Apabila Sungai Nil mengalir deras

Published February 8, 2011 by Menikmati Takdir Langit

Sungai Nil yang merentasi antara Mesir sehingga ke negara Sudan di selatan tiba-tiba berubah. Alirannya yang selama ini lesu dan perlahan sejak beberapa dekad yang lalu tiba-tiba menjadi deras dan menolak apa sahaja di hadapannya. Berkocak dan berombak tiba-tiba. Tidak ada batu batan atau kayu-kayu besar yang mampu menghalang atau menyekat laluannya yang laju dan berterusan.

Sungai Nil di negara Mesir mengingatkan saya kepada Novel Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih nukilan Habiburrahman Al-Syirazi yang pernah saya tekuni beberapa tahun yang lepas. Latar belakang penceritaannya berkisar mengenai seluruh kehidupan di Mesir khususnya di Kaherah dan Iskandariah. Membaca novel beliau menyebabkan saya terasa berpijak dan berjalan di bumi kelahiran anbiya’ dan sejuta ulama ini walaupun secara peribadinya saya tidak pernah menjejakkan kaki ke sana. Keinginan itu tetap membara dalam diri saya bahawa suatu hari nanti saya ingin pergi ke sana, menziarahi makam para nabi, makam Imam Syafie dan tempat-tempat bersejarah. Suatu keinginan yang tidak pernah padam.

Pergolakan di Mesir adalah bertitik tolak daripada kejayaan rakyat Tunisia mengusir Presiden Ben Ali yang memerintah selama 2 dekad.  Jika rakyat Tunisia berjaya mengapa tidak rakyat Mesir mencubanya adalah tanggapan setiap rakyat Mesir yang inginkan perubahan. Jika rakyat Mesir berkampung dan berdemostrasi berhari-hari di Tahrir Square, maka saya juga memilih untuk duduk terpaku di hadapan kaca TV menonton berita-berita terkini mengenai Mesir. Mujur ada Stesen Al-Jazeera, BBC World News dan CNN yang dibuka berselang-seli. Melihat perkembangan terkini dan komen-komen dari koresponden di sana menyebabkan hati merasa teruja menunggu saat-saat ketibaan kejatuhan Regim Hosni Mubarak yang kian rapuh namun masih berdegil. Hasil analisa saya mengapa rakyat Mesir bangun memberontak adalah seperti berikut:-

1. 40% dari sejumlah 80 juta orang rakyat Mesir berpendapatan USD2 sehari. (Hidup di bawah paras kemiskinan);

2. 1/3 rakyat Mesir masih buta huruf;

3.’Median Age” atau umur pertengahan di Mesir terdiri daripada mereka yang berumur 24 sehingga 30 tahun.  Mengikut laporan 2/3 daripada rakyatnya lahir di zaman Presiden Hosni Mubarak;

4. Majoriti penduduk Mesir (golongan median age) menganggur walaupun kebanyakan mereka mempunyai kelulusan. Keadaan yang sama dengan Tunisia- kejatuhan Presiden Tunisia berpunca daripada tunjuk perasaan seorang pemuda berkelulusan Master tetapi tidak mempunyai pekerjaan yang bertindak membakar dirinya kerana tidak puas hati dengan kerajaan apabila barang-barang jualannya dirampas dan disita oleh pihak berkuasa.

5. Pengaruh ‘social media’ seperti blog, facebook dan twitter yang menjadi medium utama menggantikan media arus perdana;

6. Pengumpulan kekayaan Regim Mubarak selama 30 tahun sehingga mengkayakan keluarga dan kroninya. Diberitakan hampir 60% hasil kekayaan Mesir disalurkan kepada anak lelakinya Gamal Mubarak. Laporan CNN menyatakan kekayaannya mencecah USD70 billion mengatasi Bill Gates dan Warren Buffet.Lihat laporan di bawah;

The wealth of Ahmed Ezz, the former NDP Organisation Secretary, is estimated to be 18 billion Egyptian pounds; 

The wealth of former Housing Minister Ahmed al-Maghraby is estimated to be more than 11 billion Egyptian pounds; 

The wealth of former Minister of Tourism Zuhair Garrana is estimated to be 13 billion Egyptian pounds; 

The wealth of former Minister of Trade and Industry, Rashid Mohamed Rashid, is estimated to be 12 billion Egyptian pounds;

The wealth of former Interior Minister Habib al-Adly is estimated to be 8 billion Egyptian pounds. 

7. Tiada ruang demokrasi yang diberikan kepada rakyatnya sejak 30 tahun yang lalu;

8. Ketidakpuasan hati rakyat terhadap polisi-polisi Regim Mubarak yang tidak membantu meningkatkan pendapatan rakyat dan polisi-polisi lain yang menekan dan menindas rakyat;dan

9. Amalan rasuah berleluasa di kalangan pegawai-pegawai tinggi Regim Mubarak.

Rakyat Mesir akhirnya bangkit dan setakat ini belum ada tanda-tanda bahawa kebangkitan ini akan reda. Walaupun Regim Mubarak melakukan beberapa pembaharuan seperti membubarkan kabinet, melantik kabinet baru, melantik Timbalan Presiden, dan beberapa pengumuman lain bertujuan untuk meredakan kemarahan rakyat, namun majoriti rakyat masih lagi bertahan di Tahrir Square. Sehingga catatan ini ditulis Presiden Mubarak masih kekal “remain intact” di kerusinya dan tiada kepastian bilakah revolusi ini akan menemui titik noktahnya. Di satu pihak mereka menginginkan agar krisis ini segera berakhir dan Mesir mempunyai kerajaan baru yang dipilih oleh rakyat. Di satu pihak mereka khuatir jika kejatuhan Hosni Mubarak akan meninggalkan vakum yang akan diisi oleh anarkisme seperti di Iraq. Di satu pihak yang lain mereka khuatir jika pertubuhan yang diharamkan selama 50 tahun Ikhwanul Muslimin atau Muslim Brotherhood akan mengambil alih tampuk kekuasaan dan jika ini berlaku Israel dan Amerika Syarikat adalah pihak yang paling tidak senang duduk.

Sesungguhnya Mesir negara yang kaya dengan hasil bumi, Terusan Suez dan industri pelancongan yang terkenal. Malangnya Mesir dijarah oleh penguasa-penguasa yang menjadikan Mesir seperti hak milik persendirian.

ANALISA RINGKAS SEJARAH POLITIK MESIR

Apa yang berlaku di Mesir menyebabkan saya tergerak untuk membaca kembali sejarah politik Mesir pasca kejatuhan Regim Monarki Raja Farouk yang zalim. Abad ke-20 menyaksikan berakhirnya pemerintahan monarki di Mesir dan digantikan dengan Regim tentera pimpinan Presiden Naguib. 

1. Presiden Naguib – digulingkan;

2. Presiden Gamal Abdul Nasir – meninggal dunia akibat stroke;

3. Presiden Anwar Sadar – mati dibunuh dalam satu perarakan tentera;

4. Presiden Hosni Mubarak  

Jika dikaji semua Presiden Mesir mempunyai latar belakang ketenteraan yang tegas. Tidak hairan jika corak pemerintahan mereka keras. Transisi atau peralihan kuasa antara satu Presiden kepada Presiden yang berikutnya tidak pernah berlaku secara teratur.

ULAMA-ULAMA TERKENAL MESIR

Mesir juga terkenal sebagai bumi kelahiran sejuta ulama. Antara ulama-ulama hebat yang pernah dilahirkan adalah seperti berikut:-

As-Syahid Hassan Al-Banna (Pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin -penulis Zikir Mathurat)

As-Syahid Syed Qutb (Pengarang Tafsir Fi-Zilalil Quran)

Al-Alamah Syeikh Yusuf  Qaradhawi

Almarhum Syeih Mutawalli Sya’rawi

KEBEBASAN BERSUARA

Para penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir atau Liberation Square. Bagaikan satu kebetulan bila rakyat Mesir memilih untuk berhimpun di situ. Nama yang terpahat sejak sekian lama dan kini digunakan untuk satu revolusi baru yang berkebetulan.

Saya meminati Al-Jazeera. Saya meminati cara penyampaian koresponden Al-Jazeera bernama Ayman Mohyeldin seorang wartawan rakyat US yang berketurunan Mesir/Palestin. Beliau bercakap dalam Bahasa Inggeris yang lancar, tersusun dan mesejnya sampai kepada pendengar. Semasa Israel menyerang Gaza tahun 2010 Ayman membuat liputan dari zon peperangan. Di Mesir nasibnya tidak sebaik di Gaza. Beliau ditahan selama 9 jam kerana membuat liputan di Tahrir Square. Namun Ayman akhirnya dibebaskan. Keberanian Ayman melaporkan berita yang benar kepada dunia luar menyebabkan stesen TV Al-Jazeera dilabel sebagai satu ancaman baru kepada dunia barat. Kehadiran Al-Jazeera hampir menyaingi stesen TV besar seperti CNN dan BBC.  Keberanian Ayman mengingatkan saya kepada wartawan Peter Arnet dari CNN yang melaporkan berita terkini dari Baghdad semasa perang Teluk 1991. Ketelusan laporan beliau menyebabkan negara beliau sendiri tidak menyenanginya. Moga Ayman terus tampil dengan berita yang tepat dan telus.

Ayman Mohyeldin

SARANAN/CADANGAN

Ada yang bertanya bagaimanakah krisis ini boleh ditamatkan secara aman dan baik. Berikut adalah antara cadangan yang saya kutip dari komen-komen para penganalisis di Timur Tengah:-

1. Perlembagaan Mesir harus disemak semula dan ditulis semula (Rewrite the constitution);

2. Memberikan kebebasan bersuara dan memilih pemimpin dengan luas berdasarkan had tertentu;

3. Menghadkan tempoh Presiden selama 2 penggal;dan

4. Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

CUKUP-CUKUPLAH

Pesanan Syeikh Dr.Yusuf Qardhawi

’Wahai Hosni Mubarak, jika pemerintahan itu bagai ghanimah untukmu, maka 30 tahun itu sudah cukup. Jika pemerintahan itu adalah bebanan ke atasmu, maka 30 tahun itu juga sudah cukup. Turunlah kamu!

Itu antara pesanan ulama terkemuka dunia masa kini yang sehingga ke hari ini masih tidak dibenarkan kembali ke bumi kelahirannya di Mesir. Pesanan yang cukup berharga dan bermakna bukan sahaja kepada Hosni Mubarak bahkan kepada sesiapa sahaja yang berada lama di puncak kuasa. Siapa sahaja yang berkuasa perlu ingat bahawa kekuasaan tidak akan kekal lama kerana kelak anda akan dipersoal di hadapan Allah.

Ingatlah pesanan Khalifah Umar Al-Khattab bahawa dia bimbang jika dia akan ditanya oleh Allah sekiranya ada binatang yang mati di tebing Sungai Furat. Bimbang jika perkara itu berlaku akibat kecuaian dan kelemahan beliau.

Firauan yang lama memerintah juga telah pergi. Tenggelam di dasar laut Merah ketika cuba mengejar Nabi Musa a.s. Qarun juga tenggelam dengan kekayaannya di dasar bumi. Kuasa, pangkat dan harta benda tidak akan kekal. Akan sampai masanya semua ini akan direnggut oleh Allah.

Sesungguhnya kuasa bukan ‘ghanimah’ atau harta rampasan perang yang boleh dibolot kesemuanya. Kuasa adalah bebanan dan amanah yang perlu dipikul. Jika semua menyedari beratnya kuasa itu, sudah pasti tidak ramai akan yang sanggup untuk menerimanya.

Mesir oh Mesir…. aku menanti Sungai Nil yang mengalir deras dan menonton apakah arusnya akan terus deras dan tidak akan lesu lagi selepas ini. Hentikan kocakanmu buat seketika agar siapa sahaja yang menyusurimu akan sentiasa tenang dan damai.

Tiba-tiba perasaan bimbang mencengkam diri takut-takut jika Sungai Nil berhenti mengalir seperti yang pernah berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab. Sungai Nil hanya mengalir semula setelah dicampakkan surat khalifah ke dalamnya.

Apakah kita juga memerlukan karamah untuk menghentikan krisis ini? Atau apakah karamah itu terletak pada tangan umat Islam keseluruhannya…

Zikir dan Fikir…

Abu Wafi, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: