Archives

All posts for the day July 29th, 2009

Natrah yang telah pergi

Published July 29, 2009 by Menikmati Takdir Langit

natrah-aminah

 Semalam saya menonton rancangan Hujah di TV9 yang dipengerusikan oleh Prof Agus. Rancangan Hujah memang menjadi minat saya untuk menontonnya apatah lagi jika topik yang dibincangkan adalah berkaitan politik semasa pasca PRU-12. Namun, semalam isu yang dibincangkan amat menarik hati saya untuk terus menonton dan menonton dengan penuh minat. Perbincangan yang hangat dan bertenaga. Rancangan ini menampilkan Datin Fatini Yaakob iaitu insan yang membongkar kehidupan Natrah melalui 3 siri keluaran Dewan Masyarakat di sekitar lewat tahun 80-an lalu dan Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin, Dekan Kulliyyah Undang-Undang UIA.

Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin adalah orang yang pernah saya kenali suatu ketika dahulu. Saya pernah menjadi pelajar seliaannya semasa menuntut di tahun 2. Beliau adalah seorang pakar dalam bidang undang-undang kekeluargaan sivil dan Islam. Saya memilih tajuk “CUSTODY” atau “HADHANAH” [bahasa Arab] sebagai tajuk disertasi saya kerana topik ini sangat-sangat menarik minat hati saya. Isu penjagaan anak adalah isu yang bagi saya cukup hidup dalam pembelajaran Family Law. Membaca semua kes-kes berkaitan penjagaan anak bisa menggugah emosi, menyentak jiwa dan mungkin boleh menitiskan air mata.

Kes Natrah adalah satu daripada kes penting yang mesti dihadam oleh semua pelajar. Memahami jalan cerita, keseluruhan fakta kes dan prinsip undang-undang yang digunapakai di dalam kes ini merupakan kunci untuk memahami kes-kes berkaitan isu penjagaan anak yang lain.

Datin Fatini mengulas dengan panjang dan lebar. Beliau mengupas isu ini dengan bersungguh-sungguh seolah-olah beliau mengenali Natrah sejak kecil lagi. Seluruh perjalanan hidup Natrah dan insiden yang berlaku sehingga membawa kepada rusuhan di Singapura diingati dan dilontarkan satu persatu semalam. Teruja saya seketika.

hujah

Saya rasa tidak perlu untuk saya ceritakan satu persatu rentetan kisah hidup Natrah daripada kehidupannya di Kemaman sehinggalah dibawa balik ke Holland.  Semuanya terpahat di dalam buku sejarah. Kronologi kisah Natrah hanya memahamkan kita tentang jerit perih yang dilanda oleh wanita malang ini yang dipaksa untuk meninggalkan Islam yang dianutinya kepada agama asal nenek moyangnya Kristian. Rasa rindunya pada ibu angkatnya Che Aminah dan suaminya Mansor Adabi tidak tertahan bila beliau dipisahkan secara paksa. Bertahun-tahun beliau hidup menderita sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir sebulan yang lalu.

Saya cuma ingin mengambil pengajaran yang sepatutnya dihayati dan diinsafi oleh generasi muda pada hari ini yang tidak menyaksikan peristiwa gelap ini secara langsung. Membaca kisah sedih Natrah melalui penulisan oleh Datin Fatini Yaakub dan artikel-artikel tulisan Hajar Mohideen, Dr Burhanuddin Al-Helmi dan Prof  Ahmad Ibrahim peguam Natrah pada waktu itu sekaligus menyedarkan kita nikmat hidup beragama yang kita kecapi hari ini.

Saya tertarik dengan ulasan yang dibuat oleh Datin Fatini bahawa sebenarnya umat Islam tidak kalah pada ketika itu walaupun hakikatnya Islam dilihat tewas dengan keputusan Mahkamah Agung Singapura yang memihak kepada ibu asal Natrah. Islam telah menang pada waktu itu.

Islam menang kerana sikap umat Islam yang berani mempertahankan Islam. Tewas di mahkamah tidak bermakna Islam telah kalah. Sebaliknya sikap umat Islam pada ketika itu yang dipimpin oleh Karim Ghani dan Dr Burhanuddin Al-Helmi serta ribuan umat Islam lain di Singapura yang bangkit menentang adalah manifestasi kepada kemenangan umat Islam pada waktu itu. Paling mengesankan saya ialah apabila ketika rusuhan berlaku seorang anggota polis bernama Taha Kalu yang mengawal para demonstran tiba-tiba beralih arah dan menyertai ribuan demonstran untuk menzahirkan kekecewaan dan rasa marahnya bila Islam yang dianuti dipijak dan dihina.

Malangnya sikap sebegini sudah tiada lagi pada hari ini. Ramai umat Islam telah murtad, kes Lina Joy adalah contoh yang nyata. Namun hampir sedikit suara umat Islam melalui NGO-NGO Islam yang tampil menyuarakan bantahan manakala selebihnya masih tidak ambil peduli, masih tidak merasa terancam. Bagi mereka yang terancam ialah apabila harga barang naik, minyak naik, tol naik, saham merudum, ekonomi menjunam dan kadar jenayah meningkat sedangkan mereka langsung tidak kisah bila Islam diserang dan dilanyak dari segenap penjuru. Malahan apa yang berlaku pada hari ini lebih dasyat daripada kes Natrah. Akidah dan kepercayaan umat Islam sedang dirobek dan dipersenda-sendakan.

Sesungguhnya saya cukup bimbang dan terasa hati dengan kejadian yang menimpa umat Islam pada hari ini. Pembunuhan Marwa disenyapkan, kisah umat Islam yang murtad semakin tidak diendahkan. Masyarakat Islam semakin tidak kisah dan tidak sensitif apabila akidah sesetengah orang Islam lain yang semakin goyah dan terpesong. Tiada usaha-usaha dakwah yang giat dijalankan bagi mengembalikan mereka ke pangkal jalan. Inilah yang dibimbangkan dan disuarakan oleh kedua-dua ahli panel tersebut dan saya sememangnya amat bersetuju dengan mereka.

Kesilapan Che Aminah hanya satu. Mengahwinkan Natrah di Singapura di mana undang-undang Inggeris adalah “law of the land” yakni undang-undang yang digunapakai. Sekiranya Natrah memilih untuk berkahwin di Tanah Melayu mungkin beliau masih lagi Islam pada hari ini kerana berdasarkan prinsip kes Ramah v Laton, Islam diiktiraf oleh pihak British sebagai undang-undang yang terpakai untuk orang Islam sedangkan prinsip undang-undang Singapura adalah sebaliknya.

Apa pun beliau sudah meninggalkan kita dalam usia 72 tahun kerana leukemia. Tidak ada apa-apa lagi yang perlu ditangiskan. Semuanya sudah berlalu. Semua watak-watak penting yang mewarnai tragedi Natrah telah pun pergi.

Cuma apakah generasi hari ini akan mengambil pengajaran di sebalik kisah yang menyayat hati ini? Apakah generasi hari ini akan bangkit sekiranya perkara yang sama berlaku di dalam zaman internet dan facebook ini? 

Membaca buku Almarhum Syaikh Fathi Yakanyang bertajuk “Apa Erti Saya Menganut Islam” menjadikan saya semakin mengerti dan memahami betapa mahalnya akidah yang kita miliki ini. Menjadi muslim adalah anugerah yang paling berharga yang perlu dipelihara sehingga ke akhir hayat. Semoga Allah beri kekuatan….

ABU WAFI, 62250 Putrajaya