Archives

All posts for the month October, 2010

Insan hidup

Published October 26, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Saya teringat pesanan Dr.Mustafa Sibaie penulis terkenal buku Sirah Nabawiyyah. Katanya:-

“Ziarahlah orang miskin, nescaya ketika itu kamu akan mengetahui makna kesusahan. Ziarahlah banduan di penjara, nescaya ketika itu kamu akan mengetahui nikmat kebebasan. Ziarahlah orang sakit nescaya ketika itu kamu akan mengetahui nikmat kesihatan.

Kita sering kali terlupa di mana letak duduknya diri kita pada masa ini. Kita leka dan hanyut dengan percaturan dunia yang tiada hentinya. Percaturan dunia yang penuh tipu daya, tikam menikam, khianat mengkhianati,tekan menekan berlaku di mana sahaja menyebabkan manusia seperti kita menjadi hilang pertimbangan dan bertindak di luar kewarasan. Kebendaan menjadi matlamat dan bukan sebagai alat untuk menyampaikan kita kepada tujuan hidup.

Sedar dan atau tidak  nikmat-nikmat kehidupan yang dianugerahkan adalah ujian untuk manusia manfaatkan semaksimumnya. Nikmat kesihatan, nikmat kebebasan dan nikmat kesenangan adalah nikmat yang manusia sering lupa menghargainya. Betapa ramai yang rugi kerana mensia-siakan nikmat-nikmat ini.

Betapa jauhnya kita daripada haluan yang sepatutnya kita ikuti. Seruan “ Ihdinassiratal mustaqim” seakan sudah tidak ‘apply’ lagi dalam kehidupan yang serba canggih ini.  Asal matlamat tercapai sudah, jalan yang dipilih betul atau tidak syar’ie bukan lagi menjadi perkiraan besar. Semua ditolak ke tepi dan bukan lagi perkara pokok yang perlu dipertimbangkan. Sedihnya !!!!

Betapa banyak sekali nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita. Saya suka gunakan perkataan anugerah kerana apa yang ada pada kita pada hari ini bukan milik kita sebaliknya pinjaman dari Sang Pencipta. Pinjaman untuk kita gunakan sebagai alat untuk mengabdikan diri kepadaNya, kerana itulah tujuan kita diciptakan. Anugerah itu amanah yang perlu digalas dengan sebaik-baiknya.

Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu” Al-Quran

Malangnya insan sering tersasar jauh dari matlamat yang sebenarnya. Alat menjadi matlamat dan matlamat hidup bertukar menjadi sampingan.  Berapa ramai di antara kita yang menyedari hakikat ini? Berapa ramai yang sedar dan menginsafi lalu kembali ke pangkal jalan? Berapa ramai yang benar-benar hidup dalam dunia ini dengan sebenar-benar hidup? Hidup dengan pengetahuan bahawa mereka hidup untuk Allah dan akan kembali kepadaNya. Berapa ramai yang sedar akan hakikat ini? Atau masih ramai yang tidur (leka) walaupun hakikatnya mereka berjalan,makan dan minum, bekerja dan bergaul dengan manusia lain namun hakikatnya roh mereka mati. Hati mereka mati. Jasad mereka bernyawa namun hakikat maknawinya mereka bukan hidup tetapi mati.

Lantas, bila dimasukkan ke alam barzakh, menyedari dirinya akan dihitung satu persatu, melangkahi perjalanan jauh ke alam akhirat barulah ketika itu mereka terjaga, tersedar dan celik secelik-celiknya. Barulah mereka hidup dengan sebenar-benarnya seperti mana yang sepatutnya dilakukan ketika di dunia dahulu.

Namun apakan daya, ketika itu semuanya sudah terlambat.

Jadilah insan hidup dengan membawa makna akhirat dalam kehidupan.

Abu Wafi, Kuala Lumpur

Advertisements

Haul Imam Haddad 2010

Published October 20, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Habib Umar Al-Hafiz dari Tarim, Hadralmaut Yaman

Ahad lepas saya hadir dalam majlis Haul Imam Hadad yang diadakan di Masjid Al-Falah USJ 9. Majlis ini bermula pada pukul 5.30 petang dan selesai jam 9.30 malam. Majlis yang penuh barakah ini dihadiri oleh Rektor Darul Mustafa, Tarim Yaman iaitu Habib Umar Al-Hafiz dari keturunan Rasulullah saw. Selain itu, majlis turut diserikan dengan kehadiran alim ulama lain yang tidak kurang hebatnya menyampaikan tausiyah dan nasihat-nasihat yang berguna untuk jemaah yang hadir. Haul Imam Haddad adalah acara tahunan di Yaman untuk memperingati ulama tersohor Habib Haddad yang terkenal dengan

Semasa saya sampai di masjid kelihatan khemah-khemah jualan didirikan di perkarangan masjid. Kenderaan banyak namun alhamdulillah pihak masjid menyediakan pengawal keselamatan untuk menunjukkan arah parking di kawasan padang permainan bersebelahan masjid. Jauh-jauh kedengaran wirid-wirid dan diselangi dengan tausiyah yang disampaikan oleh penceramah-penceramah yang hadir. Suasana di perkarangan masjid sungguh mengujakan. Bagi saya ini pengalaman pertama menghadiri majlis seumpama ini. Jemaah yang hadir memakai jubah putih, serban dan kain rida yang disangkutkan di bahu. Saya terasa seperti berada di zaman ulama-ulama dahulu apabila ramai jemaah yang memakai pakaian yang mirip dengan pakaian ulama-ulama besar nusantara dahulu. Suasana yang menyebabkan saya terasa terasing sekali di tengah-tengah lautan manusia serba putih. Namun suasana sebegini menyebabkan hati menjadi tenteram melihat wajah-wajah yang tenang dan tenteram.

 

Kebanjiran penuntut-penuntut agama

Kawalan keselamatan

Gerai-gerai jualan

Sebelum itu saya  melawat gerai-gerai yang mempamerkan buku-buku tulisan ulama-ulama Melayu silam atau dipanggil Kitab Kuning nukilan ulama-ulama tersohor seperti Syeikh Daud Al-Fathani dan Tok Kenali. Antara kitab-kitab yang dijual ialah seperti Munyatul Musolli yang masih diamalkan sejak 200 tahun yang lalu dan kini masih diajarkan di pusat-pusat pengajian pondok seluruh negara.  Begitu juga dengan kitab-kitab lama yang diberi sentuhan baru oleh ulama-ulama kontemporari seperti Almarhum Wan Mohamad Saghir. Barulah saya sedar bahawa selama ini ulama-ulama terdahulu telah meninggalkan begitu banyak khazanah warisan yang tidak ternilai harganya. Warisan yang berupa amalan-amalan pendinding seharian yang kini jarang-jarang diamalkan oleh generasi masa kini.

Penjual-penjual gerai menghampiri saya dan mempromosikan buku-buku mereka dengan menawarkan tawaran yang tidak pernah saya fikirkan. Tawaran yang bukan dalam bentuk wang ringgit atau material sebaliknya tawaran dalam bentuk pahala.

Tuan, belilah buku Lum’atul aurad ini, ia mengandungi koleksi selawat yang diamalkan oleh ulama dahulu. Banyak khasiatnya kalau diamalkan selalu“.

“Tuan belilah buku ini, lihat muka surat 114 ada ratib haddad. Selain itu, ada wirid-wirid khusus. Tuan boleh ikuti pengajian kitab ini juga setiap Jumaat selepas maghrib” seorang anak muda mempromosikan buku tulisan guru beliau.

Semasa membelek-belek buku sSeorang penuntut ilmu berkata kepada saya, ” Duit boleh dicari Tuan tetapi buku-buku ini sukar untuk didapati sekarang”.

Saya mengiyakan kata-katanya dan akhirnya, RM 70+ dikeluarkan untuk membeli beberapa buah buku.

Lum’atul Aurad dikarang pada 1311 Hijrah/1894 Masihi

Selalunya kalau pergi ke pesta-pesta jualan murah di pasaraya,PC Fair atau Matta Fair kita akan teruja dengan tawaran harga yang sukar untuk diketepikan. Tawaran murah tiket kapal terbang, harga barang yang jauh lebih murah dari kebiasaan adalah fenomena yang biasa kita lihat. Kita sanggup bersesak-sesak, bertolak-tolak, berebut-rebut, sanggup datang awal dan tidak kisah jika terpaksa beratur panjang demi mendapatkan apa yang dihajati dengan tawaran harga yang murah. Kita tidak kisah dengan segala kesusahan itu kerana hasilnya sungguh memuaskan hati.

Sebaliknya tawaran yang ditawarkan di sini pula adalah dalam bentuk ganjaran yang tidak nampak di mata, tidak boleh disentuh dek tangan dan tidak boleh dipuaskan di hati melainkan hasilnya akan hanya dapat dituai di hari akhirat kelak. Sungguh berbeza dan luar biasa sekali. Anak-anak muda remaja, belia-belia tidak henti-henti mempromosi buku-buku tulisan ulama-ulama terdahulu. Rupa-rupanya masih ada lagi pemuda yang mengabdikan dirinya kepada agama Allah ketika majoriti pemuda di luar sana kian hanyut ditelan arus dunia.

Tiba-tiba saya rasa bertambah terasing, jahil dan terasa cemburu melihat gelagat beberapa anak-anak muda yang membeli buku-buku lama tersebut kerana mereka benar-benar ingin memahami isi kandungannya. Moga Allah memberkati mereka dan menjadikan mereka ulama muktabar untuk umat akan datang.

 Azan maghrib berkumandang. Para jemaah berpusu-pusu memasuki ruang solat. Solat maghrib diimamkan sendiri oleh Habib Umar Al-Hafiz. Selesai solat, majlis diteruskan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dari Surah At-Takathur. Biar pun pendek namun saya dapat mengagak bahawa tujuan dibacakan surah ini ialah bagi mengingatkan jemaah mengenai kubur dan kematian. Bacaan dari imam sungguh merdu walaupun seketika.

Acara diteruskan dengan tausiyah yang disampaikan oleh salah seorang Habib dari Jakarta. Saya tidak ingat namanya tetapi tausiyah dan pesanan pesanan yang diberikan sungguh mengesankan. Beliau berkata bahawa perkara utama yang perlu ditanamkan di dalam jiwa setiap muslim sebelum melakukan perintah seperti solat dan puasa ialah “yakin” kepada Allah. Keyakinan yang sebenar-benarnya. Yakin yang mampu membawa kepada rasa harap dan pergantungan yang lebih kepada Allah. Beliau membawa contoh Sayyidina Ali r.a dalam satu peristiwa di mana anak panah terpacak di tubuh beliau meminta supaya anak panah itu dicabut dan lukanya dibersihkan ketika beliau tenggelam dalam tawajuhnya kepada Allah melalui solatnya. Ada yang menyatakan bahawa perkara ini mustahil untuk berlaku di zaman mutakhir ini, namun Habib tersebut membawa kisah benar yang berlaku kepada seorang ulama di Indonesia  yang dibedah otaknya dalam keadaan dirinya sedang hanyut berzikir kepada Allah. Walaupun beliau boleh sahaja dibius kerana darurat namun beliau menolak kerana baginya darurat itu hanya terpakai untuk orang awam tetapi bukan untuk dirinya. Beliau tidak mahu bahan-bahan luar yang syubhah masuk ke dalam dirinya kerana boleh menjejaskan imannya kepada Allah. Keyakinan inilah yang sepatutnya ditanam dalam setiap jiwa muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya.

 

Suasana padat dalam masjid

Dari celah tiang – Habib Umar

Usai tausiyah, majlis diteruskan dengan lantunan alunan Qasidah nukilan Imam Haddad yang sungguh merdu. Suara imam yang merdu ditambah dengan sistem akustik yang menyebabkan semua terpaku dan terpegun. Qasidah yang melembutkan hati mereka yang mendengarnya.

Rumah yang dinaikkan darjatnya oleh Allah

Habib Umar memberikan tausiyahnya dengan menekankan konsep rumah di dalam Islam. Rumah yang hebat bukan terletak pada hiasan dalamannya, pada permaidani atau perabotnya tetapi rumah yang hebat di sisi Allah adalah rumah yang sentiasa dihidupkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sepanjang masa. Beliau membawa contoh rumah Imam Haddad sendiri yang sempit di mana pembelajaran dilakukan di atas tangga sahaja, namun rumah tersebut berjaya melahirkan insan-insan yang hebat dan karya-karya yang besar. Beliau juga membawa contoh rumah baginda Rasulullah saw yang sempit sehingga bumbung rumah baginda boleh dicapai dengan tangan. Hidupkan rumah dengan bacaan surah Yassin seperti yang banyak diamalkan di negara Yaman ujar beliau lagi.

Akhirnya majlis disudahi dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Habib Umar. Para jemaah menadah tangan. Doa Habib dibaca dan diterjemahkan. Ketika doa dibacakan saya terasa suasana yang sungguh nyaman di dalam masjid. Ada suara tangisan di belakang saya. Mungkin kerana terlalu menghayati maksud doa yang dibaca oleh beliau. Terasa seperti ada aliran arus letrik yang mengalir di celah-celah jemaah. Sungguh luar biasa sekali, suasana yang jarang didapati di tempat lain.

Majlis diakhri dengan solat Isyak berjemaah dan selepas itu semua bersurai dengan penuh kepuasan di jiwa> Kepuasan yang tidak tergambarkan bila menerima siraman rohani dari Habib yang mulia.

Abu Wafi, USJ 9 (17 Oktober 2010) 

Di mana ulama di hati kita

Published October 14, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Habib Ali Jaafar Al-Idrusi

Ustaz Ahmad Sonhadji

Tuan Guru Hj Abdul Lathif bin Haji Abdul Rahman

Mereka bukan manusia yang menjadi kegilaan dan pujaan peminat. Tiada jeritan histeria peminat dan siulan anak-anak muda yang menyambut kedatangan mereka. Tiada sambutan ‘red carpet’ atau majlis anugerah bintang popular setiap tahun untuk mereka. Tiada anugerah penulisan karya terbaik untuk mereka yang ingin dihebahkan ke seluruh negara. Tiada wartawan khusus untuk melaporkan berita mereka secara eksklusif. Tiada segmen khas atau segmen gosip untuk melaporkan aktiviti hidup mereka setiap hari. Apa yang mereka lakukan dari subuh hingga subuh berikutnya tiada siapa yang sudi melaporkannya walaupun seluruh perjalanan kehidupan mereka itu penting untuk dijadikan suri teladan.

Nama mereka tidak segah nama bintang-bintang popular tanahair. Nama mereka tidak popular seperti nama bintang-bintang sukan tanahair. Mereka tidak popular di kalangan muda mudi hari ini. Mereka bukan ikon atau idola yang boleh dijadikan contoh ikutan remaja hari ini. Mereka popular dalam kelas mereka yang tersendiri di kalangan anak-anak murid yang setia dan kasihkan mereka. Cerita mereka tidak bisa meletupkan atau melariskan jualan akhbar kerana mereka bukan celebrity’ yang perlu diraikan. 

Kehidupan mereka seadanya. Tiada siapa yang mempedulikan mereka, namun mereka bahagia dengan mengharap keredhaan Allah. Mereka langsung tidak mengharapkan semua itu kerana mereka telah dididik bahawa apa yang ada di dunia ini adalah habuan yang bersifat sementara, sedangkan akhirat itu sebenarnya yang lebih kekal.

Hanya segelintir manusia yang mengenali dan mengagumi mereka.

Hanya segelintir manusia yang mendampingi mereka.

Manusia yang telah dipilih oleh Allah untuk mengenali mereka dan menadah ilmu berguna tinggalan mereka. Manusia yang minoriti dari kalangan manusia terbanyak.

Tidak popularnya mereka mengingatkan saya kepada kisah tabi’en hebat Uwais Al-Qarni@ Qarani.

Uwais tidak popular di kalangan penduduk dunia, tidak ramai yang mengenalinya malah ada yang menganggapnya sebagai gila. Namun nama Uwais Al-Qarni sangat popular di kalangan penduduk langit. Para malaikat menyebut-nyebut nama beliau. Rasulullah saw sendiri ketika hayatnya berpesan kepada para sahabat supaya mencari Uwais Al-Qarani dan pintalah Uwais mendoakan mereka.

Uwais hidup di zaman Rasulullah saw namun tidak dianggap dalam kategori sahabat kerana Uwais tidak pernah bertemu dengan Rasulullah saw secara nyata kerana faktor geografi yang jauh. Uwais hidup dalam kemiskinan bersama ibunya jauh di negara Yaman. Jika tidak kerana kedudukan yang jauh dan faktor kehidupan Uwais yang serba kekurangan, Uwais sudah pasti turut sama berjuang bersama Rasulullah saw di Madinah.

Usai kewafatan Rasulullah saw, para sahabat menunggu-nunggu kedatangan beliau setiap kali tibanya musim haji. Mereka menunggu jemaah dari Yaman. Takdir menentukan bahawa Sayyidina Umar menjadi orang pertama berjumpa dengan Uwais semasa Uwais menunaikan haji bersama bondanya di Makkah. Saidina Umar berpegang dengan  pesanan Rasulullah saw dan lantas meminta Uwais mendoakan untuk beliau. Doa Uwais  mustajab kerana keihklasan dan ketaqwaannya kepada Allah.

Tahun 2010 kita menyaksikan pemergian 3 tokoh ulama besar negara dan nusantara buat selama-lamanya. Mereka pergi meninggalkan ilmu yang berguna untuk umat ini. Kehilangan mereka adalah musibah kepada umat kerana ulama adalah pewaris para nabi.

Rasulullah saw bersabda daripada Abu Darda’; Sesiapa yg pergi di pagi hari kerana,  inginkan ilmu dan mempelajarinya semata-mata kerana Allah nescaya Allah membukakan baginya satu pintu syurgaNya,  para Malaikat membentangkan sayapnya untuknya, para malaikat 7 petala langit mendoakan rahmat untuknya; dan demikian juga ikan-ikan di laut. Kelebihan orang alim itu ke atas orang abid adalah seperti kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang di langit. Para ulama itu adalah pewaris nabi, sesungguhnya para nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu, sesiapa yg mengambil ilmu maka dia mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu, matinya seorang alim adalah satu musibah yg sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi, ini adalah umpama bintang yg hilang sirna (di antara bintang-bintang), sesungguhnya matinya satu kabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding seorang alim. (Riwayat Abu Daud, Tirmizi,ibn Majah dan Baihaqi)

Sesungguhnya kita merasa sedih dengan layanan yang diterima oleh mereka ketika hidup. Tidak ramai yang menghiraukan mereka atau berusaha untuk mengambil ilmu dari mereka. Tidak ramai yang berminat untuk mencontohi mereka.  Tidak ramai yang mahu menjadikan sifat ‘qanaah’ dan ‘tawadhuk’ yang ada pada diri mereka sebagai sifat-sifat terpuji yang perlu ditanamkan di dalam diri seorang insan. Tidak hairanlah jika manusia hari ini semakin hilang keinsanan bila sifat-sifat mahmudah seperti tawadhuk, dan qana’ah hampir tiada dalam diri mereka sebaliknya digantikan dengan sifat-sifat ego, besar diri  dan tamak dengan harta dunia. Kerana mereka mencontohi ikon yang salah dalam kehidupan mereka, ikon yang jauh dari Allah.

Ustaz Ahmad Sonhadji cukup popular di sekitar tahun 1980-an di radio Singapura dengan pengajian Tafsirnya. Malahan tafsirnya dibukukan dan dijual di pelosok negara. Banyak nasihat-nasihat agama yang dicurahkan oleh beliau melalui penulisan tafsir yang mudah diafahami oleh masyarakat.

Habib Ali atau lebih dikenali sebagai Habib Ali Batu Pahat sering menjadi tumpuan masyarakat Islam seluruh dunia. Ramai ulama dari luar negara terutama dari Yaman akan singgah di Batu Pahat untuk menziarahi beliau setiap tahun. Pemergiaan beliau adalah satu kehilangan besar kepada umat.

Amalan Habib Ali , istighfar 10 kali pagi dan petang

Habib Ali adalah orang yang sangat sederhana, dengan rumah yang sangat kecil, sempit dan tergolong rumah dari rakyat jelata kalangan fuqara, ruang tamunya tak pernah kosong dari ratusan botol air aqua dari para tamu yg meminta air doa dari beliau, beliau sangat santun pada para tamu dari segala kalangan, kalangan kaya, miskin, ulama, awam, dan siapapun, jika mereka kunjung pada jam makan, maka tak mungkin tamunya diizinkan pulang sebelum makan bersama beliau, dan salah satu sifat rendah hati yang sangat mengagumkan pada peribadi beliau adalah selalu meminta doa dari tamunya, tak pernah mau beliau berdoa kecuali tamunya yang berdoa, jika tamunya tak mau berdoa maka tak diizinkan pulang, demikian santun budi pekerti beliau – Petikan dari tulisan al-Habib Munzir bin Fuad al-Musawa.

Begitu istimewanya Habib Ali bagi mereka yang sempat mengenalinya.

Manakala Tuan Guru Hj Abdul Lathif bin Haji Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Teh Kroh” adalah seorang pendidik yang gigih membangunkan pesantren @ pondok di Perak. Sehingga kini pusat pengajiannya masih hidup subur dengan ratusan pelajar. Beliau juga salah seorang ahli Majlis Fatwa Negeri Perak cukup terkenal dengan keilmuan yang tinggi.

Layanan terhadap mereka mengingatkan saya kepada peristiwa lalu. Beberapa tahun yang lepas seorang ulama tersohor Ustaz Wan Saghir meninggal dunia. Almarhum seorang yang komited dengan ilmu sehingga pernah dipapah selepas membentangkan kertas kerja. Setiap Isnin, Ustaz Wan Muhammad Shaghir Abdullah akan menulis di dalam ruangan Agama, Mega. Kebetulan semasa kematian Almarhum, seorang tokoh judi negara juga telah meninggal dunia. Namun kematian tokoh judi tersebut mendapat liputan seluas-luasnya. Besar sungguhkah jasa tokoh tersebut kepada negara sehingga menenggelamkan jasa ulama besar ini.

Saya hanya mahu membawa pembaca kepada satu persoalan yang selama ini mungkin dilupakan oleh sebahagian besar dari kita iaitu di mana kita meletakkan ulama-ulama di hati kita? Apakah selama ini kita telah memberikan layanan yang sewajarnya kepada mereka? Mereka tidak meminta layanan VVIP tetapi seharusnya kita memuliakan mereka kerana mereka adalah pewaris para nabi.

Lihatlah di sekeliling kita, ada berapa ramai lagi ulama yang masih tinggal. Perhatikan ulama-ulama yang mengorbankan seluruh hidup mereka di jalan-jalan Allah untuk memperbetulkan umat ini. Renunglah dan dekatilah mereka selagi hayat mereka masih tersisa. Mintalah nasihat dari mereka dan pohonlah mereka mendoakan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat kita.

Salah satu cara untuk memperbaiki hati yang rosak ialah dengan mendampingi alim ulama. Nasihat-nasihat mereka amat berguna untuk hidup kita. Mencintai mereka samalah dengan mencintai Rasulullah saw kerana cinta mereka lebih dekat dengan baginda berbanding kita. Cintailah orang-orang yang hampir dengan baginda.

Jadikan mereka sebagai ikon kehidupan yang perlu diteladani. Jadikan amalan-amalan zikir mereka sebagai contoh ikutan amalan harian kita.

Bukanlah menjadi tujuan saya untuk mengajak semua mengagung-agungkan mereka cuma sekadar menarik perhatian masyarakat kepada kewujudan dan sumbangan mereka kepada umat.  Menghargai dan meletakkan sumbangan mereka sewajarnya untuk diambil manfaat bagi memandu kehidupan dunia dengan selamat dan sejahtera.

Abu Wafi