Archives

All posts for the month February, 2010

Rasul yang kucintai

Published February 27, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Khamis, 25 Februari 2010, usai pejabat saya bersama sahabat saudara Hanafe bergegas ke masjid Al-Falah USAJ-9  untuk meraikan sambutan maulidurasul yang diadakan di masjid berkenaan.

7.35  mlm : Tiba di perkarangan masjid. Tempat parking penuh namun kami dapat tempat walaupun  sedikit tersorok dengan bantuan petugas RELA yang mengawal lalulintas. Solat Maghrib.

Usai solat maghrib majlis dimulakan dengan lantunan selawat diba’ie dari uku yang dibekalkan oleh pihak masjid. Suasana di masjid bergema dengan selawat-selawat yang memuji Rasulullah saw. Majlis dipimpin oleh Syeikh Fahmi Zam Zam dengan kehadiran kumpulan nasyid dari Banjarmasin, Indonesia.

Selain itu, kumpulan nasyid berkenaan turut mengalunkan qasidah dan burdah memuji-muji baginda Rasulullah saw.

9.50 : Majlis diteruskan dengan tausiyah dari Habib Adnan Taha l-Hadad(gambar di atas) ulama keturunan Rasululah saw yang didatangkan khas dari Jeddah. Turut hadir ayahanda beliau. Begitu banyak sekali pesanan-pesanan yang disampaikan oleh beliau yang dipetik dari hadith-hadith sahih.

Antara yang tidak dapat saya lupakan dari tausiyah yang disampaikan oleh Habib Adnan adalah mengenai keperluan untuk kita menanamkan rasa kasih dan cinta (mahabbah) kepada junjungan besar Rasulullah saw. Manusia agung yang dikasihi Allah melebihi para anbiya’ yang lain. Menurut Habib Adnan lagi, Rasulullah adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah yang diturunkan di muka bumi ini untuk membawa cahaya atau dhiya atau hidayah ke seluruh alam buana. Lahirnya menyebabkan terpadamnya api Kerajaan Parsi yang telah menyala 100 tahun lamanya. Lahirnya menyebabkan terzahirnya cahaya putih di sekitar kota Makkah. Lahirnya membawa rahmat kepada seluruh umat manusia. Keluarnya kita dari kegelapan kepada nur atau cahaya yang memimpin kita menuju rahmat Allah.

Baginda juga dikurniakan kelebihan yang tidak dikurniakan kepada para anbiya’ yang lain. Ketika perbicaraan di mahsyar hendak dimulakan, baginda akan sujud di bawah arasy sehinggalah diperintahkan oleh Allah supaya bangun kerana perbicaraan akan dimulakan. Baginda boleh memberi syafaat kepada sesiapa sahaja yang baginda kehendakki bergantung kepada dekatnya seseorang itu kepada baginda semasa hayatnya. Jika semasa hayatnya dia sentiasa mengingati baginda dengan mengikuti segala sunnahnya dan berselawat ke atas baginda, insyallah baginda akan hampir dengan orang itu dan tidak mustahil baginda akan memberikan syafaatnya.

Umat baginda juga dikurniakan kelebihan berbanding umat-umat yang lain. Umat-umat lain tidak akan melalui titian sirat sehinggan umat Muhammad saw selesai melintasinya. Malahan umat Muhammad saw adalah majoriti penghuni syurga berbanding umat-umat yang lain. Begitulah istimewanya kedudukan baginda di sisi Allah. Tiada manusia lain yang setanding dengannya.

Sesekali bila Habib Adnan menyentuh mengenai perjuangan Rasulullah saw, beliau kelihatan sebak kerana tersentuh dengan pengorbanan baginda yang begitu besar untuk umat baginda. Riak wajah Habib Adnan sungguh menenangkan jiwa sesiapa yang melihatnya. Penuh tawadhuk dan rendah diri.

Saya dimaklumkan bahawa datuk beliau Habib Ahmad Masyhur bin Toha Al-Haddad (gambar di belakang Habib Adnan) adalah pendakwah terkenal yang telah berjaya mengislamkan ratusan ribu rakyat benua Afrika ; khususnya negara Tanzania dan sekitarnya mengikut sesetengah pendapat beliau berjaya mengislamkan 500 ribu umat Islam di benua Afrika. Begitu besar sekali jasa almarhum nendanya kepada umat Islam hari ini. Kehebatan dan keikhlasan beliau dalam berdakwah telah berjaya menawan hati ratusan ribu manusia untuk memeluk agama Allah ini. Sungguh… saya kagum dengan cerita ini.

Apa pun, majlis pada malam tersebut berakhir dengan penuh makna. Makna bagi sebuah kecintaan kepada Rasulullah saw. Mudah-mudahan Allah merahmati kita semua dengan kecintaan yang sentiasa berpanjangan.

Abu Wafi

Advertisements

Dan hujan pun turun

Published February 19, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Setelah bumi kegersangan sejak beberapa hari, 2 hari lepas hujan turun dengan lebatnya. Gembiranya saya melihat pokok pisang di belakang rumah dibasahi air hujan yang turun mencurah-curah. Begitu juga pokok inai yang telah layu daunnya akibat dipanahi terik cahaya matahari. Saya akui cuaca sejak kebelakangan ini cukup panas membahang. Malahan di sebelah malam juga panas sehingga badan berpeluh. Sesekali timbul rasa kurang selesa dengan cuaca panas yang sedikit sebanyak mengganggu fokus terhadap aktiviti harian dan kehidupan.

Dunia sudah mengalami apa yang dipanggil sebagai fenomena ‘global warming’ atau pemanasan global. Namun itu hanyalah dapatan saintifik pakar-pakar untuk menjelaskan situasi yang sedang berlaku di dunia sekarang ini. Cuaca sudah jadi tidak menentu dan sukar diramalkan. ‘Allignment dan balancing’ alam ini sudah lari jauh kata seorang rakan saya. Saya masih ingat ketika di zaman persekolahan sekitar tahun 1980-an dahulu, musim-musim hujan dan panas boleh diramalkan dengan begitu konsistent dan hampir tepat. Contohnya, bulan 12 musim tengkujuh dan banjir di sebelah Pantai Timur. Namun kini, tidak begitu lagi. Hujan turun  tidak mengira musim lagi. Terkadang panas berpanjangan sehingga bulan Disember menyebabkan empangan surut dan kolam air kering.

Saya membaca berita semalam dan hari ini. Cuaca panas yang ekstrim ini menyebabkan beberapa empangan utama di negeri-negeri surut dengan drastiknya. Di utara tanahair suhu panas dikatakan mencecah 36 darjah celcius dan jika fenomena ini berterusan akan menyebabkan gangguan kepada kehidupan manusia seharian.

Pagi ini saya bersarapan dengan seorang kawan lama. Beliau juga membangkitkan perkara ini. Cuaca di Malaysia khususnya sudah tidak boleh diramalkan lagi. Malahan pola banjir yang berlaku juga sudah tidak terjangka kerana boleh berlaku secara tiba-tiba dan bila-bila masa. Berbanding pada tahun-tahun 1970-an dan 80-an kejadian-kejadian seperti banjir dan kemarau panjang boleh diramalkan mengikut trend. Namun kini tidak lagi begitu. Alam seakan-akan sudah tidak mesra lagi dengan penghuninya. Mungkin ada silap di mana-mana.

Segalanya telah jauh berubah. Semua yang berlaku mesti ada sebab musababnya dan yang pasti salah satu musababnya adalah dari manusia itu sendiri.

Saya kepada kata-kata Sayyidina Ali k.w.j bahawa semua kejadian yang  yang berlaku di atas muka bumi ini seperti bencana alam adalah akibat dosa-dosa manusia. Mungkin kelihatannya seperti tiada kaitan jika dianalisa dari sudut pandangan zahir, kerana apa kaitan antara dosa, maksiat dengan alam. Terlalu ‘remote’ untuk dikaitkan. Namun pandangan dengan mata hati menzahirkan sebaliknya. Berlakunya semua fenomena dan perubahan pada alam ini adalah ekoran tingkah laku manusia itu sendiri. Mungkin disebabkan pembangunan atau aktiviti urbanisasi yang tidak terkawal sehingga merosakkan ekosistem alam. Mungkin juga disebabkan maksiat yang terlalu bermaharajalela. Mungkin juga akibat perilaku manusia yang melakukan jenayah tanpa perikemanusiaan. Mungkin kerana manusia terlalu memandang mudah dengan dosa-dosa yang dilakukan, seperti menghalau lalat yang hinggap di atas batang hidung.

Tingkah laku manusia kebelakangan ini ternyata mengecewakan. Manusia menjadi semakin jahiliah malahan lebih jahiliah dari zaman sebelum kedatangan Islam. Bayi bukan lagi dibuang malahan dibakar di tempat pambakaran sampah. Bayi tidak lagi ditanam hidup-hidup sebaliknya dijadikan santapan sang semut di tempat-tempat terbiar. Betapa manusia semakin hilang pertimbangan dan iman.

Saya tidak menghukum semua orang seperti itu tetapi kejadian kebelakangan ini teramat-amat mengguris hati saya. Kenapa ada segelintir manusia yang sanggup bertindak sekejam itu. Mungkinkah apa yang berlaku sekarang ini adalah tindakbalas Pencipta kepada kita???

Teringat saya pada petikan lirik lagu puisi  Ebiet G. Ade bertajuk ‘Berita Kepada Kawan’

Barangkali di sana ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana

Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang

Sesungguhnya Tuhan tidak pernah bosan dengan manusia cuma manusia sahaja yang tidak pernah bosan melakukan kesalahan demi kesalahan.

Justeru, marilah bermuhasabah diri. Mungkin apa yang berlaku kebelakangan ini berpunca dari tindak tanduk kita sendiri tanpa kita menyedarinya.

Abu Wafi

Pic: Ishafizan Ishak

Bercuti di hospital

Published February 12, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Saya bercuti selama 3 hari kerana menemani anak yang menjalani pembedahan membuang tonsilitis di Hospital Putrajaya. Maafkan saya kerana tidak sempat mengemaskini blog ini buat sementara waktu. Baru hari ini, saya berpeluang untuk ‘update’ perkembangan terkini. Anakanda Wafi kini sedang dalam proses pemulihan di rumah. Walaupun sakit namun ayahanda tetap bersyukur Wafi mampu melalui ujian ini dengan sabar, tabah dan kuat.

Usai pembedahan

Insyallah, berkat doa ayahanda dan ibunda serta insan sekeliling yang menyayangi, anakanda Wafi akan cepat sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa. Saya tidak nafikan bahawa walaupun ‘minor operation’ sahaja, hati kecil saya tidak dapat mengusir perasaan resah, gelisah dan bimbang. Macam-macam perkara yang bermain di fikiran saya apatah lagi setelah mendengar bermacam-macam pandangan dari orang di sekeliling saya. Isteri saya sempat mengucup wajahnya sebelum Wafi dibius dan tidak sedarkan diri. Kami menunggu di luar dengan membaca surah yassin dan berselawat sebanyak mungkin. Saya rasa pada ketika itu pergantungan kami betul-betul seratus peratus kepada Allah kerana tiada apa yang mampu saya lakukan pada ketika itu  melainkan berdoa dan terus berdoa agar semua lancar dan selamat.

Pemukiman saya selama 3 hari di hospital telah menemui banyak ibrah dan natijah yang baik untuk difikirkan bersama. Saya menemui insan-insan yang menyimpan seribu satu macam kisah duka. Alhamdulillah, mereka sudi berkongsi dengan saya. Betapa dunia yang kita fikir indah selama ini, sebenarnya tidak seindah dan secantik yang kita gambarkan. Ramai lagi insan di luar sana yang tidak bernasib baik seperti kita. Pemukiman ini adalah sesuatu yang diatur oleh Allah untuk saya belajar dan menilai kembali diri yang sentiasa leka dengan dunia yang sementara.

Di saat-saat getir ini..

terasa diri begitu kerdil dan lemah.

Tiada upaya diri melainkan bergantung kepada Allah !!!

Abu Wafi

Redha siapa yang dicari

Published February 4, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Hidup ini menjadi sempit dan semakin sempit kerana kamu menjalani hidup ini untuk meraih perhatian dan redha manusia di sekelilingmu. Apa yang kamu ingin lakukan, kamu ukur dengan redha manusia atau kebencian mereka. Ia membuatkan kamu menjalani sebuah kehidupan yang penuh dengan pendustaan. (Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari)

Saya sungguh terkesan dengan Hikmah yang dipetik dari Kitab klasik Al-Hikam tulisan ulama sufi terkenal Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari. Hikmah ini mengingatkan saya kepada sebuah hadith yang dijadikan tajuk buku karangan ulama kontemporari terkemuka Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni dalam salah sebuah bukunya bertajuk “Ihfazillah ha yahfazuka” terjemahannya “Jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu”.

Dari Ibnu Abbas RA, berkata: Pada suatu hari aku berada di belakang Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada di hadapan kamu, dan jika engkau memohon maka mohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan mudarat ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu melakukan melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah.”                                                    

Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni mengupas hadith ini dengan terperinci dan cukup mengesankan jiwa sesiapa sahaja yang menekuninya. Kupasan hadith ini sungguh mendalam, sarat dengan nasihat ulama, kisah-kisah insan soleh, kisah-kisah manusia derhaka kepada Allah, wali-wali Allah, bentuk-bentuk pertolongan Allah dan macam-macam lagi.

Sesungguhnya terdapat persamaan antara mutiara kata Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari dan hadith ini. Hikmah Syeikh Atoillah menyentuh mengenai sikap sesetengah manusia di kalangan kita yang ghairah mencari redha manusia. Mereka melakukan sesuatu pekerjaan semata-mata untuk memuaskan hati orang lain. Lebih-lebih lagi jika orang tersebut adalah manusia yang berpengaruh dan berkuasa di kalangan mereka.  Justeru, jika orang itu redha kepada mereka maka mereka akan merasa gembira dan terjamin. Sebaliknya jika orang itu membenci mereka, maka mereka akan merasa sedih dan merasa kehidupan tidak terjamin. Akhirnya mereka sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk mendapat redha manusia sekeliling sehingga melanggar batasan-batasan Allah. Jika mereka berjaya maka kejayaan mereka diukur dengan puji-pujian yang mereka terima dari masyarakat sekeliling sedangkan redha dan murka Allah mereka ketepikan.

Manakala orang yang menjalani kehidupan semata-mata untuk meraih redha Allah adalah orang yang paling beruntung sebenarnya. Mereka menjalani kehidupan dengan meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah.  Bagi mereka redha Allah mengatasi segala-galanya kerana redha manusia itu tidak sampai ke mana cukup sebatas dunia ini sahaja. Puji-pujian manusia juga tidak akan kekal lama kerana akan lenyap ditelan masa. Bagi mereka, murka Allah lebih ditakuti daripada kemarahan dan kebencian manusia. Inilah sikap orang-orang yang beruntung.

Misalnya, ditakdirkan di tempat saya ada berlaku satu pesta minum arak oleh muda-mudi bagi meraikan kedatangan Hari Valentine. Sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab kepada agama, saya mengambil langkah mencegahnya dengan memberi nasihat kepada pelaku-pelaku maksiat tersebut. Rupa-rupanya tindakan pencegahan saya tidak disenangi oleh masyarakat sekeliling. Mereka sama sekali tidak dapat menerima tindakan amar ma’ruf nahi mungkar yang saya lakukan. Bagi mereka perlakuan yang saya anggap maksiat atau dosa besar itu telah diterima sebagai satu norma-norma kehidupan masyarakat setempat. Maka jadilah saya seperti seekor kera sumbang yang tidak mempunyai kawan kerana dipulau oleh masyarakat sekeliling.

Tetapi saya mempunyai keyakinan penuh bahawa tindakan saya ini mendapat keredhaan Allah kerana saya telah pun menjaga hak-hak Allah sebagai mana yang dianjurkan oleh hadith di atas biarpun orang di sekeliling membenci, mengumpat dan mencela dengan pandangan bahawa saya kolot dan konservatif. .

Dan jika mereka semua bersepakat dan bersatu hati untuk mendatangkan kemudaratan kepada saya melalui pelbagai tindak balas, maka ketahuilah bahawa mereka semua tidak akan mampu melakukan apa-apa jika tidak diizinkan Allah.

Itulah antara contoh yang dapat saya ketengahkan untuk menggambarkan bagaimana hikmah Syeikh Atoillah dan hadith tersebut dapat kita harmonikan dalam kehidupan yang serba mencabar ini. Sesuatu yang bukan mudah untuk dilaksanakan namun mempunyai ganjaran besar di sisi Allah.

Sebuah hadith lagi yang bermaksud:

Dari Anas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda “Akan datang kepada  umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana mengenggam bara api.”      Riwayat Tirmizi 

Begitu juga sebuah hadith lain yang dipetik dari Kitab 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman yang disusun oleh Syeikh Abu Ali al-Banjari an-Nadwi:

Daripada Abu Hurairah ra berkata Rasulullah saw bersabda : ” Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing”.

Huraian daripada kitab ini menukilkan seperti berikut:

Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat ada orang Islam yang iltizam (komited) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dengan Islam akan dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian azan berkumandang menandakan masuknya waktu solat, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan solat, maka tindakan itu dianggap tidak sopan dan kurang wajar kerana majlis masih berlangsung. Sedangkan orang yang tidak solat sambil bergurau senda ketika orang lain melakukan solat tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.

Begitulah seterusnya nasib Islam di akhir zaman yang akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri.

Jika kita benar-benar hidup menongkah arus, melawan kehendak orang Islam sendiri yang tidak bersetuju dan menyokong tindakan kita yang berpandukan wahyu dan sunnah Nabi saw, maka jadilah kita seperti orang yang menggenggam bara api dan orang yang berdagang.

Orang berdagang akan dianggap asing dan pelik oleh masyarakat di sekeliling kerana tidak sehaluan dengan arus semasa.

Orang berdagang akan menggengam bara api biar pun tangannya cedera kerana menahan kepanasan bara api tetapi itu sebenarnya adalah lebih baik untuknya daripada menanggung siksaan neraka di akhirat.

Mereka menanggung azab dari manusia di dunia…

Mereka menerima umpat cela dari manusia di dunia..

Mereka ditekan, ditindas, dihina oleh manusia di dunia.

Hanya kerana mereka menjaga hak-hak Allah daripada dicerobohi.Hanya kerana mereka mencari redha Allah. 

“Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya  manusia, maka Allah akan cukupkan baginya akan segala keperluannya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari redha manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya kepada manusia.” [Hadith]

Firman Allah di dalam Surah At-Taubah : 100

Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

Ukurlah kehidupan kita dengan redha Allah..

Jagalah hak-hak Allah, nescaya Dia akan menjaga kita…

Perhatian, pujian dan redha manusia tidak akan kekal lama kerana redha Allah lebih bermakna.

Abu Wafi

Photo: Ishafizan Ishak