Wahai anak-anakku, pilihlah kawan yang baik

Published July 1, 2011 by Menikmati Takdir Langit

Seakan ada perasaan gusar pada diri ini apabila melihat perkembangan anak-anak yang semakin besar. Mereka semakin dewasa dan kita semakin hari semakin tua. Membesarkan anak-anak di zaman ini bukanlah satu tugas yang mudah. Saya kerap membandingkan zaman mereka dengan zaman saya di era tahun 1970-an dan awal 1980-an. Ketika itu, semuanya kelihatan mudah dan ‘simple’. Tidak terlalu banyak ‘distraction’ atau ‘diversion’ yang boleh mengganggu tumpuan pembesaran anak-anak. Seingat saya, rancangan TV hanya bermula jam 5.00 petang itu pun cuma RTM 1 dan RTM 2 sahaja. TV pun hitam putih dan berkaki. Rancangan kartun pun sebelah petang sahaja tidak seperti sekarang yang banyak gangguan. TV hidup 24 jam dengan rancangan kartun dan puluhan rangkaian yang tidak terkira. Internet juga mudah didapati. Segalanya mudah dihujung jari. Hiburan di mana-mana sahaja.

Bila membandingkan zaman saya dengan zaman sekarang saya teringat buku karangan Dr.Nasih Ulwan bertajuk “Tarbiyatul Awlad” atau Pendidikan Anak-anak  yang menyatakan didiklah anak-anak kamu mengikut zaman mereka dan bukannya mengikut zaman kamu.

Saya akui zaman sekarang sungguh mencabar dengan gangguan-gangguan yang menjejaskan proses ibu bapa untuk mendidik anak-anak menjadi manusia yang mempunyai tujuan hidup. Gangguan TV 24 jam, gangguan ‘computer game’, gangguan “facebook game’, gangguan internet dan yang paling saya bimbangkan adalah gangguan pengaruh dari kawan-kawan yang tidak baik.

Isteri saya seorang guru dan saya selalu mendengar kisah-kisah mengenai anak-anak muridnya di sekolah. Saya seperti tidak percaya bahawa anak-anak zaman sekarang begitu berani melakukan perkara-perkara yang tidak berani dilakukan oleh anak-anak di zaman saya. Senakal-nakal kawan-kawan saya di sekolah pun hanyalah merokok, ponteng sekolah dan samseng kecil-kecilan tetapi senakal-nakal anak-anak zaman sekarang mampu membawa kepada keadaan yang tidak pernah kita fikirkan. Di rumah kita mampu mengawal pergerakan mereka tetapi di sekolah dan di tempat lain kawan-kawan yang melingkungi mereka.

Selain dari peranan ibu bapa yang mencorakkan akhlak anak-anak, pengaruh rakan sebaya adalah paling kuat dalam menentukan personaliti dan hala tuju hidup mereka. Justeru, pilihlah kawan yang baik untuk mereka dan jika perlu selidikilah dengan siapa mereka bergaul. Ibu bapa perlu melakukan proses ‘allignment and balancing’ kepada anak-anak mereka. Jika didapati kawan yang dipilih tidak sesuai atau membawa pengaruh  yang tidak baik dalam perlakuannya seharian maka lakukan proses tadi dengan memperbetulkan mereka ke landasan yang sepatutnya. Seeloknya cuba jauhi mereka dari pengaruh rakan sebaya yang tidak baik untuk pembesaran mereka dengan panduan yang telah diberikan oleh alim ulama.

Syeikh Abdul Samad Al-Falambani dalam Kitabnya yang masyhur Sairus Salikin jilid 2 menggariskan 3 krietria dalam memilih kawan (taulan) iaitu:-

1. Jika kamu melihat wajah mereka maka kamu akan teringatkan akhirat. Justeru,kita disarankan melihat wajah orang soleh @ ulama  agar kita selalu teringatkan akhirat lantas bersemangat untuk melakukan perubahan diri;

2. Jika kamu mendengar kata-kata mereka maka kamu akan terpengaruh/terangsang untuk menambah amal kebaikan disebabkan nasihat-nasihat mereka; dan

3.Jika kamu melihat perbuatan  mereka kamu akan merasa gemar kepada akhirat disebabkan amalan mereka itu.

Pilihlah kawan yang boleh membawa kita kepada mengingati akhirat kerana pengaruh mereka akan membentuk kita menjadi manusia yang bertakwa. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa kita boleh mengetepikan kawan-kawan yang tidak cenderung kepada akhirat kerana usaha dakwah kita mengajak mereka kepada mengingati akhirat adalah tanggungjawab yang perlu kita lakukan. Cuma yang ditekankan oleh Syeikh Samad adalah kita meletakkan “barrier” atau sempadan di dalam hati mengenai kawan-kawan yang kurang minatnya dengan agama. Contohnya, jika mereka menyukai perkara-perkara maksiat atau melalaikan memadailah kita menetapkan di dalam hati bahawa mereka bukan kawan yang sepatutnya kita gauli, akan tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu memberi nasihat dan mengajak mereka kembali ke jalan yang benar. Benci hanya di dalam hati tetapi bukan menjauhi mereka sehingga mereka hanyut dengan kelalaian. Tugas untuk berdakwah tidak pernah terhenti kepada setiap seorang daripada kita.

Menariknya Syeikh Fahmi Zam Zam An-Nadwi ketika mensyarahkan Kitab Sairus Salikin menerangkan bahawa punca mengapa kita suka berkawan dengan seseorang adalah kerana di situ ada titik pertemuan yang menyatukan antara kita dan mereka. Misalnya seorang yang meminati sukan bola sepak akan berkawan dengan mereka yang sama minatnya kerana titik pertemuan di situ adalah sukan bola sepak. Seorang yang meminati sukan bermotorsikal besar akan berkawan dengan mereka yang sama minatnya kerana titik pertemuan mereka adalah motorsikal besar. Seorang yang suka memancing akan berkawan dengan kaki pancing begitulah sebaliknya kerana tititk pertemuan yang satu inilah yang mendekatkan mereka. Justeru pada ketika itu, kawan yang baik adalah kawan yang berada di dalam titik pertemuan itu kerana masing-masing memahami diri masing-masing. Mustahil bagi seorang peminat bolasepak berkawan dengan kaki pancing kerana tiada titik pertemuan antara mereka malahan persahabatan seperti ini tidak akan bertahan lama.

Apa pun saya suka membuat kesimpulan bahawa suasana sekeliling pada hari ini ternyata tidak membantu untuk membangunkan seorang manusia yang baik mengikut acuan agama. Terlalu banyak gangguan yang boleh menyimpangkan manusia dari bergerak di atas landasan yang lurus. Tugas sebagai “parent” di zaman ini tidak mudah seperti 20 atau 30 tahun yang lalu, justeru cara mendidik anak-anak perlu disesuaikan dengan keadaan yang ada pada hari ini. Moga mesej pendek ini bermanfaat untuk semua ibu bapa dan bakal ibu bapa di luar sana.

Abu Wafi, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: