Archives

All posts for the month May, 2009

Simpatiku pada mereka itu

Published May 29, 2009 by Menikmati Takdir Langit

27068461

Saya baru selesai menjadi panel temuduga untuk jawatan pembantu tadbir perkeranian 2 hari lepas. Ramai yang hadir. Dalam banyak-banyak yang hadir ada juga yang mempunyai ijazah datang mencuba nasib. Namun terpaksa dikecewakan kerana minimum kelayakan yang diterima hanya SPM atau Diploma.

Seusai sesi temuduga saya termenung seketika. Ini bukan kali pertama saya berhadapan dengan karenah manusia yang perlukan pekerjaan. Dah banyak kali, tetapi kali yang ini saya agak tersentuh. Kenapa jadi begini ???

Rata-rata yang hadir berkelulusan bagus, namun tekanan ekonomi yang meleset menjadikan mereka tidak “marketeable” di pasaran.

“Susahla Encik, kilang banyak tak nak ambil pekerja baru. Dah berpuluh resume yang saya hantar, tapi tak ada jawapan.”

Ini antara alasan yang selalu diberikan selain faktor kewangan keluarga dan ekonomi meleset. Bagaimana saya dapat membantu mereka. Mana mungkin saya dapat memberikan pekerjaan kepada semua yang datang walaupun niat di hati ingin membantu mereka, namun hanya sebilangan kecil sahaja yang boleh diterima.

Jika diperhatikan di sekeliling saya sendiri, ramai pekerja berijazah yang sanggup bekerja sambilan atau secara kontrak di jabatan-jabatan kerajaan. Mereka dibayar secara harian. Jika difikirkan saya rasa sungguh sedih kerana mereka terpaksa mengambil apa sahaja yang ada di hadapan mata mereka tanpa banyak berfikir panjang. Wang diperlukan untuk meneruskan kehidupan.

Betapa berbezanya antara generasi saya dan generasi sekarang. Ketika saya keluar universiti tahun 1997 ekonomi tengah meleset teruk namun saya berjaya mendapat pekerjaan yang tetap. Kini tahun 2009 ekonomi meleset lagi, namun ramai yang menganggur. Mempunyai ijazah namun tidak dapat pekerjaan yang sesuai dan gaji yang berbaloi. Itulah cabaran generasi masa kini.

Saya terfikir dan tercongak-congak bagaimana pula dengan masa depan anak-anak aku kelak. Kehidupan makin lama makin sukar. Persaingan makin lama makin sengit. Akan datang mungkin segulung ijazah tidak berguna lagi. Apa yang berharga ialah kekreatifan dalam mencorakkan kehidupan. Kebijaksanaan untuk mencari peluang tanpa mengharapkan pasaran yang ada. Sesungguhnya zaman telah berubah. Ya, berubah dengan drastiknya, dan manusia baru harus pandai menyesuaikan diri dengan keadaan dan persaingan yang sengit.

Saya bersimpati pada mereka semua. Mudah-mudahan mereka kuat dalam mendepani cabaran masa kini.

Advertisements

Antara dua masa yang lain

Published May 27, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Mari kita baca satu pucuk surat Al-Imam Al-Hasan Al-Bashri yang pernah ditujukan kepada Khalifah ‘Umar bin ‘Abdil-‘Aziiz rahimahumallah :

لأصفنّ لك الدنيا : ساعة بين ساعتين؛ ساعة ماضية وساعة آتية، وساعة أنت فيها. فأما الماضية والباقية فليس تجد لراحتهما الذَّة؛ ولا لبلائها ألمًَا. وإنما الدنيا ساعة أنت فيها فخدعتك تلك الساعة عن الجنة وصيرتك إلى النار، وإنما اليوم إن عقلت ضيف نزل بك وهو مرتحل عنك، فإن أحسنت نزله وقراه شهد لك وأثنى عليك بذلك وصدق فيك، وإن أسأت ضيافته ولم تحسن قراه جال في عينك. وهما يومان بمنزلة الأخوين نزل بك أحدهما فأسأت إليه ولم تحسن قراه فيما بينك وبينه، فجاءك الآخر بعده فقال : إني قد جئتك بعد أخي فإن إحسانك إليَّ يمحو إساءتك إليه، ويغفر لك ما صنعت فدونك إذ نزلت بك وجئتك بعد أخي المرتحل عنك فلقد ظفرت بخلف منه إن عقلت، فداركْ ما قد أضعت. وإن ألحقت الآخر بالألى فما أخلقك أن تهلك بشهادتهما عليك. إن الذي بقي من العمر لا ثمن له ولا عدل، فلو جمعت الدنيا كلها ما عدلت يومًا بقي من عمر صاحبه، فلا تبع اليوم ولا عدله من الدنيا بغير ثمنه، ولا يكونن المقبور أعظم تعظيمًا لما في يديك منك وهو لك، فلعمري لو أن مدفونًا في قبره قيل له : هذه الدنيا أولها إلى آخرها تجعلها لولدك أم يوم تترك فيه تعمل لنفسك لاختار ذلك، وما كان ليجمع مع اليوم شيئًا إلا اختار اليوم عليه رغبة فيه وتعظيمًا له، بل لو اقتصر على ساعة خُيِّرَهَا وما بين أضعاف ذلك يكون لغيره، بل لو اقتصر على كلمة يقولها تكتب له وبين ما وصفت لك وأضعافه لاختار كلمة الواحدة عليه، فانتقد اليوم لنفسك، وأبصر الساعة، وأعظم الكلمة، واحذر الحسرة عند نزول السكرة، ولا تأمن أن تكون لهذا الكلام حجة نفعنا الله وإياك بالموعظة، ورزقنا وإياك خير العواقب. والسلام عليك ورحمة الله وبركته.

“Aku akan menggambarkan kepadamu bahwa dunia ini adalah satu masa di antara dua masa yang lain. Satu masa telah lampau, satu masa akan datang, dan satu masa lagi saat di mana engkau hidup sekarang. Adapun masa lampau dan yang akan datang, tidaklah memiliki kenikmatan dan juga tidak ada rasa sakit yang bisa dirasakan sekarang. Tinggallah dunia ini saat dimana engkau hidup sekarang ini. Saat itulah yang sering memperdayamu hingga lupa dengan akhirat, dan perjalanan yang bisa menghantarmu menuju neraka.

Sesungguhnya hari ini – bila engkau mengerti – ibarat tetamu yang datang ke rumahmu dan akan segera pergi meninggalkan rumahmu. Apabila engkau memberi layanan yang baik dan menghormatinya, ia akan menjadi saksi atas dirimu, memujimu, dan berbuat benar untuk dirimu. Akan tetapi bila engkau memberi layanan yang buruk dan kasar, maka ia akan terus terbayang di depan matamu.

[Hilyatul-Auliyaa’ 2/39]. source

Dunia adalah tempat persinggahan sementara. Satu hari di dunia tidak sampai separuh hari di akhirat. Sehari di akhirat bersamaan 1000 tahun di dunia. Fikirkanlah, renung-renungkanlah… kita hanya sebentar di dunia berbanding akhirat yang panjang. Lihatlah orang-orang yang telah meninggalkan kita di alam barzakh.. mereka sedang menunggu untuk dibangkitkan setelah beribu-ribu tahun di sana. Betapa panjangnya masa di sana sedangkan masa kita di dunia sebentar cuma.

Terjumpa sesuatu

Published May 21, 2009 by Menikmati Takdir Langit
Ingat mati, ubat hati

Ingat mati, ubat hati

Salam,

Saya baru menjumpai sesuatu. Ya, sesuatu yang saya cari-cari selama ini. sesuatu yang berharga.Semalam, semasa pulang dari tempat kerja saya membuka radio. Ada rancangan baru yang cukup menarik. Pada saya yang terbaik pernah saya dengar. Radio IKIM 91.5 menyajikan segmen Usrah Rasa Hati setiap hari Rabu petang jam 6.15 ptg hingga 7.00 petang.

Berbeza dengan kuliah atau ceramah yang selalu kita dengar yang bersifat komunikasi satu hala , program ini berkonsepkan usrah secara maya di mana ahli-ahlinya terdiri daripada pendengar-pendengar radio seperti saya. Yang menariknya, program ini mempunyai seorang naqib yang akan mengendalikan usrah dan  2 orang ahli yang turut hadir di konti. Manakala ahli yang di luar boleh menelefon atau sms.

Tajuk Usrah hanya berkisar mengenai persoalan hati semata-mata sehingga ada ahli usrah yang mencadangkan supaya ditubuhkan Institut Pemulihan Hati. Kebejatan sosial,masalah jenayah yang semakin melampau dan masalah-masalah lain yang berlaku kepada umat Islam pada hari ini berpunca daripada hati yang rosak atau hati yang mati.

Justeru, tahniah diucapkan kepada IKIM kerana mengambil langkah berani dengan mengetengahkan rancangan yang sebegini bagus untuk mengubat hati-hati yang rosak dan mati sekaligus untuk mengembalikan manusia ini kepada tujuan kehidupan.

Saya tertarik dengan ulasan dan kupasan yang dibuat oleh salah seorang ahli usrah. Beliau bercakap dengan bersungguh-sungguh sehingga adakalanya beliau hampir sebak bila menyatakan mengenai hati manusia yang keras. Saya masih ingat katanya ; Hati yang bersih boleh dilihat daripada lidah yang lurus. Kalau pertuturan seseorang itu benar dan lurus, itu menandakan bahawa hatinya adalah sihat dan baik.

Hati yang hidup adalah hati yang berlekuk sehingga ia boleh menerima apa sahaja yang baik dari Allah. Ibarat batu yang berlekuk, makin berlekuk makin mudah untuk ia menampung air yang menitis ke atasnya, maka makin banyak ilmu yang diperolehi secara langsung dari Allah swt. Sebaliknya, hati yang keras, ibarat batu yang keras ianya tidak mampu untuk menampung atau menerima apa sahaja yang baik dari Allah.

Komen awal saya tentang program ini amat wajar diteruskan kerana sesungguhnya masyarakat kita khususnya umat Islam pada hari ini sedang mengalami hati yang sakit, hati yang mati. Hati-hati ini perlu dibaiki dan dipulihkan dengan peringatan dan tazkirah yang berguna.

Saya pasti bahawa kita sudah cukup banyak mendengar kuliah atau ceramah agama yang mengajak kepada kebaikan. Perkara-perkara berkaitan feqah dan tauhid kerap kali dibincangkan oleh para alim ulama di surau, masjid malah di program Al-Kulliyyah dan Halaqah di TV. Namun, setakat ini program yang membicarakan soal pemulihan hati belum ada yang disiarkan secara “extensive”. Sesungguhnya, masyarakat di luar sana seperti saya cukup memerlukan pengisian seperti ini. Pengisian yang membicarakan soal mahmudah,tawadhuk, qanaah,kibr,takabbur,sombong,riak,ghurur,ujub dan sebagainya jarang dikupas dan diterangkan secara terperinci.

Ketahuilah, kali pertama saya mendengar program ini ke udara minggu lepas menyebabkan hati saya jadi tersentuh dan tersentak kerana semua contoh-contoh yang diberikan oleh naqib dan ahli-ahli usrah benar-benar kena atas batang hidung saya.

Masih mencari

Masih mencari

Sesungguhnya, saya insan yang lemah iman, walaupun baru kembali menunaikan umrah, saya bukanlah seorang yang suci kerana pemergian saya adalah sebahagian daripada proses untuk saya mendapatkan hati yang baik,tulus, suci dan keredhaan Allah. Masih banyak yang perlu diperbetulkan…..

Sesungguhnya, saya benar-benar telah menjumpai sesuatu yang berharga dalam hidup ini ….

ABU WAFI, Putrajaya.

Mengharapkan kesudahan yang baik

Published May 14, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Salam,

Saya sedang menyiapkan catatan perjalanan umrah dan ziarah saya bertajuk Cinta Madinah dan Cinta di Lembah Bakkah. Saya perlu menceritakan dengan terperinci supaya tidak ada sesuatu yang tertinggal untuk tatapan dan rekod saya pada masa hadapan. Tiba-tiba saya teringat satu kisah yang diceritakan oleh salah seorang jemaah ketika saya sedang menikmati makan tengahari seusai solat zohor di hotel.

Ceritanya tentang kematian jemaah umrah Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalanraya kira-kira 2 minggu sebelum saya sampai di Makkah. Ya, saya ada terbaca berita mengenai kemalangan tersebut. Kalau tak silap saya 4 jemaah terkorban manakala seorang lagi masih koma di hospital. Jemaah tersebut terbunuh dalam kemalangan bas ketika dalam perjalanan ke Makkah dari Madinah untuk menunaikan umrah berhampiran tempat miqat, Bir Ali. Semuanya meninggal di tempat kemalangan dalam keadaan masih memakai pakaian ihram.

Menurut abang Khairul iaitu ahli jemaah yang menceritakan kejadian tersebut kepada saya, salah seorang jemaah perempuan yang meninggal dunia sempat meminta mutawif di dalam bas untuk menuliskan ayat ” Laila hailla anta subhanakainni kuntu minnazzalimin” iaitu doa yang dibacakan oleh Nabi Yunus a.s ketika terperangkap di dalam perut ikan nun beberapa minit sebelum kemalangan berlaku.

Jemaah wanita tersebut meninggal serta merta sebelum sempat sampai ke Makkah dalam keadaan masih berihram. Menurut keluarga mangsa ketika jenazah di bawa ke hospital untuk dimandikan anak wanita tersebut dalam lingkungan umur 10 tahun berkata kepada ayahnya.

“Abah, lihatlah muka mama macam baby”

Saya terpegun seketika, hati terusik dengan komen anak wanita tersebut. Sesungguhnya anak sekecil ini tidak mampu berbohong. Terasa ingin menitiskan air mata bukan sedih kerana anak kehilangan ibu atau suami kehilangan isteri tetapi terharu kerana kematian wanita ini adalah di saat beliau dalam perjalanan untuk menuntut keredhaan Allah. Dalam keadaan masih berpakaian ihram yang serba putih yang melambangkan kesucian. Dalam keadaan membaca talbiah menyahut  seruan Tuhanmu datang menyerah diri kepadaMu.

Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi’ bersama ribuan para syuhada’. Kalau tak silap saya ada hadith yang menyatakan bahawa selepas tiupan sangkakala kedua menandakan kebangkitan manusia dari kubur, ahli perkuburan Baqi’ inilah yang akan dibangkitkan terlebih dahulu bersama Rasulullah saw sebelum orang-orang lain dibangkitkan. Begitu mulianya perkuburan Baqi’ yang mendapat jaminan Rasulullah saw.

” Barangsiapa mampu meninggal dunia di Madinah,maka lakukanlah, sesungguhnya aku akan bersaksi bagi orang yang mati di dalamnya.”

[Sunan Ibnu Majah:no 3112]

Sayyina Umar pernah berdoa  : “Ya Allah, kurniakan aku syahid di jalanmu, dan matikanlah aku di negeri Rasulmu.”  [Sahih Bukhari: no. 1890]

Rasulullah saw pernah memohon ampun bagi penghuni Baqi’ dalam sahih Muslim.

Bila membaca hadith-hadith di atas, saya terkenang wanita tersebut. Saya berdoa semoga wanita tersebut meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah atau menemui kesudahan yang baik. Sesungguhnya, beliau meninggal dalam keadaan ketika sedang dalam perjalanan untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Mudah-mudahan Allah mengampunkan semua dosa-dosa beliau seperti bayi yang baru dilahirkan. Mudah-mudahan dosa-dosa beliau terampun dan gugur, suci bersih seperti kain putih ihram yang dipakai.

Ya Allah,sudahkanlah aku dalam kesudahan yang baik dan janganlah dimatikan aku dalam kesudahan yang buruk

Ya Allah,matikanlah aku dalam kesudahan yang baik dan janganlah dimatikan aku dalam kesudahan yang buruk

Saya pernah terbaca dalam mastika mengenai kisah seorang pelakon tahun 1960-an Tony Kassim yang meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat tahajud di malam yang hening. Beliau meninggal dalam keadaan bersujud. Beliau meninggal dunia ketika tahap kecintaannya kepada masjid begitu tinggi sekali sehingga tidak mahu lagi bercakap mengenai kisah-kisah gelapnya ketika menjadi pelakon di layar perak dahulu.Beliau meninggal dunia ketika sedang enak melakukan ketaatan kepada Allah. Malah, menurut salah seorang anaknya, beliau begitu rajin ke masjid untuk menunaikan solat dhuha, taubat dan membaca Al-Quran. Hari-hari terakhir dalam hidupnya diisi dengan amal ibadah sehingga beliau tidak mahu ke tempat lain melainkan ingin ke masjid semata-mata. Kagumnya saya pada cinta dan pertautan hatinya kepada Allah.
Saya tidak mampu untuk menyatakan ke manakan nasib kita selepas mati. Syurga atau neraka adalah di tangan Allah. Cuma yang hendak saya katakan bahawa cara seseorang itu meninggal dunia sedikit sebanyak memberikan gambaran yang mungkin menandakan sesuatu yang baik sedang menanti individu tersebut di alam yang satu lagi.
Apa pun, marilah sama-sama kita berdoa semoga kehidupan kita ini disudahkan dengan cara yang terbaik dan diredhai Allah. Mohon dijauhkan kehidupan yang disudahi ketika sedang lazat dan enak melakukan maksiat. Nauzubillahiminzalik !!!!
ABU WAFI, Putrajaya.

Kembali memulakan tugas

Published May 11, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Hari ini saya kembali ke pejabat setelah 2 minggu berada di luar negara. Banyak surat, memo dan kerja-kerta yang memerlukan tindakan segera dan serta merta. Esok saya ada mesyuarat di JPM. Pagi ini saya menerima panggilan penting dari Bos nombor 2 saya. Nampaknya, bermula kembali rutin hidupku seperti biasa.

Kembali ke tanahair

Published May 10, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Syukur alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Allah swt yang memberikan saya peluang dan kesihatan yang baik sepanjang saya berada di tanah suci. Syukur tidak terhingga atas nikmat yang diberikannya. Nikmat umur yang panjang dan nikmat kesihatan yang baik memudahkan saya untuk mengerjakan ibadah umrah dengan tenang dan melakukan ziarah ke tempat-tempat bersejarah sekaligus mendekatkan diri dengan perjuangan Rasullah saw.

Ada pengalaman manis, ada pengalaman pahit dan ada pengalaman yang cukup mendebarkan. Semuanya akan saya ceritakan dalam Travelog Umrah di ruang pages kelak. Saya perlu berehat daripada keletihan yang berpanjangan dan penyesuaian diri dengan perubahan cuaca dan waktu. Insyallah akan saya kemas kini dalam tempoh terdekat.