja yang sudah membina kehidupan sendiri. Teman-teman inilah yang banyak memberi dorongan dan menjadi sumber inspirasi untuk saya terus hidup. Walaupun mereka semua telah bertebaran entah ke mana, ingin saja saya mencari mereka satu persatu dan membuka kembali lembaran kenangan-kenangan manis dan pahit bersama mereka.

Saya ingin saja berjalan ke sekolah lama saya, ke hospital saya dilahirkan dan ke tempat permainan saya semasa kecil. Ingin saya tunjukkan kepada anak-anak setiap langkah-langkah saya di daerah sunyi ini suatu masa dahulu.

Namun, saya tidak punya cukup masa untuk membawa saya menziarahi dan melewati semua tempat-tempat yang pernah saya kunjungi dahulu. Kedai makan kegemaran,tempat kerja lama saya dan teman-teman rapat adalah antara agenda yang ingin saya lakukan tetapi saya tidak mampu. Saya memerlukan masa yang panjang untuk tujuan itu.

Tiba-tiba saya dapat rasakan bahawa pemergian saya yang terlalu lama meninggalkan daerah ini membuatkan saya merasa begitu terasing walaupun di daerah kelahiran sendiri. Terlalu banyak perubahan yang drastik berlaku di sini. Daerah yang dahulunya sebuah kawasan luar bandar lagi terpencil mula pesat membangun. Kedai-kedai baru dan taman-taman perumahan tumbuh dengan pesatnya.

Saya sempat melawat ke pekan Bukit Mertajam, dan melewati hospital tempat saya dilahirkan 37 tahun yang lalu. Juga singgah di kedai roti benggali yang klasik namun penangan kesedapannya masih terasa hingga kini.

Hospital kelahiranku

Kedai roti terkenal di pekan Bukit Mertajam sejak 30 tahun lalu

Suasana damai di kampung

Bagi yang ingin mencari menggemari ayam goreng, bolehlah mencuba  ayam goreng Malaysia di Radix Fried Chicken yang hanya ada 2 outlet sahaja di Malaysia iaitu di Laguna Merbok dan Tesco Sungai Petani, Kedah.

Singgah di Radix FC di Laguna Merbok, Sg.Petani

Rasanya ‘not bad’

Dah sampai SP, sempat singgah ke pejabat rakan sehidup seakhirat Saudara Faisal Abdullah. Sudah hampir 3 tahun tidak bertemu beliau. Alhamdulillah, kami dipertemukan di pejabat beliau dalam satu pertemuan yang singkat tetapi cukup bermakna. Sahabat yang banyak membantu saya semasa susah. Pernah saya menumpang di rumah beliau ketika mula-mula bekerja di Sungai Petani sekitar tahun 2001. Sekarang telah membuka firma guamannya sendiri di Sungai Petani.

Bersama Chor (Faisal)

Kami sekeluarga juga sempat singgah berkelah di Sedim,tempat perkelahan dan reakreasi terkenal di selatan Kedah. Lebih kurang 40 minit dari rumah kami di Kulim. Selain dari tempat perkelahan, aktiviti outdoor dan aktiviti sukan lasak tempat ini adalah satu tempat yang bersejarah bagi negeri Kedah. Tunku Abdul Rahman, mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama pernah menyembunyikan ayahandanya dan kekandanya Sultan Abdul Hamid dan Sultan Badlishah daripada tentera Jepun di Sedim ini sehinggakan kampung ini dinamakan Kg Lindungan Raja. Selepas keadaan selamat dan Jepun meninggalkan Tanah Melayu, baginda sultan keluar dari tempat persembunyiannya. Mengikut Tunku dalam bukunya “Looking Back” beliau telah menculik dan melarikan ayahandanya ke Kulim ekoran tersebarnya berita bahawa Jepun akan membunuh Sultan. Pada mulanya kekandanya yang juga Raja Muda Tunku Badlishah membantah tindakan Tunku namun beliau akhirnya menyertai Sultan bersembunyi di daerah ini sehinggalah keadaan selamat. Usia Sultan ketika disembunyikan ialah 77 tahun mengikut catatan yang saya baca  di dalam rumah tersebut. Rumah persembunyian tersebut masih lagi utuh di sini dan tidak jauh dari sungai tempat perkelahan Sedim.

Sungai mengalir deras

Dari atas chalet

Di hadapan rumah persembunyian Sultan Abdul Hamid

Keadaan di  dalam rumah

Suasana di perkampungan Sedim ini cukup indah dan nyaman. Udaranya bersih. Persekitarannya bersih dan terpelihara. Tempat yang sesuai untuk merehatkan minda, menulis buku, mencari idea dan beruzlah mencari ketenangan dengan mengingati Allah di tempat yang sunyi ini. Tempat kerehatan bagi mereka yang ingin menenangkan fikiran dari stress bekerja.

Dalam pada kita ghairah mencari kerehatan di dunia, janganlah lupa bahawa kerehatan yang sebenar adalah kerehatan di akhirat. Di dunia kita berehat seketika untuk melepaskan penat lelah bekerja yang bersifat sementara sedangkan di akhirat kita berehat selama-lamanya setelah berpenat lelah di dunia dengan amalan-amalan soleh yang mudah-mudahan akan diterima Allah.Kita hanya berehat di akhirat, setelah amalan kita di dunia cukup untuk melayakkan kita mendapat rahmat dan syurga Allah.

Akhirat itu adalah tempat kerehatan yang sebenar, kekal abadi untuk mereka yang benar-benar mahu mengambil pengajaran. Dunia adalah tempat bekerja sekeras-kerasnya untuk kehidupan di akhirat yang kekal abadi.

Abu Wafi, Kulim, Kedah.

Dugaan sehari sebelum Ramadhan

Published August 23, 2009 by Menikmati Takdir Langit

P1131523

Saya mengambil cuti sehari sebelum Ramadhan untuk menyelesaikan pembaharuan insurans kereta dan cukai jalan. Jangkaan saya, perkara ini dapat diselesaikan dalam beberapa jam sahaja namun ternyata jangkaan saya meleset sama sekali. Saya terheret dari pagi hingga ke jam 6 petang atas masalah-masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

9.35 pagi : Bergerak ke bank di Bandar Puteri Puchong untuk mengambil salinan asal geran kereta. Tiada masalah.Berjalan lancar.

10.00 pagi  : Temujanji dengan ejen Takaful Ikhlas untuk urusan pembaharuan insurans yang akan tamat tempoh sebulan lagi. Pertemuan di Giant Puchong berlangsung hingga ke Kopitiam;

11.00 pagi : Pertemuan tidak membuahkan hasil kerana NCB kereta yang saya beli tahun lepas tiada dalam renewal notice oleh syarikat insuran asal kerana terlibat dalam kemalangan kecil di MRR2 pada 22.11.2009. Tiada potongan diberikan kerana kereta saya seperti tiada NCB langsung. Akibatnya saya dikehendakki membayar sejumlah besar [55% dari gaji saya];

11.10 pagi : Menghubungi syarikat insurans asal. Diminta mengemukakan salinan report police. malangnya tiada dalam simpanan kerana disimpan oleh bengkel kereta. Walhal salinan ‘police report telah dikemukakan ketika membuat tuntutan gantirugi tahun lepas. Agak menghairankan bila bahagian-bahagian di dalam syarikat insurans berkenaan seolah-olah tidak bercakap atau “link” antara satu sama lain;

12.00 tgh : Kembali ke rumah

2.30 ptg :  Memandangkan bengkel kereta berkenaan terletak berhampiran stesen ERL Bandar Tasik Selatan, saya mengambil keputusan untuk menaiki ERL sahaja. Selepas itu, saya akan bergegas ke syarikat insurans berkenaan di Jalan Tun Razak. Saya memutuskan untuk berjalan kaki sahaja dari rumah di Presint 9 ke stesen ERL juga di presint 9 kerana tiada siapa yang dapat menghantar saya. Isteri mempunyai urusan di luar;

2.50  ptg:  Termengah-mengah berjalan kaki. Peluh memercik di dahi sebaik sahaja tiba di stesen ERL Putrajaya. Tinggal 7 minit sebelum ‘train transit’ tiba;

3.33 ptg :  Tiba di stesen ERL Bandar Tasik Selatan. Berjalan kaki 500 meter ke bengkel berkenaan.

3.45 ptg :  Tiba di bengkel. Mengejutkan apabila dimaklumkan bahawa pejabat urusan bengkel tersebut telah berpindah ke Jalan Kuari, Taman Bukit Permai. Saya kepenatan, keletihan, rasa-rasa betul-betul menyesal kerana tidak memandu sendiri. Rasa terkilan kerana pihak bengkel tidak memaklumkan saya mengenai perpindahan operasi mereka semasa perbualan telepfo pagi tadi. Saya buntu. Tak tahu ke mana nak dituju. Setelah mendapat alamat lengkap saya berjalan balik 500 meter ke hentian teksi berhadapan stesen LRT Bandar Tasik Selatan. Teksi pertama saya tahan enggan pergi ke sana kerana jauh. Teksi kedua bersetuju membawa saya ke sana. Syukur.

4.05 ptg :    Dalam teksi saya meminta pemandu teksi menunggu saya dan membawa saya balik ke stesen ERL. Beliau bersetuju.

4.10 ptg :  Urusan selesai. Saya berjaya memperolehi salinan police report walau bagaimanapun sedikit terkilan kerana salinan tersebut tidak terang;

4.16 ptg : Dalam perjalanan pulang saya menghubungi syarikat insurans bertanyakan waktu tutup. Dimaklumkan pukul 4.45 ptg mereka tutup kedai. Saya meminta pemandu teksi berketurunan India supaya membawa saya ke sana kalau tidak keberatan. Beliau bersetuju kerana jalan masih belum sesak lagi;

4.20 ptg :  Terperangkap di Jalan Loke Yew. Saya cemas.

4.35 ptg :  Tiba betul-betul berhadapan bangunan syarikat insurans berkenaan bersebelahan RHB Bank. Setelah membayar RM21.00 tambang teksi saya berlari ke atas.

4.40 ptg :  Tiba di Kaunter Customer Service;

4.42 ptg :   Saya dapat nombor giliran dan terpaksa menunggu pegawai berkenaan sedang bercakap telefon. Hanya tinggal saya satu-satunya “customer” yang masih tinggal. Rasa cemas mendada.

Akhirnya, pegawai berkenaan melayan saya dengan begitu baik dan sopan. Beliau menyemak dengan bahagian “Claim Department” dan dimaklumkan NCB saya kembali seperti biasa iaitu 55% kerana kemalangan terbabit bukan salah saya.

5.00 ptg :  Saya sudah terpacak di hadapan pintu masuk syarikat insurans berkenaan menunggu teksi sambil meneguk air botol mineral  sebotol sehingga habis. Wah, dahaganya. Jalanraya makin sesak kerana esok umat Islam mula berpuasa. Saya menarik nafas lega kerana urusan selesai akhirnya.

5.20 ptg :  Dalam teksi kembali semula ke stesen ERL Bandar Tasik Selatan. Tambang RM15.00

5.40 ptg : Tiba di Stesen ERL

6.00 ptg : Dalam ERL menuju ke Putrajaya

6.30 ptg : Tiba di stesen ERL Putrajaya.

6.40 ptg : Tiba di rumah.

Saya benar-benar keletihan dengan ujian dan dugaan dari Allah ini. Dugaan sehari sebelum Ramadhan. Apa pun saya memanjatkan syukur kerana semua urusan dipermudahkan Allah walaupun diuji dengan sedikit kesusahan dan kepayahan.

Saya perlu mengeluarkan RM36.oo untuk tambang teksi dan RM10.30 untuk tambang ERL.Dicampur dengan penat lelah dan sakit kaki berjalan ke sana sini. Sudah lama saya tidak berjalan sejauh ini. Walaupun keletihan namun saya lega kerana semua urusan selesai. Terima kasih kepada kedua-dua pemandu teksi yang telah memberikan kerjasama kepada saya.

Teringat saya;  sesungguhnya dunia ini adalah tempat yang penuh dengan kepenatan dan kelelahan. Akhirat adalah tempat kerehatan selama-lamanya. Namun, bagaimanakah kita mengolah kehidupan di dunia ini untuk mendapat kerehatan yang sejati di akhirat sana? Semuanya bergantung kepada amalan di dunia. Jika baik maka berehatlah kita dengan tenang di sana. Jika buruk, maka bersusah payahlah kita di sana dengan siksaan demi siksaan yang berlangsung selama-lamanya. Justeru, marilah kita menginsafi diri.

P1131536

Sejenak di stesen perhentian dunia

Malam saya berterawih buat kali pertama di masjid baru. Masjid besi di Putrajaya. Akan saya ceritakan dalam entry berikutnya. Rehat dulu.

SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA

Abu Wafi, Putrajaya

Kembali ke tanahair

Published May 10, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Syukur alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Allah swt yang memberikan saya peluang dan kesihatan yang baik sepanjang saya berada di tanah suci. Syukur tidak terhingga atas nikmat yang diberikannya. Nikmat umur yang panjang dan nikmat kesihatan yang baik memudahkan saya untuk mengerjakan ibadah umrah dengan tenang dan melakukan ziarah ke tempat-tempat bersejarah sekaligus mendekatkan diri dengan perjuangan Rasullah saw.

Ada pengalaman manis, ada pengalaman pahit dan ada pengalaman yang cukup mendebarkan. Semuanya akan saya ceritakan dalam Travelog Umrah di ruang pages kelak. Saya perlu berehat daripada keletihan yang berpanjangan dan penyesuaian diri dengan perubahan cuaca dan waktu. Insyallah akan saya kemas kini dalam tempoh terdekat.

Travelog Umrah

Published April 23, 2009 by Menikmati Takdir Langit

 kaabah1

Insyallah,saya akan melakukan ibadah umrah dan ziarah pada 23 April hingga 5 Mei 2009. Untuk itu, blog saya tidak akan dikemaskini sehingga kepulangan saya pada 5 Mei 2009. Berbeza dengan tugasan ‘outstation’,  pemergian saya kali ini membawa satu misi besar iaitu ‘safarul iman’. Hati saya berdebar-debar kerana inilah kali pertama saya akan menjejakkan kaki ke tanah suci.

2 hari lepas saya mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Prof. Kamil. Macam dia tahu pula saya nak pergi umrah. Mungkin ada hikmahnya. Mendengar ceramah pengalaman beliau mengerjakan haji di Mekah memberikan saya dimensi baru dalam pengertian ibadah haji dan umrah. Bolehkah saya menjadi seperti dia….

Ya Allah, kau permudahkanlah urusan umrahku di sana kelak. Terimalah aku sebagai tetamuMu. Ampunkanlah dosa-dosaku yang telah lepas. Terimalah taubatku.

Ya Allah, aku merayu dan merintih. Campakkanlah rasa ‘khauf’ atau gerun dengan kebesaranMu. Kembalikan rasa ingin kembali dengan harap kepadaMu. Terimalah semua amalanku. Kurniakanlah aku dengan hati yang lembut, hati yang mudah menerima hidayah dan petunjukMu. Hati yang sentiasa gentar apabila mendengar namaMu disebut dan bertambah keimanan bila mendengar ayat-ayatMu dibaca. Ya Allah.

Ya Allah, hanya kepadaMu aku bermohon,’rabbiyassirwalatu’assir’. Perbetulkan niatku.Pemergianku ke sana hanyalah keranaMu Ya Allah. Aku mengharap dan mendambakan keredhaanMu. Sesungguhnya solatku,kehidupan dan kematianku hanyalah untukMu Ya Allah. Tiada tujuan selain itu Ya Allah, bantulah aku,bimbinglah aku untuk menjadi hamba yang mentaati perintahMu dan menjauhi segala tegahanMu.

Ya Allah, sesungguhnya aku hamba yang lemah. Kerap bergelumang dengan dosa.Berilah peluang dan kesempatan untuk aku bertaubat dan memulakan hidup baru dengan penuh keimanan. Terimalah aku sebagai tetamuMu ya Allah, Ya zaljalaliwalikram!

“HambaMu telah datang menyambut panggilan Mu Ya Tuhan, hamba Mu datang menyambut panggilan Mu. … Sesungguhnya segala puji-pujian, nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan Mu dan tidak ada sekutu bagi Mu…”

ABU WAFI, KLIA

Catatan Kembara ke Muar

Published January 30, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Seperti yang dijanjikan, akhirnya saya berjaya menyiapkan catatan perjalanan dan ziarah saya ke daerah Muar,Johor Darul Ta’zim pada 25-26 Januari 2009. Perjalanan dan ziarah yang cukup memberi makna kepada kehidupan saya.

Isteri saya bertanya kenapa saya begitu sentimental dan sayangkan daerah ini lebih-lebih lagi bila menjejakkan kaki ke sekolah saya. Saya katakan di sinilah berlakunya TITIK PERUBAHAN dalam diri saya. Saya percaya bukan saya seorang malahan beberapa orang lagi yang saya rapat antaranya Suhaimi atau Tajin dari Kuala Berang, Terengganu. Rupa-rupanya penghijrahan saya ke sini selama 2 tahun menuntut ilmu telah membuahkan hasil. Kalau tidak berhijrah mungkin saya tidak berada di tempat saya sekarang ini. Di sini, saya mula mengenal istilah usrah yang diwajibkan ke atas kami setiap hari Rabu malam. Pengetua kami seorang yang warak dan cukup mengambil berat soal agama. Pelikkan.. bila usrah diwujudkan di sebuah sekolah aliran Sains.

Kami dimotivasi dari semasa ke semasa oleh guru-guru dan pihak sekolah. Agaknya akibat motivasi dan latih tubi serta harapan tinggi yang diletakkan maka ramai di antara kami yang berjaya hari ini. Ada yang jadi Majistret, Pensyarah,Peguam dan macam-macam lagi. Alhamdulillah, berkat doa dan kesungguhan semua yang telah berusaha untuk menjadikan kami insan yang berjaya.

Inilah yang saya maksudkan titik perubahan dalam hidup. Firman Allah:

“Sesungguhnya kami tidak akan merobah nasib sesuatu kaum sehingga mereka merobah sendiri nasib mereka”

p1263372

Setiap insan memerlukan perubahan dalam hidup mereka. Untuk berjaya hijrah adalah sesuatu yang perlu. Jika tidak, masakan Nabi saw juga berhijrah 2 kali dalam sejarah Islam. Islam tidak mungkin akan tertegak dan tersebar seantero dunia seperti sekarang jika hijrah tidak berlaku. Inilah kebaikan dan hikmah hijrah.

Bagi diri kita, carilah titik perubahan untuk menuju kehidupan yang lebih positif, bermakna dan yang paling penting mendapat keredhaan Allah. Usah hiraukan kasih sayang manusia yang mungkin berubah akibat perubahan positif hidup kita sebaliknya utamakan kasih sayang Allah kepada kita.

Mudah-mudahan kita semua berjaya. Saya kira sekadar ini, catatan saya mengenai ziarah ke daerah Muar dan hikmah yang tersembunyi. Untuk lebih lanjut silalah baca 2 page di atas bertajuk Muar yang Kutinggalkan episod 1 dan 2. Entry ini dan page di atas, saya tujukan khas buat teman-teman saya di SMS Muar dan semua mantan pelajar SMS Muar dari tahun 1983 hinggalah 2008. Moga bermanfaat.

ABU WAFI, Putrajaya