Archives

All posts for the month January, 2010

Ku Mencintaimu

Published January 27, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Ringkasan Syarah Kitab Hikam oleh Dr Zulkifli Al- Bakri, Masjid Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Ada 3 sebab mengapa manusia melakukan ibadah:-

Pertama, Manusia melaksanakan ibadah kerana takutkan siksaan Allah di hari akhirat. Beribadah kerana takutkan neraka yang panas. Ngeri dengan siksaan neraka yang dasyat, lantas memotivasikan manusia untuk terus menerus melakukan amal soleh kepada Allah secara istiqamah.

Kedua, beribadah kerana inginkan syurga Allah. Beribadah kerana ingin merebut laba di hari akhirat. Ibadah jenis ini adalah seumpama ibadah golongan korporat atau ahli perniagaan yang melaburkan sejumlah wangnya untuk mendapatkan keuntungan di kemudian hari. Bezanya, pelaburan yang dilakukan oleh golongan ini adalah dalam bentuk amal soleh di dunia dan hasilnya akan dituai di hari akhirat.

Awan yang cantik, syurga beribu-ribu kali cantik

Tiada salahnya dan tidak menjadi masalah untuk kita semua beribadah kerana didorong oleh kedua-dua faktor ini asalkan nawaitunya kerana Allah.  Ngeri dengan siksaan di neraka, takut dengan kemurkaan Allah menjadi pemangkin untuk membentuk jiwa kita menjadi mukmin yang sejati. Mendambakan syurga Allah juga tidak menjadi kesalahan kerana di situlah kampung halaman kita sebenarnya. Syurga adalah janji balasan Allah kepada hamba-hambanya yang mentaatinya. Mendambakan kehidupan indah di syurga akan memotivasikan kita untuk beramal soleh.

Tetapi, kategori yang ketiga ini adalah yang terlebih baik jika kita boleh mencapainya. Tahap yang paling sukar untuk dicapai oleh kebanyakan daripada kita kecuali golongan ‘muhibbin’ iaitu mereka yang dikasihi dan dipilih oleh Allah.

Beribadah kerana cintakan Allah. Contoh paling dekat ialah Rasulullah saw. Meskipun baginda telah dijamin syurga oleh Allah, namun ibadah baginda tidak pernah berkurangan malahan semakin meningkat dan konsistent dari sehari ke sehari. Malamnya dipenuhi dengan solat-solat sunat yang berpanjangan dengan bermunajat kepada Allah. Baginda begitu tekun sekali beribadat kerana Allah sehingga pernah ditegur oleh isteri baginda  A’isyah r.a:

“Bahawa Nabi s.a.w telah mendirikan sembahyang hingga pecah-pecah telapak kaki baginda. Maka baginda ditanya: Mengapa engkau menyusahkan diri dengan ini semua? Sedangkan Allah telah mengampuni segala kesalahanmu samada yang telah lalu ataupun yang akan datang, baginda menjawab: Tidak bolehkah aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur!

Begitulah jawapan baginda yang sungguh merendah hati dan penuh tawadhuk. Baginda melakukan bukan semata-mata kerana syurga Allah, tidak juga kerana takutkan balasan neraka bahkan Baginda melakukan kerana perasaan cinta dan rindu pada Allah yang sentiasa membuak-buak di dalam jiwa.

Rasulullah saw juga sentiasa menganjurkan umatnya agar memperbanyakkan istighfar bagi memohon keampunan Allah. Walaupun dosa baginda telah pun terampun namun baginda masih terus melafazkan istighfar tidak kurang 70 kali sehari semalam.

Antara tanda-tanda orang yang telah mencapai tahap ketiga ini ialah apabila dia sentiasa rindu untuk bertemu Allah di sepanjang waktu. Dia akan sentiasa tertunggu-tunggu waktu solat dari satu waktu ke satu waktu bagaikan seorang kekasih yang tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan buah hatinya. Selesai sahaja waktu Zohor dia akan ternanti-nanti pula untuk menunaikan solat Asar, Maghrib, Isyak’, Subuh dan seterusnya sehinggalah beliau pergi menemui Penciptanya buat selama-lamanya. Manusia dalam kategori ini akan sentiasa merasa gelisah dan keluh kesah menanti waktu solat kerana solat adalah saat yang paling indah untuk dia bercakap-cakap dengan Allah dengan penuh khusyuk dan tenang. Malahan dia akan bersiap sedia lebih awal menunggu waktu tibanya solat fardhu tanpa menunggu azan berkumandang. Alangkah indahnya jika kita dapat sampai ke tahap ini.

Menurut Dr.Zulkifli lagi insan-insan seperti ini sangat sukar untuk dicari di dalam zaman yang serba canggih ini. Mungkin mereka ini ada di kalangan kita atau mungkin juga mereka ini tiada lagi di kalangan kita. Beruntunglah jika kita dapat bertemu dengan insan-insan seperti ini.

Saya dapat membuat kesimpulan bahawa perasaan rindu dan cinta ini lahir kerana mereka merasa lazat dengan ibadah yang mereka jalani. Sebagai contohnya, mereka merindukan waktu solat kerana solat mereka sungguh khusyuk dan mendamaikan. Mereka rindu untuk berwuduk kerana wuduk mereka sungguh sempurna dan menggugurkan dosa-dosa mereka. Mungkin ini antara sebab utama mengapa perasaan cinta itu lahir dalam diri mereka sehingga gambaran keseronokan syurga dan kedasyatan neraka hilang dari pandangan mereka kerana asyik dan khusyuknya mereka.

Muhasabah dan ‘evaluate’ di mana kedudukan kita pula.

Teringat saya pada nama-nama besar dalam sejarah Islam

Teringat saya pada Rabiatun Adawiyyah..

Teringat saya pada Hassan Al-Basri

Teringat saya pada Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani

Teringat saya kepada Imam Syafie

Insan-insan terpilih.

Marilah sama-sama kita berusaha ke arah itu. Kita beribadah kerana  mengharapkan syurga Allah, juga kerana kita  takutkan azab api neraka, tetapi dalam masa yang sama kita juga merasa terlalu rindu dan cintakan Allah. Berusahalah supaya perasaan itu datang singgah dalam diri kita biarpun sekejap cuma kerana perasaan itu tentunya indah.

Kata Ibn Ato’illah As-Sakandari:

“Cinta yang agung ialah apabila seseorang itu berjaya mengusir perasaan cintanya kepada makhluk dari hatinya dan menempatkan cinta kepada Allah sebagai kecintaan yang hakiki dalam hatinya”.

Moga bermanfaat

Abu Wafi

Photo: Ishafizan

 

Advertisements

Anak-anak kita

Published January 21, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Anugerah paling berharga

Petang semalam usai kerja, saya membawa anak ke Klinik Kesihatan. Batuk Wafi tidak mahu reda malah bertambah kuat. Sampai di klinik lebih kurang pukul 5.50 petang. Saya bukannya biasa sangat datang ke sini namun Wafi kelihatan lebih tahu dari saya. Sesampainya kami di sana, dia menunjukkan kaunter untuk pendaftaran, ambil kad, scan pendaftaran, bilik doktor dan farmasi. Memang cekap kerana dia selalu sangat ke sini mendapatkan rawatan bersama isteri saya.

Saya menunggu di ruang menunggu untuk pesakit. Nombor giliran 1090 dan ada lebih kurang 10 pesakit di hadapan kami. “Mungkin tak lama lagi” bisik hati kecil saya.

Semasa menunggu ada satu pasangan suami isteri yang duduk berhampiran kami. Suami dan isteri dalam lingkungan lewat usia 40-an. Mereka ada 4 orang anak perempuan dalam lingkungan belasan tahun semuanya. Saya memerhatikan gelagat mereka anak beranak. Perbualan mereka, pergaulan mereka bersama ayah dan ibu sehinggalah mereka meninggalkan kami sebaik sahaja selesai mendapatkan rawatan doktor.

“4 orang anak perempuan, macam mana tu” bisik hati saya.

Kami masih di situ menunggu giliran untuk dipanggil masuk. Jam menunjukkan pukul 6.20 petang.

Tidak lama kemudian sebuah keluarga datang dan duduk berhampiran kami. Sepasang suami isteri dengan 4 orang anak yang masih kecil. Anak sulung mereka saya kira sebaya dengan anak saya Wafi manakala yang bongsu mungkin sebaya dengan anak ketiga saya Fawwaz berumur 2 tahun. Mereka melompat-lompat dan berlari-lari di situ. Agak terganggu juga namun perhatian saya masih tertumpu pada mereka. 4 orang anak lelaki masing-masing dengan kerenah tersendiri.

4 orang anak lelaki, macam mana tu” bisik hati saya.

Tiba-tiba saya terfikir. Sebentar tadi sebuah keluarga dengan 4 orang anak perempuan manakala kini sebuah keluarga dengan 4 orang anak lelaki. Seperti ada satu mesej yang ingin disampaikan kepada saya.

Bila datang keluarga dengan semua anak perempuan, saya terfikir sudah tentu pasangan suami isteri tersebut menginginkan seorang anak lelaki. Begitu juga dengan pasangan kedua dengan 4 orang anak lelaki, tentunya mereka mengidamkan seorang anak perempuan. Dan saya membandingkan diri saya dengan mereka, mungkinkah saya akan mengikuti jejak salah satu dari pada keluarga ini atau sebaliknya.

Saya yang sudah mempunyai 3 orang anak lelaki tentu saja kepingin seorang anak perempuan. Namun Allah belum mengurniakan rezeki yang saya harap-harapkan itu.

Malam itu, saya membuka Al-Quran sambil memerhatikan terjemahannya. Saya membaca Surah As-Syura ayat 49 – 50 yang bermaksud:

Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. [49]

Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha berkuasa. [50]

Hati saya berdetik, benar-benar sama seperti pengalaman yang saya alami petang tadi. Perhatikan ayat-ayat itu, Allah berkuasa untuk mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakkinya, Allah juga berkuasa untuk mengurniakan anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakinya, begitu juga Allah berkuasa untuk memberikan kedua-duanya sekali malahan Allah juga berkuasa untuk tidak memberikan anak langsung kepada sesiapa yang dikehendakinya. Sungguh cantik ayat ini dan bagi sesiapa yang mahu mengambil pengajaran bahawa kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Saya diberi contoh 2  buah keluarga masing-masing dengan 4 orang anak lelaki dan 4 orang anak perempuan. Saya juga telah banyak kali bertemu dengan mereka yang mempunyai anak perempuan dan lelaki di dalam keluarga mereka. Saya juga pernah bertemu dengan pasangan yang sehingga kini belum mempunyai anak walaupun telah mendirikan rumahtangga selama 22 tahun. Dan mereka yang saya jumpa ini kelihatan cukup bersyukur dengan apa yang Allah berikan. Pelajaran yang saya perolehi hari ini, bersyukurlah dengan apa yang ada. Redhalah atas apa sahaja pemberianNya.

Bersyukurlah dengan apa yang Allah berikan kepada kita walaupun mungkin tidak yang seperti kita harapkan dan kita hajatkan.

Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua. Dia mengurniakan ‘kepada sesiapa yang dikehendakiNya’.

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya.  [As-Syura:36]

Mungkin Dia mengkehendaki saya mempunyai anak-anak lelaki sahaja.

Mungkin juga Dia mengkehendaki saya mempunyai anak-anak lelaki dan perempuan.

Pastinya, apa yang dikurniakan Allah kepada kita hanyalah pinjaman dan kesenangan yang bersifat sementara. Sesungguhnya nikmat di akhirat itu adalah lebih kekal dan bermakna bagi mereka yang mahu mengambil pengajaran.

Abu Wafi, Putrajaya.

 

 

Convert atau Revert?

Published January 19, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Saya mempunyai seorang kawan berbangsa Cina. Pada suatu hari beliau memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang perempuan Melayu. Saya yang terkejut merasa bersyukur dan berharap mudah-mudahan beliau kekal dengan Islamnya itu.

Saya juga mempunyai seorang kawan berbangsa Cina semasa di universiti dahulu. Namanya, Chow seorang yang sangat rapat dengan saya. Minatnya terhadap Islam cukup mendalam apabila beliau turut sama mempelajari Islam malahan mengambil subjek Syariah dan Bahasa Arab. Beberapa tahun selepas graduasi, saya diberitahu bahawa beliau telah memeluk Islam dengan memakai nama Norman bin Abdullah setelah yakin dengan pencariannya selama ini.

Kawan saya ini menceritakan insiden beliau kerap ditanya oleh sesiapa sahaja termasuk semasa sesi temuduga yang sangsi dengan nama dan wajah beliau.

“Awak  ni bangsa apa”

“I convert” jawab kawan saya itu.

Itulah jawapan standard yang selalu sangat diberikan oleh kawan saya ini. Istilah convert yang beliau gunakan sekaligus menutup mulut mereka yang bertanya dan menjawab semua persoalan yang bermain di fikiran mereka.

Istilah ‘convert’ sudah menjadi terlalu sinonim dengan mereka yang menukar agama terutamanya kepada saudara baru atau mualaf Islam. Saya pernah terfikir sama ada istilah yang digunakan ini tepat dan benar mengikut konteks Islam. Definisi di dalam kamus pada pandangan saya hanya mentakrifkan dari sudut istilah sahaja sedangkan pemahaman dari sudut makna selalunya tersasar. Lantas saya mencari istilah ini di dalam kamus Farlex iaitu:

1. To change (something) into another form, substance, state, or product; transform: convert water into ice.

2. To change (something) from one use, function, or purpose to another; adapt to a new or different purpose: convert a forest into farmland.

3. To persuade or induce to adopt a particular religion, faith, or belief: convert pagans to Christianity; was converted to pacifism by the war.

Berdasarkan definisi ini, istilah convert memang diterima pakai untuk menggambarkan penukaran sesuatu kepercayaan seseorang individu dari A kepada B dan sebaliknya.

Saya juga terfikir mungkinkah istilah ‘revert’ lebih sesuai digunakan bagi menggambarkan penukaran kepercayaan dari agama lain kepada Islam.

Kamus Farlex mentakrifkan “revert” :

1.   To return to a former condition, practice, subject, or belief.

Jika boleh saya definisikan, revert bermakna kembali ke asal atau berpatah balik ke titik mula kehidupan kita. Jika kita sedang berjalan maka kita akan berpatah balik ke belakang. Timbul persoalan, kenapa perlu ada revert dalam kehidupan manusia?

Kenapa dalam keadaan tertentu manusia perlu berpatah balik ke belakang ? Tidakkah ini menggambarkan sesuatu yang mundur bagi seseorang itu?

Kerana untuk menunjukkan bahawa manusia ini tidak sunyi dari melakukan kesilapan  dan justeru itu, manusia perlu kembali ke pangkal jalan bagi memperbetulkan keadaan.

Sesungguhnya ada perbezaan besar antara istilah convert dan revert.

Walaupun, istilah convert digunakan dengan meluas tetapi istilah revert saya rasa paling tepat dan sesuai untuk insan-insan yang memilih Islam sebagai agama baru mereka.

Revert bermakna kepulangan seseorang ke pangkal jalan. Seseorang yang memeluk Islam atau yang menukar kepercayaannya dari yang lain kepada Islam bermakna beliau telah menemui jalan pulang. Jika selama ini, beliau tersesat di dalam kegelapan, maka Islam adalah cahaya yang membawanya keluar dari kegelapan tersebut. Justeru, gunakanlah istilah revert yang lebih cantik dan manis.

Revert juga menggambarkan nikmat Allah yang cukup besar kepada seseorang manusia yang menemui jalan pulangnya.

Lebih kuat lagi bila saya terjumpa blog bertajuk Musing of Muallaf ini tahun lepas. Aliya penulis blog ini mendefinisikan latar belakang beliau sebagai:

I’m a Muslim revert. This blog is about my journey into Islam, the troubles I had faced to be a muslim, and my life and thoughts after becoming one.

Beliau menggunakan istilah revert untuk dirinya dan kawan-kawan yang memilih Islam sebagai cara hidup dan meninggalkan cara hidup lama yang penuh jahiliah. Blog ini sangat baik untuk dibaca dan diambil pengajaran kerana menceritakan pengalaman beliau selama hampir 3 dekad beliau berada di dalam kegelapan.

Saya terfikir sebagai seorang yang dilahirkan Muslim sejak kecil adakalanya kita juga perlu menekan butang ‘pause’ lalu ‘revert’ jika tiba-tiba perjalanan kita jauh tersasar dari mencari keredhaan Allah. Lebih-lebih lagi jika tersasar jauh sehingga terjerumus dalam perkara maksiat yang dimurkai Allah.

Revert bukan untuk Muallaf sahaja, revert juga perlu untuk kita semua.

Kembali ke pangkal jalan ! Revert ! Revert!

Abu Wafi, Putrajaya

 

Pic Source: Ishafizan

Siapalah kita

Published January 15, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Saya suka membanding-bandingkan diri saya dengan orang lain dan saya pasti orang lain juga begitu.

Saya suka membandingkan diri saya dengan orang kaya yang rumahnya besar, keretanya besar, tanahnya luas, kebunnya banyak, simpanan wangnya di bank banyak dan keluarganya bahagia.

Saya suka membandingkan diri saya dengan CEO yang bertaraf ‘billionaire’ dan kadangkala berangan-angan ingin menjadi seperti mereka dan mengikut jejak langkah mereka kerana bagi saya mereka telah menemui puncak kebahagiaan yang hakiki di dunia ini.

Saya juga suka membaca kisah-kisah kejayaan hidup mereka dan cabaran yang mereka hadapi dalam mencapai cita-cita besar mereka.

Saya juga pernah bercita-cita untuk mengumpul RM1 juta sebaik sahaja mencecah umur 30 tahun kerana saya yakin bahawa duit yang banyak itu adalah permulaan untuk kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Saya juga pernah mengeluh dan merasa sedih bila gagal mengikuti jejak langkah mereka. Pernah juga saya bertanya kepada diri kenapa saya tidak boleh jadi seperti mereka atau kenapa saya tidak dilahirkan di dalam keluarga yang kaya raya kerana itulah kebahagiaan yang saya impi-impikan.

Bila melawat rumah-rumah orang kaya di sekitar KL saya selalu merasa kagum dan berkata kepada diri saya;

“Bilalah aku dapat duduk di rumah sebesar ini? “

Timbul perasaan sedih mengenang nasib diri yang tidak dapat menandingi mereka sehingga ada kalanya timbul rasa tidak puas hati.

Saya juga suka membandingkan diri saya dengan artis popular seperti Mawi atau beberapa nama besar lain dalam industri hiburan. Alangkah indahnya kalau saya dapat jadi se’glamour’ dan sepopular mereka. Pergi ke sana sini disambut peminat dan menjadi kegilaan ramai. Saya terus berangan-angan untuk menjadi seperti mereka walaupun saya tahu saya tidak akan sampai ke sana.

Saya yakin dan saya pasti bahawa bukan saya seorang sahaja yang pernah berperasaan seperti itu kerana lumrah manusia suka melihat kejayaan manusia berasaskan faktor kekayaan dan  harta benda yang dimiliki.

Memang tabiat manusia yang suka membandingkan diri dengan orang lain di sekeliling kita. Hatta ibu bapa sendiri pun suka membandingkan pencapaian anak dengan anak yang lain. 

Tetapi pernahkah kita membandingkan diri kita dengan orang-orang soleh yang telah mendahului kita.

Pernahkah kita membandingkan diri kita dengan kehidupan Rasulullah saw dan para sahabat yang serba kekurangan tetapi dalam masa yang sama berjaya mencipta sejarah yang hebat ?

Pernahkah kita membandingkan kehidupan kita dengan kehidupan Umar Abdul Aziz, Hassan Al- Basri, Uwais al-Qarni atau Rabiatun Adawiyah serta generasi salafusoleh di sepanjang zaman?

Pernahkah kita cuba mencontohi mereka?

Pernahkah kita berusaha untuk menjejaki hidup mereka?

Pernahkah kita menjadikan mereka sebagai idola hidup kita?

Pernahkah kita meletakkan sasaran hidup kita mahu berjaya seperti mereka?

Merebut dunia yang sedikit dengan seadanya dan meraih ganjaran akhirat yang lebih bermakna.

Pernahkah kita merasa terkilan atau kecewa kerana tidak dapat menjejaki dan mencontohi mereka?

Pernahkah semua ini terlintas di fikiran kita?

Mungkin ada yang akan berkata, mana mungkin untuk membandingkan diri kita dengan insan-insan soleh yang telah mendahului kita kerana contoh ketara kehidupan mereka tiada di hadapan mata.

Kita tidak pernah melihat bagaimana rumah Rasulullah saw di Madinah yang serba kurang dan seadanya.

Kita tidak pernah merasai dan memahami perasaan lapar baginda yang tidak pernah rasa kenyang 3 hari berturut-turut sepanjang kehidupannya.

Kita juga tidak pernah memahami perjuangan para sahabat yang menemui syahid di medan Uhud.

Kita juga tidak pernah merasai bagaimana sengsaranya Bilal bin Rabbah bila batu besar diletakkan di belakang badannya dan dijemur di tengah panas.

Kita juga tidak pernah melihat besar manakah istana Sayyidina Umar Al-Khattab kerana tiada kesan-kesan sejarah yang boleh dibangga-banggakan.

Jadi mana mungkin kita boleh membandingkan diri kita dengan mereka tanpa menelusuri sejarah kehidupan dan perjuangan mereka. Hanya dengan membaca sejarah dan sirah kita akan dapat menghayati dan memahami mereka.

Bacalah sejarah Rasulullah saw, bacalah kisah-kisah kehidupan para sahabat dan kisah-kisah para salafussoleh yang telah mendahului kita. Jika berkemampuan, apa salahnya kita melakukan ziarah ke tempat-tempat bersejarah seperti medan Uhud, Madinah dan Makkah untuk melihat sendiri dan mengambil ibrah daripada peristiwa yang berlaku.

Ketika mengikuti rombongan umrah tahun lepas, saya dibawa ke medan Uhud. Persinggahan sebentar di sini sahaja sudah membuatkan saya rasa sebak bila melihat makam syuhada’ Uhud. Saya melihat di sekeliling Uhud dan berdiri di atas bukit yang menempatkan tentera pemanah sambil membayangkan suasana peperangan ketika itu. Tambah mengharukan ialah apabila melihat ada jemaah umrah yang menangis teresak-esak ketika menadah tangan berdoa kerana mengenangkan pengorbanan Rasulullah saw dan para sahabat untuk menegakkan Islam. Kita dituntut untuk belajar daripada orang-orang yang telah mendahului kita.

Ketika  rumah baginda Rasulullah saw hendak dirobohkan bagi tujuan pembesaran dan perluasan Masjid Nabawi, seorang tabi’en terkenal bernama Hassan Al- Basri menulis;

“Ketika aku masuk ke rumah baginda aku mengangkat tangan aku dan aku dapati  tanganku mencecah ke bahagian bumbung rumah. Alangkah bagusnya kalau rumah ini dapat dikekalkan supaya generasi akan datang dapat mengambil pengajaran dan mencontohi kehidupan baginda. Pada hari itu, aku melihat dan mendengar tangisan penduduk Madinah yang begitu kuat sekali sehingga hampir kedengaran di seluruh Madinah ekoran sedih dan sayangnya mereka kepada Rasulullah saw”.

Begitu juga kisah yang menceritakan mengenai zuhudnya Rasulullah saw apabila ditawarkan oleh Allah swt untuk menjadikan Batha`atau Makkah sebagai kawasan emas yang akan memudahkan dakwah baginda. Sebaliknya baginda memilih hidup bersederhana dan bersabda:

Ya Allah aku memilih kenyang sehari dan lapar sehari.Apabila aku lapar, aku akan memohon kepadaMu dengan rendah hati dan apabila aku kekenyangan, aku bersyukur dan memujiMu. ( Riwayat Ahmad no 22244, al-Tirmizi no 2347, al-Tabarani no 7835, al-Baihaqi no 1467 , Ibnul Mubarak no 196 )

Bandingkan kehidupan baginda dengan kehidupan kita.

Bandingkan kekurangan Baginda dengan kelebihan yang ada pada kita.

Kekurangan inilah yang menjadikan mereka hebat di sisi Allah dan di mata manusia.

Hebat kerana mereka memilih untuk hidup dengan sifat qanaah, tidak melampau-lampau, zuhud, bersederhana, tidak mengejar pangkat dan harta malah menolaknya kerana tidak mahu harta itu menduduki hati mereka.

Hebatnya mereka berbanding kita !

CONTOH SEMASA

Saya pernah membaca kisah hidup As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin yang mati dibedil peluru berpandu tentera Israel ketika di atas kerusi roda. Beliau hidup serba kekurangan dengan hanya tinggal di sebuah flat kecil yang sering mengalami kerosakan alat pemanas. Walaupun pernah ditawarkan untuk tinggal di sebuah rumah yang selesa atas kapasitinya sebagai pemimpin HAMAS beliau menolak dan berkata;

“Aku ingin menduduki rumah yang lebih besar di syurga kelak.”

Begitu juga kisah Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Palestin. Membaca kisah hidupnya boleh saja menumpahkan air mata. Beliau menghabiskan sebahagian besar masa kecilnya di kem-kem pelarian yang tentunya jauh bezanya dengan kehidupan kita semasa kecil. Jika ditanya, saya pasti hampir  tiada seorang pun di antara kita yang mempunyai pengalaman tinggal di kem-kem pelarian. Justeru, saya hanya boleh membayangkan kesengsaraan yang ditanggung oleh beliau sejak kecil yang hidup dengan di kelilingi dawai berduri. 

Tetapi Syeikh Ahmad Yassin dan Ismail Haniyeh muncul sebagai seorang tokoh yang dikagumi dan disegani ramai khususnya dunia Islam. Mereka hebat kerana menjadikan akhirat sebagai sasaran terakhir hidup mereka.

 Mereka hebat kerana mereka melihat dunia ini kecil dan akhirat itu besar.

Justeru, mari bandingkan hidup kita dengan mereka semua.

Siapalah kita berbanding mereka.

Berusahalah untuk sedih kerana tidak mampu menjadi seperti mereka.

Berusahalah untuk  sedih kerana iman kita lemah berbanding mereka.

Berusahalah  untuk sedih kerana jauhnya kita dari mereka.

Bandingkan kesusahan mereka dengan kesenangan kita.

Bandingkan amalan kita dengan amalan mereka.

Bandingkan kualiti solat kita dengan solat mereka.

Berapa kali pula kita bangun bertahajud di tengah malam yang sunyi berbanding mereka.

Bandingkan dan bersedihlah jika kita tidak dapat mengatasi mereka dalam hal-hal ukhrawi yang kekal abadi.

Mudah-mudahan dengan perasaan sedih dan rendah diri itu akan membantu kita memperbetulkan dunia kita yang semakin hari semakin tersasar.

Kecilkan pandangan kamu kepada dunia, besarkan pandangan kamu kepada akhirat. Nescaya kamu sedang menghampiri mereka.

Abu Wafi, Putrajaya

Pic Ishafizan Ishak