Pandangan siapa?

Published August 15, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Apa yang baik di sisi manusia belum tentu baik di sisi Allah. Apa yang baik di sisi Allah adalah yang terbaik untuk manusia.

Benar atau tidak bahawa manusia pada hari ini semakin hari semakin mementingkan pandangan manusia ke atas dirinya. Pandangan manusia sekeliling yang positif terhadap apa yang dilakukannya akan memberikan kesan yang baik kepada kemajuan hidupnya. Semakin dia mendapat tempat di sisi manusia, maka semakin dirinya dirasakan penting. Semakin kurang orang memandang dan memberi perhatian kepadanya maka semakin kurang berharga dirinya. Semakin ramai yang memuji dan memujanya maka semakin tinggi harga dirinya. Semakin ramai yang mengeji dan mengumpatnya, maka semakin rendah harga dirinya.

Manusia sering tertipu dengan pandangan orang lain terhadap dirinya, sedangkan pandangan Allah terhadap dirinya langsung tidak pernah diambil kira.

Sememangnya pandangan manusia selalu mengatasi pandangan Allah terhadap kita.

KISAH 1

Seorang CEO sebuah syarikat besar sedang sibuk mempengerusikan mesyuarat bersama pekerja-pekerjanya. Hari itu, hari Jumaat. Jam menunjukkan sudah hampir pukul 12.50 sedangkan mesyuarat sudah bermula seawal jam 8.30 pagi lagi. Belum ada tanda-tanda akan berhenti. Pekerja-pekerjanya sudah menunjukkan tanda-tanda kegelisahan. masing-masing asyik memandang jam sambil berbisik “Bilalah mesyuarat akan habis ni, sudah-sudahlah, dah masuk waktu solat ni, nanti tak sempat nak ke masjid”.

Tiba-tiba salah seorang pekerja memberanikan diri menegur boss mereka.

“Tuan, saya rasa lebih elok jika kita tangguhkan mesyuarat sebab waktu solat Jumaat sudah dekat. Kita sambung lepas solat saja Tuan Pengerusi”

Muka bos bertukar menjadi merah menahan malu. Lantas berkata:

” Selagi saya tidak selesaikan mesyuarat ini, jangan siapa berani tinggalkan bilik mesyuarat ini. Kalau tidak tindakan disiplin akan dikenakan” ujarnya .

Awak tahu tak, 2 jam waktu yang diambil untuk menunaikan solat Jumaat boleh menjejaskan produktiviti dan syarikat boleh mengalami kerugian sepanjang tempoh tersebut. Awak semua faham tak???

Masing-masing mula diam. Tiada siapa yang berani membantah cakapnya. Membantah bererti mengundang padah kerana semua pekerja sudah masak benar dengan perangainya yang panas baran dan rasa dirinya betul.

Akhirnya mesyuarat tamat pada jam 2 petang. Sudah benar-benar terlewat untuk menunaikan fardhu Jumaat. Orang ramai sudah pun mula ke luar meninggalkan masjid. 

KISAH KE-2

Seorang CEO dalam satu taklimat kepada pekerja-pekerjanya menyatakan:

“Tuan-tuan dan Puan-puan, kita semua kena bekerja kuat untuk company kita. Kalau company untung semua dapat bonus kalau company rugi boleh gulung tikar. Bekerjalah bersungguh-sungguh tanpa mengira siang dan malam, hari kerja atau hari cuti. Komitmen mesti bersungguh-sungguh untuk company.

“Saya ni bekerja siang malam untuk kemajuan company, sampai saya tak sedar satu hari saya tertinggal waktu solat Jumaat. Bila sampai di masjid orang sudah selesai solat” ujarnya dengan bangga sekali menceritakan mengenai kegigihan dan ketekunannya bekerja.

Nawaitunya baik iaitu ingin mengajak semua pekerjanya agar mencontohinya, namun di sisi Allah dia telah melakukan dosa besar apabila membelakangkan perintah Allah.

PANDANGAN MANUSIA & PANDANGAN ALLAH

Kedua-dua senario di atas tidak banyak bezanya. Kisah yang pertama seorang CEO yang sanggup meninggalkan solat demi kemajuan syarikat. Kisah kedua pula, seorang CEO yang terlupa waktu solat dek kesibukan bekerja. Kedua-duanya merasa bahawa mereka telah bekerja keras untuk kemajuan kerjaya dan dunia  sehingga mereka merasa patut berbangga dengan kerajinan mereka. Mereka mahu kerajinan mereka dicontohi oleh orang lain.

Mereka merasa bahawa orang lain akan memuji dan memandang tinggi kepada mereka atas kerja keras yang mereka lakukan untuk dunia mereka tetapi mereka lupa untuk merasakan bahawa Allah telah murka dengan mereka atas maksiat yang telah mereka lakukan. Bekerja dengan tekun adalah satu ibadah tetapi apa pun biarlah berpada-pada dan jangan melampaui batas.

Sikap workoholic mereka tidak bermakna tanpa menunaikan hak Allah yang telah difardhukan.

Apalah gunanya jika syarikat mendapat keuntungan tertinggi setiap bulan namun laba yang diperolehi dalam keadaan menderhaka kepada Allah. Tinggal solat fardhu dengan sengaja adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan sama sekali. Tiada rukhsah atau keringanan yang diberikan oleh Islam kepada umatnya untuk mendapat pengecualian solat kerana terlalu sibuk bekerja.

Dunia dikejar… akhirat tercicir sedangkan yang lebih patut dikejar adalah akhirat kerana di situlah destinasi kita semua yang lebih kekal dan abadi.

Sesungguhnya, sehelai daun di syurga lebih bermakna daripada sejuta ringgit di dunia kerana daun di syurga itu sifatnya kekal sedangkan duit sejuta ringgit boleh susut bila dibelanjakan.

Secangkir susu di syurga lebih bermakna daripada secangkir susu di dunia kerana susu di syurga bersifat kekal dan tiada ‘expiry date’ manakala susu di dunia boleh basi bila tiba tarikh luputnya.

Itulah dunia yang tidak kekal namun dunia inilah yang dipuja-puja dan dikejar-kejar oleh ramai peminatnya.

Marilah sama-sama kita mengkoreksi diri dan memperbetulkan persepsi kita terhadap pandangan manusia. Pandangan manusia tidak semestinya betul tetapi pandangan Allah terhadap kita itulah yang  tidak pernah salah. Biarlah manusia memandang buruk kepada kita  atas apa yang kita lakukan asalkan pandangan Allah itu betul terhadap kita.

Baik dan buruknya biarlah Allah yang menilainya.

Abu Wafi

One comment on “Pandangan siapa?

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: