Cinta Sehidup Semati

Published March 3, 2010 by Menikmati Takdir Langit

“Sejauh mana cinta abang pada Ita?” tanya sang isteri kepada sang suami.

“Demi cinta abang pada Ita, abang sanggup sehidup semati bersama Ita.” jawab sang suami.

Betul bang? ” tanya sang isteri lagi.

Benar, kita akan hidup bersama dan mati bersama” tegas sang suami.

Pernahkah anda mendengar dialog yang sedemikian rupa. Dialog yang dilafazkan ini selalu kedapatan dalam filem-filem dan drama-drama cinta.

Begitu juga kalau kita rajin meneliti kebanyakan filem-filem percintaan akan bermula dengan babak-babak romantis dan akan berakhir dengan episod yang  tragis dan sedih bila kedua-dua pasangan mati bersama sama ada dibunuh oleh penjahat atau anggota keluarga yang tidak merestui percintaan mereka. Filem-filem Bollywood seperti Sanggam, Bobby yang popular suatu ketika dahulu adalah salah satu ikon cinta yang menjadi pujaan muda mudi. Dan kini filem-filem cinta dari Indonesia, Filipina  dan Korea mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh filem-filem Bollywood. Malahan tidak keterlaluan jika saya katakan filem-filem ini lebih ekstrem lagi apabila memaparkan percintaan yang sungguh luar biasa.

Cinta sehidup semati !

Soalnya apakah benar ‘ungkapan’ ini dan sejauh manakah percintaan suami isteri di dunia berpanjangan sehingga ke akhirat?

Berapa ramai pula suami isteri yang hidup bahagia di dunia namun ditakdirkan terpisah di akhirat? Suami tidak bertemu isteri di akhirat kerana tempat tinggal yang berbeza.

Berapa ramai pula pasangan yang hidup bersama di dunia tetapi ditakdirkan membawa haluan masing-masing di akhirat kerana amalan yang berbeza.

Saya teringatkan sebuah hadith yang pernah saya dengar dalam satu kuliah agama dulu. Hadith ini diriwayatkan dari Sayyidina Hassan r.a cucunda Rasulullah saw ketika menyaksikan peristiwa Rasulullah saw dan isterinya Saidatina Ai’syah r.a yang maksudnya lebih kurang begini.

Suatu hari Nabi saw tidur di atas pangkuan Aisyah. Kepalanya di atas riba Aisyah manakala badan baginda di atas lantai rumah mereka.

Ketika Aisyah membelai Nabi, dia amat terharu kerana menjadi isteri manusia paling agung di sisi Allah s.w.t . Terdapat ramai wanita dunia ini, tetapi Aisyah terpilih pasangan hidup Rasulullah s.a.w. Perasaan Aisyah bahagia tidak terkira namun dalam suasana hiba itu Aisyah terkedu bimbang jika nasib malang menimpanya seperti isteri nabi lain kerana di dunia mereka hidup bersama nabi sebagai pasangan suami isteri, tetapi pada hari akhirat suami mereka ke syurga manakala mereka ke neraka. Seperti isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut yang dirakamkan dalam Surah al-Tahrim ayat 10 antara maksudnya: “Kedua-dua isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut kedua-duanya masuklah ke neraka.” Mengingatkan suasana itu, Aisyah bimbang lalu menangis sehingga air matanya jatuh mengalir ke muka Rasulullah yang mulia itu lalu mengejutkan baginda.

Apabila terjaga, baginda terus bertanya kepada A’isyah apa yang terjadi. Aisyah menceritakan hal itu kepada Nabi yang kemudian baginda bersabda yang maksudnya: “Manusia akan lupa segalanya ketika berada pada tiga tempat iaitu ketika menerima catatan amalan, amalan ditimbang dan meniti titian siraatal mustaqim.

Begitulah hebatnya cinta dan kasihnya Ummul Mukminin Saidatina Aisyah r.a kepada baginda Rasulullah saw. Beliau tidak memandang cintanya sebatas dunia sahaja sebaliknya menjangkaui ke alam akhirat. Beliau bimbang jika kelangsungan cintanya kepada Rasulullah saw selaku suami tidak berkekalan di akhirat. Beliau adalah ummul mukminin bagi umat ini dan tempatnya telah terjamin bersama Rasulullah saw di hari akhirat, namun Aisyah tidak pernah mengambil sikap mudah dan opitimis bahawa beliau akan selamat di akhirat kelak. Aisyah tetap bimbangkan keselamatan dan nasibnya di sana. Aisyah bimbang jika tidak bertemu Rasulullah saw di sana. Aisyah bimbang jika nasibnya serupa dengan nasib isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut as yang derhaka pada suami masing-masing menyebabkan mereka terpisah dari suami mereka di hari akhirat sebagaimana yang digambarkan di dalam surah At-Tahrim :. Aisyah juga bimbang bila membaca kisah isteri Firaun, Asiah yang tidak bersama suaminya yang kufur kepada Allah.

Begitulah perasaan raja’ dan khauf yang menguasai diri Aisyah r.a. Rasa mengharap pada Allah supaya menyelamatkannya di hari akhirat dan rasa takut pada siksaan dan murka Allah seringkali bermain di jiwa beliau. Status Aisyah sebagai ummul mukminin sama sekali tidak menjadikan beliau seorang yang lupa diri dan over confident dengan kedudukan beliau yang mulia itu.

Sehebat mana sekalipun kecintaan kita kepada pasangan kita, anak-anak kita, cucu kita, ibu dan ayah, kita akan melupakan mereka di 3 tempat yang disebutkan oleh Nabi saw iaitu ketika menerima catatan amalan, (mizan) amalan ditimbang dan ketika meniti titian siraatal mustaqim.

Sebab apa?

Jawabnya adalah kerana di 3 tempat ini adalah situasi yang paling dasyat, paling ‘suspend’, paling dramatik sekali yang akan ditempuhi manusia sehingga mereka tidak mempunyai masa untuk memikirkan nasib insan tersayang.

Sehebat dan sekuat mana sekalipun cinta kita, semuanya akan dilupakan bila berada di 3 tempat ini. Suspend kerana bimbang menerima buku catatan amalan melalui tangan kiri, takut jika timbangan amalan kejahatan lebih berat mengatasi yang baik dan sangat-sangat takut jika tergelincir dan terjatuh ketika mennyeberangi titian siratal mustaqim yang penuh dengan halangan. Hatta para anbiya’ sendiri tidak terkecuali daripada perasaan takut  dan bimbang.

Masing-masing menjadi ‘selfish’ pada ketika itu! Bukan atas kehendak sendiri tetapi suasana  dan keadaan semasa itu yang menjadikan kita begitu.  Saya sendiri tidak dapat membayangkan nasib yang bakal saya tempuhi kelak. Sungguh dasyat dan ngeri sekali.

Mencintai makhuk hanyalah sebatas dunia ini sahaja namun kecintaan yang memastikan kebersamaan hidup di hari akhirat masih belum tentu lagi. Bergantung kepada amalan masing-masing dan hendaknya biarlah hala tuju kita seiring dan sehaluan. Jika lakukan amal soleh, lakukanlah bersama-sama. Jika bangun bertahajud di tengah malam yang sunyi lakukanlah bersama-sama. Bila sehaluan dan sefahaman, insyallah kebersamaan ini akan juga kekal di akhirat kelak sebagaimana Aisyah berada di sisi Rasullullah saw di sana nanti.

Jodoh bukan setakat ke anak cucu atau ke akhir hayat tetapi biarlah sehingga ke akhirat bersama selama-lamanya.

Abu Wafi

Pic: Ishafizan Ishak

One comment on “Cinta Sehidup Semati

  • Leave a comment