Lazatnya coklat Bittersweet

Published June 1, 2011 by Menikmati Takdir Langit

Saya amat menyukai coklat lebih-lebih lagi coklat jenama Beryl’s buatan Malaysia. Acapkali juga saya membawa anak-anak ke kilang coklat yang letaknya tidak jauh dari kediaman kami untuk memborong coklat dengan harga murah. Dalam banyak-banyak perisa saya paling menyukai perisa  “Bittersweet” atau pahit manis. Rasanya sungguh lazat dan benar-benar menepati citarasa saya walaupun saya pasti ramai juga yang tidak menggemarinya.

Sejak bila saya mula menyukai perisa  dan jenama coklat ini?

Beberapa tahun yang lepas saya menaiki sebuah pesawat untuk satu tugas rasmi di Sabah. Dalam penerbangan selama 2 jam selain dihidangkan dengan makanan berat, penumpang disajikan dengan coklat pahit manis ini. Itulah kali pertama saya menjamahnya dan ternyata pengalaman pertama kali itu menjadikan saya jatuh cinta dengan coklat perisa ini. Cuma saya masih tertanya-tanya apakah logik pemberian coklat di atas pesawat yang sedang terbang beribu kaki di udara.

Mungkin untuk menghilangkan rasa mabuk di udara!!!

Jika difikir secara mendalam sebenarnya ada kaitan antara coklat bitter and sweet ini dengan kehidupan manusia. Kenapa saya katakan begitu?

Kerana kehidupan manusia ini ada pasang surutnya. Adakalanya manis dan ada kalanya pahit.

Ada pengalaman manis yang tidak terlupakan dan ada juga pengalaman pahit yang perit untuk dikenang.

Pengalaman manis sememangnya amat disukai oleh semua orang malahan ramai yang ingin mengulanginya.

Pengalaman pahit pula sukar untuk dilalui dan tidak ramai yang mahu mengulanginya.

Teringat saya kepada satu dialog dalam sebuah filem yang pernah ditonton dahulu:-

“Aku bahagia dengan kehidupan sekarang. Semua yang aku nak boleh dapat. Aku tak nak hidup susah macam dulu lagi. Merempat ke sana sini dan aku juga tak nak anak aku susah macam aku dulu. Cukuplah sekali. Aku tak mahu susah lagi.

Ramai yang bergembira, senyum dan bergelak ketawa bila memperolehi pengalaman yang manis.

Ramai yang berdukacita, gundah gulana, menitiskan air mata malah menangis teresak-esak bila melalui peristiwa yang pahit.

Mendapat kekayaan, mendapat anak, mendirikan rumahtangga,berjaya di dalam peperiksaan adalah antara peristiwa manis yang ingin diulang-ulang oleh manusia.

Manakala menanggung kesakitan akibat penyakit kronik, ditimpa musibah, ditimpa kemalangan, gagal dalam peperiksaan, kehilangan insan yang disayangi adalah antara pengalaman pahit yang tidak ingin dilalui oleh manusia. Malahan semua manusia ingin menghindarinya terus jika mereka boleh melakukannya.

Namun sebagai manusia kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan.

Allah yang menentukan bahawa dunia di mana tempat kita menjalani kehidupan ini adalah medan ujian yang harus ditempuhi oleh sesiapa sahaja.

Jika difikir-fikirkan, yang pahit itu ujian dan yang manis itu juga ujian.

Kita tiada pilihan untuk memilih dilahirkan menerima yang manis sahaja.

Dan kita juga tiada pilihan untuk menolak yang pahit ke tepi.

Kita tidak boleh memilih untuk lahir dalam keluarga yang senang lenang dan mewah dan kita juga tidak boleh memilih untuk tidak dilahirkan di dalam keluarga yang miskin nestapa.

Jika kehidupan penuh dengan kemanisan maka tidak mustahil jika suatu hari nanti kita juga akan menerima kepahitan juga.Ramai di antara kita yang memandang bahawa yang manis itu baik dan bagus manakala ramai di antara kita yang memandang yang pahit itu buruk dan negatif sentiasa.

Tetapi ketahuilah, bahawa yang manis itu tidak semestinya baik untuk kita dan yang pahit itu tidak semestinya buruk untuk kita.

Manis dikaitkan dengan rasa lazat dan pahit dikaitkan dengan rasa tidak sedap. Makanan yang manis-manis seperti kek, ais krim dan sebagainya dikaitkan dengan kesedapan dan kelazatan yang ingin dinikmati oleh semua orang. Sebaliknya makanan yang pahit tiada siapa yang sudi untuk menjamahnya.

Analoginya manis bagai gula, pahit bagai hempedu. Contohnya makanan yang manis jika dimakan dalam tempoh yang panjang boleh memudaratkan. Makanan yang manis boleh mangakibatkan sakit perut. Makanan yang manis boleh mengakibatkan penyakit kencing manis dalam jangka waktu yang panjang.

Ubat yang pahit sukar untuk ditelan tetapi ketahuilah yang pahit itulah yang menjadi penawar kepada kita.Seringkali saya berjumpa dengan petua dan saranan pengamal perubatan tradisional untuk mengamalkan memakan akar-akar kayu yang rasanya cukup pahit bagi menjaga dan memulihara kesihatan yang berpanjangan. Inilah analogi mudah untuk menggambarkan contoh kebaikan antara pahit dan manis.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.  (Surah. Al Baqarah:216)

Yang pahit itu penawar

Lihatlah bagaimana perjalanan hidup Rasulullah saw yang sentiasa diuji oleh Allah swt. Begitu juga para sahabat yang mendampingi baginda turut diuji dengan ujian yang hebatnya bukan kepalang. Bagaimana tekanan dan ujian yang dihadapi oleh mereka sehingga ada yang menemui ajal, ada yang meninggal dunia di dalam peperangan dan tidak kurang yang mengalami kehilangan harta benda dan insan yang disayangi demi memperjuangkan Islam yang mereka anuti. Mereka tidak pernah mengeluh malahan mereka redha dan pasrah dengan ujian-ujian pahit yang mereka hadapi. Adakalanya ujian itu menuntut pengorbanan yang cukup besar sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda yang disayangi.

Rasulullah saw sendiri diuji, ditekan, dipulau lebih-lebih lagi selepas pemergian istetri tercintanya Saidatina Khadijah r.a dan bapa saudaranya Abu Talib yang selama ini menjaga dan melindungi baginda. Selain itu antara pengalaman paling pahit yang baginda temui adalah peristiwa dibaling batu oleh penduduk Taif sehingga bercucuran darah dari badan dan muka baginda dan para sahabat. Juga peristiwa pahit dalam peperangan Uhud yang menyaksikan tentera Islam hampir tewas.

Hidup baginda tidak pernah lekang dari ujian demi ujian. Tetapi ujian pahit inilah yang mematangkan baginda dan para sahabat.

Di sebalik kepahitan hidup Rasulullah saw berdakwah mengajak manusia ke arah jalan yang benar, Allah menghiburkannya dengan membawa baginda naik ke langit dalam peristiwa Isra’ dan  Mi’raj. Peristiwa ini adalah pengalaman manis bagi baginda bagi memperkukuhkan iman baginda.

Selepas pahit ada manis. Selepas manis disusuli pula dengan pahit.

Selepas kembali dari Isra’ dan Mi’raj baginda diuji pula dengan ujian kepercayaan dan keyakinan masyarakat Arab dan umat Islam mengenai kebenaran dan kelogikan peristiwa naik ke langit dalam masa satu malam itu. Sekali lagi datang ujian pahit untuk baginda.

Namun baginda cekal melaluinya sehinggalah Islam berjaya ditegakkan melalui pembukaan Kota Mekah. Di sinilah manisnya bila kejayaan menyusuli selepas kepahitan diuji.

Saya merenung coklat yang saya pegang. Hampir saja tidak tersuapkan di mulut bila asyik memerhati dan cuba memahami hikmah dan rahsia di sebalik perasa “Bittersweet” ini.

Satu lagi saya terfikir kenapa perkataan “bitter” didahulukan dan selepas itu diikuti dengan perkataan “sweet”?

Kenapa tidak ‘sweet’ dahulu dan bitter kemudian?

Kerana manis dahulu pahit kemudian rasanya perit. Setiap kesukaran yang dihadapi insyallah akan disusuli dengan satu kemudahan. Permulaan yang sukar akan berakhir dengan pengakhiran yang baik. Mungkin inilah sifirnya. Susah dahulu dan senang kemudian, pahit dahulu dan manis kemudian.

Begitulah kehidupan yang ada pasang surutnya. Jika kita masih beranggapan yang manis itu baik maka hunjamkanlah perasaan itu kerana segalanya datang daripada Allah yang lebih mengetahui apa yang baik dan sesuai untuk kita. Jika yang pahit itu ditelan dan dilalui dengan penuh keikhlasan dan keredhaan, maka yang manis itu adalah pahala yang menanti kita di hari pembalasan kelak yang berkesudahan dengan syurga.

Kata Ulama Sufi terkenal Badiuzzaman Said Nursi bahawa setiap kesukaran dan kesusahan yang telah dilalui sekiranya dikenang akan memberi kemanisan manakala kehidupan yang manis-manis dan yang indah-indah pula kalau dikenang akan terasa sakit.

Ya, terasa sakit kerana kita tidak mampu lagi untuk mengulanginya. Jika ada kenangan manis bersama insan tersayang yang telah pergi meninggalkan kita, maka itu akan menjadi sakit dan pahit untuk dikenang. Terasa manis bila mengenang yang pahit kerana kita berjaya melaluinya denga suksesnya.

Itulah sunnatullah dunia yang tidak dapat ditolak.

Sesungguhnya ada pengajaran dari coklat perisa Bittersweet ini.

Abu Wafi, Putrajaya


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: