Archives

All posts for the month March, 2010

Catatan Ringkas: Golongan yang diberi nikmat Allah

Published March 29, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Pagi ini sebelum ke pejabat, saya sempat menonton rancangan Tanyalah Ustaz. Rancangan pagi ini menampilkan Y.Bhg. Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, mantan Pegawai Agama, Istana Negara. Tajuk yang dibincangkan adalah “Azab Kubur”. Topik ini cukup menarik dan penting bagi mereka yang mahu membuat perubahan di dalam hidup. Kupasan beliau begitu bersahaja,  sesekali diselitkan dengan jenaka namun mempunyai mesej yang mendalam. Antara soalan-soalan yang diajukan oleh penonton kepada beliau adalah sama ada si mati boleh berjumpa dengan roh si mati yang lain dan apakah roh si mati boleh berjumpa dengan roh orang yang masih hidup.

Setiap dari kita akan disoal di dalam kubur oleh malaikat Mungkar dan Nakir. Bagi sesiapa yang berjaya melalui ujian ini maka mereka akan dibiarkan oleh malaikat untuk berehat dengan tenangnya seperti tidur seorang pengantin yang tidak diganggu oleh sesiapa. Malahan roh mereka bebas untuk bertemu dengan roh orang-orang yang setaraf dengan mereka. Golongan ini dinamakan sebagai golongan “muna’amah” iaitu golongan yang diberi nikmat oleh Allah di atas amal soleh yang telah mereka lakukan ketika di dunia. Golongan muna’amah ini akan hanya duduk di dalam kelompok mereka sahaja dan tidak akan bercampur atau bertemu dengan golongan yang diazab oleh Allah. Roh mereka akan dapat berinteraksi sesama mereka. Tinggallah mereka di alam barzakh dengan menerima nikmat dari Allah sehinggalah mereka dibangkitkan di hari akhirat untuk dibicarakan bersama golongan lain.

Y.Bhg. Dato’ juga menasihatkan supaya semua hadirin dan penonton agar memperbanyakkan amal soleh semaksima mungkin. Katanya, kita melakukan amal soleh dengan harapan kita akan terlepas dari azab kubur. Lepas dari ujian azab kubur bermakna peluang kita untuk ditempatkan di syurga Allah adalah sangat cerah. Ada doa yang diajarkan supaya kita semua dilepaskan dari azab kubur tetapi doa saja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan melakukan suruhan-suruhan lain seperti solat, puasa dan lain-lain.

Ringkas untuk kali ini. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang diberi nikmat oleh Allah di alam barzakh kelak.

Abu Wafi

Pic: Ishafizan Ishak

Advertisements

Orang dahulu lebih baik

Published March 25, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Suatu hari saya berada di  Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Ketika itu, saya sedang menunggu giliran untuk perbicaraaan kes guaman sivil yang saya kendalikan. Sementara menunggu giliran kes saya dipanggil, sempatlah saya mendengar kes-kes sebelum kes saya. Kebetulan majoriti kes yang didengar pada hari itu melibatkan kes-kes perceraian sivil, tuntutan nafkah dan tuntutan hak penjagaan akan (custody). Bagi kes-kes seumpama ini peguam dan kedua-dua pasangan suami isteri perlu hadir untuk menjawab sekiranya Hakim menanyakan soalan-soalan tambahan.

Saya memerhati dengan penuh minat. Ada satu kes tuntutan nafkah anak oleh pihak isteri.

Peguam : Yang Arif, ini merupakan satu bicara permohonan di Lampiran1. Permohonan ini adalah tuntutan pembayaran nafkah daripada Plaintif kepada Defendan (suami) untuk anak sebanyak RM1,000 sebulan. Permohonan ini disokong oleh Afidavit Pemohon .

Hakim : Defendan ada apa masalah dengan permohonan ini?

Defendan: Tuntutan terlalu tinggi Yang Arif, saya tak mampu.

Hakim: Tetapi di dalam afidavit sokongan telah dinyatakan jumlah pendapatan kamu. Bukankah ini benar?

Defendan : Saya sekarang sudah tidak mempunyai pendapatan sebanyak itu. Saya tidak bekerja di situ lagi.

Hakim : Apa awak ada buku akaun bank terkini ?

Defendan : Ada  Yang Arif

Hakim : Boleh awak kemukakan dalam mahkamah hari ini?

Defendan : Dalam keadaan serba salah. “errr boleh Yang Arif.

Hakim : Baik, saya tangguhkan bicara ini selama 30 minit untuk membolehkan Defendan mengemukakan buku akaun bank terkini.

Riak muka suami saya lihat tidak selesa, namun atas arahan Mahkamah beliau tiada pilihan melainkan perlu mengemukakan kepada Mahkamah. Mahkamah perlu meneliti kebenaran kata-katanya.

Hakim masuk semula ke dalam kamar. Kami semua menunggu. Ada peguam yang resah kerana terpaksa menunggu lama lagi.

Selepas setengah jam, kes tersebut dipanggil semula.

Mahkamah dikejutkan bila buku akaun bank menunjukkan beliau mempunyai simpanan sebanyak RM100 ribu lebih dan ada rekod kemasukan wang setiap bulan sebanyak RM10,000 secara konsistent. Mungkin ini gajinya setiap bulan fikir saya. Mustahil dengan pendapatan sebanyak itu beliau tidak mampu untuk membayar nafkah 2 orang anak sebanyak RM500 setiap seorang. Tambahan lagi, si isteri tidak bekerja. Dengan lain perkataan, beliau telah berbohong dengan Mahkamah sebelum ini. Patutlah mukanya serba tak kena.

Hakim : Menggeleng-gelengkan kepala sambil memandang Defendan dengan pandangan yang tajam.

“Setelah mendengar permohonan Plaintif di Lamp 1 yang disokong oleh Affidavit di Lamp.2 dan setelah mengambil kira keterangan-keterangan yang diberi oleh Plaintif dan Defendan serta keterangan-keterangan lain, maka Mahkamah membenarkan permohonan Plaintif seperti yang dituntut di Lamp.1.  (Order In Terms) Defendan dikehendakki membayar RM1,000 sebulan kepada Plaintif. Kos permohonan ini ditanggung oleh Plaintif.

Saya tidak tertarik dengan perintah yang diberikan oleh Hakim berkenaan kerana saya boleh menjangkakan keputusannya. Tetapi saya lebih tertarik dengan ‘remarks‘ atau kenyataan sampingan yang dibuat oleh Hakim sebelum membacakan keputusannya. Hakim ini seorang yang lemah lembut dan bukan jenis marah-marah seperti sesetengah Hakim lain. Cumanya, beliau terkenal dengan kata-katanya yang pedas dan tajam menikam jiwa. Namun saya cukup menyukainya kerana sifatnya yang tenang tetapi kesan tindakannya cukup mendalam kepada sesiapa sahaja.

Hakim tersebut memandang kepada Peguam yang mengendalikan kes tersebut dan juga kepada Defendan lalu berkata.

“Peguam, setuju tidak kalau saya katakan bahawa orang dahulu lebih jujur dari orang sekarang?”

Peguam tersebut tersentak, saya juga tersentak dengan pertanyaan Hakim tersebut. Saya cuba meneka-neka apa maksud kata-katanya.

“Setuju atau tidak, jika saya katakan generasi datuk nenek moyang kita dahulu lebih baik, lebih boleh dipercayai dan lebih lurus berbanding kita pada hari ini? ulang Hakim itu lagi.

Peguam tersebut mengangguk-angguk tanda setuju sambil menjawab, “Benar Yang Arif”.

Barulah saya faham maksudnya. Hakim tersebut mungkin kecewa dengan sikap Defendan yang tidak bercakap benar di dalam Mahkamah. Kalaulah di Mahkamah lain sudah tentu teruk Defendan dikerjakan, tetapi Hakim ini terkenal dengan ‘statement’ yang berbisa bagi siapa yang mendengarnya.

Sama ada Defendan insaf atau tidak dengan perbuatannya tidaklah saya pasti. Tetapi riak wajahnya yang merunduk ke bawah seolah-olah tidak sanggup untuk berhadapan dengan Hakim seperti menandakan adanya kekesalan yang timbul dalam dirinya. Mudah-mudahan beliau insaf.

Dalam perjalanan pulang ke pejabat saya berfikir panjang. Sungguh tajam kata-kata Hakim ini. Kata-katanya lebih tajam dari mata pedang. Walaupun kata-katanya ditujukan khusus kepada Defendan, namun bagi saya yang berada di galeri Mahkamah kata-kata itu sebenarnya ditujukan kepada semua yang ada di situ.

Benarlah kata beliau generasi terdahulu daripada kita lebih jujur dan tulus berbanding kita. Zaman sekarang adalah zaman penuh fitnah dan pembohongan. Amat jarang untuk kita berjumpa dengan manusia yang jujur di zaman ini walaupun jumlah yang ada tidak ramai. Jujur dan bercakap benar bermaksud individu tersebut takut dengan Allah. Hasil ketakwaan ini akan melahirkan manusia yang bersifat benar, bercakap benar,ikhlas, tulus,jujur dan sifat-sifat mahmudah yang lain. Inilah yang dimaksudkan oleh Hakim itu.

Kalau kita perhatikan dengan secara mendalam, datuk nenek kita dahulu hidup serba sederhana walaupun dihimpit kesusahan, walaupun tidak mempunyai teknologi wifi atau broadband yang canggih, tetapi kehidupan mereka adalah seadanya. Sifat saling bantu membantu dan mengambil berat antara satu sama lain yang bertunjangkan teras agama menjadikan peribadi mereka hebat. Zaman mereka budaya bergotong royong begitu dihidupkan dan sifat kiasu hampir tiada dalam diri mereka.

Begitu juga generasi-generasi sebelum  mereka sehinggalah generasi para sahabat. Semakin hampir generasi tersebut dengan generasi para Sahabat maka semakin baiklah generasi tersebut.

Sabda Rasulullah saw :

” Sebaik-baik generasi adalah generasiku, diikuti dengan generasi selepas mereka dan generasi berikutnya”.

Ibarat batang tebu yang ada pada pohon tebu, bahagian pangkal tebu yang paling hampir dengan tanah adalah bahagian yang paling manis berbanding dengan bahagian yang di atas.

Bandingkan zaman para sahabat dengan zaman kita. Terlalu jauh bezanya. Mereka jauh ketinggalan dari sudut teknologi namun kita jauh ketinggalan dari sudut iman dan amal kebajikan. Di zaman para tabi’en pula, hampir majoriti rakyatnya adalah para solehin dan siddiqin berbanding kita di zaman ini yang sukar untuk dicari. Zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz hampir keseluruhan rakyatnya  menghidupkan malam dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan bermunajat kepada Allah, manakala di zaman mutaakhir ini terlalu sedikit yang menghidupkan malam. Betapa jauhnya zaman kita dengan zaman mereka.

Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1999 atau 2000 namun kata-kata Hakim tersebut masih berbekas dalam diri saya. Tiba-tiba pada hari ini saya teringatkan kata-kata tersebut walaupun sudah sekian lama saya meninggalkan profession perundangan.

Apa pun yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

Mudah-mudahan kita semua dapat mengambil manfaatnya jika kita mahu merenung dan mengambil pengajarannya.

Abu Wafi, Putrajaya

Pic: Ishafizan Ishak

Bahan bakar api Neraka

Published March 18, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Tuan-tuan dan Puan,

“Untuk apa kita mempunyai anak? 

“Bersusah payah Kita membesarkan anak, menyekolahkan mereka dan memberi pendidikan setingginya tapi untuk apa semua itu, kalau jiwa mereka kosong, hati mereka gersang dengan sentuhan iman? Ilmu dunia sahaja tidak mencukupi jika tidak dibekalkan dengan ilmu mengenal Tuhan. Ilmu mengenal Tuhan juga tidak mencukupi jika mereka tidak sentiasa diperingatkan mengenai tanggungjawab mereka di dunia ini. Jika kita menyangka bahawa anak yang dianugerahkan kepada kita sekadar untuk menjadi pelengkap atau penyeri kepada rumahtangga kita, maka di situlah letaknya kesilapan kita. Kita sebenarnya cuma mempersiapkan mereka untuk menjadi bahan bakar di dalam neraka kelak.”

Saya mengusap dada. Tersentak dengan kalimat terakhir penceramah. Tidak tahu untuk menggambarkan perasaan saya. Adakah amanah yang Allah berikan kepada saya untuk memelihara dan mendidik anak seramai 3 orang itu telah saya laksanakan sebaik-baiknya.

 Jika tidak sia-sia sahaja pekerjaan saya selama ini. Jika mereka gagal menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah, menjerumuskan diri ke dalam maksiat tiada kata lain yang dapat saya ungkapkan melainkan saya telah berjaya mempersiapkan mereka untuk menjadi bahan bakar api neraka sahaja.

Sungguh mengerikan.

“Cuba Tuan-tuan fikirkan, saya mempunyai seorang anak. Saya membesarkannya dengan penuh kasih sayang bagaikan menatang minyak yang penuh. Saya hantar dia ke sekolah yang terbaik di negara ini. Dia lulus cemerlang di sekolah lalu melanjutkan pelajaran ke universiti kemudiannya berjaya meraih ijazah. Dia belajar lagi sehingga memperolehi Master dan Ph.D. Dia berjaya dalam kerjayanya setelah mendapat pekerjaan yang baik dan berprestij. Setelah dia mendapat semua itu, dia mati tidak lama selepas itu.

Saya ingin bertanya kepada Tuan-tuan di mana “nilai hidup’ anak ini?

Seorang anak yang saya curahkan kasih sayang, yang saya belai, yang saya didik dengan pendidikan dunia tetapi kosong jiwa dan gersang iman mereka. Apa jadi dengannya setelah kematiannya?

Berapa ramai anak-anak muda yang hidup seperti ini? Berapa ramai bijak pandai, ilmuan dan teknokrat yang kelihatannya hebat tetapi hidup mereka tersasar dari mentaati Allah. Hidup mereka bertunjangkan hawa nafsu. Hidup mereka bermewah-mewahan dengan dunia. Mereka sedar tentang adanya hari akhirat tetapi malangnya mereka tidak sanggup untuk meninggalkan ‘life style’ yang telah sedia sebati dengan mereka.

Kita bimbang jika fenomena ini berterusan akan menyebabkan wujudnya kepincangan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Generasi muda rosak bermakna ini adalah suatu simptom bahawa generasi tua yang ada sekarang juga rosak. Generasi muda sekarang rosak bererti generasi tua yang akan datang juga akan rosak dan begitulah seterusnya.”

Ujar penceramah tadi dengan penuh semangat sekali.

Saya menarik nafas panjang. Suhu di dalam auditorium tempat berlangsungnya ceramah motivasi keibubapaan tidak terasa sejuknya melainkan panas dengan lontaran nasihat penceramah. Kalimah menyediakan anak untuk menjadi bahan bakar api neraka tidak lain ditujukan kepada mereka yang gagal dalam mendidik anak-anak hidup berteraskan iman. Inilah kata-kata ulama terkenal dari India Ali An-Nadwi bila membicarakan mengenai pendidikan anak-anak.

Saya terfikir, cukupkah usaha saya selama ini? Berbaloikah wang ringgit yang telah ditaburkan untuk mempastikan mereka mendapat pendidikan agama yang sepatutnya.

Malam itu saya ke ke sebuah masjid. Ada forum best bertajuk ” Jalan Menuju Allah”. Saya terkejut kerana isi kandungan forum hampir menyamai ceramah yang saya pergi di sebelah pagi.

Pesanan panel ; ” Jangan biarkan anak-anak anda menjadi bahan bakar api neraka”

Pesanan yang akan saya ingat sampai bila-bila. Mampukah aku ?????

Abu Wafi

Pic: Ishafizan Ishak

Kunjungan Saiful Islam

Published March 12, 2010 by Menikmati Takdir Langit

 

Sunyi sepi seketika. Blog ini telah tidak saya jenguk sejak beberapa hari. Bukan sengaja, tetapi sibuk yang melanda tiba-tiba. Bagaikan badai ombak yang datang secara tiba-tiba menghempas pantai yang lesu.  Tiada post baru buat beberapa ketika. Saya kekeringan idea untuk menulis bila fikiran dipenuhi dengan kerja-kerja yang banyak. Apa pun saya cuba menjadi optimis dan berusaha agar tidak menjadi pesimis dan penuh negatif.Positif bermakna iman kita kuat untuk meneruskan hidup ini yang penuh ujian dan pesimis menandakan iman semakin lemah dan menurun menyebabkan kita menjadi tewas dengan ujian hidup. Inilah kata-kata hikmah yang pernah saya dengar. Begitulah agaknya hidup ini perlu dilalui dengan penuh hati-hati.

Tanggal 10 Mac 2010, satu lakaran sejarah tercatat apabila Ustaz Hasrizal Jamil seorang blogger,tokoh motivasi dan penulis terkenal singgah di pejabat saya untuk menyampaikan ceramah maulidurrasul. Saya rasa begitu bertuah sekali bila dapat mendengar pengisian yang disampaikan oleh beliau. Pendek,padat tetapi mesejnya sampai kepada penonton dan pendengar. Tidak mengecewakan.

Selesai ceramah, saya berkesempatan untuk duduk berbual dengan beliau sambil menikmati juadah yang disediakan pihak urusetia. Banyak ilmu dan pengalaman yang dapat dikongsi bersama beliau terutamanya berkaitan pengalaman luas beliau ketika bertugas sebagai imam di Belfast,Ireland.

Isi ceramah bukan sekadar sejarah rasul kesayangan kita semata-mata sebaliknya bagaimanakah keseluruhan kehidupan baginda dapat diaplikasikan dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Kita hanya tahu membaca dan menekuni sejarah baginda tetapi kita gagal untuk menterjemahkan kehidupan baginda ke dalam kehidupan kita. Itu masalahnya. Itu punca kepada kebejatan sosial dan jenayah yang semakin menjadi-jadi. Bukan remaja dan golongan muda yang harus dipersalahkan sebaliknya orang tua dan ibu bapa adalah punca kepada apa yang terjadi.Kita gagal mendidik manusia menjadi insan yang bertakwa. Kebejatan sosial remaja hari ini hanyalah simptom kepada kegagalan generasi sebelum mereka. Inilah hakikat yang perlu kita kaji dan lihat secara mendalam.

Rasanya cukup sekadar itu intipati ceramah yang dapat saya rakamkan. Terima kasih kepada Saiful Islam kerana berkunjung ke sini. Pengisian yang sungguh bermakna.

Abu Wafi, Putrajaya

Cinta Sehidup Semati

Published March 3, 2010 by Menikmati Takdir Langit

“Sejauh mana cinta abang pada Ita?” tanya sang isteri kepada sang suami.

“Demi cinta abang pada Ita, abang sanggup sehidup semati bersama Ita.” jawab sang suami.

Betul bang? ” tanya sang isteri lagi.

Benar, kita akan hidup bersama dan mati bersama” tegas sang suami.

Pernahkah anda mendengar dialog yang sedemikian rupa. Dialog yang dilafazkan ini selalu kedapatan dalam filem-filem dan drama-drama cinta.

Begitu juga kalau kita rajin meneliti kebanyakan filem-filem percintaan akan bermula dengan babak-babak romantis dan akan berakhir dengan episod yang  tragis dan sedih bila kedua-dua pasangan mati bersama sama ada dibunuh oleh penjahat atau anggota keluarga yang tidak merestui percintaan mereka. Filem-filem Bollywood seperti Sanggam, Bobby yang popular suatu ketika dahulu adalah salah satu ikon cinta yang menjadi pujaan muda mudi. Dan kini filem-filem cinta dari Indonesia, Filipina  dan Korea mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh filem-filem Bollywood. Malahan tidak keterlaluan jika saya katakan filem-filem ini lebih ekstrem lagi apabila memaparkan percintaan yang sungguh luar biasa.

Cinta sehidup semati !

Soalnya apakah benar ‘ungkapan’ ini dan sejauh manakah percintaan suami isteri di dunia berpanjangan sehingga ke akhirat?

Berapa ramai pula suami isteri yang hidup bahagia di dunia namun ditakdirkan terpisah di akhirat? Suami tidak bertemu isteri di akhirat kerana tempat tinggal yang berbeza.

Berapa ramai pula pasangan yang hidup bersama di dunia tetapi ditakdirkan membawa haluan masing-masing di akhirat kerana amalan yang berbeza.

Saya teringatkan sebuah hadith yang pernah saya dengar dalam satu kuliah agama dulu. Hadith ini diriwayatkan dari Sayyidina Hassan r.a cucunda Rasulullah saw ketika menyaksikan peristiwa Rasulullah saw dan isterinya Saidatina Ai’syah r.a yang maksudnya lebih kurang begini.

Suatu hari Nabi saw tidur di atas pangkuan Aisyah. Kepalanya di atas riba Aisyah manakala badan baginda di atas lantai rumah mereka.

Ketika Aisyah membelai Nabi, dia amat terharu kerana menjadi isteri manusia paling agung di sisi Allah s.w.t . Terdapat ramai wanita dunia ini, tetapi Aisyah terpilih pasangan hidup Rasulullah s.a.w. Perasaan Aisyah bahagia tidak terkira namun dalam suasana hiba itu Aisyah terkedu bimbang jika nasib malang menimpanya seperti isteri nabi lain kerana di dunia mereka hidup bersama nabi sebagai pasangan suami isteri, tetapi pada hari akhirat suami mereka ke syurga manakala mereka ke neraka. Seperti isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut yang dirakamkan dalam Surah al-Tahrim ayat 10 antara maksudnya: “Kedua-dua isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut kedua-duanya masuklah ke neraka.” Mengingatkan suasana itu, Aisyah bimbang lalu menangis sehingga air matanya jatuh mengalir ke muka Rasulullah yang mulia itu lalu mengejutkan baginda.

Apabila terjaga, baginda terus bertanya kepada A’isyah apa yang terjadi. Aisyah menceritakan hal itu kepada Nabi yang kemudian baginda bersabda yang maksudnya: “Manusia akan lupa segalanya ketika berada pada tiga tempat iaitu ketika menerima catatan amalan, amalan ditimbang dan meniti titian siraatal mustaqim.

Begitulah hebatnya cinta dan kasihnya Ummul Mukminin Saidatina Aisyah r.a kepada baginda Rasulullah saw. Beliau tidak memandang cintanya sebatas dunia sahaja sebaliknya menjangkaui ke alam akhirat. Beliau bimbang jika kelangsungan cintanya kepada Rasulullah saw selaku suami tidak berkekalan di akhirat. Beliau adalah ummul mukminin bagi umat ini dan tempatnya telah terjamin bersama Rasulullah saw di hari akhirat, namun Aisyah tidak pernah mengambil sikap mudah dan opitimis bahawa beliau akan selamat di akhirat kelak. Aisyah tetap bimbangkan keselamatan dan nasibnya di sana. Aisyah bimbang jika tidak bertemu Rasulullah saw di sana. Aisyah bimbang jika nasibnya serupa dengan nasib isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut as yang derhaka pada suami masing-masing menyebabkan mereka terpisah dari suami mereka di hari akhirat sebagaimana yang digambarkan di dalam surah At-Tahrim :. Aisyah juga bimbang bila membaca kisah isteri Firaun, Asiah yang tidak bersama suaminya yang kufur kepada Allah.

Begitulah perasaan raja’ dan khauf yang menguasai diri Aisyah r.a. Rasa mengharap pada Allah supaya menyelamatkannya di hari akhirat dan rasa takut pada siksaan dan murka Allah seringkali bermain di jiwa beliau. Status Aisyah sebagai ummul mukminin sama sekali tidak menjadikan beliau seorang yang lupa diri dan over confident dengan kedudukan beliau yang mulia itu.

Sehebat mana sekalipun kecintaan kita kepada pasangan kita, anak-anak kita, cucu kita, ibu dan ayah, kita akan melupakan mereka di 3 tempat yang disebutkan oleh Nabi saw iaitu ketika menerima catatan amalan, (mizan) amalan ditimbang dan ketika meniti titian siraatal mustaqim.

Sebab apa?

Jawabnya adalah kerana di 3 tempat ini adalah situasi yang paling dasyat, paling ‘suspend’, paling dramatik sekali yang akan ditempuhi manusia sehingga mereka tidak mempunyai masa untuk memikirkan nasib insan tersayang.

Sehebat dan sekuat mana sekalipun cinta kita, semuanya akan dilupakan bila berada di 3 tempat ini. Suspend kerana bimbang menerima buku catatan amalan melalui tangan kiri, takut jika timbangan amalan kejahatan lebih berat mengatasi yang baik dan sangat-sangat takut jika tergelincir dan terjatuh ketika mennyeberangi titian siratal mustaqim yang penuh dengan halangan. Hatta para anbiya’ sendiri tidak terkecuali daripada perasaan takut  dan bimbang.

Masing-masing menjadi ‘selfish’ pada ketika itu! Bukan atas kehendak sendiri tetapi suasana  dan keadaan semasa itu yang menjadikan kita begitu.  Saya sendiri tidak dapat membayangkan nasib yang bakal saya tempuhi kelak. Sungguh dasyat dan ngeri sekali.

Mencintai makhuk hanyalah sebatas dunia ini sahaja namun kecintaan yang memastikan kebersamaan hidup di hari akhirat masih belum tentu lagi. Bergantung kepada amalan masing-masing dan hendaknya biarlah hala tuju kita seiring dan sehaluan. Jika lakukan amal soleh, lakukanlah bersama-sama. Jika bangun bertahajud di tengah malam yang sunyi lakukanlah bersama-sama. Bila sehaluan dan sefahaman, insyallah kebersamaan ini akan juga kekal di akhirat kelak sebagaimana Aisyah berada di sisi Rasullullah saw di sana nanti.

Jodoh bukan setakat ke anak cucu atau ke akhir hayat tetapi biarlah sehingga ke akhirat bersama selama-lamanya.

Abu Wafi

Pic: Ishafizan Ishak