Buku

All posts in the Buku category

Enjoy your life

Published November 10, 2010 by Menikmati Takdir Langit

 

Forgive me for my long absence. Anyway 2 days ago, I bought a new book from Dakwah Bookstore  in Seksyen 14, Petaling Jaya. A very interesting book written by Dr. Muhammad ‘Abd Al-Rahman Al-Arifi a prominent scholar from Saudi Arabia. This books actually was recommended by my brother. The author writing reminds me of Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni masterpiece ie: “Dont be Sad” or “La Tahzan” which became the best seller throughout the world.

This is an exquisite collection of incidents from the life of the Prophet’s, stories from our Islamic Heritage, and thought-provoking anecdotes from the life of the author. The aim of the book is to train the reader to enjoy living his life by practicing various self-development and inter-personal skills. What is so compelling and inspiring about this book is that, in order to highlight the benefit of using social skills, the author draws from the lives of the Prophet (S) and his Companions.

This book is both a practical systematic guide to self-improvement and a treasure trove of historical incidents. It increases self-awareness, whilst nurturing the soul and strengthening the spirit.

In short, this book should be read by everybody irrespective of any races, religion and political belief. In fact, it can boost your motivational level up to the level that everyone cannot imagine it.  I must say that this book is strongly recommended to all readers.

The original version is in Arabic and was translated into English by Pustaka Darussalam. Nevertheless I enjoy reading it since the translator used a simple English.

An excrept of author’s foreword:

Hence this book is not the product of a month or a year’s toil. Rather, it is the result of twenty years of serious study.

Please read it and you will find answer to some of the question in your daily life. Hope to find more solution and improve ourself.

Abu Wafi,Putrajaya

Promosi buku ‘Mutiara Wahyu’

Published September 26, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Kulit buku

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mempromosikan sebuah buku baru di pasaran nukilan sulung adinda saya Ustaz Mohd.Syauqi. Buku bertajuk ‘Mutiara Wahyu’ adalah buah tangan beliau untuk umat ini. Buku ini berharga RM10.00 dan sesiapa yang berminat  untuk mendapatkan buku tersebut bolehlah berhubung dengan saya terus melalui emel shahnazku@yahoo.com.

Kulit belakang

Sedikit sinopsis mengenai buku ini, ianya dipersembahkan untuk bacaan dan memenuhi kefahaman orang awam yang mungkin sibuk untuk memahami ayat-ayat Al-Quran secara mendalam. Tiada masa untuk menelusuri tafsir secara terperinci, buku ini mempersembahkan ‘gist’ atau perincian penting di dalam Al-Quran yang boleh dikutip dan diamalkan. Tahniah kepada adinda kerana usaha pertama membuahkan hasil dan mudah-mudahan ada lagi karya yang akan dihasilkan pada masa yang akan datang. Semoga ilmu yang ada dalam buku ini akan memberi manfaat kepada mereka yang membacanya.

Kepada mereka yang ingin mengenali penulis dengan lebih lanjut  bolehlah mengikuti kuliah di atas yang mungkin akan membincangkan serba sedikit kupasan mengenai buku berkenaan .

Abu Wafi, Putrajaya

Hijau yang mempesona

Published June 26, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Saya baru sahaja membeli buku kecil ini 2 hari yang lalu di Masjid Kolej Islam PJ. Kerana buku ini saya sanggup ‘skip lunch’ meninggalkan pejabat untuk mendapatkan buku yang sungguh berharga ini. Mendengar nama tajuknya sahaja sudah menarik perhatian saya untuk mendapatkannya.

Buku kecil tulisan bekas siswazah Akademi Pengajian Islam UM Saudara Dzul Khairi ini bagi saya cukup berharga. Biarpun ringkas, isinya tetap padat dan sarat dengan nasihat-nasihat berguna yang dikutip dari para alim ulama sepanjang zaman.

Dengan harga RM8.00 anda akan mengalami kepuasan emosi dan santapan rohani yang mantap. Satu pelaburan yang kecil di dunia, namun satu pelaburan besar di sisi Allah.

Buku ini mungkin kecil atau dipandang sebagai bahan bacaan ringan oleh sesetengah pihak namun buku ini berupaya untuk mengubah persepsi dan sikap manusia menjadi lebih baik. Buku kecil bersaiz poket ini sama sekali tidak menghampakan sesiapa yang membacanya malah bisa menggerakkan hati yang lalai kepada Allah.

Dalam masa 40 minit  dengan 40 nasihat rabbani yang berguna untuk kehidupan siapa sahaja boleh mengkhatamnya.  Namun saya memilih untuk membaca berdikit-dikit kerana saya rasa sayang untuk menghabiskan buku ini. Biarlah saya memuaskan jiwa saya dengan titipan kata-kata semangat nukilan Imam Atoilah, Al-Qushairi, Ibnu Mas’ud dan ulama-ulama yang tajam mata hati mereka mengenai dunia ini.

Sempat juga saya meminjamkan kepada 2 orang rakan sekerja semasa waktu senggang dan komen mereka isi kandungannya adalah “mantop”.

Dunia ini ibarat sayur-sayuran hijau yang segar bugar, atau seperti rerumput dan dedaunan yang hijau namun sayangnya kesegaran dan kehijauan itu tidak bertahan lama. Mudah layu dan mudah hancur “perishable”. Warna hijau memang menarik dan menyegarkan kepada sesiapa yang melihatnya sehingga ada yang sanggup berusaha bermati-matian untuk mendapatkan kemewahan dan keseronokan yang tidak kekal itu.

Yang hijau itu menawan. Namun ia bagaikan fatamorgana, menipu kita tanpa kita menyedarinya    [m/s 50]

Sesungguhnya dunia ini mundur ke belakang, sedangkan akhirat ada di hadapan. Setiap daripadanya memiliki anak. Maka jadilah anak akhirat, jangan jadi anak dunia.[m/s 40]

Terima kasih kepada penulis atas usaha yang telah diambil untuk menghasilkan buku ringkas namun banyak manfaat untuk umat ini.

Abu Wafi, Seksyen 17 Petaling Jaya


Perkongsian buku-buku terbaru

Published January 6, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Sepanjang tahun 2009, saya telah membeli beberapa buku yang mungkin boleh dikongsikan bersama peminat-peminat buku.

Buku terbaru yang cukup bermanfaat untuk kita nukilan Ustaz Raja Ahmad Mukhlis yang mengupas kebahagiaan dari sudut tasawuf.

Sebuah lagi karya berharga adalah Syarah Kitab Hikam Jilid 1, tulisan Dr.Zulkifli Al-Bakri pensyarah USIM. Kupasan dan huraian dalam kitab ini sangat mantap,akademik dan tinggi.

Sebuah lagi buku yang sangat padat,ringkas tetapi cukup bermanfaat. Sesuai dijadikan hadiah kepada ‘newly wed couple’ kerana isi kandungannya merangkumi segenap aspek hidup yang perlu diamalkan oleh seorang muslim. Indahnya Hidup Bersyariat karangan Dato’ Ismail Kamus.

Buku seterusnya adalah “Pahala Hidup 7000 tahun” yang dicadangkan oleh rakan saya Ustaz Bakar dari Rawang. Beliau menggunakan buku ini untuk mengajar di masjid-masjid dan surau-surau sekitar Rawang. Sebuah buku motivasi agama yang mudah difahami oleh masyarakat awam.

 

Majalah Solusi yang semakin mendapat tempat di pasaran. Kolumnis yang pelbagai, rencam dan menyentuh masalah kehidupan.

Last but not least, Al-Ma’thurat which is compress in a newly style pocket size and hand carry.

MOGA BERMANFA’AT

 

Abu Wafi, Putrajaya

Hari-hari dalam hidupku

Published March 15, 2009 by Menikmati Takdir Langit

zainab

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh.(Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat,Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang besar”. [ At-Taubah : 111]

Salam,

Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili, begitulah tokoh yang ingin saya ketengahkan dalam entry saya kali ini. Seorang muslimah dan mukminah sejati yang bertepatan dengan ayat Al-Quran di atas. Membaca catatan perjalanan hidup beliau menyebabkan hati menjadi sebak. Kagum dengan semangat jihadnya yang tinggi dalam mempertahankan Islam dari diinjak-injak oleh regim sekular di Mesir lewat tahun 1950-an menjadikan saya merasa diri ini teramat lemah jika dibandingkan dengan perempuan yang berhati waja ini.

Antara kata-kata hikmah beliau :

” Kita mesti beriltizam dengan Islam, bukan hanya pengakuan di bibir sahaja, dan iltizam itu sendiri adalah Islam.Adapun pengakuan tanpa iltizam, maka itu adalah perkara lain.”

Buku ini telah lama saya cari sejak zaman pengajian di universiti lagi. Saya mencari lagi di pesta-pesta buku sejak 2006 lagi dan beberapa kali menghubungi pihak penerbit namun menemui kehampaan apabila dimaklumkan buku habis dicetak. Akhirnya, takdir menemukan saya dengan buku ini di sebuah gerai buku di Kompleks PKNS Shah Alam.

Antara bab yan paling menarik hati ialah catatan Zainab ketika berada di dalam penjara berair Tentera Mesir sekitar tahun 1950-an ialah mimpi beliau bertemu Rasulullah saw.

Aku tidak sedar bagaimanakah aku terus tertidur… sedangkan aku sentiasa berzikir mengingati Allah swt. Tidur ini merupakan tidur yang baik, mulia dan satu anugerah. Dalam tidur itu aku bermimpi. Mimpi yang diberkati. Mimpi bertemu dengan Nabi Muhammad saw. Aku simpan semuanya dalam memoriku.

Aku melihat dalam mimpiku itu seolah-olah aku berada di padang pasir yang luas. Aku melihat satu rombongan unta….. Rombongan perjalanan unta itu panjang dan tidak terhingga banyaknya. Aku merasakan seolah-olah aku berdiri di belakang seorang lelaki yang besar dan perkasa, yang mengepalai rombongan perjalanan ini. Hatiku meragui apakah itu Rasulullah saw.

“Engkau benar ya Zainab.Kau bersama Muhammad, jawab baginda.

“Saya ya habibi, ya Rasulullah. Apakah betul saya berada bersama Rasulullah saw?

“Kamu wahai Zainab berada di atas kebenaran, jawab baginda.

Lalu aku terbangun dari tidur. Dengan mimpi itu seolah-olah aku rasakan dunia ini aku yang punya. Aku hairan kerana dapat melupakan di mana aku berada dan ke mana aku di bawa… Kini aku tidak lagi merasa sakit-sakit akibat sebatan di dalam penjara”.

Membaca buku ini membuat kita seperti merasai setiap detik penderitaan yang diharungi oleh Zainab. Beliau seorang wanita yang lemah tetapi siksaan yang dilakukan ke atasnya tidak ubah seperti siksaaan yang ke atas seorang lelaki. Beliau merupakan pemimpin sayap wanita Ikhwanul Muslimin sewaktu perjuangan mereka membebaskan Mesir dari gejala sekular yang mencengkam pelosok negara. Bila rata-rata rakyatnya sudah hidup jauh dari landasan Islam maka Zainab lahir memperjuangkan sunnah Rasulullah saw bersama tokoh-tokoh lain seperti Hassan Al-Banna, Hassan Hudaibi dan Sayyid Qutb yang menemui syahid di tali gantung.

Beliau dipukul dengan tongkat,cemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang ganas, direndam seharian dalam penjara air yang busuk yang dipenuhi tikus dan pelbagai lagi siksaan yang tidak berperikemanusiaan. Namun beliau tabah menghadapinya dengan penuh yakin akan janji Allah: “Hasbunallahuwani’mal walil atau Cukuplah Allah sebagai  sebaik-baik Pelindung”.

Saya membaca kembali kisah beberapa sahabat Rasulullah saw yang disiksa oleh kafir Quraisy ketika mempertahankan aqidah. Cerita yang sama dengan pengalaman Zainab Al-Ghazali. Kisah Bilal bin Rabbah yang diletakkan seketul batu besar di belakangnya dan dijemur di padang pasir yang panas. Namun beliau tetap bertahan dengan kalimah “ahad, ahad” yakni menyakini Allah yang satu dan tiada Tuhan lain selain Allah.

Begitu juga kisah keluarga Ammar bin Yassir yang disiksa dengan dasyatnya. Yassir dan Sumaiyyah menemui syahid akibat siksaan yang berpanjangan itu, maka syurgalah sebagai ganjaran yang menanti mereka.

Saya teringat satu pertandingan pidato yang pernah saya sertai dalam tahun 1987 di Selama, Kedah. Tajuk pidato yang saya pilih ialah “Pemusatan Aqidah Teras Pemisah Daripada Pencemaran Budaya Mungkar”. Saya yang pada ketika itu masih belajar di Tingkatan 2 terpaksa meminjam teks khutbah datuk saya yang kebetulan imam di sebuah masjid di Parit Buntar Perak. Tajuk itu terlalu tinggi untuk budak mentah seperti saya. Beberapa kali saya cuba memahami maksud sebenar tajuk tersebut namun pemikiran saya ketika itu gagal untuk memahaminya. Isi teks pidato itu terlalu berat dan sarat dengan cadangan-cadangan penyelesaian yang konkrit. Akhirnya, saya hanya menelan bulat-bulat teks yang telah saya ubah suai dengan bantuan ustaz bersama hafalan beberapa ayat Al-Quran dan Hadith yang menjadi otoriti dalam pidato tersebut. Alhamdullillah, saya berjaya memenangi tempat ketiga di peringkat daerah Kulim-Bandar Baharu. Walaupun, saya tidak dapat mewakili daerah ke peringkat negeri namun saya puas kerana mesej telah berjaya disampaikan. Permulaan pertama untuk berdakwah kepada orang ramai. Beberapa tahun selepas itu, barulah saya benar-benar faham maksud tajuk pidato yang diberikan. Melalui pembelajaran yang berterusan ke atas subjek syariah semasa di Tingkatan 6 dan di universiti telah memberikan kefahaman yang jelas mengenai kepentingan menjaga aqidah. Terjaganya aqidah yang benar akan memelihara diri daripada terpesong kepada gejala-gejala mungkar yang mengundang dosa kering.

Membaca buku perjalanan hidup Zainab Al-Ghazali menjadikan saya lebih memahami maksud pidato yang saya sertai 22 tahun yang lalu secara lebih praktikal. Saya memahami secara praktikal bagaimana Zainab Al-Ghazali mempertahankan aqidahnya melalui dialog-dialog beliau di dalam penjara. Dialog bersama rakan-rakan satu sel dan dialog beliau bersama pegawai-pegawai penyiasat yang kejam di dalam penjara. Tidak kurang juga monolog beliau bersama Tuhannya lewat munajat dan sujudnya yang tidak putus-putus di dalam penjara. Biar pun disiksa hebat, namun ibadah dan pergantungannya kepada Allah tidak pernah putus. Keyakinannya terhadap Allah tidak pernah pudar sama sekali. Sesungguhnya saya benar-benar menemui kepuasan dengan pembacaan buku ini. Buku ini boleh dijadikan motivasi kepada pendakwah yang ingin mengajak manusia supaya kembali menghayati ajaran Islam yang sebenarnya. Hidup berasaskan sunnah Rasullullah saw dan meninggalkan amalan-amalan bercanggah dengan Islam dan syirik. Motivasi supaya jangan mudah menyerah kalah dengan apa saja ujian dan cabaran yang dilalui ketika melaksanakan dakwah tersebut.

Zainab Al-Ghazali mungkin nama ini tidak sesohor artis-artis wanita tanahair yang menjadi pujaan remaja hari ini. Zainab Al-Ghazali mungkin tidak dikenali oleh sebahagian besar penduduk bumi namun saya cukup yakin tokoh ini cukup popular di kalangan penghuni-penghuni langit.

Membaca catatan hidup Zainab Al-Ghazali memberikan gambaran betapa mahalnya harga “Ad-Din” yang kita anuti selama ini. Beliau ternyata cukup menghargai dan mensyukuri nikmat beragama yang dikurniakan oleh Allah swt kepada beliau melalui Islam.

Zainab Al-Ghazali hanyalah ikon pejuang sejati bagi mereka yang mengenalinya. Kesungguhan beliau dalam mempertahankan aqidah yang satu sewajarnya dicontohi oleh semua. Maka kini saya merasakan amat wajar untuk membawa ikon ini bagi diperkenalkan kepada semua yang singgah di blog saya.

Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan di kalangan anbiya’,solihin,siddiqin dan para syuhada’  dan mendapat teristimewa di sisi Allah.

Siapalah kita jika dibandingkan dengan Zainab Al-Ghazali? Mampukah kita mencontohi keyakinan dan keteguhan aqidah beliau. Sesungguhnya beliau telah diuji dengan sekeras-kerasnya, dan kita bila lagi?

ABU WAFI @ ABU MUNZIR, Putrajaya.

 

Cinta yang membangunkan jiwa

Published November 10, 2008 by Menikmati Takdir Langit
Bukan Novel Cinta biasa

Bukan Novel Cinta biasa

Salam,

Saya memang meminati novel tetapi bukan novel cinta. Bagi saya novel cinta hanyalah bahan bacaan picisan yang tidak lebih dari membuang masa, leka, hambar dan membosankan. Terus terang saya katakan saya kurang menggemari novel-novel cinta di pasaran walaupun suatu ketika dahulu saya sangat meminatinya. Pada saya adalah lebih baik jika kita membaca buku-buku motivasi seperti karya Steven Covey atau kalau berminat juga pada novel bacalah novel-novel karya John Grisham seperti The Client, The Chambers atau karya penulis tempatan seperti Faisal Tehrani yang sarat dengan mesej yang mencabar minda. Lebih afdhal lagi kalau membaca tafsir Al-Quran karya ulama-ulama muktabar seperti Ibnu Katsir dan Al-Qurtubi.

Justeru, bila sahabat saya menyarankan supaya saya mencuba membaca karya penulis seberang Habiburrahman Syirazi berjudul  “Ayat-ayat Cinta” dan “Ketika Cinta Bertasbih” saya rasa kurang berminat. Bagi saya novel ini sama sahaja dengan yang lain. Namun sahabat saya meyakinkan saya bahawa karya ini bukan kisah novel cinta biasa malah ianya kisah novel cinta yang sangat luar biasa. Atas sifat ingin tahu, saya pun membeli senaskhah buku “Ketika Cinta Bertasbih” di Kinokinuya KLCC.

Saya mulakan dengan membaca biodata penulis yang berkelulusan B.A Usuluddin dari Universiti AL-Azhar Mesir. Satu permulaan yang baik. Kedua, saya meneruskan dengan membaca komen-komen daripada pembaca,peminat dan sasterawan negara A.Samad Said yang memberikan komen-komen yang bagus dan luar biasa puji-pujiannya. Ketiga, saya membaca mukadimah dan terus menyelak dan meneliti bab demi bab, dialog demi dialog dan struktur perkataan satu persatu. Ternyata semakin saya membaca perasaan ingin tahu itu semakin menebal. Saya tidak boleh berhenti seolah-olah “addicted” dengan karya yang satu ini.

Saya teruja dengan jalan penceritaannya yang bersahaja tetapi terperinci. Digambarkan keadaan jalan dan cuaca di Kaherah dengan ‘detail’ sekali menyebabkan saya rasa seolah-olah berada di Kota Cairo dan di tebing Sungai Nil. Malahan nama jalan, stesen keretapi dan bas juga dinyatakan membuatkan kita rasa bahawa kita adalah watak di dalam novel ini. Watak utama Khairul Azzam seorang pemuda gigih yang menyara keluarganya di Indonesia dengan menjual tempe lewat kematian ayahnya benar-benar menyentuh perasaan. Kesusahan dan kepayahan yang ditanggunnya sendirian tanpa bantuan sesiapa menyebabkan saya sungguh kagum dengan watak ini. Paling tragis watak ini adalah watak yang paling banyak diuji oleh Allah dengan ujian yang sungguh berat sehingga beliau berkata kenapakah hidupnya banyak dipenuhi dengan tangisan. Beliau diuji dengan kematian ibu tercinta akibat kemalangan yang beliau sendiri terlantar berbulan-bulan di hospital,putus tunang, lamaran ditolak, perniagaan tempe disabotaj dan macam-macam lagi. Benarlah firman Allah

“ Apakah kamu mengira kamu akan memasuki syurga selagi mana belum datang kepada kamu ujian-ujian seperti yang dihadapi oleh orang yang terdahulu sebelum kamu, mereka diuji dengan penderitaan, dugaan dan digoncang(dengan pelbagai cubaan), sehinggalah rasul dan orang-orang yang bersamanya berkata, bilakah pertolongan ALLAH(mahu sampai)?, ketahuilah bahawa pertolongan ALLAH itu amat hampir”

Novel ini ada 2 episod atau lebih mudah lagi dipanggil novel dwilogi. Dan saya berjaya menghabiskan kedua-duanya sekali. Lantas saya memburu pula novel pertama beliau yang harus dibaca sebelum membaca novel-novel lain iaitu “Ayat-ayat Cinta”. Novel ini mengisahkan tentang seorang pelajar di Universiti Al-Azhar iaitu Fahri yang mengalami ujian yang tidak kurang hebatnya. Cuma nasib beliau lebih baik,bintang beliau lebih bersinar berbanding Khairul Azzam dalam Ketika Cinta Bertasbih. Setelah baca Ayat-ayat Cinta saya menjadi tahu wujudnya toleransi beragama yang baik dan bijak. Saya angkat topi. Sebuah novel Islam yang terbaik pernah dipersembahkan. Cinta kepada manusia yang diolah dengan baik tanpa mengabaikan cinta kepada Allahh. Disusun dengan bahasa yang indah dan halus dan bersahaja. Seorang budayawan dan penulis sketsa Indonesia bernama Pries GS menyifatkan novel ini dengan berkata bahawa :

“HAMKA kecil telah lahir. Ayat-ayat cinta buktinya”.  Ya saya sangat setuju dengannya. Sebelum ini HAMKA juga banyak menulis tentang kisah cinta dakwah dalam novel yang terkenal iaitu “Tenggelamnya Kapal Van Der Wick” dan Habiburahman Shirazi telah mengulangi sejarah beliau.Novel cinta beliau bukan cinta biasa tetapi cinta luar biasa yang mengajak manusia kembali cinta kepada Penciptanya.

Saya kira cukup setakat itu. Saya sarankan anda membacanya. Saya akhiri entry saya dengan memetik kata-kata sahabat saya Hilal Asyraf di Jordan iaitu:

“Untuk kehidupan cinta adalah amat penting. Tanpa cinta, kehidupan akan menjadi gersang. Manusia semua mencari cinta, walaupun ada segelintir yang tidak mengerti hakikat cinta yang sebenar. Namun, secara tidak langsung, semua manusia itu bercinta sebenarnya, kerana cinta adalah fitrah bagi seorang manusia.”