Manusia itu anak lingkungannya

Published March 22, 2011 by Menikmati Takdir Langit

Kata-kata Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki an-Nadwi semasa mensyarahkan kitab Sairus Salikin:-

Manusia itu anak lingkungannya” bermaksud bahawa manusia itu terdidik atau terdorong dengan suasana persekitarannya. Jika lingkungannya baik, maka baiklah manusia itu. Jika lingkungannya buruk atau jahat maka jahatlah manusia itu.”

Tambahnya lagi, orang dahulu kala kalau hendak mencari rumah dan mendirikan keluarga akan mencari tempat yang baik-baik. Tempat yang baik-baik adalah tempat yang ada di dalamnya orang alim atau guru murshid. Ada masjid, ada surau atau ada tempat pengajian seperti pondok yang boleh membimbing manusia menjadi baik. Bukan seperti sesetengah orang zaman kini, kalau mencari rumah mesti cari yang berdekatan dengan pasaraya besar agar mudah untuk mendapatkan barang keperluan tanpa menghiraukan kawasan perumahan tersebut jauh dari masjid.

Keperluan fizikal dan jasad diutamakan sebaliknya keperluan rohani dipinggirkan.

Pesannya lagi seafdhal-afdhalnya carilah tempat tinggal yang ramai umat Islam (kalau ada yang soleh lagi baik), atau yang berhampiran dengan masjid mudah-mudahan hati akan tertarik ke arah kebaikan.

Bila suasana persekitarannya baik, masyarakatnya baik maka insyallah manusia yang memilih untuk hidup di situ juga akan menjadi baik walaupun tidak keseluruhannya. Malahan seluruh keluarganya juga akan menjadi baik. Lebih baik lagi jika kawasan tersebut mempunyai alim ulama yang gigih mengajar ilmu dan berdakwah kepada penduduk setempat. Berdakwah untuk mendidik hati manusia dalam lingkungannya. Berdakwah dengan ikhlas di hati.

Saya merenung jauh kata-katanya. Memang ada kebenarannya walaupun manusia itu tidak semestinya 100% terdidik dengan lingkungannya tetapi sekurang-kurangnya dia mendapat faedah daripada lingkungannya.

Saya teringat kepada sejarah para sahabat yang dikenali sebagai “Ahli Suffah“. Mereka ini adalah golongan sahabat yang datang jauh dari luar Madinah dan memilih untuk tinggal berhampiran dengan Masjid Nabawi. Mereka hidup dalam serba kekurangan dan kedhaifan kerana bagi mereka yang penting adalah mereka dapat duduk hampir dengan junjungan besar Rasulullah saw dan mengambil ilmu daripadanya. Mereka mahu Rasulullah saw membimbing dan mendidik mereka. Mereka mahu Rasulullah saw memperbetulkan mereka jika mereka melakukan kesilapan dan dosa. Mereka mahu hidup hampir dengan Rasulullah saw kerana baginda adalah guru murshid yang manfaatnya cukup besar. Itulah pertimbangan mereka dan bukannya makan minum, rumah besar, kenderaan mewah yang menjadi pertimbangan mereka. Makan dan minum mereka seadanya. Pakaian mereka sekadarnya kerana yang penting  bagi mereka adalah Rasulullah saw berada hampir dengan mereka.

Pernah diriwayatkan bahawa ketika solat berjemaah yang diimamkan oleh Rasululah saw, ada jemaah  dari kalangan ahli suffah ini pengsan kerana kelaparan. Susahnya mereka daripada harta kekayaan dunia namun hati mereka hidup, bersih, ikhlas, tawadhuk dan patuh kepada perintah Allah dan RasulNya. Gigihnya mereka sehingga ada pendapat menyatakan bahawa perkataan “tasawuf” berasal dari “Ahli Suffah” ini.

Perbuatan dan perlakuan ahli suffah ini seterusnya menjadi contoh ikutan generasi selepasnya. Hatta jika dikaji sejarah alim ulama di Tanah Melayu, ramai  yang menjadi ulama besar bila berhijrah ke perkampungan yang mempunyai guru atau orang alim bagi membimbing mereka ke jalan yang benar. Itulah sesuatu yang kita hilang pada hari ini. Memilih rumah jarang sekali masjid atau surau yang menjadi pertimbangan tetapi pasaraya besar atau kemudahan membeli belah yang menjadi keutamaan.

Sekurang-kurangnya bila adanya masjid atau surau berdekatan adalah bunyi laungan azan yang masuk ke telinga kita setiap hari. Sekurang-kurangnya bila ada masjid dan surau maka adalah majlis pengajian ilmu yang boleh kita ikuti. Sekurang-kurangnya bila ada alim ulama berhampiran dengan tempat tinggal kita dapatlah kita mengambil manfaat dan barakah daripadanya.

 Mudah-mudahan kita akan sentiasa dipesan-pesan dan diberi ingat-ingatan oleh alim ulama yang berhampiran kita.

Sekurang-kurangnya kita berada dalam lingkungan yang baik. Lingkungan yang baik insyallah akan mendorong kita mendapat kedudukan yang baik di akhirat kelak.

 Amin.

Abu Wafi, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: