Archives

All posts for the month September, 2009

Syawal yang stereotype

Published September 30, 2009 by Menikmati Takdir Langit

image69

Berakhir sudah Ramadhan Kareem bulan yang dimuliakan. Terasa keusangan menguasai diri bila melihat masjid dan surau kembali sunyi sepi seperti sedia kala. Sambutan syawal seperti biasa dibesar-besarkan dengan rancangan TV dan hiburan yang berpanjangan dan melampau. Iklan-iklan raya dan balik kampung sudah tidak terhitung banyaknya.  Syawal benar-benar disambut dengan bersungguh-sungguh sehingga Ramadhan bulan yang melatih kita menjadi insan yang bertaqwa dilupa dan dipinggirkan. Seolah-olah Ramadhan ini menyusahkan kerana terlalu banyak JANGAN di dalamnya. Syawal yang stereotype di Malaysia.

Rancangan hiburan television asyik menyiarkan drama dan filem-filem raya yang sudah boleh diagak dan dibaca story line dan ending kisahnya.

Filem-filem Hari Raya mesti cerita sedih. Mesti ada kubur. Mesti ada cerita anak derhaka kemudian insaf namun ketika itu sudah terlewat kerana ibu sudah tiada. Meraung dan menyesali tindakan silam ke atas orang tua. Mesti ada lagu-lagu Allahyarham Sudirman yang mendayu-dayu dan melankolik. Mesti ada cerita ibu masak rendang, rebus ketupat sambil menunggu anak yang tak pulang. Mesti ada takbir dialunkan mendayu-dayu di surau atau masjid. Itulah Syawal di Malaysia… sangat stereotype.

Mari kita ubah paradigma ini terhadap Syawal..

Syawal ialah hari untuk kita bergembira dan riang ria sempena 1 Syawal namun bergembira seadanya bukan secara melampau-lampau. Kita berhak gembira kerana kita telah berjaya melalui latihan Ramadhan selama 1 bulan. Kita berjaya mengekang kehendak nafsu dengan memilih untuk meninggalkan kegemaran dan kesukaan kita kerana ingin menyukakan Allah. Kita memilih melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak nafsu yang sentiasa cenderung kepada kejahatan.

Ramadhan melatih kita… kita berjaya…. kita keluar di bulan Syawal dengan keazaman untuk mengekalkan istiqamah yang telah kita capai dalam bulan Ramadhan..

Seharusnya Syawal disambut dengan kegembiraan. Kegembiraan yang dibenarkan oleh syara’.

Sudah sampai masanya paradigma dan persepsi masyarakat terhadap kedatangan 1 Syawal diubah. Hentikan penyiaran kisah-kisah sedih dan menyayat hati. Hentikan kisah-kisah anak derhaka dan kehidupan yang susah. Sebaliknya siarkan kisah-kisah kejayaan umat Islam dalam mengharungi kehidupan yang penuh ujian. Kisah-kisah yang membangunkan jiwa dan menyalakan rasa motivasi untuk terus beribadah kepada Allah dengan lebih tekun dan sesempurna mungkin. Saya impikan kisah-kisah sejarah kepahlawanan pejuang-pejuang Islam seperti Salahuddin Al-Ayyubi atau Sultan Muhammad Al-Fateh ditayangkan supaya generasi umat Islam sekarang akan lebih mengenali dan memahami perjuangan mereka dalam menegakkan Islam. Filem-filem yang membangkitkan jiwa yang lemah dan tidur lena. Inilah paradigma yang perlu diperbetulkan. Jika tidak Syawal akan menjadi stereotype dan hambar setiap tahun.

Saya ada mendengar pandangan sebegini dilontarkan dalam satu forum baru-baru ini. Filem dan cerita-cerita menyambut Syawal dipersembahkan dengan kisah-kisah yang sama setiap tahun. Sedih berpanjangan.

Sesuatu perlu diubah…

ABU WAFI, Putrajaya

Advertisements

Setahun sudah pemergiannya

Published September 17, 2009 by Menikmati Takdir Langit

18 September 2009 ini genaplah setahun pemergian Allahyarham Khairil Hisham, sahabat baik kami ke rahmatullah. Beliau meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Tripoli, Libya ketika bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di sana.

Di dalam kemeriahan kita menyambut Lebaran, sedar tidak sedar sudah setahun beliau meninggalkan kami semua. Saya telah merakamkan catatan upacara pengkebumian allahyarham dalam entry  dalam bulan September 2008 bertajuk KehendakNya Dia Pergi… Tribute to Allahyarham Khairil Hisyam. Mudah-mudahan roh beliau tenang di barzakh,dilimpahi rahmat dan berada di kalangan para solihin,siddiqin dan syuhada’.

Kepada keluarga allahyarham khususnya isteri,anak-anak beliau, ibu, ayah, adik dan abang beliau bagi pihak diri saya saya merakamkan rasa sedih atas pemergian beliau. Saya juga akan sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan beliau di sana. Saya juga berharap seluruh keluarganya akan tabah, sabar dan cekal dalam meneruskan kehidupan dunia yang sementerara ini. Saya percaya dengan ketetapan Allah bahawa kita semua akan menyusul jejak langkah beliau ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat yang baqa’ yakni kekal abadi.

Sesungguhnya kehidupan dunia  hanya satu persinggahan seumpama seorang musafir yang tumpang berteduh di bawah sepohon pokok. Bila sampai masa yang dijanjikan kita akan meninggalkan tempat berteduh ini dan meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir. Alam akhirat yang menjanjikan balasan syurga dan neraka merupakan persinggahan terakhir. Syurga adalah kampung halaman bagi orang-orang mukmin kerana di situlah lahirnya Adam dan Hawa. Maka marilah kita sama-sama berazam untuk kembali ke kampung halaman yang dirindui lagi kekal selama-lamanya.

Al-Fatihah

ABU WAFI, Putrajaya

Mencari Lailatul Qadar

Published September 16, 2009 by Menikmati Takdir Langit

imam

Syeikh Romi

Saya diberitahu bahawa 23 Ramadhan tahun ini adalah lailatul qadar. Maknanya hari Sabtu malam Ahad. Ada juga yang menyatakan lailatul qadar jatuh pada hari Ahad malam Isnin. Serba kemungkinan tetapi yang pasti peristiwa sehari dalam 365 hari setahun ini berlaku dalam 10 terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah saw menyuruh kita supaya melipat gandakan ibadah dan memberikan TUMPUAN sepenuhnya pada 10 hari terakhir Ramadhan.

Jika benar lailatul qadar jatuh pada hari-hari yang saya sebutkan di atas maka berbahagialah dan beruntunglah kepada mereka yang menghidupkan malam tersebut dengan amalan-amalan seperti solat Isya’ berjemaah, solat terawih, bertadarrus, solat tasbih, solat tahajud, berdoa,solat sunat taubat, solat sunat hajat, berzikir, bertahmid dan diakhiri dengan solat witir. Berbahagialah mereka kerana berjaya meraih pahala beribadat selama 83 tahun atau bersamaan dengan 1000 bulan.

Di kala insan lain lena dibuai mimpi,mereka menyusahkan diri bermujahadah untuk bangun di sepertiga malam bagi mencari lailatul qadar yang penuh barakah.

Di kala insan lain sedang sibuk membuat persiapan raya, terbuai-buai dengan lagu-lagu raya yang nostalgik, mereka terus sibuk beriktikaf di dalam masjid, mengikut sunnah Rasulullah saw tanpa mempedulikan kehadiran Syawal yang menjelang tiba.

Mereka sibuk… sibuk dengan  amalan-amalan mendekatkan diri dengan Allah di malam hari. Malahan mereka sedih, menangis dengan saat-saat kepergian Ramadhan yang semakin hampir.

10 hari terakhir Ramadhan saya di Masjid Tuanku Mizan. Solat sunat terawih diimamkan oleh imam dari Syria bernama Syeikh Romi. Saya tersentuh dengan doa qunut dan doa akhir yang dipimpin  beliau semasa solat witir. Bacaaannya mendayu-dayu dan merayu-rayu sehingga beberapa kali beliau sebak, terhenti dan hampir-hampir menangis. Saya cuba memahami setiap bait-bait perkataan yang diucapkan berdasarkan pengalaman belajar bahasa Arab beberapa tahun lalu. Saya memahami bahawa beliau memohon ampun kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dan mengajak para makmum supaya menghayati dengan bersungguh-sungguh jua. Moga Allah redha.

Hanya tinggal 3 hari sahaja lagi untuk kita menamatkan pengajian di dalam madrasah Ramadhan. Jika lailatul qadar belum kunjung tiba, maka carilah di dalam 3 hari yang masih berbaki ini. Bermohonlah kepada Allah agar diketemukan dengan malam yang berbahagia itu.

Ya, 3 hari lagi. Mungkinkah lailatul qadar di dalamnya ?????

ABU WAFI, Putrajaya

Bagaikan hujan yang turun

Published September 11, 2009 by Menikmati Takdir Langit

hujan

source : psittacula

Sejak dua tiga hari ini, hujan turun tanpa mengira musim walaupun dalam bulan Ramadhan. Ramadhan bermakna panas terik namun bulan ini hujan turun juga. Kadang-kadang renyai-renyai dan kadang-kadang turun selebat-lebatnya.

Saya memerhati ke luar tingkap melihat gerimis yang mula turun perlahan. Akhirnya dari hujan renyai-renyai bertukar menjadi lebat atau‘down pour’ . Mencurah dan membasahi di sekeliling. Sudah seminggu keadaan ini berlanjutan dan saya hanya mampu melihat dari tingkap.

Saya teringat pesanan orang tua-tua lewat tahun 1970-an ketika saya masih di tadika.

“Jangan main hujan nanti demam.”

Ada pula yang berpesan :

“Kalau nak kena hujan jangan kena hujan yang awal-awal turun kerana masa tu banyak asid. Kalau dah setengah jam hujan turun kita keluar dan terkena hujan tak apa”.

Orang dulu-dulu suka menahan air hujan. Banyak faedah kata mereka. Boleh buat ubat dan mandi.Terutama air hujan yang dekat penghabisan.

Namun itu semua cerita lama. Cerita dulu-dulu. Sudah hampir tidak kedengaran lagi cerita orang zaman sekarang menahan air hujan untuk kegunaan sendiri.

Pada saya hujan tanpa mengira kategori hujan sama ada hujan peringkat awal, hujan di pertengahan atau hujan di penghujung kesannya tetap sama sahaja. Kalau terkena pakaian dan badan masih basah.

Saya teringat satu hadith Nabi saw bermaksud:

Daripada Anas bin Malik r.a., Perumpamaan umatku adalah seperti hujan; tidak diketahui sama ada awalnya atau akhirnya yang baik.”       

(Riwayat al-Tirmizi)

Ustaz, dalam banyak-banyak umat Nabi Muhammad saw, yang manakah satu yang paling terbaik? Adakah kerana kita tidak dapat berjumpa dengan Rasulullah saw maka kita tidak berpeluang untuk menjadi hamba yang bertaqwa seperti generasi sahabat?

 Saya pernah mendengar soalan seperti ini diajukan di dalam satu majlis ilmu.

Dan ustaz berkenaan menjawab dengan memberikan dalil di atas. Saya teruja kerana rupa-rupanya kita umat di akhir zaman ini masih berpeluang untuk menjadi golongan terbaik seperti para sahabat,tabi’ien dan tabi’ tabi’en (generasi selepas sahabat).

Tidak diketahui kedudukan yang lebih baik antara generasi terdahulu atau generasi terkemudian di kalangan umat ini. Ini kerana kedua-duanya mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri.

Generasi terdahulu berjihad bersama Rasulullah untuk menegakkan Islam. Generasi terkemudian berjihad menegakkan Islam dalam keadaan Islam telah tersebar luar ke seluruh dunia. Cabarannya berbeza kerana masing-masing mempunyai kelebihannya tersendiri.

Justeru, usahlah bersedih hati jika keimanan kita tidak mampu mencapai tahap generasi terdahulu kerana kita masih berpeluang untuk menjadi yang terbaik di kalangan hamba-hamba Allah yang soleh.

Apa yang penting ialah berusaha ke arah itu dan berdoa agar diberikan ketetapan dan kesempurnaan iman. Insyallah….

Di luar hujan masih turun lagi…..

ABU WAFI, Putrajaya

100 meter terakhir

Published September 8, 2009 by Menikmati Takdir Langit

PC220990

Ramadhan semakin melewati kita….

Ramadhan semakin meninggalkan kita sehari demi sehari…

Jemaah terawih makin susut dan berkurang….

Kemeriahan menyambut Ramadhan makin pudar….

Iklan di TV dan media perdana mula memaparkan iklan dan promosi Syawal…

Hatiku makin sedih dan pilu mengenangkan Ramadhan 1430 akan mula meninggalkan kita…

Jika Ramadhan ini seperti sebuah bangunan maka ianya sedang memasuki fasa terakhir pembinaan insan.

Jika Ramadhan ini seperti permainan bola sepak, maka ianya sedang memasuki separuh masa kedua…

Ya, Ramadhan untuk tahun ini akan pergi. Belum tahu sama ada kita akan dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan akan datang.

Saya teringat semasa di zaman persekolahan 17 tahun yang lalu. Pengetua saya semasa perhimpunan mingguan selalu mengingatkan kami tentang pentingnya pelajaran dalam kehidupan masa depan. Paling saya tidak dapat lupakan adalah beliau selalu menekankan perkara 100 meter terakhir.

KENAPA 100 METER TERAKHIR ???

Kami di ambang peperiksaan SPM/STPM lewat tahun 1992. Pengetua berpesan;

“Kamu semua sedang berada di dalam 100 meter terakhir. Justeru, kamu semua mesti memecut dengan pantas dalam 100 meter terakhir ini supaya kejayaan yang manis akan mengiringi kamu semua”.

Apa maksud yang tersirat di sebalik kata-kata beliau ini?

Beliau mahukan kami melipatgandakan usaha di saat-saat akhir ketika peperiksaan hampir menjelang. Jangan bertangguh dan jangan buang masa lagi. Jangan leka dan jangan berbulan madu lagi. Usaha lebih kuat lagi.

Beliau menekankan bahawa usaha berterusan perlu dilakukan sejak dari awal tahun lagi. Namun usaha yang lebih gigih dan keras perlu dilipat gandakan lagi di saat-saat akhir.

Pelari jarak jauh 5000 meter yang bijak tidak akan memecut di awal lariannya kerana tindakannya itu  boleh menyebabkan beliau kehilangan tenaga dan stamina. Strategi beliau adalah berlari seminima mungkin namun tidak membiarkan dirinya ditinggalkan jauh oleh pelumba lain. Lariannya akan dilajukan sedikit demi sedikit. Sekiranya ada persaingan atau ketinggalan dengan pelumba lain beliau perlu bersikap tenang dan tidak tergesa-gesa. Akhirnya beliau akan memerah tenaganya yang tersimpan dengan memecut pada 100 meter terakhir menuju garisan penamat. 

Tenaga yang tersimpan akan dikeluarkan pada 100 meter terakhir…

P1061258

Begitu juga dengan pelajaran. Pengetua kami mahu kami consistent dalam pelajaran dan peperiksaan semester sejak dari awal tahun. Peningkatan pelajaran tidak perlu terlalu drastik  sehingga menimbulkan perasaan over confident dalam diri pelajar. Sikap terlalu over confident  boleh membunuh prestasi pelajar dalam peperiksaan yang sebenar. Buktinya, ramai kawan-kawan saya cemerlang dalam peperiksaan percubaan namun kecundang dalam peperiksaan sebenar kerana sikap over confident yang berlebihan.

Begitu juga dengan Ramadhan…

Ramai yang rajin ke  ke surau dan masjid seawal Ramadhan sehingga melimpah ruah ke luar masjid…

Ramai yang rajin beribadat di awal Ramadhan dengan solat sunat, bacaan Al-Quran, bersedekah dan beramal jariah….

Begitu bersungguh-sungguh dan beriltizam dengan amal ibadah di awal Ramadhan.

Namun, tidak ramai yang mampu mengekalkan konsistensinya. Buktinya, surau dan masjid makin kurang sebaliknya Shopping complex mula penuh sesak seusai Maghrib. Syawal semakin didambakan kedatangannya manakala Ramadhan mula dilupakan…

Keluhan ini biasa saya dengar dari imam dan pegawai-pegawai masjid. Majlis-majlis iftar dan qiamullail kurang mendapat sambutan. Ramai yang teruja di awal namun hilang stamina di 100 meter terakhir Ramadhan. Ramai yang bersemangat di garisan awal namun tumbang di garisan penamat.

100 meter terakhir mempunyai ganjaran yang sungguh lumayan lagi besar. Jika kita merasakan jualan murah hari raya di pasaraya lebih menarik, tawaran merebut pahala Ramadhan yang masih berbaki ini lebih menarik lagi.

Allah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda untuk mereka yang beribadat dengan khusyuk dan ikhlas di sepanjang 100 meter terakhir Ramadhan.

Pada 100 meter terakhir ini Allah menganugerahkan kita dengan Lailatul Qadar yang lebih baik dari 1000 bulan. Beribadat di malam ini akan mendapat pahala ibadah yang tidak dikurniakan kepada umat-umat lain. 70,000 malaikat akan turun ke muka bumi ini untuk bersama-sama dengan mereka yang menghidupkan malam dengan amalan-amalan sunat . Malahan mereka akan turut bersama memohon keampunan Allah untuk dosa-dosa yang telah kita lakukan. Rugilah jika tawaran istimewa setahun sekali ini tidak direbut. Rugilah mereka yang mengisi malam dengan tidur yang nyenyak. Rugilah jika keampunan dari Allah tidak dipinta.

“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya [mengurangi tidur] kerana [sembahyang malam] seraya berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa takut [terhadap seksaNya] dan mengharapkan [rahmatNya]      As-Sajadah : 16

Sepertiga akhir Ramadhan adalah merupakan kemuncak kepada bulan Ramadhan. Rasulullah saw, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah, apabila masuk 10 terakhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan ikatan pinggangnya [1] dan menghidupkan malam tersebut dengan mengerjakan ‘ibadah sepanjang malam dan membangunkan ahli keluarga Baginda  untuk menghidupkan malam tersebut dengan mengerjakan ‘ibadah. Ada riwayat pula menceritakan bahwa Baginda melipatgandakan atau lebih tekun beribadah pada 10 malam terakhir Ramadhan. (Source: Al-Fansuri)

Marilah kita sama-sama merebut peluang di saat-saat akhir Ramadhan ini. Tingkatkan kelajuan dengan mempertingkatkan ibadah. Rebutlah peluang di saat-saat Ramadhan masih berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Ramadhan bukan sekadar puasa di siang hari sebaliknya Ramadhan adalah sebuah imtihan atau peperiksaan untuk menguji keimanan kita. Mudah-mudahan Allah meredhai kita.

Moga bermanfaat.

ABU WAFI, 62250 Putrajaya

Good things are meant to be shared

Published September 4, 2009 by Menikmati Takdir Langit

P7114776

 Saya suka dengan slogan di atas. Walaupun ringkas namun mempunyai maksud yang cukup tinggi.

Ringkas, tetapi significant.

Perkara yang baik perlu dikongsi bersama.  Perkara yang baik boleh jadi bermacam-macam.

Perniagaan kita mendapat untung berlipat ganda, maka apa salahnya kita memperuntukkan sebahagian daripada rezeki yang kita perolehi itu untuk sedekah dan amal jariah. …. Good things are meant to be shared.

Setelah melakukan research bertahun-tahun, seorang saintis berjaya menemui serum yang boleh mengalahkan virus selesema babi atau H1N1. Apalah salahnya jika serum yang ditemui ini dikongsi bersama dengan insan lain yang lebih memerlukan lebih-lebih lagi mereka yang sedang bertarung dengan maut di hospital. …. Good things are meant to be shared.

Seorang lelaki mempunyai suara emas yang sungguh merdu. Apa salahnya jika suara yang merdu tadi digunakan untuk mengalunkan lagu-lagu dakwah yang mengajak manusia ke jalan kebaikan…Good things are meant to be shared.

Seorang ulama mempunyai kepakaran melakukan ijtihad bagi mengeluarkan hukum-hakam semasa. Apa salahnya jika ilmu tadi digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah umat Islam semasa yang bertelingkah mengenai hukum hakam yang tidak dijelaskan secara terang di dalam Al-Quran dan Sunnah. …Good things are meant to be shared.

Seorang professor mempunyai Ph.D dalam bidang yang belum pernah diterokai di negara sendiri. Apa salahnya, jika pandangan, analisis dan dapatan beliau digunakan untuk memajukan negara sendiri……Good things are meant to be shared.

Slogan ini boleh dilihat daripada perspektif yang pelbagai bergantung kepada bentuk perkara baik yang kita dapat. Asalkan semuanya memberi manfaat dan faedah kepada orang lain.

Tetapi saya ingin melihat dari perspektif berkongsi harta benda dan berkongsi perasaan dengan orang lain. Sesuatu yang menggembirakan mereka yang tidak mendapat apa yang kita perolehi.

Sesungguhnya berbuat baik kepada manusia lain sangat dituntut oleh Islam apatah lagi jika kebaikan yang dikongsi bersama orang lain adalah sebahagian daripada harta benda yang kita sayangi.

Berkongsilah kebahagiaan dengan anak-anak yatim..

Berkongsilah kegembiraan dan kekenyangan dengan fakir miskin….

Jika kita mampu cubalah memahami dan berkongsi masalah yang mereka hadapi. Mudah-mudahan kebaikan yang kita kongsi bersama mereka dapat meringankan, melegakan dan seterusnya memupuk kasih sayang sesama manusia.

KISAH BISHRILHAFI

Ibn Qayyim Al-Jawziyyah di dalam kitab Al-Faraid meriwayatkan kisah seorang pemuda soleh bernama Bishrilhafi.

Suatu hari Bishrilhafi dikunjungi oleh sahabat-sahabatnya. Alangkah terkejutnya apabila mereka mendapati Bishrilhafi tidak berbaju dalam cuaca sejuk malam. Lalu mereka bertanya:

“Mengapa engkau tidak berbaju di malam yang sejuk padahal engkau mempunyai kain untuk menutup badanmu”.

Bishrilhafi menjawab : “Jika aku tidak mampu bersimpati dengan memahami kemiskinan sekurang-kurangnya aku boleh bersimpati dengan merasai kesejukan mereka.”

Kagumnya saya bila membaca kisah pemuda soleh ini. Bishrilhafi seorang yang sangat bertakwa sehingga sanggup berkorban untuk merasai penderitaan dan kekurangan orang lain. Kita ?????

KESIMPULAN

Sempena dengan Ramadhan Al-Mubarak yang semakin hari semakin melewati kita, marilah sama-sama kita meningkatkan amal kebajikan dengan banyak bersedekah, menziarahi anak-anak yatim golongan fakir miskin dan membantu mereka setakat yang termampu. Jangan biarkan hidup mereka tersisih. Jangan tinggalkan masalah mereka untuk diselesaikan oleh pihak-pihak berwajib sahaja kerana kita juga bertanggung jawab besok di hadapan Allah. Kesusahan dan kepayahan yang mereka alami, adalah ujian untuk mereka dan juga ujian untuk kita. Sejauh mana kesanggupan untuk kita menyumbang adalah ujian besar untuk kita…..

” Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya serta dia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesengsaraan. Dan apakah pertolongan yang dapat diberikan kepadanya oleh hartanya apabila dia telah terjerumus (ke dalam siksaan hari akhirat)”                                                              Surah (92) Al-Lail: 8 – 11

Sudah sampai masanya kita meletakkan agenda ini di dalam perancangan hidup kita. Bersedekahlah walau sebiji kurma dan segelas air sekalipun sekiranya dilakukan dengan ikhlas dan mengharap keredhaan Allah insyallah akan diganjar dengan syurga.

Mudah-mudahan dengan berkongsi kebaikan dengan orang lain akan melahirkan suasana yang sihat, perpaduan yang erat di kalangan masyarakat tanpa mengira status.

GOOD THINGS ARE MEANT TO BE SHARED  WITH EVERYBODY IN THIS WORLD  !!!!!!!!!!!!

ABU WAFI, Putrajaya

Sungguh saya terleka

Published September 3, 2009 by Menikmati Takdir Langit

P8054944

Catatan Jibby, Gurney Drive Penang.

Suatu ketika dahulu saya pernah tercari-cari makna hidup. Ketika itu saya masih bujang dan masih belum mengenali erti tanggungjawab hidup berkeluarga. Bebas bergerak ke sana ke mari. Tiada siapa mempersoal dan tiada siapa bertanya. Namun ada kalanya hati kecil saya bertanya ke mana hala tuju hidup saya. Terasa kosong.

Untuk mengisi jiwa yang kosong saya suka keluar “outing” selepas waktu kerja. Duduk lepak di jetty bas Butterworth sambil menikmati nasi lemak, telor separuh masak dan teh tarik. Ada kalanya, saya menyeberang jambatan Pulau Pinang untuk menikmati sup kambing di Penang Road bersama teman-teman rapat. Semuanya kerana ingin mengisi masa santai supaya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang menggembirakan lagi bermakna.

Ada kalanya saya menemani teman-teman untuk ‘window shopping’ di pusat-pusat membeli belah seperti Penang Megamall, Gurney Drive atau Carefour Seberang Jaya. Sungguh indah saat itu bila dikenang-kenang kembali. Saya benar-benar bebas menikmati hidup sebagai orang muda. Ketika itu umur saya dalam lingkungan 25 hingga 28 tahun.

Adakalanya saya hilang tujuan. Tidak tahu hendak ke mana. Semua tempat telah diterokai. Semuanya terasa membosankan. Hidup terasa sungguh “dull and somber“. Tawar dan tiada perisa. Apakah yang menyebabkan tawar? Kenapa jiwa terasa kosong? Kenapa hidup terasa tidak bermaya? Saya tercari-cari lagi…

Ketika bersama teman-teman rapat melakukan aktiviti bersama, saya merasa sungguh gembira dan ceria. Kadang-kadang kami mengadakan ‘potluck’ , ada kalanya bercuti bersama di Langkawi dan ada kalanya bersembang-sembang kosong di kopitiam. Namun kegembiraan dan kegirangan saya ini tidak kekal lama dan jiwa saya kembali kosong. Entah mengapa….. Saya tercari-cari lagi.

Hanya semalam. Setelah 10 tahun berlalu saya mengutip kembali satu persatu kenangan demi kenangan yang telah dilalui. Saya mendapat jawapannya. Jiwa kosong kerana tiada pengisian. Pengisian dengan ilmu yang mengenalkan saya dengan Allah. Lantas timbul rasa penyesalan yang amat sangat kerana membuang masa begitu lama.

Mengenang kembali zaman jahiliah yang pernah dilalui, saya terasa amat sedih dengan akhlak saya ketika itu. Amal ibadah kurang manakala halal dan haram kurang dititikberatkan.  Bukan saya tidak tahu semua ini, bukan saya tidak pernah belajar, bukan saya tidak pernah diberi peringatan.Saya lupa.

Mujur Allah masih menyayangi diri ini. Mujur Allah masih sudi mencampakkan hidayahNya kepada diri ini. Mujur Allah masih mahu menyelamatkan saya dari terus hanyut dengan  dunia. Tidak dapat dibayangkan jika saya dijemput menghadapNya ketika waktu penuh kelalaian itu. Mengenangkan apa akan saya hadapi ketika di barzakh menjadikan saya bertambah bimbang.

Bersediakah saya dengan skema jawapan untuk menghadap mungkar dan nakir?

Di mana pula peguambela-peguambela saya seperti solat, puasa, zakat, haji, Al-Quran yang dijangka akan membantu saya dalam menghadapi soal jawab itu kelak?

Bersediakah mereka untuk membela saya? Cukupkah kelengkapan yang telah saya sediakan untuk mereka? Mantapkah hujah mereka nanti ? Akan datangkah mereka membela saya atau mereka akan meninggalkan saya kerana saya tidak pernah mempedulikan mereka ketika di dunia? Alangkah ruginya….

Agaknya jika kerugian saya ini boleh ditaksirkan seperti di dunia, mungkin saya adalah seorang yang muflis.  Muflis dengan amalan kosong menghadap Tuhan.

Solat pun dalam keadaan lalai malah terkadang  terlepas waktu sebab sibuk dengan kerja….

Puasa sekadar lapar dan dahaga sahaja.

Al-Quran… jarang-jarang diselak apatah lagi  berusaha untuk memahami maksudnya.

Zakat… tidak pernah diendahkan. 

Bersedekah tidak pernah terlintas di hati walaupun ada lebihan simpanan gaji setiap bulan..

Wang banyak dihabiskan untuk aktiviti-aktiviti libur dan menghibur hati.

 Nauzubillahiminzalik !!!! Saya berada di dalam zon leka dan lalai.

Tiba-tiba saya tersedar macam baru bangun dari mimpi yang panjang. Peluh memercik di dahi. Lamunan saya terhenti. Baru saya tersedar, sebentar tadi saya membaca Surah As-Sajadah dan bila sampai di ayat no. 12 saya terhenti lama di situ:

” Kalau sekiranya engkau lihat, ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala kepada Tuhan mereka seraya berkata : Wahai Tuhan kami! Kami telah melihat dan telah mendengar (seruan Rasul), maka sebab itu kembalikanlah kami ke dunia supaya kami kerjakan amalan soleh, sesungguhnya kami sekarang sudah yakin.

Ketika di dunia mereka telah diberi peringatan tentang hari pertemuan mereka dengan Allah yakni hari akhirat. Malah telah sampai para rasul untuk memberi peringatan kepada mereka dan mengajak mereka ke jalan Allah namun tidak diendahkan, sehinggalah mereka menemui Allah dalam keadaan tidak bersedia. Mereka meminta supaya dikembalikan ke dunia supaya dapat melakukan amal soleh namun segalanya sudah terlambat buat mereka. Keyakinan mereka di saat mereka dibawa menghadap Allah sudah tiada gunanya kerana pintu taubat telah pun tertutup buat selama-lamanya.

Ayat ini telah membawa saya mengelamun jauh mengingati saat-saat lalai saya sehingga saya tidak sedar bacaan saya telah terhenti pada ayat no.12 ini.

Alhamdulillah… syukur kepada Allah kerana menyedarkan saya sekali lagi pada waktu ini. masih belum terlewat.Lantas tangan diangkat memanjatkan doa:

” Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati-hati kami, setelah engkau memberi hidayahmu”

Saya meneruskan bacaan hingga ke ayat terakhir. Mudah-mudahan hidayah yang diberi akan berkekalan hingga ke akhir hayat. Ya Allah, Terima kasih kerana menyedarkan aku di dalam  Ramadhan kali ini !!!