Archives

All posts for the day September 9th, 2010

Saya tak sampai hati

Published September 9, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Ketika catatan ini ditulis, saya telah pun berada di kampung halaman saya, Kulim, Kedah. Ujian di akhir Ramadhan cukup menekan diri. 2 hari sebelum cuti ada tugasan ‘urgent’ yang peru disiapkan. Alhamdulillah, saya berjaya menyiapkannya. Perjalanan ke utara, berjalan lancar dan tiada kesesakan di lebuhraya seperti yang saya alami pada tahun lepas. Sekali lagi, saya merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana memelihara kami sekeluarga.

Entah mengapa hati kecil ini merasa sayu dan sedih. Saya tak sampai hati untuk mengucapkan selamat tinggal Ramadhan. Saya tak sampai hati untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri seperti yang diucapkan oleh teman-teman dan rakan taulan. Permukiman saya selama 3 malam di Masjid Al-Falah USJ benar-benar menginsafi diri. Terasa kelainan sungguh dengan zikir munajat yang dibawa oleh Bilal Nassem.

Kenyataannya, Ramadhan akan ditinggalkan dan tidak tahu sama ada kita masih berpeluang untuk bertemu di Ramadhan akan datang. Moga Allah panjangkan umur kita.

Entry ini terhenti di sini buat seketika. Selamat Hari Raya buat semua.

ABU WAFI, KULIM KEDAH