Archives

All posts for the month April, 2009

Travelog Umrah

Published April 23, 2009 by Menikmati Takdir Langit

 kaabah1

Insyallah,saya akan melakukan ibadah umrah dan ziarah pada 23 April hingga 5 Mei 2009. Untuk itu, blog saya tidak akan dikemaskini sehingga kepulangan saya pada 5 Mei 2009. Berbeza dengan tugasan ‘outstation’,  pemergian saya kali ini membawa satu misi besar iaitu ‘safarul iman’. Hati saya berdebar-debar kerana inilah kali pertama saya akan menjejakkan kaki ke tanah suci.

2 hari lepas saya mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Prof. Kamil. Macam dia tahu pula saya nak pergi umrah. Mungkin ada hikmahnya. Mendengar ceramah pengalaman beliau mengerjakan haji di Mekah memberikan saya dimensi baru dalam pengertian ibadah haji dan umrah. Bolehkah saya menjadi seperti dia….

Ya Allah, kau permudahkanlah urusan umrahku di sana kelak. Terimalah aku sebagai tetamuMu. Ampunkanlah dosa-dosaku yang telah lepas. Terimalah taubatku.

Ya Allah, aku merayu dan merintih. Campakkanlah rasa ‘khauf’ atau gerun dengan kebesaranMu. Kembalikan rasa ingin kembali dengan harap kepadaMu. Terimalah semua amalanku. Kurniakanlah aku dengan hati yang lembut, hati yang mudah menerima hidayah dan petunjukMu. Hati yang sentiasa gentar apabila mendengar namaMu disebut dan bertambah keimanan bila mendengar ayat-ayatMu dibaca. Ya Allah.

Ya Allah, hanya kepadaMu aku bermohon,’rabbiyassirwalatu’assir’. Perbetulkan niatku.Pemergianku ke sana hanyalah keranaMu Ya Allah. Aku mengharap dan mendambakan keredhaanMu. Sesungguhnya solatku,kehidupan dan kematianku hanyalah untukMu Ya Allah. Tiada tujuan selain itu Ya Allah, bantulah aku,bimbinglah aku untuk menjadi hamba yang mentaati perintahMu dan menjauhi segala tegahanMu.

Ya Allah, sesungguhnya aku hamba yang lemah. Kerap bergelumang dengan dosa.Berilah peluang dan kesempatan untuk aku bertaubat dan memulakan hidup baru dengan penuh keimanan. Terimalah aku sebagai tetamuMu ya Allah, Ya zaljalaliwalikram!

“HambaMu telah datang menyambut panggilan Mu Ya Tuhan, hamba Mu datang menyambut panggilan Mu. … Sesungguhnya segala puji-pujian, nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan Mu dan tidak ada sekutu bagi Mu…”

ABU WAFI, KLIA

Advertisements

Bertemu Prof Kamil

Published April 21, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Dalam entry saya tahun lepas, saya telah menulis tentang sebuah buku yang perlu anda baca. Buku Travelog Haji karya Prof Kamil. Buku yang sangat baik penceritaannya dan saya mendapat beberapa komen yang bernas dari kawan-kawan yang mengunjungi blog saya.

Semalam selepas maghrib saya bersama isteri dan anak kedua Munzir ke Surau Putra Amin Precint 8. Prof Kamil sendiri datang dari Johor untuk menceritakan pengalaman travelog haji beliau secara live. Hadirin yang datang terpegun. Ceramah selama 2 jam berkisar mengenai pengalaman yang dibukukan dalam buku berkenaan.

Usai ceramah saya dan Munzir bergegas ke hadapan untuk bertemu Prof. Saya memperkenalkan diri dan memaklumkan bahawa saya pernah ke rumah beliau 2 tahun lepas di Shah Alam untuk membeli buku beliau. Sempat sembang sekejap sebelum jemaah lain pula bertanyakan kemusykilan-kemusykilan berbangkit.

Beliau menyatakan bahawa  keseluruhan hidupnya yang jahil telah berubah melalui solat hajat selama setahun bagi memohon jawatan professor. Beliau melakukan solat hajat setiap malam hanya kerana mahukan jawatan professor. Setelah diberikan jawatan professor dan tunggakan gaji RM80,000 beliau tergerak hati untuk menunaikan haji. Rupa-rupanya inilah ‘pintu’ yang dibuka oleh Allah supaya beliau mengenali dan mendekati Allah. Hasilnya beliau mula mempelajari Al-Quran sehingga berjaya menunaikan haji dan kembali ke Malaysia dengan terus menerus mengekalkan kehidupannya yang baru. Beliau meninggalkan semua kejahilan dan perangai-perangai buruk yang selama ini diamalkan. Satu anugerah besar.

Gambar dipetik dari blog beliau

Gambar dipetik dari blog beliau

Kenapa buku ini dinamakan mengubah sempadan iman. Saya membuat kesimpulan sendiri, bahawa di dalam salah satu bab ada dinyatakan peristiwa beliau mengalami rabun dekat di Makkah. Beliau cuba membaca huruf-huruf di dalam buku tetapi gagal. Barulah beliau tersedar bahawa inilah sempadan masa yang ditunjukkan oleh Allah bahawa beliau sedang menghampiri kematian. Kita seringkali dikejutkan oleh Allah melalui peristiwa-peristiwa yang tidak terjangkakan. Jika kita duduk dan berfikir sedalam-dalamnya mungkin kita akan tersedar bahawa ini merupakan ‘signal’ dari Allah. Signal supaya kita segera membelok ke jalan kebenaran atau signal menyuruh kita supaya berhenti sebelum segala-galanya sudah terlambat. Tanda Allah kasih dan sayang kepada kita.

Untuk mengenali beliau dengan lebih lanjut boleh mengunjungi blog beliau bertajuk Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan @ muhdkamil.net

ABU WAFI, Putrajaya

Suntikan Motivasi

Published April 20, 2009 by Menikmati Takdir Langit
Buku Motivasi agama terbaru

Buku Motivasi agama terbaru

 Sabtu lepas saya telah pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Hajat di hati nak pergi awal-awal lagi tetapi memandangkan waktu pembukaan hari bekerja maka terpaksalah saya tangguhkan ke hari Sabtu,cuti hujung minggu. Saya benar-benar teruja lebih-lebih lagi bila saya dimaklumkan oleh sahabat saya Hilal Ashraf bahawa bukunya bakal dilancarkan di situ. Saya siap hafal lagi no.gerai 81 dan peta kedudukan booth Galeri Ilmu. Bukan apa, saya takut buku tersebut habis stok.

Seawal pagi jam 8 saya dah bersiap. Isteri kebetulan kerja pula. Saya membuat keputusan untuk memandu dari Putrajaya ke PWTC walaupun isteri mencadangkan supaya saya menggunakan saja ERL dan LRT untuk mengelakkan kesesakan dan ruang parking yang tidak cukup. Saya ‘gamble’ asalkan dapat memiliki buku-buku tersebut.

Saya membawa anak saya yang sulung wafi bersama. Saya berjanji dengan dia untuk singgah di kedai stationery untuk membeli crayon. Pukul 9.30 pagi kami bertolak melalui Maju Expressway dan pukul 10.20 kami tiba di PWTC. Masih awal lagi.Orang pun belum ramai tapi saya agak sedikit masa lagi pengunjung pasti ramai dan sesak.

Setelah mengunjungi beberapa tingkat dan gerai buku saya berjumpa dengan booth Galeri Ilmu di Tingkat Mezzanine. Setelah menyelak beberapa halaman dan meninjau beberapa buku terbaru keluaran Galeri Ilmu tanpa membuang masa saya terus membeli dua buah buku iaitu Langit Illahi dan Rindu Bau Pohon Tin karya Saifulislam. Langit Illahi memuatkan motivasi agama yang ditulis oleh seorang anak muda Hilal Ashraf yang kini sedang menuntut di Jordan. Saya mengenali beliau semasa beliau masih di Tingkatan 6. Perkenalan yang singkat ini memberi makna yang cukup bererti kepada saya. Sebelum ini saya banyak membaca tulisan beliau di blog beliau. Tulisan beliau lain dari yang lain. Menyedar dan menginsafkan.Satu style baru dalam berdakwah di arena penulisan maya.

Manakala Saifulislam pula merupakan antara blogger yang terkenal dengan tagline Erti Hidup Pada Memberi. Beliau juga seorang ustaz dan motivator yang sering memberikan kuliah-kuliah di masjid dan surau. Saya amat sukakan “approach” yang dibawa oleh beliau. Ternyata sangat menusuk kalbu. Walaupun saya tidak berpeluang bertemu “face to face” dengan beliau namun saya berjaya membeli buku beliau yang siap bertandatangan. Saya dimaklumkan bahawa beliau telah “sign in advance” beberapa buku yang akan dijual kerana beliau tidak boleh berada sepanjang masa di booth berkenaan.

p42038262

Untuk Wafi saya belikan buku komik agama. Beliau sendiri yang memintanya, nak baca masa perhimpunan sekolah, katanya. Banyak lagi buku yang saya lihat dan rasa nak beli. Tetapi saya tangguhkan dulu. Biar saya puaskan diri dengan 2 buah buku yang cantik ini. Covernya cukup menarik dan type settingnya juga ‘simple’ dan menawan hati. Isinya memang best sangat. Ringkas dan menusuk ke dalam jiwa. Paling saya suka ialah gaya penceritaan saifulislam dalam Rindu Bau Pohon Tin yang bersahaja tetapi boleh menumpahkan air mata.

Malam itu, selepas membaca beberapa ‘chapter’ buku Langit Illahi saya terus menghubungi beliau di Jordan. Dapat bercakap selama 13 minit. Saya ucapkan tahniah dan mendoakan kejayaan beliau terus menulis pada masa hadapan. Realisasikan impiannya untuk menjadi insan yang bermanfaat kepada orang lain.

Syukran…

ABU WAFI, Putrajaya

Nikmat sebuah hidayah

Published April 17, 2009 by Menikmati Takdir Langit

p32237311

Sudah agak lama juga tidak menulis. Kekeringan idea.Ketandusan isu. Dibelenggu dan diburu dengan kerja-kerja pejabat yang tidak putus-putus. Menyebabkan blog saya ini gagal dikemaskini mengikut perancangan saya sebelum ini.

Ya, saya bukan seorang penulis besar yang hebat sepert Faisal Tehrani atau penulis-penulis blog tersohor seperti Saifulislam atau Hilal Asyraf. Namun, saya berusaha supaya blog ini dapat dikemaskini sekerap yang mungkin. Berusaha untuk mendisiplinkan diri untuk meng’update’ blog setiap hari adalah sesuatu yang sukar dan payah bagi saya. Tambahan lagi, saya tidak mempunyai idea yang banyak melainkan catatan pekerjaan saya seharian dan sedikit sebanyak pengalaman saya bersama rakan taulan. Namun, saya berdoa mudah-mudahan catatan dan diari kehidupan saya ini akan dapat diteruskan sehingga kehidupan saya yang terakhir. Blog ini hanyalah berupa catatan peribadi semata-mata yang dikongsi bersama sahabat maya.

Bezanya dengan catatan diari pada masa dahulu, ianya ditulis di dalam sebuah buku comel dan tidak dikongsi dengan sesiapa. Dan kini, ramai yang telah menjadikan blog sebagai diari kehidupan termasuklah saya sendiri.

Kali ini saya ingin menggarap pengalaman saya bersama seorang pesara kerajaan yang telah diberi hidayah oleh Allah.Baru-baru ini, saya telah menghadiri satu majlis khatam Al-Quran di Bangi. Menariknya, majlis khatam kali ini ialah pengisiannya yang lain dari yang lain. Ada slot perkongsian pengalaman seorang pegawai tinggi kerajaan iaitu Dato’ Rashid yang merupakan bekas Ketua Pengarah di sebuah jabatan kerajaan yang telah bersara tiba-tiba memilih jalan untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan mempelajari dan menekuni Al-Quran secara bersungguh-sungguh. Bermula denga mempelajari tajwid, membaca,menghafaz dan kini beliau dalam peringkat memahami maksud dan tafsiran Al-Quran.

Paling menyentuh perasaan saya ialah apabila beliau menyatakan:

” Sebaik sahaja pencen, saya mula memikirkan perjalanan hidup saya selepas ini. Apakah harus saya habiskan di taman-taman golf atau di taman-taman syurga? Saya amat sukakan golf namun Allah menetapkan hati saya supaya memilih supaya berada di taman-taman syurga. Allah mencampakkan hidayahNYA melalui isteri yang mengajak saya mendekati Al-Quran. Walaupun pada permulaannya saya merasa janggal dan kekok kerana jarang membaca namun setelah mengikuti beberapa siri kelas dan pembelajaran, saya mula jatuh cinta dengan Al-Quran. Dan akhirnya, saya kini telah meninggalkan taman-taman golf walaupun ramai di antara kawan-kawan saya yang telah pencen masih berada di padang-padang golf. Mungkin Allah telah memilih saya untuk menetapkan diri dalam jalan hidayah ini dan saya berharap semoga saya kekal di dalam hidayahnya.”

Perkongsian pengalaman bersama Dato’ ini ternyata amat menyentuh perasaan dan mencabar diri. Dalam usia yang sudah mencecah 60 tahun beliau mampu mencabar diri untuk memahami Al-Quran secara tartil dan bersungguh-sungguh. Hari-hari dalam hidupnya dihabiskan dengan membaca Al-Quran. Alangkah indahnya, hidayah yang telah diberikan oleh Allah kepada seorang manusia yang berjiwa besar ini.

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang telah diberikan hidayah.Diberikan cahaya iman menyinari di dalam hatinya. Beliau menemui ketenangan dengan cara ini. Ketenangan yang tidak pernah dijumpai  sebelum ini. Ketenangan yang hakiki. Mudah-mudahan beliau terus kekal di dalam hidayah dan bimbingan Allah hingga ke nafas yang terakhir. Mudah-mudahan beliau menemui husnul khatimah dengan cara ini.

Meneruskan kehidupan

Published April 3, 2009 by Menikmati Takdir Langit

262186471

Sedar tak sedar dah masuk bulan April dan dalam bulan ini terlalu banyak peristiwa penting dan lakaran sejarah yang akan berlaku.

3 April 2009 : Malaysia mendapat Perdana Menteri ke-6.

7 April 2009 : Pilihanraya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai.

23 April 2009 : peristiwa bersejarah dalam hidupku.

Setiap peristiwa yang akan berlaku dan telah berlaku mempunyai maknanya yang tersendiri kepada kehidupan manusia. Kalau peristiwa tersebut berkaitan dengan perubahan landskap politik negara maka semua rakyat termasuk saya akan terlibat dalam menerima kesannya. Manakala bagi peristiwa yang hanya berkait rapat dalam hidup saya sendirian maka saya dan orang terdekat sahaja yang akan menerima kesannya. Begitulah kehidupan.

Perjalanan hidup harus diteruskan sehingga kita menemui titik noktahnya. Saya menunggu tarikh keramat 23 April 2009 yang masih dirahsiakan setakat ini. Saya berdoa semoga perkara tersebut terjadi dengan lancar dan dipermudahkan oleh Allah.

ABU WAFI @ ABU MUNZIR, Putrajaya