Archives

All posts for the month July, 2010

Dungun daerah sunyi

Published July 29, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Minggu lepas saya ke Dungun, Terengganu. Inilah kali pertama seumur hidup saya menjejakkan kaki ke daerah ini. Saya hadir atas tugas rasmi.

Daerah ini terlalu jauh dari Putrajaya. Terlalu asing bagi saya. Tak sanggup rasanya untuk memandu ke sinii kerana saya benar-benar kepenatan. Bisa mengundang rasa mengantuk jika memandu dalam tempoh yang panjang tanpa rehat yang mencukupi. Rutin kerja saya yang memerlukan saya berulang alik ke KL sejauh 100 km setiap hari menempuh kesesakan di Sg Besi sudah cukup untuk memenatkan diri dan menyesakkan dada. Pengangkutan udara juga tidak praktikal kerana jarak antara Dungun dan lapangan terbang sangat jauh.

Fikir punya fikir akhirnya saya memilih untuk menaiki bas. Lagipun sudah agak lama saya tidak naik bas. Rasa rindu pada nostalgia lama zaman persekolahan dan universiti tiba-tiba bermain di fikiran.  Sungguh indah saat itu. Walaupun kurang selesa berbanding menaiki kereta atau kapal terbang, ianya cukup ekonomi dan sederhana. Tiada salahnya dengan bas. Sesungguhnya banyak perkara yang boleh dipelajari dari bas. Bas tidak berprestij tetapi bas mempunyai makna tersendiri dalam hidup saya.

Jangan memandang rendah kepada bas. Pengalaman bergaul dengan mereka yang menaiki bas adalah pengalaman  ikhlas yang dapat ditemui.  Saya belajar mengenai kehidupan di dalam bas. Ada cerita suka duka dan pengalaman pahit manis. Bas rosak, bas kemalangan, aircond rosak dan ditipu oleh ulat-ulat bas adalah pengalaman pahit yang tidak dapat saya lupakan. Saya belajar menghargai makna kehidupan dengan menaiki bas dan dari situlah terasa kerendahan dan kelemahan diri yang hina di sisi Allah. Kita adalah hamba dan seringkali kita lupa akan hakikat itu. Saya teringat kata-kata Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari dalam Kitab Hikamnya :-

“Sebaik-baik saat di dalam hidupmu ialah ketika engkau menyedari kekurangan diri dan engkau kembali kepada kerendahan dirimu.

Sudah menjadi lumrah manusia mudah lupa diri bila berada pada kedudukan yang tinggi. Ketika dihimpit kesusahan, kemiskinan dan ditimpa musibah manusia lebih hampir dengan Allah. Namun bila berada di zon selesa, senang, mewah, sihat dan berkuasa ramai yang terleka dan akhirnya lupa diri. Lupa asal usul, lupa siapa diri dan tujuan hidup. Natijahnya, banyak keputusan yang dibuat sering menidakkan kesukaran yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik.

Bila susah ingat masjid bila senang lupa Allah. Bila senang fikiran menjadi bercabang-cabang dengan pelbagai agenda dan program yang hendak dilakukan. Nak buat business itu dan ini. Nak labur saham itu dan ini. Nak beli hartanah di sana sini. Nak kaji strategi perniagaan yang boleh diterokai. Bila susah, fikiran menjadi satu dan fokus, ingat masjid, ingat Allah dan rajin berdoa agar Allah tunjukkan jalan keluar.

Sesungguhnya ujian yang paling besar bukanlah musibah yang menimpa, bukan juga kekayaan dan kekuasaan yang melimpah ruah tetapi ujian yang sebenar adalah ujian hidup beragama. Di mana kita letakkan Allah di dalam kehidupan kita setiap hari. Sejauh mana kita mengingati Allah di kala susah dan di kala senang. Sejauh mana hidayah dan petunjuk Allah itu kekal dan sentiasa menokok dalam diri kita.

Sebab itu, bila berada di kedudukan tertinggi sekali sekala jenguk-jenguklah dan tinjau-tinjaulah keadaan hidup orang  di bawah kita. Kehidupan petani, nelayan dan fakir miskin adalah kehidupan yang mungkin dianggap sukar oleh kebanyakan manusia hari ini. Jika selalu terbang di awan biru bertemankan fresh orange dan layanan pramugari yang mesra apa salahnya sekali sekala menggunakan bas ekspress pula. Rasailah pengalaman perit golongan yang kurang bernasib baik dari kita. Mudah-mudahan dengan turunnya kita ke bawah maka kita akan menyedari kekurangan diri dan menimbulkan rasa kehambaan yang tidak terhingga kepada Allah. Inilah sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Islam dahulu seperti Khalifah Umar ibn Abdul Aziz dan nendanya Saidina Umar Al-Khattab. 2 pemimpin besar  ini hidup dalam serba kedhaifan dan serba kekurangan namun  kekurangan dan kedhaifan  itulah yang menyebabkan mereka dekat dengan Allah. Kekurangan adalah satu rahmat dan hikmah yang mendidik jiwa mereka menjadi jiwa yang  sedar diri dan mahu kembali kepada Allah.

Begitu juga dengan Salman Al-Farisi yang diutus menjadi Gabenor di Kufah. Beliau meninggal dunia dengan meninggalkan tongkat, cawan dan serban. Cawan untuk minum dan berwuduk, serban pula untuk menutup kepala dan dijadikan hamparan untuk tetamu yang mengunjunginya. Tongkat sebagai penunjuk di jalan dan sebagai alat menyedarkan tentang hakikat umur yang pendek. Itu pun beliau masih menangis di akhir hayatnya memikirkan apa yang hendak dijawab di hadapan Allah kelak memikirkan 3 harta tersebut.

Saya sampai di Dungun jam 5.30 petang. Hujan turun dengan lebatnya. Saya basah terkena tempias hujan. Sampai di hotel jam 6 petang. Di luar hujan masih turun dengan lebatnya. Saya kebasahan, namun pengajaran berguna yang saya perolehi hari ini cukup mendewasakan.

Pengalaman di Dungun cukup saya hargai. Daerah ini kelihatannya sungguh tenang walaupun di sana ada ombak Laut Cina Selatan yang menggulung tinggi. Ingin sekali singgah di Teratak Bakarians salah seorang rakan blogger yang kebetulan terletak di sini, namun hasrat itu terpaksa dimatikan kerana beliau tiada di rumah.

Ya Allah, mudah-mudahan Engkau sentiasa menyedarkan aku mengenai siapa diri dan tinggi rendahnya diriku ini. Terima kasih kerana menempatkan aku seketika di daerah sunyi ini. Daerah yang memberi ruang untuk aku mengenal diri dan melakukan muhasabah diri yang faqir ini.

Abu Wafi

Seorang lagi sahabatku telah pergi

Published July 18, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Saya menatap akhbar KOSMO. Helaian demi helaian saya selak sehinggalah terjumpa berita di atas. Saya tertarik untuk membacanya dengan lebih lanjut kerana insiden ini berlaku di negeri saya. Teluk Tempoyak merupakan  tempat makan ikan bakar yang cukup popular di sebelah utara.

Tiba-tiba hati saya berdegup kencang. Siapa Anuar Sulaiman? Kenalkah saya pada beliau? Namanya seakan familiar dengan saya.

Lantas saya menghubungi beberapa orang rakan peguam di Pulau Pinang bagi mendapatkan kepastian.

Dan akhirnya saya menemui jawapannya. Akhbar KOSMO tersalah lapor nama beliau yang sebenarnya. Nama beliau adalah Anuar Saliaman dan bukannya Anuar Sulaiman. Namun itu tidak mengubah apa-apa. Anuar Saliaman sahabat saya suatu ketika dahulu telah  pun pergi buat selama-lamanya.

Saya mengurut dada menarik nafas panjang. Ada sesuatu yang mengganggu dengan perkhabaran ini.

Ya, aku kenal benar dengan insan ini. Malah saya pernah rapat dengan dia suatu ketika dahulu. Ketika itu saya dan arwah sama-sama menjalani latihan  chambering atau Latihan Dalam Kamar selama 9 bulan sebelum ditauliahkan menjadi Peguam.

Saya memejam mata. Berteleku sambil meletakkan tangan di atas dahi. Cuba mengimbau kembali kenangan demi kenangan yang pernah dilalui bersama arwah. Walaupun tidak banyak tetapi cukup untuk saya merasa sedih dengan pemergian beliau.

Saya mengenali beliau lewat tahun 1998. Beliau seorang yang ceria,easy going person‘, peramah , murah dengan senyuman, seorang rakan yang baik dari sudut personaliti. Pendek kata, saya tiada masalah langsung dengan dia. Selalunya kami akan kerap kali berjumpa di Mahkamah kerana di situlah medan pertemuan para peguam yang mengendalikan kes-kes litigasi. Ada kalanya kami pergi minum bersama dengan rakan-rakan yang lain seusai perbicaraan. Pada waktu itu, saya dan arwah baru saja menamatkan pengajian di universiti dan terus menjalani latihan chambering di firma sekitar Pulau Pinang. Saya di Prai dan arwah di Bishop Street, Pulau Pinang. Walaupun dipisahkan dengan lautan, saya selalu menyeberang ke pulau untuk ke Mahkamah Tinggi George Town dan Mahkamah Sesyen Argyll Road dan kadang-kadang saya singgah di firma beliau bekerja kerana kebetulan berdekatan dengan Mahkamah.

Anuar Saliaman

Saya tidak ingat bila kali terakhir saya berjumpa dengan arwah. Kalau tak silap saya mungkin sekitar tahun 2001. Selepas itu, tiada lagi berita dari beliau. Saya juga jarang-jarang menghubungi beliau mungkin kerana faktor geografi yang jauh. Arwah tinggal di Balik Pulau satu daerah yang paling jauh di Pulau Pinang. Keadaan muka buminya yang berbukit bukau, keadaan jalan ke sana yang  bengkang-bengkok bagaikan ular yang dipalu menyebabkan saya  sendiri malas untuk ke sana, kecuali jika ada keperluan.

Arwah pergi dalam usia sebaya dengan saya. Baru mula menapak dalam dunia perundangan dengan memiliki firma sendiri. Arwah pergi dalam keadaan yang sungguh tragis dan itulah ketetapan Allah yang sudah tertulis. Ahh, sungguh singkat  umur kita di dunia. Belum sempat melihat anaknya menjadi dewasa, arwah pergi dulu.

Moga arwah tenang dan bahagia di sana. Sesungguhnya kematian itu bukanlah pengakhiran bagi segala-galanya. Kematian adalah satu proses perpindahan dari satu alam ke alam yang lain.

Hakikatnya kita semua akan pulang menemui Allah dan   kematian itu datang sebelum kita dapat bertemu Allah. Inilah kaedahnya.

3 perkara mengenai kematian

Para ulama ketika membahaskan  3 perkara mengenai kematian membuat kesimpulan berikut:-

1. Kita tidak boleh memilih di mana kita hendak mati; dan

2. Kita tidak boleh memilih bila kita hendak mati.

2 perkara ini telah disepakati oleh ulama bahawa ianya adalah ketentuan yang tidak boleh disanggah sama sekali kerana ilmu ini hanya di dalam pengetahuan Allah. Kita tidak tahu bila dan di mana kita akan pergi dan selalunya kematian itu datang secara tiba-tiba, menyentak dan memutuskan nikmat kehidupan dunia.

“Dan datanglah sakaratul maut yang sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari dari padanya.” (Al- Qaaf:19)

Imam Al-Qurthubi berkata,  “Perbanyaklah mengingat pemutus kenikmatan”.

Namun pilihan ke-3 masih terbuka untuk kita iaitu:-

3. Kita boleh memilih bagaimana cara kita hendak mati.

Perkara ketiga adalah satu-satunya pilihan yang dapat kita lakukan. Kesudahan yang baik atau kesudahan yang buruk.

Husnul Khatimah atau su’ul khatimah. Jika hidup dipenuhi dengan ketaatan kepada Allah maka insyallah kesudahan yang baik menanti kita. Jika maksiat membaluti diri maka tunggulah kesudahan yang buruk menanti kita di akhir hayat.

Pilihlah bagaimana cara yang terbaik…

Imam Al-Qurthubi berkata, “Umat sepakat bahawa kematian tidak memiliki usia tertentu, masa tertentu dan penyakit tertentu. Hal ini dimaksudkan agar seseorang senantiasa waspada dan bersiap-siap menghadapinya.”

Akhir kalam, izinkan saya untuk mengucapkan Takziah dan Belasungkawa kepada isteri arwah dan ahli keluarga yang lain. Tabahlah kalian menghadapi kehilangan yang sungguh tidak terjangka ini. Maafkan saya kerana tidak dapat menziarahi arwah untuk memberikan penghormatan terakhir.

Biarpun kehilangan…

Saya berdoa mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan sejahtera di sana. Amin.

Abu Wafi, Putrajaya

Photo: Facebook Anuar

Glosari : Chambering – latihan selama 9 bulan yang diwajibkan kepada semua bakal Peguam sebelum ditauliahkan menjadi peguam. Peguam Pelatih akan attached di firma-firma guaman yang mempunyai peguam senior yang telah berkhidmat selama 9 tahun.


Musim bunga kembali

Published July 11, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Musim bunga kembali lagi tetapi bukan seperti di negara Eropah yang mengalami 4 musim sebaliknya hanyalah Pesta Flora di Putrajaya. Ini acara tahunan yang diadakan bagi menarik pelancong ke sini. Putrajaya hanya sibuk bila waktu puncak namun sepi bagai dilanggar garuda bila hari minggu. Terdapat pelbagai jenis bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan yang dipamerkan dari seluruh negara. Tidak ketinggalan penyertaan dari sekolah-sekolah dan badan-badan berkanun dengan landskap yang mengkagumkan. Pesta kali ini dianggap lebih besar 50% daripada tahun-tahun sebelumnya.

Singgah seketika di sini menyebabkan timbul rasa kagum yang amat sangat dengan kreativiti peserta mengubah dan menyusun bunga-bungaan menjadi dekorasi yang cantik.

Mereka dan bunga-bunga

Bila melihat bunga-bungaan, pokok-pokok yang pelbagai jenis, tumbuh-tumbuhan yang banyak manfaat kepada manusia timbul rasa syukur yang amat sangat atas kurniaan Allah kepada hamba-hambanya. Ciptaan-ciptaan Allah ini adalah tanda-tanda kebesaran dan kekuasaanNya.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Fussilat, ayat 53:

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

Kalau kita perhatikan di dalam Al-Quran sahaja, banyak  sekali ayat-ayat yang menyuruh kita memperhatikan ciptaan-ciptaan Allah s.w.t, supaya kita dapat melihat keagungan dan kebesaran Allah s.w.t. Firman Allah di dalam Surah Al-Ghaasyiyah:

Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?

Melihat bunga yang cantik sahaja telah menyebabkan timbul rasa kagum dan bahagia dalam diri kita apatah lagi dengan kenikmatan Syurga. Kehidupan di syurga adalah sebaik-baik kehidupan dan kekal abadi. Gambaran kehidupan di syurga itu adalah sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di fikiran. Setiap penghuni syurga diperuntukkan ruang seluas langit dan bumi. Indahnya….

“Dan apabila kamu melihat di sana (syurga) nescaya kamu akan melihat berbagai macam kenikmatan dan kerajaan yang besar (Al Insan 76 : 20)

Ciptaan Allah bukan sekadar dikagumi dan dihayati sebaliknya untuk diperhatikan bagi menimbulkan rasa kehambaan dalam diri kita.

Abu Wafi

Semakin berisi semakin merunduk

Published July 10, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Awak jangan main-main dengan saya, saya ada Phd. dalam bidang Islamic property” tiba-tiba suara salah seorang panel temuduga meninggi semasa membalas jawapan saya.

Tuan, maksud saya bukan macam itu. Fokus saya adalah untuk mempastikan bahawa produk kewangan Islam yang ditawarkan oleh bank-bank Islam dari Timur Tengah dapat diterima pakai mengikut sistem perundangan Malaysia. Undang-undang kita mesti ‘compatible’ dengan produk yang ditawarkan” jawab saya sambil menunggu reaksi seterusnya dari beliau.

“Awak tak bersedia dengan proposal ini, awak tak bersedia untuk datang berperang. Saya masa zaman seperti awak pernah mendapat tawaran untuk belajar di Harvard Universiti dan Susex University di London. Awak tahu tak Phd saya dalam bidang penswastaan.” beliau terus membuat provokasi dengan membanding-bandingkan kejayaan hidupnya dengan saya yang sedang bertatih untuk mendapat tempat belajar.

Sesungguhnya saya sedang bergelut dalam sesi temuduga untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana. 25 minit berada di dalam bilik bagaikan berada di atas tunku yang panas. Telinga saya berdesing mendengar provokasi demi provokasi dilontarkan bagi membunuh semangat saya dan rakan yang hadir semasa sesi tersebut. Persaingan  untuk mendapatkan tempat cukup hebat. Masuk yang ini sudah kali ketiga saya mencuba nasib. Kertas ‘proposal’ saya hampir lunyai diserang dari segenap segi.  Saya seperti sedang menghadapi sesi ‘viva’ untuk melayakkan saya mendapat Phd. walaupun yang saya pertahankan hanya beberapa helai proposal ringkas bagi memenuhi syarat untuk sampai ke peringkat temuduga.

Keluar dari bilik temuduga saya melihat di sekitar. Kosong  semuanya. Rupa-rupanya saya peserta terakhir. Jam menunjukkan pukul 5.20 petang.

Saya melangkah keluar menuju ke tempat parking kereta untuk pulang ke rumah. Sempat menyapa beberapa rakan yang turut mencuba nasib.  Wajah mereka muram bagaikan tergores oleh sesuatu. Mungkin mereka senasib dengan saya atau mungkin lebih teruk dari itu.

Saya redha  dengan keputusan yang bakal diterima kelak.  Saya telah memberikan yang terbaik dengan bantuan doa dan juga usaha. Dengan waktu yang sesibuk ini, hanya itu sahaja yang mampu dipersembahkan. Gagal kali ini bermakna saya perlu mencuba untuk kali yang berikutnya. Asakan demi asakan diterima, soalan demi soalan dilontarkan, hujah dibalas hujah namun semua hujah saya dilontar ke tepi. Tiada jalan lain untuk meredakan suasana yang panas melainkan mendiamkan diri dan tersenyum memandang mereka.

Biarkan, biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya.Tiada apa yang perlu dikejarkan kerana saya hanya mencuba nasib.

“Tiada gunanya aku berdebat dengan orang-orang macam ni. Sehebat mana sekali pun hujah aku, akhirnya dia juga yang betul” .

Malam itu, jam 2.00 pagi saya terjaga. Tidak boleh tidur. Tiba-tiba saya terngiang-ngiang kembali peristiwa siang tadi. Hampir keseluruhan dialog sesi temuduga muncul di kotak fikiran. Tidak ada satu pun tertinggal. Entah mengapa kali ini saya begitu terganggu dengan kata-kata mereka. Entahlah….

Timbul rasa terkilan dengan cara temuduga tersebut dikendalikan. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan saya. Mungkin ada yang berkata “biasalah style mereka memang macam tu, nak lihat sejauh mana kepetahan kita mempertahankan proposal kita”. Mungkin ada yang beranggapan itu adalah salah satu kaedah untuk melihat sejauh mana kesungguhan kami untuk melanjutkan pelajaran. Kesungguhan yang perlu dibuktikan dengan penuh iltizam. Namun saya mempunyai pandangan yang berbeza. Setiap perkara mesti ada hadnya. Setiap perkara perlu dilakukan dengan sewajarnya. Tidak boleh terlalu lebih dan tidak boleh terlalu kurang. Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan.

Pada saya mereka mungkin bijak dalam bidang yang dikuasai namun mereka tidak bijak menyentuh hati-hati manusia. Sesungguhnya Islam itu agama akhlak. Islam agama yang penuh diplomasi namun penganutnya sahaja yang tidak sedar mengenai perkara ini. Apa yang penting bukan universiti mana yang menjadi kayu pengukur kehebatan manusia sebaliknya yang lebih mulia adalah ilmu yang diperolehi digunakan untuk membawa manusia tunduk kepada Allah.

Setinggi mana sekali pun kelulusan yang kita ada,  kita sama sekali tidak akan dapat menandingi ilmu Allah. Segulung Phd mungkin hanya setaraf dengan setitis air yang dicelup dari lautan ilmu Allah yang luas. Justeru, usahlah berbangga-bangga dengan ilmu yang kita ada kerana itu semua milik Allah. Kepandaian dan kecerdikan yang ada pada kita hanyalah satu juzuk dari ilmu Allah yang luas.

Ilmu adalah amanah Allah untuk dimanfaatkan bagi membangunkan dunia. Malahan ilmu itu lebih bermanfaat jika digunakan untuk membangunkan hati-hati manusia agar mencintai Allah dan mencintai akhirat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw, rahmatan lil alamin.

Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan [harta benda, anak pinak, pangkat dan pengaruh] dengan sebanyak-banyaknya. Sehingga kamu masuk kubur.        At-Takathur:1-2

Memang sudah menjadi fitrah bahawa manusia sememangnya suka berbangga dengan harta benda, anak isteri dan kemuliaan-kemuliaan yang lain jika mereka memilikinya. Orang Arab Jahiliah sebelum kedatangan Islam sendiri cukup berbangga dan bermegah-megah dengan nasab keturunan mereka sehinggalah Islam datang dan menyatukan semua kabilah tanpa mengira keturunan kecuali atas dasar takwa.

Selain itu, Allah menurunkan Surah At-Takathur di atas supaya kita melihat dunia dengan mata hati atau ainul yaqin. Sesungguhnya kemuliaan-kemuliaan yang ada pada kita akan hilang sebaik sahaja kita memasuki alam kubur. Semuanya tidak berguna lagi pada ketika itu.

Ibnu Qayyim dalam bukunya Talbis Iblis atau Belitan Iblis telah membahaskan satu bab khusus mengenai tipu daya syaitan terhadap orang-orang alim dan berilmu. Mereka diperdayakan dengan perasaan bangga dengan ilmu yang ada sehingga merasa diri hebat, angkuh dan memandang rendah kepada orang lain. Kejayaan syaitan dalam menembusi hati orang-orang berilmu akhirnya boleh saja menyesatkan mereka bila perasaan riyak menguasai diri sehingga tiada ruang lagi untuk merasa kurang.

Saya ingin berpesan kepada semua dan terlebih lagi kepada diri saya yang faqir lagi lemah ini, usahlah berbangga dengan apa yang kita ada.  Apa pun ambillah yang pertengahan kerana  itulah yang paling terbaik di sisi Allah dan di sisi manusia.

Bersikaplah dengan sikap yang sewajarnya iaitu tawaduk dan merendah diri kerana sifat-sifat ini adalah sifat dan sikap yang dipegang oleh para ulama salafussoleh.Imam Syafie, Imam Ghazali, Imam Hanbali,Imam Bukhari,Ibnu Sina adalah contoh ikon ilmuan Islam yang tulen.

Mereka adalah penghafaz Al-Quran, menghafaz beribu-ribu hadith siap dengan matan dan sanadnya sekali, menghafaz ribuan untaian syair-syair Arab yang indah, menguasai ilmu Usul Fiqh yang sukar, menguasai pelbagai cabang ilmu kehidupan seperti politik, sosial, sains dan perubatan namun mereka tidak pernah melupai hakikat kehidupan ini dan siapa mereka sebelum dimuliakan dengan ilmu. Semakin berisi semakin merunduk. Semakin banyak ilmu maka semakin tawaduk sikap mereka.

Kedua, jika ingin mengambil contoh kejayaan manusia untuk diceritakan kepada orang lain janganlah mengambil contoh diri sendiri. Perkara yang kita rasa kejayaan hebat bagi kita mungkin dianggap kejayaan kecil kepada orang lain. Ambilah contoh manusia-manusia hebat di sekeliling kita untuk diceritakan kepada orang lain bagi mengambil teladan. Amalan sebegini akan melahirkan sifat mahmudah di dalam diri dan menjauhkan sifat-sifat mazmumah di dalam hati.

Maafkan saya kerana teguran ini. Saya menegur dan menasihat atas dasar kasih sayang sesama mukmin. Bukan suka-suka menegur  dan jika saya silap mohon diperbetulkan dengan nasihat dan teguran yang berhikmah. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan jalan-jalan kehidupan kita.

Abu Wafi

2 kehilangan 2 kesedihan

Published July 3, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Entry Khas

Sedihnya hatiku

Jumaat 2 Julai 2010

Sepanjang minggu ini saya sangat sibuk. Berkejar ke sana ke mari menyelaras manusia dan menyelaras input. Memang inilah kerja saya sejak 3 tahun yang lalu. Menyelaras manusia yang macam-macam karenah memang mencabar manakala menyelaras input  juga menyesakkan diri bila maklumat yang diberi tidak memuaskan hati.

Sepanjang minggu ini saya berada di luar pejabat. Hari ini saya masuk selepas solat Jumaat kerana ada mesyuarat di sebelah pagi di luar pejabat. Hari ini adalah hari yang paling menyedihkan bagi saya kerana 2 orang insan yang banyak membantu saya selama ini dalam kerjaya saya akhirnya pergi meninggalkan saya.

Mesyuarat terakhir di Sunway Hotel

Tuan Hj Adnan – moga Allah meredhaimu

Noorliza yang paling kiri

Tuan Hj Adnan, adalah mantan bos saya yang ditukarkan ke tempat lain. Manakala Puan Noorliza Yaali adalah pembantu saya sejak 3 tahun yang lalu berpindah mengikut suami yang bertugas di Ipoh, Perak.  Kehilangan 2 insan penting yang banyak membantu  saya selama ini amat saya rasai. Sesungguhnya saya tidak mampu untuk menghalang pemergian mereka kerana mereka mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian. Tuan Hj Adnan bertukar atas arahan pihak atasan manakala Puan Noorliza perlu membina kehidupan baru setelah baru mendirikan rumahtangga. Walaupun berat untuk saya dan rakan-rakan lain melepaskan mereka  pergi namun itulah hakikat yang terpaksa kami terima .

Saya mengalami 2 kehilangan dan 2 kesedihan pada hari ini. Walaupun air mata seakan mahu tumpah dari kolam mata yang nyaris bergenang ekoran perpisahan ini, namun saya tetap berusaha untuk menahannya. Ada yang menitiskan air mata kerana tidak sanggup untuk berpisah. Betapa jujur dan tulusnya persahabatan ini.

Kita sering melupakan erti persahabatan bila bersama namun kita lebih menghargai persahabatan di saat kita di ambang kehilangannya.

Kehilangan 2 orang insan secara serentak ini menyebabkan saya jadi bimbang. Bimbang, siapa lagi yang hendak dirujuk bila menghadapi masalah. Bimbang, siapa lagi yang boleh saya harapkan untuk menolong bila menghadap kerja yang menimbun.

Patah tumbuh hilang berganti, namun yang tumbuh itu tidak akan pernah sama dengan yang patah.

Tuan Hj Adnan tidak pernah saya anggap sebagai bos, malah sudah jadi macam kawan rapat. Beliau adalah sumber rujukan saya dan banyak masalah pejabat yang dapat diselesaikan dengan beliau. Sepertinya tidak ada pemisah  antara kami namun saya tetap menghormatinya sebagai ketua saya. Beliau juga tidak segan untuk berkongsi pengalaman dan masalah yang dihadapinya dengan saya. Liza pula sangat cekap dalam menjalankan tugas yang diberikan dan tahu apa yang saya mahukan. 2 kehilangan yang amat dirasai.

Saya teringat kepada peristiwa Rasulullah saw yang kehilangan 2 orang insan dalam masa yang hampir serentak. Kehilangan yang memberi implikasi besar kepada perjuangan baginda. Dengan kematian bapa saudaranya Abu Talib dan isteri kesayangannya Khatijah, kafir Quraisy tanpa segan silu lagi melancarkan penentangan mereka secara terbuka kepada baginda.

Sebelum ini , 2 tokoh ini adalah yang paling banyak membantu dakwah baginda sehingga berjaya menarik ramai orang memeluk Islam. Khatijah adalah pembakar semangat di kala awal kerasulan baginda manakala Abu Talib adalah pelindung kepada baginda daripada ditekan oleh kafir Quraisy walaupun sehingga akhir hayatnya beliau tidak beriman kepada Allah. Tahun kehilangan 2 insan ini dirakamkan di dalam sirah sebagai Tahun Kesedihan dan Allah mengubat duka lara di hati baginda dengan membawa baginda naik ke langit dalam perjalanan  yang dinamakan sebagai ‘Israk Mi’raj”. Siapalah saya untuk dibandingkan dengan figur Rasulullah saw namun peristiwa yang saya alami hari ini tiba-tiba menyebabkan saya merasa amat dekat dengan apa yang pernah dialami oleh baginda. Bezanya, baginda kehilangan mereka buat selama-lamanya di dunia sedangkan saya masih bisa menghubungi mereka bila-bila masa menggunakan medium-medium  seperti emel dan facebook.

Saya melihat bahawa saya harus mengambil pengajaran daripada kehilangan dan kesedihan yang dialami oleh baginda. Tekanan yang  baginda hadapi sangat hebat dengan tindakan penderaan dan sekatan ekonomi. Tentunya perasaan dan emosi baginda lebih gundah gulana mengenangkan insan yang menyokongnya selama ini telah tiada di sisi. untuk membantunya lagi. Namun baginda tidak pernah patah semangat dan terus menerus menggiatkan usaha dakwah baginda sehingga Allah memberikan kemenangan.

Setiap apa yang berlaku di dalam kehidupan ini mempunyai hikmah yang tersembunyi. Kehilangan mereka adalah ujian buat saya dan saya berdoa saya kuat untuk menempuhi ujian ini.

Apa pun hidup perlu diteruskan… kerana setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Jika tidak berpisah di dunia, maka mati yang akan memisahkan kita. Sesungguhnya inilah ketetapan Allah kepada kita sejak azali lagi.

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA TUAN HAJI ADNAN IBON DAN PUAN NOORLIZA YAALI. MUDAH-MUDAHAN ALLAH MERAHMATI MEREKA BERDUA. MAAFKAN SAYA ATAS SEGALA KESALAHAN DAN KESILAPAN YANG TELAH SAYA LAKUKAN SEPANJANG 3 TAHUN BEKERJA BERSAMA-SAMA DI BAWAH SATU BUMBUNG.

Abu Wafi, Putrajaya

Pic:  Ehsan La Tahzan