Archives

All posts for the day August 18th, 2012

Ramadhan dan kekuatan roh

Published August 18, 2012 by Menikmati Takdir Langit

Seorang ustaz menceritakan pengalamannya semasa menjadi imam di sebuah masjid di negeri Johor. Ketika bulan Ramadhan, ada seorang lelaki tua yang datang untuk solat terawih. Usianya dalam lingkungan 80 tahun dan berjalan ke masjid dengan dipimpin oleh anaknya kerana keadaannya yang uzur. Seperti di masjid-masjid lain, terdapat ramai anak-anak muda yang belia remaja datang menunaikan solat terawih selain dari lelaki tua tersebut.

Terawih di masjid tersebut dilakukan sebanyak 20 rakaat dengan witir 3 rakaat. Ustaz itu memberitahu bahawa sepanjang 4 tahun dia bertugas sebagai imam di masjid tersebut, lelaki tua ini tidak pernah meninggalkan solat terawih berjemaah.Setiap kali menoleh ke belakang, lelaki tua tersebut pasti berada di belakang imam.

Seperti biasa selepas habis 8 rakaat ramai jemaah yang mengundur keluar meninggalkan masjid untuk pulang ke rumah tetapi tidak lelaki tua ini. Dia terus kekal terpaku di belakang imam dan menyelesaikan solat terawih sehingga selesai witir. Begitulah yang beliau lakukan sehinggalah lelaki tersebut meninggal dunia beberapa tahun yang lepas.

Ustaz tadi menceritakan dari sudut fizikal lelaki tersebut memang lemah. Nak berjalan pun perlu dipimpin dan bertongkat. Menakjubkan sebaik sahaja lelaki tua tadi masuk ke dalam saf solat dan mengangkat takbiratul ihram tenaganya bertukar menjadi seperti lelaki muda yang gagah. Lelaki muda yang belia remaja sekali pun tidak mampu menyudahkan solat dengan rakaat sebanyak itu. Apakah rahsianya?

Jawab ustaz tadi, lelaki tua tersebut mempunyai kekuatan ruhiyyah yang tinggi. Walaupun fizikalnya lemah rohnya tetap kuat dan muda. Sebab itu dia boleh bertahan dengan 23 rakaat sedangkan pemuda yang kuatĀ  fizikalnya di luar, gagah dan lincah bermain futsalĀ  2 jam sekali pun bila masuk sahaja dalam saf solat tidak mampu menyudahkan solat terawih 20 rakaat.

Itulah bezanya antara memiliki kekuatan roh dengan kekuatan fizikal semata-mata.

Kekuatan roh mampu memberi kekuatan fizikal kepada seseorang sedangkan kekuatan fizikal sahaja tidak mampu untuk membangunkan diri.

Itulah rahsia kekuatan umat terdahulu daripada kita. Membaca kisah keperibadian Sultan Muhammad Al-Fateh sahaja sudah cukup mengkagumkan sesiapa sahaja. Beliau berjaya menakluk Constantinople kerana kekuatan rohnya dan roh tenteranya selain dibantu oleh faktor-faktor lain seperti kekuatan fizikal, strategi yang baik dan lain-lain.

Itulah yang kita hilang selama ini. Sempena Ramadhan yang bakal meninggalkan kita esok marilah sama-sama kita memikirkan perkara ini dengan serious di manakah dan bagaimanakah kekuatan roh ini dapat dibangunkan semula agar umat Islam tidak lagi tertindas.

Abu Wafi, Kulim