Sesungguhnya manusia itu buas

Published March 25, 2011 by Menikmati Takdir Langit

“Sesungguhnya kala jengking tidak akan menyengat kecuali pada masa tertentu. Ular juga tidak akan mematuk kecuali kerana sebab-sebab tertentu. Binatang buas tidak akan menyerang kecuali kerana keperluan tertentu yang mendesaknya untuk menyerang. Tetapi kenapa kita melihat manusia sanggup menyakiti manusia lain pada waktu pagi dan petang sama ada bersebab atau tanpa sebab, bahkan mereka begitu ghairah melakukannya.

Sesungguhnya manusia apabila tidak ada keimanan, maka dia akan menjadi lebih jahat dari binatang buas kerana binatang buas tidak mencari mangsanya kecuali jika ia lapar. Apabila sudah mendapat mangsa, ia tidak akan mencari mangsa yang lain sehingga ia lapar kembali. Tetapi manusia jika tidak beriman tidak akan merasa kenyang dengan satu atau dua orang mangsa. Dia mungkin membunuh ribuan manusia, bahkan jutaan manusia lain tanpa merasa kenyang. Sikap mereka sama seperti malaikat di neraka jahannam sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah swt bahawa malaikat ini apabila ditanya kepada mereka : “Adakah sudah penuh? Maka jawab malaikat itu: ” Masih ada lagikah (yang ingin dimasukkan ke dalam neraka?)”

Dr.Yusuf Al-Qaradhawi

Tiba-tiba saya merasa jelek dengan sikap manusia di akhir zaman ini. Entah apa yang ingin mereka cari. Menekuni kata-kata ulama terkenal Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam bukunya ” Aku dan Ikhwanul Muslimin” menyentak diri untuk membandingkan situasi yang digambarkan oleh beliau dengan situasi yang berlaku kepada umat Islam pada masa kini. Akhlak yang dipertontonkan oleh pemimpin-pemimpin negara umat Islam di Timur Tengah sungguh mengecewakan diri ini. Selama beberapa minggu ini saya menahan diri dari menulis sesuatu mengenai perkembangan politik di Timur Tengah. Selepas Mesir menyusul Libya yang belum sudah dan kini berjangkit ke Yaman, Bahrain, Arab Saudi dan tidak ketinggalan Syria.

Kemudian datang kejadian gempa bumi dan tsunami di Jepun sehingga menenggelamkan berita mengenai kebangkitan rakyat di Timur Tengah buat seketika dan kini selepas  tentera bersekutu menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya, berita di Timur Tengah kembali panas.

Saya menentang campur tangan US, Peranchis dan Britain di Libya kerana campur tangan mereka mempunyai maksud tertentu. Namun saya juga membenci Gaddafi yang tidak mahu turun takhta. Berbanding Hosni Mubarak yang akhirnya akur dengan kehendak rakyat, Gaddafi  sebaliknya memilih untuk memerangi rakyatnya sendiri.

Tidak masuk akal bagaimana seorang ketua negara boleh tergamak untuk mengebom dan membunuh rakyatnya sendiri melainkan yang boleh saya katakan Gaddafi sebenarnya seorang yang tiada iman kerana hanya orang yang tiada iman sahaja yang boleh berbuat demikian. Jika tidak kerana serangan udara tentera bersekutu ke atas kelengkapan tentera udara Gadafi, sudah pasti Benghazi akan jatuh ke tangan tentera Gaddafi. Mereka meramalkan bahawa jika ini berlaku tidak kurang 40 ribu penduduk Benghazi akan menjadi korban.

Turunlah wahai Gaddafi

Cakapnya pelik, ucapannya pelik dan lagaknya pelik. Berucap sambil memegang payung di dalam kereta adalah tindakan manusia yang tidak waras. Maafkan saya kerana berkata demikian tetapi inilah hakikatnya.

Membunuh dan menyembelih rakyat sendiri kerana hendak mempertahan kuasa yang telah dipegang selama 41 tahun adalah sesuatu yang tidak wajar. Itulah buasnya manusia yang langsung tidak merasa bersalah untuk membunuh walaupun yang dibunuh itu rakyatnya sendiri yang tidak berdosa.

Begitu juga dengan perkembangan terkini krisis politik di Yaman. Presiden Ali Abdullah Salleh  yang telah berkuasa selama 30 tahun masih berdolak dalik untuk berundur walaupun ramai yang memintanya agar berundur segera. Semakin ramai jiwa rakyat Yaman yang melayang akibat kebuasannya mahu kekal berkuasa.

Turunlah wahai Ali Abdullah Salleh

Cukuplah dengan mandat selama 41 tahun dan 30 tahun. Kepimpinan adalah satu amanah dan bukannya harta ghanimah yang boleh dibolot sesuka hati. Hentikanlah pembunuhan rakyat yang tidak berdosa kerana mereka hanya sekadar menuntut hak mereka. Tidak jemukah kalian dengan pembunuhan nyawa rakyatmu sendiri? Tidak takutkah kalian bila di mahsyar nanti kalian akan dipersoalkan dengan tangan kalian yang berlumuran dengan darah rakyat sendiri.

KEBUASAN FITNAH

Jika tiada senjata digunakan pun maka lisan akan menjadi senjata yang ampuh untuk melemah dan menjatuhkan musuh. Menyebarkan cerita-cerita fitnah tanpa disertai dengan bukti yang didasari oleh syariah juga satu bentuk kebuasan manusia sejak zaman berzaman. Cuma di zaman serba canggih ini fitnah disebarkan dalam pelbagai bentuk bentuk baru yang sifatnya kekal seperti SMS, emel, blog dan facebook yang boleh dibaca sampai bila-bila walaupun si penyebarnya telah meninggal dunia. Fitnah tidak lagi dalam bentuk konvensional sebaliknya menjangkaui luar batasan. Sesungguhnya menuduh jiwa yang baik tanpa disertai dengan bukti yang kukuh boleh menjerumuskan manusia penyebar fitnah ke dalam jenayah qazaf. Jika tiada hukuman dunia yang menanti mereka, maka api neraka yang menyala-nyala menanti untuk membakar pesalah qazaf.

Senjata api membunuh jasad manusia tetapi senjata fitnah membunuh jiwa manusia sehingga menjatuhkan maruah manusia itu  ke tahap yang paling rendah.

” Sesungguhnya jenayah fitnah itu lebih dasyat dari dosa membunuh” (Al-Baqarah: 191)

Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah. (Hadis riwayat Muslim)

Saya mengurut dada dan sesekali merasa rimas dengan perkembangan semasa umat Islam di luar dan dalam negara. Jasad dan jiwa sama-sama dibunuh oleh manusia-manusia yang buasnya mengalahkan ular, harimau dan kala jengking.

Moga-moga kita selamat dari mereka. Moga-moga kita selamat dari peluru fitnah kerana ia adalah bentuk ujian yang menyesakkan.

Teringat saya pada Surah Al-Falaq yang dibaca setiap kali sebelum tidur bersama 2 surah yang lain.

Ya Allah aku memohon berlindung dari kejahatan manusia”

Amin.

Abu Wafi, Putrajaya

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: