Archives

All posts for the day December 7th, 2008

Tragedi Bukit Antarabangsa 2

Published December 7, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Bukit Antarabangsa yang saya kenali memang selesa untuk didiami.Malahan beberapa sahabat saya juga mendiami kawasan terbabit. Alhamdulillah, semuanya selamat.

Semuanya musnah

Semuanya musnah

Bantuan kecemasan

Bantuan kecemasan

Setiap kejadian yang ditakdirkan oleh Allah mempunyai rahsia dan HIKMAH yang tersembunyi. Sebagai HAMBA kita sememangnya layak untuk diuji dengan ujian-ujian berupa MUSIBAH yang bertujuan untuk menguji sejauh mana keimanan dan ketaatan kita kepada ALLAH swt.

Seharusnya saya menasihati diri saya yang lemah ini dan diri mereka yang terlibat dengan bencana alam ini supaya banyak bersabar,beristighfar dan memohon pertolongan dari Allah secara bersungguh-sungguh. Hakikat kehidupan ini tidak dapat lari daripada ujian-ujian hidup.  Kehidupan yang tiada ujian atau “zero ujian” daripada Allah adalah kehidupan yang kosong, tidak bermakna dan mungkin menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam hidup kita. Sahabat-sahabat Nabi saw dan para salafussoleh akan merintih dan menangis sekiranya hidup mereka tidak didatangi dengan ujian dari Allah seolah-olah menujukkan bahawa Allah swt tidak menyayangi mereka,membiarkan mereka lalai dan leka dengan dunia. Sesunguhnya orang-orang yang teruk diuji ialah para rasul,nabi dan diikuti dengan para salafussoleh dan individu yang sentiasa mendekatkan diri dengan Allah. Semakin dekat dengan Allah semakin hebat dan dasyat ujian yang mereka terima.Semakin jauh dari Allah maka semakin kuranglah ujian, maka semakin lalailah manusia tersebut.

Saya cuma mengambil kesempatan dalam entry yang pendek ini untuk menukilkan sesuatu yang boleh membersihkan jiwa. Esok kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha, dan esok khatib di mimbar-mimbar masjid akan bercakap mengenai falsafah pengorbanan dan hakikat ujian. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang redha,sabar dan berserah kepada Allah. Menyebut memang mudah, tetapi menanggungnya lebih sukar.Saya akui kata-kata ini, dan saya berdoa semoga kita semua kuat dalam menghadapi ujian ini.

Takziah atas Tragedi Bukit Antarabangsa

Published December 7, 2008 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Alhamdulillah saya sekeluarga selamat tiba di kampung setelah melalui perjalanan selama 5 jam yang memenatkan. Saya sempat singgah di bandar Kuala Kangsar untuk menikmati laksa tepung gandum yang popular di tebing Sg.Perak sambil memerhati aliran air sungai yang mengalir deras selepas hujan.

Dan pagi semalam, melalui siaran berita kita dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Saya memang terkejut besar sebab tempat berkenaan begitu dekat di hati saya. Saya pernah tinggal di Ukay Perdana selama 2 tahun di antara bulan 8 tahun 2003 sehinggalah tahun 2005. Ukay Perdana adalah bukit bersebelahan dengan Bukit Antarabangsa. Kawasan yang tinggi dan anda boleh menikmati pemandangan indah Kuala Lumpur di sebelah malamnya.

Memandangkan Ukay Perdana masih serba kekurangan dari sudut infra ketika saya mula mendiami kawasan berkenaan, saya banyak menghabiskan masa di Bukit Antarabangsa. Di situ ada Giant dan Petronas. Saya selesa di sini kerana tempatnya aman, sunyi dan tidak sesak. Namun,kini kawasan berkenaan telah pun runtuh dan dipenuhi dengan timbunan tanah dan batu-batu. Macam tak percaya rasanya.

Hanya tinggal bumbung

Hanya tinggal bumbung

Udara di sini cukup bersih sebab banyak pokok-pokok. Tetapi saya cukup bimbang bila hujan lebat apabila melihat air hujan yang turun mencurah-curah bagaikan “waterfall”.

Saya berpandangan bahawa sudah sampai masanya untuk semua pihak meneliti dan mengambil berat tentang insiden yang berlaku. Pembangunan di tanah tinggi, di cerun-cerun bukit seperti di Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana perlu diberi perhatian yang serious. Saya akui kawasan ini cukup sensitif, berbahaya dan terdedah kepada kejadian tanah runtuh. Mungkin satu kajian Geologi perlu dilakukan oleh pakar-pakar geologi bagi mengkaji kesesuaian tanah di kawasan tersebut.

Apa pun saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan takziah kepada semua mangsa yang terlibat dan meminta mereka semua bersabar atas segala ujian yang telah ditetapkan oleh Allah.

AHAD 7 DISEMBER 2008 [8 ZULHIJJAH 1429] jam 5.09 petang dari Bukit Mertajam,Pulau Pinang.