Archives

All posts for the month November, 2011

Aidiladha…semoga aku sampai ke sana

Published November 5, 2011 by Menikmati Takdir Langit

Esok umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Adha. Pada tahun ini, kami sekeluarga menyambut Aidil Adha di Putrajaya. Biar pun sedikit lengang namun aktiviti sambutan masih berjalan lancar.

Esok saya dan keluarga akan menunaikan solat sunat Aidil Adha di Surau Al-Iman, Presint 9 yang merupakan surau terbaru di Putrajaya. Jaraknya betul-betul di belakang rumah kami.Mungkin inilah solat aidil adha yang pertama dan terakhir kerana tahun depan kami akan berpindah ke rumah baru.

Malam tadi seusai Isyak saya dan anak-anak sama-sama bertakbir di surau Iman. Teruja Wafi, Munzir dan Fawwaz bila dapat bertakbir beramai-ramai bersama para jemaah yang lain. Tambah teruja bila mereka melihat beberapa ekor lembu dan kambing yang ditambatkan di kawasan surau menunggu untuk disembelih keesokan harinya.Peluang yang jarang-jarang dapat diperolehi.

Balik dari surau saya menonton Channel Iqra’ yang memaparkan suasana wukuf di Arafah. Channel Al-Hijrah pula memaparkan cerita-cerita terkini yang berlaku di sana. Manakala Khabar Haji Astro Oasis pula memaparkan wawancara mengenai kesilapan yang sering dilakukan oleh jemaah haji dan kepentingan ikhlas dalam melaksanakan ibadah haji.

Saya teringin sekali untuk ke sana. Rindunya saya pada Kaabah tidak tergambarkan. Rindunya saya untuk bersimpuh di hadapan kaabah sambil mengangkat tangan bermunajat kepada Allah seperti yang pernah saya lakukan lewat umrah tahun 2009 dahulu.

Rindunya…. rindunya.

Saya telah mendaftar dan saya perlu menunggu selama 6 tahun lagi sebelum dapat ke sana. Moga saya dipanjangkan umur dan diberi kesempatan untuk menunaikan Rukun Islam ke-5 ini. Amin.

Abu Wafi, Putrajaya

Advertisements

Setelah lama tulisan ini terhenti

Published November 4, 2011 by Menikmati Takdir Langit

Setelah 2 bulan tulisan di blog ini terhenti seketika. Saya seperti kehilangan mood untuk menulis walaupun sebenarnya terlalu banyak yang ingin saya kongsikan sepanjang 2 bulan yang lepas.

Ringkasnya, terlalu banyak peristiwa besar yang berlaku dalam hidup saya menyebabkan saya tiada kelapangan untuk menulis malah menjenguk ke blog sendiri juga tidak pernah.

Alhamdulillah, hari ini hati saya tiba-tiba terlintas untuk membukanya kembali dan menatap satu persatu tulisan-tulisan yang pernah saya nukilkan. Alhamdulillah, kerana sepanjang peninggalan saya beberapa komen yang menyejukkan hati bila membacanya datang lantas membangkitkan rasa ingin memblog semula. Insyallah doa-doakan.

Tentu semua tertanya-tanya peristiwa besar apakah yang saya lalui sehingga menyebabkan saya meninggalkan blog ini menjadi sawang. Jawapannya terlalu banyak dan besar impaknya ke atas dirinya dan tiba-tiba pada hari ini saya seakan diberi kekuatan untuk menulis sesuatu dari hati ini di tengah kegelapan malam yang sunyi biar pun cuma catatan pendek bagi memulakan langkah seterusnya untuk menulis dengan lebih giat lagi.

In short, I am fully occupied. Occupied with works and people surrounding me. From my subordinate up to the top level. Itulah yang dapat saya gambarkan. Bahawa saya terperangkap dan terkejar dengan “date line” dan permintaan yang tidak pernah henti. Perubahan dalam skop kerja sekarang menjadikan saya semakin sibuk sehingga kesemua waktu saya habis begitu sahaja dengan kerja. Inilah yang membuatkan saya terhenti seketika seolah-olah saya seperti hilang minat untuk menulis sesuatu wal hal saya sebenarnya terlalu “engaged” dengan pekerjaan baru saya.

Apa pun, kehilangan saya selama 2 bulan diharapkan menjadi pemangkin untuk saya menulis dengan bahan-bahan baru berdasarkan perubahan yang berlaku ke atas diri saya. Insyallah, saya berdoa kekuatan itu agar datang dengan bantuan Allah.

Apa pun adalah hikmah di sebalik semua kejadian ini. Hikmahnya masih ada yang membaca dan memberi semangat untuk saya terus kembali menulis. Terima kasih.

Abu Wafi, Putrajaya