Just breathe @ bernafaslah

Published March 11, 2011 by Menikmati Takdir Langit

Sudah lama saya jarang menonton filem atau drama apatah lagi drama Inggeris. Jarang sekali membeli CD walaupun ramai kawan-kawan saya tidak melepaskan peluang untuk menonton setiap kali ada filem baru yang keluar.Tetapi pada malam itu saya benar-benar keletihan setelah seharian bertungkus lumus bekerja. di pejabat. Hasrat sebenar cuma hendak mengikuti perkembangan terbaru di Timur Tengah tetapi saya tiba-tiba menjadi bosan melihat perkembangan di Libya yang tidak sudah-sudah. Menanti Gadaffi gila menyerah kalah terasa begitu lama dan sukar. Lalu tangan ini secara tidak sengaja menekan butang channel Diva 702.

Ada satu ‘heavy drama’ bertajuk “Just breathe” yang sedang ditayangkan. Ketika itu jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Saya hanya ingin menonton sekejap kerana sinopsis drama ini kelihatan menarik. Namun akhirnya saya tertarik untuk terus menonton sehingga drama tersebut tamat dalam pukul 11.40 malam.

Kenapa saya tertarik?

Kerana “story line” atau jalan ceritanya yang mengggugah emosi saya untuk mengikutinya sehingga ke ‘ending part’. Tiada watak penjenayah, perogol, pembunuh, tiada babak kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian dan tiada adegan kekejaman dan orang jahat dalam drama ini. Semua sangkaan saya meleset kerana cerita ini banyak bermain dengan emosi penonton. Sudah tentu untuk membawa watak dalam drama ini adalah satu perkara yang paling sukar untuk dilakukan. Mimik muka dan emosi yang sebenar-benarnya perlu dipamerkan oleh pelakon-pelakon yang walaupun bukan dibintangi oleh pelakon popular namun mereka berjaya membawa watak dengan baik dan cukup berkesan. Sebuah drama berat yang sesuai untuk ditonton oleh sesiapa sahaja terutamanya oleh ibu bapa yang sedang membesarkan anak-anak.

Sebuah drama yang cukup menyentuh perasaan walaupun tidak dicalonkan untuk Grammy Award. Tiada kesan “science effect” yang hebat namun mampu mengajak penonton berfikir mengenai nilai sebuah kehidupan dan ke mana hala tuju kehidupan ini.

Drama ini mengisahkan seorang remaja perempuan bermasalah bernama Sydney. Kedua ibu bapanya berpisah ketika Sydney berumur 10 tahun.Sydney ditinggalkan bersama ibunya manakala bapanya membawa diri ke sebuah kawasan perkampungan di Minnesota. Akibat tekanan perasaan dan kurang perhatian Sydney menjadi liar. Suka mencuri, berpeleseran dengan teman lelaki yang bermasalah dan suka ke disko. Suatu hari Sdney dimasukkan ke hospital akibat keracunan alkohol kerana tabiat minum araknya yang tidak terkawal. Doktor terpaksa mengepam perutnya untuk mengeluarkan alkohol yang berlebihan. Bermula dari sini hidup Sydney mula berubah. Ibunya yang tertekan dengan sikapnya akhirnya membuat keputusan untuk menghantar Sydney tinggal bersama ayahnya Ben dan ibu tirinya yang sarat mengandung Emma di kampung buat sementara waktu.Ibunya berharap Sydney akan berubah jika tinggal bersama ayahnya  kerana dia sendiri tiada masa untuk memantau aktiviti Sydney.

Semasa berada di kampung ayahnya, hidup Sydney perlahan-lahan mula berubah. Kelakuannya yang kasar, degil dan liar akhirnya berjaya dilenturkan oleh ibu tirinya Emma yang bersabar melayani karenahnya. Sydney pernah lari dari rumah ayahnya tetapi mengubah fikiran bila bertemu dengan kawannya yang bernama Jess yang kematian ibunya akibat kanser. Perangai buruk Sydney ke atas Emma dan Ben dipaparkan sehingga membuatkan penonton seperti saya hampir kehilangan sabar. Emma seorang perempuan yang tabah melayani karenah anak tirinya hinggalah pada suatu hari Emma berjaya menyelamatkan Sydney yang ditinggalkan oleh kawan-kawannya di tepi jalan ketika pulang dari konsert. Dari situ, pandangan Sydney terhadap Emma berubah seratus peratus. Emma ternyata amat menyayangi malah lebih memahaminya melebihi kasih sayang yang ditunjukkan oleh kedua ibu bapanya.

Ibu bapa Sydney sering kali bergaduh setiap kali bertemu. Adegan pertengkaran cukup menarik dan kelihatan begitu ‘natural’ dan hidup sekali. Pertengkaran terakhir berlaku di hadapan Sydney dan Emma selepas upacara pengkebumian datuk Sydney. Mereka bergaduh atas perkara yang remeh temeh. Akhirnya Emma yang baik hati dan lemah lembut telah membuat satu cadangan yang menarik kepada 2 pasangan bekas suami isteri ini. Cadangan yang bagi saya pelik, mustahil tetapi satu lontaran yang bernas.

Emma menyatakan bahawa sekiranya upacara pengkebumian datuk Sydney boleh dilakukan dengan baik, penuh penghormatan, penuh dengan ucapan kata-kata indah mengenai mendiang dan diiringi dengan nyanyian dan okestra kenapa tidak diadakan satu upacara perceraian kedua ibu bapa Sydney. Kerana bagi Emma jika pengakhiran hidup manusia dihiasi dengan upacara yang indah dan manis untuk dikenang mengapa tidak perceraian juga diraikan dalam majlis yang indah. Baginya bukan perceraian itu yang ingin dikenang tetapi yang ingin dikenang adalah kedua pasangan tersebut pernah bertemu, bercinta, hidup bersama, mempunyai anak dan pernah melalui saat-saat manis bersama.

Walaupun sukar pada mulanya untuk mereka namun Emma akhirnya berjaya meyakinkan mereka kerana baginya Sydney berhak untuk melihat upacara tersebut.

Majlis perceraian yang serba ringkas dan gilang gemilang diadakan di hadapan tasik di belakang rumah ayah Sydney. Kedua pasangan memakai pakaian yang cantik dan mereka menghadap satu sama lain sambil memegang tangan dan melafazkan kata-kata indah mengenai pasangan masing-masing. Upacara ini mengambil masa 5 minit, disaksikan oleh Sydney dan Emma sehingga menitiskan air mata kerana kata-kata mereka yang dilafazkan kelihatannya sangat jujur dan ikhlas.

Itulah pengakhiran drama Just Breathe ini dan saya cukup berpuas hati dengan ending part ini. Puas hati kerana jiwa terisi dengan satu pengisian yang membuatkan saya terfikir. Mesejnya bersahaja tetapi cukup berat. Ada sesuatu yang saya belajar iaitu :-

1. Aspek pendidikan anak-anak – tidak boleh terlalu keras dalam mendidik anak-anak yang memerlukan perhatian  dan kasih sayang;

2.  Aspek psikologi dalam mendidik anak- Sikap yang ditonjolkan oleh Emma (ibu tiri) Sydney perlu dicontohi oleh sesiapa sahaja. Kesabaran dan keikhlasan dalam mendidik serta kaedah diplomasi yang digunakan oleh Emma cukup baik untuk diamalkan. Emma tidak bersetuju dengan pendekatan Ben dan bekas isterinya yang terlalu keras dan kerap kali menyalahkan anak mereka sedangkan pada Emma kelakuan Sydney yang liar bukan berpunca dari sikap degil Sydney tetapi kesalahan itu berpunca daripada kedua ibu bapa Sydney;

3.  Menilai kembali sikap ibu bapa dan bagaimana kita melayan kehendak anak-anak di rumah;

4.  Ketegasan perlu bertempat, kelembutan biar berbatas;

5. Kepercayaan kepada anak-anak perlu diberikan dan dalam masa yang sama peringatan perlu diberikan kepada mereka agar tidak terbabas;

6. Perlunya kebebasan yang terkawal kepada anak-anak; dan

7. Sabar dalam mendidik anak-anak.

Watak Emma benar-benar menyedarkan saya bahawa betapa kurangnya ilmu psikologi dalam mendidik anak-anak, Masih terlalu banyak yang perlu dipelajari. Mendidik anak untuk menjadi insan yang baik, berguna untuk masyarakat apatah lagi soleh dan solehah tidak sama seperti membesarkan anak-anak dengan memberi makan minum, pakaian, pelajaran dan tempat berteduh. Mendidik anak memerlukan kesabaran yang tuntas dan tentunya ianya sukar.

Sehingga kini saya masih berfikir dan terus berfikir untuk mencari jalan terbaik dalam mendidik anak-anak. Perjalanan saya masih jauh dan cabaran yang menanti di hadapan kelihatan sungguh payah sekali, dengan usaha dan bantuan doa mudah-mudahan misi ini berjaya.

Saya tidak dapat mengagak kenapa “Just Breathe” dipilih menjadi judul filem ini. Mungkin pembaca boleh membantu saya. Mungkin juga kerana hidup ini perlu bernafas dalam apa jua keadaan sekali pun. Susah dan senang, miskin dan kaya semua perlu bernafas dan terus bernafas menghirup udara yang dianugerahkan oleh Allah sehingga ke detik terakhir. Bernafas dan menghadapi apa sahaja tanpa resah, tanpa lelah.

Abu Wafi, Putrajaya

One comment on “Just breathe @ bernafaslah

  • assalamu’alaikum. sy tidak lah arif dala bahasa Inggeris utk menterjemahkan maksud yang paling tepat untuk Just Breathe ini. Tetapi setelah diamati kisahnya pelajaran terbaik yg sy dapat katakan pada diri sendiri ialah berlapang dada walau apa keadaan sekali pun yang berlaku. mengikuti bersama-samanya lah ialah berfikir secara positif dan mengakui bahawa setiap yang berlaku ada hikmahNya. sekian saudara Abu Wafi. semoga terus menitipkan sesuatu lagi di masa akan datang.Syabas. Wassalam.

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: