Archives

All posts for the day December 24th, 2008

Sucikan jiwamu dengan berzakat

Published December 24, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Di penghujung tahun 2008 ini, masing-masing kelihatan sibuk mengambil cuti. Tinjauan saya di mana-mana pejabat sekalipun ramai yang sudah siap-siap “apply” cuti untuk macam-macam urusan. Malah ramai staff saya yang memohon cuti. Ada yang hendak membeli belah untuk persiapan sekolah anak-anak untuk tahun 2009, ada pula nak pergi melancong  malah ada yang saja-saja cuti untuk menyelesaikan masalah tertangguh seperti ‘servis kereta’,”scalling gigi’ dan macam-macam lagi. Maklumlah hujung tahun ini program dah berkurangan, kerja pun dah susut maka inilah peluang yang ditunggu-tunggu untuk ambil cuti.

Tidak salah untuk bercuti. Masing-masing mempunyai tanggungjawab dan urusan yang perlu diselesaikan. Cuma perlu diingatkan, sebelum terlupa ada satu lagi KEWAJIPAN yang perlu disegerakan iaitu mengeluarkan zakat.

Saya lihat sepanjang bulan Disember ini, kaunter-kaunter Pusat Zakat dibuka 7 hari seminggu bagi membantu memudahkan umat Islam mengeluarkan zakat. Namun, berapa ramaikah dari kita yang sentiasa berpesan-pesan dengan rakan-rakan sepejabat,sahabat handai, jiran tetangga dan sanak saudara supaya melangsaikan zakat untuk tahun ini? Tahun 2008 akan meninggalkan kita,justeru tunaikan Rukun Islam yang ketiga ini tanpa bertangguh-tangguh lagi. Bonus akhir tahun pun dah dapat maka bersegeralah mengeluarkan zakat.

Zakat mempunyai banyak jenis sepert zakat perniagaan,zakat simpanan dan bagi kita yang makan gaji ini zakat pendapatan.

Saya suka memfokuskan perbincangan ini kepada zakat pendapatan kerana majoriti daripada umat Islam di Malaysia bekerja makan gaji. Zakat pendapatan merupakan ijtihad para ulama kontemporari antaranya seperti Dr.Yusoff Al-Qardhawi yang bertujuan untuk kemaslahatan umat Islam. Dewasa ini kaedah atau mekanisme untuk mengeluarkan zakat pendapatan ini telah dimudahkan. Untuk tidak membebankan umat Islam, maka kaedah pembayaran boleh dibuat melalui potongan gaji atau pembayaran secara bulanan di bank-bank tertentu yang mempunyai kemudahan tersebut. Malahan kemudahan pembayaran melalui perbankan internet juga telah diperkenalkan secara meluas.  Justeru, tiada lagi alasan atau ‘excuse’ tidak sempat untuk ke pejabat PPZ atau tidak jumpa amil kerana semuanya telah dipermudahkan. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman!Keluarkanlah sebahagian hasil usaha yang kamu perolehi dan sebahagian hasil bumi yang kami keluarkan untuk kamu[sebagai zakat]. (Al-Baqarah :267)

“Ada pun orang yang memberikan apa yang ada padanya pada jalan kebaikan dan bertakwa, serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan. Sebaliknya orang yang bakhil dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, serta dia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya kami akan memudahkannya untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan. [Al-Lail: 5-10]

duit-duit-duit-duit

duit1sened7

Janganlah ada di antara kita yang memandang ringan kewajipan menunaikan rukun Islam ke-3 ini kerana akibatnya sangatlah buruk. Khalifah pertama, Sayyidina Abu Bakr sendiri mengambil keputusan untuk memerangi orang-orang yang mengingkari perintah mengeluarkan zakat ini. Agaknya, kalaulah Saiyidina Abu Bakr ini ditakdirkan hidup semula di zaman kita, tentulah ramai di antara kita yang akan diperanginya. Mohon perlindungan dari Allah hendaknya.

Bertanyalah, bermuhasabahlah…. berapa akaun bank yang kita ada?

Berapa pula jumlah simpanan tetap atau FD yang kita ada?

Berapa lama pula tempoh simpanan kita tersebut?

Adakah bank yang kita gunakan untuk menyimpan ada mengeluarkan zakat untuk wang simpanan kita setiap tahun?

Berapa lama pula kita TERABAI SECARA TIDAK SENGAJA atau TERLALAI,TERLUPA dari mengeluarkan zakat sebelum kita benar-benar tersentak menyedarinya?

Bagaimana pula dengan zakat KWSP yang kita perolehi secara “one-shot” sebaik saja kita menerimanya?

Kita selalu berpesan-pesan dengan urusan keduniaan malangnya berapa ramai dari kita yang berpesan-pesan atas urusan akhirat pula?

Ramai berpesan “Cepat beli baju. Sekarang murah.hujung tahun,banyak sales ;

tetapi tidak ramai atau hampir tidak kedapatan mereka yang berpesan ” Cepat tunaikan zakat, dah hujung tahun ni, ramai orang fakir dan miskin di luar sana yang memerlukan wang zakat kita”

Insaflah, sedarlah… janganlah memandang enteng dengan kewajipan berzakat kelak diri akan dipersoal di akhirat. Zakat bukan sahaja menyuburkan harta atau pendapatan yang mungkin diperolehi dengan cara yang salah TETAPI dengan mengeluarkan zakat maka ianya memberi ketenangan kepada jiwa, mententeramkan malahan menyuburkan jiwa yang gersang dengan sinar keimanan. Percayalah, ramai di antara mereka yang saya temui menemui ketenangan dengan cara begini. Tidak rasa rugi apa-apa, malahan Allah akan memberikan rezeki yang murah melalui jalan-jalan lain yang tidak disangka-sangka.

Saya tidak tahu apa lagi alasan yang akan diberikan di hadapan Allah dan Rasulnya nanti akibat kegagalan berzakat walaupun saya mampu. Mungkin saya boleh memberikan alasan seperti tidak ada masa, sibuk dengan kerja,pusat pungutan zakat jauh dan macam-macam lagi alasan yang boleh diberikan SEDANGKAN jalan-jalan untuk mengeluarkan zakat telah dipermudahkan oleh pihak yang berwajib. Malahan promosi melalui iklan dan bill board juga telah disebarluaskan cuma saya saja yang tidak ambil pusing. Mudah-mudahan kita semua tidak tergolong dalam golongan yang leka di dunia ini.

Tinggal seminggu sahaja lagi. Ayuh!!!! Usah ditangguh lagi. Bersegeralah kerana sesungguhnya Allah telah membuka pintu-pintu kebajikan seluas-luasnya di penghujung tahun ini.

RABU 24 DISEMBER 2008  SESUDAH FAJAR