Archives

All posts for the month April, 2010

KPI n KRA

Published April 26, 2010 by Menikmati Takdir Langit

” KRA n KPI dah buat, Pelan Strategik dah buat, Rancangan Kerja Tahunan 2010 dah buat, Pencapaian Sasaran Kerja Tahunan 2009 dah bentang dan semak. Apa lagi hahhh. Besok ke KT pula untuk retreat bincang semula semua niii. Buat apa lagi, arggh… letih aku”.

Keluh rakan sepejabat saya suatu hari.

“Apa nak buat, dah keperluan macam itu, kita kenalah ikut” jawab saya.

“Tapi bukankah kita dah ada ISO lagi mahu ditambah dengan KPI dan KRA pula. Bukankah ini 2 kali kerja” tegas rakan saya lagi.

” Itu dulu, sekarang dah lain. Keperluan dan kehendak semasa sudah berubah. The demand is very high. Expection from the public is also increasing days by days. Bussiness is not as usual my friend” jawab saya.

Dia terdiam. Mungkin dia penat atau letih. Letih otak memikirkan perkara-perkara baru yang perlu dilaksanakan atau juga dia tidak cukup tangan untuk melakukannya sendirian. Mungkin juga dia tidak mempunyai motivasi untuk menggerakkan diri.

Saya tidak salahkan dia. Namun itulah hakikatnya. Di mana-mana semua orang dan semua sektor sibuk bercakap mengenai KPI dan KRA. Masing-masing sibuk untuk mencapainya.

Kehidupan manusia sentiasa berubah. Pekerjaan menjadi semakin sukar dengan pelbagai kriteria yang tegas.

Kehendak zaman, kehendak semasa, kehendak rakyat, kehendak kerajaan dan persepsi awam yang menuntut kita lebih menumpukan perhatian kepada pekerjaan.

Berbanding zaman dahulu,  perkhidmatan lebih mementingkan tindakan dan keputusan atau Action and results. Namun kini, output dan pencapaian lebih diutamakan.

Sungguh sukar zaman ini berbanding zaman dulu.

Segala-galanya perlu diukur dan dinilai pencapaiannya. Segala tindakan mesti mempunyai had masa, mesti boleh diukur, mesti boleh dicapai, mesti realistik dan mesti spesifik.

Bertambah-tambahlah sukarnya, bekerja di zaman yang serba mencabar ini. Mencabar dan tercabar dengan sistem yang menuntut kita bergerak pantas dan bersifat dinamik.

Cepat dan pantas dalam masa yang sama mesti berkualiti.

Pekerjaan adalah satu ibadah. Apa pun perancangannya jika nawaitunya betul dan benar maka pahala dari Allah akan menyusuli dan membantu kita di kemudian hari.

Jika pekerjaan kita menghasilkan manfaat yang besar kepada orang di sekeliling kita dan memudahkan kehidupan mereka, maka jaminannya pahala dari amal kebaikan ini akan diganjar kepada kita. Pahala yang akan hanya kita lihat dan tuai ketika menghadap Allah di hari yang tiada siapa yang mampu membantu kita melainkan diri kita sendiri.

Justeru, saya selalu mengingatkan diri ini… apa pun pekerjaan yang saya lakukan… maka lakukanlah dengan nawaitu yang jelas dan betul dan dalam masa yang sama saya perlu mengikhlaskan diri.

Akan tetapi…

Pekerjaan kita adalah ibadah umum sahaja. Pahalanya tidak sebanyak mana, tidak setanding pahala yang diperolehi dari ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, sedekah, membaca Al-Quran, mentadabbur makna ayat-ayat Al-Quran,membaca dan merenungi hadith, berzikir dan bangun di malam yang sunyi dengan amalan-amaan sunat yang melimpahkan pahala yang berbaloi-baloi lagi berganda-ganda.

Sesungguhnya ibadah khusus ini lebih bermakna jika dibandingkan dengan ibadah umum.

Cukupkah kita kalau kita menghadap Allah esok dengan hanya berbekalkan pahala ibadah umum sahaja sedangkan ibadah khusus kita kosong atau sungguh sedikit. Mampukah ibadah umum ini menjadi bekalan kita untuk melayakkan kita ke syurga Allah?

KPI n KRA hanya terhad kepada ibadah umum semata-mata. Pencapaian yang cemerlang di dalam kerjaya hanya terhad kepada kepuasan di dunia sedangkan di akhirat masih belum tentu.

Bagaimana pula KPI dalam ibadah khusus kita? Apakah kita pernah serious untuk memikirkannya atau apakah kita langsung tidak pernah terfikir untuk melaksanakan KPI dalam ibadah khusus kita? Apakah KPI dalam urusan persiapan untuk bekalan akhirat kita itu tidak penting lantas tidak perlu diutamakan??

Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh),
Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk).
(Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia;
Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal   ( Surah: Al-A’la: 15 -18)

Mungkin selain KPI dan pencapaian kerjaya, kita juga boleh meletakkan KPI untuk urusan akhirat kita. Contohnya, untuk tahun 2010 KPI kita adalah seperti berikut:

1. Melaksanakan solat sunat Dhuha sekurang-kurangnya 3 kali dalam seminggu;

2. Berzikir dengan zikir yang mudah seperti subhanallah wabihamdih dan subhanallahil azim sebanyak  33 kali dalam satu hari (pahalanya memenuhi antara langit dan bumi);

3. Melakukan puasa sunat sekali dalam sebulan ( Isnin & Khamis);

4. Pergi ke masjid untuk solat waktu berjemaah 3 kali dalam seminggu (tidak termasuk solat Jumaat);

5. Berselawat sebanyak 10 kali setiap hari Jumaat ( ketika menunggu waktu solat Jumaat di masjid);

6. Bersedekah sekurang-kurang RM2.00 seminggu sekali (lebih afdhal pada hari Jumaat);

7. Mula membaca Al-Quran sekurang-kurangnya satu muka surat setiap hari; dan

8. Menghadiri kuliah agama atau majlis ilmu di masjid atau surau 2 minggu sekali (untuk menggilap iman).

Buat permulaan, sasaran 8 KPI dalam ibadah khusus ini rasanya tidak memberatkan. Atau kita mungkin boleh memilih untuk memulakan yang paling mudah di antara yang 8 ini dan seterusnya diikuti dengan yang lain.

Apakah ibadah permulaan seringan ini tidak mampu kita lakukan?

Saya sendiri tidak pernah memaksa diri. Malahan saya meletakkan KPI ibadah ini pada tahap yang paling minima. Contohnya solat dhuha, saya memahami bahawa kita semua sibuk. Justeru saya cuma meletakkan 3 hari dalam seminggu termasuk hari cuti, Sabtu & Ahad serta ditambah satu hari dalam hari bekerja.

KPI yang cukup mudah untuk dicapai. Permulaan yang ringan, sedikit namun mampu untuk menggerakkan diri untuk merasai kemanisan iman dengan peningkatan ibadah dari setahun ke setahun.

Selepas beberapa bulan cuba kita lihat pencapaiannya. Letakkan tempoh  3 bulan untuk melihat sama ada kita boleh istiqamah dengan KPI ibadah ini. Jika KPI ibadah umum kita boleh berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya mengapa tidak kita bersungguh-sungguh untuk mencapai KPI akhirat. Kita boleh membuat catatan di dalam buku kecil atau membuat jadual harian bagi menilai dan mengukur sejauh mana pencapaian KPI ibadah khusus atau KPI akhirat kita. Jika tercapai, maka cubalah pertingkatkan sedikit demi sedikit sehingga ibadah kita menjadi mantap dan sarat.

Barulah hidup akan lebih bermakna bila KPI ibadah khusus kita seiring dengan KPI ibadah umum. Dunia dikejar dan dalam masa yang sama akhirat juga diutamakan.

Insyallah, solat sunat Dhuha 3 kali seminggu akan bertukar menjadi 7 kali seminggu;

Insyallah, solat jemaah seminggu 3 kali akan bertambah menjadi 7 kali dalam seminggu;

Insyallah, puasa sunat sebulan sekali akan bertukar menjadi 8 kali  sebulan atau  3 kali sebulan (mengikut hadith sahih);

Insyallah, selawat setiap jumaat akan bertambah kepada selawat setiap hari dengan rangkaian selawat-selawat syifa’ dan selawat tafrijiyyah;

Insyallah, zikir ringkas kita setiap hari akan bertambah kepada zikir al-mathurat setiap pagi dan malam;

Insyallah, bacaan sehari selembar Al-Quran akan bertambah menjadikan kita khatam Al-Quran setiap 3 bulan;

Insyallah, sedekah jariah kita sebanyak RM2.00 seminggu akan bertambah menjadi RM100 setiap bulan; dan

Insyallah, kehadiran kita ke majlis-majlis ilmu dan tafaqquh fiddin akan bertambah dari 2 minggu  sekali menjadi 2 kali seminggu.

Semua ini memerlukan kesungguhan untuk dilakukan. Biar pun sedikit, namun dengan doa yang dipinta, insyallah Allah akan membuka pintu rahmatNya untuk memberi kita kelazatan dalam beribadah.

Islam bermula dengan sesuatu yang mudah dan tidak menyusahkan. Kita bermula dengan langkah pertama yang mudah, insyallah kesungguhan kita akan dibantu oleh Allah untuk mempertingkatkan amal ibadah serta menambahkan iman kita.

Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (Muhammad) untuk menyusahkan. (Toha:2)

Semoga kita berjaya.

Abu Wafi, Kuala Lumpur

Photo: Ishafizan Ishak dari photo Naza.

 

 

Kualiti hidup yang dicari

Published April 12, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Beberapa minggu lepas kerajaan telah melancarkan Model Ekonomi Baru atau NEM. Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang mengenai dasar baru ini walaupun saya sudah membaca dan menekuni serba sedikit mengenai Model Ekonomi Baru ini. 

Secara peribadinya, saya tidak mempunyai masalah dengan NEM. Apa sahaja dasar yang difikirkan baik dan memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya perlulah disokong tanpa mengira  siapa yang menggubalnya.

NEM dilancarkan  dengan hasrat untuk merobah kualiti hidup rakyat Malaysia ke tahap yang lebih berkualiti.

Petikan NEM :

Kita mahu melihat Malaysia melakukan lonjakan kuantum daripada  pendapatan tahunan per kapita daripada USD7,000 kepada USD15,000 dalam tempoh 10 tahun seperti yang dinyatakan dalam Laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC).

Peningkatan pendapatan per kapita rakyat Malaysia akan mengubah kualiti hidup rakyat Malaysia. Secara logiknya, apabila pendapatan meningkat maka kuasa beli juga meningkat dan apabila kuasa beli rakyat Malaysia bertambah bermakna kehidupan rakyat semakin bertambah baik. Namun betulkah begitu??

Ketika dalam perjalanan ke pejabat baru-baru ini, saya membuka siaran radio IKIM. Rancangan sembang pagi yang dikendalikan oleh Ustaz Zamri pada pagi tersebut membincangkan mengenai Model Ekonomi Baru. Rata-rata pemanggil yang membuat panggilan memberikan pandangan yang berbeza-beza. Masih terlalu awal untuk diberi penilaian. Apa pun, dalam banyak-banyak panggilan saya cukup tertarik dengan seorang pemanggiil dari Bandar Kinrara, Puchong. Peningkatan pendapatan per kapita rakyat sesebuah negara bukan faktor penentu bahawa kualiti hidup rakyat juga bertambah baik.

Beliau membawa contoh kehidupan di luar bandar dengan kehidupan di bandar. Katanya, walaupun pendapatan penduduk di kampung-kampung adalah kecil jika dibandingkan dengan penduduk bandar atau bandaraya, namun mereka sebenarnya menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Mereka tidak perlu berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk setiap hari. Mereka tidak berhadapan dengan waktu kerja yang panjang. Mereka tidak perlu ‘stay back’ sehingga lewat malam untuk menyiapkan kerja di pejabat. Mereka mempunyai masa yang banyak untuk dihabiskan bersama anak-anak dan isteri.  Paling penting mereka mempunyai lebih masa untuk Allah. Masa untuk beribadah dan menghadiri majlis ilmu di masjid dan surau. Mereka mungkin bekerja sebagai guru di sebuah bandar kecil seperti di Baling  tetapi dengan gaji yang sedikit kurang dari rakan mereka di Kuala Lumpur mereka sebenarnya menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Pendapatan meningkat tetapi masa bersama keluarga juga semakin singkat. Pendapatan meningkat tetapi masa bersama Allah juga menjadi singkat. Akibatnya anak-anak menjadi terbiar, tidak terbela dan tidak mendapat kasih sayang yang mencukupi. Hubungan dengan Allah juga terjejas maka ini adalah titik tolak kepada masalah yang lebih besar lagi, ulas pemanggil tersebut lagi.

Saya tertarik dengan analogi yang dibuat oleh pemanggil ini. Malahan saya khuatir dengan lontaran pandangan beliau. Satu pandangan yang berani dan jujur.

Akhir sekali, beliau juga meminta supaya pelaksanaan dari sudut ukhrawi ini diberi perhatian oleh semua pihak. Setiap perancangan hidup yang ingin kita lakukan mestilah mempunyai sentuhan ukhrawi untuk menjadikannya lebih bermakna dan berkesan.

Walaupun tujuan NEM itu baik, namun lontaran idea pemanggil ini membuatkan saya terfikir dengan mendalam dan serious. Satu pandangan yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Kualiti hidup juga bermakna ada peruntukan masa untuk Allah dan Rasulnya dalam kehidupan kita. Jika tidak apalah maknanya jika pendapatan bertambah sedangkan masa untuk beribadah semakin kurang. Saya melihat pandangan beliau sebagai satu  pandangan dari seorang rakyat yang  mengambil kira nasibnya di dunia dan di akhirat.

Soalnya berapa ramai di antara kita yang memandang sejauh ini?

Berapa ramai di antara kita yang memikirkan soal masa yang diperuntukkan untuk Allah dan Rasulnya?

Apa pun perancangan hidup yang ingin dilaksanakan, aspek ukhrawi jangan sekali dilupakan. Dalam kehidupan ini yang penting bukan berapa lama kita hidup, tetapi bagaimanakah cara kita hidup.

Fikir-fikirkan. Tepuk dada tanya iman….

Abu Wafi, Kuala Lumpur

Catatan ini dibuat pada pukul 7.23 malam

Pic : Ishafizan Ishak

Dahi cecah sejadah

Published April 6, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Radio IKIM yang sememangnya mempunyai pengisian yang baik untuk merawat jiwa yang kosong. Kebetulan semalam semasa saya membuka siaran 91.5 itu, ada bacaan puisi yang menusuk hati. Walaupun telah mendengarnya berkali-kali namun mendengar dan menghayatinya di tengah-tengah malam dalam kenderaan yang membelah kota raya sambil ditemani dengan kerlipan cahaya neon memang berbeza sekali. Saya dapat rasakan bahawa bait-bait puisi tersebut meresap masuk ke dalam jiwa sekaligus membangkitkan rasa insaf dan rasa bertuhan. Suasana malam yang sunyi,tenang dan disertai dengan gerimis di luar turut menyumbang kepada perasaan yang sungguh istimewa ini.

Puisi mengenai solat. Puisi yang melontarkan pertanyaan jauh ke dalam lubuk hati kita. Di mana kita letakkan solat dalam kehidupan kita. Moga bermanfaat.

DAHI CECAH SEJADAH

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan,
Berwudhulah kamu sebelum kamu diwudhukan,
Solatlah kamu sebelum kamu disolatkan,
Tutuplah auratmu sebelum auratmu ditutupkan dengan kain kafan yang serba putih.
Pada waktu itu tiada lagi guna bersedih
walaupun orang yang hadir itu merintih.

Selepas itu kamu akan diletakkan di atas lantai,
lalu dilaksanakanlah solat jenazah,
dengan 4 kali takbir dan 1 salam beserta fatihah, selawat dan salam
sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah.

Tetapi adakah 4 kali takbir itu dapat menebus segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat jenazah yang tanpa rukuk dan sujud dapat membayar hutang rukuk dan sujud yang telah luput?
sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian.

Justeru, ku menyeru sekalian muslimin dan muslimat,
usunglah dirimu ketika solat sebelum kamu diusung ke liang lahad,
menjadi makanan cacing dan makanan ulat

Iringlah dirimu ke masjid.
sebelum kamu diiringi ke pusara,
tangislah dosa-dosamu di dunia kerana tangisan tidak berguna di alam baqa’.

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan,
sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan dengan panggilan Izrail yang menakutkan,

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalqinkan kerana ianya berguna untuk yang tinggal bukan yang pergi.

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan.
namun, pada ketika itu istighfar tidak dapat menyelamatkan,
Ingatlah di mana sahaja kamu berada,
kamu tetap memijak bumi Tuhan,
dan dibumbungi dengan langit Tuhan
serta menikmati rezeki Tuhan.

Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti,
lalu menjadi segumpal darah,
lalu menjadi seketul daging,
lalu daging itu membalut tulang,
lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti.

Justeru, bila DIA menyeru sambutlah seruanNya,
sebelum DIA memanggilmu buat kali terakhirnya.

ingatlah asal-usulmu yang tidak bernilai itu,
yang kalau jatuh ke tanah ayam tak patuk, itik tak sudu.

Tapi Allah mengangkatmu ke satu mercu yang lebih agung dari Malaikat.
lahirmu bukan untuk dunia,
tapi gunakanlah ia untuk belayar bahtera akhirat

sambutlah seruan haiyaalaalsolah dengan penuh rela dan bersedia
sambutlah seruan haiyaalaalfalaah dengan jalan kemenangan dunia dan akhirat.

ingatlah yang kekal ialah amal,
menjadi bekal sepanjang jalan,
menjadi teman di perjalanan,
guna kembali ke pangkal Tuhan.

pada hari itu tiada berguna harta, takhta dan putera,
kondomunium, saham dan niaga,
KALAU DAHI TAK MENCECAH SEJADAH DI DUNIA

 

Abu Wafi, Kuala Lumpur

Catatan pada 6 April 2010 jam 7.17 malam

Penat belum habis

Published April 5, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Sudah 3 minggu berturut-turut saya balik lewat malam. Paling lewat Khamis lepas, saya sampai di rumah jam 12.25 pagi. Sungguh-sungguh lewat. Dan keadaan ini akan berterusan untuk beberapa minggu yang akan datang.

Lewat bukan disengajakan atau lewat yang dibuat-buat. Tetapi tuntutan kerja yang menjadikan saya begitu. Oh, sungguh meletihkan. Memandu kereta selepas pukul 11.30 malam sejauh 50km dari KL ke Putrajaya adalah satu ujian yang cukup berat. Pernah sekali terlanggar kon di tepi jalan kerana terlalu mengantuk. Alhamdulillah, mujur tidak ada apa yang berlaku.

Cumanya, kadang-kadang saya bertanya kepada diri saya. Masa saya bersama keluarga semakin terhad. Pulang ke rumah saya hanya mampu melihat wajah anak-anak yang telah pun dibuai mimpi. Mengusap dan mengucup wajah ketika tidur mereka menjadikan hati saya tenang. Sekurang-kurangnya saya dapat melihat setiap hari walaupun lewat.

Mudah-mudahan mereka memahami bahawa kelewatan saya bukan disengajakan.

Mudah-mudahan mereka mereka memahami bahawa hidup ini penuh dengan ujian dan tribulasi.

Mudah-mudahan mereka memahami bahawa hidup ini memerlukan kesabaran yang tinggi.

Kesabaran untuk menunggu ayah mereka pulang.

Kesabaran untuk bekerja dengan penuh iltizam.

Kesabaran itu akan membuahkan pahala dari Allah. Sememangnya dunia adalah tempat ujian dan tribulasi.  Benarlah kata-kata hukama “Dunia adalah tempat ujian dan penat lelah, tiada istilah rehat untuk manusia di dunia ini. Kematian adalah kerehatan bagi mereka yang telah berpenat lelah dan bersusah payah di dunia. Berpenat lelah kerana Allah dan untuk Allah.”

Abu Wafi, Putrajaya 

Catatanku pada pukul 5.55 petang.

 

Bukan rezeki saya

Published April 2, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Mungkin pembaca blog saya tertanya-tanya gambar siapakah yang saya letakkan untuk entry saya kali ini. Saya sendiri tidak bertujuan untuk menceritakan individu-individu dalam 2 keping gambar di atas. Ringkasnya, mereka adalah sebahagian daripada staff saya semasa saya bekerja dengan dengan sebuah firma di Butterworth 8 tahun yang lalu. Ketika saya meninggalkan firma berkenaan dalam tahun 2002, firma  tersebut mengalami masalah kewangan yang serious. Saya masih ingat lagi, pada ketika itu sebagai pengurus yang menjaga cawangan di Butterworth saya hampir kelemasan mencari sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan cawangan. Collection yang saya dapat setiap bulan hanya mencecah RM10,000 sedangkan overhead yang terpaksa saya tanggung seperti pembayaran gaji pekerja, bil-bil utiliti dan sewa pejabat mencecah sehingga RM30,000 sebulan. Terkial-kial saya meminta bantuan daripada headquaters untuk menanggung sebahagian besar perbelanjaan cawangan pada masa itu. Masih saya ingat.

Masih saya ingat bagaimana sukarnya keadaan saya ketika itu apabila terpaksa memaniskan muka membuat marketing setiap hari untuk mendapatkan kerja. Tanpa kerja baru bermakna duit tidak masuk. Bila duit tidak masuk, mana mungkin saya dapat membayar gaji pekerja dan perbelanjaan lain. Untuk selamat, saya harus mendapatkan sekurang-kurangnya RM45,000 ke atas.

Maka terpaksalah saya menghadapinya kerana persaingan di luar sangat kuat. Tambahan pula, keadaan ekonomi juga agak meleset ketika itu.

Akhirnya saya terpaksa keluar atas sebab-sebab yang terlalu peribadi untuk saya ceritakan di sini. Cukuplah saya katakan bahawa faktor kewangan adalah salah satu faktor yang menolak saya keluar dari firma tersebut walaupun itu bukanlah faktor utama. Meninggalkan firma yang saya kasihi merupakan antara pengalaman pedih yang tidak mungkin saya lupakan.

Dan kini selepas 8 tahun saya meninggalkan firma tersebut, keadaan sudah jauh berubah. Nasib sebahagian staf saya yang masih tinggal di firma tersebut bertambah baik. Firma tersebut mencatatkan keuntungan yang konsistent setiap bulan. Malahan mampu membawa staf mereka pergi melancong ke luar negara setiap tahun. Bermula dari Bali, langsung ke Kota London dan berlanjutan ke Paris adalah impian yang tidak pernah dimimpikan oleh setiap dari mereka. Menatap gambar-gambar kegembiraan mereka di facebook membuatkan saya juga tumpang gembira dengan kejayaan yang dicapai oleh mereka walaupun saya sendiri tidak sempat mengecapinya.

Pernah salah seorang dari mereka menghubungi saya dan menyatakan “Alangkah indahnya kalau Encik Shahnaz masih ada di sini. Tentu dapat ikut sama”

Saya menjawab ringkas Bukan rezeki saya”.

Jika difikir-fikirkan balik, saya seperti kerugian sesuatu. Namun bila memikirkan mengenai ketetapan Allah mengatasi ketetapan manusia hati saya menjadi tenang. Memang ini bukan untuk saya. Rezeki saya di tempat lain.

Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada staf-staf saya yang masih tinggal kerana kerja keras mereka. Tahniah kepada Kak Amaini, Rafidah dan Asfarina satu-satunya trio yang masih tinggal di sana.

Segala kejayaan yang dikecapi bukanlah milik seorang individu, bukan juga milik tuan punya firma sebaliknya atas penat lelah semua pekerja. Masing-masing ada sumbangan.

Namun dalam pada itu, jangan dilupakan rezeki datangnya dari Allah. Dia yang berkuasa memberi dan menarik kembali rezeki yang diberi kepada kita. Bersyukurlah atas nikmat yang telah diperolehi dengan menambahkan ketaatan kepadaNYA.

Jika kita berjaya di dunia hendaknya kita juga ingin berjaya di akhirat !

Jika kita bergaya di dunia, ingin juga kita berjaya di akhirat !

Jika kita mencatat keuntungan di dunia, ingin juga kita menuai keuntungan di akhirat!

Mudah-mudahan kita berjaya DUNIA AKHIRAT.

Abu Wafi, Kuala Lumpur

Catatan pada 1 April 2010 jam 8.30 malam

 

 

Peluklah Islam sekuat hatimu

Published April 1, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Baru-baru ini saya terbaca sebuah artikel di dalam sebuah makalah yang dipetik dari sebuah majalah antarabangsa. Artikel berkenaan berkisar mengenai kehidupan seorang wanita Amerika yang memilih Islam sebagai cara hidup.Nama Aminah Assilmi mungkin asing bagi kita di Malaysia kerana kita lebih mengenali artis atau bintang sukan tetapi beliau telah terpilih antara 500 individu Muslim paling berpengaruh di dunia (One of the top 500 influential current Muslims in the world). Saya sendiri tidak pernah mengenali beliau sehinggalah dimaklumkan oleh isteri saya mengenai kewujudan insan besar ini. Membaca artikel 2 muka dalam Bahasa Inggeris tersebut membuatkan saya teruja untuk mengorek kisah hidup beliau.

Saya sungguh kagum dengan perjuangan beliau yang tidak pernah putus asa dalam berdakwah mengajak rakyat Amerika Syarikat untuk mengenal dan menerima Islam sebagai cara hidup. Antara petikan kata-kata beliau adalah:-

I am so very glad that I am a Muslim.Islam is my life. Islam is the beat of my heart.Islam is the blood that courses through my veins. Islam is my strength. Islam made my life so wonderful and beautiful. Without Islam I am nothing and should Allah ever turn His magnificent face from me, I could not survive”.

Perhatikan pula petikan seterusnya:

Aminah assilmi was a renowned female scholar of Islam  she traveled around the United States to give lectures , her personal story has admired hundreds of individuals ,she was also President of  International Union of Muslim Women , the organization that  has many achievements  under its belt.

Kisah hidupnya sangat mengujakan untuk siapa yang membacanya. Saya sendiri sedih kerana saya sendiri tidak mampu menjadi tabah seperti beliau walaupun lahir sebagai seorang Muslim. Berikut antara peristiwa menarik dalam hidupnya.

1.    Lahir sebagai seorang Kristian;

2.    Berkahwin dan mempunyai anak;

3.    Memeluk Islam semasa di universiti;

4.   Diceraikan oleh suami kerana Islam;

5.   Hak penjagaan 2 orang anaknya diberi oleh mahkamah kepada suaminya;

6.   Ayahnya pernah mengugut untuk membunuhnya jika beliau tidak kembali ke agama asal;

7.  Diberhentikan kerja oleh majikan kerana pakaian hijab yang beliau pakai;

8.  Hilang begitu banyak rakan dan sahabat kerana Islam;

9. Islam tidak menghalang beliau untuk meneruskan hubungan silaturrahim dengan keluarga beliau walaupun dibenci dan dicemuh ahli keluarga sendiri. Buktinya, setiap tahun beliau akan menghantar kad-kad ucapan mengikut hari-hari tertentu. Di dalam Kad-kad itu ditulisnya petikan dari hadith dan Al-Quran tanpa menyebut sumber petikan tersebut.

Di sebalik pengorbanan besarnya untuk Islam beberapa ‘miracle’ atau keajaiban berlaku dalam hidupnya. Antaranya:-

1.   Usaha dakwahnya tanpa mengenal putus asa telah membuka hati neneknya untuk memeluk Islam pada usia 100 tahun.  Menariknya saya petik kata-kata beliau:

The day she pronounced shahadah (the testimony of faith), all her misdeeds had been  erased, while her good deeds were preserved. She died soon after accepting Islam that I knew her book was bound to be heavy on the good side. It feels me with such a joy”

2.  Ayahnya yang pernah mengugut untuk membunuh Aminah, memeluk Islam selepas neneknya. Aminah menjadikan peristiwa keislaman Sayyidina Umar al-Khattab sebagai motivasi untuk menarik ayahnya kepada Islam dan usahanya berjaya;

3.  Beberapa minggu selepas keislaman ayahnya, ibu kandung Aminah menghubunginya dan menyatakan hasrat untuk memeluk Islam. Beliau juga meminta Aminah untuk mengajarnya cara-cara untuk beliau memeluk Islam. Ibu beliau memintanya supaya merahsiakan keislamannya daripada pengetahuan ayah Aminah tanpa mengetahui bahawa suaminya sendiri telah memeluk Islam lebih awal dari beliau;

4. Adik perempuan Aminah yang pernah mengugut untuk menghantar Aminah ke rumah sakit mental juga memeluk Islam selepas itu;

5Anak lelaki Aminah sebaik sahaja mencapai umur 21 tahun menghubungi Aminah dan menyatakan bahawa dia ingin mengikuti jejak langkah ibunya yang memilih Islam sebagai cara hidup;

6.  16 tahun selepas perceraiannya, bekas suami yang sangat dicintainya memeluk Islam. Bekas suaminya menyatakan bahawa pemerhatiannya sepanjang 16 tahun ke atas bekas isterinya telah melembutkan hatinya untuk memeluk Islam. Malahan dia juga mahukan anak perempuan mereka memeluk Islam;

7. “ The greatest gift” atau anugerah paling besar untuk Aminah ialah apabila beliau berkahwin lain dengan seorang lelaki Muslim. Walaupun doktor menyatakan bahawa Aminah tidak lagi boleh mengandung, Allah menganugerahkan Aminah dengan seorang anak lelaki yang comel. Kata Aminah If Allah makes a gift to someone, who can prevent Him? It was truly wonderful blessing from Allah, and so she named him ” Barakah”. Peristiwa ini mengingatkan kita kepada kisah isteri Nabi Ibrahim as, Siti Sarah dan isteri Nabi Zakaria a.s yang mengandung dan melahirkan Nabi Ismail dan Nabi Yahya a.s walaupun usia mereka telah pun mencapai umur ‘menoupause’ yang mustahil untuk mengandung. Benarlah  seperti kata Aminah, kuasa Allah tiada siapa yang mampu menghalangnya.

Usaha gigih Aminah menyebarkan Islam di seluruh USA tanpa kenal jemu dan putus asa telah menyebabkan beliau berjaya menarik perhatian ramai untuk memeluk Islam. Ceramah-ceramah beliau sentiasa diminati. Akhlak Aminah Assilmi yang benar-benar mengikut akhlak Islam telah berjaya mencairkan hati seluruh ahli keluarganya yang terdekat untuk memeluk Islam. Sikapnya yang tidak pernah kenal putus asa dan sentiasa menghubungi keluarga terdekat telah menyebabkan mereka sendiri tertarik dengan perubahan pada dirinya. Benarlah, Islam datang untuk memperbetulkan akhlak dan kelembutan dan hikmah dalam diri Aminah telah menarik hati ahli keluarganya untuk memeluk Islam.

Malangnya Aminah Assilmi lebih disayangi oleh Allah swt. Beliau pergi tanpa sempat untuk saya mengenali beliau dengan lebih dekat lagi. Aminah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya berdekatan Newport, TN pada 5 Mac 2010 dalam perjalanan pulang sebaik sahaja selesai menyampaikan ceramah di New York dalam usia 65 tahun. Aminah Assilmi pulang ke pangkuan Allah dalam keadaan ketika selesai mengajak manusia kembali ke jalan Allah.

Mudah-mudahan syurga menanti beliau di sana.

Aminah Assilmi is a story of faith and conviction. It is a story of test and tribulation. It is a story of triumphant victory of faith. It is a story of inspiration for the rest of us, and it is a story of confidence and reliance to Allah. It is a story of Allah’s love and mercy, and it’s a story of Allah’s promise coming true. True, Allah has tested me as was promised, and rewarded me far beyond what could I could ever hoped for”

Terjemahan

Kisah Aminah adalah kisah mengenai  iman dan sebuah kepercayaan yang teguh.Kisah mengenai ujian dan tribulasi.Kisah mengenai kemenangan sebuah kepercayaan berasaskan keimanan. Kisah yang memberi inspirasi kepada kita semua dan kisah mengenai keyakinan dan sandaran sepenuhnya kepada Allah. Kisah mengenai kasih sayang dan rahmat dari Allah. Kisah mengenai janji Allah yang sesungguhnya benar. Benar, sesungguhnya Allah telah menguji saya sebagaimana yang dijanjikan dan menganugerahkan saya dengan sesuatu yang di luar jangkaan yang tidak pernah saya harapkan”

Membaca kisah Aminah Assilmi menjadikan saya semakin kerdil dan  kecil. Siapalah saya berbanding beliau. Islam yang dikenalinya telah dipeluk sekuat hatinya sehingga ke akhir hayatnya. Seharusnya, kita perlu malu dengan kegigihan beliau yang merasakan manisnya menikmati hidayah iman yang dikurniakan Allah kepadanya. Justeru, marilah kita sama-sama berusaha mencontohi Aminah. Jadikan kisah hidupnya sebagai panduan dan sumber inspirasi kita. Peluklah Islam sekuat hatimu!!!!

Abu Wafi, Kuala Lumpur

31 Mac 2010 jam 10.05 malam