Kuliah Ilmu

All posts in the Kuliah Ilmu category

Putrajaya Berselawat

Published April 21, 2011 by Menikmati Takdir Langit

9 April 2011 saya berkesempatan menghadiri majlis Maulid dan Haul Syeikh Abdul Qader Al-Jailani di Masjid Besi, Putrajaya. Majlis bermula seawal jam 5 petang dan berakhir jam 9.30 malam. Dihadiri oleh ribuan jemaah sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Tidak ketinggalan saudara-saudara kita dari negara jiran Singapura yang hadir bersama 9 buah bas dan kenderaan persendirian.Majlis dimulakan dengan ceramah demi ceramah dan selawat demi selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw sehinggalah tibanya waktu solat maghrib. Usai solat, mendengar ucapan tetamu kehormat iaitu Tun Abdullah, mantan Perdana Menteri Malaysia.

Ketua Pengarah  JAKIM

Tun Abdullah sedang berucap

Maulana Syeikh Afeefuddin

Buku Maulid Dibaie yang diedar secara percuma

Bacaan Maulid Dibaie secara beramai-ramai

Pengisian yang sungguh bermakna. Terasa syahdu dapat hadir ke majlis memperingati baginda Rasulullah saw dan mendengar tausiyah-tausiyah dan nasihat agama yang melembutkan hati.

Abu Wafi, Putrajaya 

Satu jam bersama Habib Munzir Al-Musawa

Published April 3, 2011 by Menikmati Takdir Langit

Tarikh :  27 Mac 2011 (Sabtu)

Ahad:  Selepas Isyak

Lokasi: Masjid Sultan Sallahuddin, Masjid Negeri Shah Alam

Sabtu lepas saya berada di Masjid Negeri, Shah Alam untuk mendengar tausiyah yang disampaikan oleh ulama terkenal dari Indonesia, Habib Munzir Fuad Al-Musawa. Beliau adalah anak murid kepada Habib Umar ulama besar dari Yemen yang pernah mengunjungi Malaysia baru-baru ini. Beliau adalah ulama yang mengasaskan apa yang dipanggil sebagai “Majelis Rasulullah” di negara kelahiran beliau sehingga berjaya menarik ribuan malahan jutaan umat untuk mengikuti majlis mengingati baginda Rasulullah saw. Boleh dikatakan setiap daerah yang dikunjungi oleh beliau akan mengadakan majlis zikir maulid untuk memperingati Rasulullah saw. Pendekatan beliau dilakukan kerana umat sekarang terlalu jauh dari mengingati Rasulullah saw apatah lagi mengikuti sunnah atau cara hidup baginda. Selain itu, beliau juga giat berdakwah ke seluruh pelosok pulau Jawa sehingga ke kawasan pedalaman untuk mengajak manusia kembali semula ke jalan Allah.

Alhamdulillah,walaupun kita tiada kesempatan untuk menatap wajah Rasulullah saw secara zahirnya, melihat susuk tubuhnya secara lahir, mendengar nasihatnya secara langsung apatah lagi menyentuh dan mengucup tangan mulia baginda namun  Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang masih menganugerahkan nikmat kepada kita untuk berada di dalam  Majlis Zikir dan Majlis Berselawat. Sekurang-kurangnya dengan adanya majlis seperti ini jiwa kita tidak akan gersang kerana sering disirami  dengan rahmat dari Allah berkat ingatan kita kepada baginda Rasulullah saw.

Memandangkan beliau baru sahaja tiba dari Jakarta dan masih keletihan, Habib Munzir hanya menyampaikan tausiyahnya selama 30 minit. Antara tausiyah beliau yang saya masih saya ingati ialah kisah kewafatan Rasulullah saw yang tidak sempat disaksikan oleh Muaz bin Jabal. Penceritaan beliau cukup menyentuh perasaan. Seorang jemaah di tepi saya menangis bila mendengar tausiyah ini. Berkata Ummul Mukminin Saidatina A’isyah r.a kepada Muaz bin Jabal bahawa jika Muaz berada di sisi baginda tentunya Muaz tidak sanggup untuk menatap saat-saat sakratul maut baginda. Wajah baginda sekejap merah sekejap pucat dek sakitnya dan mabuknya kesakitan sakratulmaut yang dipinta sendiri oleh baginda untuk merasainya bagi meringankan beban yang akan ditanggung oleh umatnya.

Justeru,Habib Munzir meminta semua jemaah supaya sentiasa mengingati baginda dan jasa-jasa baginda kepada kita.

Diberikan segala kunci di dunia ditangan Rasulullah s.a.w..jgn ditunggu lagi cintailah kamu akan Rasulullah s.a.w…jadikan dia itu akan idola, mentor kamu…

Antara majlis zikir dan maulid yang dianjurkan

Mengingati Rasulullah saw dengan banyak berselawat dan mengikuti sunnah baginda adalah kunci kebahagiaan dunia dan akhirat.

“Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu,sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin”.                

 Surah At-Tawbah: 128

Abu Wafi, Shah Alam