Archives

All posts for the month June, 2009

Merenung ujian kepada diri

Published June 28, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Saya jarang menulis catatan di hujung minggu. Selalunya di hujung minggu banyak dihabiskan masa bersama keluarga, berada di rumah, keluar membeli barang keperluan,pergi pasar dan sekali sekala melakukan ziarah ke rumah saudara mara dan sahabat handai.

Di sini saya keseorangan, begitu juga isteri saya. Kami sama-sama terasing kerana sebahagian besar saudara mara berada nun jauh di utara tanahair. Namun keterasingan dan kesunyian ini diubati dengan panggilan telefon seminggu sekali atau sekerap yang mungkin bergantung kepada keperluan. Pastinya ayah dan ibu yang berada di Kedah menjadi tempat mengadu dan bercerita masalah dan memohon pandangan jika perlu.

Kadang-kadang saya terfikir kenapalah saya dicampakkan di tempat yang paling jauh dan tersorok berbanding dengan saudara mara yang lain. Bila saya susah, bila anak sakit kami benar-benar teruji. Beberapa kali ayah dan ibu saya terpaksa bergegas ke sini semata-mata untuk menjaga cucu tersayang yang terlantar di hospital. Saya kasihankan mereka. Seingat saya, anak sulung kami telah 6 kali dimasukkan ke wad kerana demam panas , asma dan keracunan makanan. Manakala Munzir, anak kedua pula terlantar 5 hari di hospital Serdang lewat tahun 2006 kerana penyakit “disentry” iaitu cirit birit berdarah akibat jangkitan kuman. Kenangan bermalam di wad kanak-kanak hospital Serdang tidak mungkin saya lupakan. Saya cuma tidur sedikit dan terjaga setiap kali doktor dan jururawat datang melawat. Mujurlah buku karangan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni yang menyuntik jiwa pada waktu itu. Ternyata La Tahzan memang mujarab sebagai bacaan tambahan selain dari Al-Quran.

26619219

Segala kesusahan yang mendatang diterima dengan hati yang terbuka walaupun jiwa saya keluh kesah. Saya tidak mampu menipu diri. Walaupun lidah menyatakan saya harus bersabar namun di dalam hati Allah sahaja yang tahu. Memang sukar untuk menyatakan sabar berbanding bila kita benar-benar diuji dengan kesabaran itu sendiri.Saya pasrah bahawa ini merupakan ujian dari Allah dan ujian ini merupakan satu proses tarbiyyah atau pendidikan yang berterusan dari Allah ke atas hamba-hambanya. Berada di hospital dan bergaul dengan pesakit-pesakit lain membuatkan saya bersyukur dengan apa yang saya ada. Ada yang sudah 1 bulan berada di hospital menemani anak yang sakit. Masa itu saya tersedar bahawa dalam keadaan semacam ini seharusnya saya melihat kepada nasib orang yang berada lebih teruk daripada saya dan bukannya melihat kepada orang yang sihat walafiat. Melihat kesusahan dan penderitaan yang ditanggung insan lain sekaligus memberikan keinsafan kepada saya bahawa ujian yang diberi kepada manusia ini pelbagai dan tidak sama. Namun jauh di hati, saya tetap yakin dan percaya bahawa ujian Allah kepada manusia dalam bentuk musibah dan kesusahan tidak sama sekali memberatkan manusia atau di luar kemampuan manusia kerana sesungguhnya Allah maha mengetahui keupayaan kita sebagai hamba.

Firman Allah :

” Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan”.

 [As-Syarh: 5-6]

Abdullah Ibn Abbas mentafsirkan ayat ini sebagai ” Kesusahan itu tidak akan dapat mengalahkan dua(2) kemudahan yakni dengan bahasa yang lebih mudah setiap kesusahan akan diikuti oleh 2 kemudahan.

Mengenangkan segala bentuk ujian kesusahan yang didatangkan oleh Allah kepada kita menyebabkan kita berfikir bahawa di sebalik semua ini akan ada kesenangan atau kemudahan yang telah dijanjikan oleh Allah bagi orang-orang yang bersabar dan redha. Ujian kesusahan semakin mendekatkan diri kita kepada Allah dan sepatutnya lebih menkhusyukkan solat dan doa kita kepadaNYA. Ujian kesusahan perlu dilalui dengan hati yang tenang walaupun air mata bisa tumpah mengalir membasahi pipi akibat ujian tersebut namun percayalah jika semuanya dilalui dengan redha dan pasrah insyallah ganjaran yang besar menanti kita di akhirat kelak.

Ya Allah sesungguhnya aku redha dengan ujian-ujianMu….. Tunjukkilah aku jalan keluar dan permudahkanlah urusanku Ya Allah.. Sesungguhnya aku berserah seluruh jiwa dan ragaku kepada Mu.Amin.

Memang ujian itu sesekali melemaskan diri. Namun tiada siapa yang dapat menolak ketetapan dan ketentuan Allah kepada hambanya. Ujian tanda kasih dan sayang Allah kepada kita. Tiada jalan keluar melainkan dengan memohon pertolonganNya. Itu sahaja pilihan yang ada setelah kiri dan kanan kita terhimpit depan dan belakang kita terhalang. Pengaduan kepada Allah mengatasi pengaduan kepada makhluk.

Saya melihat ke luar tingkap… suasana sunyi dan sepi… jam menunjukkan pukul 10.46 malam. Anak-anak telah lama tidur dan saya masih di sini. Saya teringatkan ujian-ujian yang dihadapi pada masa lalu dan apakah yang telah saya lakukan semasa berhadapan dengan ujian-ujian lepas telah ditangani dengan cara yang betul??

Igauan saya kepada ujian-ujian yang diterima pada masa lalu sesekali menyentak diri dan membawa diri ke dimensi yang baru.  Dimensi memperbaharui diri. Semoga Allah memberikan kekuatan. Mudah-mudahan.

ABU WAFI,Putrajaya

Advertisements

Takwa itu benteng kehidupan

Published June 26, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

P6234530

Kita bercakap mengenai kebejatan sosial dan masalah jenayah yang menghimpit masyarakat hari ini. Kita melihat dan membaca kes-kes di dada-dada akhbar yang tidak sanggup untuk dibincangkan dengan panjang lebar. Kita menyesali kenapa di zaman mutaakhir ini, isu keruntuhan moral,masalah remaja, keruntuhan rumahtangga, jenayah rogol,haruan makan anak [incest],pembunuhan dan penipuan makin menjadi-jadi. Di mana pula kekuatan dan ketahanan diri umat Islam hari ini dalam menahan diri daripada terjebak dalam perkara-perkara tersebut. Lebih menyayat hati bila semua masalah di atas majoritinya melibatkan umat Islam yang mengucap 2 kalimah shahadah.

Saya memikirkan dengan penuh serious pokok pangkal kepada persoalan tadi. Saya cuba mencari jawapan walaupun jawapan sebenarnya telah ada. Saya cuba mencari jalan penyelesaian walaupun telah banyak cadangan telah diberikan oleh pengkaji sosial,ahli politik dan alim ulama. Penyelesaian yang ringkas tetapi tuntas bagi seorang anggota masyarakat yang tidak mengkaji dengan mendalamnya.

BENTENG….. ya ini jawapannya.

Analogi mudah cubalah kita lihat kehidupan seharian kita. Kita mempunyai rumah dan kita mahu supaya rumah kita berpagar bagi mengelakkan kejadian pecah masuk rumah dan rompakan. Malah ada yang sanggup membelanjakan puluhan ribuan ringgit untuk meletakkan grill yang bermutu tinggi serta sistem keselamatan yang canggih.Pagar dan tembok akan menjadi benteng kawalan bagi melindungi harta benda kita termasuk nyawa penghuninya daripada dicerobohi. Cuba bayangkan, antara rumah yang tidak berpagar dengan yang berpagar, mana yang lebih selamat??

Sudah tentu rumah yang berpagar. Apatah lagi jika pagarnya tinggi dan mempunyai ‘pondok guard’ untuk menjaga keselamatan penghuni seperti yang kita lihat di kawasan perumahan mewah di Kuala Lumpur. Makin kuat pagarnya dan makin ketat kawalan keselamatannya maka makin susah dan sukar untuk penjenayah menceroboh. Mungkin mereka yang berniat jahat akan berfikir 2 atau 10 kali sebelum meneruskan niat jahat mereka.

Inilah benteng yang saya maksudkan..

Namun sebahagian besar kita gagal untuk menterjemahkan kisah pagar rumah kepada pagar kehidupan yang penuh ujian dan dugaan. Sebahagian besar anggota masyarakat hari ini gagal untuk memahami bagaimana untuk meletakkan benteng yang kuat dan kukuh kepada diri. Mereka tidak suka untuk merujuk kepada penyelesaian yang diberikan oleh Al-Quran dan Sunnah sebaliknya mereka lebih ghairah untuk mencuba teori-teori baru ciptaan Barat bagi membentengi kehidupan. Ternyata penyelesaian ciptaan manusia bersifat sementara kerana ilmu manusia terbatas berbanding ilmu Allah yang maha luas.

Diri kita memerlukan benteng sebagaimana rumah memerlukan pagar. Benteng diri adalah ketakwaan kepada Allah yang mesti sebati di dalam diri. Adanya benteng ini akan menghindarkan diri kita daripada gejala-gejala sosial dan perkara-perkara mungkar. Tanpa benteng maka diri hilang kawalan. Bila tiada kawalan maka diri kita akan mudah dirasuk,dicucuk dan dipengaruhi oleh syaitan di luar sana yang selama ini menunggu bagaikan serigala lapar ingin menerkam kambing yang dikawal rapi di dalam pagar berduri.

Umat silam bila teringat dosa mereka menangis. Bila timbul keinginan untuk membuat dosa maka cepat-cepat memutuskannya. Malah ada yang mengambil bara api dan diletakkan di atas tangan ketika timbul keinginan untuk melakukan dosa. Bara yang panas melecurkan tapak tangan. Kesakitan di tangan lantas mengingatkan bahawa api neraka lebih panas dari api dunia lalu mematikan terus keinginan jahat tersebut. Subhanallah !!!

Kita perlukan takwa untuk menjadi benteng kehidupan kita. Di luar benteng kehidupan kita boleh lihat bagaimana manusia tanpa kawalan berubah menjadi rakus dan buas menyerang,membaham habuan dunia dengan sewenang-wenangnya tanpa mengira halal dan haram. Mereka akan mudah dihinggapi dengan penyakit-penyakit hati seperti dendam kesumat, dengki,busuk hati,pemarah dan bermacam sifat mazmumah menguasai diri.

Marilah kita melihat kembali ke dalam diri. Apakah telah cukup benteng kehidupan diri yang telah dibina?

P6204469

Takwa hanya boleh dibentuk melalui perasaan yang takut kepada Allah. Takwa hanya boleh dicapai apabila kita benar-benar memahami tujuan kita diciptakan di muka bumi ini. Bila kita faham, maka kita akan semakin mendekati jalan-jalan menuju kebaikan seperti membaca Al-Quran, berzikir, memuhasabah diri dan lain-lain jalan menuju kebaikan. Bila semua amalan ini dilakukan dengan istiqamah,ikhlas,berterusan dan bersungguh-sungguh maka hati akan menjadi baik.Bila hati baik maka takutlah kita untuk melakukan dosa. Dengan itu, benteng diri telah pun terbina dengan kukuhnya.

ABU WAFI, Putrajaya

Bermanfaatkah diri ini

Published June 19, 2009 by Menikmati Takdir Langit

P3083564

2 malam lepas semasa dalam perjalanan ke hotel Palace of Golden Horses   saya mendengar radio. Memang itu rutin hidup saya. Dalam kereta mesti buka radio. Kalau tidak saya bosan. Kalau tiada rancangan menarik saya buka CD mendengar lagu-lagu Sami Yusuf. Radio IKIM 91.5 FM memang telah saya menjadi pilihan utama.

Petang itu, saya ada majlis makan malam di hotel berkenaan. Dari KL saya tidak terus pulang ke rumah sebaliknya terus ke hotel menunggu majlis bermula seusai maghrib.

Sambil mendengar, sambil berfikir dengan tajam dan sambil memerhati kenderaan di sekeliling. Saya teringat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Daruqutni seorang ulama terkenal.

“Sebaik-baik manusia, ialah orang yang bermanfaat kepada manusia lain”.

Saya juga teringat satu hadith lain :

” Sebaik-baik lelaki ialah lelaki yang berbuat baik kepada isteri dan anak-anaknya (keluarganya)”.

Lantas ini dijadikan moto saya. Berusaha untuk menjadi insan yang bermanfaat dan berfaedah kepada orang di sekeliling. Supaya kehadiran diri dirasai, dan ketiadaan diri dirasakan satu kehilangan kepada orang di sekeliling.

Saya tidak mahu menyusahkan orang lain dan saya tidak mahu kehadiran saya di dunia ini menjadi sampah kepada orang lain. Jadi saya mesti berusaha untuk memberi manfaat kepada orang lain walaupun dengan kadar yang sedikit.

Saya mula berfikir dan bertafakur sambil memandu kereta di lebuhraya Sg. Besi yang sesak ketika itu. Mampukah saya !!!!!!!!!!

Saya ingin bahagia. Saya ingin hidup tenang walaupun dikelilingi dengan seribu satu permasalahan yang memenuhi “storage” otak saya.

Suatu hari saya berada di restoran. Saya bersendirian ketika waktu ‘lunch’. Saya memesan segelas “fresh orange”. Malangnya fresh orange yang saya pesan tidak sejuk untuk menghilangkan dahaga ketika itu. Saya melihat ke dalam gelas. Hanya ada 3 ketul kiub ais sedangkan gelasnya agak besar dan 3 ketul kiub ais ini tidak mampu untuk menyejukkan keseluruhan air.

Lantas saya merenung ke dalam diri. Mungkinkah saya adalah salah satu daripada 3 ketul ais ini jika dinisbahkan dengan kehidupan saya di dunia sekarang?

Kehadiran saya tidak dapat membantu menyejukkan keseluruhan air di dalam gelas. Kehadiran saya di dunia ini tidak mampu memberi manfaat kepada orang lain di sekeliling.

Justeru, saya mahu menjadi ketulan-ketulan ais yang boleh menyejukkan keseluruhan air di dalam gelas. Saya mahu menjadi bermanfaat kepada orang lain. Kalau saya jadi ketulan ais, saya mahu menyejukkan air di dalam gelas. Saya mahu manusia yang menikmati air tadi akan merasa puas dan hilang dahaga bila meminum air.  Itulah manfaat saya.

Saya mula memikirkan perjalanan hidup saya selama 36 tahun yang lepas. Segala peristiwa-peristiwa penting mula terbayang-bayang di ruang mata. Segala pengalaman pahit dan manis tersingkap kembali. Mengingati apakah selama ini saya benar-benar telah memberi manfaat kepada orang lain.

Saya bukan Presiden atau Perdana Menteri sebuah negara. Saya bukan CEO sebuah syarikat besar. Kalau saya menjadi orang-orang yang berpengaruh dan berkuasa seperti di atas sudah tentu saya boleh memberi manfaat kepada orang di sekeliling saya melalui kuasa yang ada pada saya.

Saya juga bukan seorang ulama besar seperti Almarhum Fathi Yakan yang mampu mengubah pemikiran masyarakat melalui bukunya “Apa Ertinya saya Menganut Islam”.

Saya hanyalah insan biasa. Saya tidak mampu berbuat demikian. Kehadiran saya hanya dirasai oleh orang-orang yang paling hampir dengan saya iaitu di rumah dan di pejabat. Justeru, bagaimanakah saya dapat memberi manfaat kepada mereka semua ???

Saya ingin menjadi bahagia. Namun apakah kebahagiaan itu diukur dengan kebendaan dan wang ringgit. Saya ingin jadi bahagia dengan berusaha untuk membahagiakan orang lain.

Membahagiakan anak dan isteri melalui kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, membahagiakan “bos” di pejabat dengan patuh dan taat pada arahan yang diberi, membahagiakan sahabat dan taulan dengan sentiasa mengeratkan tali persaudaraan sesama insan, membahagiakan orang-orang bawahan saya dengan senyuman dan sikap yang diplomasi. Bahagia orang lain, bahagialah diri ini. Jika saya dapat membahagiakan orang lain bermakna saya telah menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain.

Saya mula terfikir. Mungkin ini salah satu daripada jawapan kepada persoalan tadi. Selain daripada membahagiakan kehidupan orang lain, apa lagi yang mampu saya lakukan. Biar sekecil-kecil perkara, biar sepuluh sen yang didermakan kepada tabung masjid  atau orang miskin, namun tindakan sedemikian sedikit sebanyak memberi KELEGAAN kepada orang lain. Menghilangkan dan meringankan kesusahan orang lain bererti saya telah bermanfaat kepada mereka dan bermakna saya telah membahagiakan hidup mereka setidak-tidaknya. Oh… alangkah bahagianya hati ini.

Muhasabah diri. Evaluate yourself ….To what extent you have benefitted to others… and to what extent you have benefitted to ISLAM?????

Allah, please guide me to the right path …..

ABU WAFI, Putrajaya.

Hamba itu berhajat

Published June 11, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Bulan ini saya belum menulis satu entry pun kecuali saya baru selesai menyiapkan catatan saya di ruangan pages mengenai kembara iman saya yang lepas.

Kebelakangan ini cuaca di Malaysia dan di Lembah Klang khususnya agak panas terutama di sebelah malam. Berpeluh-peluh kita dibuatnya. Berita melaporkan cuaca panas dan kering ini akan berlanjutan ekoran fenomena El-Nino yang melanda dunia. Adalah dijangkakan bahawa keadaan ini akan berterusan untuk 3 bulan yang akan datang. Pagi ini saya menatap akhbar. Berita yang menarik perhatian saya ialah Lembah Klang dijangka mengalami masalah air berikutan empangan-empangan di sekitar Lembah Klang mengalami penurunan yang mendadak.Jika keadaan ini berlanjutan, maka seluruh warga Lembah Klang akan keputusan bekalan air dan sistem ‘rationing’ terpaksa dilakukan.

 

P3151860

Saya tidak berhasrat untuk mengulas mengenai cara-cara mengatasi krisis ini. Saya juga tidak pandai untuk memberi nasihat kepada seluruh penduduk Lembah Klang supaya menjimatkan penggunaan air. Saya juga tidak tahu memberi cadangan konkrit untuk mengenalpasti punca krisis ini. 

Saya cuma ingin mengulas dari sudut kelemahan dan kedhaifan kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Sebagai hamba kita sebenarnya lemah dari semua segi. Sebagai hamba kita memerlukan pertolongan daripada Allah. Kita perlukan bimbingan ke jalan yang benar. Kita mempunyai hajat yang banyak bagi meneruskan kelangsungan hidup di dunia ini.

Walaupun sejarah mencatatkan bahawa Firaun pernah mengaku sebagai Tuhan, namun Firaun juga berhajat kepada semua perkara yang kita hajatkan pada hari ini. Firaun berhajat kepada isteri. Firaun juga berhajat kepada zuriat malah Firaun juga berhajat kepada makan dan minum.

Sedangkan Allah, Tuhan yang menguasai langit, bumi dan semesta alam TIDAK BERHAJAT kepada segala apa yang ada. Bahkan Allahlah yang mencipta dan mengurniakan hajat-hajat ini kepada semua manusia dan kehidupan di muka bumi ini.

Kita memerlukan air untuk hidup. Pakar kesihatan menasihatkan supaya kita minum sekurang-kurangnya 8 gelas air dalam sehari. Inilah hajat kita. Hajat seorang hamba kepada Tuhannya. Kalau kita hebat, kalau kita rasa besar diri maka sudah tentu kita tidak memerlukan air. Tidak mungkin ada manusia yang boleh ‘claim’ bahawa dia boleh hidup tanpa air. Tanyalah kepada semua manusia hatta kepada yang paling berkuasa seperti Presiden Obama sekalipun memerlukan air untuk hidup. Justeru, di sinilah kelemahan, kekerdilan dan serba kurangnya kita sebagai hamba. Maka insaflah.

Hajat perlu disalurkan melalui saluran yang betul. Hajat jika disalurkan melalui cara yang salah akan mengundang kemurkaan Allah. Bahkan Allah akan meninggalkan kita jika hajat itu dipohon kepada sesuatu selain dari Allah. Maka bagi yang berhajat mohonlah pertolongan dengan harap dan sabar kepada Allah satu-satunya tempat memohon bantuan selain ikhtiar dan usaha yang berterusan.

Menghadapi krisis air dan cuaca panas yang mencengkam ini sebenarnya merupakan peringatan daripada Allah kepada kita sentiasa insaf dan sedar akan kelemahan dan keterbatasan kuasa yang ada pada seorang hamba. Kita mungkin mempunyai semua agensi dan jabatan bagi mengatasi sesuatu masalah di persekitaran hidup kita. Namun sebanyak mana agensi dan jabatan yang ada pun tidak akan mampu untuk melawan kehendak dan takdir yang turun dari langit. Mereka ada hadnya. Mereka ada batasannya. Ada perkara yang berlaku di luar kawalan mereka. Mereka tidak boleh mengatasinya.

Bila berlaku krisis seperti ini seharusnya kita sama-sama menilai semula diri ini bahawa kebergantungan kita kepada Allah adalah sesuatu yang PERLU dan MANDATORI. Tidak dapat tidak. Rasa harap dan kebergantungan inilah yang menyebabkan kita akan semakin dekat dan mengenali Allah.

Maka bertepatanlah dengan ayat  “Waiiyya kanasta’in” [ hanya kepadaMu kami meminta pertolongan]. (Al-fatihah: 5)

Selain air dan perkara-perkara asas lain bagi meneruskan kehidupan, kita juga mempunyai hajat-hajat lain yang tidak tersenaraikan. Murah rezeki, ketenangan hidup dan bermacam-macam hajat mengikut kehendak dan keperluan masing-masing.

Sesungguhnya kita semua adalah hamba-hamba yang berhajat !!!!!

ABU WAFI, Putrajaya.