Suara Hati

All posts in the Suara Hati category

2 kehilangan 2 kesedihan

Published July 3, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Entry Khas

Sedihnya hatiku

Jumaat 2 Julai 2010

Sepanjang minggu ini saya sangat sibuk. Berkejar ke sana ke mari menyelaras manusia dan menyelaras input. Memang inilah kerja saya sejak 3 tahun yang lalu. Menyelaras manusia yang macam-macam karenah memang mencabar manakala menyelaras input  juga menyesakkan diri bila maklumat yang diberi tidak memuaskan hati.

Sepanjang minggu ini saya berada di luar pejabat. Hari ini saya masuk selepas solat Jumaat kerana ada mesyuarat di sebelah pagi di luar pejabat. Hari ini adalah hari yang paling menyedihkan bagi saya kerana 2 orang insan yang banyak membantu saya selama ini dalam kerjaya saya akhirnya pergi meninggalkan saya.

Mesyuarat terakhir di Sunway Hotel

Tuan Hj Adnan – moga Allah meredhaimu

Noorliza yang paling kiri

Tuan Hj Adnan, adalah mantan bos saya yang ditukarkan ke tempat lain. Manakala Puan Noorliza Yaali adalah pembantu saya sejak 3 tahun yang lalu berpindah mengikut suami yang bertugas di Ipoh, Perak.  Kehilangan 2 insan penting yang banyak membantu  saya selama ini amat saya rasai. Sesungguhnya saya tidak mampu untuk menghalang pemergian mereka kerana mereka mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian. Tuan Hj Adnan bertukar atas arahan pihak atasan manakala Puan Noorliza perlu membina kehidupan baru setelah baru mendirikan rumahtangga. Walaupun berat untuk saya dan rakan-rakan lain melepaskan mereka  pergi namun itulah hakikat yang terpaksa kami terima .

Saya mengalami 2 kehilangan dan 2 kesedihan pada hari ini. Walaupun air mata seakan mahu tumpah dari kolam mata yang nyaris bergenang ekoran perpisahan ini, namun saya tetap berusaha untuk menahannya. Ada yang menitiskan air mata kerana tidak sanggup untuk berpisah. Betapa jujur dan tulusnya persahabatan ini.

Kita sering melupakan erti persahabatan bila bersama namun kita lebih menghargai persahabatan di saat kita di ambang kehilangannya.

Kehilangan 2 orang insan secara serentak ini menyebabkan saya jadi bimbang. Bimbang, siapa lagi yang hendak dirujuk bila menghadapi masalah. Bimbang, siapa lagi yang boleh saya harapkan untuk menolong bila menghadap kerja yang menimbun.

Patah tumbuh hilang berganti, namun yang tumbuh itu tidak akan pernah sama dengan yang patah.

Tuan Hj Adnan tidak pernah saya anggap sebagai bos, malah sudah jadi macam kawan rapat. Beliau adalah sumber rujukan saya dan banyak masalah pejabat yang dapat diselesaikan dengan beliau. Sepertinya tidak ada pemisah  antara kami namun saya tetap menghormatinya sebagai ketua saya. Beliau juga tidak segan untuk berkongsi pengalaman dan masalah yang dihadapinya dengan saya. Liza pula sangat cekap dalam menjalankan tugas yang diberikan dan tahu apa yang saya mahukan. 2 kehilangan yang amat dirasai.

Saya teringat kepada peristiwa Rasulullah saw yang kehilangan 2 orang insan dalam masa yang hampir serentak. Kehilangan yang memberi implikasi besar kepada perjuangan baginda. Dengan kematian bapa saudaranya Abu Talib dan isteri kesayangannya Khatijah, kafir Quraisy tanpa segan silu lagi melancarkan penentangan mereka secara terbuka kepada baginda.

Sebelum ini , 2 tokoh ini adalah yang paling banyak membantu dakwah baginda sehingga berjaya menarik ramai orang memeluk Islam. Khatijah adalah pembakar semangat di kala awal kerasulan baginda manakala Abu Talib adalah pelindung kepada baginda daripada ditekan oleh kafir Quraisy walaupun sehingga akhir hayatnya beliau tidak beriman kepada Allah. Tahun kehilangan 2 insan ini dirakamkan di dalam sirah sebagai Tahun Kesedihan dan Allah mengubat duka lara di hati baginda dengan membawa baginda naik ke langit dalam perjalanan  yang dinamakan sebagai ‘Israk Mi’raj”. Siapalah saya untuk dibandingkan dengan figur Rasulullah saw namun peristiwa yang saya alami hari ini tiba-tiba menyebabkan saya merasa amat dekat dengan apa yang pernah dialami oleh baginda. Bezanya, baginda kehilangan mereka buat selama-lamanya di dunia sedangkan saya masih bisa menghubungi mereka bila-bila masa menggunakan medium-medium  seperti emel dan facebook.

Saya melihat bahawa saya harus mengambil pengajaran daripada kehilangan dan kesedihan yang dialami oleh baginda. Tekanan yang  baginda hadapi sangat hebat dengan tindakan penderaan dan sekatan ekonomi. Tentunya perasaan dan emosi baginda lebih gundah gulana mengenangkan insan yang menyokongnya selama ini telah tiada di sisi. untuk membantunya lagi. Namun baginda tidak pernah patah semangat dan terus menerus menggiatkan usaha dakwah baginda sehingga Allah memberikan kemenangan.

Setiap apa yang berlaku di dalam kehidupan ini mempunyai hikmah yang tersembunyi. Kehilangan mereka adalah ujian buat saya dan saya berdoa saya kuat untuk menempuhi ujian ini.

Apa pun hidup perlu diteruskan… kerana setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Jika tidak berpisah di dunia, maka mati yang akan memisahkan kita. Sesungguhnya inilah ketetapan Allah kepada kita sejak azali lagi.

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA TUAN HAJI ADNAN IBON DAN PUAN NOORLIZA YAALI. MUDAH-MUDAHAN ALLAH MERAHMATI MEREKA BERDUA. MAAFKAN SAYA ATAS SEGALA KESALAHAN DAN KESILAPAN YANG TELAH SAYA LAKUKAN SEPANJANG 3 TAHUN BEKERJA BERSAMA-SAMA DI BAWAH SATU BUMBUNG.

Abu Wafi, Putrajaya

Pic:  Ehsan La Tahzan

Advertisements

Akhirnya mereka pergi jua

Published June 10, 2010 by Menikmati Takdir Langit

12 sukarelawan Malaysia di dalam kapal Mavi Marmara akhirnya selamat tiba di tanahair minggu lepas. Ini disusuli pula dengan 6 sukarelawan Malaysia di dalam kapal Rachel Corrie yang tiba pada 7 Jun 2010. Semuanya selamat dan mereka diberikan sambutan wira negara. Walau bagaimanapun, ketua sukarelawan Malaysia Saudara Norazman dari Haluan Palestin berkata wira sebenar bukan mereka tetapi penduduk Gaza yang cekal berhadapan dengan Regim Zionis setiap hari.

Sesungguhnya Gaza adalah penjara terbuka yang berbumbungkan langit, berlantaikan tanah dan berdindingkan tembok besar seumpama Tembok Berlin.

Sesungguhnya Gaza adalah wilayah kecil yang ‘fragile’ bila-bila masa sahaja boleh pecah dan meletus kekacauan.

Sesungguhnya Gaza tidak pernah sunyi dari bunyi tembakan dan ledakan bom yang memecah keheningan malam.

Penduduk Gaza hidup dalam keadaan yang penuh tekanan namun mereka terus cekal menghadapinya.

Sesungguhnya Gaza adalah bumi sejuta syahid kerana hari-hari ada sahaja yang syahid di bumi Gaza. Kematian penduduk Gaza bukanlah kematian biasa sebaliknya kematian yang luar biasa. Kematian yang tidak terdapat di tempat lain.

Dan pada 31 Mei 2010, 9 aktivis sukarelawan Turki yang mengikuti misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada saudara seagama mereka di Gaza akhirnya syahid di atas kapal Mavi Marmara.

Sesungguhnya saya kagum dengan semangat juang mereka yang sanggup merentasi lautan luas untuk saudara-saudara mereka di Gaza. Nafsu apakah yang mendorong mereka untuk ke sana? Keazaman apakah yang telah menunjangi sanubari mereka sehingga bertindak sejauh itu? Jawapannya adalah kerana rahmat Allah yang telah turun menyuburi hati mereka untuk mencintai dan mengasihi saudara-saudara mereka di Gaza.

Rasulullah SAW bersabda, “Allah swt mempunyai seratus rahmat (kasih sayang), dan menurunkan satu rahmat (dari seratus rahmat) kepada jin, manusia, binatang, dan haiwan melata. Dengan rahmat itu mereka saling berbelas-kasih dan berkasih sayang, dan dengannya pula binatang-binatang buas menyayangi anak-anaknya. Dan Allah swt menangguhkan 99 bahagian rahmat itu sebagai kasih sayang-Nya pada hari kiamat nanti.” (H.R. Muslim).

Walaupun hanya 1% sahaja dari rahmatNya yang diturunkan ke bumi, namun rahmat kasih sayang yang sedikit inilah yang telah menggerakkan hati-hati mereka untuk ke Gaza. Mereka pergi kerana kasih kepada saudara mereka. Mereka pergi kerana rasa tanggugjawab kepada saudara mereka. Mereka pergi kerana tidak sanggup lagi melihat penderitaan penduduk Gaza. Mereka pergi dalam keadaan mereka sedar akan risiko yang bakal mereka hadapi. Akhirnya ketetapan Allah menentukan bahawa mereka pulang kepadaNya dalam keadaan termulia di sisi Allah. Semoga mereka bahagia dengan kehidupan baru yang lebih baik di sana.

“Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

( Ali Imran: 169-170)

Untuk kita yang masih tinggal di dunia ini manfaatkanlah rahmat 1% yang Allah turunkan kepada kita untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin dan Gaza.

Teringat saya kepada Rasulullah saw yang mafhumnya berbunyi, 3 perkara jika ada dalam diri seseorang, maka dia akan mendapat kemanisan iman, pertama Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada yang lain, kedua dia mencintai saudara seislamnya semata-mata kerana Allah dan ketiga dia bimbang melakukan maksiat, sebagaimana dia bimbang jatuh ke dalam api.

Daripada 1% rahmat yang Allah turunkan ke muka bumi ini kepada kita telah kita bahagi-bahagikan kasih sayang tersebut kepada anak isteri, ibu bapa, sanak saudara dan rakan terdekat namun pernahkah kita bertanya kepada diri berapa peratus pula daripada bahagian tersebut kita peruntukkan untuk saudara-saudara kita di Gaza?

0.001% atau mungkin kurang lagi?

Tidak mahukah kita mengecapi manisnya iman kerana mencintai saudara-saudara seagama kita di Gaza?

Sesungguhnya mereka juga mempunyai hak ke atas kita.

Fikir-fikirkanlah !!!!!

Abu Wafi, Putrajaya

Anak-anak kita

Published January 21, 2010 by Menikmati Takdir Langit

Anugerah paling berharga

Petang semalam usai kerja, saya membawa anak ke Klinik Kesihatan. Batuk Wafi tidak mahu reda malah bertambah kuat. Sampai di klinik lebih kurang pukul 5.50 petang. Saya bukannya biasa sangat datang ke sini namun Wafi kelihatan lebih tahu dari saya. Sesampainya kami di sana, dia menunjukkan kaunter untuk pendaftaran, ambil kad, scan pendaftaran, bilik doktor dan farmasi. Memang cekap kerana dia selalu sangat ke sini mendapatkan rawatan bersama isteri saya.

Saya menunggu di ruang menunggu untuk pesakit. Nombor giliran 1090 dan ada lebih kurang 10 pesakit di hadapan kami. “Mungkin tak lama lagi” bisik hati kecil saya.

Semasa menunggu ada satu pasangan suami isteri yang duduk berhampiran kami. Suami dan isteri dalam lingkungan lewat usia 40-an. Mereka ada 4 orang anak perempuan dalam lingkungan belasan tahun semuanya. Saya memerhatikan gelagat mereka anak beranak. Perbualan mereka, pergaulan mereka bersama ayah dan ibu sehinggalah mereka meninggalkan kami sebaik sahaja selesai mendapatkan rawatan doktor.

“4 orang anak perempuan, macam mana tu” bisik hati saya.

Kami masih di situ menunggu giliran untuk dipanggil masuk. Jam menunjukkan pukul 6.20 petang.

Tidak lama kemudian sebuah keluarga datang dan duduk berhampiran kami. Sepasang suami isteri dengan 4 orang anak yang masih kecil. Anak sulung mereka saya kira sebaya dengan anak saya Wafi manakala yang bongsu mungkin sebaya dengan anak ketiga saya Fawwaz berumur 2 tahun. Mereka melompat-lompat dan berlari-lari di situ. Agak terganggu juga namun perhatian saya masih tertumpu pada mereka. 4 orang anak lelaki masing-masing dengan kerenah tersendiri.

4 orang anak lelaki, macam mana tu” bisik hati saya.

Tiba-tiba saya terfikir. Sebentar tadi sebuah keluarga dengan 4 orang anak perempuan manakala kini sebuah keluarga dengan 4 orang anak lelaki. Seperti ada satu mesej yang ingin disampaikan kepada saya.

Bila datang keluarga dengan semua anak perempuan, saya terfikir sudah tentu pasangan suami isteri tersebut menginginkan seorang anak lelaki. Begitu juga dengan pasangan kedua dengan 4 orang anak lelaki, tentunya mereka mengidamkan seorang anak perempuan. Dan saya membandingkan diri saya dengan mereka, mungkinkah saya akan mengikuti jejak salah satu dari pada keluarga ini atau sebaliknya.

Saya yang sudah mempunyai 3 orang anak lelaki tentu saja kepingin seorang anak perempuan. Namun Allah belum mengurniakan rezeki yang saya harap-harapkan itu.

Malam itu, saya membuka Al-Quran sambil memerhatikan terjemahannya. Saya membaca Surah As-Syura ayat 49 – 50 yang bermaksud:

Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. [49]

Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha berkuasa. [50]

Hati saya berdetik, benar-benar sama seperti pengalaman yang saya alami petang tadi. Perhatikan ayat-ayat itu, Allah berkuasa untuk mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakkinya, Allah juga berkuasa untuk mengurniakan anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakinya, begitu juga Allah berkuasa untuk memberikan kedua-duanya sekali malahan Allah juga berkuasa untuk tidak memberikan anak langsung kepada sesiapa yang dikehendakinya. Sungguh cantik ayat ini dan bagi sesiapa yang mahu mengambil pengajaran bahawa kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Saya diberi contoh 2  buah keluarga masing-masing dengan 4 orang anak lelaki dan 4 orang anak perempuan. Saya juga telah banyak kali bertemu dengan mereka yang mempunyai anak perempuan dan lelaki di dalam keluarga mereka. Saya juga pernah bertemu dengan pasangan yang sehingga kini belum mempunyai anak walaupun telah mendirikan rumahtangga selama 22 tahun. Dan mereka yang saya jumpa ini kelihatan cukup bersyukur dengan apa yang Allah berikan. Pelajaran yang saya perolehi hari ini, bersyukurlah dengan apa yang ada. Redhalah atas apa sahaja pemberianNya.

Bersyukurlah dengan apa yang Allah berikan kepada kita walaupun mungkin tidak yang seperti kita harapkan dan kita hajatkan.

Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua. Dia mengurniakan ‘kepada sesiapa yang dikehendakiNya’.

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya.  [As-Syura:36]

Mungkin Dia mengkehendaki saya mempunyai anak-anak lelaki sahaja.

Mungkin juga Dia mengkehendaki saya mempunyai anak-anak lelaki dan perempuan.

Pastinya, apa yang dikurniakan Allah kepada kita hanyalah pinjaman dan kesenangan yang bersifat sementara. Sesungguhnya nikmat di akhirat itu adalah lebih kekal dan bermakna bagi mereka yang mahu mengambil pengajaran.

Abu Wafi, Putrajaya.

 

 

Pengorbanan suci 3 insan

Published November 26, 2009 by Menikmati Takdir Langit

PERISTIWA 1

Seluruh alam sunyi sepi. Tiada kedengaran bunyi burung berkicau. Tiada bunyi desiran angin mendatang. Segala-galanya hening cipta. Seluruh makhluk yang ada di muka bumi ini terpaku pada kelibat 2 orang insan yang sedang berbicara.Satu perbicaraan yang bisa menggugah jiwa-jiwa yang mendengarnya.

Nabi Ibrahim as sedang berbicara dengan anakandanya Nabi Ismail as mengenai perintah Allah yang baru diterima supaya menyembelih Nabi Ismail as.

Nabi Ismail as akur dan pasrah jika itu adalah perintah dari Allah. Muktamad dan tidak boleh disanggah sama sekali sebagai bukti keimanan. Nabi Ismail berkata kepada ayahandanya dengan beberapa pesanan sebelum urusan penyembelihan itu dijalankan.

Pertama, ayahanda mestilah menggunakan pisau yang tajam supaya urusan penyembelihan nanti akan berjalan lancar; dan

Kedua, baju yang dipakai Nabi Ismail as mesti ditanggalkan, supaya kesan-kesan darah pada bajunya tidak dilihat oleh bondanya Siti Hajar kerana tidak mahu membuatkan hati ibunya menjadi sedih.

“Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang yang sabar”

Walaupun berat namun Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s redha dan bersedia untuk melaksanakan perintah ini. Lalu Allah menggantikan Nabi Ismail dengan kibasy untuk disembelih.

PERISTIWA 2

Siti Hajar redha jika ini perintah dari Allah supaya Nabi Ibrahim a.s meninggalkan beliau dan anakandanya Nabi Ismail a.s berdua di tengah-tengah lembah yang kontang. Nabi Ibrahim a.s perlu kembali ke Baitul Maqdis kerana perintah Allah. Maka tinggallah mereka dua beranak bersama bekalan yang hampir kehabisan.

Maka menangislah anak kecil itu kerana kelaparan dan kehausan. Maka berlari-larianlah Siti Hajar antara Bukit Safa dan Bukit Marwa mencari air. Pelarian tanpa henti selama 7 kali berturu-turut ini berakhir bila telaga zam zam ditemui di hujung kaki Nabi Ismail.

HAYATILAH FALSAFAH KORBAN

Pengorbanan orang-orang yang telah mendahului kita seharusnya menginsafkan. Mereka diuji oleh Allah dengan ujian yang sangat berat untuk dipikul. Mereka terpilih untuk menerima ujian ini dan mereka redha sehingga akhirnya mereka berjaya.

Justeru, mari bertanya kepada diri, sejauh manakah pengorbanan yang telah kita lakukan untuk Islam yang kita cintai? 

Berapa banyakkah harta dan wang ringgit yang telah kita belanjakan atas jalan-jalan fisabilillah?

Cukupkah sekadar kita pulang ke kampung bertemu ibu bapa yang disayangi?

Cukupkah sekadar menyembelih atau mengambil bahagian dalam ibadah korban?

Apakah memadai dengan semua ini tanpa benar-benar kita memahami falsafah atau mesej yang ingin disampaikan oleh Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan Siti Hajar di sebalik KESEDIAAN mereka untuk BERKORBAN demi Allah?

Mari menginsafi diri ini. Banyak-banyakkan BERKORBAN di atas jalan Allah.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

Abu Wafi, Putrajaya

Sungguh saya terleka

Published September 3, 2009 by Menikmati Takdir Langit

P8054944

Catatan Jibby, Gurney Drive Penang.

Suatu ketika dahulu saya pernah tercari-cari makna hidup. Ketika itu saya masih bujang dan masih belum mengenali erti tanggungjawab hidup berkeluarga. Bebas bergerak ke sana ke mari. Tiada siapa mempersoal dan tiada siapa bertanya. Namun ada kalanya hati kecil saya bertanya ke mana hala tuju hidup saya. Terasa kosong.

Untuk mengisi jiwa yang kosong saya suka keluar “outing” selepas waktu kerja. Duduk lepak di jetty bas Butterworth sambil menikmati nasi lemak, telor separuh masak dan teh tarik. Ada kalanya, saya menyeberang jambatan Pulau Pinang untuk menikmati sup kambing di Penang Road bersama teman-teman rapat. Semuanya kerana ingin mengisi masa santai supaya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang menggembirakan lagi bermakna.

Ada kalanya saya menemani teman-teman untuk ‘window shopping’ di pusat-pusat membeli belah seperti Penang Megamall, Gurney Drive atau Carefour Seberang Jaya. Sungguh indah saat itu bila dikenang-kenang kembali. Saya benar-benar bebas menikmati hidup sebagai orang muda. Ketika itu umur saya dalam lingkungan 25 hingga 28 tahun.

Adakalanya saya hilang tujuan. Tidak tahu hendak ke mana. Semua tempat telah diterokai. Semuanya terasa membosankan. Hidup terasa sungguh “dull and somber“. Tawar dan tiada perisa. Apakah yang menyebabkan tawar? Kenapa jiwa terasa kosong? Kenapa hidup terasa tidak bermaya? Saya tercari-cari lagi…

Ketika bersama teman-teman rapat melakukan aktiviti bersama, saya merasa sungguh gembira dan ceria. Kadang-kadang kami mengadakan ‘potluck’ , ada kalanya bercuti bersama di Langkawi dan ada kalanya bersembang-sembang kosong di kopitiam. Namun kegembiraan dan kegirangan saya ini tidak kekal lama dan jiwa saya kembali kosong. Entah mengapa….. Saya tercari-cari lagi.

Hanya semalam. Setelah 10 tahun berlalu saya mengutip kembali satu persatu kenangan demi kenangan yang telah dilalui. Saya mendapat jawapannya. Jiwa kosong kerana tiada pengisian. Pengisian dengan ilmu yang mengenalkan saya dengan Allah. Lantas timbul rasa penyesalan yang amat sangat kerana membuang masa begitu lama.

Mengenang kembali zaman jahiliah yang pernah dilalui, saya terasa amat sedih dengan akhlak saya ketika itu. Amal ibadah kurang manakala halal dan haram kurang dititikberatkan.  Bukan saya tidak tahu semua ini, bukan saya tidak pernah belajar, bukan saya tidak pernah diberi peringatan.Saya lupa.

Mujur Allah masih menyayangi diri ini. Mujur Allah masih sudi mencampakkan hidayahNya kepada diri ini. Mujur Allah masih mahu menyelamatkan saya dari terus hanyut dengan  dunia. Tidak dapat dibayangkan jika saya dijemput menghadapNya ketika waktu penuh kelalaian itu. Mengenangkan apa akan saya hadapi ketika di barzakh menjadikan saya bertambah bimbang.

Bersediakah saya dengan skema jawapan untuk menghadap mungkar dan nakir?

Di mana pula peguambela-peguambela saya seperti solat, puasa, zakat, haji, Al-Quran yang dijangka akan membantu saya dalam menghadapi soal jawab itu kelak?

Bersediakah mereka untuk membela saya? Cukupkah kelengkapan yang telah saya sediakan untuk mereka? Mantapkah hujah mereka nanti ? Akan datangkah mereka membela saya atau mereka akan meninggalkan saya kerana saya tidak pernah mempedulikan mereka ketika di dunia? Alangkah ruginya….

Agaknya jika kerugian saya ini boleh ditaksirkan seperti di dunia, mungkin saya adalah seorang yang muflis.  Muflis dengan amalan kosong menghadap Tuhan.

Solat pun dalam keadaan lalai malah terkadang  terlepas waktu sebab sibuk dengan kerja….

Puasa sekadar lapar dan dahaga sahaja.

Al-Quran… jarang-jarang diselak apatah lagi  berusaha untuk memahami maksudnya.

Zakat… tidak pernah diendahkan. 

Bersedekah tidak pernah terlintas di hati walaupun ada lebihan simpanan gaji setiap bulan..

Wang banyak dihabiskan untuk aktiviti-aktiviti libur dan menghibur hati.

 Nauzubillahiminzalik !!!! Saya berada di dalam zon leka dan lalai.

Tiba-tiba saya tersedar macam baru bangun dari mimpi yang panjang. Peluh memercik di dahi. Lamunan saya terhenti. Baru saya tersedar, sebentar tadi saya membaca Surah As-Sajadah dan bila sampai di ayat no. 12 saya terhenti lama di situ:

” Kalau sekiranya engkau lihat, ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala kepada Tuhan mereka seraya berkata : Wahai Tuhan kami! Kami telah melihat dan telah mendengar (seruan Rasul), maka sebab itu kembalikanlah kami ke dunia supaya kami kerjakan amalan soleh, sesungguhnya kami sekarang sudah yakin.

Ketika di dunia mereka telah diberi peringatan tentang hari pertemuan mereka dengan Allah yakni hari akhirat. Malah telah sampai para rasul untuk memberi peringatan kepada mereka dan mengajak mereka ke jalan Allah namun tidak diendahkan, sehinggalah mereka menemui Allah dalam keadaan tidak bersedia. Mereka meminta supaya dikembalikan ke dunia supaya dapat melakukan amal soleh namun segalanya sudah terlambat buat mereka. Keyakinan mereka di saat mereka dibawa menghadap Allah sudah tiada gunanya kerana pintu taubat telah pun tertutup buat selama-lamanya.

Ayat ini telah membawa saya mengelamun jauh mengingati saat-saat lalai saya sehingga saya tidak sedar bacaan saya telah terhenti pada ayat no.12 ini.

Alhamdulillah… syukur kepada Allah kerana menyedarkan saya sekali lagi pada waktu ini. masih belum terlewat.Lantas tangan diangkat memanjatkan doa:

” Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati-hati kami, setelah engkau memberi hidayahmu”

Saya meneruskan bacaan hingga ke ayat terakhir. Mudah-mudahan hidayah yang diberi akan berkekalan hingga ke akhir hayat. Ya Allah, Terima kasih kerana menyedarkan aku di dalam  Ramadhan kali ini !!!

 

Setahun yang bermakna

Published September 1, 2009 by Menikmati Takdir Langit

P8205008

Genap setahun memblog

Semalam negara kita menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-52. Saya ulangi ulang tahun kemerdekaan dan bukannya hari kemerdekaan. Ramai yang salah anggap. Hari kemerdekaan bagi negara ini hanya satu dan sekali sahaja iaitu pada 31 Ogos 1957. Sementara tahun-tahun selepas itu dan akan datang kita hanya menyambut ulang tahunnya, samalah dengan sambutan ulang tahun kelahiran kita.

Tanggal 31 Ogos 2008 juga ulang tahun penting bagi saya. Saya mulakan blog ini pada tarikh berkenaan. Tidak tahu kenapa. Mungkin suratan, mungkin juga satu kebetulan.

Sebenarnya hasrat untuk memiliki blog sendiri telah lama terbuku di hati. Namun hasrat tersebut tidak dapat direalisasikan atas sebab-sebab tertentu. Paling utama adalah rasa malas yang menguasai diri. Malas untuk ‘update’. Kedua, saya tidak tahu apa yang nak ditulis. Apa genre yang patut saya pilih dan apa matlamat saya untuk mewujudkan blog sendiri. Ketiga, apa yang patut saya paparkan dan apa yang patut saya ceritakan. Apakah semua kisah hidup saya patut dibentangkan satu persatu sebagai mana blog-blog lain yang pernah saya lawati dan bagaimana pula dengan ‘privacy’ saya kerana saya memerlukan privacy.

Semuanya menjadi halangan dan kekangan saya ketika mula-mula mahu memblog.

Akhirnya….. membloglah demi mencari redha Allah. Saya terjumpa kata-kata ini dalam salah sebuah blog yang saya ziarahi dan saya benar-benar terkesan dengan kata-kata ini.

Menulis untuk mencari redha Allah. Menulis sesuatu untuk faedah umat dan orang lain. Menulis supaya manusia sedar akan hakikat penciptaan mereka di dunia ini. Menulis untuk menyedarkan, menginsafkan dan seterusnya mengajak manusia kembali ke jalan Tuhan. Itulah niat saya pada masa itu dan alhamdulillah masih berkekalan buat masa ini.

Maka saya batalkan hasrat saya untuk menjadikan blog saya kelak sebagai medan untuk menceritakan rutin hidup saya sehari-harian. Memuatkan gambar peribadi dan keluarga. Semua ini saya batalkan.

Sebaliknya saya mahu menulis seringkas dan seminima mungkin mengenai kehidupan saya dan keluarga saya sekurang-kurangnya buat masa ini. Namun, tidak salah jika sekali sekala saya memuatkan kisah peribadi saya, isteri dan anak-anak untuk teman-teman di luar yang mengenali saya secara peribadi. Tidak salah bukan…. kerana ini juga merupakan satu-satunya harta peninggalan saya untuk anak-anak tercinta. Saya menulis untuk mereka dan untuk umat ini. Mungkin suatu hari nanti, bila saya sudah tiada blog ini akan menjadi tatapan mereka untuk membaca dan memahami perasaan kasih dan sayang saya kepada mereka. Setidak-tidaknya begitulah…

Kawan-kawan saya ada yang mempunyai blog peribadi. Mereka juga menggalakkan saya untuk mempunyai blog sendiri dan mula menulis. Menulis sesuatu yang memberi faedah.

Maka saya pun memberanikan diri. Memang sukar pada mulanya. Apatah lagi untuk membuat setting yang basic pun saya tidak tahu inikan pula untuk memasukkan gambar-gambar penting. Dengan bantuan dan tunjuk ajar dari seorang rakan saya berjaya menyiapkan layout  blog ini dan menulis entry saya yang pertama pada tarikh 31 Ogos 2008. Pada mulanya saya menulis sekadar suka-suka sahaja. Saya menulis tentang alam ciptaan Allah diikuti dengan aktiviti di bulan Ramadhan. Lepas itu, senyap seketika sehinggalah kematian rakan saya Allahyarham Khairil Hisham di Libya. Saya meng’uploadkan semua gambar-gambar pengkebumian jenazah di Presint 20 dan memaklumkan kepada rakan-rakan lain. Maka secara tiba-tiba blog saya dikunjungi ramai pelawat hanya semata-mata untuk menatap gambar pengkembumian. Tidak kurang juga yang meninggalkan komen-komen. Sungguh saya teruja… sungguh saya terharu atas sambutan yang diberikan.

Dan selepas itu… saya membuat keputusan untuk memaksa diri menulis sesuatu. Sesuatu yang berguna dan berfaedah kepada orang lain. Walaupun saya bukan seorang ulama, ustaz atau pakar motivasi namun saya tetap mahu berusaha ke arah itu. Mengajak manusia kembali ke jalan Allah bukan tugas ulama, pemimpin, ustaz dan pakar motivasi sahaja sebaliknya tanggungjawab setiap individu Muslim. Rasulullah saw pernah bersabda:

“Sampaikan dariku, walau hanya sepotong ayat”

Saya tercabar dan terus mencabar diri ke arah itu. Alhamdulillah, walaupun tidak sepopular nama-nama besar dalam dunia blog hari ini namun saya terkesan dengan beberapa komen positif daripada pengunjung yang tidak henti-henti memberi galakan. Sedikit sebanyak blog ini mula mendapat perhatian dari sehari ke sehari. Syukur alhamdulillah.

Ada harinya… saya giat menulis bila mendapat idea. Malam dan seusai subuh adalah waktu yang saya kira cukup aktif dan idea bercambah. Ada kalanya, saya kekeringan idea. Tidak tahu mahu menulis apa kerana tidak mendapat ilham. Namun, saya akur bahawa inilah kekangan-kekangan yang akan saya hadapi.

P8054961

  Moga blog ini terus subur

Saya menjangkakan bahawa blog saya mungkin tidak lama bertahan. Saya hampir-hampir  putus asa. Namun kuasa Allah memanjangkan hayat blog abuwafi98 ini sehingga ke hari ini. Sudah genap setahun. Sudah sewajarnya saya mengucapkan selamat ulangtahun pertama dan rasa syukur yang tidak terhingga kerana masih diberi kekuatan untuk menulis dan terus menulis.

Abuwafi bersempena nama anak sulung saya, manakala tahun 98 adalah angka tahun 1998 tahun di mana saya memulakan kerjaya. Tahun yang cukup perit kerana ekonomi meleset teruk pada ketika itu. Tahun yang penuh makna yang tidak mungkin terlupakan.

Tajuk Menikmati Takdir Langit adalah rentetan daripada buku Risalah An-Nur karya Badiuzzaman Said Nursi. Salah satu risalahnya bertajuk “Lama’at”  yang saya kira bersesuaian dengan tajuk blog saya.

Saya sedang berusaha untuk mencantikkan blog saya. Saya sedang berusaha mendapatkan bantuan khidmat teknikal daripada beberapa kenalan yang telah menyatakan kesudian. Namun sekali lagi perkara ini masih tertunggak atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Berdoalah semoga hasrat saya ini menjadi kenyataan.

Pencapaian blog setakat 1 September 2009

                                     110  Post                          129   Comment            11  Pages

                                   Pelawat: 7,000 lebih

Kepada pengunjung yang tidak pernah jemu-jemu melayari dan memberi komen jutaan terima kasih saya ucapkan. Kepada teman-teman rapat di pejabat yang rajin membaca dan memberi komen kepada saya juga saya rakamkan penghargaan tidak terkira. Moga Allah membalas dan meredhai kalian semua.

Jika saya ditanya bagaimana dengan masa depan blog ini? Jawapan saya INSYALLAH saya akan terus menulis dengan izin Allah. Saya tidak berani untuk berjanji atau memberi kepastian seratus peratus kerana semuanya terletak di dalam tangan Allah.

Hanya kalimah INSYALLAH yang mampu saya ungkapkan.

Abu Wafi, Putrajaya

Kita Allah yang punya

Published August 14, 2009 by Menikmati Takdir Langit

Satu demi satu nama-nama besar dalam industri hiburan tanah air pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Pelakon Shukri Hashim meninggal dunia kerana kanser lebih kurang 2 bulan yang lepas. Pengarah terkenal dengan filem-filemnya yang kontroversi Yasmin Ahmad meninggal dunia diserang sakit jantung ketika membentangkan kertas kerja di TV3. Dan semalam, vokalis kumpulan Rabbani Ustaz Asri Ibrahim rebah ketika sedang menjalani rakaman rancangan syahadah di angkasapuri. Beliau pergi tak kembali. Pergi menemui Allah Tuhan Rabbul Jalil sebagaimana yang sering dinyanyikannya.

DSC_5565

Berbanding kematian tokoh lain, pemergian Allahyarham Ustaz Asri memang memberi kesan kepada hati ini. Saya masih teringatkan alunan suaranya yang merdu terutama ketika beliau di dalam kumpulan Nadamurni dahulu. Bagi saya nasyid beliau ketika itu lebih bertenaga, simplistik tetapi cukup menyentuh hati malah menginsafkan. Kehilangannya begitu dirasai.

Semalam selepas maghrib saya berada di UniKL Gombak atas urusan peribadi. Sepanjang perjalanan pergi dan pulang radio IKIM menyiarkan segmen khas selama 2 jam bagi mengenang nostalgia allahyarham bersama IKIM F.M. Lagu-lagu lama semasa dalam kumpulan Nadamurni dimainkan satu persatu. Hati saya cukup tersentuh mendengarnya apatah lagi di waktu malam yang sunyi dan syahdu.

Saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Tetapi saya tidak menafikan bahawa saya adalah antara peminat suaranya. Kali terakhir saya berjumpa beliau secara ‘live’ ialah di majlis khatam Al-Quran saya di UNITEN Bangi 2 tahun yang lepas. Itulah kali pertama dan terakhir saya bertemu dengan beliau. Terpukau dengan persembahan vokal beliau yang bertenaga dan dinamik.

Dalam banyak-banyak lagu saya sukakan lagu-lagu beliau yang lama. Lirik-liriknya ‘simple’ tetapi mengancam. Tajuk lagu saya dah lupa tetapi bait-bait liriknya kadang-kadang bermain-main di jiwa saya.

 Kita Allah punya…. Kita tidak punya apa-apa…. Kita hanya mengusahakan apa yang ada … Semua Allah yang sediakan….

Memang diri kita kepunyaan Allah. Bila sampai masanya kita akan dijemput menghadap Allah sama ada kita suka atau tidak, sama ada kita bersedia atau tidak. Tidak akan dipercepatkan walau sesaat dan tidak akan ditangguhkan walau sesaat pun…

Ustaz Asri Ibrahim telah meninggalkan dunia yang fana ini menuju illahi. Beliau meninggalkan seruan dakwahnya mengajak manusia ke jalan Allah melalui lagu-lagunya dan bait-bait liriknya. Semoga beliau tenang di sana. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para anbiya’,solihin,syuhada’ dan siddiqin.

IMG_0331

Gambar : Source blog Ustaz Asri

Beliau benar-benar telah pergi…. Pergi tak kembali.

ABU WAFI, Putrajaya