Paparan itu tidak perlu

Published November 5, 2012 by Menikmati Takdir Langit

Saya membuka facebook walaupun saya bukanlah insan yang suka ‘post’ macam-macam posting namun saya suka membaca posting yang diletakkan oleh kawan-kawan. Ada kawan yang selalu saya jumpa namun kebanyakannya adalah kawan-kawan lama yang sudah bertahun terpisah. Hanya facebook menjadi penghubung antara saya dan mereka. Biar pun saya jarang membuat komen kepada semua post yang mereka letak namun saya tetap membacanya. Sekurang-kurangnya saya tahu perkembangan mereka dari jauh.

Namun perkembangan terkini sedikit menggusarkan saya. Saya benar-benar terganggu dengan posting-posting yang diletakkan oleh mereka. Benarlah kata sesetengah ulama bahawa facebook adalah medan fitnah yang cukup dasyat di zaman mutakhir ini.

Cuti sekolah semakin menghampiri ke penghujungnya. Maka banyaklah majlis anugerah kecemerlangan sekolah diadakan. Gembira bila mendapat tahu kejayaan anak-anak rakan yang berjaya menggondol sijil,hadiah kecemerlangan pencapaian dalam matapelajaran sekolah namun merasa sedikit gusar dengan trend mereka yang gemar meletakkan posting kejayaan anak-anak di dalam facebook. Gambar-gambar sijil yang memaparkan nama anak dan buku program diletakkan bagi tujuan dilihat dan dibaca oleh semua orang. Malahan mereka berlumba-lumba untuk memberitahu seluruh dunia bahawa anak-anak mereka itu berjaya dalam pelajaran atau mendapat nombor 1 di sekolah.

Bukanlah tujuan saya untuk mengaibkan atau memalukan mereka. Sebagai ‘parent’ mereka berhak gembira dan bangga dengan kejayaan anak masing-masing. Saya sendiri sebagai ayah turut merasai apa yang mereka rasa bila anak berjaya. Namun sebagai insan yang hidup dalam lingkungan syariat, saya tidak boleh bersetuju dengan mereka yang terlalu mudah memaparkan gambar-gambar kejayaan anak mereka. Memadailah jika kejayaan itu disimpan oleh mereka sendiri kerana paparan demi paparan saya khuatir boleh mengundang rasa ‘riak’ dan tidak ikhlas di dalam hati. Ditambah dengan komen-komen dan ‘like’ malah puji-pujian yang saya bimbang boleh menjerumuskan perasaan leka dan rasa bangga menyelubungi diri. Inilah yang kita bimbangkan.

Di dalam surah Kahfi Allah swt menyatakan bahawa ” harta dan anak-anak adalah fitnah dunia”

Ya, mereka adalah amanah tetapi dalam masa yang sama jika tidak diuruskan dengan baik mereka boleh bertukar menjadi fitnah yang dasyat. Sememangnya kejayaan dan kecemerlangan menjadi dambaan setiap insan yang bergelar ibu dan ayah. Tiada ibu bapa hatta penjenayah sekalipun yang inginkan anak-anaknya menjadi sampah masyarakat. Semua ibu bapa mahukan kebaikan untuk anak-anak mereka namun berhati-hatilah wahai sahabat-sahabatku. Jangan terlalu gemar memuji dan memaparkan kejayaan anak-anak di facebook kerana saya khuatir perkara-perkara berikut akan berlaku:-

1.  Posting yang berlebihan boleh mengundang rasa cemburu dan rendah diri di kalangan kawan-kawan yang anak-anak mereka kurang berjaya;

2. Pemaparan gambar yang berlebihan boleh menimbulkan rasa riak, bangga diri dan mengurangkan rasa ikhlas dalam diri;

3. Boleh mengundang umpat keji dan kutuk mengutuk sesama ‘friend’ apabila ada yang membuat komen di luar fb.

Inilah perkara-perkara yang saya bimbangkan. Rasanya lebih afdhal jika kejayaan ini dikongsi sesama ahli keluarga yang terdekat. Jangan dipaparkan untuk tontonan umum kerana saya khuatir perkara-perkara yang saya sebutkan tadi akan terjadi.

Nasihat saya kepada rakan-rakan adalah hentikan semua ini. Saya gembira dengan kejayaan anak-anak kalian, namun cukuplah jika kejayaan itu tidak dipaparkan ke seluruh dunia maya yang tiada sempadan. Dunia yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja hatta di penjuru dunia mana sekali pun. Dunia yang penuh dengan fitnah. Cubalah hadkan dan bataskan penceritaan tentang keluarga kalian kerana jika paparan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk dan meminta agar pembaca memuji dan memberi komen menaikkan diri maka ini sudah tidak baik untuk hati. Perasaan bangga akan bertukar menjadi riak, kagum dengan pencapaian diri sendiri dan akhirnya saya khuatir syaitan akan memainkan peranan yang lebih besar dengan menyucukkan rasa bangga diri yang berlebihan sehingga memandang rendah atau memperkecilkan orang lain.

Inilah yang saya khuatirkan sahabat-sahabat sekalian. Berhati-hatilah dengan fitnah dunia yang tiada sempadan. Syaitan itu lebih berjaya memperdaya manusia semasa kita senang dan leka berbanding ketika kita susah dan kesempitan.

Marilah kita memperbetulkan tujuan atau niat sebelum sesuatu ‘posting’ itu dibuat. Berfikirlah dengan panjang. Apakah tujuan dibuat sekadar ingin memberitahu dunia perkembangan diri anda atau menyampaikan mesej tertentu atau ingin meminta pembaca memberi komen tertentu atau anda ingin rasa gembira bila membaca komen-komen pembaca posting anda?

Hati-hatilah semua….

Abu Wafi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: