Entry ke-200 : 20 Oktober 1947

Published April 1, 2011 by Menikmati Takdir Langit

Baru-baru ini saya dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada pegawai-pegawai baru di Bagan Lalang, Sepang. Tajuk yang diberi kepada saya ialah “Sejarah Penubuhan Malaysia“. Masuk kali ini telah 2 kali saya dijemput menyampaikan ceramah atas tajuk yang sama. 2 jam saya bersama peserta berkongsi pengkisahan sejarah Malaysia bermula dari zaman kegemilangan Melaka sehinggalah pembentukan negara Malaysia. 98% peserta terdiri daripada mereka yang lahir selepas tahun 1980-an, muda dan bertenaga. Generasi Y yang didakwa sebagai kurang memahami sejarah kerana mereka lebih obses dengan facebook, Twitter dan blog sosial. Saya diberi beberapa tajuk oleh pihak urusetia untuk dipilih yang mana satu menjadi kesukaan saya. Dalam banyak-banyak tajuk sejarah adalah antara subjek kegemaran saya walaupun bukan sejarah malaysia yang saya minati. Saya lebih meminati sejarah negara luar seperti sejarah Islam di benua India ataus sejarah Islam di Sepanyol. Manakala untuk sejarah merdeka moden, saya lebih meminati sejarah revolusi kemerdekaan di Indonesia, Indocina, dan Filipina. Saya menjangkakan bahawa penceritaan sejarah Malaysia akan menjadi hambar kerana majoriti peserta pernah didedahkan dengan buku-buku teks sejarah tingkatan 3 atau tingkatan 5. 

Saya mula mencongak bagaimana untuk memastikan penyampaian saya kelak tidak membosankan pendengar. Apa yang perlu ditekankan selain daripada perjalanan sejarah negara ini yang begitu perlahan sehingga membentuk sebuah negara bangsa bernama Malaysia pada hari ini. Subjek sejarah bukannya subjek yang popular di kalangan generasi muda kini, mungkin kerana terlalu banyak tarikh dan fakta yang perlu diingati berbanding subjek sains yang lebih menjurus kepada ‘result oriented’.

‘Slide presentation” telah saya sediakan dengan mengambil input dari penceramah sebelum ini. Ada banyak gambar dan melebihi 100 slide yang saya kira sudah cukup menarik namun saya masih belum berpuas hati kerana masih ada sentuhan yang masih perlu diperbaiki. 

Tiba-tiba saya teringat kepada saranan seorang kawan saya 2 tahun lalu supaya menonton sebuah dokumentari pendek bertajuk “10 Tahun Sebelum Merdeka” karya Fahmi Reza seorang anak muda yang menghabiskan masa bertahun-tahun untuk melakukan ‘research’ dan temuramah bagi menghasilkan filem dokumentari pendek ini. Filem ini agak kontras berbanding dengan apa yang ditulis di dalam buku-buku sejarah Malaysia. Dokumentari ini dilihat lebih menghargai  perjuangan dan sumbangan golongan sayap kiri seperti API, AWAS, GERAM, MDU dan PUTERA-AMCJA. Hala tuju utama dokumentari ini ialah untuk membawa penonton mengingati tarikh 20 Oktober 1947 sebagai antara tarikh penting selain  daripada tarikh 31 Ogos 1957.

20.10.1947 dan signifikannya kepada negara.

Saya pun menonton kembali filem dokumentari pendek selama 30 minit dan membuat analisa. Lantas saya memutuskan untuk menayangkan filem dokumentari ini di dalam ceramah saya kelak kerana didapati sesuai dan boleh memberikan paradigma baru serta kesedaran kepada mereka mengenai sejarah negara ini.

 20.10.1947 adalah Hari Hartal di seluruh Malaya. Hartal adalah hari mogok umum di mana semua kedai,perusahaan, kilang dan perkhidmatan berhenti beroperasi selama 1 hari. Nelayan, buruh, pekerja am semuanya berhenti bekerja pada hari tersebut. Kesannya cukup besar kepada ekonomi negara. Ekonomi Malaya pada masa itu yang bergantung kepada sumber mineral seperti bijih timah dan sektor perladangan hampir lumpuh. Mogok umum sehari menyebabkan negara Great Britain mengalami kerugian berjuta-juta paun pada hari tersebut. 

Ekoran peristiwa pada 20.10.1947 itu, British mengisytiharkan ‘darurat’ pada tahun 1948. Darurat diisytiharkan kerana didakwa berlakunya kebangkitan komunis walhal impak terbesar yang mewajarkan pengisytiharan darurat ialah kekhuatiran British akan wujudnya mogok umum yang seterusnya.

20 October 1947  adalah tarikh bersejarah di mana seluruh rakyat Malaya tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa agama dan keturunan bangkit menentang kolonialisme British dan cadangan pembentukan perlembagaan 1948 yang digubal oleh pihak British. Filem dokumentari pendek ini boleh membuka mata sesiapa yang menontonnya bahawa Malaya suatu ketika dahulu pernah melalui proses kematangan yang bersifat ‘revolusi’. Proses yang menyebabkan British menjadi gelabah dan hampir saja boleh menyebabkan Malaya merdeka 10 tahun lebih awal jika British akur dengan tuntutan rakyat pada masa itu.

Peristiwa Hartal 20.10.1947 meninggalkan kesan politik yang cukup besar kepada rakyat Malaya pada ketika itu. Sebanyak 10 ribu rakyat termasuk pemimpin-pemimpin politik dan kesatuan sekerja seperti Dr.Burhanuddin dan Ahmad Bostamam ditahan dan merengkok bertahun-tahun di dalam penjara. British mengekang kemaraan dan kebangkitan rakyat dengan melakukan banyak penahanan sehingga berjaya membantutkan kebangkitan rakyat.

10 tahun selepas itu, barulah Malaya merdeka. Satu proses yang sengaja dilewatkan oleh British.

Andai kata jika Malaya merdeka 10 tahun lebih awal, tentunya senario politik negara pada hari ini berbeza sama sekali. Sudah tentu parti politik lain yang memerintah. sudah tentunya perlembagaan negara ini juga dalam bentuk yang berbeza dengan apa yang kita ada pada hari ini.

FILEM DOKUMENTARI  http://vimeo.com/344899 

Saya tertarik dengan “finding” yang dibuat oleh pembikin filem ini. Beliau berjaya mengetengahkan perbezaan antara Perlembagaan British 1948 dengan Perlembagaan Rakyat yang digubal oleh AMCJA-PUTERA ini.Terima kasih Saudara Fahmi Reza kerana hasil penyelidikan yang membuka minda .

Sesuatu yang saya kira cukup mengkagumkan bahawa pada tahun 1947 dan 1948, AMCJA-PUTERA berjaya menangkis Perlembagaan 1948 British dengan menggubal Perlembagaan sendiri untuk rakyat Malaya. Malahan mereka telah menghantar rombongan ke London untuk menemui Kerajaan British dan Parlimen British untuk mengemukakan cadangan perlembagaan tersebut. Sesuatu yang kita semua tidak tahu.

Mengikut perlembagaan tersebut, Malaya akan merdeka manakala mengikut Perlembagaan 1948 yang digubal British Malaya akan kekal sebagai sebahagian daripada koloni British sehingga benar-benar bersedia untuk diberikan kemerdekaan.

Pada 19 Mac 2011, saya menyampaikan ceramah berkenaan dan di pertengahan slot ceramah, saya menayangkan filem dokumentari ini. Usai ceramah saya bertanya kepada beberapa peserta untuk mendapatkan ‘feedback’. Ternyata ramai yang tidak tahu menahu malah tidak pernah langsung mendengar perkataan “Hartal” dan signifikan 20.10.1947 kepada Malaya.

Pencarian dalam buku sejarah Malaysia tidak langsung menemukan peristiwa ini melainkan peristiwa Malayan Union dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948.  Kenapa dan mengapa ini dipadamkan? Saya tiada jawapannya melainkan saya teringat kepada satu ‘quotation’  oleh Alex Haley  “History is written by the winners”.

20.10.1947 sama pentingnya dengan peristiwa 31.8.1957 dan 16.9.1963. Tiada bezanya antara ketiga-tiga tarikh penting ini.

Saya berharap bahawa suatu hari nanti akan ada usaha dibuat untuk menulis mengenai peristiwa Hartal ini biar pun hanya satu bab kecil mengenai peristiwa ini dan kesan-kesannya kepada negara. Bukanlah menjadi hasrat saya untuk mengubah sejarah yang telah ditulis melainkan satu pengharapan agar peristiwa ini dan implikasinya juga diberi fokus utama dalam pembentukan generasi akan datang.

Sekurang-kurangnya generasi Y akan tahu bahawa sebenarnya sejarah negara ini tidak membosankan!!!!

Abu Wafi, Kuala Lumpur

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: