Kematian itu datang secara tiba-tiba

Published November 30, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Seorang wanita hanya mampu menangis apabila suaminya yang baru sahaja menghantarnya ke tempat kerja maut dihempap sebatang pokok reput di Jalan Bukit Nanas di sini semalam. Kejadian pukul 8.30 pagi itu menyebabkan seorang kakitangan bank, Mohd. Helmi Husain, 37, mati selepas mengalami cedera parah di kepala dihempap pokok setinggi lima meter yang terletak di kiri jalan itu ketika hendak ke tempat kerjanya di Jalan Ampang. Isterinya juga seorang kakitangan bank dan bekerja di Jalan Pudu. Dia yang menerima khabar itu beberapa minit kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan hanya mampu menangis. Sebaik sampai, dia melihat mayat suaminya masih lagi ditimpa batang pokok tersebut sebelum ia dialihkan oleh kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Difahamkan, setiap hari, bapa kepada lapan anak itu akan menghantar isterinya ke tempat kerja sebelum dia akan ke pejabatnya pula.

 

ULASAN

Jika ditanya kepada semua orang, tentu ramai yang akan mengulas dengan melahirkan rasa simpati dan sedih dengan apa yang menimpa kepada wanita malang ini. Malahan ramai yang akan menyalahkan pihak yang bertanggungjawab ke atas penjagaan dan penyelenggaraan pokok-pokok sekitar bandaraya. Tidak sedikit yang akan melahirkan rasa marah dan desakan supaya mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman pihak-pihak yang berwajib. Ulasan sebegini adalah perkara ‘common’ yang akan berlaku bila terjadinya sesuatu insiden yang mengejutkan. Namun, marilah sama-sama kita lihat peristiwa ini dari perspektif akhirat untuk menarik hati kita untuk lebih mendekati Allah.

Berita kematian seorang pekerja bank hari ini benar-benar menginsafkan saya dan menggerakkan hati untuk menulis sesuatu. Pertamanya, usia beliau sebaya dengan saya menyebabkan saya terasa bahawa betapa singkatnya umur kita di dunia ini. Belum sempat apa-apa, kematian datang merenggut diri melalui cara yang tidak disangka-sangka. Keduanya, siapa sangka malahan tiada manusia yang mampu menyangka bahawa pagi ini selepas menghantar isteri ke tempat kerja, lebih kurang 500 meter sebatang pokok besar tiba-tiba tumbang dan menghempap beliau. Menjemput beliau ke negeri mati dengan cara yang tidak pernah difikirkan sama sekali.

Mari merenung ke dalam diri, bahawasanya kita tidak tahu bilakah saat dan ketikanya kita akan dijemput ke negeri mati. Terlebih dasyat lagi bila kita dijemput dalam keadaan kita belum bersedia dengan bekal ke negeri mati kerana tiada amaran awal diberikan melainkan peringatan-peringatan yang perlu kita ingatkan kepada diri setiap hari.

Bayangkanlah jika yang pergi itu kita. Bayangkanlah jika yang mati secara tiba-tiba itu adalah kita. Bayangkanlah ketika kita dijemput pergi ke negeri mati tanpa sempat menuturkan pesanan terakhir kepada anak isteri itu adalah kita! Bayangkanlah jika yang terjelepuk di tepi jalan  dan yang ditutup dengan kain putih itu adalah jenazah kita! Bayangkanlah sesungguhnya saat dan ketika yang ditakuti oleh majoriti umat manusia itu akan menemui kita juga akhirnya…..

Tanpa pengecualian, dan tanpa mengenal usia dan pangkat, berharta atau papa kedana. Semuanya menerima nasib yang sama.

Apa pun peristiwa pagi ini memberi pengajaran yang cukup berguna kepada siapa sahaja yang melihat peristiwa ini dengan mata hati yang sempurna bahawa perkara sebegini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja dan secara mengejut. Ketika kita sedang bekerja, ketika sedang bergelak ketawa dengan rakan-rakan, ketika tidur, ketika berbual-bual dengan ahli keluarga, ketika bila-bila masa sahaja kerana jemputan malaikat maut ke negeri mati tidak akan lewat sesaat atau tercepat sesaat melainkan telah ditetapkan sejak azali lagi.

Takziah saya ucapkan kepada isteri arwah Mohd. Helmi Husain. Saya berdoa semoga isteri arwah tabah dan sabar dengan ketentuan Allah ini. Mudah-mudahan rohnya ditempatkan di kalangan para anbiya’,siddiqin, syuhada’ dan solihin.

Semoga Allah juga menggantikan kehidupan dunia beliau yang hilang dengan kehidupan akhirat yang lebih bermakna.

Abu Wafi, Kuala Lumpur

3 comments on “Kematian itu datang secara tiba-tiba

  • Leave a comment