Semua orang boleh berubah

Published June 27, 2011 by Menikmati Takdir Langit

Pepatah ada menyatakan “sekali air bah, sekali pasir berubah”. Begitu juga manusia yang boleh berubah sama ada dari negatif menjadi lebih baik atau sebaliknya. Jika dilihat dari sudut yang positif, perubahan merupakan satu penghijrahan yang membawa kebaikan kepada seseorang individu, namun ada juga perubahan yang menyebabkan seseorang itu semakin dijauhi oleh orang lain.

Perubahan boleh berlaku pada setiap orang yang bernama manusia. Boleh jadi perubahan pada diri individu itu berlaku disebabkan perubahan pada status dirinya atau ada peristiwa penting yang berlaku kepada dirinya sekaligus mewajarkan perubahan tersebut. Ada orang berubah menjadi baik bila terjadi musibah ke atas dirinya. Ada orang berubah menjadi sebaliknya bila mendapat pangkat, gelaran, kedudukan yang tinggi dan harta kekayaan.Perubahan ke atas diri seseorang juga boleh berlaku disebabkan perubahan pada keadaan sekeliling yang melingkunginya. Jika lingkungannya baik maka dia boleh berubah menjadi baik.

Baru-baru ini saya mendengar cerita mengenai seorang kawan lama. Beliau yang saya kenali cukup bermasalah dengan orang di sekelilingnya. Seorang ketua yang garang dan selalu memarahi anak buahnya di pejabat. Semua orang tidak menyukainya kerana sikap dan perangainya yang baran tersebut. Saya sendiri secara peribadinya pernah dimarahi oleh beliau ketika melakukan satu tugasan penting beberapa tahun yang lalu. Namun saya masih menjalinkan hubungan sebagai rakan sekerja dalam keadaan yang berhati-hati. Secara peribadi saya tiada masalah dengan dia malahan masih berhubungan dengan beliau kerana bekerja di bawah satu bumbung namun cakap-cakap orang yang masih bersangka buruk dengannya masih kedengaran.

Baru-baru ini kawan saya itu bertukar ke tempat lain. Mendengar bahawa kawan saya itu bertukar ramai yang seronok malah bertepuk tangan. Namun ada seorang lagi kawan saya yang berdukacita kerana kawan saya yang bermasalah itu akan pergi ke tempat dia. Dia bimbang bahawa kawan saya ini akan membawa perangai lamanya. Saya menyatakan bahawa manusia boleh berubah. Jangan suka mendengar cakap orang mengenai cerita 2 atau 3 tahun yang lepas. Boleh jadi dia telah berubah menjadi baik. Kenapa saya katakan begitu adalah kerana saya yakin bahawa beliau telah jauh berubah. Ini kerana pengalaman terkini saya yang banyak berurusan dengan dia menjadikan persepsi saya terhadap dia jauh berubah. Jika boleh saya katakan hampir 70% perubahan positif pada dirinya walaupun saya dapat mengesan beberapa nilai lama yang masih kekal pada dirinya. Apa pun saya optimis bahawa dia telah jauh berubah menjadi lebih baiknya. Sangkaan saya betul. Teman saya yang menerima kawan yang di pejabat baru mengesahkan demikian. Dia menyatakan bahawa kawan saya itu setakat ini mempunyai hubungan yang baik dengan rakan sekerjanya yang lain dan juga pegawai bawahannya. Malahan dia sendiri terkejut dengan perubahan tersebut.Tentunya ramai yang tidak akan mempercayainya.

Saya tersenyum. Cakap-cakap negatif masih terus kedengaran biar pun telah beberapa tahun peristiwa hitam itu berlaku. Mana mungkin kita sebagai manusia mampu menghentikan mulut orang dari terus bercakap mengenai orang.Pergeseran sesama insan ternyata lebih sukar untuk dipadamkan berbanding api di dalam sekam. Kita sering kali mengingati kejahatan orang pada kita tanpa kita menyedari bahawa kita juga mempunyai saham yang sama terhadap orang lain. Kita sering kali menghukum seseorang berdasarkan pertimbangan kita 5 atau 10 tahun yang lalu sedangkan pertimbangan masa kini tidak langsung kita raikan.

Manusia suka menghukum berdasarkan sejarah silam. Jika dahulu dia seorang yang jahat maka orang akan menghukumnya sebagai jahat selama-lamanya walaupun pun dia telah bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.

Analoginya sama seperti kita ingin menjual sebuah rumah milik kita yang dibeli 20 tahun yang lepas. Tentunya kita akan meminta Jurunilai Hartanah untuk menilai berapakah harga yang sewajarnya kita jual pada masa kini. Jurunilai akan membuat penilaian berdasarkan kepada keadaan pasaran semasa dan bukannya keadaan 20 tahun yang lepas. Mana mungkin rumah yang berharga RM160 ribu pada tahun 1991 boleh kekal pada harga yang sama pada tahun 2011. Penilaian hartanan mengikut keadaan semasa boleh melambung sehingga beberapa kali ganda malahan ada yang mencecah angka jutaan ringgit.

Kenapa manusia boleh meletakkan harga yang tinggi kepada harta benda mengikut keadaan zaman semasa tetapi masih meletakkan harga yang rendah kepada nilai diri dan maruah manusia lain mengikut keadaan masa lalu?

Kenapa kita tidak mengikut trend semasa. Nilailah harga diri manusia kepada apa yang ada pada diri dia sekarang dan bukannya masa lalu.

Jika dahulu dia tidak solat apakah kita masih mahu meletakkan hukum di tempat yang sama walaupun dia telah melakukan solat tanpa gagal.

Saya bercakap mengenai perubahan yang positif dan bukannya sebaliknya. Saya tidak mahu menerangkan mengenai perubahan negatif kerana itu bukannya isunya yang hendak kita raikan. Isunya ialah nilailah manusia mengikut pertimbangan semasa dan bukannya menghukum berdasarkan sejarah hitam silam.

Itu baru adil. Seseungguhnya Allah swt adalah bersifat dengan sifat ar-rahman dan ar-rahim yakni pengampun lagi penyayang. Seorang yang kufur selama 40 tahun tiba-tiba satu hari sebelum meninggal dunia melafazkan syahadah secara automatiknya dia Muslim dan segala perkara yang dilakukan sepanjang 40 tahun berada di dalam kesesatan gugur dan hangus begitu sahaja. Allah menilai berdasarkan 1 hari kehidupannya sebagai Muslim dan insyallah syurga menanti beliau walaupun beliau tidak sempat menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim yang sebenar.

Justeru, marilah sama-sama kita perbetulkan tanggapan kita bahawa sekotor dan seburuk mana pun seseorang itu, dia mampu berubah menjadi baik. Sebagai kawan sama-sama kita mendoakan kebaikan untuknya dan anggaplah segala kelakuannya terhadap kita itu sebagai ujian kesabaran dari Allah untuk kita.

Abu Wafi,Putrajaya

3 comments on “Semua orang boleh berubah

    • Ya, saya setuju dengan ck. Lihatlah personaliti di sekeliling kita, di pejabat dan kawan2 yang pernah berada di sekelililng kita dahulu. Setiap orang harus diberi peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan masa lalu.

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: