Archives

All posts for the month September, 2010

Promosi buku ‘Mutiara Wahyu’

Published September 26, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Kulit buku

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mempromosikan sebuah buku baru di pasaran nukilan sulung adinda saya Ustaz Mohd.Syauqi. Buku bertajuk ‘Mutiara Wahyu’ adalah buah tangan beliau untuk umat ini. Buku ini berharga RM10.00 dan sesiapa yang berminat  untuk mendapatkan buku tersebut bolehlah berhubung dengan saya terus melalui emel shahnazku@yahoo.com.

Kulit belakang

Sedikit sinopsis mengenai buku ini, ianya dipersembahkan untuk bacaan dan memenuhi kefahaman orang awam yang mungkin sibuk untuk memahami ayat-ayat Al-Quran secara mendalam. Tiada masa untuk menelusuri tafsir secara terperinci, buku ini mempersembahkan ‘gist’ atau perincian penting di dalam Al-Quran yang boleh dikutip dan diamalkan. Tahniah kepada adinda kerana usaha pertama membuahkan hasil dan mudah-mudahan ada lagi karya yang akan dihasilkan pada masa yang akan datang. Semoga ilmu yang ada dalam buku ini akan memberi manfaat kepada mereka yang membacanya.

Kepada mereka yang ingin mengenali penulis dengan lebih lanjut  bolehlah mengikuti kuliah di atas yang mungkin akan membincangkan serba sedikit kupasan mengenai buku berkenaan .

Abu Wafi, Putrajaya

Terlalu banyak hantu

Published September 24, 2010 by Menikmati Takdir Langit

 

Semasa saya berumur 10 tahun, sekitar awal tahun 1980-an ada satu filem seram yang ditayangkan di kaca tv. Filem dari negara jiran bertajuk Pocong. Pocong adalah gelaran bagi hantu bungkus yang berbalut dengan kain kapan. Terlompat-lompat di atas jalan raya di malam yang sunyi dan sepi. Serentak itu, istilah pocong menjadi popular dan digunapakai di Malaysia. Tahun 2010 di abad ke-21 filem pocong bertukar tajuk menjadi ’40 hari bangkitnya pocong’.

Zaman emak dan ayah saya dulu, filem ‘Pontianak’ yang menampilkan pelakon-pelakon skrin hitam putih sudah cukup untuk dianggap sebagai filem seram. Faktor teknologi yang terbatas pada waktu itu menyebabkan filem itu tidak lagi seram pada zaman sekarang, namun itu saja hiburan yang termampu ada pada waktu itu.

Filem-filem seram jarang-jarang muncul di kaca-kaca tv pada waktu itu. Mungkin kerana kos pembikinannya yang  tinggi atau pun mungkin kecanggihan teknologi yang masih belum ada. Cukup sekadar filem-filem mengenai isu-isu kekeluargaan dan percintaan.

Itu semua cerita zaman dulu namun tidak pada zaman sekarang.

Semasa berada di kampung pada hari raya baru-baru ini, saya membuka siaran tv. Dari pagi sampailah malam saya dapati rancangan tv tidak henti-henti menyiarkan filem-filem hantu dan seram. Malah diulang pula berkali-kali. Tidak cukup dengan itu, diimport lagi dari negara seberang iaitu Indonesia. Tidak cukup dengan itu, diimport pula dari negara Jepun dan Korea. Maka berlambaklah tv kita dengan rancangan-rancangan cerita hantu dan seram. Nampaknya “Sundal Bolong” dan”Hantu Berambut Panjang dan bermuka hodoh” lebih popular daripada artis dan pemimpin negara. Semua perkara dikaitkan dengan hantu. Rumah berhantu, kereta berhantu,sekolah berhantu dan macam-macam lagi dikaitkan dengan hantu.

Walaupun saya bukanlah peminat cerita-cerita begini sesekali saya layan juga. Bukan apa, saya hanya ingin melihat ke manakah ‘direction’ atau hala tuju yang ingin dibawa oleh pengarah filem tersebut. Apa mesej yang ingin disampaikan oleh pengarah filem? Apa pengajaran yang boleh diambil dari filem-filem sebegini? Apa pula didikan yang ingin ditanam di dalam minda anak-anak kita? Apakah filem-filem ini mampu membangunkan jiwa kita dan generasi akan datang? Tidak cukup dengan itu ditambah pula dengan unsur-unsur mistik, pemujaan, pergantungan kepada bomoh dan  kepercayaan kepada sihir berlebihan. Semua ini sebenarnya menarik minda sedar anak-anak kecil yang tidak tahu apa-apa untuk meneroka lebih jauh lagi dunia yang sepatutnya mereka tidak perlu tahu.

Pengajaran yang dapat saya fikirkan, kalau jumpa botol kosong tersumbat di tepi laut jangan ambil kerana mungkin ada jin atau hantu di dalamnya.

Pelajaran yang dapat saya ambil, kalau hendak menghalau hantu angkatlah bumbung rumah supaya hantu itu dapat terbang keluar atau mencari jagung rebus untuk ditanam bersama hantu itu. Sampai bila masyarakat kita akan terus dimomokkan dengan hantu yang pelbagai jenis ini? Bila dikaji secara sepintas lalu, kesimpulan yang saya dapati adalah kebanyakan filem-filem seram ini mempunyai ‘story line’ yang sama. Mati dibunuh, balas dendam, saka yang diwarisi dan hantu yang dibuang tuannya mencari tuan yang baru. Malahan bentuk rupa wajah hantu dan roh jahat yang mengganggu juga hampir sama cuma diolah dalam kisah yang sedikit berbeza.

Benarkah hantu mampu bertindak sejauh itu untuk membalas dendam kepada orang yang membunuhnya ketika di dunia?

Setahu saya, bila mati kita dipindahkan ke  alam barzakh dan mana mungkin roh kita mampu kembali ke dunia untuk membalas dendam kesumat kepada makhluk dunia yang masih bernyawa. Barzakh itu sendiri bermaksud ‘dinding’ atau tembok yang memisahkan antara kehidupan dunia dengan kehidupan kubur. Justeru, siapa yang membalas dendam bagi pihak si mati?

Maka penatlah saya untuk menerangkan perkara-perkara sebegini kepada anak-anak yang masih belum mengerti apa-apa. Mereka menonton dan menelan bulat-bulat apa yang disajikan kepada mereka.

Akhirnya hendak pergi ke tandas pun kena berteman. Nak ke atas rumah juga perlu berteman. Semuanya berubah sekelip mata dek penangan cerita-cerita hantu yang berjaya menguasai minta mereka.

Menonton filem-filem sebegini kadang-kadang menyebabkan minda saya terganggu. Beberapa kali saya mengalami mimpi yang menyeramkan. Itulah kesan psikologi yang terpaksa ditanggung. Saya teringat peristiwa adik saya yang pernah tidak dapat tidur semalaman selepas menonton filem “Nightmare on Elm Street”. Begitu berkesan sekali filem berkenaan sehingga mampu menerobos jauh dan menguasai akal adik saya pada masa itu.

Saya rasa sudah sampai masanya kita menghentikan semua ini. Terlalu banyak filem-filem seram membuatkan generasi kita akan datang lebih takutkan hantu dari takutkan siksaan Allah di hari akhirat. Samalah apabila terlalu banyak cerita-cerita spiderman,superman, ultraman  dan manusia superpower yang lain membuatkan generasi akan datang lebih betah meminta bantuan superman dari meminta pertolongan kepada Allah melalui doa dan harapan. Bunyinya sinis tetapi hakikatnya apa saja dogma dan doktrin yang ditanamkan di jiwa anak-anak kecil inilah yang akan menentukan hala tuju pemikirannya pada masa hadapan.

Kepada pengeluar, pengarah, pembuat filem dan penulis skrip, saya menuntut kepertanggungjawaban anda semua untuk menghasilkan suatu karya yang mampu mendidik anak bangsa supaya berfikir dengan waras dan bijaksana. Belajarlah dari pengalaman penghasil-penghasil filem dari Iran yang telah berjaya menghasilkan filem-filem yang membawa mesej yang berat dan mendidik masyarakat. Pengeluar-pengeluar filem dari Iran tidak memerlukan kos yang tinggi untuk menghasilkan sesebuah karya. Filem mereka berkisar mengenai masalah kehidupan, perjuangan dan jati diri yang tiada unsur-unsur misteri dan penggunaan cinematografi yang hebat seperti filem-filem fiksyen, namun mereka mampu meraih sekian banyak ‘award’ dan anugerah demi anugerah di Festival Filem Antarabangsa. Hanya kerana mereka menumpukan pada mesej yang membina masyarakat. Lihatlah filem Colour of Paradise atau The Children of Heaven dan pelajarilah bagaimana mereka mampu menggarap penceritaan dengan baik dan berkesan.

Filem-filem yang baik adalah filem-filem yang memberi motivasi serta mendidik jiwa. Filem-filem yang baik adalah filem-filem  tidak merosakkan jiwa anak-anak. Elemen menakut-nakutkan orang perlu dikeluarkan dari minda penonton terutamanya kanak-kanak. Sebaliknya, minda mereka perlu dididik dan dibangunkan agar menjadi jiwa yang besar dan berani melakukan perubahan kerana mereka adalah pemimpin masa depan. Dipimpin untuk memimpin.

Lebih baik diajar untuk takutkan siksaan Allah dari takutkan hantu yang tidak mampu berbuat apa-apa. Lebih baik diajar untuk cintakan akhirat daripada diajar berdendam dan menuntut bela. Sesungguhnya terlalu banyak hantu dalam diri kita akan menjadikan kita bertindak tidak keruan dan melampaui batas.

Apa yang  ingin kita semaikan adalah sebanyak-banyak sifat manusiawi dalam masyarakat agar mereka lebih memahami tujuan hidup dan bukannya menjadikan mereka bersifat kehantuan yang hanya tahu mengacau, membunuh, dan membalas dendam. 

Saya bukan pengkritik filem tetapi cukup-cukuplah. Saya sungguh letih dengan trend sebegini.

Sesungguhnya mereka tidak tahu apa-apa

Abu Wafi, Putrajaya

Hilang waras

Published September 13, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Ramadhan kali ini telah mencatat sejarah. Sejarah yang  belum pernah terlakar di bumi Malaysia tanahirku. Pembunuhan berlaku di mana-mana tanpa mengira pangkat, darjat dan keturunan. Di Port Dickson, seorang ustazah dan anaknya dirompak dan dibunuh. Seorang anak kecil berusia 3 tahun disembelih oleh bapanya sendiri kerana gila atau halusinasi. Seorang anak tercampak dan mati di atas pokok gara-gara letupan bunga api dari stor penyimpanan bahan berkenaan milik ayahnya.Terbaru jutawan kosmetik terkenal, Dato’ Sosilawati Lawiya bersama 3 yang lain disahkan mati dibunuh dengan cara yang kejam dan sadis.

Malaysia tanahairku warganya menjadi semakin kreatif dan kejam.Cerita ceriti yang selama ini tidak pernah kedengaran di negaraku  kini menjadi semakin lumrah dan biasa. Saya terfikir apakah nikmat keamanan sudah tiada lagi di bumi tercinta ini atau apakah Allah telah menarik nikmat keamanan di bumi Malaysia ini. Dahulu anak-anak kecil tanpa mengira jantina bebas bermain ke sana sini namun kini melepaskan anak-anak bermain di hadapan rumah sekalipun saya sudah bimbang. Rasa bimbang dan risau adalah salah satu manifestasi bahawa nikmat keamanan semakin hari semakin ditarik Allah.

Pembunuhan menjadi semakin kreatif dan sadis. Manusia tanpa mengira apa agama sekali pun mengutuk keras pembunuhan tersebut.  Apa pun motif pembunuhan semuanya tidak dapat diterima akal. Jika pelakunya beragama Islam, maka di mana letaknya Allah dalam diri mereka? Jika pelakunya disahkan gila, faktor apakah yang menyebabkan mereka menjadi sedemikian? Manusia sekeliling atau tekanan hidup yang mendorong kegilaan? Jika pelakunya bukan Islam, apakah telah hilang nilai-nilai kemanusiaan dan  dalam diri mereka?

Itu belum dicampur lagi dengan insiden pembuangan bayi yang makin berleluasa dan menjadi-jadi.

Semasa berkunjung di rumah saudara di Kedah sempena Aidilfitri baru-baru ini, saya bersembang dengan seorang guru disiplin yang telah berkhidmat selama 25 tahun. Saya terkejut mendengar cerita beliau.Katanya masalah disiplin dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja sekolah khususnya di kampung-kampung berada di tahap yang cukup kronik dan membimbangkan. Itu baru kampung terpencil yang jaraknya 15km dari bandar kelahiran saya, kalau di bandar-bandar besar keadaannya mungkin lebih parah lagi. Zina berleluasa dengan hebat sekali di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah katanya. Saya menarik nafas panjang bila mendengar kisah pengalaman beliau memberi kaunseling dan menangani masalah remaja di sekolah yang sudah tidak terkawal lagi. Nauzubillahiminzalik….

Menatapi insiden-insiden ini menjadikan saya semakin takut dan khuatir untuk mengharungi kehidupan yang semakin hari semakin mencabar. Tanpa mengira siapa pelaku yang membuat kekejaman ini, manusia di sekeliling kita semakin hari menjadi semakin sakit dan tidak waras. Bukan sakit fizikal tetapi sakit jiwa dan rohani mereka.Pertimbangan agama dan moral ditolak ke sebelah dan tidak dihiraukan lagi. Pertimbangan keseronokan dunia dan pertimbangan wang ringgit mula menjadi pertimbangan utama sehingga mengakibatkan insiden yang tidak pernah digambarkan berlaku. Saya merenung wajah anak-anak. Merenung kerana bimbang dengan fitnah dunia yang semakin hari semakin membimbangkan. Khuatir jika mereka tidak mampu menghadapinya dan rebah mengikut hawa nafsu. Moga-moga Allah melindungi mereka semua.

Akhir zaman,, banyak berlaku pembunuhan…

Akhir zaman… banyak berlaku perzinaan…

Akhir zaman… manusia makin menjadi gila dan hilang waras….

Akhir zaman… manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk wang ringgit dan keseronokan dunia.

Akhir zaman… makin dekat dengan kiamat… manusia makin jauh dengan Tuhan…

Ya Allah, selamatkan kami dari fitnah dunia akhir zaman ini. Fitnah akhir zaman, adalah ujian hidup yang tidak tertanggungkan melainkan dengan pertolongan Allah.

Mohon dijauhkan….

Abu Wafi, Kulim

Saya tak sampai hati

Published September 9, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Ketika catatan ini ditulis, saya telah pun berada di kampung halaman saya, Kulim, Kedah. Ujian di akhir Ramadhan cukup menekan diri. 2 hari sebelum cuti ada tugasan ‘urgent’ yang peru disiapkan. Alhamdulillah, saya berjaya menyiapkannya. Perjalanan ke utara, berjalan lancar dan tiada kesesakan di lebuhraya seperti yang saya alami pada tahun lepas. Sekali lagi, saya merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana memelihara kami sekeluarga.

Entah mengapa hati kecil ini merasa sayu dan sedih. Saya tak sampai hati untuk mengucapkan selamat tinggal Ramadhan. Saya tak sampai hati untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri seperti yang diucapkan oleh teman-teman dan rakan taulan. Permukiman saya selama 3 malam di Masjid Al-Falah USJ benar-benar menginsafi diri. Terasa kelainan sungguh dengan zikir munajat yang dibawa oleh Bilal Nassem.

Kenyataannya, Ramadhan akan ditinggalkan dan tidak tahu sama ada kita masih berpeluang untuk bertemu di Ramadhan akan datang. Moga Allah panjangkan umur kita.

Entry ini terhenti di sini buat seketika. Selamat Hari Raya buat semua.

ABU WAFI, KULIM KEDAH

Stesyen-stesyen Akhirat

Published September 3, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Ramadhan dilalui seperti tahun-tahun sebelumnya. Ramadhan semakin hampir ke penghujungnya. Jemaah yang sebelum ini membanjiri masjid mula berkurang, satu fenomena biasa yang berlaku setiap tahun. Saya berdoa kepada Allah semoga diberikan kekuatan untuk menghabiskan Ramadhan tahun ini dengan penuh bergaya. Bukan bergaya dengan baju raya dan persiapan menyambut raya sebaliknya bergaya dengan amal ibadah. Rata-rata manusia hari ini mahu hidup bergaya dengan pakaian, kenderaan dan rumah yang besar lagi cantik. Tetapi pernahkah kita terfikir apakah kita juga akan bergaya di akhirat dengan membawa bekalan yang banyak.

Di dunia kita memakai pakaian yang cantik lagi mahal. Berteduh pula di dalam sebuah rumah yang besar lagi indah. Bergerak ke sana sini pula dengan kenderaan yang cantik lagi selesa.

Bagaimana pula nasib kita di akhirat? Apakah gaya, mutu dan keunggulan yang kita pegang di dunia akan dinikmati bersama di akhirat? Apakah gaya, mutu dan prestij tadi akan berkekalan di akhirat?

Bergaya di dunia, bergaya juga di akhirat.

Saya cuba mempelbagaikan amalan Ramadhan kali ini bagi menambahkan perisa dalam amal ibadah yang dilakukan dan supaya ada warna warni dan tidak menimbulkan kebosanan. Kita adalah manusia yang lemah dan cepat jemu dengan satu-satu ibadah atau perlakuan, maka justeru kita perlu pelbagaikan supaya amalan dan perbuatan kita lebih kekal dan tidak menurun.

Jika tahun lepas saya lebih fokus berterawih di satu masjid sahaja tahun ini saya ubah dengan mengunjungi beberapa masjid dan surau Di masjid besi ada Syeikh Romi dan Imam jemputan dari Mesir yang mengimamkan solat. Di masjid Al-Falah USJ, ada Imam Eid Hassan dan Ahmad Haddad Qari dari Mesir. Di masjid lama Serdang ada tazkirah hebat-hebat di pertengahan solat tarawih. Di surau Taman Desa Pinggiran Putra, ada imam dari Masjidil Haram, Makkah Syeikh Abdul Rahman Al-Ber. Semuanya hebat-hebat belaka. Hampir kematu kaki berdiri ketika Syeikh Abdul Rahman Al-Ber membaca doa qunut ketika solat witir. Panjang dan saya rasa seperti berada di Masjidil Haram. Terima kasih kepada dermawan yang telah menaja kedatangan beliau ke sini. Pengalaman yang tidak terlupakan. Cuma alangkah indahnya jika kita mampu memahami setiap ayat yang dibacakan dengan makna dan tadabbur yang sempurna. Saya teringat pesanan Syeikh Fahmi Zam Zam, berusahalah mempelajari Bahasa Arab walaupun tidak dapat sepenuhnya memadailah jika kita mampu memahami setiap bacaan yang kita baca di dalam solat dan makna Al-Fatihah itu sendiri. Barulah feel itu datang…

 Di dalam menongkah arus dunia yang serba mencabar dan menyibukkan kita, sesekali jengahlah stesyen-stesyen akhirat. Apa itu stesen-stesen akhirat?

1. Membaca dan berusaha memahami Al-Quran;

2. Menghadiri Majlis-majlis ilmu;

3. Melakukan solat-solat sunat; dan

4. Berzikir dan mengingati Allah; dan

5. Menziarahi kubur.

Inilah perhentian kita di dunia. Sesibuk mana kita sekalipun jangan lupa singgah di stesen-stesen akhirat yang telah diperuntukkan kepada kita. Mudah-mudahan persinggahan ini akan memberi natijah yang baik untuk kehidupan dunia dan kehidupan akhirat.  

Stesyen akhirat adalah butang “pause” atau mungkin bagi sesetengah orang adalah butang “reverse“. Pause untuk memuhasabah kembali diri yang banyak melakukan dosa dan reverse untuk berpatah balik memperbaiki diri dengan melakukan taubat nasuha. Inilah gunanya stesyen-stesyen akhirat ini, menyuci dan memperbaiki manusia agar tidak terbabas dengan runtunan nafsu dan pujukan syaitan yang menyesatkan. Menginsafi dan menyedari kelalaian dan kelemahan diri adalah tujuan terbaik mengapa kita perlu singgah di stesyen-stesyen akhirat ini.