Perjalanan hidupku diteruskan lagi dan lagi

Published February 19, 2012 by Menikmati Takdir Langit

Februari datang lagi. Datang tidak diundang. Datang memaklumkan bahawa usia saya semakin bertambah. Tiada sebab untuk saya berasa gembira. Tiada sebab untuk saya rasa gembira dengan potongan kek dan ucapan selamat hari lahir yang datang bertubi-tubi. Saya gembira sambil mengucapkan syukur ke hadrat Illahi kerana memanjangkan usia saya di dunia yang sementara ini.

Saya bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kepada diri ini untuk terus hidup, berjalan, berlari dan berjuang dalam kehidupan yang serba mencabar hari ini. Syukur kerana saya diberi peluang untuk membuat koreksi diri apatah lagi di dalam usia 39 tahun ini semakin banyak peringatan dan mesej yang diberikan oleh Allah.

Saya memandang ke cermin, melihat helaian uban putih yang semakin banyak di tepi. Ohh semakin tuanya aku.

Ketika duduk bersila lama di masjid mendengar kuliah ilmu, saya terasa kebas. Oh semakin lemahnya aku.

Kadang-kadang ketika berjalan terasa sengal di bahagian pinggang, oh semakin kurangnya kudrat ku.

Bila bergerak terlalu pantas, terasa penat dan tercungap-cungap. Oh betapa tenagaku makin kurang.

Sedar atau tidak, sedikit demi sedikit tenaga dan kekuatan kita semakin hari direnggut oleh Allah. Dan kita semakin dekat menuju kepadaNYA.

Setahun lagi, angkat 4+ akan datang menjengah jika saya diizinkan Allah untuk hidup ke umur itu. 40 adalah angka keramat. “Life begins at 40” kata pepatah Inggeris. Rasulullah saw menerima wahyu dan seterusnya menerima kerasulan adalah pada usia 40. Jika pada usia 40 seorang itu baik maka baiklah ‘ending’nya, jika tidak maka sebaliknya. Inilah yang sering saya dengar orang bercakap.

Pentingnya umur 40 bermakna bermulanya titik permulaan malahan perubahan dalam hidup ini.

40 bermakna saya cuma ada 18 tahun lagi sebelum pencen kerja di dunia. Tapi belum tentu saya akan sempat sampai ke situ. Saya boleh merancang mulai sekarang untuk perancangan hari tua dari umur 40 namun seperti yang saya katakan itu pun jika saya diberi peluang oleh Allah. Jika tidak, maka saya akan pejam mata lebih sebelum sempat menikmati wang hasil pencen, gratuiti dan faedah lain yang berganda-ganda.

 Jika ingin baik, tak kiralah umur apa sekali pun, pilihlah untuk berubah dan mulakanlah perjalanan anda dari umur tersebut. Jangan tunggu sebelum segalanya sudah terlambat.

Perjalanan yang masih tersisa harap diteruskan. Perbetulkan yang mana mampu dan boleh diperbetulkan. Untuk kembali memulakan sejarah hidup dari titik paling awal yakni saat kelahiran kita sudah tidak mampu melainkan berubahlah dari sekarang.Perbetulkan masa sekarang dan masa hadapan insyallah akan terdorong lurus menuju akhirat yang kekal abadi.

Tinggal 1 tahun lagi sebelum aku melangkah masuk ke Gua Hira’.

Abu Wafi,

Bandar Baru Salak Tinggi.

Pic : Ihsan Akmal Abdullah

One comment on “Perjalanan hidupku diteruskan lagi dan lagi

  • Leave a comment