Pautan Siasah

All posts in the Pautan Siasah category

Politik damai

Published February 28, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Politik di Malaysia semakin bercelaru.Itulah gambaran yang dapat diberikan.Belum pernah kecelaruan politik yang sebegini rupa berlaku di Malaysia. Saya enggan mengulas apa-apa. Sebagai rakyat marhain yang prihatin, saya amat terganggu dengan situasi yang berlaku sekarang. Mungkin boleh dikatakan telah sampai ke peringkat “kronik” yang memerlukan penyelesaian segera supaya rakyat di bawah akan mengalami kelegaan hidup.

Semalam, semasa membaca akhbar “The Star”  saya terkejut bila melihat satu iklan yang dibeli oleh seorang rakyat Malaysia berharga RM36,000. Berita lanjut adalah seperti di bawah.

KUALA LUMPUR: A businessman has taken a full-page advertisement in a major daily newspaper asking warring political parties to call a truce and focus on the shaky economy and jobs.

Consultant

 

Anas Zubedy shelled out more than RM36,000 for his advertisement yesterday in The Star, the country’s biggest-selling English-language newspaper.In the ad, he spoke of the challenges faced by his 20 staff, their fears for the future — and how the country’s leaders seem oblivious to the anxiety that he feels is gripping the nation.

“Whether (the governing) Barisan Nasional or (opposition) Pakatan Rakyat (PR) leads is meaningless . . . if Malaysians have no job to go to, no money to pay rent and no means to put food on the table,” he wrote.

“Pakatan Rakyat, please stop your attempts to take over the federal government and just let go. The nation can wait until the next general election if they want change.

“Barisan Nasional, please stop any attempts to take over PR states and win over PR lawmakers. You have proved your point with Perak. The nation can wait for the next general election if they want your party.”

Anas called on politicians from all sides to “get together and compromise”, telling them: “Someone has to give in. Take the nation to heart. That’s why you are in politics in the first place. Focus on the people. Focus on the economy.”

Mungkinkah kalangan rakyat semakin muak dengan krisis yang berlaku sekarang?

 Mungkinkah Anas hanya mewakili suara kecil rakyat Malaysia yang mahukan satu penyelesaian yang secara tuntas dengan menamatkan krisis politik yang berpanjangan?

 Apa pun, ini merupakan suara hati beliau yang perlu dihormati. Namun, saya pasti masih ramai di luar sana yang berminat untuk terus mengekori krisis politik ini hari demi hari. Jika tidak, masakan ceramah-ceramah politik masih menjadi tarikan beribu-ribu orang untuk mengikutinya. Tak pernah surut-surut. Tak pernah kunjung padam. 

Politik semakin menarik, dan saya semakin tidak sabar untuk menunggu di manakah kesudahannya selepas ini. Mungkinkah ahli-ahli politik akan mengikuti saranan Anas ini?

Politik damai, kerajaan perpaduan????? 

ABU WAFI, Kuala Lumpur

 

 

 

Advertisements

Saya pening kepala

Published February 23, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Aku pening kepala la, rimas! rimas!

“Kenapa pula?” tanya saya.

Rimas memikirkan senario politik yang tak sudah sudah.Lepas satu, satu.ehh kau tak rimas ke?

“Oh sebab tu rupanya”. Biasalah politik Malaysia.

“Ye lah, politik, politik juga. Pilihanraya dah setahun berlalu, tapi nampaknya politik Malaysia masih panas, berasap dengan isu-isu moral dan lompat parti. Lebih merimaskan lagi bila menonton berita pukul 8 malam setiap hari. Isu yang mengaibkan dikupas dengan mendalam dari pelbagai segi.”  hujah kawan saya.

“Kalau dah rimas sangat, jangan beli surat khabar,jangan tengok berita, kalau nak tonton pun buka lepas jam 8.30 tengok sukan.Kalau rasa tak jalan juga buka blog-blog politik yang bertebaran di alam maya. Ada blog yang pro pembangkang dan tidak kurang yang pro kerajaan. Dari situ, kau buatla kesimpulan sendiri, pilihan sendiri, kalau kau rasa “mainstream media” tidak melaporkan yang betul.” jawab saya.

Begitulah antara senario yang dapat saya ceritakan. Satu kisah seorang rakyat Malaysia yang mengambil berat mengenai politik di negaranya sendiri. Kemelut politik yang tidak sudah-sudah malah semakin membelit dan terbelit telah menghunjam ke dalam pemikiran rakyat Malaysia. Saya akui, diri saya sendiri sedikit terganggu dengan kemelut yang tidak sudah sudah ini.

KENAPA JADI BEGINI?

Ingin sahaja saya melontarkan persoalan ini secara terbuka kepada parti yang memerintah dan parti yang membangkang. Mengapakah, kita tidak boleh mencapai kematangan politik seperti yang berlaku di USA. Sen. Hillary Clinton yang merupakan saingan utama kepada Obama akhirnya menjadi rakan seperjuangan dalam kabinet baru Obama. Setelah berbulan bulan berkempen, berbulan berdebat dengan Obama akhirnya beliau memberikan sokongan kepada Obama untuk menjadi calon mewakili parti Demokrat. Setelah Obama menjadi Presiden, Hillary dilantik sebagai  Setiausaha Negara USA, satu jawatan yang cukup berkuasa di dunia. Ini mungkin, kerana Hillary memahami bahawa beliau tidak mungkin lagi berpeluang untuk menjadi calon Demokrat selepas 8 tahun Obama mengakhiri tempohnya sebagai Presiden, justeru adalah lebih baik beliau menerima tawaran tersebut.  Namun, teori saya ini tidak penting, yang penting adalah kematangan politik yang ditunjukkan oleh kedua-dua tokoh ini. Lawan menjadi kawan. 

26565055

Kematangan politik Obama

Fikirkan… bilakah percaturan politik seperti ini akan berlaku di negara kita.

Parti yang tewas menerima dengan hati yang terbuka, kerana akhirnya rakyatlah yang berkuasa untuk menentukan masa depan negara. Parti yang menang pula meminta pandangan kepada parti yang kalah, malah di sesetengah negara mengajak mereka untuk memberikan pandangan bagi memajukan negara.Parti yang tewas akan menjadi pembangkang yang kostruktif kepada kerajaan baru. Menjadi pembangkang tidak bermakna tidak boleh memberi sumbangan kepada rakyat dan negara. Menjadi pembangkang akan menentukan proses “check and balance” berjalan dengan lancar. Kepentingan dan kebajikan rakyat mengatasi segala-galanya.

Lihat pula perkembangan politik di negara haram Israel. Persaingan antara Parti Kadima, pimpinan Tzipi Livni [bekas Menteri Luar Israel] dengan Parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu [bekas Perdana Menteri Israel]. Keputusan pilihanraya negara itu pada awal Februari lalu menunjukkan Benjamin Netanyahu telah memenangi pilihanraya tersebut dan dijangka akan membentuk kerajaan baru menggantikan Kerajaan Parti Kadima pimpinan Ehud Olmert. Laporan di dalam Al-Jazeera mengesahkan bahawa Benjamin Netanyahu telah menjemput Tzipi Livni untuk menyertai Kerajaan baru beliau yang dinamakan sebagai Kerajaan Perpaduan. Sungguh mengkagumkan, walaupun menang majoriti namun Benjamin masih mampu menghulurkan tangan menjemput Tzipi Livni yang memimpin Parti Kadima supaya menyertai kerajaan beliau. Sebaliknya, Tzipi Livni, menolak dengan baik tawaran tersebut dan memilih untuk menjadi Ketua Pembangkang di Knesset [parlimen Israel].Isu yang ingin ditonjolkan ialah kematangan berpolitik pemimpin Israel ini wajar dicontohi oleh kita sebagai umat Islam. Golongan kuffar ini sanggup bersatu hati walaupun berbeza ideologi kerana mereka tahu bahawa siapa pun yang menang di Israel akan berdepan dengan musuh yang satu iaitu umat Islam Palestin dan umat Islam di sekitar negara Israel. Mereka bersatu dalam isu-isu yang menjejaskan kepentingan dan mengancam keselamatan Yahudi [pada pandangan mereka] sehingga melupakan perbezaan ideologi parti sendiri.  Orang-orang Yahudi dan Nasrani bersatu untuk menentang Islam, sedangkan umat Islam di seluruh dunia masih berpecah belah dalam hal menentang kekejaman Yahudi.

Benjamin Netanyahu

Benjamin Netanyahu

Tzipi Livni

Tzipi Livni

Maafkan saya, kerana mengambil contoh dari pemimpin negara haram Israel. Tetapi inilah hakikatnya, orang-orang Yahudi tahu perpecahan sesama mereka akan menjahanamkan Yahudi dan justeru itu mereka bersatu untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam.

KRISIS PERLEMBAGAAN

Semasa menuntut di universiti, subjek “Constitutional Law” merupakan antara subjek yang paling saya minati. Walaupun sesetengah rakan saya menyatakan subjek ini “dry” dan tidak berminat tetapi saya tetap menyatakan bahawa subjek ini cukup menarik kerana berkaitan dengan politik. Mempelajari subjek ini, bermakna banyak kes-kes “precedent” dari India yang akan dirujuk bila menyentuh topik berkaitan krisis perlembagaan. Contoh menarik ialah pertikaian antara Perdana Menteri India Indra Gandhi dengan pihak Mahkamah sehingga memaksa Indra Gandhi menggunakan kuasa PM yang beliau ada dengan mengisytiharkan darurat bagi menghalang Mahkamah daripada menyingkirkan beliau. Begitu juga, dengan senarai kes-kes perlembagaan, krisis politik yang melibatkan tafsiran perlembagaan sebenarnya banyak mengambil contoh dari India. Mungkin, pada masa itu negara kita tidak mempunyai pengalaman krisis perlembagaan maka tiada contoh tempatan yang boleh dijadikan ‘precedent. Krisis yang kita alami kali ini sebenarnya lebih kompleks kerana melibatkan Menteri Besar,Institusi istana dan Speaker Dewan Undangan Negeri yang masing-masing mempunyai bidangkuasa tersendiri. Setakat ini, jalan penyelesaiannya masih buntu.

MEDIA MESTI MEMBANTU

Peranan media arus perdana atau “mainstream media” samada media cetak mahupun media elektronik tidak dapat dinafikan kepentingannya. Media merupakan wadah yang digunakan untuk menyebarluaskan maklumat yang tepat, betul dan tidak mengelirukan masyarakat. Media juga berperanan sebagai alat untuk anggota masyarakat menyuarakan kritikan,komen,cadangan dan segala macam ketidakpuasanhati kepada pihak yang berwajib. Bila berlakunya krisis politik yang memerlukan tafsiran dan pandangan dari bijak pandai, maka media seharusnya berperanan untuk menerangkan konflik yang berlaku kepada rakyat dan memberikan alternatif penyelesaian yang betul, tepat dan adil. Dengan ini media akan dihormati.  Saya akui krisis perlembagaan merupakan perkara baru di negara kita. Rata-rata rakyat yang ditemui tidak faham apa sebenarnya yang berlaku. Tafsiran perundangan yang berbeza-beza oleh pengamal-pengamal undang-undang juga menyulitkan keadaan. Justeru, isu yang sukar ini perlu diterjemahkan oleh media dalam bahasa “layman” yang boleh difahami oleh orang awam. Jika tidak hanya pengamal undang-undang sahaja yang akan memahami isu ini.

Check mate- politik makin berbelit

Check mate- politik makin berbelit

KRISIS DI PERAK MAKIN PARAH

Setakat berita yang saya baca dan tekuni, tidak terdapat tanda-tanda bahawa krisis perlembagaan di Perak akan menemui titik noktahnya. Walaupun BN secara rasminya telah mengambilalih kuasa eksekutif di negeri tersebut namun kuasa badan perundangan tertinggi atau “legislatif” masih dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Tindakan untuk melucutkan Speaker adalah masalah dan isu yang paling besar dihadapi oleh kerajaan baru ini, dan adalah sesuatu yang janggal bila badan eksekutif dan badan perundangan diterajui oleh 2 pihak yang bertentangan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah. Saya nampak kesukaran akan timbul bila kerajaan baru ingin melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang memerlukan persetujuan dan kelulusan badan perundangan. Di sinilah “dead end” berlaku. Bersimpul dan tersimpul, berbelit dan terbelit kedua-dua belah pihak dan rakyat tersepit di tengah-tengah.

KONSEP PENGASINGAN KUASA

Konsep “separation of powers” atau pengasingan kuasa antara Eksekutif,[badan perundangan] atau Legislatif dan Kehakiman menjadi tunjang kepada pemerintahan yang adil dan saksama dalam sesebuah negara demokrasi. Sekiranya ketiga-tiga badan ini bergerak seiring dan sejalan tanpa mencampuri urusan satu sama lain maka pentadbiran sesebuah negara akan stabil. Contohnya, badan eksekutif tidak boleh campurtangan atau mempengaruhi kuasa legislatif manakala eksekutif juga tidak boleh campur tangan dalam urusan kehakiman. Sekiranya, badan eksekutif atau legislatif bertindak melebihi kuasa yang ditetapkan oleh Perlembagaan, maka badan kehakiman boleh menyemak tindakan kedua-dua badan ini. Peranan ketiga-tiga badan ini amat penting dalam menentukan “check and balance” menerusi konsep pengasingan kuasa ini.

MENGAMBIL PENGALAMAN VENEZUELA

Rakyat Venezuela mengundi untuk menentukan kedudukan "term limits" Presiden Hugo Chavez.

Rakyat Venezuela mengundi untuk menentukan "term limits" Presiden Hugo Chavez.

Selain Israel yang baru selesai mengadakan pilihanraya, Venezuela tidak kurang hebatnya. Rakyatnya keluar mengundi melalui satu proses yang dinamakan sebagai “referendum”. Bezanya rakyat Venezuela tidak memilih pemimpin atau wakil rakyat sebaliknya memilih untuk menentukan sama ada mereka bersetuju untuk memanjangkan tempoh hayat perkhidmatan Presiden. 
Perlembagaan Venezuela menetapkan bahawa seorang Presiden hanya boleh memerintah selama 2 penggal sahaja. Selepas itu, beliau perlu meletakkan jawatan dan tidak boleh bertanding semula. Jadi, untuk membolehkan Hugo Chavez bertanding semula sehingga 2013 maka beliau perlulah mendapatkan mandat atau persetujuan dari rakyat melalui referendum.
Hasil referendum menunjukkan beliau memperolehi peratusan undian sebanyak 54.4% dan ini bermakna majoriti rakyat bersetuju supaya beliau bertanding semula. Suatu amalan yang menarik dan mengikut lunas-lunas demokrasi dan undang-undang. Bila berlakunya krisis politik seperti ini, maka rakyat diberikan peluang untuk menyatakan hak mereka melalui referndum. Suatu amalan yang jarang-jarang berlaku di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi.
Saya teringat beberapa tahun yang lepas Kanada juga berhadapan dengan isu yang sama. Sebuah negeri dalam wilayah Kanada iaitu Quebec yang mempunyai majoriti penduduknya berbahasa Perancis telah membuat satu referendum.Referendum untuk menentukan sama ada mereka setuju wilayah Quebec keluar dari Kanada dan merdeka atau kekal di dalam Kanada. Referendum atau pungutan suara yang dijalankan menunjukkan bahawa majoriti rakyatnya memilih untuk berada di dalam Kanada. Suatu senario yang cukup menarik.
KESIMPULAN
Politik yang kalut. Namun kekalutan ini sebenarnya menuntut kebijaksanaan di pihak yang bertelagah. Apa pun, semuanya perlu diselesaikan menerusi saluran yang sah mengikut lunas-lunas undang-undang. Hormat menghormati pandangan yang berbeza merupakan amalan politik yang sihat. Sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan perdamaian marilah sama-sama kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah dalam menangani konflik ini. Firman Allah:
” Berpeganglah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah”
Mudah-mudahan kekalutan politik ini akan segera berakhir.
ABU WAFI, Kuala Lumpur.

Berakhirkah kemelut politik yang mendebarkan ini

Published February 17, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Seminggu dua ini kita dikejutkan dengan perkembangan kemelut politik di negeri Perak. Saya sengaja tidak mahu menulis apa-apa tentang isu ini di awal krisis, sebaliknya saya lebih suka memilih mendiamkan diri dengan memerhati dan menekuni analisis-analisis yang ditulis di dalam media massa dan blog-blog. Saya merasa terkejut dengan apa yang berlaku. Kerajaan negeri yang dibentuk selepas PRU-13 yang lalu akhirnya tumbang begitu sahaja setelah 3  orang ADUNnya menyatakan sokongan secara terbuka kepada parti lawan.

Situasi yang mendebarkan ini saya ikuti dengan penuh minat. Beberapa bulan selepas PRU-12  heboh mengenai isu “cross over” ke pakatan pembangkang menjelang 16 Sept 2008, namun perkara itu senyap begitu sahaja dibawa angin lalu. Tiba-tiba, muncul krisis politik di Perak. PR yang dipimpin PAS di Perak memohon supaya Sultan membubarkan Dewan Undangan Negeri dan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baru. Manakala, BN memohon supaya DUN tidak dibubarkan sebaliknya sebuah kerajaan baru ditubuhkan atas sokongan majoriti.

Selepas itu, episod demi episod berlarutan di media-media massa samada yang pro-kerajaan atau pro pembangkang. Tuduh menuduh berlaku, demonstrasi di sana sini, isu “derhaka” ditimbulkan,cabar mencabar berlaku, saman menyaman, Sultan diheret ke Mahkamah, kerajaan negeri bari dicabar kesahihannya dan macam-macam lagi.

Saya tidak mahu komen panjang. Pada saya isu ini akan berlarutan sehingga PRU-13. Tidak ada titik noktahnya. Biarlah kedua-dua pihak menyelesaikan, biar pihak blogger dan media massa berperang di alam maya, biarkan. Saya sebagai rakyat jelata hanya mampu melihat dan menganalisis dari jauh. Namun, jauh di sudut hati saya sudah mempunyaikesimpulan  sendiri atas apa yang berlaku. Biarlah rahsia !!!

ISU LOMPAT PARTI

Bermaruahkah perbuatan lompat parti ini? Berkatkah kerajaan yang ditubuhkan hasil daripada perbuatan melompat parti ini? Sebagai pengundi yang berdaftar, katakan saya mengundi calon A dari Parti Cap Payung sebab saya adalah penyokong setia parti tersebut. Calon Parti cap Payung menang. Saya gembira kerana hak saya sebagai rakyat yang berhak memilih wakil rakyat telah ditunaikan. Saya gembira kerana undi saya “does make a different”. Undi saya mampu merobah sebuah kerajaan.Malangnya, selepas beberapa bulan wakil rakyat yang saya pilih melompat ke parti Cap Kunci atas sebab-sebab yang saya sendiri tidak tahu. Mungkin perasaan tidak puas hati beliau akibat krisis dalaman parti cap payung atau mungkin juga faktor-faktor penarik dari luar parti.

Saya ditanya oleh seorang sahabat saya yang menimbulkan persoalan ini. Adakah wajar wakil rakyat yang dipilih atas lambang parti Payung melompat ke parti lawan, tanpa merujuk kepada saya dan rakyat yang lain? Maaf, saya tiada jawapan untuk persoalan ini buat masa ini.

Hak rakyat untuk memilih

Hak rakyat untuk memilih

KOTORKAH POLITIK?

Saya lihat episod demi episod sedang berjalan dan sesetengahnya cukup mendebarkan. Politik kelihatan tercalit akibat perilaku pengamal-pengamalnya yang membuatkan kita melihat politik sebagai sesuatu yang jijik dan kotor. Hakikatnya, tidak begitu. Politik adalah bersih dan suci. Politik adalah wadah untuk mentadbir sesebuah negara. Jika tidak masakan para sahabat Nabi saw menangguhkan upacara pengkebumian jenazah Rasulullah saw dan memberi keutamaan kepada pemilihan khalifah umat Islam. Dengan politik yang bersih, kebajikan rakyat terjaga. Nasib rakyat terbela dan keselamatan rakyat juga terjamin. Islam sendiri memberi keutamaan kepada institusi politik. Ibn Taimiyyah, dalam bukunya “Al-Ahkam Al-Sultaniyyah wal al Wilayah Ad-Dinniyah” mendefinisikan politik sebagai ” Iqamatul din wa siyasatul dunya bihi” yakni menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama”. Betapa mulianya politik mengikut definisi ini. Politik adalah alat yang digunakan oleh agama  yakni Islam untuk mentadbir negara dan bukannya politik menjadi matlamat sehingga politik yang mentadbir agama. Inilah konsep yang pelu diperbetulkan. Islam adalah matlamat, dan politik hanyalah alat untuk sampai kepada maksud agama tersebut.

RUMUSAN

Saya meninggalkan persoalan-persoalan ini untuk difikirkan bersama. Saya pasti semua rakyat Malaysia di luar sana telah matang dan boleh berfikir dengan bijaksana. Maklumat yang kita perolehi pada masa kini adalah luas dan tidak terhad kepada media massa semata-mata. Justeru, masing-masing boleh membuat justifikasi yang tersendiri berasaskan pertimbangan yang saksama. Apakah episod ini akan terus berlarutan atau tidak sama-samalah kita tunggu dan lihat.

ABU WAFI, Kuala Lumpur.

Apa ada dengan Palestin

Published December 30, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Rasulullah SAW ada bersabda,

“ Barangsiapa yang berpagi-pagi tanpa mengambil kisah urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka”

Sabda Rasulullah SAW

“ Muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain, jangan kamu menzaliminya, mengkhianatinya atau menyerahkannya kepada mereka yang hendak menzaliminya”

Salam,

Sebak di dada,terharu di jiwa bila menonton berita-berita terkini mengenai serangan pengganas Israel ke atas umat Islam Palestin di Semenanjung Gaza. Sedih dan pilu melihat gambar anak-anak kecil yang tidak berdosa dipanggil menghadap illahi dalam bentuk yang tidak tergambarkan. Dentuman bom dan peluru berpandu yang tidak bermata dan mengenal usia membaham jiwa-jiwa kecil yang tidak berdosa. Semoga Allah menggantikan kehidupan dunia mereka yang hilang dengan kehidupan di akhirat yang menyenangkan.

Melihatkan anak-anak kecil yang menderita, terbayang anak-anak di rumah yang seusia. Bayangkanlah sekiranya perkara yang sama terjadi pada kita. Menjerit, meraung memnita tolong dunia, namun dunia Islam khususnya negara-negara Arab di sekelilingnya tidak dapat berbuat apa-apa. Alangkah malangnya kita.

captcpsoqh58301208024626photo00photodefault-512x483

Tahun 2008 semakin menutup tirai dengan tragedi demi tragedi.

Bermula dengan tanah runtuh di sana sini, kematian dan kini kita dikejutkan dengan serangan yang telah mengorbankan lebih 350 nyawa mengikut sumber AFP dan Al-Jazeera. Israel bertindak secara menggila hanya kerana mahu menumbangkan Hamas sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat Palestin melalui pilihanraya yang sah.

Dan setakat ini tiada lagi tanda-tanda bahawa serangan akan dihentikan.

Amerika Syarikat seperti dijangkakan menyalahkan Hamas sebagai punca utama dan hanya meminta supaya serangan tidak ditujukan kepada orang awam namun mampukah peluru mengenal semua itu??

Lebih menyedihkan bila Presiden Palestin Mahmood Abbas semalam turut bersama Amerika Syarikat menyalahkan Hamas. Di mana maruah beliau sebagai saudara Islam yang sanggup melihat saudara seagamanya ditindas hanya kerana perbezaan ideologi politik.

 

Anak-anak kecil yang tidak berdosa

Anak-anak kecil yang tidak berdosa

Belum pun serik dengan kekalahan yang memalukan Israel pada tahun 2007 bila dihalau oleh Hizzbullah di Selatan Lubnan, kini mereka cuba pula mensasarkan kemarahan dan kebencian mereka kepada Islam dan penganutnya kepada rakyat yang tidak bersenjata atau yang hanya mempunyai batu di tangan.  

Al-Jazeera semalam ada menyiarkan dokumentari setengah jam mengenai sikap ganas dan militan Israel. Disingkap kembali apa yang berlaku dalam peperangan Arab-Israel pada tahun 1967 yang menyaksikan Israel memenagi peperangan tersebut dan menawan Semenanjung Sinai milik Mesir.

Beberapa tahun selepas itu, Mesir yang dipimpin oleh Anwar Sadat membalas kembali dan menawan semula Semenanjung Sinai. Dalam peperangan beberapa hari tersebut dilaporkan beratus-ratus kereta kebal Israel dimusnahkan di padang pasir dan dilaporkan bahawa Mesir ketika itu menggunakan senjata “anti kereta kebal” yang dicipta oleh Russia. Beribu-ribu tentera Israel terbunuh dan satu monumen yang mengandungi nama-mana mereka didirikan berdekatan Jerusalem atau Baitul Maqdis.

Dan Yahudi tidak pernah mengaku kalah. Belajar dari kekalahan yang memalukan mereka bangkit semula dengan mencipta sebuah  kereta perisai moden bernama ‘Merkeva” atau “God Chariout” yang dianggap sebagai yang terbaik dalam modelnya. Kereta kebal yang selesa dengan aircond dan peti sejuk di dalamnya dikatakan tidak boleh dikalahkan oleh mana-mana senjata dan peluru berpandu.

Namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Dalam peperangan dengan Hizbullah kereta kebal yang dibanggakan dimusnahkan oleh tentera Hizbullah sebaik sahaja memasuki sempadan Lubnan. Ternyata perancangan Allah mengatasi perancangan manusia yang jahat.

Merkeva yang dibanggakan

Merkeva yang dibanggakan

Apakah sikap kita dalam menangani isu ini?

Cukupkah sekadar mengangkat sepanduk dan berdemonstrasi di jalan-jalan raya?

Memadaikah dengan hanya membakar bendera Israel sebagai tanda protes?

Cukupkah dengan menghantar memorandum yang mengandungi tandatangan bantahan kepada kedutaan US dan sekutunya?

Cukupkah jika semua Parlimen di dunia membahaskan usul mengutuk Israel tanpa ada tindakan yang tegas diambil?

captcpsoqg91291208225937photo00photodefault-512x330

Memadaikah dengan hanya mengutuk serangan ini?

Cukupkah kita dengan sekadar mencipta puisi dan sajak untuk dideklamasikan di malam-malam apresiasi seni dan budaya sedangkan realitinya mereka sangat-sangat memerlukan pertolongan kita?

Fahamkah perasaan kita?

Adakah kita benar-benar dapat menyelami perasaan rakyat Palestin,memahami masalah yang dihadapi oleh mereka setiap hari. Isu kelaparan, tidak cukup zat makanan, tiada pekerjaan,dihalang daripada mendapat pendidikan tinggi,dihalang dengan tembok di sana sini, pergerakan yang sentiasa terbatas dan kebebasan yang disekat?

Sebagai orang awam kita sebenarnya tidak mampu berbuat apa-apa.

Namun sebagai saudara seagama sebenarnya kita masih mampu berbuat sesuatu. Selain huluran wang ringgit dan harta benda kita mampu untuk BERDOA.

Sabda Nabi saw: “Doa adalah senjata bagi orang yang beriman.”

Saya rasa sudah sampai masanya kita mengamalkan doa Qunut Nazilah setiap kali selepas solat lima waktu. Doa yang diamalkan oleh nabi saw ketika menghadapi peperangan. Sahabat baik saya Hilal Asyraf di Yarmouk Jordan memasukkan dalam entry yang cukup menyentuh perasaan. Diperturunkan sedikit kata-kata beliau.

Berdoalah…

 

Agar nanti bayi-bayi yang mati terbunuh, remaja-remaja yang tidak sempat dewasa, ibu yang kehilangan anak, isteri yang kehilangan suami, pejuang-pejuang yang syahid, tidak menjadi saksi atas kecuaian kita kepada mereka.

 

Mereka saudara kita. Bukankah ALLAH telah berfirman…

 

“ Sesungguhnya setiap mu’min itu bersaudara…”

 

Rasulullah SAW juga telah bersabda,

 

“ Mu’min dengan mu’min itu ibarat satu jasad, kalau sakit satu bahagian jasad itu, yang lain juga akan terasa”

 

Mari berdoa bersama-sama

 Saya takut dan bimbang jika kita dikategorikan sebagai kaum yang cuai terhadap nasib saudara seagama di palestin.

Saya cukup bimbang jika usaha yang saya lakukan untuk mereka tidak mencukupi.

Namun saya dan anda mampu berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah agar menurunkan bantuanNYA kepada mereka.

captcpsoqg72291208220437photo00photodefault-512x342

 

Saya sama sekali tidak dapat menerima jika ada yang melabelkan perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanahiar mereka sebagai “militan”. Mereka bukan militan tetapi pejuang sejati. 

Bukan pejuang kemerdekaan tetapi pejuang agama. Justeru, kematian mereka merupakan kemuliaan di sisi Allah. Saya berdoa semoga Allah mengurniakan syahid kepada mereka.

Mideast Egypt Gaza Border

MIDEAST ISRAEL PALESTINIANS

Di sebalik kesibukan kita dengan pekerjaan dan keluarga, ambillah peluang untuk membaca sejarah Palestin dan tipu daya Yahudi. Bagaimana kewujudan Perjanjian Belfour 1914 dan usaha-usaha Yahudi untuk melobi Kesultanan Uthmaniyyah di Turki supaya menyerahkan Palestin yang disanggah oleh Pemerintah Turki ketika itu dengan jawapan “itu adalah tanah wakaf seluruh umat Islam di dunia.

Bacalah dengan mata hati sejarah penaklukan dan pembebasan Baitul Maqdis oleh Saidina Umar Al-Khattab dan peperangan-peperangan yang menyusul selepas itu.

Bacalah pula kejayaan Sultan Sallahuddin Al-Ayyubi yang sekali lagi membebaskan Palestin dan memerintah dengan adil dan saksama serta peranan baginda mendamaikan antara Islam dan Kristian.

Akan adakah insan seperti Saidina Umar dan Sallahuddin Al-Ayyubi di zaman millenium ini muncul untuk membebaskan Palestin atau apakah ini hanya satu illusi yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Sesungguhnya umat Islam perlu berubah.

Teringat saya satu hadith di dalam kitab Riyadhus Salihin karya Imam An-Nawawi:

“Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan kota Makkah melainkan jihad dan niat. [Muttafaqqun alaih]

Marilah kita sama-sama menghayati nasib rakyat Palestin melalui pembacaan sejarah mereka yang panjang. Bumi yang telah disumpahkan di dalam Al-Quran :

“Demi buah Tin dan buah buah zaitun.demi Gunung Sinai.dan demi negeri [Makkah]yang aman ini.”

[At-Tin: 1-3]

 Sesetengan ahli tafsir mentafsirkan bahawa sebenarnya Allah bukan sahaja bersumpah dengan buah tin dan zaitun sebaliknya bersumpah dengan negeri keluarnya buah tin dan zaitun. Negeri itu adalah Baitul Maqdis atau Palestin yang dimuliakan di dalam Al-Quran. Dan kini Israel dan Yahudi telah mengambil faedah daripada kesuburan tanah di bumi ini dengan mengeskport  buah tin dan buah zaitun yang disifatkan sebagai buah yang terbaik di dunia.

 Marilah kita melupakan kesibukan kita dengan urusan kehidupan kita sejenak…

Marilah kita berfikir dan mengambil berat tentang Palestin.

Marilah kita ambil peduli tentang nasib rakyat Palestin.. dengan doa yang tak terlupakan….

 

Ya ALLAH, KAUlah tuan kepada Masjidil Aqsa, KAUlah tuan kepada tanah suci Baitul Muqaddas, KAU jugalah tuan kepada nyawa-nyawa saudara kami yang sedang bermatian bertahan dan berjuang di Gaza dan seluruh Palestin. Maka dengan penuh hina, kami HAMBA, memohon kepada KAU, TUAN kepada segala-galanya untuk membantu segala benda yang menjadi milikMU. Bantulah hamba-hambaMu ya ALLAH, bantulah mereka, bantulah mereka.

Ya ALLAH, Ya Hayyu Ya Qayyum, Ya Zal Jalali Wal Ikram.

30 – 31 DISEMBER 2008 [2 MUHARRAM 1430H] jam 11.00 -12.05  tgh malam Putrajaya.